Rabu, 13 April 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


PILIHAN RAYA SARAWAK KE-10: BN hadapi cabaran sengit daripada Pakatan Rakyat

Posted: 13 Apr 2011 04:28 PM PDT


KUCHING: Dua hari lagi, pengundi Sarawak akan keluar mengundi tetapi suasana agak meragukan dan kurang senang menyelubungi kem Barisan Nasional (BN).

Menurut beberapa sumber, semuanya itu berpunca daripada sikap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang dikatakan masih enggan menetapkan jadual waktu bagi peralihan kuasa - khususnya peletakan jawatan beliau.

Namun, ada juga beberapa pihak yang berpendapat BN masih berpeluang menang, dengan kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN, dalam sesi-sesi menemui penduduk di beberapa daerah luar bandar kaum Melayu-Dayak dilihat sebagai satu 'faktor tarikan' kepada pengundi.

Beberapa pegawai jentera BN mengakui bahawa keengganan Tan Sri Abdul Taib menetapkan tarikh peletakan jawatannya, di samping keengganannya menerima hakikat bahawa BN kini berhadapan cabaran sengit daripada Pakatan Rakyat (PR), buat kali pertamanya dalam sejarah negeri itu, agak menyukarkan keadaan.

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu genap tiga dekad menjadi ketua menteri Sarawak pada 26 Mac lalu.

PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progesif Sarawak (SPDP) adalah parti komponen BN.

Malah, beberapa pegawai BN juga dikatakan kecewa dengan pendirian Tan Sri Abdul Taib yang tidak mahu menerima hakikat bahawa beliau sebenarnya menjadi punca serangan negatif terhadap kepimpinan perikatan itu di Sarawak.

'Perdana Menteri menawarkan beliau jalan keluar awal untuk membantu mengatasi kerosakan dialami dan juga memberikan laluan untuk menentukan peringkatnya sendiri untuk berhenti (sebagai Ketua Menteri).

'Tetapi beliau tidak mempedulikan masa depan BN sebaliknya hanya kerana kepentingan diri,' kata satu sumber BN kepada laman berita The Malaysian Insider, sambil merujuk kepada jaminan Datuk Seri Najib Ahad lalu bahawa peralihan kepimpinan akan berlaku segera selepas pilihan raya negeri Sarawak ke-10 itu.

Berikutan itu, BN bertindak melakarkan semula strategi pilihan rayanya, dan cuba menumpukan usaha kempennya kepada kerusi-kerusi majoriti kaum Melayu-Dayak, yang selama ini menjadi benteng kukuh parti itu.

Namun, PR juga mencapai kemajuan dalam percubaannya menembusi kawasan luar bandar yang sukar diakses itu sejak beberapa hari lalu. Malah, para pemerhati politik berpendapat PR kini mampu memenangi '20 hingga 30 kerusi'.

Semalam, Datuk Seri Najib dipetik laman berita Malaysiakini sebagai berkata sasaran 'minimum' BN adalah membentuk sebuah kerajaan, manakala penguasaan 'dua pertiga majoriti adalah satu bonus'.

Mengulas, saintis politik daripada Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang kini berada di Sarawak, Dr Briget Welsh, berkata isu politik tempatan akan mempengaruhi keputusan pilihan raya Sarawak, Sabtu ini.

'Apabila berlaku perubahan di kawasan luar bandar, ia akan membabitkan perbezaan pandangan di kalangan anggota masyarakat itu (biasanya merupakan sungutan politik terhadap pilihan calon) dan kemarahan terhadap isu tanah setempat,' jelasnya.

Sekitar 45 daripada 71 kerusi dalam pilihan raya negeri Sarawak adalah dari luar bandar.

Sementara itu, sejumlah 18,363 pengundi pos berdaftar - kakitangan tentera, polis dan mereka di luar negara - mula mengundi semalam. -- Agensi.

Krisis nuklear Fukushima di Jepun setaraf bencana Chernobyl !!!

Posted: 13 Apr 2011 12:00 AM PDT


TOKYO: Jepun semalam menaikkan tahap krisis di loji nuklearnya yang rosak menjadi setara teruknya dengan bencana nuklear Chernobyl, dari segi keseluruhan kebocoran radiasi yang tinggi dan mencemari udara, air paip, sayursayuran dan air laut.

Para pengawal nuklear Jepun berkata mereka telah menaikkan tahap krisis itu daripada 5 kepada 7, iaitu tahap tertinggi pada satu skala antarabangsa bagi kemalangan nuklear yang diseliakan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Ini selepas penilaian-penilaian baru ke atas kebocoran radiasi dari loji Fukushima Dai-ichi itu sejak ia dilumpuhkan akibat dipukul tsunami pada 11 Mac lalu.

Kedudukan baru itu menandakan satu 'kemalangan besar' yang melibatkan kesan meluas ke atas sekitaran dan kesihatan, menurut IAEA, yang berpangkalan di Vienna.

Namun para pegawai Jepun berkata sebarang kesan ke atas kesihatan hanya sedikit, dan kemudaratan akibat Chernobyl jauh melebihi kesan daripada loji Fukushima itu.

Semakan itu dibuat sehari selepas Jepun meletak lima lagi kawasan dalam senarai tempat yang harus dijauhi bagi mengelakkan pendedahan jangka panjang kepada radiasi.

Kawasan dalam lingkungan 20 kilometer di luar loji itu sudah dikosongkan.

Berita itu dikesali penduduk di Iitate, salah sebuah kawasan yang paras radiasi dalam tanahnya dikesan sebagai tinggi. Desa dengan 6,200 penduduk itu terletak sekitar 40 kilometer dari loji Fukushima itu.

Pegawai Jepun berkata paras radiasi yang bocor dari loji Fukushima itu sejauh ini 10 peratus daripada paras bencana Chernobyl, di bekas Soviet Union pada 1986, tetapi ia akhirnya akan melebihi paras Chernobyl jika krisis itu berterusan.

'Ini mengesahkan semula bahawa bencana ini amat besar. Kami meminta maaf kepada orang awam, penduduk berhampiran loji dan masyarakat dunia kerana kami telah menyebabkan satu kemalangan sebegitu serius,' kata Ketua Setiausaha Kabinet, Encik Yukio Edano.

Namun beliau berkata tiada 'risiko kesihatan secara langsung'.

Perdana Menteri Naoto Kan dalam satu ucapan di televisyen menggesa masyarakat awam supaya jangan cemas, dan meminta mereka menumpukan perhatian pada pemulihan daripada bencana itu.

'Sekarang keadaan reaktorreaktor nuklear di loji Fukushima semakin stabil selangkah demi selangkah. Kebocoran radiasi makin berkurang. Namun kita harus terus berjaga-jaga,' katanya.

Para pegawai Agensi Keselamatan Nuklear dan Perusahaan berkata jumlah terkumpul debu beradioaktif yang keluar ke udara sejak kejadian itu telah mencapai paras insiden Tahap 7.

Faktor-faktor lain termasuk kerosakan pada bangunan loji itu dan radiasi dalam tubuh pekerja.

Loji Fukushima itu rosak apabila tsunami tersebut, yang menyusuli gempa bumi kuat, merosakkan sistem penyejukan dan penjana dieselnya hingga mengakibatkan letupan di tiga reaktor dan kebakaran di reaktor keempat. -- AP.


Tiada ulasan: