Kerabu Bersuara ® |
- Kezaliman Mesti Dibenteras
- Video seks: Suruhanjaya diputus selepas siasatan polis
- Kesatuan Kastam: Bersihkan nama Sarbani, jangan dakwa ‘bunuh diri’
- Bukan lawan Taib Mahmud saja tapi seluruh kezaliman BN – Wan Azizah
- Manifesto Pakatan Rakyat Sarawak Tekad Jana Perubahan
- Infrastruktur asas buruk di Miri punca kes kematian
- Baru Bian pilihan Pakatan jadi Ketua Menteri Sarawak jika atasi BN
- Rahim Thamby Chik ‘kalah’ kali kedua – Johari Abdul
- Kekayaan dibolot Taib: Saifuddin buat analogi MU, Chelsea
- Undi Kristian, Cina penentu nasib Taib Mahmud?
- Angkara Ibrahim Melayu malu mengaku Melayu
- Live! Kuliah TG Nik Aziz 1
Posted: 08 Apr 2011 08:00 AM PDT KEZALIMAN MESTI DIBENTERAS Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin Negara kita dikejutkan dengan kes kematian 'jatuh bangunan' Ahmad Sarbani, Penolong Pengarah Kastam Selangor. Beliau merupakan saksi bagi kes penyelewengan dalam Kastam. Di mana baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan penyelewengan Kastam bernilai 108 billion. Satu jumlah wang rakyat yang begitu banyak. Jika wang itu diperuntukkan untuk subsidi atau pembangunan secara adil, tentu keseluruhan rakyat dapat menikmati. Peliknya lagi beliau mati kerana jatuh dari bangunan SPRM. Lebih aneh, sebelum ini Beng Hock yang cuba mendedahkan bukti rasuah juga mengalami nasib yang sama. Apakah kerana bangunan itu terlalu licin, atau tiada penghadang? Jika begitu bagaimana ia boleh diluluskan? Atau, ada hantu 'tolak orang' dari bangunan spesis 'pontianak sundal rasuah'. Peliknya, entah berapa ribu bangunan lain yang puluhan tingkat dalam negara ini, tidak pula sering kita dengar orang tergelincir. Mengapa asyik tergelincir di bangunan SPRM sahaja? Tambahan lagi yang tergelincir itu ada pula kaitan dengan saksi kes-kes penyelewengan dan rasuah yang besar-besar. Apakah ada Mafia atau al Capone yang sedang beroperasi dalam negara kita? Persoalan-persoalan ini memeningkan rakyat. Maka bisikan timbul di sana-sini. ketidakpuasan hati kedengaran secara terang dan nyata. Di kedai kopi ataupun di facebook. Bak kata Hajjaj yang zalim: "Fitnah (kekacauan) itu dicetuskan dengan bisikan, ia dihasilkan dengan aduan" (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/201) Zalimi Orang Lain Perbuatan seperti zina, minum arak, berjudi dan yang sewaktu dengannya memang besar dosanya. Ia adalah dosa antara hamba dengan Allah. Hamba itu menzalimi dirinya sendiri. Ia juga perlu dibenteras. Namun, dosa membunuh, rasuah, mencuri harta rakyat, menyeleweng harta negara adalah dosa yang jauh lebih besar kerana membabitkan kezaliman atau penganiayaan terhadap hamba-hamba Allah yang lain. Merosakkan imbangan dan keharmonian masyarakat secara menyeluruh. Dosa yang seperti ini patut dipandang lebih serius. Biasanya, maksiat peribadi memusnah pelakunya sahaja, tetapi kezaliman akan memusnah dan merosakkan semua termasuk mereka yang tidak bersalah. Ia akan mengenai anggota masyakat; yang baik ataupun yang jahat, mukmin ataupun kafir. Allah dengan itu memberi amaran: (maksudnya): "Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25). Dalam menafsirkan ayat ini Ibn 'Abbas berkata: "Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku dalam kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya".( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam). Musnah Masyarakat Ketidak sungguhan sesuatu masyarakat untuk menentang kefasadan dan kezaliman yang berlaku akan menyebabkan masyarakat itu dipinggirkan dari rahmat Allah lantas tercetuslah ketidak tenteraman dalam kehidupan. Justeru itu dilaknat kaum yang tidak menghalang pencerobohan hak dan mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya): "Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah: 78-79). Apabila kezaliman melata di setiap penjuru, ia bagai kandungan yang menunggu saat untuk pecah. Jika ia tidak dikawal, kemusnahan seperti yang berlaku dalam Dunia Arab hari ini akan terjadi. Si zalim mendapat musibah, rakyat turut mendapat susah. Persis kata Saidina 'Ali bin Abi Talib r.a: "Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus". (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/201). Muawiyah bin Abi Sufyan r.a juga memberikan nasihat yang berfaedah kepada gabenornya: "Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan orang jahat apabila dia kenyang" ((Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar'iyyah, 1/202). Ya, insan sekali mana pun baik, tidak mungkin dapat terus bersabar ditindas dan dizalimi. Sementara orang jahat yang kekenyangan hasil dari kelincahan mereka, akan meluaskan kezaliman dan kefasadan yang pelbagai. Ketika itu, yang baik akan memberontak, sementara yang jahat akan merosak. Keadilan Untuk Semua Walaupun seseorang itu mungkin tidak baik dari segi agamanya, namun ia bukan lesen untuk membolehkan dia dizalimi. Perbezaan agama, atau kumpulan atau amalan, tidak membolehkan masyarakat menindasnya dalam perkara yang dia tidak bersalah. Sebab itu Nabi s.a.w mengingatkan: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah). Dalam riwayat Ahmad juga, Nabi s.a.w bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ianya tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (Dinilai hasan oleh al-Albani dalam al-Sahihah). Pemerintah dan Rakyat Menghapuskan kezaliman adalah tugasan penting sesebuah pemerintahan. Menegakkan keadilan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Inilah yang termaktub dalam pelbagai nas al-Quran dan al-Sunnah. Nabi s.a.w mengingatkan para pemerintah tentang hal ini, sabda baginda: "Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman" (Riwayat Ahmad, Abu Ya'la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani). Sementara rakyat wajib menyokong segala usaha pemerintah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman. Begitu juga sebaliknya, pemerintah membantu rakyat menghapuskan kezaliman. Jika berlaku keadaan yang terbalik, sama ada di pihak rakyat ataupun pemerintah, maka tindakan anti-zalim mesti dilakukan sekalipun terpaksa bertembung. Ertinya, jika rakyat berlaku zalim, pemerintah wajib menegakkan keadilan dan menghapus kezaliman tersebut. Begitu juga jika pemerintah berlaku zalim, rakyat wajib menentang kezaliman dan meminta agar ditegakkan keadilan dan hak. Maka, Nabi s.a.w telah mengingatkan: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". (Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi, dinilai oleh al-Albani) Slogan inilah yang diterapkan oleh Saidina Abu Bakr al-Siddiq kepada rakyatnya ketika dilantik menjadi khalifah. Dalam ucapan dasarnya, dia menyebut: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku" (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Kita mesti hidup sebagai sebuah masyarakat yang anti-zalim. Berganding bahu setiap pihak dalam negara ini untuk menegakkan tanggungjawab yang besar ini. |
Video seks: Suruhanjaya diputus selepas siasatan polis Posted: 08 Apr 2011 07:30 AM PDT PUTRAJAYA, 8 April — Kerajaan akan menunggu hasil siasatan polis sebelum mempertimbangkan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat rakaman video seks melibatkan pelaku mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz. "Kabinet hari ini mengambil keputusan untuk menunggu hasil penyiasatan polis dahulu yang bukan sahaja melakukan siasatan tentang ketulenan video itu tetapi mengenal pasti siapakah pelaku di dalam video itu," katanya dipetik Bernama Online hari ini. Nazri berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja itu sekiranya terdapat pertikaian daripada hasil siasatan polis. Kelmarin, beliau berkata penubuhan suruhanjaya itu perlu disegerakan berikutan penafian isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang suaminya itu adalah lelaki dalam video berkenaan. Nazri berkata bahawa setelah penafian itu dibuat, rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sama ada benar atau tidak Anwar adalah lelaki dalam video itu. "Dan penyelesaian terbaik bagi isu itu adalah dengan menubuh suruhanjaya diraja," katanya. Nazri berkata usul untuk menubuhkan suruhanjaya itu dibuat kerana kerajaan mendengar pandangan rakyat dan juga badan bukan kerajaan termasuk Dewan Pemuda PAS yang menyeru agar sebuah suruhanjaya diwujudkan bagi menangani isu itu. Semalam, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani. Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut. Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menyerahkan kepada polis untuk menyiasat insiden membabitkan Ahmad Sarbani. |
Kesatuan Kastam: Bersihkan nama Sarbani, jangan dakwa ‘bunuh diri’ Posted: 08 Apr 2011 07:00 AM PDT Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani KUALA LUMPUR, 8 April — Kesatuan Kastam memutuskan untuk mendapatkan penjelasan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mahu nama agensi itu dibersihkan selepas seorang penolong pengarahnya, yang disoal siasat di bawah Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM. Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung juga mahu SPRM membuat penjelasan mengenai kematian Ahmad Sarbani Mohamed di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane kelmarin dan membersihkan namanya daripada dilabel "kes bunuh diri." "Kami berharap nama Sarbani akan dibersihkan daripada perkataan bunuh diri," kata presidennya Ibrahim Ahmad kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira dua jam dengan Cuepacs, badan induk kesatuan sekerja awam itu di Kelana Jaya dekat sini. Turut hadir pada majlis hari ini ialah Persatuan Pengawai-pegawai Kanan Kastam, Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Sarawak "Kami mahu mengadakan pertemuan dengan perdana menteri untuk dapatkan penjelasan dan membersihkan nama Kastam," kata beliau. "Kami juga mahu bertemu dengan ketua SPRM dan dapatkan penjelasan dan apa yang SPRM mahu lakukan selepas ini," kata Ibrahim. Beliau juga meminta SPRM supaya bertindak profesional dalam proses soal siasat mereka dan tidak menyebabkan sebarang kecederaan ke atas saksi dan suspek. Ibrahim juga berkata, adalah tidak adil bagi SPRM menyasarkan pegawai-pegawai Kastam berhubung laporan kehilangan hasil cukai negara, didakwa RM108 bilion setiap tahun. "Kami secara konsisten mengemukakan laporan hasil kami dan setiap tahun kami memperoleh sekitar RM28 bilion, jadi adalah tidak logik untuk kami bertanggungjawab bagi (kehilangan) RM108 bilion," kata beliau. Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di sini kelmarin. Dia merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B, yang merujuk kepada kehilangan sumber cukai RM3 bilion. Ia kejadian kedua dalam dua tahun ini. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor, pada Julai 2009 masih disiasat oleh suruhanjaya diraja. Semalam, Najib mengarahkan polis dan SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian Ahmad Sarbani. Sehubungan itu, Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya tiada rancangan untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes tersebut. Pelbagai pihak meminta agar Putrajaya mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes terbaru ini. |
Bukan lawan Taib Mahmud saja tapi seluruh kezaliman BN – Wan Azizah Posted: 08 Apr 2011 06:23 AM PDT KUCHING: Perjuangan Pakatan Rakyat di Sarawak bukan berdasarkan sentimen individu tertentu, sebaliknya melawan kezaliman Barisan Nasional (BN), kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. "Saya berkempen untuk Pakatan Rakyat (PR) bagi kemenangan PRN Sarawak. PR akan menentang BN, bukan terhadap individu," katanya ketika sidang media melancarkan manifesto PR di sini, hari ini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10. Mengulas mengenai manifesto BN, Wan Azizah menyifatkan perkara biasa tetapi fokus sebenar adalah rakyat Sarawak yang berhak memilih Ketua Menteri. "Isunya bukan manifesto, tetapi memberi laluan kepada rakyat Sarawak memilih Ketua Menteri mereka," katanya. Pelancaran manifesto itu dihadiri Presiden KEADILAN, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan calon KEADILAN, PAS |
Manifesto Pakatan Rakyat Sarawak Tekad Jana Perubahan Posted: 08 Apr 2011 03:00 AM PDT Dari Keadilan Daily Pimpinan KEADILAN, DAP dan PAS hari ini bersama-sama melancarkan manifesto Pakatan Rakyat dengan motto 'Kami Menjulang Kedaulatan Rakyat, Ketuanan Rakyat.'. KEADILAN dan DAP masing-masing diwakili Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang manakala PAS diwakili Ahli Jawatankuasa Pusat, Datuk Seri Nizar Jamaluddin. Manifesto setebal 8 halaman itu menawarkan 10 perubahan, antaranya: 1. Menjamin kebebasan agama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 2. Pentadbiran yang baik berdasarkan prinsip antarabangsa – cekap, Akauntabel, Telus atau CAT dengan mengagih kekayaan hasil bumi terus kepada rakyat; di samping menolak amalan nepotisme dan rasuah sebagaimana yang diamalkankan Barisan Nasional (BN) Sarawak sebelum ini. 3. Suruhanjaya Tanah dan Suruhanjaya Tanah Pusaka Bumiputra dengan menyelesaikan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan mengembalikan semula tanah adat Orang Asal. 4. Menubuhkan Dana Pembasmian Kemiskini sebanyak RM1 bilion untuk menangani keluarga rakyat di bawah paras kemiskinan. 5. Menjamin hubungan baik antara persekutuan dan negeri Sarawak dengan meningkatkan pemberian royalti dari 5 peratus ke 20 peratus. 6. Membela Sarawak yang lebih hijau dengan menghentikan pembinaan empangan yang berlebihan serta melarang sama sekali pembinaan loji nuklear di Sarawak. 7. Layanan adil kepada semua rakyat Sarawak dengan membantu daftar kerakyatan rakyat tempatan, menyumbang RM200 untuk setiap anak anak masuk darjah 1 serta pemberian RM600 untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas setiap tahun. 8, Mempertahan identiti kebudayaan etnik-etnik di Sarawak dengan menggalakkan pembelajaran bahasa ibunda serta memberikan peruntukan sistematik kepada anak Sarawak tanpa mengira kaum sebagaimana yang telahpun diamalkan oleh di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. 9. Membela hak wanita dengan keserataan jantina di samping membina prasarana bagi membela nasib wanita dan kanak-kanak yang mengalami keganasan rumah tangga dan lain-lain. 10. Melabur untuk masa depan dalam modal insan, infrastruktur termasuk membangunkan prasarana jalur lebar (WiFi) dalam masa 2 tahun sekiranya diberi mandat kelak. Manifesto itu dibaca pemimpin Pakatan Rakyat Sarawak, David Wong Kee Woan yang juga calon DUN Kota Sentosa. |
Infrastruktur asas buruk di Miri punca kes kematian Posted: 08 Apr 2011 02:30 AM PDT MIRI: Kegagalan kerajaan BN Sarawak menyediakan prasarana kesihatan dan infrastruktur jalan raya yang baik antara punca kematian penduduk di kawasan pedalaman, kata calon KEADILAN bagi N65 Senadin, Dr Michael Teo. "Kalau seseorang itu hendak bersalin, ataupun berhadapan kes kecemasan, mereka terpaksa menempuh perjalanan selama 3 hingga 4 jam untuk sampai ke Hospital Miri. "Ini ditambah pula dengan kualiti jalan raya yang teruk dan menimbulkan kesukaran kepada penduduk. Contohnya di Long Benang, Long Asa dan Long Lama," katanya yang menyatakan kebanyakan kes sedemikian tidak dilaporkan. Beliau berkata, Kementerian Kesihatan di Sarawak hanya menyediakan perkhidmatan 'flying doctor' dengan menggunakan kenderaan helikopter yang tidak meliputi keseluruhan pedalaman Sarawak. "Masalah timbul apabila doktor sampai ke kampung atau rumah panjang tetapi pesakit tidak dapat dirawat kerana peralatan dan ubat-ubatan yang boleh dibawa melalui helikopter, terhad. Dalam pada itu, Dr Teo berkata, 'flying doctor' adalah tinggi manakala perkhidmatan helikopter didakwanya milik anak kepada Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Alfred Jabu. "Mereka ada dua, tiga helikopter. Kemudian, saya diberitahu yang Kementerian Kesihatan Sarawak menyewa dari syarikat itu dengan jumlah RM 19 juta setiap tahun. Ini tidak efektif, bahkan pembaziran," katanya. Dr Teo juga kesal kerana Hospital Miri dibina dengan tidak mengikut konteks dan spesifikasi tempatan. "Bayangkan, di Miri sahaja, penduduknya berjumlah 30,000 orang tidak termasuk di kawasan sekitar tetapi bilik pembedahan cuma ada dua. Inilah kaibatnya melantik perunding binaan luar yang tidak memahami persekitaran dan masyarakat tempatan. "Dan Taib Mahmud hanya mementingkan diri sendiri dengan memberi kontrak kepada kroni," katanya, sambil menambah, masalah kesesakan jalan raya di Miri tidak pernah selesai sehingga kini. Beliau menjelaskan, kegagalan projek peluasan jambatan adalah disebabkan pertindihan lot tanah yang dimiliki oleh taib Mahmid di tengah bandar Miri. "Kita tidak ada masa lagi. Sekaranglah masa untuk berubah," kata Dr Teo. |
Baru Bian pilihan Pakatan jadi Ketua Menteri Sarawak jika atasi BN Posted: 08 Apr 2011 02:00 AM PDT Oleh Clara Chooi KUCHING, 8 April — Dalam usaha memperlihatkan barisan yang bersepadu dalam Pakatan Rakyat (PR) DAP Sarawak hari ini mengumumkan pihaknya akan memilih ketua PKR negeri Baru Bian bagi jawatan ketua menteri jika perikatan itu menang pilihan raya 16 April ini. Setiausaha DAP Sarawak Chong Chieng Jen melahirkan keyakinan bahawa pemimpin-pemimpin negeri parti itu juga akan memilih Bian bagi jawatan tersebut jika pun PKR gagal memperoleh kerusi terbanyak. "Kami dalam DAP sudah pun menyatakan pendirian yang jelas sebelum ini, apabila Majlis PR Sarawak ditubuhan dulu, bahawa Baru (Bian) akan menjadi Ketua Menteri," kata beliau pada sidang media selepas PR melancarkan manifesto hari ini. Ketika ditemui kemudian, Chong memberitahu The Malaysian Insider bahawa pemimpin-pemimpin DAP memilih Bian, seorang pemimpin gereja di sini, kerana mereka amat menghormati beliau. "Kami ada keyakinan ke atas kepimpinan (beliau)," kata beliau lagi. "Tidak semestinya PKR mesti menang majoriti kerusi bagi kami memperakui seorang wakil PKR untuk jawatan itu. Jikapun DAP memperoleh jumlah kerusi terbanyak, kami akan pilih beliau (Baru Bian)," katanya lagi. Ketika ditanya sama ada kepimpinan pusat PKR sedar yang Bian sudah pun dipilih untuk menerajui negeri ini, Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Baru Bian Azizah Wan Ismail berkata berdasarkan konvensyen parti yang mempunyai kerusi terbanyak akan dipilih sebagai Ketua Menteri. "Baru (Bian) dipilih sebab beliau adalah pemimpin PKR negeri. Tetapi, kami masih perlu duduk dan berbincang. "Tetapi buat masa sekarang, memandangkan Baru Bian adalah pemimpin negeri, DAP telah memilih namanya," kata Dr Wan Azizah. PKR bertanding di 49 kerusi manakala DAP pula 15 dan PAS lima. PKR bertembung dengan Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) di 26 kerusi. Dewan Undangan Negeri Sarawak menawarkan 71 kerusi. Chong berkata jika Bian kekal dalam saingannya di kerusi Ba'Kelalan, DAP akan mempertimbangkan calon alternatif. "Kami tidak kekurangan calon," katanya lagi. Ketika ditemui di pejabat PKR negeri di sini, ahli jawatankuasa kerja pusat PAS Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata pihaknya sedar pilihan itu. "Dalam apa jua kes, kami tiada masalah. Ini bukan isu utama yang kami beri perhatian sekarang," katanya. |
Rahim Thamby Chik ‘kalah’ kali kedua – Johari Abdul Posted: 08 Apr 2011 01:00 AM PDT TANJUNG KARANG: Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul menyifatkan salah seorang dalang trio 'Datuk T', Tan Sri Rahim Thamby Chik kalah kali 'kedua' berturut-turut kepada beliau, apabila gagal meyakinkannya Anwar terlibat dalam video fitnah. Berucap di majlis pelancaran Buku Jingga di sini malam tadi, Johari berkata kekalahan pertama Rahim adalah semasa beliau tewas kepada Ahmad Zahid Hamidi dalam pemilihan sebagai Ketua Pemuda Umno pada 1996. Semasa itu katanya, beliau bekerja di bawah Ahmad Zahid Hamidi sebagai pengurus kempen. "Kekalahan' kali pertama Rahim Thamby Chik kepada saya adalah sewaktu saya bertindak sebagai pengurus kempen kepada Menteri Pertahanan sekarang, Datuk seri Zahid Hamidi sewaktu zahid bertanding jawatan Pemuda Umno Malaysia," kata Johari yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN. Zahid Hamidi kemudian berjaya mengalahkan Rahim Thamby Chik pada pemilihan itu, jelas Johari. Dalam ucapannya, Johari berkata pengalaman beliau berada dalam Umno menjadikan beliau sedar bahawa kebajikan rakyat adalah agenda terakhir yang diperjuangkan parti itu. "Budaya Umno, isu-isu kebajikan rakyat adalah "agenda lain-lain" dalam mesyuarat mereka," kata Johari. Johari merupakan satu-satunya Ahli Parlimen KEADILAN yang ditunjukkan rakaman video fitnah, yang mengaitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada wartawan dan editor kanan terpilih di sebuah hotel 21 Mac lalu. Bagaimanapun Johari menafikan sekeras-kerasnya lelaki di dalam video tersebut adalah Anwar, malah menyifatkan tohmahan ini sebagai satu fitnah paling jahat dan dasyat yang dilakukan Umno, bertujuan menjatuhkan Anwar. Menurut Johari, bentuk tubuh badan dan lenggok lelaki di dalam video berkenaan langsung tidak menyerupai Anwar seperti keadaan perutnya yang lebih buncit dan dadanya yang lebih berisi. |
Kekayaan dibolot Taib: Saifuddin buat analogi MU, Chelsea Posted: 08 Apr 2011 12:08 AM PDT MIRI: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution menarik perhatian pengundi di Miri apabila membuat analogi pasukan Manchester United dan Chelsea pada perlawanan akhir UEFA, bagi mengaitkan kekayaan yang dibolot Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Berucap di hadapan kira-kira 2,000 yang membanjiri Miri Waterfront malam tadi, Saifuddin berkata, selepas 30 tahun Taib mentadbir Sarawak , kekayaan negeri itu masih dikongsi sesama adik beradik dan kroninya- sama keadaannya seperti perlawanan bola sepak. "Kalau 'pasukan' Sarawak, 'bola' itu hanya berlegar kepada Taib Mahmud. Kemudian kepada (anaknya) Raziah Mahmud. Raziah Mahmud kepada Onn Mahmud. Onn Mahmud kepada George Chan, George Chan kepada Alfred Jabu dan kembali semula kepada Taib Mahmud," kata Saifuddin, mengajuk percakapan seorang pengulas perlawanan bola sepak. "Kenapa tidak sampai kepada rakyat di bawah? Ini tidak betul. Kekayaan negeri ini hanya berlegar di kalangan keluarga dan kroni mereka," kata beliau ketika bercakap kepada kira-kira 2,000 hadirin di Miri Waterfront malam tadi. Menurut Saifuddin, Taib Mahmud membolot dan menjarah kekayaan negeri itu dengan memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri bagi mengagihkan projek kepada kroni dan saudara maranya. "Ketua Menteri, Taib Mahmud. Menteri Kewangan, Taib Mahmud. Menteri Pembangunan Sumber Negeri, Taib Mahmud. Pengerusi Land Custody and Development Agency (Pelita), Taib Mahmud. "Bila dia nak bangunkan satu projek, Menteri Pembangunan Sumber akan bincang dengan Menteri Kewangan. Kemudian ia akan dipersetujui oleh Ketua Menteri dan diagihkan pula kepada Onn, Raziah dan Sulaiman Taib Mahmud. "Kita mesti hentikan rompakan ini," kata Saifuddin sambil disambut tepukan gemuruh hadirin. Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah ketua Pemuda DAPSY, Anthony Loke, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan calon N 65 Senadin Dr Teo Yu Kheng. Terdahulu sebelum itu, di Kampung Tunku Abd Rahman dalam DUN Lambir, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan ceramah kelompok di hadapan 150 penduduk yang rata-ratanya terdiri dari suku Kedayan dan Iban. Tian dalam ceramahnya menjelaskan, konteks politik pembangunan di negeri Sarawak telah disalahertikan apabila ketika kemajuan dilaksanakan, dalam masa yang sama hak peribumi dirampas. "Sekarang adalah masanya untuk perubahan, Jika ia tidak dilakukan sekarang, maka anak cucu kita akan kembali menyalahkan kita. Mengapa masih memilih kelompok yang sama. "Berbanding di Selangor yang mana seseorang ahli keluarga kita meninggal dunia pun, kita masih boleh mendapat bantuan. Tetapi, untuk hidup di Sarawak ini adalah satu kesukaran,"ujar Tian. |
Undi Kristian, Cina penentu nasib Taib Mahmud? Posted: 07 Apr 2011 10:30 PM PDT Undi masyarakat Kristian dan Cina bakal menjadi faktor penting kejayaan Barisan Nasional pimpinan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10. Walaupun kelihatan yakin dengan sokongan yang bakal diperolehi daripada pengundi Kristian dan Cina, kempen pembangkang yang semakin agresif mampu mengubah kecenderungan kumpulan pengundi terbabit. BN melakukan tindakan memujuk melalui pelepasan Injil dalam bahasa Melayu yang ditahan dan pengumuman bantuan dan sokongan untuk sekolah mubaligh Kristian. Kempen pilihan raya BN kali ini yang bertema kestabilan dan masa hadapan yang terjamin dilihat sebagai ditujukan paling utama kepada masyarakat Cina yang paling banyak terlibat dalam perniagaan. Pelancaran kempen yang diadakan di Sibu, sebuah bandar utama kaum Cina juga boleh dilihat sebagai usaha kempen pertama memujuk pengundi Cina. Kempen menentang Taib mendapat perhatian masyarakat Kristian dan Cina yang melihat pemerintahan berdekad ketua menteri itu sebagai dominasi Melayu yang tidak adil kepada etnik dan agama lain. Kempen itu, yang turut mendapat bantuan pihak dari luar negara, bergantung sebahagian besarnya pada pengundi Kristian dan Cina untuk berjaya. BN mula meningkatkan kempen memenangi sokongan kelompok pengundi terbabit dengan pelbagai tindakan termasuk janji pengunduran Taib selepas pilihan raya, yang masih dipandang dengan skeptikal oleh pembangkang. Pada masa sama, BN terus menabur janji pembangunan di Sarawak, termasuk berbilion peruntukan pembangunan dan janji menjadikan Sarawak negeri kaya. http://siasahdaily.blogspot.com/ |
Angkara Ibrahim Melayu malu mengaku Melayu Posted: 07 Apr 2011 08:53 PM PDT Pepatah Melayu menyebut "Bahasa melambangkan bangsa" . Ini mencerminkan betapa halus dan sopannya orang Melayu sehingga bahasanya sendiri tersusun indah beradab bermakna jika bahasanya sahaja molek inikan pula bangsanya. Begitulah asalnya orang-orang Melayu. Kerana itu orang Melayu asalnya tidak kurang ajar. Memelihara dan menjaga budayanya dan apabila Islamnya bangsa Melayu maka lebih tertib dan sopanlah jadi budaya dan pegangannya. Menurut sejarah apabila Portugis mahu kalungkan loket emas pada Bendehara Melaka sehingga tersentuh kepalanya, para pendekar Melayu menghunus keris kerana terhina akan tindakan melanggar adab bangsa itu, tapi Bendehara menghalang, Benggali Putih tidak tahu adab dan budaya kita. Namun tidak dinafikan ada juga yang terpesong, ada juga yang sesat, korap sehingga menoda budaya sendiri akhirnya mengotori bangsa sendiri. Ini berlaku dalam mana-mana bangsa dan budaya tetapi bagi orang Melayu apabila ada yang jatuh dalam kelompok ini sah ia bukan dari bangsa Melayu, kerana bangsa Melayu tidak kurang ajar begitu. Ibrahim Ali bagi saya telah melintasi garis sempadan apabila bertutur sesuatu yang bukan dari adab dan budaya Melayu. Di Dewan Rakyat semalam beliau berkata: Peningkatan kes hubungan sulit luar nikah adalah berpunca daripada "para isteri yang mengabaikan tanggungjawab mereka. Terus mengaitkan isu ini dengan video panas kononnya melibatkan seorang pemimpin pembangkang. Kononnya pemimpin pembangkang itu terlibat dalam insiden berkenaan kerana isterinya tidak pandai melayan nafsunya. Bagi saya Ibrahim mencemar kesopanan dan adab Melayu, bagaimana seorang yang mendakwanya dirinya pemimpin NGO Melayu boleh mencabul ketinggian bangsanya sendiri? Ibrahim memang terkenal seorang pemimpin vocal tapi bagi saya lebih kepada seorang yang celupar. Kali ini terbukti keceluparnnya itu terlalu melampaui batas, perlu diajar jika tidak dipulaukan sahaja jenis yang memalukan bangsa sendiri ini. Jangan sampai orang Melayu malu mengaku dirinya Melayu angkara sepsis seperti Ibrahim ini. http://n32.blogspot.com/2011/04/angkara-ibrahim-melayu-malu-mengaku.html |
Posted: 07 Apr 2011 06:28 PM PDT Sesi pertama disampaikan oleh ustaz mat qirat. Bekas ketua dewan ulamak pas pusat. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan