Jumaat, 22 April 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PAS PERLU BERSEDIA UNTUK MENGGANTIKAN TEMPAT ANWAR

Posted: 22 Apr 2011 07:00 PM PDT

Oleh: WFAUZDIN NS

MUKTAMAR PAS dijadualkan pada bulan Jun nanti dan saya merasakan tiada kehangatan di dalam pemilihan pimpinan kali ini sebagaimana Muktamar yang lalu. Mudah dijangka, Tuan Guru Hj Hadi Awang akan terus dikekalkan sebagai Presiden PAS kerana terbukti bahawa beliau sahaja setakat ini yang berwibawa memimpin PAS.

Mungkin tumpuan hangat hanya kepada jawatan Timbalan Presiden PAS yang besar kemungkinan Mat Sabu akan mencabar Us Nasha. Saya tidak bimbang dengan pemilihan pimpinan PAS kerana PAS telah membuktikan bahawa sehangat mana pun pertandingan di dalam jawatan tinggi parti tersebut, kesatuan di dalam PAS tetap utuh dan tiada seorang pun yang tewas terpinggir jauh sekali dari melompat parti. Inilah yang amat saya kagumi di dalam PAS yang tiada diperolehi dari mana-mana parti sekalipun di negara ini. Itulah hikmahnya berjuang kerana Allah bukan kerana jawatan dan kedudukan.

Walaupun Muktamar PAS kali ini tidak hangat, tetapi Muktamar kali ini adalah penentu kepada yang lebih besar iaitu menyediakan pemimpin yang benar-benar bersedia untuk berdepan dengan Umno terutamanya. Kita telah dibayangkan bahawa DS Anwar mungkin akan dianiayai lagi dengan begitu hebat tekanan yang dihadapinya sekarang. Kes fitnah liwat II masih belum selesai, timbul pula kes video seks yang kini hangat diperkatakan. Masakan di antara dua kes tersebut, mereka gagal kenakan DS Anwar walaupun satu kes?

Justeru itu, PAS harus bersedia mulai sekarang untuk menerajui PR dan meneruskan perjuangan yang dibawa oleh DS Anwar sekiranya beliau terperosok ke penjara sekali lagi. Kita berdoa agar beliau selamat dari dizalimi, namun kita harus juga mengenali puak-puak mereka yang tidak akan berhenti selagi DS Anwar masih memimpin kita. Sehubungan itu, Muktamar PAS kali ini harus menyediakan pimpinan yang benar-benar mampu memimpin PR sehingga ke Putrajaya.
Memimpin PAS mungkin tiada masalah, tetapi memimpin PR bukan satu tugas yang ringan. Memimpin PR yang ada di bawahnya PKR dan DAP, memerlukan pemimpin yang bijak, diplomasi dan tegas. Saya yakin Tuan Guru Hj Hadi Awang mampu memikul amanah tersebut kerana beliau pastinya akan dibantu oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Aziz yang begitu disukai oleh kaum-kaum bukan Melayu di dalam PR. Tetapi, siapakah pimpinan lain yang boleh bekerjasama dengan baik dan efisyen berganding dengan Tuan Guru Hj Hadi?
Pimpinan inilah yang diharapkan agar ahli-ahli PAS fikirkan supaya nanti PAS mampu menjadi ketua di dalam PR lebih baik dan berkesan setelah ketiadaan DS Anwar. Sudah tentu pemimpin ini mempunyai hubungan yang baik dan mesra dengan pimpinan PKR dan DAP. Maka, jawatan Timbalan Presiden PAS serta Naib-Naib Presiden PAS haruslah terdiri dari pemimpin seperti ini. Kali ini Muktamar PAS diharapkan sebagai Muktamar terakhir PAS sebagai Pembangkang di negara ini sebelum kita ke Putrajaya, InsyaAllah./wfauzdin.blogspot.com

Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan

Posted: 22 Apr 2011 11:55 AM PDT

By Shahmuzir

Alhamdulillah, tengahari tadi saya sempat sampai ke Masjid Wilayah Persekutuan jam 12.30 tengahari. Masuk di masjid, rupa-rupanya sudah penuh 5 saf di hadapan. Tentu mereka semua menantikan kehadiran Sheikh as-Sudais yang dijadualkan akan memberi khutbah dan mengimami solat fardhu Jumaat di masjid tersebut. Saya terus ke saf paling kanan, meletakkan beg di tepi dinding, solat tahiyyatul masjid dan membaca al-Quran.

Disebabkan oleh masa masih awal, maka pihak masjid telah menjemput seorang qari untuk membaca al-Quran. Kuat sungguh bacaannya sehingga agak menggangu saya untuk membaca al-Quran. Tentu orang lain yang sedang melakukan solat sunnat dan lain-lain ibadah sunnat pun terganggu juga agaknya, aduhai…

Sheikh as-Sudais sampai sekitar jam 1.15 tengahari. Saat itu ramai kelihatan berdiri dan yang datang lewat pun sibuk hendak ke depan. Sedangkan adab seorang yang lewat masuk ke masjid hendaklah dia duduk di belakang dengan tenang tanpa berpusu-pusu melangkah peha dan bahu orang lain untuk ke depan. Kerana ini akan menyakitkan hati saudara muslimnya yang lain. Malah ada yang melalui di hadapan orang yang sedang solat, astaghfirullah. Terasa sedih melihat fenomena ini. Ternyata, sebahagian ahli masyarakat masih samar dengan adab di dalam masjid.

Inti Khutbah Sheikh as-Sudais

Sheikh as-Sudais telah menyampaikan khutbah beliau di dalam bahasa Arab dan apabila beliau memulakan khutbahnya, tiba-tiba saya terkenang nostalgia ketika berpeluang mengerjakan umrah dan mendengar khutbah di BaituLLAH al-Haram. Sangat menyentuh perasaan ketika di sana.

Antara mesej utama yang disentuh beliau di dalam khutbah di Masjid Wilayah Persekutuan ialah:
    1. Kepentingan meluruskan aqidah di atas aqidah yang betul Mengambil ISLAM sebagai cara hidup secara keseluruhannya. ALLAH telah menyempurnakan ajaran ISLAM dan DIA telah redha ISLAM sebagai cara hidup untuk diamalkan.

    2. Sheikh di dalam khutbah beliau sangat menitik beratkan soal ukhuwwah Islamiyyah di antara penganutnya. Berkali-kali Sheikh menekankan bahawa kita adalah ummah yang satu.

    3. Ummat ISLAM mesti mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan menjadikan ia sebagai contoh tauladan yang mesti dijadikan rujukan. Tidak ada cara lain lagi hendak berjaya, melainkan ikut (ittiba') sunnah. Sheikh menekankan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda bahawa semua muslim akan masuk syurga, kecuali yang enggan. Yang dimaksudkan enggan ialah mereka yang derhaka kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dengan tidak mengikuti semua suruhan dan tidak menghiraukan larangannya.

    4. Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang berilmu. Betapa ISLAM sangat menitik beratkan ilmu. Justeru, tuntutlah ilmu dan fahamilah ilmu. Bukan setakat menuntut ilmu dan faham, tapi mesti amal. Menjadi tuntutan buat kita yang sudah menuntut ilmu, yang ada ilmu untuk mengamalkan ilmu tersebut.

    5. Sheikh as-Sudais mengingatkan tentang kesederhanaan di dalam ISLAM dan betapa pentingnya sifat ini diambil dalam membawa agama ISLAM ke dalam kehidupan. Sheikh juga menyentuh perihal akhlaq muslimin. Amat menyedihkan sekiranya akhlaq tidak dijadikan tumpuan ummat ISLAM. Kerana antara tujuan penting diutuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ialah untuk menyempurnakan akhlaq. Sayang-menyayangi sesama muslim juga disentuh oleh Sheikh as-Sudais di dalam khutbahnya.

    6. Setiap muslim mestilah mempunyai adab dalam perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ummat ISLAM mestilah ditangani dengan ilmu dan diserahkan kepada ahli ilmu. Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara furu`, feqah, ijtihadiah dan lain-lain seumpamanya menyebabkan ummat ISLAM berpecah.

    7. Sheikh mengingatkan juga akan ancaman kepada ummat ISLAM tentang syahwat (perkara-perkara maksiat dan berkaitan nafsu) dan syubuhat (perkara-perkara yang samar-samar dalam kehidupan moden). Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang memberikan kebaikan.

    Itulah antara beberapa perkara penting yang disentuh oleh beliau di dalam khutbah Jumaat. SubhanALLAH, memang bertenaga penyampaian beliau dan sangat bernilai.

    Selepas habis khutbah, beliau mengimamkan solat fardhu Jumaat. MasyaALLAH, sedap sungguh bacaan beliau sebagaimana yang biasa didengari melalui perkakas media yang ada. Tapi, sudah tentulah tidak boleh menandingi apabila beliau membacanya saat bersolat di Masjidil-Haram. Suasananya lain, suasananya istimewa, suasananya syahdu terasa.

    Yang menarik hati saya juga ialah walaupun as-Sheikh memegang pendapat bahawa membaca basmalah adalah secara sirr (perlahan), bukannya jahar (kuat) seperti pendapat kebanyakan orang Malaysia, namun beliau dengan sifat keilmuannya meraikan ahli jemaah yang berada di belakang beliau dengan sengaja menperjelaskan bacaan basmalah. Beliau tetap membacanya secara sirr, tetapi bacaan basmalah beliau dengan jelas didengari oleh ahli jemaah melalui mikrofon.

    Beliau juga berwirid sebentar sehingga boleh didengari suaranya melalui mikrofon, tetapi dengan suara yang sangat perlahan bunyinya. Inilah sifat yang kebanyakannya tidak ada pada sebahagian muslim yang berkeras dengan pendapat dan pandangan masing-masing tanpa meraikan sedikit pun orang sekeliling.

    Moga-moga ada pengajaran buat kita semua dari sifat keilmuan Sheikh ini, insyaALLAH./Seterusnya baca di blog muzir.wordpress

    1,000 hadir dengar Azmin dedah muslihat ’1Melayu, 1Bumiputera’

    Posted: 22 Apr 2011 10:21 AM PDT

    Ucapan Azmin bukan sahaja membakar semangat hadirin, bahkan mendedahkan tembelang muslihat politik Umno BN


    PULAU PINANG: Lebih 1,000 orang membanjiri ceramah perdana 'Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia' bertempat di Dewan Sungai Tiram, Batu Maung malam ini.

    Mereka, kebanyakannnya keturunan Melayu mengikuti pelbagai isu semasa yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Antara isu yang disentuh ialah pembaziran emel 1Malaysia yang menelan kos RM50 juta, muslihat slogan 1Melayu, 1Bumi' yang dibangkitkan Utusan Malaysia – sebuah akhbar kawalan Umno Barisan Nasional (BN) dan banyak lagi.

    Dalam ucapannya, Azmin menyelar sikap sikap hipokrit Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Melayu, 1 Bumiputera yang dicanangkan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan, konon untuk menyatukan semua Melayu sedangkan akhbar itu sebenarnya memecah belah perpaduan Melayu.


    Ahli Parlimen Gombak itu kesal kerana Najib secara tiba-tiba menafikan hubung kait antara akhbar Utusan Malaysia dan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN). "Inilah hipokrit Barisan Nasional pimpinan Najib. Najib kata: 1Melayu, 1Bumiputera pandangan Editor Utusan Malaysia.

    "Wahai Najib dan Rosmah, kita tahu Utusan Malaysia disokong Umno. Kita tahu Utusan Malaysia surat khabar milik Umno. Kita juga tahu Utusan Malaysia hidup kerana Umno yang memainkan politik perkauman," kata Azmin. Selain Azmin dan Guan Eng turut berucap ialah Exco Pulau Pinang, Abdul Malek Abul Kassim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

    Azmin menggantikan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat hadir pada saat-saat akhir berikutan masalah kesihatan yang tidak serius. Terdahulu, Azmin hadir ke majlis makan malam KEADILAN Cabang Bukit Gelugor di Tapak Pesta Sungai Nibong pada jam 8 malam sempena ulang tahun ketiga penubuhan cabang berkenaan. Pada majlis itu, seramai 30 orang menyertai KEADILAN./KeadilanDaily

    PKR BANTAH LAPORAN BERITA HARIAN

    Posted: 22 Apr 2011 01:24 AM PDT

    Kenyataan Media
    22 April 2011

    Kami membantah dan menolak sekeras-kerasnya laporan muka hadapan Berita Harian semalam bertarikh 21hb April 2011.

    Kami kesal kerana Berita Harian dengan sengaja mensensasikan isu video seks itu walaupun penyiasatan polis masih diteruskan. Kami turut kesal apabila Berita Harian diperalat pihak tertentu demi merekayasa "perbicaraan melalui media" (trial-by-media), yang cukup jelas bernada politik dalam percubaan terus-menerus untuk mengaib dan menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafi sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video ini. Kami juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa individu di dalam video itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Justeru kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL, Datuk Mat Zain Ibrahim, dalam beberapa surat terbuka beliau:

    1) mengenai empat laporan polis yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim antara 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang oleh sebilangan individu tersohor, termasuk Tun Dr Mahathir dan Dato Abdul Gani Patail. Mengapakah tiada tindakan lanjut dari pihak polis mengenai laporan-laporan polis ini?

    2) mengenai persamaan yang cukup rapat antara "video seks" ini dengan "video seks" yang disebarkan beberapa hari sebelum PRU tahun 1999.

    Kami mengajak Rakyat Malaysia bersama-sama menolak "politik lucah", dan marilah bersatu menggesa pemulihan semula institusi-institusi terpenting negara, terutamanya PDRM, SPRM, SPR, dan badan kehakiman.

    YB Saifuddin Nasution
    Setiausaha Agung
    Parti Keadilan Rakyat

    MENGAPA PERKASA TERLALU BUSUK HATINYA?

    Posted: 22 Apr 2011 12:00 AM PDT

    Oleh: WFAUZDIN NS

    APABILA DAP memenangi banyak kerusi di dalam PRN Sarawak baru-baru ini, sekaligus meningkatkan imej dan prestasi PR di Sarawak dan sekaligus memalukan Bn di Sarawak, ini semua membuatkan beberapa pihak yang pro Bn terutamanya Umno mulai rasa bimbang dan `sakit hati'.

    PERKASA yang kununnya mengaku sebuah pertubuhan yang bersifat `non - partisme', namun akhirnya menunjukkan belang bahawa pertubuhan yang diterajui oleh Ibrahim Ali MP Bebas dari Pasir Mas itu sebenarnya penyokong tegar Umno/Bn. PERKASA dikenali ramai sebagai pertubuhan yang taksub kepada Melayu secara membabi buta sehinggakan seolah-seolah menganggap bumi Malaysia ini hanya milik orang-orang Melayu sahaja.

    Membaca kenyataan PERKASA Cawangan Sarawak di dalam mengulas kemenangan besar DAP di Sarawak, Ketuanya Abang Abdul Nasser Abang Hadari berkata, " Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi DAP harus dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan oleh kaum Cina jika kaum pribumi Sarawak menidakkan semua tuntutan kaum Cina." (Malaysiakini). Inilah kenyataan busuk hati dan pendendam oleh PERKASA sedangkan selama ini apa yang PERKASA perjuangkan di Sarawak sehingga ramai kaum Melayu dan Bumiputera di Sarawak hidup susah dan ketinggalan dalam banyak segi?

    Berbeza dengan kaum Cina, mereka mempunyai pandangan jauh di dalam politik dan tidak hanya memikirkan soal perut dan sogokan yang sementara semata-mata. Anggapan PERKASA termasuk Tun Mahathir bahawa DAP membawa perkauman di Sarawak adalah hujah yang tidak mempunyai fakta yang tepat. Adakah PERKASA dan Tun Mahathir tidak melihat perjuangan DAP di Semenanjung di mana parti ini sanggup bekerjasama dengan PAS dan PKR bagi mewujudkan sebuah negara yang adil dan bersih dari amalan rasuah? Contoh terbaik kepimpinan DAP boleh dilihat di P.Pinang sekarang ini yang mana tiada satu kaum pun yang terpinggir.

    Di Sarawak, semangat ini dibawa oleh DAP dan sudah tentu rakyat mempercayai DAP dari SUPP setelah melihat ketelusan dan keadilan pimpinan DAP di P.Pinang. Jika benar DAP membawa isu perkauman, mengapa sepanjang kempen DAP di Sarawak tiada satu pun laporan dibuat oleh mana-mana pihak mendakwa DAP bermain dengan sentimen perkauman? Mengapa setelah DAP berjaya dengan cemerlang, isu ini timbul?

    Media pencacai seperti Utusan Meloya pun menyambut dakwaan bodoh dari PERKASA dan Tun Mahathir ini. Mungkin Tun Mahathir merasa malu setelah di`import' berkempen di Sarawak, namun Bn terus hilang 8 kerusi termasuk kerusi bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak. Suatu pukulan hebat dari DAP buat Tun Mahathir dan juak-juaknya. Mahathir terasa suatu ketika kaum Cina amat menyanjunginya, tetapi kini cakap Tun Mahathir bukan sahaja ditolak oleh kaum Cina bahkan kaum Melayu sendiri pun lebih suka melihat Tun berehat sahaja di rumah.

    Saya yakin, isu perkauman yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir dan digerakkan oleh PERKASA serta Utusan Meloya ini akan berterusan sehingga PRU Ke 13 nanti. Bn kini amat tertekan kerana Sarawak kini dilihat bukan lagi talian hayat buat Bn bagi mengekalkan kuasa di Putrajaya./wfauzdin.blogspot.com

    Tiada ulasan: