Rabu, 20 April 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


NGO sivil dakwa ancaman Pembela canggah Perlembagaan

Posted: 20 Apr 2011 09:31 AM PDT

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani


Kumpulan sivil bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya petang ini. – Foto oleh Jack Ooi
KUALA LUMPUR, 20 April – Sekumpulan pertubuhan sivil hari ini kesal dengan kenyataan Pembela, pertubuhan badan bukan kerajaan, yang meminta pemimpin-pemimpin Muslim bersatu menentang pelampau Kristian.

Pembela, ikatan pertubuhan-pertubuan Islam, mengadakan protes di pekarangan Masjid Negara Jumaat lalu berhubung keputusan Putrajaya melepaskan kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab dan mengisytiharkan sedia bermandikan darah terhadap pelampau Kristian yang menghina dan memperkecilkan kedudukan Islam.

Pertubuhan sivil itu hari ini menggesa pihak polis menyiasat ugutan itu demi melindungi hak dan kebebasan setiap rakyat tanpa mengira agama dan kepercayaan.

"Kenyataan sedemikian bertentangan dengan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Kami percaya bahawa pandangan sedemikian tidak mewakili sentimen majoriti masyarakat Muslim di Malaysia yang cintakan keamanan," kata jurucakapnya Elaine Teh.

Teh juga berkata, berita mengenai demonstrasi itu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk disiarkan oleh akhbar Amerika Syarikat, USA Today.

"Kami mengambil berat kenyataan-kenyataan sebagaimana dilaporkan oleh The Malaysian Insider, yang kelihatan seolah-olah memberi amaran dan ancaman kepada rakyat Malaysia yang lain.

"Kami juga sedih dengan perkembangan ini dan menggesa rakyat Malaysia tidak memprovokasi atau menghasut rasa benci dan tindakan ganas ke atas rakyat Malaysia yang berlainan kaum," katanya.

Kumpulan sivil itu terdiri daripada All Women's Action Society Malaysia (Awam), Majlis Gereja Pemuda Malaysia (CCM Youth), Jawatankuasa Hak Asasi Sivil Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor, Islamic Renaissance Front (IRF), Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) dan Suara Rakyat Malaysia.

Terdahulu laporan polis terhadap Pembela dibuat oleh Annou Xavier di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.

1Melayu, 1Bumi: Pemimpin Pakatan mahu Najib tindak ke atas Utusan

Posted: 20 Apr 2011 09:27 AM PDT

Oleh Shazwan Mustafa Kamal


KUALA LUMPUR, April 20 – Wakil rakyat-wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dengan mencabar gagasan 1 Malaysia yang bersifat inklusif.

Hari ini, Utusan Maaysia meminta pemilik akhbar itu supaya mengadakan gerakan yang boleh dikenali sebagai "1Melayu, 1Bumi" melibatkan kesemua parti Melayu sambil mendakwa DAP mahu menggulingkan kerajaan pimpinan Melayu.

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, tulisan terbaru Utusan Malaysia yang bersifat "antinasional" membuktikan yang gagasan 1 Malaysia bukan satu kempen yang bertujuan bina negara yang serius, tetapi hanya bertujuan memancing undi melibatkan "Kemeja 1 Malaysia, Tupperware 1 Malaysia, Air Galian 1 Malaysia, Burger 1 Malaysia, akaun e-mel 1M dan lain-lain yang memburu keuntungan menggunakan 1M."

Kata beliau, dalam membuat gesaan antikebangsaan yang tidak bertanggungjawab, Utusan Malaysia sebenarnya meletakkan Najib dalam ujian sama ada beliau bersedia untuk mengambil tindakan ke atas Utusan dan mereka secara terbuka mencabar dasar 1 Malaysia.

"... atau beliau seorang Presiden Umno yang tiada kawalan sepenuhnya ke atas Umno," kata Lim dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam tulisan ruangan Cuit hari ini, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan berkata, DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina.

Katanya, hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuhnya oleh orang Cina tetapi yang lain "semua sudah."

"Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia," katanya.

Dia berkata slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina.

"Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini," katanya lagi.

Katanya, pilihan raya umum ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka.

Kata Zaini, "sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru."

Dia seterusnya berkata, pada pandangannya Umno harus melancarkan gelombang perpaduan bangsa "1Melayu, 1Bumi."

"Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain," katanya lagi.

Dalam ulasannya kata Lim, ruangan yang dibawa Utusan Malaysia adalah sesuatu yang tidak bertanggungawajab, yang hanya mahu memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dengan "pembohongan, fitnah dan kepalsuan."

"Ini adalah politik lama perkauman yang mesti memberi laluan kepada politik Malaysia, yang bersifat multirasialisme (sekarang)," kata ahli Parlimen ini.

Kata beliau, DAP tidak pernah bertindak sebagai sebuah parti politik bagi kaum Cina, sebaliknya ia adalah bagi semua rakyat Malaysia.

Malah kata beliau, ia juga merupakan parti politik Pan-Malaysia yang meluaskan sayapnya bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak.

Kata Lim, kejayaan DAP pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu merupakan hasil kerja keras politik selama 33 tahun bagi rakyat Malaysia dan juga Sarawak, yang percaya pada keadilan dan masyarakat yang saksama.

Sehubungan itu, beliau juga mencabar parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan pandangan mereka dalam isu terbaru ini.

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, Khalid Samad sealiran dengan pandangan Lim sambil berkata, editor Utusan Malaysia itu seharusnya dicaj di bawah Akta Hasutan.

"Mereka harus dikenakan tuduhan di bawah perkara-perkara berkaitan hasutan, mencetuskan ketegangan kaum," katanya lagi.

"Hakikatnya, apa yang dikatakan oleh mereka adalah salah belaka. DAP berjuang bukan hanya untuk satu kaum sahaja, mereka berjuang untuk sebuah kerajaan yang adil dan telus," kata Ahli Parlimen Shah Alam ini kepada The Malaysian Insider.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga mendakwa Utusan Malaysia dihantui dengan isu-isu bertunjangkan kaum dan kebimbangan bahawa masyarakat Cina akan menggulingkan kerajaan didominasi Melayu adalah sebahagian daripada "propaganda" Umno untuk kekal berkuasa.

Naib Presiden PKR Chua Tian Chang pula memberitahu, tulisan Utusan Malaysia hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa ia tidak boleh menyesuaikan diri dengan fenomena masyarakat "pelbagai kaum."

"Ini cara bagaimana mereka hendak menggambarkan setiap perkara... setiap satu adalah konspirasi besar menentang Umno.

"Ia hanya helah untuk kekal berkuasa," kata Ahli Parlimen Batu ini.

Projek emel 1Malaysia, mustahil tidak dibiaya kerajaan

Posted: 20 Apr 2011 07:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, mustahil projek emel 1 Malaysia yang menelan kos RM50 juta, dibiayai sepenuhnya oleh syarikat Tricubes Berhad, yang disenarai sebagai syarikat bermasalah di Bursa Malaysia.

Menurutnya, bukan pertama kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sesuatu projek yang kononnya dijalankan pihak swasta tanpa mendapat sokongan kewangan daripada kerajaan.

"Selepas sebulan atau dua bulan projek itu diumumkan ada sahaja kos yang dibiayai kerajaan,

"Rekod sebelum ini menunjukkan semua projek yang dikatakan dijalankan pihak swasta, dibiayai kerajaan samada menerusi pinjaman boleh ubah, pinjaman yang dijamin kerajaan atau melalui pemberian hartanah," katanya kepada Keadilandaily.com

Beliau merujuk projek pembinaan Aliran Transit Massa (MRT) oleh syarikat MMC-Gamuda yang pada awalnya diumumkan Najib dibiayai sepenuhnya syarikat tersebut.

"Tapi tak sampai 5 hingga 6 bulan, MMC dibiayai sepenuhnya dari kerajaan. Serupa juga dengan projek pembangunan semula Sungai Besi yang diambil tanah milik kerajan untuk diberikan kepada pihak swasta," katanya.

Ditanya mengenai pulangan atau keuntungan yang mampu dihasilkan menerusi penyediaan perkhidmatan emel 1Malaysia, beliau berkata terdapat dua kaedah iaitu menerusi pengiklanan dan caj perkhidmatan yang dikenakan kepada kerajaan.

"Tetapi mustahil keuntungan daripada iklan dalam emel ini berbaloi dengan hampir 1 bilion penduduk dunia yang menggunakan gmail atau hotmail. Tidak mungkin sistem emel ini sebaik gmail atau google.

"Jadi satu-satunya cara adalah dibiyai kerajaan melalui caj perkhidmatan atau pengiklanan besar-besaran seperti kempen 1Malaysia melalui emel tersebut. Ia akan dikenakan yuran perkhidmatan atau pengurusan, atau yuran pengiklanan supaya kerajaan dapat membiayai projek tersebut.

"Akhirnya kalau diteliti semula pengurusan kewangannya, tindakan BN yang bagi tender RM50 juta kepada Tricubes ini sama lah tindakan kerajaan menyelamatkan syarikat yang hampir bankrap.

"Keadaan ini sama seperti kerajaan bail out untuk menyelamatkan syarikat yang hampir muflis," ujarnya yang juga Pegawai Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Katanya, kerajaan juga perlu mendedahkan kertas tender yang dikeluar Unit Pemodenan tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) kepada syarikat-syarikat pembida projek penyediaan sistem emel berkenaan.

Ini berdasarkan kenyataan Tricubes kepada Bursa Malaysia pada 4 April lalu di mana syarikat teknologi maklumat itu memaklumkan ia telah dianugerahkan projek berkenaan oleh Mampu.

"Kerajaan memberi tender RM50 juta kepada Tricubes yang dipersoal kelangsungan kewangannya kerana disenarai sebagai Syarikat GN3 dalam Bursa Malaysia, berdasarkan prestasi kewangannya yang buruk dan dijangka akan bankrap,"ujarnya.

Keluarga Najib kuasai kepentingan Masjid Kg Baru- Dr Lo’ lo

Posted: 20 Apr 2011 06:16 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali mendedahkan bahawa keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menguasai sepenuhnya kepentingan Masjid di Kampung Baru.

Manakala pemilihan Ahli Jawatankuasa masjid pula tidak pernah dibuat sehinggakan masyarakat di Kampung Baru sendiri tidak boleh akses berkenaan kewangan dan ketelusan pengurusan masjid.

Menurutnya, semasa beliau mengajukan soalan mengenai projek RM20 juta semasa sidang Parlimen baru-baru ini, Najib hanya menjawab secara ringkas bahawa projek tersebut masih dalam perbincangan.

"Soalan saya tentang isu projek RM20 juta Masjid Kampung Baru tidak pula di jawab, tetapi mengatakan masih dalam perbincangan dan tiada apa-apa pelantikan dibuat lagi.

"Tetapi laporan media memberitahu reka bentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela oleh syarikat adik Najib, NRY Architects yang dimiliki Datuk Nazim Razak," katanya kepada Keadilandaily.com.

Kata Dr Lo' lo', semasa sesi pertanyaan di Parlimen Mac lalu, beliau turut meminta supaya tawaran dibuat secara tander terbuka dan bukan secara runding terus.

"Saya juga minta supaya dibuat tawaran tender terbuka bukan 'direct nego'," ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat.

Pada awal Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM 20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan.

Peruntukan bagi masjid itu akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kontrak pengubahsuaian Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur diberi kepada firma arkitek adik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Badrul Hisham menggesa perdana menteri memperjelaskan perlantikan firma Nazim sama ada atas kapasitinya sebagai timbalan pengerusi masjid ataupun sebagai adik perdana menteri yang menurutnya kedua–duanya ada pertembungan kepentingan.

Seorang arkitek NRY Architects, Muhd Syafeeq Subhi dilaporkan berkata syarikat itu dilantik oleh jawatankuasa masjid berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan rekabentuk bagi pembangunan semula masjid tersebut.

Adik Najib ada kepentingan dalam inisiatif emel 1Malaysia

Posted: 20 Apr 2011 04:43 AM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kepentingan dalam projek emel 1Malaysia yang diumumkan Najib semalam.

Perkara itu didedahkan portal berita dalam talian, MerdekaReview dalam artikel mereka hari ini.

Projek emel 1Malaysia yang bernilai RM50 juta diberikan kepada Tricubes Berhad dan setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas bakal memperolehi satu akaun email untuk urusan komunikasi terus dengan jabatan kerajaan.

Menurut artikel itu, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd yang merupakan usaha sama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Commerce Group.

"Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan).

"Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group," menurut artikel itu.

Menurut artikel itu lagi, Tricubes yang merupakan syarikat bertaraf GN3 di Bursa Malaysia dan berhadapan kemungkinan dinyahsenarai pernah cuba membida 32.2 peratus saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad namun gagal memperoleh saham itu.

Penganugerahan projek emel 1Malaysia bernilai RM50 juta itu dipercayai untuk membantu program penstrukturan kewangan Tricubes.

"Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober," artikel itu dipetik.

Menurut artikel tersebut, perkara yang paling menghairankan, adalah tindakan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) yang mendakwa mengutamakan meritokrasi dan ketelusan tetapi pada masa sama melantik sebuah syarikat yang berdepan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan.

Kenyataan Balas Prof Aziz Bari Terhadap Pemuda Pas Wilayah

Posted: 20 Apr 2011 02:31 AM PDT

Aziz Bari: Pemuda PAS 'jangan naik minyak' kerana kritik Hadi

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 20 April — Prof Abdul Aziz Bari menasihatkan Dewan Pemuda PAS supaya tidak "mengamuk dan naik minyak" ekoran pandangannya bahawa Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang kini dilihat sebagai liabiliti kepada parti komponen Pakatan Rakyat itu.

Justeru tegas penganalisis politik ini, Dewan Pemuda PAS khususnya kepimpinan Wilayah Persekutuan seharusnya memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah (Persektuuan) tak perlu melenting. Mereka kena faham konsep dan implikasi kepemimpinan dalam politik moden berperlembagaan hari ini," kata ahli akademik ini.

"Mungkin Dewan Pemuda Wilayah berasa PAS sekarang hebat. Itu hak mereka. Tetapi tak perlulah mereka mengamuk.

"Saya fikir elok mereka bekerja untuk memastikan kemenangan pemimpin yang mereka fikir baik," kata beliau dalam satu kenyataan balas hari ini.

Semalam, pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Herman Samsudeen turut menyanggah pandangan Aziz sambil berkata, jika benar beliau menjadi liabiliti, sudah lama PKR dan DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS.

"Selain itu, pandangan Aziz yang asyik mengulang isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan presiden PAS tidak ubah seperti pandangan budak tadika sahaja.

"Ia jelas menunjukan kelemahan bacaan politik beliau yang mana, di bawah kepimpinan Presiden hari ini, PAS berjaya menguasai dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah walaupun gagal menguasai Terengganu pada 2008, malah jumlah kerusi PAS di Parlimen pada 2008, bertambah tiga kali ganda iaitu 24 kerusi dari tujuh kerusi pada 2004," katanya.

Sebagai presiden kata beliau, keupayaan prestasi beliau dilihat berdasarkan keupayaan parti di seluruh negara bukannya di Terengganu sahaja.

"Dan, ia sudah cukup membuktikan kebangkitan semula kepimpinan PAS di bawah presiden," katanya.

Kata beliau, Aziz juga kelihatan agak bingung ketika mendakwa Hadi adalah punca kegagalan 16 September.

"Di tadika manakah fakta ini diperolehinya? Adakah beliau ada membuat kajian ilmiah tentang hal ini sebagai profesor atau sekadar menggantungkan lidah beliau pada hujahan berasaskan persepsi.

"Nampaknya beliau sengaja mengkambinghitamkan presiden PAS dengan pelbagai tuduhan liar, hanya untuk melampiaskan nafsu amarahnya yang tidak ketahuan punca," kata beliau lagi.

Pemimpin-pemimpin PAS mempertahankan kepimpinan Hadi sambil menegaskan pemimpin veteran itu bukan liabiliti kepada parti Islam sepert didakwa Aziz.

Sebaliknya, mereka sebulat suara berkeyakinan Hadi yang telah menerajui PAS sejak 2002 masih releven untuk menjadi pemimpin nombor satu parti itu ekoran kejayaan yang telah dicapai semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Ketua Dewan Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan at-Tantawi pula berkata alasan yang diberikan Aziz itu adalah perkara yang akan sentiasa dibangkitkan setiap kali menjelang pemilihan parti itu.

Dalam kenyataan hari ini, Aziz juga berkata, ramai yang akur bahawa ruang yang ditinggalkan oleh Fadhil tidak dapat diisi oleh Hadi.

"Fadhil hebat kerana beliau meninggalkan landasan yang hari ini menjadi asas Pakatan Rakyat. Sebaliknya, Hadi mempunyai imej yang berbeza. Walaupun belum ke tahap meninggalkan Pakatan golongan ini sudah pernah mengungkit kedudukan mereka dalam Pakatan," kata beliau.

Oleh itu kata beliau, mereka yang mahu perubahan dalam negara perlu menyokong perubahan dalam PAS.

Katanya, perubahan dalam negara sukar untuk berlaku tanpa sistem dua parti yang mantap. PAS di bawah Hadi tidak peduli konsep ini.

"Meskipun Hadi dan kumpulannya menjerit-jerit untuk menggantikan Umno mereka tidak bekerja untuk membina sebuah sistem yang perlu ke arah itu. Sebab itu Umno senang dengan mereka," katanya lagi.

Aziz berkata, sesiapa yang berjawatan dalam politik perlu akur bahawa prestasi mereka sentiasa dinilai dan dikritik.

"Siapa raja, baik putera raja, ulama, cendekiawan dan lain-lain, perlu akur bahawa mereka tidak lagi kebal dari penilaian dan kritikan," katanya lagi.

Aziz menambah, "komen saya mungkin keterlaluan bagi mereka" tetapi bagi mereka yang prihatin tentang perlunya perubahan, komen itu boleh dipertimbangkan.

"Komen saya berdasarkan pemerhatian dan suara yang dizahirkan oleh pemimpin dan ahli parti. Saya tak perlu dedahkan siapa mereka. Itu kerja parti, termasuk Dewan Pemuda Wilayah, untuk menyiasatnya," katanya lagi.

Soal Aziz, jika Presiden Umno boleh dikritik, mengapa tidak Presiden PAS.

"Lagipun PAS sudah mendakwa yang ia bersedia mengganti Umno. PAS juga mendakwa ia parti untuk semua, termasuk orang bukan Islam.

"Dengan itu PAS perlu inklusif, bukan eksklusif. Mengamuk dan naik minyak bila dikritik bukan ciri parti politik," katanya.

Aziz juga berkata, beliau tidak mengkritik Hadi atas dasar peribadi, sebaliknya mengkritik prestasnya kerana ingin melihat PAS parti penting.

"Ia bukan sahaja parti utama Pakatan Rakyat tetapi ia parti yang senior dan mempunyai banyak ahli, khabarnya sejuta. Ertinya PAS parti terbesar dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Sebab itu katanya, Umno sentiasa gelisah dengan PAS dan cuba mencari jalan untuk menggoncang kesetiaannya dalam Pakatan Rakyat.

"Sikap dolak dalik Presiden PAS dalam isu 16 September semua orang tahu. Begitu juga dengan gagasan kerajaan perpaduan," katanya.

Aziz juga mengaitkan kritikan terbaru ini dengan prestasi parti-parti komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

"Cuba bandingkan perancangan DAP di Sarawak. Mereka bekerja sejak tahun yang lalu. Saya rasa PAS tidak berbuat begitu.

"Mereka sepatut menang di Beting Maro. Dalam soal ini, siapa yang patut menanggungnya?" katanya.

Beliau seterusnya memberikan analogi "jika pemain gagal bermain dengan baik pasti ada yang tidak kena dengan sistem permainan dan taktik yang dipakai."

"Dan, siapa yang hendak dipersalahkan? Jawabnya jurulatih atau pengurus pasukan. Kita akur bahawa menukar ketua tidak semestinya menghasilkan keputusan yang positif.

"Tetapi kita mesti mencuba. Kita tidak boleh mengekalkan pengurusan yang prestasinya hambar," katanya lagi.

TG Nik Aziz Pertahankan TG Haji Hadi Berkaitan Liabiliti PAS

Posted: 20 Apr 2011 12:51 AM PDT

Nik Aziz pertahan Hadi, pemimpin PAS hanya ditukar jika langgar syariat Allah

Oleh G Manimaran

KUALA LUMPUR, 20 April — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertahankan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai "langkah kurang tepat", Mursyidul Am PAS berkata, "pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT."

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Laporan media semalam memetik penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS menegaskan, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah terutama Hadi yang kini dilihat sebagai liabiliti.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Lebih-lebih lagi pandangan ini dilontarkan selepas PAS sekali lagi gagal memperoleh sebarang kerusi di Sarawak apabila tewas di kesemua lima kerusi yang ditandinginya.

Sehubungan itu kata Aziz, Hadi, 64, yang juga Ahli Parlimen Marang dilihat telah gagal mempertahankan parti dalam beberapa isu berbangkit.

Nik Aziz menambah kata, sememangnya memenangi pilihan raya ialah satu perkara yang dikehendaki, namun kegagalan

untuk menang dalam pilihan raya bukan sahaja berlaku hari ini, bahkan ia telah berlaku semenjak PAS ditubuhkan lagi.

"Hakikatnya, kekalahan dan kemenangan sentiasa silih berganti dalam perjuangan PAS. Jika hanya kerana

mengalami kekalahan, PAS mahu menukar pemimpin, apa kata jika PAS terus kalah apabila pemimpin ditukar?

"Adakah pada masa itu sekali lagi pemimpin akan ditukar? Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin

tersebut melanggar syariat Allah SWT," kata beliau lagi.

Nik Aziz juga berkata Aziz selaku seorang warganegara Malaysia yang layak untuk mengundi berhak untuk mengeluarkan pandangan beliau terhadap PAS.

"Ini kerana PAS selaku parti yang bertanding pada pilihan raya memerlukan undi daripada rakyat dan bukan hanya sekadar

undi ahli-ahlinya sahaja untuk menang di dalam pilihan raya.

"Justeru, ini merupakan hak Dr Abdul Aziz Bari untuk mengeluarkan pandangan beliau. Selebihnya, terserahlah kepada ahli-ahli PAS untuk membuat penilaian dan keputusan yang terbaik," katanya. Nik Aziz pertahan Hadi, pemimpin PAS hanya ditukar jika langgar syariat Allah

Memahami Kejahilan Politik BN

Posted: 19 Apr 2011 11:00 PM PDT

Dari Merdeka Review
Oleh Hafiz Zainuddin

PR kecundang, BN melemah

Kita tidak boleh menuduh rakyat Sarawak telah silap membuat pilihan. Atas kefahaman dan penilaian tertentu, mereka telahpun menggunakan ruang demokrasi yang disediakan sebaik mungkin. Yang pasti, Pakatan Rakyat nyata kecundang apabila gagal menggantikan BN malah menafikan majoriti 2/3 pun masih jauh.

Sama sekali PRN Sarawak kali ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada PR yang begitu yakin untuk menafikan majoriti 2/3 BN sekaligus membuktikan bahawa congakan awal oleh Zentrum meleset. Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya menunjukkan peningkatan undi kepada PR adapun BN masih selesa dengan kemenangan 55 kerusi dari 71 kerusi bertanding.

Secara umum, rakyat Sarawak masih selesa dengan BN dengan mandat baru yang telah diberikan.

Pada masa yang sama menjelaskan bahawa strategi kempen BN nampaknya gagal mempertahankan majoriti sedia ada walaupun jentera BN bertungkus lumus berkempen. Isu video seks nyata tidak memberi kesan kepada minda rakyat Sarawak malah populariti Najib dan Muhyiddin juga tidak mampu membendung kecenderungan pengundi untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kemenangan beberapa kerusi tambahan untuk Pakatan Rakyat juga melucutkan gelaran Sarawak sebagai fix deposit buat BN.

Kemenangan DAP menggusarkan?

Hampir 80% dari 15 kerusi yang di menangi Pakatan Rakyat didominasi oleh DAP. Ternyata, DAP berjaya mengubah sentimen rakyat yang selama ini menyokong SUPP yang mewakili sebahagian besar masyarakat Cina Sarawak. Kesimpulan pertama yang boleh dibuat dari kemenangan besar DAP ini ialah, masyarakat Cina komited dalam meneruskan agenda perubahan dengan memberikan sokongan padu mereka kepada calon-calon Pakatan Rakyat manakala PAS dan PKR pula telah mula diterima di Sarawak dengan peningkatan undi di kawasan-kawasan tertentu. Atas kejayaan besar ini DAP telah dimangsakan oleh media.

Apa lagi yang oleh diperkatakan dengan kemenangan besar DAP ini baik di Semenanjung mahupun di Sarawak? Sudah tentu kemenangan DAP ini menimbulkan rasa kurang senang dari BN yang telah hilang sokongan dan kepercayaan dari masyarakat Cina seolah-olah masyarakat Cina memberi signal kepada kerajaan bahawa "kami tidak perlu lagi diwakili di peringkat federal", "kami boleh berdiri dengan sendiri tanpa bantuan sesiapa".

Perubahan berani yang dilakukan oleh masyarakat Cina Sarawak telah disalah erti sebagai sebuah "kebangkitan Cina". Malah kemenangan DAP ini digambarkan sebagai menularnya "politik perkauman". Persoalannya, apakah jika masyarakat Cina memberi kemenangan kepada SUPP dianggap kemenangan untuk Melayu? Walhal calon-calon yang bertanding mewakili SUPP juga di kalangan masyarakat Cina. Apakah yang sebenarnya cuba digarapkan oleh media perdana negara ini dengan dakwaan yang begitu dangkal dan menjatuhkan imej profesional mereka. Sekiranya kita benarkan dakwaan ini, apa pula yang boleh dijelaskan dengan kemenangan PAS di Kedah dan bertahannya kerajaan PAS di kelantan selama lebih 20 tahun?

Kemenangan PAS dicemburui

Situasi politik dan budaya di Malaysia masih lagi berlegar disekitar faham perkauman sempit malah BN sangat selesa dengan "tradisi" ini. Isu kaum sering kedengaran di negara ini untuk mengalih perhatian rakyat kepada isu sebenar. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh Syed Husin Ali dalam bukunya Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan menyatakan bahawa "persaingan kelompok atasan diberi wajah kaum".

Masyarakat Bumiputera dan Melayu harus disedarkan dari salah faham ini. Ayuh kita lihat sebagai contoh; Jika PAS yang memenangi sesebuah kawasan atau negeri, orang Melayu akan dituduh sebagai golongan yang tidak mahu bersyukur dengan jasa kerajaan, jika PKR yang menang, rakyat akan dituduh pula sebagai menyokong pengkhianat bangsa dan jika kemenangan itu di pihak DAP (sudah tentu kawasan Cina), kemenangan itu ditafsir sebagai "kebangkitan Cina" Dan menunjukkan seolah-olah masyarakat Cina tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan atas dominasi ekonomi yang diperoleh. Apakah kita rakyat Malaysia juga perlu termakan dengan isu-isu sebegini?

Bukan kaum, tapi diskriminasi politik

Saya ingin bertanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi; apakah rakyat tidak punya hak untuk memilih sehingga jika ia tidak berpihak kepada pemerintah mereka akan dituduh sedemikian rupa? Haruskah rakyat di negara ini terus diperbodohkan dengan pandangan-pandangan berbaur perkauman yang tidak sihat dan ia dibiarkan berleluasa?

Kita masih lagi dalam bahang suasana PRN Sarawak. Kemenangan besar DAP sebenarnya menjelaskan bahawa masyarakat Cina mahu untuk berubah dan berani melakukan perubahan. Apa yang berlaku kepada masyarakat Bumiputera pula, mereka punya azam untuk berubah tetapi masih terperangkap dengan hegemoni Melayu-Melanau dan dibatasi dengan sikap sinikal dan takut apatah lagi masih dimainkan dengan politik projek "jalan raya" yang nampaknya masih belum selesai.

Soalnya sekarang bukanlah "kebangkitan Cina". Orang Cina telahpun bangkit dari kemiskinan mereka sejak selepas merdeka lagi. Keputusan PRN Sarawak sebenarnya menunjukkan bahawa masyarakat Cina cuba bersikap lebih realistik dan berani melakukan perubahan. Selain itu, ia juga membuktikan kepada kita bahawa masyarakat Cina lebih sensitif dan peka terhadap perkembangan politik tanah air. Saya bukanlah memuji tetapi inilah yang harus kita semua fikirkan bersama. Ya, agar kita seluruh rakyat Malaysia lebih realistik dan berani menyatakan pendirian terhadap isu-isu penyelewengan dan salah urus tadbir pemimpin-pemimpin negara.

Memang, Bumiputera-apalagi orang Melayu diutamakan dalam arus pembangunan nasional agar dapat bersaing dengan masyarakat yang lain. Akan tetapi, dilema yang dihadapi bukan diskriminasi dari sisi kaum tetapi apa yang berlaku adalah diskriminasi politik. Lihat sahaja apa yang pernah berlaku di Terengganu berkaitan royalti minyak yang ditukar kepada Wang Ihsan apabila PAS berjaya membentuk kerajaan di sana. Begitu juga diskriminasi berbelas-belas tahun kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Kelantan dalam hal peruntukan kewangan dalam projek bekalan air bersih yang sehingga kini menjadi tanda soal.

Nampaknya isu perkauman ini sengaja terus dibangkit dalam mempertahan monopoli politik BN agar dilihat perjuangan mereka relevan sehingga sekarang. Apakah kemiskinan sebahagian masyarakat bumiputera di bandar dan di kawasan pedalaman di hadapan mata kita membuktikan BN benar-benar memperjuangkan nasib golongan ini? Dan apakah kita masih tidak malu kerana masih dicengkam dengan hegemoni kaum ini? Sejarah telahpun membuktikan kebenaran dan telah sampai masanya untuk kita merevolusikan minda!

*Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas.

Shuib cabar Anwar, dua pemimpin kanan PAS sumpah laknat

Posted: 19 Apr 2011 10:42 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 20 April — Bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR itu.

Selain itu, Shuib, salah seorang "Datuk T" turut mencabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya melakukan perkara sama kerana bertindak menafikan kebenaran rakaman video itu tanpa pernah menontonnya.

Selain Shuib, dua lagi Datuk T adalah bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang menggemparkan negara apabila mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih 21 Mac lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Shuib menegaskan rakaman video seks itu perlu dijadikan bukti di mahkamah bagi menuntut keadilan.

"Mana nak cari empat saksi yang boleh dipercayai zaman sekarang ni, macam mana nak cari? Kalau Abdul Hadi dan Nik Aziz jadi saksi sudah tentu mereka tidak akan menyebelahi kami.

"Abdul Hadi dan Nik Aziz nak jadi saksi macam mana, belum tengok sudah kata fitnah... fitnah... fitnah... ustaz macam mana ni? Belum tengok sudah buat keputusan dan kata fitnah.

"Mereka tak tengok filem sudah kata fitnah... fitnah... fitnah... saya cabar Abdul Hadi, Nik Aziz termasuk Anwar Ibrahim sumpah laknat sebab kata video itu fitnah," katanya.

Tambah Shuib, pihaknya juga mempersoalkan tindakan individu tertentu termasuk pemimpin Pakatan Rakyat yang bertindak menafikan kebenaran rakaman video seks itu tanpa menontonnya.

"Belum tengok sudah kata fitnah, saya juga cabar konco-konco mereka sumpah laknat juga... tengok dulu baru kata ini belum tengok sudah kata fitnah dan demi keadilan kena tengok dulu baru boleh cakap," katanya.

Sehari selepas pendedahan video seks itu, Anwar membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah pelaku aksi seks yang didakwa "Datuk T".

Dalam perbualan ringkas itu, Shuib berkata pihaknya tidak berniat untuk menyebarkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, Shuib menyifatkan sebarang tindakan yang mungkin dikenakan ke atas mereka sebagai "tidak adil" kerana mereka tidak sepatutnya didakwa atas tuduhan berkenaan.

"Kita bukan tunjuk kepada awam tapi hanya kepada pemberita sebagai saksi jadi kenapa mesti kami dipersalahkan.

"Kita tahu salah tunjuk... jadi tak adil kalau nak dakwa kita sahaja sebab itu saya marah, kalau boleh kita dah sebarkan kepada ramai orang," katanya.

Justeru kata beliau, selain memberikan keterangan di mahkamah, ketiga-tiga mereka sanggup menerima apa sahaja hukuman yang akan dikenakan nanti.

"Kalau salah tangkap sahaja kami tapi apa yang kita buat demi masa depan negara, agama dan bangsa... Anwar nak jadi perdana menteri tapi bolehkah orang yang berperangai macam syaitan dan tidak bermoral itu jadi perdana menteri?

"Bolehkah orang yang macam ini jadi perdana menteri, sebab itu kami buat pendedahan dan kami sanggup ke mahkamah, kami bukan cari salah tapi nak cari kebenaran," katanya sambil menegaskan tidak bimbang sekiranya dikenakan kemungkinan di penjarakan.

Laporan media sebelum ini memetik Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan rakaman video aksi seks itu mengikut Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah telah siap.

Acryl berkata laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah)," kata beliau.

Tan Sri Dr Zeti Dilantik Semula Gabenor Bank Negara

Posted: 19 Apr 2011 10:40 PM PDT

KUALA LUMPUR, 20 April - Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah dilantik semula sebagai Gebenor Bank Negara Malaysia (BNM) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, BNM berkata pelantikan semula itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Zeti, 64, telah memegang jawatan Gabenor sejak Mei 2000.

BERNAMA

Tiada ulasan: