Rabu, 27 April 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Pemilih baru naik ketara, lebih 300,000 daftar suku pertama 2011

Posted: 27 Apr 2011 03:44 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 April – Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 semakin dekat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mencatatkan peningkatan jumlah mereka mendaftar sebagai pemilih baru – lebih 300,000 orang mengemukakan permohonan pada suku pertama tahun ini.

Angka itu mengatasi lima suku terakhir sebelum ini dan mengalami peningkatan peningkatan ketara.

Ia juga dua kali ganda lebih tinggi berbanding suku pertama tahun lalu.

Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku pertama tahun 2011 iaitu dari Januari hingga Mac, SPR menerima 301,171 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan 59,075 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Nama-nama baru itu akan dipamer di bawah Rang Daftar Pemilih tambahan bagi suku pertama tahun 2011 untuk semakan orang ramai mulai esok hingga 4 Mei, kata Pegawai Perhubungan Awam SPR Sabri Said.

Ia akan dipamerkan di 1,005 tempat di seluruh negara iaitu 15 Pejabat Pilihan Raya Negeri; 475 Pejabat Pos Berkomputer; 105 kompleks/pejabat kerajaan; 156 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah; 51 majlis daerah/perbandaran; 173 dewan serbaguna/rukun tertangga/balai raya/ penghulu atau dewan; dan 30 di tempat-tempat lain.

"Orang ramai yang baru memohon menjadi pemilih atau pemilih berdaftar yang memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihat membuat semakan," katanya.

Perangkaan dikeluarkan SPR sebelum ini menunjukkan seramai 292,444 orang memohon mendaftar sebagai pengundi baru antara Oktober dan Disember lalu berbanding 246,962 orang antara Julai dan September lalu.

Pada suku pertama Januari hingga Mac 2010, SPR menerima 134,298 permohonan baru dan ia meningkat kepada 191,970 sepanjang April dan Jun.

Arah aliran peningkatan jumlah permohonan baru itu sama dengan situasi pada 2007 di mana ia mengalami peningkatan ketara menjelang pilihan raya umum ke-12, yang berlangsung pada suku pertama tahun 2008.

Berdasarkan daftar yang disahkan setakat 31 Disember lalu, SPR mempunyai 11,817,936 orang pemilih.

Siar fitnah, Utusan tetap tidak beretika- Idris Ahmad

Posted: 27 Apr 2011 08:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad berkata, Utusan tidak beretika apabila melaporkan secara semborono mengenai perkembangan kes perbicaraan Fitnah II membabitkan Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau merujuk laporan Utusan Malaysia semalam dengan tajuk berita utama 'Anwar Lelaki Y', yang menjurus kepada usaha membina persepsi bagi menyatakan Anwar bersalah dalam kes itu.

Menurut Idris, ia salah dari segi etika kewartawanan kerana mendahului keputusan mahkamah, sedangkan berita tersebut pula hanya berpihak kepada hujah Peguamcara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

"Ini merupakan suatu tindakan yang tidak beretika. Masalahnya, mengapa dalam akhbar yang sama tidak pula melaporkan hujahan oleh peguam bela," soal Idris.

Beliau menjelaskan demikian, berikutan timbulnya kekeliruan di kalangan orang Melayu yang beragama Islam, apabila dilambakkan dengan pelbagai maklumat dan berita yang bersifat spekulasi semata-mata.

Menurutnya, Islam telah menganjurkan kepada umatnya kaedah 'Tabayun' iaitu tatacara dalam menguruskan maklumat atau pun sumber bagi sesuatu berita.

"Dari segi maklumat atau berita, tidak sepenuhnya kita yang mendapat perkhabaran itu untuk terima atau tolak. Tetapi adalah wajib untuk kita selidiki terlebih dahulu sumber-sumbernya," kata Idris kepada Keadilandaily.

Justeru, beliau mengingatkan kepada wartawan dan editor akhbar supaya berhati-hati dalam membuat laporan.

"Ini kerana fitnah yang berbentuk tulisan lebih berbahaya daripada fitnah yang berbentuk perkataan. Fitnah yang berbentuk tulisan ini orang akan simpan kerana ia kekal," katanya.

Video Fitnah: Kami tidak akan tunduk- Nurul Izzah

Posted: 27 Apr 2011 07:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengulangi ketegasan bahawa individu dalam rakaman video seks fitnah- bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya beliau menyifatkan ia sebagai usaha jijik dan terdesak Umno-Barisan Nasional untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

"Kami tidak akan tunduk ataupun takut dengan taktik sedemikian," kata Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, ketika mengulas sedutan kedua rakaman video fitnah yang ditayangkan di internet oleh bloger pro Umno-BN hari ini.

Nurul menegaskan bahawa beliau serta ahli keluarganya tetap berdiri teguh bersama Anwar dalam menolak fitnah jahat berkenaan.

"Ini usaha paling terdesak yang terbaru bagi memusnahkan semangat juang kami dari landasan reformasi yang sangat diperlukan bagi negara ini," tegas beliau.

Nurul, yang juga anak sulung Anwar itu dalam masa yang sama menyeru rakyat Malaysia supaya bangkit melawan politik kotor Umno-BN.

"Kami menyeru semua rakyat Malaysia, abang dan adik, ibu dan bapa untuk bangun melawan politik jijik ini. Mari kita berusaha untuk merealisasikan satu negara Malaysia yang lebih baik," tegasnya.

Justeru itu, beliau turut mendesak supaya individu yang menyebarkan dan menayangkan video seks fitnah berkenaan- diheret ke muka pengadilan.

"Dalam semua keadaan, secara undang-undang, Islam dan undang-undang semulajadi- penjenayah sebenar adalah siapa yang menyebar video itu kepada awam," tegas nya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad pula berkata, video seks fitnah tersebut bukan yang terakhir, malah BN akan memusnahkan Anwar dalam apa juga cara.

"Sesiapa yang melihat rakaman itu tahu ia bukan Anwar. Sepanjang yang kami tahu, BN akan terus melakukan perkara ini, sehingga pilihan raya umum. Jadi mereka perlu memusnahkan Anwar dalam apa jua keadaan," ujarnya.

Nik Nazmi, tanpa berselindung mendakwa Umno terlibat sebagai dalang video fitnah berkenaan.

"Sudah tentu video itu berada di tangan Umno. Ia tidak memerlukan seseorang itu genius untuk tahu perkara itu. Segalanya telah dirancang,"katanya.

Sah Bukan Anwar! Kesian Dengan Puak Umno, Mampus Modal Nanti!

Posted: 27 Apr 2011 06:45 AM PDT

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg4RPJUVbMBWzGS7BVOWH4ZGu-zj4YuunE1CgVLwNeV81uKBmq5ZWqmMCweqOXmA2ReBRagU13armv6jD0R3SrDndomx49KXSFa1Hs3YO_cuHWXg2VKpftYLeESr7nrBI8Jo5UPNyariW8/s1600/f3fae94c488df55751cf914dd930441e.jpg

Video Seks Bahagian Kedua Muncul Di Internet

PETALING JAYA: Video seks bahagian kedua yang didakwa melibatkan pemimpin pembangkang tersebar di internet petang Rabu termasuk di blog www.papagomo.com.

Klip video yang dipercayai mirip pemimpin pembangkang disiarkan menerusi laman youtube petang Rabu.

Klip video berdurasi 1 minit 47 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun youtube wakparjosudorno.

Rakaman video hitam putih berkenaan memaparkan aksi seseorang lelaki bertuala dan seorang wanita tanpa seurat benang dalam sebuah bilik dipercayai selepas melakukan aksi seks.

Lelaki berkenaan kemudian pada minit ke 39 dilihat menanggalkan tualanya di hujung katil sebelah kiri video sebelum berjalan dalam keadaan bogel mengambil baju dalam nipis yang terdapat di atas katil.

Individu yang mempunyai fizikal perut buncit berkenaan kemudiannya dilihat mengambil seluar dalamnya dan membongkokkan badan pada durasi 1 minit 9 saat sehingga melihatkan wajahnya di hadapan kamera.

Isu rakaman video seks itu tercetus apabila sekumpulan wartawan dijemput oleh sekumpulan individu menamakan mereka sebagai `Datuk T' untuk menonton tayangan video seks hitam putih di Hotel Carcosa Seri Negara di sini pada 21 Mac lalu.

Rakaman video berdurasi selama 22 minit bermula pada pukul 10.23 malam 21 Februari lalu itu didakwa berlaku di sebuah apartmen di Ampang.

Sehari selepas rakaman itu dipertontonkan kepada wartawan, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi menafikan pembabitannya sebagai pelaku dalam rakaman video seks tersebut.

Identiti `Datuk T' yang mendedahkan rakaman itu terbongkar apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, bekas Bendahari Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim dan seorang ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah muncul membuat pengakuan bahawa mereka merupakan trio `Datuk T'. -mstar


Video seks bahagian kedua di Youtube

Klip video bahagian kedua yang didakwa membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur kini disebarkan di Internet.

Malaysiakini difahamkan bahawa video yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' yang dipertontonkan kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu boleh didapati di Youtube sejak jam 1.30 tengahari.

Semakan Malaysiakini juga mendapati video sepanjang 1.46 minit itu dimuat-naik oleh seorang pengguna yang menggunakan nama "wakparjosudorno."

Ia dipercayai dilakukan dari Indonesia dan pengguna yang tidak dikenali itu menyertai Youtube hanya semalam.

Namun pada jam 6.45 petang tadi, video berkenaan telah dikeluarkan kerna didakwa melanggar syarat-syarat penggunan Youtube kerana memaparkan bahan lucah dan gambar bogel.

Namun dipercayai video berkenaan masih boleh didapati di beberapa laman web pembangkang dan juga di Youtube yang dimuat-naik oleh pengguna lain.

Sebelum ini, bahagian pertama video berkenaan dimuat-naik pada 4 April lalu.

Ia menunjukkan lelaki yang sama menggunakan tuala memeluk seorang gadis berkulit cerah yang hanya berkemban.

Pada bahagian kedua video ini, ia dipercayai disunting pada bahagian akhir. Ia menunjukkan lelaki berkenaan memakai pakaiannya semula selepas aksi seks tersebut manakala wanita yang bogel itu berjalan menuju ke bilik air.

Video kedua juga tidak mempunyai sarikata dalam bahasa Thai dan jelas memaparkan tarikh dan masa rakaman iaitu 2011/02/21 manakala rakaman masa adalah antara jam 22.43 malam hingga 22.45 malam.

Beberapa pihak sebelum ini mendakwa lelaki dalam video berkenaan mirip ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun Anwar yang juga ketua umum PKR telah menafikan beliau adalah lelaki dalam video itu dan mengemukakan beberapa bukti termasuk catatannya di Twitter dan Facebook.

Serentak dengan tayangan itu, kumpulan yang mengaku bertanggungjawab di sebalik video itu yang menamakan diri sebagai 'Datuk T" mendedahkan identiti mereka - Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim.

Sebelum ini, Eskay berkata mereka belum menyerahkan video penuh 22 minit itu kepada sesiapa dan salinan tunggal hanya diserahkan kepada polis.

Eskay hari ini memberitahu wartawan bahawa beliau telah memberikan sampel DNA miliknya bagi melancarkan siasatan polis.

"Saya dipanggil pagi ini untuk disoal-siasat lanjut dan saya secara sukarela menyerahkan sampel DNA," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran pertemuannya dengan polis di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur itu tetapi sekadar berkata tunggu sidang akhbarnya esok. -mk

Sebar berita fitnah haram di sisi Islam – Dr Haron Din

Posted: 27 Apr 2011 06:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am Pas, Profesor Datuk Dr Haron Din Al Hafiz, berkata, haram menyebar atau membaca mana-mana berita yang berbaur fitnah.

Menurut beliau, larangan Allah terhadap fitnah secara jelas terkandung dalam Al Quran seperti disebut dalam surah An Nur dan Al Hujurat.

Ketika dihubungi KeadilanDaily hari ini, Dr Haron bagaimanapun berkata, beliau merujuk kepada semua berita yang berunsur fitnah dan tidak menyatakan kepada mana-mana pihak tertentu.

"Saya kata, adalah haram menyebarkan berita yang berbaur fitnah," ujarnya.

"Pemberita yang menulis tentang sesuatu fitnah memanglah haram. Kita bercakap secara umum. Saya tak refer kepada mana-mana pihak. Itu terpulang kepada pengertian masing-masing," ujarnya.

Klip kedua video seks muncul, Eskay beri sampel DNA

Posted: 27 Apr 2011 06:10 AM PDT

KUALA LUMPUR, 27 April – Satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Klip video tersebut dimuat naik pada Rabu di dalam laman 'Youtube' dan laman web blogger Papagomo, www.papagomo.com kira-kira 1.30 tengah hari ini, lapor Bernama Online.

Sebelum ini pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Pada 21 Mac lalu, tiga individu yang menggelarkan diri mereka "Datuk T" telah mendedahkan kewujudan video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Terdahulu, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, yang mendedahkan video seks yang pelakunya didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memberi sampel DNA beliau kepada pihak polis.

Eskay berkata beliau telah diminta datang ke Bukit Aman untuk memberikan sampel DNA itu dan juga untuk memberi keterangan tambahan untuk membantu siasatan kes video seks itu.

"Saya secara sukarela telah memberi sampel DNA kepada pihak polis untuk membantu siasatan kes video seks," katanya kepada pemberita di luar pintu masuk Bukit Aman.

Katanya, beliau berada di Bukit Aman dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan turut ditanya beberapa soalan oleh pihak polis.

Eskay berkata beliau akan mengadakan satu sidang akhbar esok untuk memberikan situasi terkini mengenai video itu.

PAS Kedah sokong Hadi kekal presiden

Posted: 27 Apr 2011 05:17 AM PDT

ALOR SETAR, 27 April – PAS Kedah akan terus menyokong dan mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden pada pemilihan parti Jun ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata Abdul Hadi adalah orang yang paling layak memimpin PAS ketika ini kerana berjaya membawa banyak perubahan kepada parti.

"Beliau telah membawa kejayaan besar kepada PAS. Di bawah beliau, kita dapat menawan Kedah...kita juga dapat mengekalkan Kelantan. Beliau juga berjaya meyakinkan ahli-ahli untuk bekerjasama dan berganding bahu di bawah Pakatan Rakyat.

"Dulu kita susah nak bekerjasama dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat," kata Menteri Besar Kedah itu kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding jawatan tertinggi parti pada pemilihan itu, Azizan berkata beliau menyerahkan kepada anggota parti untuk mencalonkannya bagi sebarang jawatan.

"Saya pernah jadi Naib Presiden tetapi kemudian pemilihan lepas saya tak bertanding. Saya hanya tunggu orang calonkan saya untuk saya bertanding," katanya dipetik Bernama Online.

Mengulas mengenai kemungkinan pemilihan kali ini akan menyaksikan pertandingan sengit, Azizan berkata pemilihan dalam PAS sengit sejak dahulu lagi tetapi kurang mendapat perhatian media.

Beliau turut menafikan wujud kem dalam PAS berdasarkan keadaan semasa yang membayangkan banyak individu mahu merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.

"Setakat yang saya tahu..tak ada kem-kem dalam PAS. Tapi kalau di luar pengetahuan saya, saya tak tahulah," katanya.

Isu Wahabi: Jakim jelas pandangan pegawainya salah

Posted: 27 Apr 2011 02:55 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

PUTRAJAYA, 27 April — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memanggil pegawainya Zamihan Mat Zain yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini.

Pengesahan itu dibuat Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha ketika sidang media di sini.

"Padangan beliau (Zamihan) itu salah, kita memang menjemput Imam Besar Masjidil Haram ini dan menerima kunjungannya untuk menjalin hubungan lebih erat antara dua negara termasuk tentang Islam.

"Jadi tidak ada seperti yang didakwa kononnya Imam Besar Masjidil Haram ini cuba menyuntik fahaman Wahabi dan sebagainya, saya telah panggil pegawai ini pagi tadi serta memberi penjelasan kepada dia tentang kehadiran Imam Besar Masjidil Haram ini ke Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada Jakim akan mengambil tindakan terhadap Zamihan, Othman bagaimanapun berkata pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu perkara itu.

"Kita akan siasat dulu perkara ini dan dalam pertemuan dengan pegawai ini pagi tadi saya dah jelaskan, nampaknya dia akur dengan apa yang saya katakan.

"Apa-apa pun kita akan siasat dulu, kita ikut prosedur... tindakan itu akan dibuat kemudian," katanya.

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Semalam, Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar anjuran kerajaan negeri Perlis itu.

"Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

"Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima," kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kenyataan yang dikeluarkan Zamihan itu bukan mewakili kerajaan atau Jakim.

"Apa yang dia katakan tidak mewakili kerajaan dan Jakim, itu mungkin hanya pandangan peribadinya.

"Biasalah dia ini, biasanya bila orang cakap A, dia akan cakap B tapi apa yang dia katakan dalam perkara ini bukan sebagai lidah kerajaan," tegasnya.

Sambil mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman, Jamil Khir berkata kunjungan itu bertujuan untuk mewujukan hubungan yang lebih erat antara dua negara - Malaysia dan Arab Saudi.

Selain itu, Juanda turut mempertahankan kehadiran Sheikh Abdul Rahman sambil menafikan beliau cuba menyuntik fahaman Wahabi.

Sehubungan itu kata beliau, kenyataan bahawa Sheikh Abdul Rahman telah menggunakan platform jemputan kerajaan untuk menyebarkan amalan Wahabi di Malaysia adalah "satu fitnah."

AMK desak polis tangkap individu, blogger sebar video fitnah

Posted: 27 Apr 2011 01:00 AM PDT

CYBERJAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mendesak pihak polis mengambil tindakan segera terhadap individu dan blogger pro BN kerana menyebar video seks fitnah, yang dikaitkan dengan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

AMK menamakan pengguna youtube 'thepowercam', blogger Pisau.net dan Papagomo, antara individu yang memuatnaik dan menyebarkan video tersebut, dalam usaha meneruskan tuduhan fitnah terhadap Anwar.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, tindakan itu wajib dilakukan untuk membuktikan komitmen pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani penyebaran bahan kes yang masih dalam siasatan.

"Menteri Penerangan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim perlu menjalankan fungsinya.Pihak SKMM perlu menyiasat dan mendakwa pihak yang membocorkan bahan kes dan menyebarkannya di internet.

"Sehingga hari ini, blog-blog tersebut masih menyiarkan video itu, manakala komen dan ulasan pelayar web berbentuk lucah dan menghina.

"Persoalannya, kenapa mereka masih terus mengaitkan video tersebut dengan Anwar? Dari mana mereka dapat video tersebut, sedangkan orang pertama yang menyiarkan video itu mengakui, hanya dia dan pihak polis yang mempunyai bukti tersebut," katanya.

Terdahulu sebelum itu, Rozan dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kertas siasatan yang dibuka susulan aduan AMK Malaysia pada 5 April lalu mengenai aduan terhadap blogger-blogger pro BN di ibu pejabat SKMM di Cyberjaya, hari ini.

KEADILAN fail petisyen Pilihanraya Sarawak – Baru Bian

Posted: 27 Apr 2011 12:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: KEADILAN sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada pilihanraya Sarawak yang berakhir 16 April lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian berkata, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggazetkan keputusan pilihanraya itu, pihaknya akan memfailkan petisyen dalam tempoh 14 hari.

"Itu undang-undang yang perlu kita patuhi. Tujuan memfailkan petisyen ini bagi memastikan ketelusan proses pilihanraya terutamanya di beberapa kawasan yang kita mempunyai bukti Barisan Nasional merasuah penduduk sehingga calonnya menang.

"Malah, ugutan turut berlaku. Setiap cabang KEADILAN di kerusi DUN yang kita tandingi sudah diarahkan termasuklah mengumpulkan bukti bergambar bagi memastikan petisyen yang kita failkan kelak benar-benar teliti," katanya kepada Keadilandaily.com.

Baru yang juga Adun Ba'kelalan menjelaskan, kerusi yang pasti akan difailkan termasuk DUN Senadin yang menyaksikan calon KEADILAN, Dr Michael Teo Yu Keng hanya tewas 58 undi kepada BN dalam saingan satu lawan satu.

Namun, katanya, SPR enggan membuat kiraan semula undi meskipun didesak oleh calon dan wakil calon KEADILAN supaya berbuat demikian.

"Dalam kes Senadin misalnya, terdapat bukti kotak undi di usik manakala pegawai SPR enggan mengira semula undi walaupun dari segi undang-undang pengiraan harus dibuat. Bukti seperti ini akan turut diambil kira di DUN lain yang kita tandingi," katanya.

Sebelum ini, calon KEADILAN di DUN Tebedu, Dr Christopher Anak Kiyui percaya SPR bersuhabat memenangkan BN di kawasan itu melalui tandatangan palsu pada borang 14.

"Dari 45 agen kira undi (PACA), hanya lima orang diberi Borang 14 yang asli. Seramai 35 agen KEADILAN lain tidak dapat, (kecuali) semuanya borang adalah salinan (fotostat).

"Apabila diperiksa, satu borang itu wujud pemalsuan dua tandatangan (pada Borang 14) disyaki (dilakukan oleh) SPR. Bilangan undi pada Borang 14 turut diubah pihak tertentu," kata Christopher yang sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Maung pada 18 April lalu.

DUN Tebedu dimenangi calon BN, yang juga penyandang kerusi itu selama 15 tahun, Datuk Michael Manyin Anak Jawong dengan majoriti 4,066 undi berbanding undi yang diraih Christopher sebanyak 2,130.

Calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) Anthony Anak Nais dan calon Bebas Kipli Anak Ale yang turut bertanding di kerusi itu masing-masing hanya mendapat 468 dan 260 undi sekaligus hilang wang pertaruhan.

Pembangkang Singapura dijangka letak ramai calon

Posted: 26 Apr 2011 11:30 PM PDT

SINGAPURA, 27 April — Dengan hari penamaan calon hari ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerusi partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menghadapi pilihan raya umum buat kali kedua.

Buat kali ini juga, pihak pembangkang dijangka menamakan calon mereka untuk bertanding di lebih banyak kawasan berbanding pada tahun 2006.

Penamaan calon bermula 10.30 pagi di sembilan buah pusat.

Pada 2006, Lee mengetuai PAP untuk memenangi 82 daripada 84 kerusi termasuk di 37 kerusi yang calonnya menarik diri.

Lee dan enam anggota pasukannya memenangi kawasan undi perwakilan kumpulan (GRC) atau kawasan parlimen Ang Mo Kio dengan mendapat 96,591 (60.42 peratus) undi daripada keseluruhan 159,872 undi yang dibuat.

Kebanyakan kumpulan Pekerja Parti (WP) pembangkang seramai enam orang adalah dalam lingkungan umur 20-an dan ini akan menjadi pertama kali GRC Ang Mo Kio ditandingi selepas 15 tahun.

Pilihan raya umum kali ini akan turut menjadi ujian buat Lee ekoran beberapa kawasan yang tidak pernah ditandingi buat beberapa tahun akan ditandingi oleh pembangkang, lapor Bernama Online.

Antara kawasan itu ialah GRC Marine Parade, GRC Bishan-Toa Payoh dan GRC West Coast.

Saluran NewsAsia melaporkan pertarungan sengit dijangka berlaku di GRC Aljunied.

PAP sebelum ini berkata pilihan raya umum kali ini ialah mengenai pembaharuan kepimpinan dengan kemungkinan pasukan teras merupakan pemimpin generasi keempat daripada 24 calon baru yang bertanding.

Lee yang juga Setiausaha Agung PAP berkata: "Calon yang bertanding dalam pilihan raya umum ini akan membentuk pasukan kepimpinan masa depan Singapura."

Manifesto PAP bertemakan "Securing Our Future Together" yang menjadi tugas pasukan baru untuk melaksanakannya.

Khir Toyo: 1Melayu, 1Bumi ‘perjuangan sah dan mulia’

Posted: 26 Apr 2011 11:15 PM PDT

KUALA LUMPUR, 27 April — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo berkata gerakan "1Melayu, 1Bumi" - idea dilontarkan Utusan Malaysia dan disahut Perkasa, patut dianggap sebagai satu "perjuangan yang sah dan mulia" jika bertujuan menyatupadukan kaum Bumiputera dan Islam.

Sebaliknya kata beliau, gerakan itu bertujuan memindas dan menghancurkan kaum Cina, maka ia sepatutnya dianggap perkauman dan ditentang habis-habisan.

"Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan Bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia," katanya lagi.

"Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum Bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina, maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain," kata beliau dalam entri terbaru blognya.

Justeru kata beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Besar ini menambah, perkauman atau tidak slogan '1Melayu 1Bumi" yang dicadangkan oleh Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Datuk Zaini Hassan bergantung kepada pelaksanaan, tuntutan dan kehendak gerakan tersebut.

Gerakan itu akan dilancarkan oleh Perkasa di Alor Setar Sabtu ini.

Semalam, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata gerakan gelombang "1Melayu 1Bumi" akan menggugat matlamat gagasan 1 Malaysia yang sudah mula diterima ramai.

Bagaiamanapun beliau tidak melihat langkah menggerakkan gelombang itu berada dalam kedudukan yang betul memandangkan gagasan 1 Malaysia sudah pun diterima dengan baik menerusi pelbagai aktiviti diadakan ke arah itu.

Ahli Parlimen Jelebu ini berkata sebarang idea yang bercanggah dengan gagasan 1 Malaysia tidak seharusnya disokong.

Perkasa bertegas mahu meneruskan pelancaran gerakan "1Bumiputera" - menyahut idea "1Melayu, 1Bumi" walaupun tidak disambut baik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jumaat lalu, Dr Mahathir berkata idea gelombang "1Melayu, 1Bumi" adalah tidak baik untuk negara jika diadakan dan akan membawa kepada malapetaka.

Dr Khir juga menulis bahawa bagi orang Melayu sendiri corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan Bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

"Justeru apakah mahu dipersalahkan penulis Melayu dan orang Melayu jika ada yang menganjurkan slogan 1Melayu 1Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

"Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?" katanya.

Malahan soal beliau, apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman.

"Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman," katanya lagi.

"Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?" tulis beliau lagi.

Bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ini bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia.

"Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia," katanya lagi.

Tak patut syaki Imam Besar Masjidil Haram suntik Wahabi, kata bekas MB

Posted: 26 Apr 2011 10:57 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 27 April — Tiada sesiapa pun wajar menuduh seseorang itu berfahaman ataupun cuba mengembangkan fahaman Wahabi, kata bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sambil menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya ekoran isu terbaru ini.

Mengulas laporan yang memetik Zamihan Mat Zain, pegawai Jakim yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini, Shahidan berkata:

"Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak...tiadak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu, saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini."

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Shahidan sendiri dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Dan, semalam Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman, yang berada di Malaysia minggu lalu sempena lawatan kerja lima hari cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform "kerajaan dengan kerajaan."

Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar "Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah" bertemakan "Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai."

Seminar anjuran kerajaan negeri Perlis selama dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

"Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

"Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima," kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sambil menyifatkan tindakan Zamihan itu keterlaluan, Shahidan berkata tuduhan yang melampau terhadap Sheikh Abdul Rahman itu adalah satu perkara yang tidak wajar bagi seorang individu yang berpendidikan agama.

"Ini boleh rosakkan dan jejaskan hubungan kita dan Arab Saudi, mana boleh kata individu itu berfahaman Wahabi.

"Imam Besar ini datang ke Malaysia atas rangka lawatan kerja. Ketika solat Jumaat tempoh hari ramai yang datang dengar khutbah Jumaat yang beliau berikan, ramai yang beri pengiktirafan kepada beliau," kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini ketika ditemui pada satu majlis di sini malam tadi.

"Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak... tidak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu.

"Saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini," katanya lagi.

Tegas beliau, apa yang dilakukan Zamihan ini adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan .

"Apa hak dia (Zamihan) nak mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini? Imam Besar ini datang dengan niat baik untuk satukan umat Islam, salahkah jika ada orang yang berbuat demikian? Salahkah kalau ada orang yang berdoa demi kebaikan kita semua?

Live! Polis Kelantan Bersama Rakyat

Posted: 26 Apr 2011 08:09 PM PDT

Timbalan ketua polis Kelantan sedang berucap. Hari ni pihak polis mengadakan polis bersama rakyat.

Tiada ulasan: