Sabtu, 23 April 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Fokus jatuhkan BN, bukan pemimpin PAS- Husam

Posted: 23 Apr 2011 07:42 PM PDT





KUALA LUMPUR, 23 April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Husam Musa menegaskan bahawa PAS perlu fokus dalam usaha menumbangkan BN bukannya menjatuhkan kepimpinan PAS sedia ada.

Katanya, kepimpinan parti yang diterajui Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang masih diperlukan dan Abdul Hadi sendiri adalah paling layak menerajui PAS buat masa ini.

"Isu presiden dicabar atau tidak, kita tidak perlu memberi respons secara berlebihan, nanti orang akan kata presiden kita ada masalah. Tapi sebenarnya tidak ada... yang nak jatuhkan Hadi adalah Barisan Nasional bukan PAS," katanya.

Beliau yang juga Bekas Naib Presiden PAS berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS kawasan Batu di sini hari ini.

Tambahnya, apa yang penting kepada PAS sekarang adalah proses "penyegaran" semula dengan dibawa elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti itu menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Justeru kata beliau, usaha yang perlu diberi perhatian ialah sasaran menjatuhkan Barisan Nasional (BN), bukannya Abdul Hadi selaku salah seorang pemimpin Pakatan Rakyat.

Abdul Hadi juga disifatkannya sebagai "terbukti" layak untuk terus menyandang jawatan Presiden kerana sudah menghadapi banyak cabaran.

"Cuma apa yang diperlukan PAS adalah ia harus disegarkan semula, bukan bermaksud ganti orang sedia ada tapi disegarkan dengan melakukan transformasi, elemen-elemen baru dalam parti... mungkin boleh dapatkan penasihat dari golongan profesional untuk bantu memperkuatkan PAS," kata beliau.

Sebelum ini PAS kawasan Bukit Bintang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan Presiden PAS pada Muktamar parti itu yang akan diadakan 3 hingga 5 Mei ini.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya menyatakan kepada Abdul Hadi untuk terus menerajui kepimpinan PAS.

Video Lucah : Polis Minta Lebih Masa Selesai Siasatan

Posted: 23 Apr 2011 07:39 PM PDT

DARI APARTMENT KE BUNGALOW...KOT NANTI SAMPAI UMAH PAPAN......ALIH-ALIH KAT LUAR NEGARA LA PULAK...TOP-TOP KAT MALAYSIA....ENTAH LE........





SHAH ALAM 24 APRIL : Polis masih menjalankan siasatan berhubung rakaman video lucah yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang kerana ia memerlukan penelitian bagi melengkapkan siasatan, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar semalam.

"Berilah masa kepada polis untuk meneruskan siasatan serta tidak perlulah polis mendedahkan apa yang mereka lakukan dalam siasatan itu dari sehari ke sehari," katanya di sini.

"Kita jalankan kerja kita dan apa juga keputusannya kemudian akan diumumkan, kalau bukan kita pihak Peguam Negara akan umumkan," ujarnya.

Rabu lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menyerahkan semula laporan kertas siasatan kes video seks yang pelakunya didakwa mirip seorang pemimpin Pakatan Rakyat kepada Pejabat Peguam Negara dalam waktu terdekat.

Ismail berkata, kertas siasatan kes berkenaan yang dihantar pada minggu lalu dipulangkan semula oleh Pejabat Peguam Negara untuk semakan semula.

"Ada sedikit semakan yang perlu dibuat dan itu adalah perkara biasa.

"... dan kita memang mahu siasatan berhubung kes video seks itu disegerakan," kata beliau.

Siasatan itu dijalankan selepas rakaman video seks dipertontonkan kepada wakil media terpilih 21 Mac lalu oleh "Datuk T".

Khalid : 'Terima Kasih' Rakyat Selangor

Posted: 23 Apr 2011 07:38 PM PDT


KLANG 23 APRIL : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kejayaan dan pencapaian yang dicapai sehingga kini adalah hasil kerjasama dua pihak antara pemimpin dan anggota masyarat.

"Saya sangat berbesar hati kerana saya rasa tuan-tuan dan puan-puan telah nampak bagaimana pasukan yang telah kita lahirkan iaitu pasukan wakil-wakil rakyat dan wakil negeri yang kesemua dalam ceramah-ceramah yang diberikan sangat-sangat berjiwa rakyat," kata Khalid.

Tambahnya lagi, budaya kerja kerajaan negeri yang sentiasa komited dalam urus tadbir terutamanya dalam memastikan segala hasil negeri dapat diagihkan untuk kebajikan rakyat adalah kunci kejayaan yang dicapai hari ini.

"Mereka mula merasakan rancangan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat ini skim merakyatkan ekonomi adalah benar-benar untuk rakyat," tambahnya.

Tambah Khalid, kejayaan yang diraih berikutan barisan kepemimpinan yang dipilih rakyat itu menjalankan tanggungjawab dengan betul dan amanah.

"Terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah memilih mereka," katanya.

Khalid berkata demikian ketika berucap dalam ceramah perdana bersama rakyat di daerah Klang semalam.

Malah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan Pakatan Rakyat sejak mula mentadbir kerajaan negeri tiga tahun lalu ternyata berhasil apabila hampir keseluruhan rakyat di negeri ini mendapat agihan dana dan bantuan daripada program berkenaan.

"Kita tidak membezakan mereka yang perlu ditolong adalah tanggungjawab kita untuk memberikan pertolongan.

Sebagai rekod, lebih 27 ribu telah menerima bantuan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dengan belanja melebihi RM2 juta.

Selain itu, komitmen kerjaan negeri juga dalam menjada kebajikan rakyatnya juga dapat dilihat apabila 60 peratu daripada 236 ribu warga emas telah berjaya didaftarkan menerusi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) di mana lebih 16,000 orang telah mendapat bantuan.

Turut menjadi perhatian masalah projek perumahan terbengkalai di Selangor turut dirungkai dan setakat ini kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 23 projek terbengkalai melibatkan lebih 9,000 unit rumah dan 7 projek lagi melibatkan hampir 4,000 unit rumah sedang diselesaikan.

Terbaru, pemerikasaan mammogram percuma dilancarkan untuk kesihatan wanita adan sejak pengenalannya, seramai 3,000 wanita telah menggunakannya dan 41 orang dikesan berkemungkinan menghidap kanser payudara.

Peguam Pahang Desak Kerajaan Lanjut Tempoh Kajian Loji Tanah Jarang

Posted: 23 Apr 2011 07:37 PM PDT


KUALA LUMPUR 24 APRIL : Badan mewakili peguam-peguam Pahang menggesa kerajaan melanjutkan tempoh sebulan untuk kajian ke atas loji pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation sehingga setahun bagi mengadakan pemeriksaan terperinci berhubung keselamatan dan kesihatan awam akibat kesan radioaktif.

Pengerusi Peguam Pahang, Hon Kai Ping mengakui gesaan badan itu kemungkinan menjejaskan imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan tetapi menekankan, Putrajaya tidak seharusnya tergesa-gesa dalam membuat keputusan mengenai isu keselamatan dan kesihatan rakyat.

"Peguam Pahang berpandangan penelitian yang berhati-hati dan mendalam berhubung operasi nadir bumi sangat diperlukan dan keputusan tidak seharusnya diambil secara tergesa-gesa jika kerajaan serius berhubung kesihatan dan kebajikan rakyat Malaysia," kata Hon dalam satu kenyataan medianya.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, satu panel bebas akan ditubuhkan secepat yang mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.

Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Lima hingga tujuh pakar antarabangsa (IP) yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai, katanya.

Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membuat keputusan mengenai projek itu, katanya dan menambah, semakan semula akan dilakukan bagi memastikan pembinaan kemudahan itu mematuhi sepenuhnya standard keselamatan antarabangsa.

Mustapa berkata kesihatan dan keselamatan oramg ramai dan alam sekitar terus diutamakan oleh kerajaan.

Hon berkata, Peguam Pahang tiada terma rujukan mengenai panel yang dimaksudkan tetapi laporan media menunjukkan ia akan memfokus ke atas loji pemprosesan kendalian Lynas Corporation di Gebeng.

"Jika itulah kesnya, maka menteri sudah pasti tidak diberi taklimat mengenai program jelajah yang dianjurkan oleh SEDC Negeri di mana palar-pakar tempatan mengatakan kadar radioaktif torium pada bijih yang akan diimport adalah 0.16 peratus berbanding enam hingga lapan peratus yang ditunjukkan oleh beberapa laporan bebas kerajaan asing dan ini menjadi salah satu perkara utama penduduk Kuantan timbulkan ketika dialog awam (baru-baru ini).

"Jika terma rujukan IP hanya dihadkan kepada soal penelitian loji pemprosesan, adalah jelas aspek utama yang menjadi kebimbangan penduduk Kuantan tidak akan ditangani dan penemuan IP tidak akan mencapai tujuan," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya, Peguam Pahang mahukan terma rujuan IP diperluaskan merangkumi aspek kadar torium bijih yang akan diimport, impak ke atas persekitaran dan industri pelancongan, jumlah kajian asas yang dikendalikan dan rumusan masing-masing, syarat-syarat ditetapkan oleh AELB, bukti proses seiringan bagi memastikan simpanan di Gebeng hanya bersifat sementara.

Badan itu juga meminta kesemua dokumen, kerajaan dan yang dikemukakan oleh Lynas ditunjukkan kepada orang awam dan pakar-pakar bebas yang dilantik oleh wakil penduduk Kuantan dan kumpulan lain panel berkenaan.

Oleh itu kata beliau, bagi membolehkan aspek-aspek berkenaan dikaji tempoh yang diperlukan ialah satu tahun.

Tambah beliau, cadangan Peguam Pahang itu kemungkinan akan menjejaskan pelancaran operasi loji Lynas dan kemungkinan menjejaskan imej negara tetapi apa yang penting ialah keselamatan rakyat adalah "sangat penting."

Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.

Najib berkata satu panel bebas yang akan dianggotai pakar akan membuat kajian berhubung soal keselamatan dan kesan kilang berkenaan.

"Kita telah putuskan, pertamanya kita tak akan kompromi dari segi keselamatan dan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan kesihatan rakyat kita letak sebagai keutamaan yang tertinggi, bukan faktor kita hendakkan projek itu, tidak...," katanya.

Polis hapus sistem perangkap kelajuan, kata timbalan IGP

Posted: 23 Apr 2011 03:08 AM PDT

KUALA LUMPUR, 23 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan lagi sistem perangkap kelajuan, yang menjadi sebahagian daripada punca rungutan mengenai notis saman ekor selama ini.

Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak telus dan akan memberi amaran kepada kepada para pemandu mengenai operasi mengesan kelajuan memandu terlebih dahulu.

Sistem perangkap kelajuan menggunakan kamera telah digunakan hampir dua dekad oleh PDRM.

"Kami tidak harus bersembunyi di sebalik belukar. Kami perlu tampil secara terbuka dan menguatkuasakan undang-undang (secara telus)," kata beliau kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan notis saman yang dihantar ke alamat pemilik dengan ramai mendakwa bukan mereka yang mengendalikan kenderaan ketika dikesan.

Ada yang mewujudkan jawatankuasa atau pertubuhan bukan kerajaan membantah sistem itu, antara Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang mahu kerajaan menghapuskan sistem notis saman ekor.

MENYUSUL LAGI

OKU Tahanan ISA Tekad Teruskan Perjuangan

Posted: 23 Apr 2011 02:46 AM PDT



KUALA LUMPUR 23 APRIL : Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Kadir Hashim bertekad tidak akan lemah semangat dalam meneruskan perjuangan dalam Parti Keadilan Rakyat(PKR) walaupun bakal berhadapan cabaran yang lebih berisiko tinggi seperti ini.

Kadir yang dibebaskan beberapa hari lalu, menganggap detik-detik dan saat beliau menjadi tahanan ISA itu sebagai asam garam perjuangan dalam memastikan Pakatan Rakyat(PR) mendapat mandat dalam Pilihan Raya umum akan datang.

"Saya tidak akan lemah semangat. Saya tetap akan menyertai aktiviti parti. Ini bagi saya liku-liku perjuangan. Kita kena hadapinya," kata beliau kepada wartawan di rumahnya semalam.

Kadir yang kudung pergelangan tangan kiri didakwa terlibat dalam kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit di bawah Seksyen 73(1) ISA 1 April lalu.

Kadir dikatakan merancang menggunakan senjata api dan bahan letupan untuk menentang kerajaan kerana komennya dalam laman Facebook beliau.

Menurut Kadir, beliau disoal siasat selama beberapa sesi setiap hari dan dibawa sehingga ke empat lokasi berlainan untuk disoal siasat sepanjang 20 hari itu.

Malah beliau memberitahu pihak Polis memasang alat pengesan pembohongan di badannya dalam salah satu cubaan mendapatkan kenyataan beliau.

Bagaimanapun Kadir mengakui beliau tidak didera secara fizikal sebaliknya beliau diganggu secara mental berikutan cara soal siasat yang amat meletihkan.

Beliau yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) menganggap tuduhan dan siasatan polis ke atas beliau sebagai perkara lucu kerana ia hampir tidak logik.

Malah menurut beliau lagi, pihak Polis turut gentar apabila kesnya itu mendapat liputan meluas media selain kesungguhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia seperti Suara Rakyat Malaysia (Suaram) sentiasa memberi sokongan dan mendesak beliau dibebaskan.

"Bagi saya ini satu tangkapan lucu. Sepatutnya dia (polis) kena fikir. Jika dia kaji dan siasat status saya, dia akan tahu saya seorang OKU," kata beliau dengan sinis.

"Mereka cukup takut bila peguam nak jumpa saya. Wartawan dan Suaram pun datang. Mereka cukup takut. Jadi mereka minta kerjasama dan beri ruang untuk dibebaskan," tambahnya lagi.

Kadir turut mendedahkan beliau juga diminta supaya menceritakan 'kebaikan' ISA kepada ahli PKR lain, bagaimanapun beliau enggan berbuat demikian.

Kadir menyatakan tindakan beliau dan mungkin ramai lagi rakyat Malaysia yang meluahkan kemarahan mereka dalam laman sosial itu berpunca dari Kerajaan Barisan Nasional sendiri yang sentiasa menindas hak bersuara rakyat.

"Itu hanya luahan emosi saya terhadap apa yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional dan kerajaan kita. Kita hendak cuba ubah keadaan demokrasi. Masalahnya demokrasi kita tak adil. Kalau betul demokrasi kenapa media kita contohnya disekat? Kenapa dalam Pilihan Raya berita-berita yang disampaikan tak seimbang laporannya? Kenapa kita tak diberi ruang di TV seperti mereka?" ucap beliau.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin yang berkunjung ke rumah Kadir semalam turut menganggap episod ISA Kadir sebagai sesuatu yang tidak logik dan lucu.

Shamsul menyatakan perkara ini menunjukkan betapa ISA tidak dapat diterima Pakatan Rakyat apatah lagi pihak Polis meminta Kadir menceritakan 'kebaikan' ISA kepada orang ramai.

"Sekadar kata-kata dalam facebook, beliau ditahan di bawah ISA, sedangkan itu tidak perlu, boleh lakukan siasatan. Apa perlu beliau ditahan? Dan soalan yang ditanya pun tak berkaitan dengan siasatan. Soalan tentang Isu politik dan minta saudara Kadir beritahu kebaikan ISA. Saya setuju dengan Kadir itu sesuatu yang lucu dari pasukan keselamatan negara kita. Sebab itu kita kata ISA ini langsung tidak membawa kebaikan dan membawa manfaat kepada masyarakat yang bertamadun.

1Melayu 1Bumi Cabaran Buat Najib - Shamsul

Posted: 23 Apr 2011 02:44 AM PDT


SHAH ALAM 23 APRIL : Cadangan Utusan Malaysia supaya diwujudkan gerakan 1Melayu 1Bumi adalah satu cabaran kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata pendirian Najib yang juga presiden UMNO akan teruji berikutan pemimpin itu lantang melaungkan slogan 1Malaysia, yang kononnya menjamin hak semua kaum dinegara ini.

Najib sebelum ini berkata cadangan 1Melayu 1Bumi itu bukan pandangan kerajaan tetapi beliau tidak menyatakan pendiriannya sebagai presiden parti perkauman itu.

Shamsul menegaskan cadangan yang dikemukakan Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Datuk Zaini Hassan amat merbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

"Saya ingin cabar Najib kalau betul dia pegang pada prinsip 1Malaysia Najib mesti berbuat sesuatu dan ambil tindakan kepada mana- mana media yang cuba untuk mengeruhkan hubungan diantara kaum di Malaysia.

"Ini satu perkara yang cukup penting kerana keamanan dan pembangunan di negara ini tentunya tidak boleh berjalan dengan baik kalau berlaku ketegangan di antara kaum. Ini yang cuba dilakukan Umno itu sendiri," ujar Shamsul.

Isu 1Melayu 1Bumi ini timbul sebaik sahaja tamat pilihan raya negeri (PRN) Sarawak yang menyaksikan sokongan padu kaum Cina terhadap parti DAP yang juga parti kompenan Pakatan Rakyat.

BN yang gusar dengan sokongan tidak berbelah bahagi ini secara tergesa- gesa mencadangkan 1Melayu 1Bumi yang mengajak kaum Melayu bersatu hanya kerana mahu menandingi perpaduan kaum lain, bukannya berpaksi kepada kesedaran bersatu- padu demi kesejahteraan negara.

"1Melayu 1Bumi bercanggah dengan prinsip 1Malaysia," katanya.

Shamsul menolak dakwaan UMNO BN bahawa bukan kaum Cina sahaja yang bangkit menolak parti perkauman itu, tetapi turut melibatkan semua kaum.

"Saya ingin betulkan beberapa tanggapan yang menyatakan hanya masyarakat Cina sahaja yang bangkit tetapi sebenarnya kalau kita teliti secara mendalam sokongan kaum- kaum di Sarawak itu ianya bukan sekadar masyarakat Cina, kebangkitan yang begitu ketara di kalangan orang Melayu di kalangan orang Iban, Dayak, Ulu dan tentunya masyarakat Cina," katanya

Tiada ulasan: