SHAH ALAM 3 APRIL : Al Quran bukan buku cerita atau buku sejarah. Ia adalah pedoman dan pembimbing manusia mengenal diri, tanggungjawab dan siapa Tuhannya.
Sebab itu kisah-kisah dalam al Quran harus digarap dan difahami demi mencari pengajaran dan teladan yang boleh dijadikan petunjuk pada semua masa dan persekitaran.
Cerita Nabi Yusuf alaihi salam (a.s.) misalnya, amat relevan dengan kehidupan dahulu, kini dan selamanya.
Ketika mengupas kisah ini dan hubungannya dengan realiti sosial, ekonomi dan politik hari ini, ahli pemikir Dr Sidiq Fadzil menyerlahkan betapa serasinya al Quran ini digunakan untuk umat manusia di Malaysia membaca suhu politik, dan ragam kemanusiaan rakyat serta pemerintahnya.
Beliau menghuraikan bahawa manusia memang sukar menceraikan sikap dan perasaan dengki.
Ia biasa menjeruk jiwa sesiapa dan dalam persekitaran apa jua. Dalam kes Nabi Yusuf a.s, yang dengki kepadanya ialah adik beradiknya sendiri. Alasan dendam dan dengki mereka amat lumrah – berebut kasih sayang. Atau, mungkin juga kerana kekurangan unsur itu dalam diri.
Didorong sifat dengki kerana kononnya Yusuf a.s. kononnya lebih disayangi oleh bapa, Yaakob a.s, mereka pun melakar konspirasi untuk memadamkan kehadiran Yusuf a.s. dalam persekitaran hidup mereka. Kisahnya: Yusuf a.s. dibuang ke dalam telaga.
Di sebalik itu al Quran pun mendedahkan helah manusia (dalam kes ini adik beradik Nabi Yusuf a.s. sendiri) mereka cipta bukti palsu dengan melumur darah kambing pada baju Yusuf dan dikemukakan kepada bapa mereka kononnya adik mereka itu telah dibaham serigala. Kecurangan begini masih berulang hingga hari ini hingga kepada usaha "menanam" DNA sebagai bukti.
Nabi Yusuf ditemui kafilah yang lalu dekat telaga ketika mencari air. Namun gerombolan ini mengambil kesempatan penemuan ini dan menjadikan modal niaga. Yusuf dijual sebagai hamba sahaya. Iktibar daripada ini, kata Dr Sidiq ialah, meskipun menjadi hamba, kemuliaan Yusuf tidak luntur. Dia tetap pilihan Allah.
Maka dikurniakan Yusuf pelbagai keelokkan – rupa diri, syaksiah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ini menimbulkan ghairah pelbagai pihak untuk memiliki dan menguasainya.
Maka terjadilah fitnah lebih besar terhadap Yusuf. Meskipun terbukti bukan dia menggoda isteri Al Aziz, majikan Yusuf, bahan fitnah berbaur seks ini menyebabkan lebih ramai yang berkepentingan di Mesir yang mahu Yusuf dipenjara.
Sifat dengki dan dendam kesumat menjadi inti konspirasi. Maka ramailah yang tampil berbohong tentang "kejelekan" peribadi Yusuf dan terperosoklah baginda dalam penjara.
Status banduan tidak melunturkan kemuliaan Nabi Yusuf a.s. Ilmu tamsil mimpi dan sifat abidnya kepada Allah, menjadi jatidirinya. Dia terus jadi pedoman banduan lain dan sentiasa diberi penghormatan dan dimuliakan.
Yang signifikannya ialah apabila Yusuf dapat menafsirkan mimpi raja. Lebih istimewa lagi, Yusuf juga mampu menampilkan pelan induk ekonomi untuk Mesir.
Nasib Yusuf berubah ketika itu. Bukan sahaja ditawarkan kebebasan, tetapi pelan ekonomi Yusuf mendorong Raja memberinya tanggungjawab menguruskan ekonomi negara. Yang mengkagumkan ialah, Yusuf tidak segera menerima tawaran Raja itu.
Nabi Yusud mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengapa beliau dipenjara.
Setelah terbukti nasib malang Yusuf itu berpunca daripada konspirasi yang membabitkan soal seks, dan namanya kemudian dibersihkan, barulah Yusuf menerima tanggungjawab sebagai penguasa ekonomi negara.
Yusuf sedar, di hadapan Allah, tiada guna pangkat atau nama jika soal maruah tidak diutama.
Pengajaran daripada kisah Yusuf ini ialah soal dengki tidak pernah mati dalam diri mana-mana manusia dan tamadun. Yang jadi persoalan ialah bagaimana mengawalnya.
Rentetan itu, soal naluri seks juga tidak pernah lekang daripada jiwa manusia. Maka yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula ia harus dikendali dan jangan dijadikan modal konspirasi sesama insan.
Bayangkan betapa besarnya aib yang menimpa diri ketika usia telah lanjut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja membongkar di depan mata anak cucu bahawa diri terbabit dalam konspirasi seks hanya kerana ketika itu hendak mengekalkan kuasa, kedudukan dan pangkat?
Sifat buruk ini memang ada pada manusia. Sebab itu al Quran diturunkan untuk menjadi pedoman supaya mengelak mengulang kesilapan dan keterlanjuran manusia silam.
Lebih penting daripada itu, kata Dr Sidiq, setiap insan mesti meyakini bahawa ujian ada di mana-mana.
Lebih besar status dan kaliber seseorang itu, maka lebih getirlah ujian yang dihadapinya. Namun paksi ujian ialah bagaimana menundukkan kedengkian sesama insan.
Dan, lebih penting lagi, ialah bagaimana mengenal dan mengelak diri terjerumus dalam sikap kepetualangan itu. Kisah seperti pengalaman Nabi Yusuf menunjukkan betapa tema kedengkian manusia – memadamkan kehadiran saingan dengan cara fitnah dan membunuh serta motif politik bertema rasuah dan seks sentiasa jadi juadah konspirator untuk menundukkan lawan politik mereka; dari zaman ke zaman.
Maka jika kita percaya pada Allah dan sentiasa mengintai kebijaksanaan dan pedoman yang diselitkan dalam kisah-kisah Al Quran, maka tidak mungkin kita gusar akan fitnah dan cabaran dunia ini.
Sebagai tunjang iman, kita percaya balasan Allah akan tetap berlaku terhadap yang memfitnah dan juga yang difitnah. Jika tidak di dunia, orang beriman yakin, di akhirat nanti ada ganjaran dan hukumannya.
Sebab itu Allah menjanjikan Yaumil Masyar, Syurga dan Neraka.
KUALA LUMPUR 3 APRIL : Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Putrajaya menghentikan sebarang amalan menganak-tirikan kerajaan negeri pembangkang dan merujuk kepada isu royalti minyak Kelantan sebagai contoh hak rakyat negeri dinafikan .
"Saya rasa tak ada perkara yang patut menghalang pemberian wang tunai ini daripada dilanjutkan ke negeri berkenaan (Kelantan). Ada minyak bayarlah, "kata Tengku Razaleigh kepada TVSelangor.
"Tak ada (wang ehsan) dalam Akta Kemajuan Petroleum. Wang ehsan ini sedekah. Rakyat (Kelantan) bukan nak minta sedekah, Ini (royalti) hak dia," tambah beliau.
Tokoh veteran Umno itu menegaskan Kerajaan Pusat tidak harus menganaktirikan kerajaan negeri walaupun dokongan politik masing-masing berbeza kerana ia hanya menyusahkan rakyat.
"Tak kira siapa kerajaan pun, Samada di Kelantan, Kedah, Pahang, Selangor dan Johor sama sahaja. Jadi kalaulah hendak menganaktirikan negeri sebab berlainan politik, tak patut (kerana) yang menanggungnya adalah rakyat, bukan kerajaan yang berkuasa," tegas beliau. "Tak ada keadilan dari segi itu," tambahnya.
Tengku Razaleigh berkata konsep Federalisme di Malaysia tidak akan bermakna jika hak-hak kerajaan negeri dibelakangkan.
"Kalau kita dengar ada negeri yang tak dapat layanan sewajarnya, saya rasa itu tak patut. Ia bertentangan dengan semangat Persekutuan itu sendiri. Jadi tak ada makna adanya (konsep) Persekutuan kalau semangat kerjasama dan tolong menolong tidak diteruskan,"kata beliau.
Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan adalah dibawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Pemimpin negeri berkenaan sering merungut dipinggirkan dalam pelbagai program kerajaan pusat.
Pengagihan peruntukan untuk negeri-negeri berkenaan juga didakwa tidak setimpal berbanding negeri di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional.
Kerjasama antara Kementerian Persekutuan dan Kerajaan Negeri juga suram kerana arahan-arahan tertentu daripada Menteri berkenaan dikatakan didorong atas pertimbangan politik.
Contohnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar dilaporkan pernah melarang kakitangan dan pegawai agensi Kementerian Pertanian menghadiri mesyuarat pembangunan yang dianjurkan di empat negeri pembangkang.
Manakala Radio Televisyen Malaysia cawangan Selangor diarah berpindah keluar daripada Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor oleh Putrajaya, sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Tengku Razaleigh berkata tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan menganak-tirikan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat tidak boleh ditolak begitu sahaja.
"Saya dengar ada pihak pusat nak cuba sabotaj pentadbiran negeri. Saya dengar di Pulau Pinang, bukan dari pihak yang berkuasa di negeri itu, tetapi dari rakyat yang memberitahu saya ada (yang) dihasut pegawai supaya jangan beri kerjasama dan sebagainya. Saya rasa tak patut. Seharusnya wajib diberi kerjasama kepada siapapun yang memerintah sebaik mungkin untuk sampaikan khidmat dan apa yang perlu kepada rakyat," kata beliau.
Mengimbau isu royalti minyak Kelantan, Tengku Razaleigh berkata Kelatan tidak harus dilayan berbeza daripada Sabah dan Sarawak semata-mata kerana negeri pantai timur itu dibawah penguasaan Pas.
"Kalau negeri nak terima 5 percent, syaratnya minyak kena ada berhampiran dengan negeri. Sabah dan Sarawak terus dapat (royalty). Kalau ikut (prosedur itu), Sarawak pun tak boleh dibayar. Maknanya Kerajaan boleh arahkan Petronas jangan bayar Sarawak," kata beliau.
Perdana Menteri Najib Tun Razak sebelum ini mendakwa Kelantan tidak layak menerima royalti untuk minyak yang digali di kawasan persisirannya namun akan diberikan wang ehsan RM20 juta sebagai ganti.
Tawaran itu ditolak oleh kerajaan negeri yang mengemukakan pelbagai bukti untuk menyokong hujah bahawa rakyat Kelantan berhak mendapatkan royalti sehingga RM2 bilion.
Kerajaan Kelantan mengambil keputusan untuk mengemukakan saman terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.
Tengku Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas juga membayangkan kepimpinan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak melaksanakan Akta Kemajuan Petroleum secara betul sehingga mengakibatkan pelbagai kemelut.
"Sebenarnya Perdana Menteri dalah Menteri bertanggungjawab mengenai minyak di negara ini mengikut Akta Kemajuan Petroleum. Tapi pelaksanaan akta ini tidak betul. Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan menasihati Perdana Menteri mengenai perkara-perkara seperti cari gali dan penyimpanan rizab," kata Tengku Razaleigh.
"Sepatutnya Majlis Petroleum Kebangsaan dianggotai pegawai kanan Kerajaan persekutuan dan negeri pengeluar minyak. Mereka sepatutnya menasihati Perdana Menteri, namun majlis ini tak wujud sekarang," kata beliau.
PELABUHAN KLANG 3 APRIL: Pakatan Rakyat hari ini mengambil insiatif membantah rancangan Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional membina loji nuklear di negeri Selangor dengan mengeluarkan deklarasi Klang.
Diketuai oleh Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, lebih 50 para demonstran berkumpul di jeti Pulau Ketam yang hari ini dikawal ketat oleh lebih 100 anggota polis bagi menghalang protes anti nuklear berkenaan.
"Kami, rakyat Malaysia yang hari ini berkumpul di Klang, mendesak Kerajaan Pusat membatalkan rancangan pembinaan loji nuklear di negeri ini khususnya di Klang. Kami percaya loji nuklear tidak selamat seperti di Fukushima, Jepun dan memberi impak kepada kesihatan rakyat adalah serius.
"Kami cadang kerajaan beri fokus kepada tenaga boleh baru untuk tampung keperluan tenaga negara dan kami tak percaya propaganda kerajaan Pusat bahawa tenaga nuklear adalah bersih, efisien dan selamat. Dan akhir kami minta kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak membenarkan pembinaan loji di Selangor," terang Charles, membaca deklarasi itu dihadapan wakil media.
Menurut Charles lagi, pembinaan loji tersebut bukan satu rahsia lagi, dan beliau bimbang kerajaan BN yang terkenal dengan ketirisan ini hanya akan membazirkan lagi wang rakyat.
Rancangan kerajaan sekarang ialah pada tahun 2021 dan 2022 ialah untuk bina loji nuklear di Malaysia. dan loji itu termasuk dalam program ekonomi kita.
"Kosnya RM 22 Billion, tapi ikut masa, mungkin naik ke RM 50 Billion," kata Charles lagi.
Protes ini dipercayai dapat mengumpul lebih ramai demonstran tetapi tindakan dan kehadiran ramai anggota polis menyebabkan orang ramai tidak dapat menyertai perhimpunan ini.
Sejak awal pagi lagi, sekatan dilakukan di jalan masuk Jeti ini manakala mereka ingin melaluinya disoal serta digalakkan polis untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
Malah Charles bersama yang lain turut dihalau sebanyak dua kali oleh polis sebelum mereka berkumpul di sebuah Dewan milik Majlis Perbandaran Klang untuk meneruskan protes.
Charles turut menganggap perkara itu sebagai memalukan kerana hak rakyat untuk bersuara dinafikan.
"Rakyat tak diberi peluang hak berhimpun secara aman. Walaupun ia menjadi hak yang diberi Perlembagaan Malaysia tapi Polis Di Raja Malaysia yang sekarang ini seperti Raja Malaysia.
"Ini merupakan sesuatu yang memalukan. Kalau (loji nuklear) ada masalah, pejabat polis kena, anak-anak mereka kena. Jadi mereka patut bersama-sama kita dan bukan menentang hak kita," tambahnya lagi.
1. Perjuangan Islam bermula dalam keadaan asing atau dagang [gharib ]. Berdepan dengan manusia jahiliah yang rendah upaya untuk membezakan antara haq dan bathil. Sistem nilai yang kabur diselaputi fahaman syirik dan kebendaan. Mereka merajakan nafsu dan mempertuhankan aqal. Rasuulul ummah saw. sebagai utusan Allah swt. difitnah, dinista dan dicerca. Risalahnya ditertawa dan menjadi bahan lelucon ummat jahiliah.
2. Islam dibawa untuk menyelamatkan ummah. Risalahnya disasarkan kepada semua kecuali mereka yang tekun dan konsisten memerangi Islam. Slogan yang dibawa oleh Pendakwah Agong saw. ialah [Aslim Taslam ] Terima Islam Engkau Selamat. Serendah - serendah pangkat manusia seperti lelaki gasar di padang pasir sehinggalah setinggi - tinggi pangkat manusia seperti raja di istana menjadi sasaran risalah Islam.
3. Islam didokong dan diperjuangkan dengan gigih tanpa peduli pahit getir. Islam digalas dan dipertahankan dengan tabah tanpa peduli susah sukar. Gurun sahara diredah dan lautan luas diharungi demi menyemarakan kebangkitan Islam dan mendaulatkan syariatnya. Sabar membelah masa dan merempuh waktu menanti detik janji Allah ditunaikan. Tidak mengenal erti putus asa dan kecewa.
4. Akhirnya Islam tegak berdaulat dengan bertiangkan aqidah, berdindingkan syariat, berbumbungkan jihad dan berlantaikan akhlak. Bumi diimarahkan dengan peraturan dan manhaj rabbani. Keadilan merata kepada semua tanpa membezakan latar belakang agama, bangsa, kaum dan bahasa lidah. Keamanan dan kesejahteraan dinikmati, bukan sahaja oleh manusia bahkan binatang dan tumbuhan.
5. Namun Nabi saw telah menegaskan yang bermaksud:
"Telah bermula Islam dalam keadaan asing , kelak ia akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka berbahagialah mereka yang asing [tetap bersama Islam]."
6. Hari ini Islam kembali ditertawa. Syariat dan syiar Islam dipersenda. Kerja dakwah menjadi bahan lelucon. Dunia kembali menganggap pelik cara kita berjuang dan mengajak ummat manusia kembali kepada Islam dan perjuangannya. Menyeru dan mengajak orang menyertai perjuangan Islam dianggap kerja bodoh sebagaimana tanggapan ummat jahiliah. Firman Allah swt yang bermaksud:
"dan apabila diseru kepada mereka , Berimanlah sebagaimana berimannya manusia yang lain. Mereka menjawab : Apakah kami akan beriman sebagaimana berimannya orang - orang yang bodoh. Ketahuilah sesungguhnya merekalah orang - orang yang bodoh akan tetapi mereka tidak mengerti." - Surah al Baqarah : Ayat 13
7. Sungguhpun Islam kembali menjadi asing dan pejuangnya ditertawa dan diperbodohkan, ianya adalah sunnah yang telah dijanjikan kebahagiaannya oleh Rasulullah saw kepada mereka yang tetap gigih berjuang, berjihad dan berdakwah. Biarpun Nabi saw telah sekian lama meninggalkan ummah, namun kesediaan para pejuang menggalas tugas besar untuk menyelamatkan manusia dari neraka Allah adalah tugas berat yang penuh dengan kemuliaan. Istiqamah dan iltizam bersama kerja - kerja amal Islami biarpun disinis dan disindir tajam, ia adalah ghuraba' yang dijanjikan kebahagiaan oleh Rasulullah saw.
8. PAS adalah Gerakan Islam yang membawa pakej perjuangan yang menarik, mengulangi pakej asal yang diperjuangkan oleh Rasulullah saw. Pakej yang dimaksudkan ialah tarbiyah, dakwah dan siasah. Melalui pakej ini, PAS bergerak ke tengah medan lantas mengadun gerakkerja amal Islaminya secara seimbang berasas ramuan 3 elemen dari pakej tersebut.
9. Adunan 3 elemen dari pakej itulah tercetusnya pelbagai slogan seperti :
* Pemuda PAS adalah Duta Penyelamat dan Kasih sayang. Bermaksud Pemimpin dan anggota pemuda PAS turun ke medan, menyantuni masyarakat dengan penuh kasih sayang biarpun mungkin suatu masa dahulu, mereka adalah musuh kita. Mereka menentang kita dengan kejahilan dan hasad dendam yang menyelubungi jiwa mereka. Namun mereka mesti diselamatkan dari terus menjadi hamba nafsu dan syaithan yang menguasai diri mereka untuk memusuhi Islam. Pemuda PAS adalah penyelamat, lalu selamatkan seramai mungkin manusia dari api dosa yang sedang membakar mereka.
* Orang Muda Geng Kite . Adalah slogan lanjutan untuk menterjemah "Duta Penyelamat dan Kasih sayang" bagi mendekati golongan muda dari pelbagai lapisan dan latar belakang. Dari anak muda professional sehinggalah kepada anak muda yang bergelandangan. Mereka didekati oleh pemuda PAS dengan pelbagai cara dan kaedah. Tertubuhnya Alternative Riding Club [ARC] dan wujudnya aktiviti seperti Alternative Futsal Club, Alternative Band Club dan sebagainya adalah untuk melengkapkan usaha mendekati anak muda.
* Jom Sertai PAS . Juga antara slogan popular PAS untuk mendekati semua golongan masyarakat agar mereka menyertai PAS. Menyertai PAS hanya semudah mengisi borang, membayar yuran tahunan dan bersedia mematuhi perlembagaan PAS atau undang - undang tubuh PAS. Penyertaan mereka akan diperkasa dari masa ke semasa melalui proses pentarbiyahan yang wujud di dalam PAS sehinggalah akhirnya mereka menjadi seorang ahli PAS yang soleh dan berjuang. Melalui slogan ini, telah ramai tokoh - tokoh yang suatu masa dahulu sangat memusuhi PAS namun kini berjuang bersama saf perjuangan PAS. Laksana tokoh - tokoh yang menentang Nabi saw kemudiannya menerima Islam lalu gigih berjuang disamping Nabi saw. Kepada mereka Nabi saw menyebut :
"yang terpilih [hebat] di zaman jahiliah jua terpilih [hebat] di zaman Islam asal sahaja mereka memahami Islam."
* PAS For All atau PAS Untuk Semua. Sebahagian dari slogan PAS yang berjaya meletakkan PAS dihati mereka. Bukan sahaja ummat Islam mahu menyertai PAS lalu menjadi ahli yang baik, malah non muslim turut melahirkan hasrat mahu bersama perjuangan Islam lalu tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS [DHPP]. "PAS Untuk Semua" membawa maksud perjuangan PAS adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang bangsa dan bahasa malah juga bermaksud semua boleh menyertai PAS asal sahaja mereka bersedia untuk mematuhi dasar dan manhaj perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.
10. Alhamdulillah, melalui gerakkerja amal Islami bersandarkan slogan - slogan di atas, kini menjadikan keluarga PAS kian besar sehingga mencecah angka sejuta. Pada tahun 1985 saya menjadi ahli PAS yang ke 274,589. Kini angka keahlian tentunya telah mencecah 9 angka. Kita menyedari, ada yang menyertai PAS kemudian gugur ditengah jalan kerana gagal bertahan dengan ujian atau tribulasi perjuangan ini justeru itulah sunnatullah, namun kita jangan kecewa dan putus asa untuk terus berdakwah, menyeru dan mengajak masyarakat ummat Islam menyertai PAS dan non muslim menyertai DHPP.
Biarpun seribu manusia sedang mentertawakan gerakkerja Amal Islami yang dilakukan oleh saudara, lalu menganggap dakwah saudara sebagai suatu lelucon dan kebodohan politik, yakin lah saudara sedang menjadi manusia dagang dan asing dengan Islam yang diperjuangkan. Sedang Rasulullah saw pernah menegaskan : Berbahagialah Sang Ghuraba'
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
KUALA LUMPUR 3 APRIL : Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menyaman Tun Mahathir Mohamad bersabit tuduhan beliau mengamalkan politik wang kerana faham mantan Perdana Menteri itu masih "kurang seronok" setelah hampir kalah pada pemilihan Umno tahun 1987.
"Saya dah buat penafian. Tapi ia bukan cara yang terbaik. Cara terbaik ialah failkan saman supaya dapat hapuskan apa yang tertulis di memoirnya tetapi saya tak merancang berbuat demikian buat masa ini," kata beliau dalam wawancara eksklusif terbitan TV Selangor semalam.
"Saya rasa ada perkara yang dia tak boleh lupa (bersabit pemilihan 1987). Yalah, lepas jadi Presiden dan Perdana Menteri enam tahun, dia cuma menang 43 undi sahaja. Malu.Barangkali kerana itu, dia rasa tak seronok," tambah beliau.
Dalam buku berjudul "A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad", Mahathir mendakwa Tengku Razaleigh tidak menjadi Perdana Menteri kerana kurang bersabar.
Pemilihan Umno pada tahun 1987 menyaksikan Tengku Razaleigh dan beberapa tokoh lain termasuk Tun Musa Hitam mencabar Mahathir dan barisannya untuk kepimpinan Umno.
Dalam memoirnya Mahathir mendakwa puak "Team B" yang diketuai oleh Tengku Razaleigh mengamalkan politik wang untuk menjatuhkan beliau pada pemilihan itu.
Dalam wawancara dengan TVSelangor, Tengku Razaleigh sekali lagi menolak tuduhan Mahathir itu sebagai fitnah semata-mata.
"Selepas saya dan rakan-rakan tawar khidmat untuk bertanding, dan dia (Mahathir) menang dengan sebanyak itu 43 undi sahaja. Langsung dia buat tuduhan saya guna duit. Demi Allah saya tak pernah guna duit bagi mana-mana perlawanan sama ada dalam pemilihan parti atau di luar pemilihan parti," tegas beliau.
Razaleigh berkata, hakikatnya ialah beliau menerima pelbagai tekanan dan kekangan daripada pucuk pimpinan Umno ketika itu dalam membawa mesej untuk pembaharuan kepada perwakilan.
"Saya bukan nak lawan sesiapa, saya menawar khidmat sekiranya orang ramai perlukan khidmat saya. Pada perlawanan kali pertama, saya dengan Tun Musa (Hitam) (dilayan) agak tidak adil. Saya tak dibenar bertemu orang ramai dan hadir di majlis tertentu walhal lawan saya diizin. Sebab itu bila saya tidak menang kali pertama, kawan dan penasihat suruh lawan sekali lagi," kata beliau.
Razaleigh berkata, memoir Tun Mahathir jelas berat sebelah dan hanya dari sudut pandangan yang terhad.
"Saya rasa memoir itu berat sebelah kerana hanya dengar cerita dia sahaja. Kerana dia yang tulis buku jadi ikut sedap dialah, dia tulis apa yang nak ditulis," kata beliau.
SRI AMAN 3 APRIL : Ketua umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan penduduk Sarawak menjadikan negeri Selangor bawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai negeri contoh, hasil keberanian dan kebangkitan rakyat yang menuntut perubahan pada Pilihanraya Umum lalu.
Menurut Anwar, Selangor dan negeri Pakatan Rakyat lain menjadi bukti mereka mampu membawa perubahan malah jauh lebih baik dari pemerintahan Barisan Nasional.
" Jadi pilihanraya kali ini, bagi kita, tujuan kita ialah mahu merubah pemerintah, cukuplah apa yang telah dilakukan, siapa cakap Pembangkang tidak mampu mentadbir?
" Pulau Pinang boleh, Selangor boleh, lihat perbezaan Selangor dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat dengan Selangor di bawah UMNO-BN, banyak bezanya," kata Anwar dalam ceramahnya semalam.
Statistik daripada Malaysia Industrial Development Authority atau MIDA, menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah nilai pelaburan perindustrian yang tertinggi iaitu sebanyak RM 29.3 billion bagi tempoh 2008 – 2010.
Ini merupakan nilai pelaburan yang tertinggi di Malaysia berbanding dengan negeri-negeri yang lain dalam 3 tahun yang lepas.
Dalam siri lawatannya ke sebuah rumah panjang di Sri Aman - kira-kira 200km dari tenggara Kuching, semalam, Anwar menggesa pengundi Sarawak khususnya masyarakat Iban membuka mata dan minda kepada apa yang telah dibuktikan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor komited memberi kebajikan kepada rakyatnya dengan pemberian 20 meter padu air percuma dan beberapa program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk mengagihkan kekayaan negeri kepada seluruh rakyat melalui pelbagai model penyaluran terdiri daripada kemudahan infrastruktur, bantuan kehidupan, peluang perniagaan dan banyak lagi.
" Air untuk kegunaan harian, mandi, minum, basuh dan sebagainya. Ianya percuma di Selangor, di Sarawak, air hujan air sungai yang itu percuma.
" Persoalannya kenapa Selangor boleh lakukannya, sedangkan Selangor tidak mempunyai minyak mahupun balak tetapi mampu lakukannya, sebab pimpinannya itu menjaga kebajikan rakyat," kata Anwar.
" Di Selangor, untuk golongan warga tua meninggal dunia, dapat RM2,500 dari kerajaan negeri, di Sarawak dapat apa? RM5 pun belum tentu,"tambahnya lagi.
KUALA LUMPUR 3 APRIL : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak secara terang-terangan mempertahankan seorang ADUN Umno yang dibuktikan bersalah atas tuduhan rasuah adalah satu tindakan tidak bermoral BN, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Sebagai pimpinan utama, sepatutnya perdana menteri menasihatkan beliau untuk meletak jawatan bagi menjaga maruah parti," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Jumaat lalu, Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 kerana rasuah ke atas ADUN Lenggeng, Mustafa Salim.
Najib pula semasa diminta mengulas perkembangan itu, bukan sahaja tidak serta merta menasihati wakil rakyat BN itu untuk melepaskan jawatannya demi menjaga maruah kerajaan dan parti, tetapi mengingatkan rakyat bahawa Mustafa masih seorang ADUN yang sah.
Najib turut menegaskan bahawa Mustafa akan membuat rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya itu.
"Walaupun beliau masih ada hak untuk membuat rayuan, namun sebagai pemimpin politik, bila mana disabit kesalahan merasuah, di mana umum mengetahui ialah satu amalan jijik pada waktu BN menyerang pimpinan Pakatan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan tiba-tiba ADUN mereka yang disahkan terima rasuah adalah amat menghinakan," kata Tuan Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang turut menyeru para pengundi Sarawak untuk mengambil iktibar daripada kes ADUN Lenggeng ini yang jelas memperlihatkan pimpinan Umno sudah terbukti gagal untuk menjadi model yang baik kepada rakyat.
"Bayangkan kalau baru sepenggal jadi YB dah mula buat perangai, bagaimana kalau 30 tahun jadi pemimpin, berapa banyak kekayaan negara akan disapu?" soal Tuan Ibrahim.
Selain itu, katanya, PAS turut menasihatkan Mustafa supaya meletakkan jawatan dengan segera sekiranya beliau masih mempunyai rasa tanggungjawab, maruah dan harga diri.
"Rayuan hanyalah prosedur perundangan bukan kaedah yang boleh menggambarkan maruah diri bagi menjaga nama baik," nasihat beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan