Jumaat, 18 Mac 2011

SharpShooter

SharpShooter


Kenyataan PAS dan DAP isu tiket loteri di Kelantan

Posted: 17 Mar 2011 06:04 PM PDT

M Faqih

KOTA BHARU, 17 Mac: DAP hari ini menjelaskan aktiviti perjudian yang memerlukan premis seperti Magnum atau Nombor Ekor tidak lagi berbangkit sekarang kerana semua rakyat Kelantan sudah faham.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua bangsa di negeri ini telah menerima larangan kegiatan tersebut sudah melewati 20 tahun.

"Masyarakat Cina telah menerima pentadbiran PAS dalam tempoh 20 tahun. Dasar PAS sudah diketahui termasuk bukan Islam.

"Itu tidak lagi menjadi isu, yang ditimbul sekarang hanya penjualan tiket loteri sahaja. Ini kerana ada pihak berhujah loteri tidak memerlukan premis dan diberi kelulusan kerajaan pusat.

"Dan apabila kerajaan negeri menguatkuasa larangan itu seolah-olah melampaui batasan kuasa kerajaan pusat. Dan kerajaan Kelantan menjelaskan isu ini akan dikaji Penasihat Undang-Undang," katanya pada persidangan media selepas perjumpaan dengan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama perjumpaan itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nor Manuty dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam menyerbu premis yang disyaki menjual tiket loteri.

Loke berkata, beliau dan Liew menyatakan pandangan DAP terhadap isu loteri kepada Menteri Besar.

"Hanya penjualan loteri yang jadi isu baru-baru ini. Dan kita berpuas hati dengan perbincangan hari ini. Kita menghormati judi adalah haram kepada orang Islam.

"Hanya menjadi persoalan kepada bukan Islam membeli loteri kerana ia dibenarkan di peringkat pusat, dan kerajaan negeri bersedia mengkaji spesifik isu loteri.

"Dan kalau dibenarkan selepas dilihat dari aspek undang-undang kita perlu melihat semula bagaimana melaksanakan perkara ini," ujarnya.

Beliau juga berkata, loteri sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Tionghua sejak sekian lama.

Beliau yang juga anggota parlimen Rasah berkata, dalam isu judi bola sepak DAP awal-awal lagi menentang ketika perbahasan di parlimen.

Mustafa pula kerajaan Kelantan menyerah kepada Penasihat Undang-Undang (LA) untuk mengkaji isu penjualan tiket loteri yang tidak membabitkan premis.

Ini kerana kegiatan perjudian yang memerlukan premis memang tidak boleh di Kelantan, tetapi dalam konteks tanpa premis lesen judi itu diluluskan kerajaan pusat.

"Kuasa kerajaan negeri premis di bawah peraturan PBT, tetapi kalau kegiatan judi yang tidak memerlukan premis inilah yang LA hendak kaji.

"Kalau mereka jual di tepi sungai kita pun tidak tahu, macam mana hendak buat. Itu maksudnya. Tengok dahulu apa hasil yang dikaji LA," ujarnya.

Beliau juga berkata, pertemuan dengan Menteri Besar hari ini bagi menerangkan keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat yang lepas berkaitan isu berkenaan.

Cuma kata beliau apa yang dilaporkan beberapa akhbar tidak tepat berkaitan kenyataan dikeluarkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dakwaan mengatakan Anwar menegur Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak berbangkit sama sekali kerana apa yang dilaporkan media berlainan.

"Keputusan diambil kita serah kepada kebijaksanaan negeri Pakatan masing-masing. Pulau Pinang macam mana pendekatan yang mereka hendak diambil.

"Kelantan sudah lama diketahui sikapnya. Tidak semesti apa yang dilakukan Kelantan negeri Pakatan Rakyat lain pula hendak ikut, jadi terpulang di atas kebijaksanaan dan autoriti negeri terbabit," tambahnya.

Dalam kenyataan sebelum itu Menteri Besar berkata, isu larangan penjualan tiket-tiket loteri Big Sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap, kerajaan negeri sedia menelitinya.

"Kita serahkan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri untuk melihat dari sudut perundangan yang ada," katanya.

Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari.



* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Keadilan usah terlalu tamak di Sarawak

Posted: 17 Mar 2011 04:38 PM PDT

KUCHING 17 Mac - Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) hari ini berubah nada berhubung isu pembahagian kerusi pada pilihan raya negeri akan datang yang sebelum ini menimbulkan perbalahan antara parti itu dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presidennya, Edwin Dundang berkata, Snap bagaimanapun tetap berharap agar PKR tidak meletakkan calon di 16 kerusi yang ingin ditandingi mereka.

Katanya, pada masa sama perbincangan lanjut mengenai isu itu akan terus dilakukan dan oleh itu tidak timbul kononnya Snap kini berbalah dengan PKR.

''Kita dan PKR tidak ada gaduh. Hubungan dalam pakatan pembangkang masih baik dan kita memperjuangkan keinginan bersama untuk menawan Sarawak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada sidang akhbar Selasa lalu, Dundang menyatakan kesediaan Snap untuk berdepan dengan PKR jika parti itu tetap berhasrat meletakkan calon di kerusi yang ingin ditandingi mereka.

Sementara itu, Dundang berkata, langkah ini diambil kerana mahu memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

''Kita masih ada perbincangan dengan PKR, pihak yang mendakwa Snap dan PKR bergaduh itu bukannya daripada pihak kita tetapi musuh politik kita (BN)," ujarnya.

Ditanya sama ada kenyataannya hari ini membayangkan tidak akan berlaku pertembungan antara calon Snap dan PKR pada pilihan raya negeri akan datang, Dundang berkata:

''PKR dan Snap akan mengadakan perbincangan dalam tempoh dua minggu lagi, jadi saya tidak mahu menjawab bagi pihak mereka (PKR).''

Sharpshooter - Keadilan usah terlalu tamak di Sarawak, apa ertinya Keadilan bertanding 52 kerusi tetapi semuanya kalah. Adalah tidak adil jika permohonan 16 kerusi oleh SNAP, hanya 3 kerusi sahaja dibenarkan sedangkan SNAP adalah parti tempatan di Sarawak.

Pilihanraya kecil Batu Sapi telah terbukti tidak ada siapa yang untung bila Keadilan gagal berunding dengan SNAPP yang akhirnya berlaku pertandingan tiga penjuru yang terbukti calon BN menang. Akibatnya krisis dalaman Keadilan di Batu Sapi kian meruncing.

Bagaimana kita mahu menawan Putrajaya jika parti tempatan di Sabah dan Sarawak tidak bersama Pakatan Rakyat. Mereka akan anggap mereka dianak tirikan. BN akan guna isu mudah dalam pilihanraya, mereka akan mainkan isu bahawa parti Keadilan parti Semenanjung bukan parti Sarawak. Sentimen anti Semenanjung masih kuat di Sarawak sebab itu umno tak mampu bertapak di Sarawak hingga sekarang.


SNAP akan berkata, di manakah lagi kami akan bertanding jika kami tidak diberi peluang bertanding di Sarawak? SNAPP juga pernah pernah berkata...di manakah lagi kami akan bertanding jika tidak diberi peluang bertanding di Sabah?

Apa salahnya jika Pakatan Rakyat umum Ketua Menteri Sabah dan Sarawak adalah dari parti tempatan Sabah dan Sarawak yang bersama Pakatan Rakyat. Ini adalah satu strategi untuk menawan Putrajaya. Seperti juga di Semenanjung, Pakatan Rakyat tidak mungkin berjaya menawan 5 negeri jika Keadilan, PAS dan DAP berbalah dan akhirnya berlaku pertembungan tiga penjuru.

BN sudah pasti ternanti-nanti pertembungan tiga penjuru kerana mereka tahu, BN akan menang dengan selesa kerana pengundi yang benci BN akan berpecah.


Inilah masa Keadilan perlu pulihkan imej yang tercalar teruk dengan isu 11 katak sumpahan, isu pemilihan yang tak berkesudahan, inilah masanya untuk pulihkan imej dan keyakinan rakyat kepada Parti Keadilan Rakyat.


Anwar Ibrahim sewaktu berucap di Kongres P.Pinang, beliau pernah mengambil mutiara kata Mahatma Gandhi "The world has enough for everyone's need, but not enough for everyone's greed..." eloklah dihayati dan diterjemahkan dalam bentuk realiti....


Semoga rundingan akan selesai di antara Keadilan dan SNAP di Sarawak dan tidak akan berlaku pertandingan tiga penjuru yang memang terbukti hanya BN yang untung. Semoga Pakatan Rakyat dapat menawan Sarawak.


* KUASA RAKYAT KUASA KERAMAT *
Kalau Takut Dipukul Badai...Usah Berumah Di Tepi Pantai...
Amizudin Ahmat (Din Binjai)
http://sharpshooterblogger.blogspot.com/

Tiada ulasan: