shalehudin |
- BN pakar mencabul... kahkahkah...
- SPR buat bodo...
- Peluang barat mengganyang Libya
- Kandang haiwan?
- Oman pulak dah... kahkahkah...
- Saman ekor: Ketahui hak anda
BN pakar mencabul... kahkahkah... Posted: 01 Mar 2011 07:07 AM PST Kena dengan tempatnya... kahkahkah... Oleh Ahmad Lutfi Othman Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Mei 2010, saya jarang berjalan jauh. Kudrat terbatas memaksa saya mengikuti perkembangan politik semasa hanya melalui media tradisi dan internet, selain sembang-sembang dengan rakan-rakan rapat. Banyak program seperti diskusi dan seminar, apatah lagi majlis-majlis ceramah dan konvensyen, terlepas begitu sahaja. Memang berbeza mendengar atau memerhati hatta menonton dari jauh, berbanding turun sendiri ke lapangan. Realiti dan gejolak di medan seringkali tidak sama dengan lakaran di atas kertas atau paparan melalui media baru. Semangat yang terkandung di dalamnya sukar dirasai sedangkan itulah yang paling penting untuk dihayati. Untuk membuat laporan atau analisis yang baik, wartawan perlu merasai debar dan getar sebenar para aktor dunia politik. Penulis harus berada di tengah kancah, menjiwai detik-detik konflik, menikmati kesyahduan atau menerima tempias panas bahangnya. Agak malang buat saya apabila sekadar membuat pemerhatian jarak jauh. Mungkin kadang-kadang fokus yang disorot agak tersasar. Justeru, sentuhan mudah kehilangan bisanya. Dalam keadaan itu, pembaca sendiri tidak puas menatapnya. Rantaian pilihan raya kecil yang tidak putus-putus ini, jika diikuti dari dekat, mungkin dapat membawa gambaran lebih jelas tentang kecenderungan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang. (Bagaimanapun, pada hemat saya, trend undian dalam pilihan raya kecil mungkin berbeza -- malah ada kalanya jauh berbeza -- dengan situasi dalam pilihan raya umum. Tetapi ia tidaklah menyebabkan kita memandang remeh pilihan raya kecil itu). Dengan berbaki tempoh tidak sampai dua tahun sebelum penggal Parlimen dan Dun berakhir, tumpuan semua parti-parti politik lebih terarah kepada PRU13, pilihan raya yang cukup kritikal buat semua parti. Justeru, pilihan raya kecil yang begitu kerap diadakan mutakhir ini kelihatannya seperti tidak diberikan perhatian istimewa. Mungkin terdapat pemimpin, termasuk daripada Pakatan Rakyat, seolah-olah bersikap sambil lewa menyertainya, walaupun keputusan pilihan raya kecil itu tetap signifikan untuk mengukur pengaruh semasa, di samping meneliti faktor-faktor kelemahan yang perlu diperbetulkan segera menjelang PRU13. Tengahari Isnin lalu, saya bersama seorang teman cuba menggagahkan diri berkunjung ke Kerdau. Rasanya itu merupakan antara perjalanan paling jauh saya tempuhi selepas dirawat agak lama di hospital. Selain hasrat untuk mengikuti dan merasai dari dekat situasi di kawasan "pertembungan" Umno-PAS, secara personal saya ingin menduga ketahanan badan. Memang memenatkan tetapi ia cukup bermanfaat, terutama bagi seseorang yang terkurung begitu lama pergerakan fizikalnya, apatah lagi apabila dikesan diserang angin ahmar. Benar, fikiran dan angan-angan boleh menerjah ke seluruh pelosok alam, meneroka pelbagai dimensi alam, namun tanggungjawab saya bukannya menulis fiksyen. Realiti dunia politik yang cepat berubah memerlukan tanggapan yang cerdas dan tangkas. Gambaran pergelutan di bawah harus dikuasai. Mungkin ada isu dirasai kecil di atas kertas tetapi menjadi dominan dalam kehidupan seharian. Ada peristiwa dianggap besar di atas pentas pidato namun dikesampingkan oleh isu-isu yang direkayasa oleh pihak berkepentingan. Selain itu, cabaran dan gugatan politik, khususnya selepas fenomena tsunami 2008, sukar untuk diramal. Dalam diam tidak semestinya orang mengangguk. Dalam senyum bukan seharusnya orang bersetuju. Tanpa hingar-bingar tunjuk perasaan tidak bermakna segalanya aman damai. Tanpa luahan bantahan dan teriakan menuntut perubahan bukan bererti segalanya terkawal dan mudah dijangka. Di Kerdau -- seperti juga medan pilihan raya kecil lain -- sukar untuk kita menyaksikan sesuatu yang pelik dan mengejutkan. Masakan tidak ... banyak salahlaku, penyelewengan dan salahguna kuasa BN, selain tindakan dan amalan yang mencemar dan mencabul semangat demokrasi, sudah dianggap perkara lumrah dan tidak begitu diendahkan. Hatta di kalangan oposisi sendiri, ia bagaikan diterima sebagai hakikat yang tidak berupaya ditolak lagi. Komitmen ahli-ahli PAS dan Pakatan di peringkat akar umbi, sekurang-kurangnya untuk memberikan saingan sengit kepada BN, begitu menyerlah. "Cuma, saya agak terkilan dengan sikap segelintir kecil pemimpin tertentu yang dilihat seperti tidak serius untuk turun berkempen merayu undi atau menyuntik semangat kepada petugas parti," keluhan seorang pemerhati, yang mendakwa dapat mengesan tabiat negatif itu dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini. Namun begitu, rasuah politik seperti diizinkan bermaharajalela di depan mata. Projek pembangunan dilambakkan serta-merta secara tiba-tiba, tentunya dengan hasrat membeli undi. Pasukan keselamatan pula, seperti lazimnya, tidak terlepas daripada menjadi perkakasan BN untuk meraih undi. Jentera kerajaan dimanipulasi dengan begitu dahsyat (tetapi sudah tidak dirasai kedahsyatannya kerana dianggap perkara biasa, 'kan?). Jangan ceritalah tentang akses calon atau parti yang bertanding kepada media secara saksama, seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih. Begitu juga dengan penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dan penyelewengan undi. Kempen pilihan raya seminggu, yang pendek itu, mungkin tidak terasa untuk pilihan raya kecil tetapi bagi PRU13 nanti, saya yakin permintaan agar ia dilanjutkan minimum 21 hari pasti tidak akan dilayan. Jadi, cadangan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar dianjurkan satu himpunan raksasa Bersih sekali lagi harus diambil berat. Aktivis Pakatan mesti memandang serius apa jua pencemaran terhadap proses pendemokrasian. Satu kesalahan besar apabila kita sendiri menganggapnya sebagai satu kebiasaan yang terpaksa ditelan tanpa soal. Hinggakan nanti mungkin kita sendiri menjadi gerun dengan amalan demokrasi yang sebenar! |
Posted: 01 Mar 2011 06:53 AM PST Pilihan Raya Kecil Sogokan Mee Segera:Mengapa SPR membisu? Oleh Hafiz Zainuddin Sebelum pergi kepada isu yang akan saya sentuh, mari kita imbas antara bajet yang diperuntukkan kerajaan Malaysia untuk pembangunan ekonomi negara meliputi perindustrian, pertanian dan infrastruktur sepanjang tempoh lebih separuh dekad ini. Bajet 2005 antara lain menyebutkan sebanyak 49.1% peruntukan untuk pembangunan. Ini bererti sejumlah RM13.9 bilion telah disediakan bagi sektor ekonomi dalam menampung keperluan infrastruktur, pertanian dan perindustrian. Dalam Bajet 2007 pula, kerajaan di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi telah memperuntukkan sebanyak RM3.4 billion untuk pembangunan luar Bandar antaranya melibatkan projek pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik. Ia turut melibatkan perkembangan pendidikan pra-sekolah di bawah KEMAS, kegiatan masyarakat dan latihan kemahiran. Jumlah keseluruhan bajet 2007 yang diperuntukkan kepada sektor ekonomi melibatkan sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur ialah RM20.8 billion manakala bajet pada tahun 2008 pula adalah sebanyak RM20.6 billion diperuntukkan untuk sektor-sektor tersebut. Manakala Bajet 2009 telah memperlihatkan peningkatan lebih RM7 billion. Secara keseluruhannya, bajet ini memperuntukkan RM27.8 billion untuk pembangunan sektor ekonomi yang merangkumi sektor pertanian, perindustrian dan infrastruktur. Kerajaan dilihat terus memberi penekanan serius dalam mempertingkatkan pembangunan negara. Bajet 2010 telah memperlihatkan sejumlah RM25.4 billion diperuntukkan walaupun mencatatkan pengurangan lebih RM2 billion. Peruntukan-peruntukan kepada pembangunan ekonomi melibatkan infrastruktur dalam bajet yang dibentangkan memperlihatkan usaha kerajaan dalam memperbaiki taraf hidup dan ekonomi rakyat. SPRM: Penubuhan yang sia-sia Isu pada kali ini kita akan memberi fokus kepada beberapa perkara penting yang mungkin telah kita terlepas pandang dan lupakan. Isu ini adalah antara isu yang sangat penting dalam pembentukan sebuah negara yang berintegriti dan telus. Berintegriti dan telus boleh diertikan dengan keberkesanan urus tadbir dan bebas rasuah. Apa pula kaitan bajet-bajet berkenaan dengan isu integriti dan rasuah? SPRM telah ditubuhkan sejak zaman Abdullah Ahmad Badawi untuk memerangi gejala rasuah secara lebih meluas dan bebas dalam mewujudkan urus tadbir yang telus dan berkesan. Apakah rakyat boleh katakan bahawa objektif SPRM tercapai sejak penubuhannya? Melihat kepada siri-siri berita jam 8 di RTM1, semestinya kerajaan pimpinan Najib diperlihat sangat cakna terhadap masalah rakyat, berintegriti dan telus dalam menjalankan tanggungjawab termasuk memerangi rasuah. Soalan pertama saya; sejauh mana rakyat yakin kepada ketelusan dan integriti pentadbiran Najib? Teluskah pentadbiran Najib apabila indeks CPI Malaysia berada pada skor 4.4 di tangga ke-56 pada tahun 2010 berbanding tahun 2009 berada pada skor 4.5? Apakah ertinya semua ini? Terus terang saya katakan bahawa usaha kerajaan dalam memerangi rasuah tidak akan mencapai matlamat yang diingini walaupun kerajaan dilihat bersungguh menaik-taraf BPR kepada sebuah suruhanjaya, SPRM. Usaha memerangi rasuah digambarkan sebagai menyeluruh tetapi hasilnya ala-kadar, bersifat kosmetik dan berpilih-pilih. Saya percaya, anda juga akan bersetuju dengan saya. Rakyat dipertontonkan malah muak dengan siri-siri penangkapan "ikan bilis" manakala "jerung-jerung" besar masih bebas dan mengganas. Rakyat juga tidak terkejut dengan timbunan fail-fail berprofil tinggi yang masih "dalam siasatan" dan ada pula yang sudah mulai "mereput"- malah, sejak sekian lama, ia telah pun menjadi rahsia umum. Isu rasuah bukan cuma melibatkan pemberian kontrak kepada kroni-kroni, sampul bawah meja di pejabat-pejabat maupun di kopitiam-kopitiam, antara pesalah trafik dan pihak berkuasa, hadiah melancong ke Batam seumpamanya ataupun hamper dan seperti yang kita sedia maklumi. Isu rasuah juga boleh menjadi sebuah "cara hidup"-gaya hidup yang boleh menjamin kemewahan. Seperti sumpah-sumpah, rasuah mampu mencorak dirinya mengikut tempat dan keadaan! Integriti dan jalan kampung yang tak pernah sempurna? Seperti kebiasaan, rasuah juga berlaku secara berleluasa semasa pilihan raya. Saya sangat tertarik dengan isu rasuah semasa pilihanraya memandangkan tahun 2010 dan 2011 telah menyaksikan banyak pilihan raya kecil diadakan. Sehingga saat ini Kerdau dan Merlimau sedang menyaksikan persaingan sengit siapa yang akan merangkul juara sebagai YB nanti. Banyak projek kononnya untuk "memperkasa ekonomi rakyat" dilancarkan, banyak jalan-jalan kampung yang diturap. Malah jalan yang masih elok tetap juga diturap. Buldozer dan lori pasir mula masuk kampung. Episod-episod drama sedang bermula, inilah medan untuk berlumba-lumba membuat kebajikan. Mari kita imbas kembali ketika berlangsungnya proses kempen di Pilihanraya Kecil di Galas. Selain dituduh merasuah syurga kepada para pengundi (isu evergreen), sosok kerdil Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan ini juga dituduh merasuah beberapa warga orang asal dengan wang sebanyak RM300 walaupun ia merupakan wang zakat. Relevan atau tidak pemberian wang zakat semasa pilihan raya kecil di Galas bukan isu yang ingin saya bawakan. Mengulas isu "rasuah zakat" ini, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengikut tafsiran undang-undang, pemberian wang kepada pengundi yang boleh mendorong mereka mengundi adalah rasuah. Ia juga boleh ditafsir sebagai membeli undi yang mana perkara ini jelas diletakkan di bawah tajuk sogokan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Bahagian III. Mari kita lihat salah satu kandungan akta tersebut di bawah tajuk "Penyogokan": Orang-orang yang berikut hendaklah disifatkan sebagai bersalah atas kesalahan menyogok: (a) tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberi, meminjamkan atau bersetuju untuk memberi atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji akan mendapatkan atau akan berusaha untuk mendapatkan, apa- apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain. Persoalan penting yang harus diselesaikan Persoalan demi persoalan timbul. Sekiranya Menteri Besar Kelantan dituduh "menyogok", apa pula istilah yang sesuai untuk Najib yang baru beberapa hari lepas meluluskan RM10 juta bagi pembangunan Kerdau. Dan apa pula istilah untuk peruntukan RM500,000 untuk pembinaan dewan serbaguna di tokong Yong Hock Kiong di Labis semasa pilihanraya Tenang baru-baru ini. Ini cuma sebahagian kecil fakta yang diketahui. Banyak lagi "peruntukan-peruntukan khas" telahpun diumumkan sepanjang berlangsungnya pilihanraya-pilihanraya kecil ini. Ya. Secara terang-terangan. Rakyat semakin musykil; dari manakah pula peruntukan untuk projek mee segera ini datang? Selain itu, saya ingin mengajak anda untuk berfikir. Bagaimana pula dengan sejumlah peruntukan besar dalam bajet-bajet Malaysia semenjak tahun 2005 sehingga 2010 yang memberi tumpuan utama kepada pembangunan infrastruktur luar bandar seperti yang telah saya senaraikan di atas. Apakah bajet-bajet tersebut dilihat tidak berjaya membangunkan kawasan luar bandar sehingga menyebabkan kerajaan menjanjikan pelbagai projek mee segera semasa pilihanraya kecil? Maka, apakah pula rasional projek mee segera ini ketika pilihanraya kecil? Atau kita boleh labelkan sahaja sebagai "sogokan" yang bertujuan memancing undi. Kalau begitu, ternyata Najib telah melakukan rasuah pilihan raya bukan? Mana dia suara-suara meminta SPRM untuk menyiasat Najib? Sejauh mana integriti rakyat Malaysia dalam berhadapan dengan isu rasuah pilihanraya ini? Saya tidak mahu mengulas mengenai isu "projek mee segera" ini. Ia telahpun diulas banyak pihak. Isunya ialah kenapa SPR mendiamkan diri? Kenapa Wan Ahmad membisu? Perkara ini jelas menunjukkan SPR berat sebelah. Dalam ertikata lain; SPR telah diperalatkan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka. Inilah yang dipanggil sebagai double standard. Isu-isu yang melibatkan pilihanraya seringkali mencerminkan sikap SPR yang diragui dan hilang integritinya. Kebangkitan Gelombang Kuning Sejak sekian lamanya, kelemahan SPR inilah yang memberi inspirasi kepada Penubuhan gabungan BERSIH yang berjuang mendesak SPR untuk memenuhi tuntutan agar pilihanraya dijalankan secara bersih dan adil sehingga tercetusnya kebangkitan "gelombang kuning 100,000 rakyat" pada 10 November 2007 yang lepas. Gelombang ini telah memberikan impak besar kepada lanskap politik negara. Keadaan perjalanan pilihanraya kecil yang semakin dicemari kekotoran dan manipulasi sejak akhir-akhir ini membawa erti sistem pilihanraya perlu diubah dan BERSIH sekali lagi memainkan peranan mereka dalam mendesak SPR agar bersikap adil dan professional. SPR harus bebas dari tekanan mana-mana pihak. Sistem demokrasi harus diberi keutamaan. Saya berpendapat, selagi SPR tidak mereformasikan sistem pilihanraya yang ada dan sanggup menjadi boneka BN, selagi itu mungkin ada kewarasan untuk BERSIH mengulangi sejarah yang pernah dicipta. *Hafiz Zainuddin ialah penulis bebas. |
Peluang barat mengganyang Libya Posted: 01 Mar 2011 03:30 AM PST Negara Barat mahu serang Libya TENTERA Tunisia cuba menenangkan rakyat Mesir yang mengadakan protes di khemah pelarian di sempadan Libya–Tunisia, semalam.Tindakan ketenteraan berikutan ada ancaman pembunuhan beramai-ramai PARIS: Negara Barat dikatakan menimbangkan untuk melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya berikutan ancaman pembunuhan beramai-ramai dan prospek ratusan ribu rakyat negara Arab utara itu menjadi pelarian di Eropah. Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak akan dilancar tanpa kelulusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pegawai kanan, termasuk perdana menteri Perancis Francois Fillon tidak mengetepikan kemungkinan pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Udara (NATO) digunakan untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya bagi menghalang pemimpin kuku besi Muammar Gaddafi melancarkan serangan udara terhadap rakyatnya sendiri. Sabtu lalu, Majlis Keselamatan PBB mengenakan beberapa sekatan ke atas rejim Gaddafi dan mendesak tindakan ganas bagi menangani bantahan rakyat dihentikan segera. Bagaimanapun badan dunia itu tidak memberi sebarang kelulusan bagi masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Libya. "Kami sedang menimbang semua pilihan agar Kolonel Gaddafi benar-benar faham apa yang mungkin dihadapinya. Saya tahu ada yang menyebut penyelesaian ketenteraan dan penyelesaian ini memang sedang diteliti kerajaan Perancis," kata Fillon. Bagaimanapun, Fillon berkata Perancis tidak boleh bertindak bersendirian tanpa penyertaan sekutu NATOnya dan tanpa kebenaran PBB. NATO pula berkata ia menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB itu. "Kami juga menyedari resolusi itu tidak menyebut keperluan zon larangan terbang," kata jurucakap NATO Oana Lungescu. Timbalan Pengarah Institut Hubungan Antarabangsa dan Strategik di Paris, Jean-Pierre Maulny berkata jika pembunuhan beramai-ramai berlaku di Libya, masyarakat antarabangsa tidak akan boleh berdiam diri. NATO, katanya, adalah badan paling sesuai untuk menguatkuasakan zon larangan terbang itu tetapi langkah ketenteraan lain perlu kebenaran PBB. Sementara itu di BENGHAZI, seorang sukarelawan kesihatan berkata wilayah timur Libya yang sudah dikuasai pemberontak akan mula mengalami masalah kekurangan makanan dan perubatan serius dalam masa tiga minggu. Timur Libya jatuh ke tangan penunjuk perasaan yang menentang Gaddafi yang enggan meletak jawatan walaupun berhadapan dengan bantahan yang berterusan. Pergolakan yang tercetus sebaik saja rakyat Mesir berhasil menjatuhkan pemimpin mereka Hosni Mubarak 11 Februari lalu, menjejaskan import dan bekalan makanan segar tempatan dengan kebanyakan kedai dan kilang masih lagi ditutup sejak bandar raya itu berhadapan dengan tunjuk perasaan seminggu lalu. "Kita akan mengalami kekurangan makanan, minuman, perubatan dan peralatan perubatan serius dalam masa dua hingga tiga minggu. Kita perlukan bantuan luar," kata Khalifa el-Faituri, seorang sukarelawan yang berkelayakan dalam kesihatan umum dan farmakologi. – AFP/AP |
Posted: 01 Mar 2011 03:18 AM PST Ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh yang merujuk kepadagambar-gambar yang diambil di sel berkenaan seolah-olah seperti kandang haiwan, Yahya berkata keadaan itu adalah kerana bangunan sudah lama. Bagaimanapun ketika pemeriksaan semula oleh Nordin, saksi itu berkata bilik sel memang dibersihkan dan ia nampak kotor disebabkan catnya sudah meluntur.- selanjutnya Malaysiakini |
Oman pulak dah... kahkahkah... Posted: 28 Feb 2011 05:36 PM PST ASAP menjulang dari pasar raya Lulu yang dibakar penunjuk perasaan di Sohar, Oman semalam. MUSCAT - Kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi di Oman menyekat beberapa jalan menuju ke sebuah kawasan industri utama semalam walaupun mereka berdepan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan. Tindakan nekad itu dilakukan sehari selepas beberapa pertempuran dengan tentera telah menyebabkan enam orang terbunuh. Kumpulan penunjuk perasaan itu menyekat jalan-jalan menuju ke kawasan perindustrian Sohar, utara Oman, yang menempatkan sebuah kilang aluminium dan pelabuhan memproses minyak. Beberapa saksi berkata, pasukan keselamatan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke arah sekitar 2,000 penunjuk perasaan untuk menyuraikan mereka. Para penunjuk perasaan tersebut berarak untuk menuntut lebih banyak peluang pekerjaan dan reformasi politik dilaksanakan di Oman. Sebuah pasar raya utama di Soha turut terbakar semalam selepas penduduk memecah masuk dan melarikan pelbagai barangan di dalamnya. Seorang jurucakap pelabuhan Sohar memberitahu, penghantaran minyak mentah dari pelabuhan tersebut masih berjalan lancar setakat ini. Pelabuhan Sohar mengeksport 160,000 tong minyak mentah sehari. Tunjuk perasaan di Oman itu didorong kebangkitan di dunia Arab yang tercetus sejak beberapa bulan lalu. Pada Sabtu lepas iaitu seminggu selepas demontrasi tercetus di ibu kota Oman, di sini, pemerintahnya, Sultan Qaboos bin Said telah melakukan rombakan Kabinet. Beliau memegang kuasa sejak empat dekad lalu selepas melakukan rampasan kuasa ke atas bapanya sendiri pada 1970. Kelmarin, pemerintah Oman itu berjanji akan mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baru dan memberikan insentif wang kepada golongan penganggur. - Agensi |
Posted: 28 Feb 2011 05:00 PM PST Oleh Zulhazmi Shariff Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuanadalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama. Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Hak terhadap harta. (a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang. (b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi. Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta. Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut. Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan. Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain. Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda. Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA? Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak. Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja. Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah. Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya. Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan? 1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis. Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI? 2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI 3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010 Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik? Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh: a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang. b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul. c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan. Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE) |
You are subscribed to email updates from shalehudin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan