Sabtu, 14 Mei 2011

Biaqpila

Biaqpila


Harga Barang Naik, Muhyiddin Perbodohkan Rakyat, Kata Dr Dzul

Posted: 14 May 2011 03:00 PM PDT


SHAH ALAM 14 MEI : Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus peka kepada teguran orang ramai terhadap kenaikan harga barangan dan bukannya marah terhadap kritikan sebegitu, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad.
Muhyiddin juga berbohong apabila mendakwa Malaysia satu- satunya negara yang mengawal harga barangan dengan memberi subsidi bagi mengurangkan beban rakyat, kata beliau.
"Kita tahu di negara barat pun sistem subsidi itu memang diberikan, Amerika memberi subsidi besar kepada sektor pertanian mereka dan sebagainya, begitu juga kepada negara-negara yang maju seperti Eropah, Jepun dan sebagainya." kata Dr Dzulkifli.
"Jadi Muhyiddin ni..samada dia betul- betul jahil ataupun dia buat-buat tak tahu atau nak menipu rakyat," tambah beliau.
Pagi tadi Muhyiddin sekali lagi memilih majlis membabitkan penduduk luar bandar untuk mendakwa kononnya Malaysia adalah negara ulung memberikan subsidi kepada rakya.
Justeru, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tidak wajar pihak-pihak tertentu menggunakan alasan kenaikan harga barang untuk mempersalahkan kerajaan.
"Kenaikan harga barangan yang berlaku tidak boleh dijadikan alasan untuk menuduh kerajaan tidak bertanggungjawab atau tidak buat sesuatu untuk kepentingan rakyat.
"Tidak ada kerajaan lain yang kawal harga, kalau negara lain, mereka bayar dengan harga pasaran sebenar," kata Muhyiddin ketika berucap pada majlis Sarapan Pagi 1 Malaysia di Kampung Sungai Ular Pahang.
Rakyat Malaysia terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi selepas kerajaan pimpinan Najib Razak memotong subsidi yang mengakibatkan harga barangan keperluan seperti gula dan petrol meningkat secara mendadak.
Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli berkata, kerajaan turut menarik subsidi gula bernilai RM116 juta, tetapi mengekalkan peruntukan RM19 bilion setahun kepada syarikat IPP seperti YTL Corporation Berhad, Malakoff Corporation Berhad dan Genting Sanyen.
Dr Dzulkifli berkata keluhan rakyat mengenai kenaikan harga barangan berpaksi kepada dasar-dasar tidak seimbang kerajaan khususnya yang membabitkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat besar.
"Dia (Muhyiddin) masih dalam pemikiran lamanya yang belum sedar bahawa rakyat hari ini sudah celik dan punya keberanian untuk menegur bahkan mengkritik kerajaan sebab rakyat hari ini tahu bahawa mereka sebenarnya yang mengangkat kerajaan."
"Dia masih lagi mempunyai minda lama yang menganggap bahawa kerajaan itu bos dan rakyat mesti dengar dan ambil apa saja yang kerajaan beri, kononnya kerajaan tahu semua," tambah Dr Dzulkifli
Muhyiddin mendakwa walaupun harga barangan naik "rakyat dapat menikmati limpahan ekonomi dan peluang pekerjaan yang ada ekoran kemasukan pelaburan asing."
Ini bukan kali pertama Muhyiddin memberikan maklumat salah kepada penduduk luar bandar. Pada pilihanraya Sarawak beliau mengisytiharkan Malaysia sebagai negara maju, malah antara yang terbaik di seluruh dunia.

"Perisytiharaan" itu dibuat kepada sekumpulan pengundi Iban di sebuah rumah panjang berhampiran Sri Aman Sarawak.

Kenyataan itu bercanggah dengan ketetapan agensi-agensi antarabangsa yang masih menyenaraikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi membangun. Malah Perdana Menteri Najib Razak sendiri mensasarkan 2020 untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju, jika ekonomi berkembang purata lapan peratus setahun.

TVS

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

VIDEO SEKS PI KE MASJID PULAK

Posted: 14 May 2011 08:15 AM PDT

Nurul Izzah cabar Najib debat dengan Anwar

Posted: 14 May 2011 06:05 AM PDT


KETEREH, 14 Mei: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan 'debat' khas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menentukan kesalahan yang dilakukan oleh ayahnya itu.

Pada masa yang sama, beliau turut memohon Perdana Menteri itu mengarahkan pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah terhadap ayahnya, sebaliknya mengadakan debat sebagai medan untuk mendedahkan kesalahan yang dilakukan khususnya dalam pentadbiran negara sewaktu menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sepetang Bersama Nurul Izzah yang diadakan di Dataran Ilmu Kok Lanas, di sini petang semalam.

Turut berucap pada majlis itu, Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Mahmood, Anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir.

Menurut Izzah lagi, perancangan jahat tidak perlu dilakukan apa lagi dengan tuduhan jijik liwat, video seks dan berbagai lagi kerana ianya akan memburukkan imej negara bukan sahaja keluarganya.

"Kalau ayah saya salah, buat debat terbuka biar rakyat dengar, biar rakyat puas hati dan kami juga puas hati apa kesalahan ayah kami," ujarnya.

Beliau bagaimanapun yakin kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana debat itu akan memakan mereka sendiri.

Izzah juga turut berpendapat pelbagai fitnah lagi bakal menimpa ayahnya menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pada masa yang sama beliau juga turut mengucapkan terima kasih pada PAS dan DAP yang telah menyedarkan dirinya untuk turut berjuang bersama menentang kezaliman kerajaan BN terutama Umno.

Jelasnya, parti yang paling kuat menentang kerajaan khususnya berhubung kes ayahnya ialah PAS sehingga parti itu sanggup berdepan dengan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Sebelum ini saya tidak berminat dengan politik, saya belajar di universitipun bidang kejuruteraan awam, namun kerana kezaliman yang semakin berleluasa khususnya melibatkan ayah, saya sanggup berdepan semua itu," katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Pada majlis tersebut Izzah tidak dapat menahan sebak apabila menyentuh tentang ugutan yang diterima melalui system pesanan ringkas (sms) yang akan menculik anak sulungnya sekiranya masih menyokong perjuangan Anwar.

Pada majlis itu juga beliau turut menyampaikan sumbangan golongan miskin di Dun Kok Lanas.

Sebelum menyampaikan ceramah di Kuala Krai dan Machang, beliau terlebih dahulu memenuhi program santai dan minum petang di rumah Anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail.

HD


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

TEMAN WANITA DIROGOL BERGILIR-GILIR DI DEPAN MATA

Posted: 14 May 2011 01:20 AM PDT


SERI ALAM: Seorang lelaki hanya mampu merayu sambil tangan dan kakinya diikat, ketika teman wanitanya yang juga seorang ibu tunggal beranak satu dirogol bergilir-gilir dua penjenayah bersenjatakan pisau di sebuah rumah kosong di Telok Jawa di sini, pada jam 2.25 pagi, Isnin lalu.

Terdahulu mangsa berusia 26 tahun memandu kereta bersama teman wanitanya berusia 24 tahun berhenti di persimpangan lampu isyarat di kawasan berhampiran, sebelum didatangi dua suspek yang menunggang motosikal sambil mengacukan pisau ke arah mereka.
Seorang daripada suspek turun dari motosikal dan mengugut akan mencederakan pasangan itu sebelum mangsa diarahkan memandu kereta ke sebuah rumah kosong, manakala seorang lagi penjenayah mengekori dari belakang dengan menunggang motosikalnya.

Difahamkan, ketika tiba di rumah kosong itu, tangan dan kaki mangsa diikat dan dua penjenayah berkenaan kemudian merogol teman wanitanya.


Lelaki terbabit dikatakan hanya mampu melihat dan mendengar tangisan teman wanitanya meminta tolong, sebelum mereka berdua ditinggalkan di rumah itu.

HM

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Pemuda ‘upahan’ Umno ganggu ceramah Anwar di Melaka

Posted: 13 May 2011 09:00 PM PDT


Di mana ada ceramah Anwar, di situ lambakan sekatan jalan raya
MELAKA: Yang Melayu membentang tikar dan duduk. Yang Cina mahupun India, ada berdiri dan ada yang duduk di bangku kecil yang dibawa dari rumah.
Tiga gaya berbeza namun satu matlamat sama – mendengar ceramah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka hadir Ceramah Perdana Tawan Melaka PRU-13, 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' di Pejabat Pas Kawasan dan Unit Peti Undi Bukit Katil dan walaupun ia berlangsung di markas PAS, ceramah itu menarik khalayak pelbagai kaum.
Pengerusi Majlis Pimpinan Melaka merangkap Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin memulakan ceramah dengan memohon maaf kerana hadirin terpaksa bersusah payah untuk hadir ke ceramah.

Secara berjenaka, beliau menyatakan Bukit Katil adalah kawasan 'paling selamat' di Melaka kerana banyak sekatan jalan raya pada malam ini.
"Polis sekarang adalah pencegah ceramah, bukan lagi pencegah jenayah," sindir beliau.
Beliau berkata, lokasi asal yang dijadual di Paya Rumput terpaksa dipindah ke Bukit Katil kerana satu lubang besar digali untuk menghalang orang mendengar ceramah.
"Ia mengingatkan saya kepada Perang Khandaq (peperangan pada zaman Rasulullah ketika menyebar Islam)," kata Shamsul.
Shamsul kemudian meningkatkan 'suhu' ucapan dengan menyegarkan ingatan hadirin kepada penganiayaan terhadap Anwar.
"16 Mei ini, Datuk Seri (Anwar) tak perlu dipanggil bela diri sebab sepanjang perbicaraan tiada bukti Anwar terhadap pertuduhan yang dikenakan," katanya.
Beliau sempat berjenaka dengan berpesan kepada hadirin agar 'memasang' niat betul apabila menonton atau membaca media kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) supaya mudah terpengaruh dengan putar belit mereka.
"Kalau baca Utusan atau tengok TV3, kena pasang niat. 'Sahaja aku tengok TV3 atau baca Utusan tak mahu percaya apa yang dilapor," katanya dengan disambut gelak tawa.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani kemudian mengambil tempat untuk berceramah tetapi ucapannya kerap diganggu sekumpulan kira-kira 20 penyokong Umno yang berteriak 'Hidup Saiful' dan 'Anwar b*b*' dari seberang jalan.


Biarpun kekangan dibuat bagi menghalang rakyat mendengar amanat Anwar, ribuan pasti hadir
Sebaik sahaja Anwar mengambil tempat untuk berceramah, beliau menempelak penyokong Umno itu.
"Bayar RM50, tolong jerit pada ceramah. Jangan jadi hamba orang rasuah. Kerja tidak ada. Pendidikan, tidak ada. Yang ada RM50, upah jerit. Dalam Quran, disebut 'keldai'," katanya disambut sorakan gemuruh.
Anwar turut menempelak Puteri Umno yang pernah menyamakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan pemimpin ajaran sesat, Ayah Pin.
"Orang begini jahil, angkuh, bodoh. Paling saya menyampah dengan orang macam ini," kata Anwar.
Berucap lebih lanjut, Anwar berkata, walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan, beliau bersyukur ke mana-mana beliau pergi, sokongan tetap diberi.
"Hari-hari dicerca, mana-mana saya pergi sokongan tetap ada. Maknanya, bukan semua rakyat bodoh," katanya.
Dalam ucapan, Anwar juga menjelaskan, isu jam Omega tidak diteruskan polis dan Umno kerana jam yang diserahkan Eskay kepada polis sebenarnya 'dibeli' beliau pada 2004, sewaktu masih dalam penjara.
Beliau juga sempat berkongsi pengalamannya dipujuk Ahli Lembaga Pengarah Bank Baraqa untuk tinggal di luar negara sewaktu berkunjung ke Bahrain baru-baru ini.
"Tak payah duduk di situlah (Malaysia), kami tengok (dugaan yang dihadapi Anwar) kami pun tak tahan," cerita Anwar yang tetap mahu meneruskan perjuangan demi rakyat Malaysia.
"Rakyat tidak cerca saya, yang cerca saya pemimpin Umno," kata Anwar.

KD

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Video Seks : Tiada Keperluan Dedah Identiti Pelaku

Posted: 13 May 2011 06:00 PM PDT


KUALA LUMPUR 13 MEI : Tiada keperluan bagi pihak polis mendedahkan siapa pelaku dalam video seks yang didakwa mirip pemimpin pembangkang walaupun sudah mengenalpastinya.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ia hanya akan didedahkan sekiranya terdapat keperluan undang-undang.

"Saya tak perlu huraikan, kalau undang-undang kata perlu, kita dedahlah, kalau tidak, tidaklah," katanya.

Pada 26 April lalu, Khalid berkata polis tidak teragak-agak untuk mendedahkan "si pelaku" dalam video seks itu kepada umum sekiranya perlu.

Bagaimanapun ketika diajukan soalan yang sama oleh pemberita lain, beliau secara berjenaka berkata:

"Kalau dah... kalau dah... kalau dah video itu sahih, lain-lain tuan-tuan boleh buat andaiKanlah."

Malah, beliau juga enggan mengulas lanjut sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dikenakan tindakan sekiranya sah beliau adalah pelakunya.

"Kita akan tengoklah kemudian," jawabnya ringkas kepada pihak media.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid memaklumkan beliau telah menerima laporan daripada pakar pengimejan video di Amerika Syarikat (AS) bagi mengesahkan kesahihan rakaman itu, sekali gus mengukuhkan penemuan pakar dalaman sebelum ini.

Mengulas lanjut keperluan polis menyiasat ketulenannya video terbabit sedangkan kes itu disiasat berhubung siapa penayangannya, Khalid berkata:

"Kita kena siasat adakah video itu video lucah. Jika bukan video lucah, bukan (Seksyen) 292 (Kanun Keseksaan)," katanya.

Video berkenaan kali pertama dipertontonkan kepada beberapa wartawan terpilih oleh trio 'Datuk T' di Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Trio 'Datuk T' terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta bekas Bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.

Malah Eskay turut ditemani dua daripada trio 'Datuk T' bagi melaksanakan sumpah laknatnya di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul 29 April lalu dengan menuduh Anwar sebagai pelaku video berkenaan.

Dalam sidang media yang sama, Khalid turut mengakui siasatan kes itu kini sudah sampai ke peringkat akhir dan laporan penuhnya dijangka akan dihantar kepada pejabat peguam negara tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun enggan memberikan tarikh tepat bila ia dijangka selesai mahupun mengesahkan sama ada trio Datuk T merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam penayangan video seks fitnah tersebut sekaligus didakwa di mahkamah selepas ini.

Dalam pada itu, diminta mengulas lebih lanjut berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap penayangan video seks fitnah itu di internet, Khalid berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi kerana maklumat berkaitan kes terbabit tidak mudah diperolehi. TVS


KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Negara Kristian: 'Variasi lain' dilapor pada polis

Posted: 13 May 2011 03:00 PM PDT

Pihak polis menerima 'variasi lain' berhubung dakwaan terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi dilaporkan kepadanya.

NONEBagaimanapun Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar enggan mendedahkan butiran lanjut dan hanya memberitahu wartawan bahawa ia "berlainan dari yang diterima sebelum ini".

"Butirnya tak perlulah saya jelaskan. Saya difahamkan, sudah ada pun wartawan yang menemuduganya (pengadu) pagi ini," katanya.

Laporan itu dibuat di Pulau Pinang pada jam 8.50 pagi tadi.

Sehubungan itu, tambahnya, lebih ramai lagi saksi akan dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan kes yang diberi keutamaan ketika ini.

Penulis blog Big Dog (atau Zakhir Mohamed) -- yang dipercayai saksi utama bagi kes itu -- bagaimanapun belum dipanggil memberikan keterangan dan akan dipanggil "pada bila-bila masa" sahaja, kata Khalid.

azlanUtusan Malaysia pada Sabtu lalu, berdasarkan dakwaan dua penulis blog pro-Umno menuduh terdapat usaha menjadikan Kristian sebagai agama rasmi selain memastikan perdana menteri daripada penganut agama itu.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini, Khalid juga menasihatkan supaya kes yang disiasat bawah Akta hasutan 1948 itu tidak dispekulasi dan diperbesar-besarkan.

Ini kerana, menurut Khalid lagi, kes itu masih dalam proses siasatan.

Sementara itu, kandungan sebenar laporan yang dibuat di Pulau Pinang itu masih menjadi teka-teki.

Di Pulau Pinang, ketua polisnya Datuk Ayop Yaakob juga enggan mendedahkan aduan baru itudengan alasan Khalid telah mengulasnya di Kuala Lumpur.MK

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Bola sepak: PDRM minta bantuan Fifa siasat jual permainan

Posted: 11 May 2011 09:00 PM PDT


SHAH ALAM, 11 Mei — Pihak polis mahu meminta bantuan perisikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung dakwaan wujud rangkaian sindiket antarabangsa dalam menentukan keputusan perlawanan bola sepak yang turut melibatkan rakyat Malaysia.

Pengarah Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata ia penting dilakukan bagi membolehkan polis menganalisa dan melancarkan operasi tertentu berhubung dakwaan tersebut.

"Kita mahu pasukan siasatan Fifa memberi maklumat risikan berhubung dakwaan rangkaian menetukan perlawanan beroperasi di Malaysia," katanya dipetik Bernama Online.

Dilaporkan ketua keselamatan Fifa, Chris Eaton akan mengetuai pasukan siasatan ke Malaysia sebagai sebahagian siasatan berhubung dakwaan lebih 300 perlawanan di tiga buah benua dipengaruhi sindiket mengatur perlawanan.

Mohd Bakri berkata pihak polis akan menangani isu berkenaan kerana "kita tidak mahu memberi gambaran bahawa Malaysia merestui aktiviti demikian."

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar telah berkata pasukan khas sedia bekerjasama dengan pasukan siasatan Fifa yang menyiasat dakwaan wujud rangkaian mengatur perlawanan yang turut melibatkan rakyat Malaysia. TMI

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Utuseks Pemangkin Fikiran UMporNO

Posted: 11 May 2011 06:00 PM PDT

Kebelakangan ini, Utusan Malaysia bagai di"rasuk" dengan persembahan headline yang agak liar dan bersifat provokatif tanpa mengambil kira kesan langsung yang bakal dihadapi oleh negara dan rakyat seluruhnya. Jelas kelihatan seperti Utusan Malaysia tidak sabar - sabar mahu menunjukkan wajah sebenarnya sebagai alat misionery pihak tertentu apabila Utusan Malaysia bukan sahaja sanggup mengenepikan etika kewartawanan yang bernilai tinggi tetapi tergamak mempalit wajahnya dengan laporan bertaraf jalanan dan berita bertaraf lucah.



2. Saya tidak menafikan seketika dulu, Utusan Malaysia pernah menjadi akhbar terbilang di rantau ini , namun malang sejak mutaakhir ini prestasinya menjunam teruk dengan taraf dan standard berita yang kian runtuh etika dan susut nilainya pada mata masyarakat berinformasi. Tagline Utusan Malaysia "Pemangkin Fikiran Rakyat" kini menjadi "Pencelaru Fikiran Rakyat".


3. Nilai dan etika kewartawanan seperti benar, tepat, berinformasi, bertanggungjawab dan sebagainya tidak lagi menjadi prinsip utama dalam melaporkan berita kepada masyarakat umum. Sebagai contoh laporan berita bertulis dan bergambar mengenai video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang disiarkan dengan cara yang sangat tidak bermoral bagi sebuah akhbar yang kononnya menjadi pemangkin fikiran rakyat sedang pihak yang ditohmah belum didakwa, disiasat dan dibuktikan bersalah. Malah mana - mana pihak yang didapati bersalah sekalipun, tidaklah wajar kisahnya dipaparkan kepada umum, inikan pula paparan yang bermaksud untuk mengaibkan, menjatuhkan maruah serta menghina.


4. Negara kita ada undang - undang dan peraturan sementara negara juga memiliki pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Kenapa Utusan Malaysia pula yang mengambil alih tugas sebagai pendakwaraya, mahkamah dan hakim. Negara akan runtuh peradabannya jika perkara ini dibiarkan berlarutan dan berleluasa.


5. Terkini Utusan Malaysia menyiarkan berita mengenai kononnya terdapat usaha untuk mengkristiankan negara dengan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi. Lebih malang, berita itu hanya dipetik dari sebuah blog yang tidak bertanggungjawab. Tanpa mempedulikan implikasi dari laporan yang dibuat, Utusan Malaysia akhirnya menjatuhkan tarafnya dan duduk sama ranking dengan blog nyamuk.


6. Tika ini, blog tersebut telah memadam postingnya berkait isu ini dan Utusan Malaysia menerima tamparan hebat dari semua pihak termasuk dari MCA yang menjadi sekutu dan kompenan Barisan Nasional apabila dianggap tidak berhati - hati membuat laporan malah dilihat gelojoh tidak menentu hala dalam membuat serangan kepada ppihak pembangkang. Hilang rasional dan kematangan sebagai sebuah akhbar yang berusia dalam negara ini.


7. Sebahagian rakyat mula menunjukkan reaksi mual dan tidak selesa mereka terhadap sikap dan pendekatan Utusan Malaysia pada hari ini. Layaknya Utusan Malaysia menjadi "Pemangkin Fikiran UMNO" bukan "Pemangkin Fikiran Rakyat". Justeru ia kini menjadi 100% lidah rasmi UMNO bukan lagi menjadi media umum yang perlu diakses oleh seluruh rakyat. Sebaliknya Utusan Malaysia dicadangkan agar ditulis besar pada penjuru kirinya : "Untuk Ahli UMNO sahaja".


8. Saya percaya, andai trend ini kekal dan berlarutan, Utusan Malaysia akan kehilangan pembeli dan pembaca popularnya dan Sinar Harian akan menjadi tumpuan masyarakat teramai dan hitnya akan jauh mengatasi Utusan Malaysia.Tinggallah Utusan Malaysia dengan keangkuhannya dan ditindih perasan serta syok sendiri yang ketara.


9. Sementara tidaklah mengapa jika Utusan Malaysia mahu mengkritik pembangkang biarpun secara demokratiknya keadaan masih berat sebelah, tetapi biarlah benar, tepat dan berfakta. Jika tersilap, segera memohon maaf dan siarkannya secara terbuka pula.


10. Saya tidak perlu menjadi konsultant percuma buat Utusan Malaysia justeru usia mereka di arena kewartawanan ini sayugianya mereka mampu menilai dan dewasa dalam bertindak. Saya sendiri mula diserang rasa rugi membeli Utusan Malaysia yang mula merosot teruk nilai informasinya. Utusan Malaysia kini hanya sarat dengan laporan bersifat provokasi, lucah, berita jenayah dan hiburan. Sementara laporan bernilai informasi yang membangun minda dan membina spiritual terlalu minima.


atau, ada insan yang tidak bersetuju dengan apa yang saya ungkapkan sejujurnya ini ?


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia


briged-akhdor

KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

K'jaan makin tertekan untuk naikkan harga RON95

Posted: 11 May 2011 03:00 PM PDT

Peningkatan harga gula yang berkuatkuasa semalam, kini menimbulkan spekulasi sama ada harga petrol RON95 akan menyusul selepas ini - ataupun kenaikkannya akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum.

azlanMengikut rancangan penyelarasan subsidi yang dicadangkan oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), harga petrol RON95 sepatutnya telah dinaikkan oleh kerajaan kepada RM2.05 seliter sekarang. Mengikut perancangan, ini seharusnya dilakukan dengan dua pelarasan - iaitu 15 sen sekitar akhir tahun lalu dan 10 sen lagi pada separuh masa pertama tahun ini.

Namun harga sekarang tetap kekal pada RM1.90 seliter. Harga RON95 dinaikkan dua kali tahun lalu - iaitu lima sen setiap kali pada 16 Julai dan 4 Disember.

Tahun ini sahaja, harga petrol RON97 dinaikkan empat kali dan kini pada paras RM2.90 seliter, iaitu paras tertingginya.

Menghadapi pilihan raya

Menurut akhbar China Press, harga petrol RON95 sekarang adalah 80 sen lebih murah berbanding harga pasaran - bermaksud harga sepatutnya adalah RM2.70 seliter jika diselaraskan mengikut harga pasaran.

petrol price hike before increase panic consumers 040608 01Bagi mengekalkan kadar harga sekarang, pembayar cukai terpaksa menanggung kos subsidi petrol sebanyak RM14 bilion. Ini merupakan 40 peratus lebih tinggi daripada bajet RM10 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan.

Walaupun jumlah yang ditanggung itu besar, ketua penyelidik Jupiter Securities Pong Teng Siew berkata beliau menjangkakan kerajaan akan menangguhkan sebarang kenaikkan harga petrol RON95 sehingga pilihan raya umum selesai kerana petrol mempunyai kesan yang lebih besar berbanding gula.

azlan"Bagi sekarang, kerajaan cuba mewujudkan persekitaran yang sesuai menjelang pilihan raya.”

Spekulasi tersebar luas bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan membubarkan parlimen akhir tahun ini ataupun pada tahun depan kerana ekonomi dikatakan semakin merudum sejak kebelakangan ini.

Jika rasionalisasi harga petrol ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum, rakyat berkemungkinan akan menghadapi kenaikan agak ketara sehingga boleh menyebabkan inflasi petrol.

Setakat ini, hanya sasaran rasionalisasi subsidi untuk gula yang disaran dinaikkan 20 sen sekilo bagi setiap setengah tahun berjaya dipatuhi.

azlanBarangan kawalan lain seperti tepung, minyak masak dan gas asli juga termasuk dalam rancangan pengurangan subsidi tetapi kerajaan belum mengumumkan sebarang kenaikan barangan itu bagi tahun ini.

Najib pada 1 April lalu mengumumkan kerajaan akan memperlahankan pelaksanaan skim rasionalisasi subsidi dengan alasan bagi membantu rakyat mengurangkan bebanan mereka.

Kabinet bincang kemungkinan kenaikkan

Sementara itu, Nanyang Siang Pau melaporkan harga petrol RON95 mungkin dinaikkan 10 sen dalam masa terdekat ini bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung kerajaan.

petrol price hike before increase panic consumers 040608 02Seorang menteri yang tidak mahu dikenali memberitahu akhbar Cina itu bahawa jemaah menteri telah membincangkan subsidi petrol hari ini tetapi tidak ada keputusan muktmad dibuat.

Jemaah menteri bagaimanapun mengarahkan Kementerian Kewangan untuk menyediakan laporan terperinci mengenai perkara berkenaan.

Seorang lagi menteri memberitahu jemaah menteri juga bersetuju tiada keperluan bagi kerajaan untuk menaikkan harga minyak bagi mengurangkan beban kewangannya.

Katanya, buat masa ini kerajaan membayar RM11 bilion setiap tahun untuk subsidi petrol RON95 dan kos itu mungkin naik menjadi RM18 bilion jika harga tidak diselaraskan tidak lama lagi.

MK



KONGSI CERITA INI MELALUI FACEBOOK

Tiada ulasan: