PULAU PINANG 27 MAC : Parti Keadilan Rakyat dan Parti Tindakan Demokratik berjaya menyelesaikan isu pengagihan kerusi antara dua parti komponen Pakatan Rakyat itu dalam menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak.
Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng mengesahkan bahawa persetujuan sudah dicapai manakala butiran terperinci akan di umumkan dalam tempoh terdekat.
"Setiap kelewatan menyelesaikan isu ini akan merugikan kita. Sudah sampai masanya kita bekerja sebagai satu pasukan," Lim memberitahu pemberita.
"Kita harus memberi fokus kepada menggembeling tenaga kita untuk menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri Sarawak," tegas beliau.
Kedua-dua parti itu sebelum ini dikatakan gagal mencapai persetujuan di atas pihak mana harus bertanding di enam kerusi - Padungan, Batu Kawa, Senadin, Piasau, Balau Ringin dan Dundop.
Hari penamaan calon untuk pilihanraya negeri Sarawak ditetapkan 6 April manakala pembuangan undi adalah pada 16 April.
SHAH ALAM 27 MAC : Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin mengkhianati orang Melayu kerana melaksanakan program yang hanya menguntungkan kroni, kata ahli parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.
Akibatnya masyarakat Melayu hari ini masih terpaksa memperjuangkan benda-benda sama seperti 50 tahun lalu, kata beliau ketika mengulas wawancara Daim dalam akhbar Mingguan Malaysia hari ini.
Kenyataan Daim kononnya Pakatan Rakyat hanya satu "konspirasi politik" menunjukkan beliau ketinggalan zaman dan tidak seiring dengan realiti politik semasa, tambah Yusmadi.
Beliau menyifatkan wawancara Daim dengan Mingguan Malaysia hari ini sebagai cubaan terdesak Umno mengitar semula pemimpin lama untuk menghembus nafas baru dalam parti itu yang semakin ditolak oleh rakyat.
"Apa yang dikatakan oleh Daim ini jelas satu percubaan Umno-BN mengguna kembali pemimpin-pemimpin lama untuk membantu Umno terutamanya kerana mereka semakin hari semakin dipinggirkan dan ditolak oleh rakyat,"kata Yusmadi.
Daim dikenali sebagai seorang yang jarang memberikan wawancara, walaupun kepada media kawalan Umno.
Namun beliau menggunakan Utusan untuk membidas musuh politik Umno iaitu Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.
Yusmadi menyifatkan kritikan Daim itu sebagai tuduhan liar yang bertujuan menutup penyelewengan bekas menteri kewangan itu sendiri.
"Ini adalah contoh pemimpin yang masih lagi dengan mimpi-mimpi lama yang tidak melihat kepada perkembangan realiti politik terbaru Malaysia. Pandangnya itu juga mengambarkan UMNO tidak pernah berubah, walaupun rakyat telah berubah dan pemimpin yang tidak mampu menerima Malaysia kini bukan lagi Malaysia dahulu," kata beliau.
Dalam wawancara itu Daim mengulangi propaganda Umno kononnya kedudukan Raja-Raja Melayu akan tergugat sekiranya orang Melayu menyokong Pakatan.
"Itu adalah satu fitnah terbesar. Apa yang diperjuangankan oleh Anwar adalah satu perkara yang telah disepakati, yang mana tidak pernah sekali-kali menolak kerangka pelembagaan yang memberi pengiktirafan kepada hak-hak Raja Melayu dan orang Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan," kata Yusmadi.
Dalam wawancara itu, Daim tidak menyentuh atau ditanya mengenai pandangan Tun Mahathir Mohamad bahawa bekas Menteri Kewangan itu dicemari dengan pelbagai dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa.
Yusmadi berkata rekod Anwar adalah jauh lebih bersih berbanding dengan Daim.
"Bagi saya Anwar adalah lambang 'keadilan' dan ketidakadilan yang dilakukan katas Anwar itu yang menjadi motivasi kepada rakyat untuk berjuang terus mempertahankan keadilan di Malaysia," kata Yusmadi.
"Daim pula adalah lambang dasar ekonomi yang hanya menguntungkan kelompok tertentu sahaja, Daim bukan lambang ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat jelata, sebab itu sehingga hari ini orang Melayu masih berjuang isu yang sama selama 50 tahun" tambah beliau.
Tun Mahathir melantik Anwar menjadi Menteri Kewangan selepas Daim melepaskan jawatan itu pada 1991 setelah diselubungi pelbagai dakwaan.
Daim dikatakan seorang daripada perancang utama dalam fitnah yang menyaksikan Anwar dihumban dalam penjara selama enam tahun atas tuduhan liwat dan rasuah pada tahun 1998.
KUALA LUMPUR 27 MAC :Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau tidak pernah menyesal bersuamikan Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik siri dakwaan menyentuh soal moral Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu, termasuk terbaru rakaman video seks.
"Saya tidak pernah menyesali. Sebelum Anwar, saya pernah menerima lamaran lain. Tetapi solat istikharah, apabila Anwar melamar untuk menjadikan saya isterinya, saya bermimpi melihat banyak poster yang seperti poster pilihan raya.
"Dan, semua poster ini adalah gambar Anwar. Bagi saya itu petunjuk yang diberi Tuhan. Maka saya pilih Anwar," kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini kepada Sinar Harian edisi hari ini.
"Allah janjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Allah tidak pernah mendustai kita. Jadi, tidak pernah timbul rasa kesal di hati saya. Ya! Saya tidak pernah menyesal," kata beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Anwar 30 tahun lalu.
Akhir 1990-an, Anwar berhadapan dengan tuduhan liwat dan salah guna kuasa.
Tiga tahun lalu, Anwar berhadapan dengan kes liwat kedua yang kesnya sedang berlangsung.
Tiga hari sebelum pasukan pendakwaan menutup kes liwat kedua ke atas Anwar, tiga "Datuk T" membuat pendedahan rakaman video seks, yang didakwa dirakamkan pada 21 Februari lalu, dan dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
Anwar menafikan dakwaan itu dengan menyifatkannya sebagai konspirasi politik pemimpin-pemimpin Umno.
Dr Wan Azizah berkata, sehingga kini keyakinan beliau dan keluarganya ke atas Anwar tidak pernah luntur.
"Saya sentiasa tanamkan dalam diri terima segala dugaan yang Allah datangkan. Melaluinya dengan sabar, sentiasa berdoa memohon Allah permudahkan segalanya dan tunjukkan kebenaran.
"Dan, saya tidak pernah membenaekan rasa sesal singgah di dada," kata beliau.
Mengenai soalan keyakinan terhadap cita-cita Anwar untuk menjadi perdana menteri, Dr Wan Azizah berkata: "Sejak usia 20 tahun hingga sekarang, pelbagai perkara sudah dilaluinya. Insya-Allah dia mampu. Boleh.
"Sudah terlalu banyak dugaan ditempuhnya. Dengan dugaan yang pernah dilaluinya itu, Anwar boleh jadi perdana menteri yang bagus. Saya yakin itu," kata bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Pada Ogos 2008, beliau mengosongkan kerusi itu untuk membolehkan Anwar bertanding, sekali gus menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan