Sabtu, 2 April 2011

AKU INGIN BEBAS

AKU INGIN BEBAS


TERIMA KASIH POLIS, BANTU RAKYAT BENCI UMNO BN

Posted: 01 Apr 2011 08:40 PM PDT

Harakahdaily, 2 April: "Terima kasih PDRM bantu rakyat benci Umno BN," kata Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam yang mengesahkan rakaman video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didedahkan tiga manusia baru-baru ini adalah tulen.

Menurut Ismail, pengesahan itu dibuat oleh pakar profesional yang dilantik pihaknya minggu lalu untuk membuat kajian terperinci.

Katanya, hasil siasatan rakaman video itu yang kini di peringkat akhir akan diserahkan kepada Peguam Negara dalam masa terdekat.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kemungkinan selepas ini pihak polis akan mengesahkan bahawa 'pelakon' lelaki di dalam video berkenaan adalah Anwar.

Baginya, itulah 'skrip' sejak dari awal lagi di mana semua media yang pro Umno BN cuba mengaitkan video lucah itu dengan Ketua Umum PKR.

Secara sinis, beliau berkata, walaupun video lucah itu dimaklumkan pihak polis adalah tulin tetapi gagal mengesahkan pelakonnya kemungkinan disebabkan mata penyiasat rabun.

"Mungkin penyiasat mata rabun atau yang siasat ni 'polis malaikat' yang tak tengok adegan atas katil, jadi dia siasat video saja," ujarnya lagi.

VIDEO SEX: KPN TIDAK FAHAM

Posted: 01 Apr 2011 08:17 PM PDT

Menakjubkan lagi membingungkan – itulah mungkin rumusan paling sesuai untuk menggambarkan reaksi rakyat berikutan kenyataan separuh masak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengumumkan video seks lucah yang dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah 'tulen'.

Malah Ismail membayangkan hasil siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk tindakan susulan dalam tempoh terdekat.

Persoalannya: Betul ke Anwar adalah pelaku dalam video itu? Malangnya, Ketua Polis Negara tidak memberi jawapan.

Jawapan beliau adalah penting kerana ia menjadi paksi kepada segala isu ini – benarkah Anwar dirakam mengadakan hubungan sumbang dengan seorang pelacur di sebuah hotel pada 21 Februari lalu?

Anwar membuat laporan polis pada 22 Mac, sehari selepas video itu ditayangkan kepada media di Hotel Seri Carcosa Kuala Lumpur di mana Ketua Pembangkang dan isterinya kemudian diugut supaya berundur dari politik.

Laporan polis dibuat oleh Ketua Pembangkang itu untuk membolehkan Bukit Aman sendiri menyiasat sama ada pelaku dalam video itu adalah Anwar atau bukan.

Jika bukan, maka jelas fitnah besar-besaran berlaku. Justeru identiti pelaku dalam video itu amat penting dan adalah kunci kepada segala-galanya.

Namun persoalan ini tidak dijawab oleh Ismail. Beliau lebih menjurus kepada hasil siasatan yang mendapati video itu adalah tulen berasaskan penelitian pakar-pakar video tempatan.

Persoalan asas tidak dijawab – siapa pelakon dalamnya. Lebih mengejutkan ialah kenyataan Ismail bahawa hasil siasatan kini "di tahap akhir", akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Mungkinkah siasatan itu boleh dianggap hampir selesai tanpa polis mengambil keterangan daripada Anwar atau pihak-pihak yang dapat membantu siasatan.

Mereka yang dimaksudkan adalah:

  • Ahli Keluarga Anwar dan kakitangan yang dapat mengesahkan Ketua Pembangkang itu berada di rumah pada malam 21 Februari – hari rakaman berkenaan dikatakan dibuat.
  • Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang mengemukakan urutan sembilan pesanan Twitter yang dihantar oleh Anwar pada malam itu
  • Ahli Parlimen Sungei Petani Johari Abdul dan bekas Ahli MPT PKR Badrulhisham Shahrin yang menonton video itu dan yakin pelakunya bukan Anwar berasaskan susuk tubuh dan "bahasa tubuh" pelaku.

Selang sehari video itu didedahkan, pejabat Parti Keadilan Rakyat membongkar identiti pihak yang mendalangi rakaman itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazyl Eskay dan Bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim.

Hanya selepas identiti mereka terbongkar, gandingan Datuk T tampil mengakui mereka di sebalik penayangan video berkenaan, itupun selepas mereka dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak di bangunan Parlimen pada 22 Mac.

Rahim, Eskay dan Shuib hanya mengambil masa kurang lima jam untuk menyerahkan bukti dan memberi keterangan kepada polis susulan laporan yang dibuat Anwar.

Selang seminggu kemudian, Ketua Polis Negara mengumumkan siasatan sudah hampir selesai untuk Peguam Negara mengambil tindakan susulan!

Jelas banyak ruang-ruang tertinggal dalam "siasatan adil dan telus" seperti yang dijanjikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Kenyataan bingkas beliau dan Perdana Menteri Najib Razak menafikan polis tidak langsung terlibat dalam isu fitnah video seks "Tiga Datuk" kini menimbulkan lebih banyak kecurigaan berikutan kenyataan Ketua Polis Negara semalam itu. mkini


JIKA GAGAL BAYAR DENDA, ADUN UMNO AKAN DIPENJARA

Posted: 01 Apr 2011 03:44 PM PDT

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dihukum penjara tiga tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, atas kesalahan menerima rasuah daripada seorang kontraktor sebagai dorongan mendapatkan permit menjual pasir, tiga tahun lalu.

Mustafa yang memakai kot warna hitam kelihatan tenang di kandang tertuduh sebaik sahaja Hakim Amran Jantan membacakan hukuman tersebut setelah tertuduh didapati bersalah pada 4 Mac lalu.

Dalam keputusannya, Amran menyatakan bahawa kesalahan tersebut adalah serius kerana ia dilakukan oleh individu yang berjawatan seperti tertuduh.

"Hukuman bon tidak wajar kerana ia memberi gambaran yang tidak baik kepada masyarakat, seolah-olah mahkamah tidak memandang serius kes rasuah," katanya.

Amran turut memerintahkan Mustafa dihukum penjara 12 bulan sekiranya beliau gagal membayar denda tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman tersebut ditangguhkan sehingga Isnin ini setelah pihak pembelaan memaklumkan akan mengemukakan rayuan.

Bagi tujuan tersebut, hakim berkenaan memerintahkan jumlah ikat jamin tertuduh RM6,000 sebelum ini ditambah kepada RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mustafa, 52, didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.

Mustafa yang dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada 2008 didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.

Dakwaan terhadap Mustafa yang diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha, dikemukakan mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fieza Fazlin Fandi dan Penguasa Kanan SPRM, Jasmi Buang.

Tiada ulasan: