Sabtu, 16 April 2011

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


BN pertahan majoriti 2/3 tanpa sokongan Cina dan bandar

Posted: 16 Apr 2011 06:04 PM PDT

Parti Bil. DUN dimenangi DUN
PBB (35) 35 N32 Bukit Saban, N56 Baleh, N51 Balingian, N24 Beting Maro, N37 Daro, N55 Katibas, N44 Machan, N21 Simunjan, N38 Jemoreng, N6 Tupong, N15 Muara Tuang, N18 Tebedu, N31 Layar, N20 Sadong Jaya, N35 Belawai, N71 Bukit Sari, N49 Nangka, N36 Semop, N33 Kalaka, N22 Sebuyau, N17 Tarat, N03 Tanjong Datu, N05 Demak Laut, N50 Dalat, N67 Telang Usan, N07 Samariang, N14 Asajaya, N19 Kedup, N08 Satok, N62 Lambir, N04 Pantai Damai, N30 Saribas, N23 Lingga, N68 Bukit Kota, N58 Jepak
SUPP (19) 6 N47 Bawang Assan, N27 Simanggang, N28 Engkilili, N1 Opar, N65 Senadin, N16 Bengoh
SPDP (8) 6 N69 Batu Danau, N42 Meluan, N41 Pakan, N66 Marudi, N02 Tasik Biru, N61 Bekenu
PRS (9) 8 N57 Belaga, N56 Baleh, N43 Ngemah, N25 Balai Ringin, N29 Batang Ai, N52 Tamin, N26 Bukit Begunan, N53 Kakus
PKR (49) 3 N34 Krian, N70 Ba'Kelalan, N11 Batu Lintang
DAP (15) 12 N63 Piasau, N40 Meradong, N45 Bkt Assek, N9 Padungan, N10 Pending, N12 Kota Sentosa, N13 Batu Kawah, N39 Repok, N46 Dudong, N48 Pelawan, N59 Kidurong, N63 Piasau, N64 Pujut
PAS (5) 0 -
SNAP (26) 0 -
PCM (6) 0 -
Individu (41) 1 N54 Pelagus

Dalam pertarungan yang paling sengit dalam sejarah, Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan majoriti 2/3 dalam DUN Sarawak, namun kehilangan sokongan pengundi Cina dan penduduk bandar. BN hilang kelima-lima kerusi di bawah kawasan parlimen ibu negerinya, Kuching. Pada masa yang sama, calon keturunan Cina SUPP hampir terkubur kesemuanya di tangan DAP, apabila hanya Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Lee Kim Shin (Senadin) bertahan pada tempatnya.

Seperti di Semenanjung, BN kecundang di kawasan bandar, terutamanya di Kuching. Lima kawasan DUN di bawahnya, Batu Lintang (majoriti 8,381 undi), Batu Kawah (majoriti 543 undi), Kota Sentosa (majoriti 4,824), Pending (7595) dan Padungan (7,880) membawa kepada jumlah majoriti Pakatan Rakyat dengan kira-kira 30,000 undi.

Pakatan Rakyat, bagaimanapun hanya memperolehi 15 kerusi. DAP yang bertanding di kawasan majoriti Cina meraih kemenangan di 12 kawasan, daripada 15 yang dipertandingkan. PAS gagal membuat kejutan apabila tewas di kesemua 5 kawasan yang dipertandingkan, termasuk Beting Maro. PKR hanya menang 3 kerusi, daripada 49 yang ditandinginya. Bagaimanapun, SNAP menerima tamparan sengit kerana dijangka kalah di kesemua 26 kerusi yang dipertandingkan.

PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang dipertandingkan, mungkin alasan yang kukuh untuk Taib Mahmud kekal pada jawatan Ketua Menteri. Seperti MCA dan Gerakan di Semenanjung, SUPP mengalami kekalahan yang teruk dengan kehilangan 13 kerusi daripada 19 yang dipertandingkan. Pada tahun 2006, SUPP sudah menerima tamparannya apabila tewas di 8 kawasan daripada 19 kawasan yang dipertandingkan.

Walaupun "tsunami politik" tidak berlaku sebagaimana yang dijangkakan, namun Pakatan Rakyat memperolehi 8 kerusi tambahan, berbanding PRN Sarawak 2006. Pola pengundian PRN Sarawak kali ini juga membayangkan hasrat kebanyakan pengundi yang mahu melihat "sistem dua parti", melihat kepada nasib yang menimpa parti seperti SNAP dan calon bebas.

PR cipta kemenangan besar Sarawak kini dalam arus perdana politik

Posted: 16 Apr 2011 06:01 PM PDT

Pakatan Rakyat mencipta kemenangan besarnya dalam PRN Sarawak 2011 setelah berjaya menawan 16 kerusi DUN (termasuk satu daripada calon bebas) . Antara maknanya yang terbesar adalah menyaksikan bagaimana Sarawak masuk ke dalam arus perdana politik Malaysia, dan tidak lagi terpisah dari gelombang reformasi politik negara.

Dalam tempoh kempen selama 10 hari, ceramah anjuran DAP di bandar menarik kelompok manusia yang menakjubkan, sehingga rakyat mula yakin bahawa PR mampu menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional, malah mengambil alih kuasa kerajaan negeri. Namun demikian, ia hanya imaginasi yang tercetus kerana kedahagaan terhadap reformasi. Pada hakikatnya, ia terlalu optimis dan kurang pertimbangan realistik.

Dalam PRN Sarawak 2006, PR hanya mampu menawan 9 DUN di kawasan bandar. Kali ini, DAP dan PKR dari Semenanjung berjaya merampas 15 DUN, malah menumbangkan Presiden SUPP George Chan, dan mengakibatkan SUPP hanya mampu mempertahankan 6 daripada 19 kerusi yang dipertandingkan. Bahkan PR berjaya menawan 3 kerusi di kawasan bukan Cina. Gelombang telah mengombak di kawasan desa-bandar, berikutan kemenangan PR ini - dan semestinya ia memberi tekanan kepada parti politik tempatan.

Pengundi Sarawak dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak lagi menerima perbezaan antara "parti tempatan" dengan "parti Semenanjung", dan semua parti politik adalah parti di bawah bumbung Malaysia. Pengundi hanya mengambil berat tentang idealisme dan tuntutan - bukan lagi perbezaan geografi - lantas pandangan sempit geografi ini digugurkan.

Apabila fikrah sempit politik berdasarkan geografi ini dipecahkan, maka SUPP dan PBB yang rasuah dan tidak cekap gagal lagi untuk berselindung di sebalik "parti tempatan", untuk terus mengabaikan seruan perubahan pengundi.

PR telah mengharungi pertarungan kali ini, dan mendapat kepercayaan daripada pengundi Sarawak. Mereka bukan lagi "parti dari luar", tetapi telah mempunyai asas di Sarawak melalui undi rakyat. Sebaliknya, parti politik yang melabel dirinya "parti tempatan" - telah disingkirkan pengundi tempatan. Apakah mereka masih layak untuk menggelar dirinya "parti tempatan" apabila gagal mendapat restu daripada orang tempatan?

Sepakat dalam nilai politik

Pengundi Sarawak kini lebih mengambil berat tentang "idealisme" daripada "geografi". Perubahan ini membantu untuk membentuk kesepakatan seluruh rakyat dalam nilai politik. Sarawak tidak lagi tersisih dari pinggiran politik Malaysia, sebaliknya lebih rapat dengan arus perdana reformasi politik nasional. Sarawak bukan lagi deposit tetap BN. BN dan UMNO tidak boleh lagi merampas kekayaan dan sumber negeri Sarawak sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan suara rakyat.

Walaupun PR gagal menafikan majoriti dua pertiga BN, namun tidak boleh dinafikan bahawa keputusan PRN Sarawak 2011 adalah kemenangan besar yang bersejarah. DAP dan PKR mempunyai harapan untuk memasuki kawasan desa-bandar, untuk membina akar umbinya pada masa depan.

PRN ini adalah pilihan raya yang paling penting dalam sejarah politik Sarawak. Perhimpunan politik di jalan raya adalah perhimpunan politik terbesar sejak zaman anti-penjajahan pada tahun 1960-an.

DAP menguasai politik Cina

Pada dasarnya, SUPP telah kehilangan reputasi yang dibina sejak 40 tahun yang lalu. Politik Cina di Sarawak bakal dikuasai sepenuhnya oleh DAP. SUPP memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun pada masa depan untuk membina semula imejnya, dan melahirkan pemimpin generasi baru. Dengan kata lain, 10 tahun yang akan datang adalah dekad yang merudum untuk SUPP.

SUPP adalah parti politik tempatan, mempunyai organisasi yang luas. Mungkin tidak pecah berkecai, namun ia tetap akan menemui ajal seandainya tidak memikirkan perubahan. Bukan sahaja pimpinannya akan dipertanggungjawabkan lantaran kekalahan ini, malah hubungannya dengan Taib Mahmud juga bakal berubah.

Pada masa yang sama, PBB yang dipimpin Taib Mahmud juga berdepan dengan krisis pengganti. PR menyasarkan Taib Mahmud sepanjang kempen, dan ini akan dipergunakan Najib untuk mendesak agar Taib Mahmud berundur. UMNO berharap Taib berundur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, UMNO juga khuatir dengan Taib, yang kelihatan masih enggan bersara. Kali ini, sentimen rakyat boleh dijadikan alasan Najib untuk mendesak Taib.

"Angkatan tentera DAP" ini telah berjaya menghapuskan Gerakan pada tiga tahun yang lalu. Kini DAP pula meranapkan SUPP, tinggal MCA yang nyawa-nyawa ikan. Sehati senada SUPP berkhidmat untuk "Pek Moh" - Pek Moh makan daging, SUPP minum sup. MCA seharusnya mendapat iktibar daripada kemusnahan SUPP. Seandainya MCA sehati senada berkhidmat untuk UMNO, mereka akan mengalami nasib yang sama.

*Phoon Wing Keong ialah pengkaji politik, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Lebih 1,000 Sambut 5 Wakil Rakyat Baru Pakatan di Kuching

Posted: 16 Apr 2011 06:00 PM PDT



KUCHING 16 APRIL : Lebih 1,000 penyokong Pakatan Rakyat - kebanyakannya pro DAP dan PKR sekarang mula membanjiri perkarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) bagi menyambut 5 wakil rakyat baru yang berjaya menawan 5 buah kerusi DUN pada pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10.

Mereka tidak putus- putus melaungkan slogan "ubah" dan "Sarawak, Jom Ubah" bagi menyambut pemimpin- pemimpin Pakatan Rakyat di jalan masuk ke dewan utama, di sini.

Presiden DAP Karpal Singh, penasihatnya Lim Kit Siang dan setiausahanya Lim Guan Eng dilihat mula memasuki dewan utama sekitar jam 8.30 malam tadi.

Kelihatan sepasukan Polis dan polis simpanan persekutuan (FRU) mengawal hadirin yang hadir.

Empat calon DAP dan seorang calon PKR menyapu bersih lima Dun dalam Parlimen Kuching.

Empat wakil rakyat bary DAP tersebut adalah Violet Yong (DUN Pending), Christina Chiew Wang See (DUN Batu Kawa), Wong King (DUN Padungan) dan Dan Chong Chieng (DUN Kota Sentosa).

See Chee How yang bertanding atas tiket DAP mewakili DUN Batu Lintang.

See Chee How yang ditemui di perkarangan MBSS kemudiannya memberitahu, keputusan tersebut menggambarkan rakyat kian sedar dengan kelemahan Barisan Nasional dalam mentadbir kerajaan negeri.

"Sebenarnya ekspektasi kita adalah menafikan dua pertiga Barisan Nasional di DUN Sarawak,

"Bagaimanapun dengan lima Dun dalam (Parlimen) Kuching yang sapu bersih menggambarkan slogan "ubah" disambut rakyat dengan penuh rasa sedar," kata Chee How.

"Barisan Nasional tidak boleh lagi menafikan hakikan perubahan yang sedang melanda Sarawak, khususnya di Kuching," ujarnya.

Laporan lanjut menyusul kemudian.

PRN Sarawak : PR Longgarkan Cengkaman BN

Posted: 16 Apr 2011 05:54 PM PDT



ANALISIS : Meskipun bertarung dengan seluruh jentera kerajaan dan sumber kewangan Barisan Nasional, Pakatan Rakyat memenangi dua kali ganda jumlah kerusi pada pilihanraya negeri kali ini, sekali gus menyampaikan mesej bahawa Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud perlu berundur segera.

DAP mencapai kejayaan paling besar, memenangi 12 kerusi berbanding 6 sebelumnya, manakala Parti Keadilan Rakyat menang tiga kerusi berbanding hanya satu pada tahun 2006.

Walaupun kejayaan itu jauh daripada mencukupi untuk menafikan BN majoriti dua pertiga, ia sudah cukup untuk menghantar mesej jelas kepada Putrajaya dan Perdana Menteri Najib Razak iaitu:

Sarawak tidak lagi boleh dianggap simpanan tetap BN pada pilihanraya umum DAN Taib harus berundur segera sebelum BN bertarung di peringkat Parlimen pada pilihanraya umum kelak.

Keputusan DUN Sarawak menunjukkan sekurang-kurangnya tujuh atau lapan kerusi Parlimen sekitar Kuching, Sibu dan Miri adalah "kawasan hitam" bagi BN yang pasti memberi kesan kepada jangka hayat Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Keputusan setakat ini yang menyaksikan BN menang sekurang-kurangnya 56 kerusi dan Pakatan 16 memberi isyarat paling jelas kepada Najib bahawa beliau belum boleh selesa mengharapkan kemenangan mutlak pada pilihanraya umum akan datang.

Di atas kertas, kemenangan lebih dua pertiga BN itu adalah meyakinkan, tetapi tidak ada sesiapa akan menafikan bahawa BN terpaksa membelanjakan jumlah wang yang besar dan menurunkan seluruh jentera Kerajaan Persekutuan untuk memperolehi keputusan itu.

Hakikat adalah prestasi BN merudum kali ini berbanding dengan kemenangan 63 daripada 71 kerusi pada tahun 2006, bermakna trend sokongan rakyat untuk BN terus menyusut.

Sekali imbas, BN kali ini berhadapan dengan sebuah Pembangkang yang masih tidak mempunyai sumber kewangan atau kemudahan untuk menyaingi pemerintah.

Namun rekod Taib selama 30 tahun menerajui Sarawak yang dibelit dengan dakwaan rasuah, rampasan tanah dan penyelewengan kuasa mendorong pengundi bandar, khususnya kaum Cina untuk menolak BN.

BN kalah semua lima kerusi yang dipertandingkan di Kuching kepada DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

SUPP parti kedua terbesar dalam BN Sarawak ditolak sepenuhnya di ibu negeri Sarawak itu.

Presiden parti itu Dr George Chan pula kalah kepada calon DAP di Piasau Miri, keputusan yang mencerminkan sentimen pengundi terhadap BN pimpinan Taib yang merupakan besan Chan.

Kerusi Batu Kawah pula dimenangi DAP dengan sokongan pengundi bumiputera, yang menunjukkan DAP tidak bergantung sepenuhnya kepada pengundi Cina untuk menang.

Bagi PKR, usaha membawa angin perubahan ke kawasan pedalaman, khususnya rumah panjang Dayak dan Iban tidak mencapai keputusan yang diharapkan sungguhpun parti itu menang tiga kerusi berbanding satu sebelumnya.

Sesiapa yang arif dengan politik Sarawak akur dengan misi PKR dalam cuba menghebahkan mesej"ubah perintah" dengan segala kekangan logistik dan kewangan berbanding BN yang menjelajah ke seluruh pelosok Sarawak menggunakan helikopter dan feri-feri tempah khas.

Ini ditambah dengan penguasaan seluruh media arus perdana yang dilarang memberi liputan kepada ceramah pembangkang.

Laman-laman media alternatif pula digodam termasuk TVSelangor, Malaysiakini dan HarakahDaily di dalam Negara dan Sarawak Report di United Kingdom.

Meskipun kalah di sebilangan banyak kerusi, jumlah undi yang dipungut PKR di sesetengah kawasan memberi harapan kepada PKR untuk memberi cabaran yang lebih sengit dalam empat tahun lagi.

Kemenangan Pengerusi PKR Baru Bian di Be'kalalan tentunya membanggakan Pakatan Rakyat dan menjanjikan perjuangan lebih jitu untuk mendapatkan semula hak penduduk asal yang kehilangan tanah adat mereka kepada pemimpin BN dan kroni mereka.

Keputusan Keseluruhan PRN Sarawak Ke-10

Posted: 16 Apr 2011 05:53 PM PDT


SHAH ALAM 16 APRIL : Berikut adalah keputusan keseluruhan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10 :-

BN menang 55 kerusi - 372,379 undi

DAP menang 12 kerusi - 134,847 undi

PKR menang 3 kerusi - 117,100 undi

SNAP (0)- 15,663

PAS (0) - 9,719

PCM (0) - 2,897

Bebas menang 1 kerusi - 20,064

Jumlah keluar mengundi : 628,854

Peratus keluar mengundi : 70 peratus

Bilangan undi ditolak : 8,224

DUN majoriti tertinggi : N45 Bukit Assek - 8,827 undi

DUN majoriti terendah : N65 Senadin - 58 undi

Jumlah calon hilang deposit : 71 orang

Kemenangan PR Di Kubu Kuat BN : Pukulan Hebat Buat Najib, Kata Kit Siang

Posted: 16 Apr 2011 05:52 PM PDT



SHAH ALAM 16 APRIL: Kemenangan terbesar pembangkang di pilihanraya DUN Sarawak setakat ini merupakan satu pukulan hebat kepada BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memenangi hati rakyat Sarawak dan memberikan BN satu kemenangan besar.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika dihubungi TV Selangor berkata, walaupun PR tidak berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN tetapi kemenangan PR setakat ini telah memberikan kejutan besar kepada Tan Sri Taib Mahmud.

"Tak pernah ada begitu ramai ahli-ahli ADUN yang melawan BN dan, sungguhpun kita tidak dapat menafikan majoriti dua pertiga, patutnya menjadi satu iktibar kepada yang pertama kepada Ketua Menteri, masa untuk beliau turun sudah sampai, tak patut lagi melengah-lengahkan," kata beliau.

Tambah beliau, dalam pada rakyat Sarawak mula menolak BN dan menerima PR, Najib juga dilihat semakin lemah kerana walaupun mengetuai kempen bersama kesemua ahli Kabinet tetapi masih gagal memberikan kemenangan besar kepada BN di Sarawak.

"Dan kedua, sebagai satu pukulan hebat kepada PM oleh kerana Datuk Seri Najib sendiri ada mengetuai satu kempen dan menggerakkan semua anggota-anggota kabinet, jemaah menteri datang menjadikan pilihanraya negeri ini satu pilihanraya besar untuk seluruh negara," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, Perdana Menteri juga perlu mengambil pengajaran serta menghalusi dan memahami sebab-sebab kekalahan BN terutamanya di kawasan-kawasan yang dianggap sebagai 'kubu kuat' BN di Sarawak.

Pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 menyaksikan BN menang 62 kerusi, manakala 9 kerusi dimenangi masing-masing PKR-1,SNAP-1, Bebas-1 dan DAP 6.

Namun pada pilihan raya negeri kali ini, keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP berjaya merampas 12 kerusi, PKR 3 dan Bebas 1.

Tiada ulasan: