Ahad, 24 April 2011

.

.


Catatan Ahad

Posted: 23 Apr 2011 06:37 PM PDT

Sebelum Matahari Naik Di Sebelah Barat

TERNYATA keputusan pilihan raya Sarawak tidak memberi indikasi yang baik buat UBN khasnya dan untuk orang Melayu amnya. Kejayaan Taib Mahmud mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Meteri terlama di negara ini tidaklah mengembirakan UBN khususnya Najib Razak. Kejayaan itu juga bukan memberi indikasi baik kepada politik Sarawak. Kalau perasaan, tidak banyak ulasan Najib mengenai keputusan pilihan raya tersebut. Najib hanya membuat ulasan biasa saja tanpa alu-aluan yang berlebihan seperti biasanya.

Beliau juga tidak turun meraikan kejayaan Taib itu. Mungkin selepas ini? Gambaran itu menjelaskan bahawa kejayaan Taib itu tidak menyenangkan Najib. Apa lagi bila mana masyarkat Cina Sarawak menolak SUPP dan memilih DAP menjadikan Najib tidak seronok dengan perkembangan itu dan ini membuatkan beliau terpaksa mencipta keadaan baru bagi membubar Parlimen.

Peralihan dan sokongan orang Cina kepada DAP begitu ketara dan besar sekali. Fenomena itu kini sudah jadi revolusi politik orang Cina. Ia dilihat dengan pelbagai prejudis kepada DAP. Najib tidaklah mengkritik kehendak dan citarasa masyarakat Cina Sarawak tetapi nampaknya tunggul keramat yang dipuja Najib, Mahathir, melemparkan perasaan kurang senang kepada orang Cina. Dengan menyalahkan DAP sebagai membawa virus perkauman ke Sarawak, Mahathir menunjukkan kejengkilan dia kepada DAP dan orang Cina juga.

Mahathir tidak sepatutnya memburukkan DAP. Parti itu sebuah parti yang berdaftar. Soal ia tidak sama dengan ideologi parti Cina lain yang bergabung dengan BN, itu perkara lain. Tetapi yang jelas DAP adalah parti yang sah. Saya sudah katakan sebelum ini kalau begitu caranya melawan DAP, batalkan saja pendaftarannya. Biarkan DAP menjadi parti haram.

Baik Mahathir dan Najib dan sesiapa juga yang kuat angin Melayu (nasionalis) dan sifat rasismenya harus mengkaji kenapa orang Cina beralih kepada DAP. Menyalahkan DAP sebagai perkauman adalah tidak betul dan bukan tindakan tepat atau boleh menarik simpati orang Melayu untuk mendendami DAP. Tindakan itu sebagai tindakan orang yang tidak tahu menilai diri dan berfikir tentangan realiti di sekelilingnya.

Saya sudah membayangkan beberapa kali sebelum ini, melihat kepada perkembangan DAP, kejayaan dan kemantapan perjuangannya; keagresifannya dan cara berkerja penuh disiplin dan sistemetik berbudayakan Cina, parti itu akan pergi lebih jauh lagi. DAP akan memimpin politik negara ini. Bila-bila masa kejayaan dan sejarah dicatat oleh PAP di Singapura menjadi idola mereka. Hasrat itu akan menjadi lebih cepat lagi kalau Melayu bersuku-suku dan berkabilah.

Bayangkan bagaimana gigihnya para pemimpin DAP dalam melancarkan perjuangan mereka. Tokh-tokoh seperti Lim Kit Siang, Chan Main Han, Karpal Singah, Lim Guan Engt, Teresa Kok dan lain-lain sangat gigih dan yakin dengan perjuangan mereka. Mereka tidak pernah putus asa. Graf politik mereka naik dan turun mengalami kalah dan menang, namun mereka tidak pernah berputus asa. Semangat juang mereka juga seutuh dan sekebal tembok besar negeri China.

Mereka juga ditekan, diugut, dipenjara dan disusahkan kehidupan mereka, tetapi ia tidak 'berdegis' buat mereka. Malahan mereka jadikan sebagai cabaran. Pendeknya pemimpin DAP mempunyai semangat kental dan tidak ada kamus berputus asas dalam perjuangan mereka. Semangat dan sikap itulah yang seharusnya juga ada kepada Melayu.

Apabila DAP telah menguasai Pulau Pinang dalam pilihan raya 2008 lalu, parti itu mendapat suntikan perjuangan yang cukup besar. Bagi mereka kejayaan menawan Pulau Pinang adalah permulaan kepada kejayaan mereka menawankan bandar-bandar besar atau lokasi di mana majoritinya pengundi Cina. Apa yang berlaku di Sarawak itu ada petunjuk jelas.

Tidak payah Mahathir atau Najib atau sesiapa takut kepada DAP atas rasa bimbang parti itu akan menjadi raja. Apa yang penting lihat kepada cara mereka bekerja menjaga rakyat. Satu yang jelas DAP cukup menjaga integriti para pemimpinnya. Parti itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin yang melakukan dosa. Bagi DAP kehebatan dan sokongan rakyat kepada seseorang tokohnya bukan lesen untuknya terus berada dalam DAP. Sikap inilah menjadikan DAP sebuah parti berwibawa.

Kebimbangan DAP akan memimpin politik negara ini juga ia bukan angan-angan lagi. Ia bukan sesuatu yang perlu ditakuti dengan mencadangkan idea-idea bersifat rasis dan gedebe bagai menghadapinya. Tindakan itu akan lebih merangsangankan mereka untuk bekerja lebih kuat lagi dan menyebabkan orang Cina akan terus membenci Umno.

Apa yang perlu atasi secara penuh tektikal dan politik. Dalam politik orang berperang bukan menggunakan senjata tetapi menggunakan minda. Selagi orang Melayu (Umno) menghanyungkan keris maka selama itulah usahan mengasingkan orang Cina dari menyokong DAP tidak akan berjaya. Sesuatu yang Umno lupa ialah mengernai sifat orang Cina yang kuat bantu membantu sesama mereka. Agenda orang Cina juga satu bukan bercabang emnpat seperti orang Melayu.

Ibarat untuk membendung air yang sedang membuak dari sebuah ampangan, caranya bukan menandak dan meninggikan tebing, tapi paling praktika ialah dengan mencari ikhtiar bagaimana hendak mengurang sumber air dari dari memasuki ampangan. Di sinilah memerlukan kegeligaan dan fatanah dalam mencari helah.

Cadangan untuk menggerak 1Malaysia 1Bumi bagi saya bukan tindakan yang bijak. Sebaliknya ia akan menjadi modal baru buat DAP. Orang Cina akan jadi semakin marah dan mereka akan kerabat kemas kemeh kepada DAP. Begitulah kalau idea dan cadangan dilemparkan bukan berasaskan pemikiran dan strategi jilah (gentleman) tetapi lebih kepada tindakan perkauman.

Dalam realiti negara seperti ini mana-mana pihak tidak boleh menidakkan apa yang menjadikan amalan dan apa yang telah dikonsensuskan. Apakah boleh kalau hendak dinafikan kewujudan orang Cina, India dan lain-lain? Tidak boleh. Mereka tidak akan dapat dibuang ke mana-mana lagi, mereka tetap akan mati di negara ini juga. Kalau mereka terpaksa berperang sampai mati untuk mati di sini mereka akan lakukan.

Jadi jalan terbaik ialah orang Melayu menyedari kemungkinan-kemungkinan tadi. Sekat dan halang akan penguasaan DAP dari menjadi sebuah 'hegemoni' baru. Dalam konteks ini Umno perlu mengambil tanggungjawab bagaimana hendak menarik sokongan orang Cina kepada mereka. Umno kena pecahkan pemonopolian orang Cina kepada sebuah parti. Itu kena dilakukan.

Tetapi bagi saya pula usaha BN itu akan sia-sia saja kerana orang Cina lebih bijak dalam dolak dalih mereka serta pintar dalam berpolitik. Orang Cina juga cekap membaca tektik dan strategi politik bukan macam Melayu yang lebih beperangai macam Sang Kancil yang merasa dirinya cerdik tetapi menipu diri sendiri.

Saya bersetuju kalau DAP dikatakan parti menyatukan orang Cina. Soalnya parti manakah dari kalangan parti Melayu yang menjadi wadah mempersatukan orang Melayu. Umno sudah tidak dapat menyatukan Melayu. Kalau Umno mampu berbuat demikian maka tidak wujud Pas dalam keadaan hari ini mempunyai dendam dan kemaraha kepada Umno.

Begitu juga dengan Pas. Walaupun secara fisofinya dasar dan prinsip perjuangan Pas untuk menyatukan Melayu berlandaskan agama tetapi ia tidak menjadi kenyataan. Apabila Melayu tidak mengambil Islam yang menjadi dasar, maka perjuangan dan peranan sejagat Pas itu tidak akan dirasai.

PKR walaupun ditulangi kepimpinan Melayu tetapi wajahnya samalah dengan Barisan Nasional. Pada saya PKR adalah BN kecil yang didalamnya bersatu dan berhimpun berbagai orang dan kaum. Walaupun matlamatnya sama untuk menumbangkan BN tetapi dari birai-birai lain masih ada yang membawa ideologi sendiri, manakala untuk mengadukan ideologi yang banyak ini bukan mudah. Ia boleh berlaku untuk sewaktu tetapi bukan selamanya.

Justeru apa salahnya kalau orang Melayu memberi peluang kepada Pas untuk menjuarai perjuangan rakyat. Berkorbanlah atau melupai mitos kurafat bahawa bangsa dan negara ini hanya boleh dijaga oleh Umno. Bangsa yang berubah dan maju ialah bangsa yang berani membuat perubahan. Tidak salah kalau kita berhirjah mencari cahaya baru dan meninggalkan cahaya lama yang kusam dan mulai mengelam.

Kesimpulannya kebimbangan yang mengasak sanubari Umno itu akan berakhir sekiranya semua orang Melayu berada di dalam sebuah masjid, mengemaskan saf dan memperbetulkan kiblat. Selagi orang Melayu memilih jalan sendiri-sendiri, ada yang mahu jamak, ada yang hendak qasakan solat, atau lebih-lebih lagi ada yang kata tidak dapat solat kerana usur walhal dia lelaki, maka kebimbangan itu akhirnya akan menjadi sebuah kenyataan yang boleh menghibakan jiwaraga seluruh Melayu. Jadi sebelum matahari naik di sebelah Barat, maka orang Melayu perlu banyak melakukan taubat nasuha! [wm.kl. 22/04/11]

Kecek-Kecek Malam

Posted: 23 Apr 2011 07:30 AM PDT

Mentafsir Kenyataan Husam Yang Mahu Perkasakan Hadi

HUSAM Musa sudah pasti tidak akan melalui pertarungan ulangan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Pas. Pengalaman kalah di round pertama memberi pengajaran buat Exco Kerajaan Kelantan itu. Dia tidak macam Mohamad Sabu. Bila Husam tidak mahu mengulangi perebutan jawatan itu, saya rasa bukan bermakna dia 'kien', tetapi ia adalah tektik dan stretegi.

Politik Husam penuh tektikal dan berstrategis. Dia adalah gamat dalam lautan politik. Saya tidak mahu mengulas apakah strategi beliau untuk mengambil sikap mahasabah dan mendiam diri dari kocakan muktamar kali ini. Tetapi saya cukup yakin dia ada tugasan lain yang lebih penting hendak dikerjakan dari mengejar jawatan. Apakah dia kini sedang menumpukan untuk berhadapan dengan Gelombang Merah di Kelantan?

Apa yang saya rasakan macam benar, apabila hari ini Husam mempertahankan presidennya, Abdul Hadi Awang selalu presiden Pas. Selepas kena kritik kencang oleh Abdul Aziz Bari, Husam mempertahankan Hadi. Apakah ada lambungan, elusan dan gosokan dalam hal ini. Bagaimana pun saya harap Husam ikhlas dalam membela ketuanya.

Kata Husam, Presiden perlu diperkasakan bukan diturunkan. Jangan respon sangat kepada permainan media nanti orang anggap Presiden kita bermasalah. Begitu kata Husam dan ingatan Husam kepada ahli-ahli Pas sewaktu sidang akbar selepas merasmi muktamar Pas Kawasan Batu, Kuala Lumpur. Iya dalam politik bila seseorang itu banyak sangat digomol dan diuli lama kelemahan dia akan lembek dan lebam lepas itu dia akan luyah kemudian terus tidak boleh dipakai.

Saya tertarik bila Husam kata presiden perlu diperkasakan. Kena suntik elemen-elemen baru. Apakah elemen-elemen itu dan macam mana hendak diperkasakan? Apakah pada wajah dan pembawaanya. Misalnya hitamkan janggut dan misai Hadi menjadi hitam legam nampak muda beliau. Rasanya bukan begitu!

Ataupun bawa beliau main fusal atau takraw atau pun berfacebook dengan para pengikutnya. Boleh saja hendak mudakan dari segi perwatakan. Beberapa malam dulu saya makan durian di Jalan Alor, Bukit Bintang. Tempat sebegini rasanya boleh dijadikan ruang untuk memudakan pemimpin. Heret Hadi untuk makan durian dan bergaul dengan anak-anak muda. Sambil makan dia boleh berdakwah kepada anak muda. Tetapi masakan begitu caranya?

Apakah yang dimaksudkan Husam itu dari segi pemikiran, kenyataan-kenyataan politik biar berisi dan kemas serta berpandangan jauh dan dinamik. Berilah pandangan yang baru dan mengejutkan dan bukan berkisar kepada takak lama. Buat kenyataan dan ulasan yang digemari oleh media massa dan mengugatkan minda umum. Misalnya kenyataan seperti DAP barang lupus tarikh yang pernah diucapkan tidak menggambarkan dinamika pemikirannya. Memalukan kerana selepas itu Terengganu jatuh kepada BN, DAP pula menang besar.

Sebenarnya dalam usia seperti Hadi bukan mudah untuk kita perkasakan dia. Dia sudah immune dengan ilmu dan telaga pemikirannya. Kalau pun diberikan ubat kuat atau pun segala macam jamu dari Indonesia atau madu lebah dari Yaman sekalipun belum tentu dia akan jadi perkasa. Diamond siasahnya sudah pudar. Orang tua dia tetap dengan sifat dan perangai ketuaan. Jadi saya simpulkan Hadi tidak boleh diperkasakan dari untuk menyegarkan parti. Kecualilah para pembantunya termasuk Husam ikhlas untuk memperkasakannya sekurang-kurang dalam tempoh setahun dua ini.

Hadi akan kekal dengan stailnya. Stail Tok Guru dan ustaz yang menjadi pakaian dirinya sejak lama dulu. Idealisme perjuangan dan politiknya, akan kekal seperti mana yang dipegangkan hari ini. Mustahil Hadi akan menukar kitab politik dan budaya diri semata-mata untuk dilihat dia perkasa, gagah dan gah seperti mana dikehendaki Husam.

Pendapat Husam mengatakan BN hendak jatuhkan Hadi, saya rasa kurang tepat. BN tidak berhajat menjatuhkan Hadi. Kalau Utusan dapat dijadikan kitab muktabar Umno, akhbar berkenaan tidak menyerang Hadi. Yang diserang ialah Nik Aziz dan Anwar Ibrahim. Apakah sikap menyepi dan diam ke atas Hadi itu boleh diterjemahkan Utusan sukakan Hadi?

Kalau Utusan sukakan Hadi tentu ada sesuatu dari Hadi yang memberi laba kepada Umno. Di sini mungkin saja kerana sikap sedarhana Hadi dalam isu-isu Melayu dan hubungan kepentingan bersama Umno. Jadi kerana itu BN akan terus mengekalkan Hadi. Keperluan mengekalkan Hadi juga kerana UBN akan mendapat untung dalam perlawanan mereka dengan Pas. UBN mengira selagi Hadi kekal dengan kelemahan yang hendak diperkasakan Husam itu maka UBN akan mendapat keuntungannya.

Dari itu maka Utusan dan UBN tidak akan serang Hadi kerana mereka tidak mahu jatuhkan Hadi. Dalam hal ini pendapat Husam itu tidak betul dalam hal ini.

Jadi apakah maksud tersembunyi Husam bila menyeru supaya presiden diperkasakan? Apakah Husam mencari modal baru untuk masa depan politiknya dengan menganjurkan usaha mempertahankan presiden itu dengan harapan selepas ini balasan budi? Memang tugas ahli bawahan mempertahankan presiden. Namun dalam konteks ini saya meragui kalau pandangan Husam itu seperti apa yang difahamkan itu.

Dulu dia ikut bertanding timbalan presiden. Alasannya ialah kerana hendak menukar timbalan presiden. Tujuannya agar ia boleh menjadi pembantu atau timbalan yang baik. Tetapi nampaknya agenda itu sudah tidak ada tahun ini. Dimansuhkan. Apakah bila Husam tidak bertanding bermakna pembantu hari ini sudah baik dan cukup membantu? Atau apabila Kubang Kerian mencadangkan Mohamad Sabu, Husam melihat Mohamad Sabu akan menjadi timbalan yang lebih baik dari yang ada sekarang?

Kalau Husam merasa begitu kenapa tahun 2009 lalu beliau tidak biarkan Mohamad Sabu saja berlawan dengan Nasharudin Mat Isa? Kalau Husam memberi laluan kepada Mohamad Sabu ketika itu mungkin Mohamad boleh menang. Berbekalan kekalahan yang pertama tahun 2009 apakah Mohamad Sabu boleh menang kali ini. Pada saya dari mana juring pun dilihat langkah Husam tidak ikut sama bertanding satu kesilapan, apa lagi kalau tiba-tiba Mohamad Sabu menang. Dalam politik budi, jasa dan bakti jarang dikenang orang, dan apabila sudah berada di atas payah sekali untuk turun. Ingat ini.

Bagaimana pun pada saya pujian Husam kepada Hadi, membenarkan Kubang Kerian mencalonkan bekas MP Kubang Kerian itu ialah sebahagian simpang siur politik dan sepak terang yang harus kita renungi ke arah dalam dan bukan melihat dari atas permukaan saja. Selamilah maknawinya.

Sesungguhnya masa masih tersisa kalau Husam mahu mengubah niatnya untuk ikut sama memeriahkan muktamar dengan bertanding mana-mana jawatan yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Agung. [wm.kl.10:45 pm 21/04/11]

Laporan Malam

Posted: 23 Apr 2011 05:51 AM PDT

Bermesra Dengan Bloger Pertis

DUNIA siber bukan monopoli mereka yang celik mata dan sempurna fizikal saja tetapi ia juga turut menjadi sesuatu keperluan wajib dan ia juga merupakan media baru yang benar-benar memberi pelbagai maklumat kepada golongan yang cacat penglihatan. Bagi mereka yang jahil mengenai kebolehan dan daya upayadiri golongan ini mungkin akan merasa lucu kalau dikatakan orang buta juga mengikut perkembangan internet. Bagaimana ya?

Mereka yang pertama kali mendapat tahu hal ini mungkin sukar untuk mempercayai, dan akan menidakkan dengan rasa mustahil. Tetapi mereka yang hampir dan mesra dengan golongan ini tidak akan merasa ganjil dan hairan sedikipun. Penguasaan mereka ke atas ICT sama juga dengan penguasaan mereka yang sempurna fizikal.

Sebenarnya hanya mereka yang kolot dan berfikir usang saja menidak akan hak orang cacat penglihatan untuk ikut sama mengkuti internet, berblog ataupun berkomunikasi dengan pelbagai perenti ICT. Sebenarnya sudah lama revolusi kehidupan melanda orang kurang penglihatan cuma kita saja bersikap pesimis terhadap mereka kerana masih terkonkgong dengan fahaman dan anggapan lama.

Di negara kita banyak perkara yang masih belum terbuka dan agak canggung bila memperkatakan kehebatan orang kurang upaya ini yang boleh menguasai apa-apa peralatan yang dimonopoli oleh mereka yang sempurna fizikal. Mereka masih lagi kekal dengan tanggapan usang, bahawa orang yang kurang penglihatan hanya wajar diduduk di rumah, meritih nasib sendiri dan tidak perlu disediakan dengan sebarang peralatan moden. Atau paling-paling kalau ingin membantu mereka belikan tongkat atau spek mata hitam untuk mereka merayau mencari rezeki dengan meminta sedekah.

Sikap dan pandangan itu sudah salah dan lapok. Dalam hal ini orang yang celik ditinggalkan jauh oleh orang buta dalam merentasi gunung ganag kehidupan. Dunia sudah lama mengikhtraf orang kurang penglihatan juga bangit dan bagun membina diri sama dengan mereka yang sempurna segala-galanya.

Di negara-negara maju mereka menghormati semua golongan manusia dan orang OKU tanpa membezakan keupayaan orang buta dengan orang celik, malahan golongan ini diberikan berbagai anugerah dan sanjungan atas kehebatan dan kuliti mereka bukan kerana simpati terhadap kecacatan mereka.

Malahan dalam bidang-bidang tertentu golongan kurang upaya ini ternyata mengatasi kebolehan mereka yang celik dan sempurna. Bahkan ada yang lebih berjaya berbanding dengan mereka yang matanya celik luas sebesar telor ayam. Cuba cari dalam internet dan baca akan kejayaan orang-orang buta ini di seluruh dunia. Di negara ini kita hanya merasa kagum dengan kebolehan orang buta menjadi hafiz, sedang kecemelangan mereka merangkumi semua bidang.

Pagi tadi saya telah menghadiri satu majlis bicara siber anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatana Islam Malaysia (Pritis), bertempat di Dewan Utama Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfileds, Kuala Lumpur.

Walaupun hari ini saya diundang khas untuk menghadiri muktamar Pas Kawasan Batu, KL tetapi saya tinggalkan kerana ingin bersama rakan-rakan yang kurang penglihatan ini. Jadi bila Yang Dipertua Pritis, Sdr Zakaria Yahya mengatakan niat untuk mengundang saya sejak beberapa minggu lalu saya cepat-cepat menyanggupinya, bukan atas dasar simpati tetapi kerana menghormati akan penglibatan mereka dalam dunia siber. Pada saya sendiri usaha Printis itu adalah satu rekod dan mencerminkan akan kehebatan orang buta.

Sungguh mengejutkan saya terhadap apa yang ditunjukkan oleh Pertis ini. Begitu juga dengan Insp Mohd Faizal Zainal dari Jabatan Jenayah Komersial Polis Di Raja Malaysia Bukit Aman kagum dengan usaha berkenaan. Beliau sendiri sukar untuk mempercayai akan kemampuan Pertis mengadakan majlis berkenaan. Baginya itulah pertama kali dalam hidupnya menghadiri majlis anjuran orang cacat penglihatan.

Faisal yang diteman rakannya Insp Redhuan Ismail menyampaikan ceramah berhubung udanang-undang dan juga jenayah sivil menerusi ICT. Saya sendiri terkejut dengan statistik ataupun pelbagai bentuk jenayah yang didedahkan oleh Faisal. Apa yang didedah Faisal sesuatu yang agak baru buat saya. Jadi apabila Pertis mengudang penceramah seumpama itu ia merujakan saya, bahawa Pertis sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab membekalkan ahlinya dengan maklumat dan mengetahui serba sedikit mengenai undang-undang berkaitan ICT dan akta yang melingkungi penulis (bloger).

Saya rasa usaha seperti ini belum pernah dilakukan mana-kama kelompok bloger di negara ini untuk memberi ilmu dan informatif mengenai hal ehwal jenayah siber ini. Tetapi ia didahului oleh Pertis. Disinilah saya kata ada sesetengah bidang atau sudut orang kurang penglihatan lebih peka dan terkehadapan daripada manusia sempurna lain yang tidak pernah mengurangkan egonya.

Majlis tadi dihadiri kira-kira 30 orang ahli Pertis yang kebanyakan mempunyai blog, atau merupakan peminat blog pelbagai gerne di negara ini. Saya rasa mereka juga antara pelayar internet (neter) dan blog yang tegar. Ini terbukti apabila diadakan soal jawab soalan-solan yang diajukan atau persoalan yang dilemparkan semuanya persoalan semasa dan ia mencabar minda untuk menjawabnya.

Kepada saya apa yang dilakukan Pertis itu dengan memanggil pihak Jabatan Jenayah Komersial itu adalah sesuatu yang perlu ditiru oleh kelompok lain memandangkan timbul berbagai bentuk penulisan yang tidak bermaruah dalam blog akhir-akhir ini. Selain itu apa yang penting juga syarah dibawah tajuk; Jenayah Siber, Kita Bukan Jenayah itu, (kalau tak silap) cukup bagus merangsang dan berbentuk informatif. Tidak syak lagi dengan adanya ceramah dan maklumat seperti itu ia akan menjadikan bloger kita beretika dan tidak 'babuk' dalam penulisan.

Syabas kepada Pertis kerana berjaya mengadakan majlis berkenaan. Semoga selepas ini kita akan dikejutkan dengan ledakan pandangan dan pendedahan maklumat-maklumat atau ulasan yang canggih dari para bloger Pertis. Semoga. [chrs.9:00 pm 23/04/11]

Tiada ulasan: