Khamis, 14 April 2011

Addin

Addin


ZENTRUM Ramal DUN Sarawak "Tergantung'

Posted: 14 Apr 2011 05:00 PM PDT

Jika betullah kajian yang dibuat oleh Zentrum Future Studies, kerajaan BN Sarawak bakal jatuh dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini apabila Zentrum meramalkan, BN hanya akan mendapat 24 kerusi Dun Sarawak. Pakatan Rakyat pula, Zentrum meramalkan akan mendapat 27 kerusi, Snap 13 kerusi manakala selebihnya calon bebas iaitu tujuh kerusi. Hasil ini diperolehi berdasarkan kajian Zentrum melalui projek Sarawak Election (SELECT 2011) – iaitu Prediksi Period 2 oleh badan yang dipimpin oleh Dr Abu Hassan Hasbullah itu.


Kajian itu meramalkan, PAS akan menang di tiga dari lima kerusinya iaitu N24 Beting Maro (PAS 53%, BN 47%), N22 Sebuyau (PAS43%, BN 40%, Bebas 17%) dan N3 Tanjong Datu (PAS47%, BN 35% dan Bebas 18%).Dua lagi kerusi PAS adalah N20 Sadong Jaya (PAS 41%, BN 43% dan Bebas 16%) dan N15 Muara Tuang (PAS48% dan BN 52%).

Kajian itu juga meramalkan, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud akan kalah di Balingian di tangan sepupunya, Datuk Salleh Jafarudin (BN 33%, PR 30% dan Bebas 37%).Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian pula diramalkan kajian ini akan menang di Ba'kelalan (PR64% dan BN46%).

Keputusan ini berdasarkan laporan prediksi period 2 yang dibuat oleh Zentrum PRN Sarawak 2011 yang disiarkan dalam lamannya di facebook hari ini.Ia akan berubah bila-bila masa berdasarkan maklumat terbaru yang diterima oleh petugas kajian ini.

Daripada keputusan di atas yang diramalkan, boleh dikatakan pembentukan kerajaan Sarawak adalah tergantung kerana kedua-dua parti terbesar iaitu BN dan PR gagal memperolehi undi mudah iaitu 36 kerusi. Oleh itu, kerusi yang dimenangi oleh SNAP yang kebanyakannya dari kawasan Iban dan Bidayuh dijangka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan campuran.

Sekiranya situasi ini benar-benar berlaku, hubungan renggang antara PKR dan SNAP pada hari ini bakal mengundang masalah bagi kedua-dua parti ini bekerjasama.

Namun begitu, ketepatan kajian ini agak meragukan untuk dibuat keputusan muktamad kerana semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, ramalan yang dibuat oleh Zentrum tersasar apabila didapati calon Pakatan Rakyat dari PKR, Datuk Zaid Ibrahim kalah kepada calon BN Kamalanathan.

Padahal keputusan akhir kajian Zentrum menunjukkan calon PKR itu akan menang dengan majoriti tipis. Bagaimanapun, kajian ini bakal menjadi antara petunjuk awal ke manakah arah tuju pilihan raya Sarawak kali ini.

Sebelum ini, pengkaji PAS meramalkan, sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan.

Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan.

PRN Sarawak : Panas!! (Video) Bukti Undi Pos Tipu

Posted: 14 Apr 2011 06:00 AM PDT

DAP membuat laporan polis hari ini setelah merakamkan sebuah klip video yang didakwa menunjukkan insiden penipuan undi pos di Sibu. Seorang pekerja pilihan raya DAP yang berada di Ibu Pejabat Polis Sibu mengesahkan ejen pengundian DAP yang merakam insiden itu telah memberi kenyataan kepada polis pada jam 5.30 petang tadi.

Klip itu, yang disiarkan petang tadi menunjukkan empat wanita memberi sesuatu yang kelihatan seperti kertas undi kepada seorang lelaki berkaca mata di Wisma Sanyan. Setelah wanita itu beredar, lelaki yang tidak dikenalpasti menyedari dirinya dirakam dan cuba melarikan diri ke tangga menuju sebuah pejabat.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong menempelak insiden itu dan menganggap banyak lagi yang perlu dibongkar."Reaksi orang ramai terhadap video itu membuktikan lelaki dalam video itu terlibat dalam sesuatu yang tak kena," katanya. "Kita mengutuk semua bentuk penipuan pilihan raya dan pembelian undi dan menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat insiden ini.

Liew menambah walaupun DAP menerima laporan banyak perkara seperti ini berlaku, DAP tiada kuasa untuk menghalangnya."Kita tidak akan berpeluk tubuh sahaja," katanya. "Jadi kami menggesa semua pengundi di Sarawak memainkan peranan bagi memastikan Pilihan Raya ini bersih dan adil. Jika anda melihat insiden yang mencurigakan, rakam dan kami akan mengambil tindakan susulan," tambahnya lagi./Tvsnews





PRN Sarawak : PR Selesa di 17 Kerusi DUN

Posted: 13 Apr 2011 07:00 PM PDT

KUCHING - Sekurang-kurangnya 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak didakwa sudah dalam genggaman Pakatan Rakyat manakala 11 kerusi lagi boleh jatuh bila-bila masa kepada Pakatan. Dari 71 kerusi yang dipertandingkan, BN pula setakat ini didakwa hanya selesa di 43 kerusi, kata Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pada sidang media PAS di Pejabat Badan Perhubungan PAS, di Matang Jaya di sini.

Menurut Malaysiakini pula, kerusi selamat untuk BN hanya 28 sahaja manakala 19 sudah dimenangi pembangkang manakala 24 kerusi lagi sedang menjadi rebutan. Dr Dzulkefli yang juga bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat (PPP) berkata, biarpun maklumat itu hanya sekadar pandangan pemerhati politik, namun ianya sesuai dengan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat setakat ini.

Maka tidak hairanlah katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak begitu bimbang sehingga beliau terpaksa turun sendiri berkempen di Sarawak."Najib memang tergugat, saya mendapat maklumat BN hanya boleh menang 43 kerusi yang mana mereka rasa betul-betul selamat. 17 kerusi milik pembangkang manakala 11 lagi jadi pertarungan sebenar," katanya. Turut serta pada sidang media itu, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat.

Keadaan itu juga jelas beliau menyebabkan Najib kini seperti hilang kepercayaan kepada timbalannya sendiri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi jentera pilihan raya BN. Ianya juga ditambah dengan faktor kebencian rakyat terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Hampir seluruhnya kekayaan negeri ini dibolot secara rakus bukan sahaja oleh dirinya (Taib), tetapi juga oleh suku sakatnya, abang, adik, ipar dan menantu.  "Maka amat wajar Najib kalau berani menyatakan siapa pengganti Taib Mahmud dalam masa terdekat ini.

"Ataukah ini mainan Najib, atau mainan Muhyiddin dengan Taib Mahmud untuk mensabotaj Najib,"soalnya lagi. Kebangkitan rakyat pada pilihan raya Sarawak kali ini dapat dilihat dengan jelas apabila penyertaan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya ini disambut bagai menatang minyak yang penuh.

Ceramah-ceramah Pakatan Rakyat juga turut mendapat sambutan luar biasa khususnya masyarakat Cina, apatah lagi dengan kehadiran pemimin utama PAS, PKR dan DAP seperti Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Keadaan itu menyebabkan BN kini tidak senang duduk dan mula menumpukan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai penduduk majoriti Melayu, Melanau dan Iban.

"BN kini sedang memperkemas bala tentera, bukan jentera tetapi wang ringgit mereka,"kata Dzulkefly lagi. Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini, semua kerusi ditandingi pembangkang termasuk Pakatan Rakyat iaitu PKR 47 kerusi, DAP 15 dan PAS 5, manakala Snap bertanding di 27 kerusi./Hrkh


Kisah Transeksual Rakyat Malaysia

Posted: 13 Apr 2011 05:00 PM PDT

Transeksual rakyat Malaysia, Fatine mempertahankan tindakannya terpaksa meninggalkan Ian Young, 'suaminya' seorang rakyat British dua minggu selepas dia memperoleh visa untuk tinggal di United Kingdom (UK). Fatine, 38, atau nama sebenarnya Mohammed Fazdil Min Bahari berkata, dia melakukan pengorbanan besar dengan berhijrah ke UK untuk tinggal bersamanya tetapi sikap Young telah memaksanya memutuskan hubungan mereka yang terjalin lebih lima tahun.

"Akhirnya dia mengabaikan saya sama sekali. Sesuatu yang menyakitkan apabila lelaki yang anda cintai melayan anda macam itu. Saya telah mengorbankan hidup saya kerana dia," katanya dipetik The Daily Mail.Young juga mengaku dia tidak melayan Farine dengan baik sebagai mana dia sepatutnya telah lakukan.

Dalam laporan awal semalam, The Daily Mail menyebut Fatine, yang pada hujung 2009 mendapat perhatian ekoran laporan media bahawa kemungkinan dikenakan tindakan imigresen, telah berpisah dengan suaminya selepas dua minggu memperoleh visa untuk tinggal di UK.

Young mendakwa telah menghabiskan sekitar £12,000 (hampir RM60,000) untuk mendapatkan visa bagi Fatine. Young, 32, mendakwa cintanya dengan Fatine juga menyebabkan dia kehilangan kerja sebagai penjaga di tiga sekolah ekoran kemarahan beberapa ibu bapa.

Kata Young, selepas dua minggu memperoleh visa Fatine telah meninggalkannya. Fatine kini tinggal di Manchester. Ekoran tindakan isterinya itu, Young berkata, dia yang rasa tertekan cuba membunuh diri dengan mengambil pil dan kini cuba untuk membina semula hidupnya selepas hilang kerja dan tiada rumah untuk tinggal.

Katanya: "Saya menggunakan setiap sen (untuk Fatine) dan saya sudah kehilangan segala-galanya, saya sudah kehilangan rumah dan akhirnya saya hilang isteri saya."

"Merenung (apa yang berlaku), (saya merasakan) dia menggunakan saya untuk mendapatkan visa," katanya dipetik The Daily Mail.

"Saya merasakan saya seolah-olah seorang bodoh. Saya sepatutnya menikmati hidup paling menggembirakan dalam hidup saya. Sekarang dia tidak bercakap dengan saya, dan dia tidak akan dapat perceraian," katanya lagi. Laporan akhir 2009 menyebut Fatine berhadapan dengan kemungkinan dikenakan tindakan imigresen jika pulang ke Malaysia.

Menurut laporan ketika itu, Fatine menghadapi tindakan dihantar pulang ke Malaysia selepas permohonannya untuk mendapatkan visa 'Leave to Remain' ditolak Pejabat Dalam Negeri ekoran lampiran gambar yang "salah".

Fatine juga mendakwa rasa takut untuk pulang ke Malaysia ekoran reaksi negatif yang timbul daripada tanggapan salah berhubung perkahwinannya dengan seorang warga British.

Young berkenalan dengan Fatine di sebuah kafe Starbucks di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur pada Ogos 2006 ketika dia bekerja sebagai pegawai keselamatan di Malaysia. Fatine mengambil hormon wanita sejak berusia 17 tahun.Jurusolek itu dilaporkan tidak mahu melakukan pembedahan penukaran jantina kerana takut pada risiko di samping gembira dengan keadaan dirinya yang sedia ada.

The Daily Mail melaporkan, pada malam sebelum Fatine meninggalkan Young, pasangan itu terlibat dalam 'pertengkaran besar' termasuk suaminya meninggalkan rumah mereka di Pear Tree, menyebabkannya dia tinggal seorang diri.

"Dia tinggalkan saya tanpa sebarang duit," kata Fatine lagi. Dalam laporan semalam, Young dipetik berkata, dia terpaksa meninggalkan kerja penjagaan kanak-kanak di tiga sekolah di Derby ekoran ibu bapa yang marah kerana cinta dia dengan Fatine, yang lahir sebagai seorang lelaki.

Saga mereka menyebankan Young, yang berusia 32 tahun, tiada pekerjaan dan tiada rumah, dan pada satu peringkat mengambil pil bunuh diri.  Young pernah menjalin hubungan lapan tahun dengan seorang wanita tetapi kemudian menjadi homoseksual. Fatine berhijrah ke Derby dan pasangan itu mengikat perkahwinan pada 2009.

Untuk menyokong kes visanya, Fatine menyertakan dalam permohonannya bahawa dia berhadapan dengan ugutan bunuh menerusi yang diterima menerusi Internet dari Malaysia. Kedua-dua Fatine dan Young mengaku mereka masih mencintai satu sama lain seperti dulu.

Tetapi Fatine juga mengakui, dia tidak menjawab panggilan berulang kali daripada suaminya kerana tidak mahu bercakap dengannya. Katanya, peluang untuk berbaik semula sangat kecil dan dia akan bersetuju kepada permintaan Young untuk bercerai.

Fatine berkata perkara itu kini berada di tangan peguamnya. "Bagaimana kami boleh bersatu semula apabila suami saya telah mengatakan banyak perkara buruk tentang saya," kata Fatine. "Saya mahu terus bergerak dengan hidup saya," katanya lagi.

"Saya tinggal dengan seorang kawan yang memberikan saya satu tempat untuk tinggal dan saya sedang berusaha untuk mendapatkan kerja. "Saya mencintai Ian (Young) bukan hanya kerana visa. Saya tiada kawan, tiada keluarga di sini… saya bergantung sepenuhnya dengan dia," kata Fatine.

Young pula berkata: "Fatine telah pergi untuk tinggal bersama kawan-kawannya di Blackpool dan ia tidak menjadi, sebab mereka sudah muak kerana dia tidak mendapat kerja langsung." Kata Young lagi, "hubungan kami OK, tetapi selalu diselubungi kebimbangan mengenai visa, bukan hanya untuk memperolehnya, tetapi dari mana kami mendapatkan wang (untuk mendapatkannya)."

"Kami telah memohon lima kali dan kosnya beribu-ribu pound sterling. Saya penjaga di sebuah sekolah kecil yang membayar saya £640 sebulan," katanya. Dia berkata emaknya juga meminjamkannya £2,000 untuk membantu permohonan tersebut.

Young, yang kini tinggal bersama kawan-kawannya berkata, "sebagai seorang lelaki yang lurus, saya ada beberapa kekhuatiran. Tetapi saya tidak boleh mengetepikan bagaimana saya merasainya." "Saya mengaku saya memang ada mengabaikan Fatine apabila saya berada dalam keadaan tertekan. Saya hanya mahu dia memberitahu saya bahawa kami boleh bersama semula, tetapi dia tidak berminat.

"Saya cuba memulakan bisnes saya. Saya masih berhutang tetapi saya sedang bergerak dan mula berdiri di kaki sendiri," katanya lagi. Fatine sebelum ini memberitahu dia telah menerima banyak emel dan komen orang ramai yang mengkritik sambil menuduhnya telah menghina kerajaan Malaysia.

Fatine juga kesal kerana orang ramai tidak memahami tujuannya datang ke United Kingdom adalah semata-mata untuk hidup bersama lelaki yang dicintainya. Fatine menambah dia tidak boleh berbuat demikian di Malaysia kerana masyarakat mengkaitkan perkahwinan mereka dengan isu agama.


Tiada ulasan: