Jumaat, 22 April 2011

HIDUP DAN HARAPAN

HIDUP DAN HARAPAN


KENAPA AZIZ BARI KRITIK PRESIDEN PAS?

Posted: 21 Apr 2011 11:58 PM PDT


TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

"Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

"Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Manketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih "menyayangi" (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

"Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.

"Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

"Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS," terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

"Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan," katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, 'sekiranya itu dan sekiranya ini' walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

"Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN," ulasnya secara positif.

KETUA POLIS NEGARA DI KEJARKAN KE HOSPITAL

Posted: 21 Apr 2011 11:43 PM PDT

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dikejarkan ke Hospital Pantai di Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ismail, 58, dimasukkan ke hospital itu pada kira-kira jam 10.30 pagi selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Beliau dilaporkan tiba-tiba rebah dan mengadu keletihan.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Robiah Abd Ghani yang dipetik Bernama berkata pemeriksaan doktor mendapati Ismail hanya kepenatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Pada penghujung majlis itu, Tan Sri mengadu pening, tidak sedap badan dan rasa mahu pitam sebelum beliau dikejarkan ke sini.

"Pemeriksaan doktor mendapati beliau tidak sakit dan tiada apa yang tidak kena cuma kepenatan, malah beliau boleh bercakap seperti biasa," katanya kepada pemberita di perkarangan pusat perubatan itu.

Beliau berkata doktor juga meminta Ismail untuk berehat di dalam wad buat beberapa hari bagi pemantauan lanjut.

Dalam pada itu, isteri Ismail Puan Sri Suriati Md Sobri yang enggan ditemuramah pemberita hanya memberitahu yang suaminya sedang berehat.

MKINI

Tiada ulasan: