Isnin, 23 Mei 2011

.

.


Susupan Petang

Posted: 23 May 2011 02:40 AM PDT

Ketua Hakim Negara Sakit

RAMAI orang besar dan kenamaan sakit dua tiga hari ini. Terbaru Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi kini terlantar di IJN selepas terjatuh di katil hospital Putrajaya. Beliau dikatakan mengalami tekanan darah rendah dan masalah jantung. Bagaimana pun keadaanya kini dilaporkan sudah stabil.

Empat hari lepas bekas PM, Dr Mahathir Mohamad juga dimasukkan ke hospital kerana jangkitan kuman. Beliau juga dilaporkan sudah stabil dan lalu makan. Tubuh Mahathir juga dikatakan memberi respon yang baik terhap fisotrapi yang dijalankan.

Beberapa hari lalu Adun Limbongan, Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat juga dikejarkan ke hospital selepas keluar darah dari mulut. Semasa di bawa ke hospital tekanan darahnya tidak stabil dan tidak sedarkan diri. Bagaimana pun Zainuddin kini sudah stabil. Beberapa peperiksaan lanjut masih dilakukan untuk mengetahui punca berlaku pendarahan.

Kita menanti laporan seterusnya berhubung Zaki Azmi. Sehingga kini media massa tidak diberi apa-apa maklumat oleh keluarganya kerana mahukan privency. Najib Razak yang dijangka pulang hari ini akan melawat Zaki. [ttd.kl.5:44 pm 23/05/11]

Susupan Malam

Posted: 22 May 2011 04:41 AM PDT

Siapa Senator Baru Dari Kelantan?

KHABARNYA salah seorang ahli Dewan Negara dari Kelantan akan tamat tempoh perkhidmatan pada bulan ini. Senator berkenaan tidak lagi disambung untuk penggal kedua. Seseorang boleh dilantik menjadi ahli Dewan Negara untuk tempoh dua penggal berturut-turut, selama enam tahun. Perlantikan ini memenuhi Perlembagaan Fasal (4) yang memperuntukan setiap negeri berhak melantik dua wakil di Dewan Negara.

Sebelum ini Pas menetapkan peruntukan ahli dewan ini untuk muslimat. Tetapi sejak tahun 1995 kalau tidak silap, ia telah mengubah peruntukan dan peraturan itu. Peraturan yang dibuat Pas, wanita tidak digalakkan untuk aktif dalam politik termasuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Dun). Lantaran itu muslimat hanya diberikan kerusi senator kerana pergerakan dan aktiviti mereka kurang lasak.

Bagaimana pun suasana berubah, Pas telah membenarkan muslimat aktif dalam politik termasuk menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dun. Jadi kerusi senator bukan lagi untuk muslimat. Bahkan sudah terdapat muslimat Pas dilantik menjadi Exco.

Persoalan sekarang ini siapakah yang akan dilantik bagi menggantikan senator berkenaan. Apakah kategori calonnya dan apakah kriteria yang dikenakan untuk memilih senator kali ini. Kalau mengikut amalan biasa seseorang senator diambil dari kalangan mereka yang berpengalaman dan pakar dalam sesuatu bidang. Selain itu juga mereka yang lama menyertai perjuangan dan setia dengan parti serta tahan diuji.

Harus diingat ahli Dewan Negara akan bertindak menjadi penyemak kepada apa-apa perbahasan di Dewan Rakyat. Lantaran itu ia memerlukan seorang yang berpengalaman dan cukup ilmu untuk menilai dan menapis keputusan yang diluluskan Dewan Rakyat.

Bagaimana pun sejak ke belakangan ini perlantikan senator bukan lagi berciri-ciri sifat demikian. Malahan perlantikan ahli dewan ini dijadikan sebagai satu hadiah atau cenderamata untuk seseorang seperti membalas budi dan jasanya. Lebih malang lagi sebagai balasan atas perngorbanan dan juga tindakan politik seseorang.

Misalnya perlantkan senator yang kini sudah tamat tempohnya bukan sangat berlandaskan kepada jasa besar mereka kepada rayat atau parti tetapi lebih kepada imbuhan ke atas tindakannya meninggalkan Umno menyertai Pas. Dia baru saja berjuang dalam Pas, belum pun sampai 10 tahun. Rasanya kalaupun bukan tokoh berkenaan diambil untuk jadi senator masih ramai ahli atau mereka yang sudah lama bergelumang dalam Pas.

Sementara itu ada juga mereka dilantik untuk menjadi senator kerana semata-mata untuk dijadikan menteri. Mereka diperlukan kerana ingin menggunakan kepakaran mereka yang dimilikinya. Lantara itu soal kualiti dan wibawa senator itu tidak sangat diberi perhatian. Sebagai contohnya Umno pernah melantik beberapa orang samseng atau pun bonza untuk menjadi senator.

Perlantikan sebegini rasanya tidak wajar dalam Pas. Begitu juga kalau perlantikan itu hanya berdasarkan kepada pengorbanannya kepada parti dari segi kewangan, ataupun kerana ianya disayangi oleh pemimpin tertentu. Soal mereka disayangi atau kerana pandai membodek harus tidak dijadikan kriteria. Dan kriteria yang juga tidak boleh diremehkan ialah soal idealisme dan juga fikrah mereka sejauh mana memahami perjuangan Islam. Tentunya kualiti atau nilai senator Pas mesti berbeza dengan senator BN atau DAP dan PKR.

Dalam hal ini saya rasa Dewan Harian Pas Kelantan arif dan tahu membuat keputusan yang tepat agar perlantikan mereka nanti tidak mengsia-siakan parti. Perlu jaga bahawa senator biarlah yang berkualiti dan munasabah oleh parti. Kalaulah parti hanya menekankan untuk melantik seseorang itu yang banyak membantu parti dari segi kewangan eloklah diberikan mereka projek atau pun kawasan balak ataupun tanah-tanah ditengah bandar untuk dimajukan, bukannya diberikan kerusi senator. Dengan cara itu balasan budi itu dikira kena pada tepatnya. [wm.kl.7:50 am 22/05/11]

Tragedi Tanah Runtuh Hulu Langat

Posted: 22 May 2011 12:44 AM PDT

Kepiluan Menyelubungi
Masjid Sultan Hishamuddin Shah


[kemaskini] MASJID Sultan Hishamuddin Shah di Batu 14, Hulu Langat sepanjang hari ini diselubungi kedukaan dan kesedihan apabila anggota keluarga, kenalan dan orang ramai yang datang dari berbagai penjuru untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh di madrasah Al-Taqwa Hulu Langat petang semalam.

Dalam kejadian itu 16 orang pelajar termasuk (anak yatim) dan pengawal madrasah itu terkorban kerana ditumbus tanah hidup-hidup. Kesemua yang terlibat dengan kejadian itu ditemui, di mana dari 24 yang tertimbus sembilan ditemui selamat.

Daripada 16, sembilan jenazah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengkebumian di tempat masing-masing. Bakinya dibawa ke masjid Sultan Hishamuddin Shah untuk disembahyangkan dan dikebumikan dalam satu lubang kubur berdekatan tidak jauh dari masjid.

Ketika saya bersama bekas Ahli Parlimen Jeli, Apandi Mohamd juga bersama isteri dan seorang kawan, sekitar jam 12:40 tengah hari, lima jenazah diletakkan berbaris dalam masjid menghadap ke arah mimbar masjid. Ketika itu hanya dua lagi jenazah belum sampai dan dalam perjalanan ke masjid.

Orang ramai yang sudah memenuhi untuk menyembahyangkan jenazah yang akan disempurnakan selepas Zohor. Ia juga dipenuhi dengan kanak-kanak dan pelajar sekolah Al-Tawqa yang siap berpakian jubah putih.

Menjelang 15 minit masuk waktu Zohor, dua lagi jenazah tiba. Kesemua jenazah yang sudah siap dikapan dibuka untuk tatapan buat kali terakhir sanak keluarga, ibubapa dan waris waras. Ketika kain kafan ini dibuka suasana sedih tidak dapat ditahan, menyapu setiap wajah yang berada dalam masjid.

Bagaimana pun keadaan duka ini masih dapat dapat dikawal. Orang ramai hanya muram durjana dan menyembunyikan rasa sedih masing-masing. Ada juga yang tidak dapat menahan kedukaan menangis dan mendiamkan diri jauh ke belakang, tersendu dan tidak terkata apa.

Melihat satu demi satu anggota keluarga terdekat mencium dan menatap wajah mayat untuk terrakhir anak kesayangan mereka, saat inilah air mata yang sudah berseka di birai tidak dapat ditahan lagi. Jauh dilubuk hati perisitiwa trajis itu dikembalikan ke dalam diri. Tidak terbayang pula kalau ujian sama dianugerahkan Tuhan kepada kita.

Sebelum masuk Zohor Exco Agama Selangor, Dr Hassan Ali memberi taklimat dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga yang anak mereka maut dalam kejadian itu. Jelas beliau, kerajaan sangat berdukacita dan sedih atas apa yang berlaku. Beliau juga mengumumkan esok Sultan Selangor akan berangkat turun ke tempat kejadian dan akan berjumpa dengan para waris yang terkorban untuk menghulurkan derma dan bantuan.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) juga akan berbuat demikian.

Selepas usai solat Zohor jenazah disembahyang oleh ribuan orang. Keadaan sungguh menyenyat hati apabila seorang guru dan juga pelajar tua di madrasah berkenaan tampil memberi ucapan terima kasih dan memohon maaf kepada semua orang atas apa yang berlaku. Saat paling menyayukan apabila guru itu meminta maaf atas apa-apa dosa yang dilakukan oleh pelajarnya yang disifatkan sebagai anak cucunya sendiri.

"Saya bagi pihak anak-anak memohon maaf, atas apa-apa dosa yang mereka lakukan," katanya sedih. Sebak melanda dadanya menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan percakapan dan hampir-hampir terjatuh. Apandi dan beberapa orang yang berada berhampiran dengannya memapah dan cuba menenangkan perasaanya.

Kesayuan semakin mengetik rasa saat satu demi satu jenzah diangkat ke kereta jenazah yang sudah berbaris menanti untuk membawa jenazah ke kubur. Orang ramai termasuk juga rakan-rakan mangsa berebut-rebut untuk memberi penghormatan terakhir. Orang ramai juga bersambutan mengusung jenazah hingga masuk ke dalam van jenazah.

Di luar masjid orang ramai memerhati dengan penuh kesedihan dan kesayuan melihat pergerakan kereta jenazah bagaikan satu konvoi besar. Saat kereta jenazah melepasi pagar masjid saya lihat hampir semua kaum wanita menyapu-nyapu air mata masing-masing.

Merekan yang maut; Mohd Mustakim Mamat 12, Norahimi Rusdi 14, Mohd Zaim Azhaari 14, Dzhir Mohd Moim 18, Zaid Assywal Zamri 19, Farid Ibrahim (wardan) 34, Mohd Aiman Abdullah 10, Lokman Hakim Abdul Star 11, Wan Ahmad Hasril Wan Ahmad Hazim 11, Mohd Kamarul Amiza Johari, 11.

Mohd Azhil Azhaari 8, Mohd Naerzein Mohd Nor 8, Sharul Nur Imran Adnan 9, Mohd Rizman Abdul Latif 9, Mohd Hazi Shafree 9, Mohd Aiman Fardhad 9. Al Fatihah. [wm.kl.4:18 pm 22/05/11]

Hasan Ali sedang memerhati salah seorang mayat mangsa yang dibuka untuk tatapan terakhir keluarga terdekat.

Ketujuh-tujuh jenazah disembahyang serentak.

Apandi sedang menenangkan murid tua madrasah Al Taqwa yang juga bertindak sebagai pengawal.

Sebahagian orang ramai dan rakan-rakan mangsa hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

Jenazah pertama dibawa turun dari masjid untuk dibawa ke kubur.

Jenazah kedua dibawa turun dari masjid.

Jenazah ketiga yang dibawa turun dari masjid.

Tujuh buah van jenazah siap untuk bergerak ke kubur.

Tiada ulasan: