Jumaat, 18 Mac 2011

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Posted: 17 Mar 2011 04:20 PM PDT



Saya tertarik melihat gambar di atas yang terbit dalam salah sebuah portal berita. Semoga Allah swt meringankan bebanan yang dipikul oleh rakyat Jepun. Semoga dimudahkan mereka menempuh musibah yang melanda. Amin

Posted: 17 Mar 2011 04:13 PM PDT

No fly zone di Libya

Sedang saya mengirim "posting" ini CNN dan Al Jazeera sedang menayangkan secara langsung sidang tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang membincangkan isu di Libya.

Keputusannya dengan undian 10 menyokong 0 menentang dan 5 berkecuali (termasuk Jerman), Majlis Keselamatan PBB bersetuju mengenakan larangan zon penerbangan atau "no fly zone" ke atas Libya. Ini bermakna sebarang pesawat samada tentera atau awam tidak dibenarkan terbang di ruang angkasa Libya. Sebarang pelanggaran larangan boleh mengakibatkan PBB melalui Negara-negara tertentu khasnya AS dan Perancis menghantar pesawat tentera masing-masing untuk mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk menembak jatuh pesawat berkenaan atau memaksanya turun.

Wakil AS, Susan Rice, yang berucap menyokong cadangan Perancis itu menyebut:

The future of Libya should be decided by the peole of Libya (Masa depan Libya sewajarnya ditentukan oleh rakyat Libya)

Sekali lagi kita menyaksikan campurtangan PBB dan kuasa asing dalam urusan Negara lain. Sememangnya disaat ini simpati dunia adalah terhadap rakyat Libya yang sememangnya ditindas sekian lama oleh regim kuku besi Gadaffi.

Saya yakin ramai yang menyokong keputusan PBB ini demi membela dan mempertahankan nasib rakyat Libya.

Tetapi dalam hal yang lain mengapa hanya Libya? Ketika huru-hara berlaku di Korea Utara, sehingga serangan udara dilancarkan oleh Negara Fasis Kominis itu ke atas Korea Selatan tiada tindakan seperti ini diambil. Apa istimewanya regim Korea Utara berbanding Gadaffi?

Begitu juga kita pernah menyaksikan keganasan regim Kominis Cina terhadap rakyatnya terakhir terhadap kebangkitan pro demokrasi dan sebelumnya penindasan terhadap rakyat Tibet, mengapa tiada sidang tergempar Majlis Keselamatan PBB ketika itu?

Terbaru terdengar keganasan juga berlaku di Saudi, beranikah Perancis dan AS kenakan "No fly zone" di sana?

Ternyata badan dunia ini juga terkadang kelihatan berat sebelah dengan hanya didominasi oleh Negara-negera kuasa besar tertentu yang mahu mencorakkan politik dunia. Pentafsiran dan kemahuan mereka mengatasai dan mendahului pandangan mana-mana pihak lain. Kacaunya dunia!

Posted: 17 Mar 2011 03:42 PM PDT

Kuan Yew tiada tempat di sini

Kenyataan bekas Perdana Menteri dan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew menggesa umat Islam Negara pulau itu agar melonggarkan pegangan agama mereka telah mencetuskan kontroversi khasnya pada rakyat Malaysia di seberang Tambak Johor. Gesaan Kuan Yew itu kononnya bagi menjamin orang-orang Melayu Singapura agar maju dan progresif bersama kepesatan kemajuan Negara berkenaan.

Tidak dapat dinafikan sejak Singapura berpisah dari Malaysia dizaman Almarhum Tunku Abd Rahman dahulu, nasib dan masa depan orang-orang Melayu di sana terus diperkatakan sehinggakan ada yang menganggap mereka telah terpinggir sehingga menjadi warga kelas kedua atau mungkin juga ketiga.

Hakikatnya toleransi beragama dan sikap hormat-menghormati adat, budaya dan kepercayaan masing-masing tidak menjadi keutamaan pada Republik berkenaan malah kiranya ia menghalang pembangunan maka pembangunan akan diutamakan walaupun terpaksa meroboh dan meruntuhkan warisan budaya atau apa sahaja yang penting dan dipelihara oleh satu-satu kaum atau agama.

Itulah Singapura yang jelas banyak berbeza berbanding dengan Malaysia daris sudut hubungan anatara kaum dan agama.

Tanpa memihak pada mana-mana fahaman politik, secara umumnya Malaysia lebih terbuka dalam hal ini. Malah kematangan hubungan antara kaum dan agama di Negara inilah yang berjaya mengekalkan Negara ini dengan ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India terus dapat hidup bekerjasama walaupun zahirnya memiliki perbezaan yang ketara dari sudut anutan dan budaya.

Di sinilah pentingnya semua pemimpin politik memahami dan menginsafi bahawa setiap mereka wajib menerima perbezaan ini dan tidak sering membangkitkan isu-isu sensitif dan mempertikaikan sesuatu "status quo" atau amalan yang hanya akan mengeruhkan hubungan dan mencetuskan syak wasangka yang hanya akan merugikan semua pihak.

Malaysia jangan sekali-kali jadi macam Singapura, Malaysia tidak perlu pemimpin yang mirip pemikirannya seperti Kuan Yew.

Kemerdekaan Negara ini dibina di atas sikap muafakat dan tolak-ansur datuk-nenek kita lebih 50 tahun lalu. Orang-orang Melayu yang merupakan majoriti kaum asal di Tanah Melayu ketika itu bersedia menerima orang-orang Cina dan India yang mereka anggap sebagai saudara-saudara mereka untuk sama-sama membangun dan mendirikan Negara baru ini.

Jika tidak kerana toleransi dan pengorbanan besar mereka masing-masing ketika itu sudah pasti tiadalah Malaysia yang unik dan terbilang pada hari ini.

Orang-orang Melayu yang rata-rata merupakan penganut Islam memutuskan menerima orang-orang Cina dan India yang datang ke sini untuk mencari rezeki dan mendirikan keluarga sebagai warganegara setaraf dengan mereka.

Dari situlah apa yang diterima dan diamalkan oleh orang-orang Melayu yang banyak berkorban itu terus dihormati dan diberi pengiktirafan manakala amalan dan budaya baru yang dibawa kaum Cina dan India turut menerima layanan yang sama. Asasnya Negara baru berbilang kaum dan agama ini akan terus kuat dan maju kiranya apa yang dibina ini tidak dipertikaikan tetapi difahami lalu dihormati oleh semua.

Malaya dan Malaysia kemudiannya mewarisi dua sistem udang-undang dari zaman Biritish iaitu undang-undang sivil yang terkena pakai pada semua warga Malaya dan kemudiannya Malaysia selain undang-undang Islam atau syariah yang terkena atas penganut Islam sahaja. Cuma di Malaysia sahaja punya dua sistem mahkamah yang terus hidup dengan kuasa membikin dan menggubal undang-undang Islam diserahkan pada negeri-negeri.

Orang-orang Islam bebas mengamalkan agama mereka, masjid dan surau-surau dibina dan begitu juga institusi pengajian Islam selain jabatan dan majlis-majlis agama beroperasi dan terus maju. Perkara ini terus diterima dan dihormati oleh semua sebagai sebahagian dari amalan Negara ini.

Begitu juga penganut agama lain bebas membina rumah-rumah ibadat mereka serta tanah-tanah perkuburan dan rumah-rumah mayat, dan malah undang-undang tempatan memberi ruang agar pusat-pusat ini apabial memenuhi syarat diberikan keizinan. Tidak ada mana-mana kelompok yang protes atau bertindak ganas apabila suatu-suatu pusat ini dibina menurut syarat kerana ianya suatu amalan yang telah lama diterima.

Malah yang paling unik di Malaysia adalah kaum-kaum ini boleh pula membangunkan sekolah-sekolah aliran mereka sendiri. Hanya di Malaysia boleh kita saksikan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan India terus membangun dengan diselia dan dibantu oleh pihak kerajaan.

Adat, budaya, bahasa dan amalan orang-orang Melayu, Cina dan India selain suku-suku kaum lain di Sabah dan Sarawak terus dihormati tanpa ada seorang pemimpin umpama Kuan Yew yang berani menggesa mana-mana kaum agar melonggarkan pegangan agama atau budaya mereka atas apa alasan sekalipun.

Memang sepanjang jalan mengharungi kemerdekaan ini laluannya tidak mudah. Memang terdapat insiden-insiden terpencil dimana tercetus juga ketegangan di sana-sini tetapi ia terus dipadamkan lantaran kematangan dan kedewasaan semua pihak serta kembali kepada semangat asal sebelum Merdeka dahulu.

Kerana itu untuk terus melonjak ke hadapan semua pemimpin-pemimpin politik dalam Negara tanpa mengira kecenderungan fahaman masing-masing perlu mempamirkan kedewasaan dalam menangani isu sensitif antara agama dan kaum ini. Jika lahir seorang pemimpin umpama Kuan Yew di Malaysia ini maka pemimpin itu mesti segera ditolak kerana Malaysia tidak perlukan seorang pemimpin yang ektrim dan sempit pemikirannya, yang tidak menghargai sejarah dan menolak asas-asas yang membina Negara ini dahulu.

Sesungguhnya kita berhadapan dengan beberapa situasi yang perlu ditangani dengan cermat dan berhati-hati. Amalan semua anutan dan agama jangan dibuka gelanggang untuk dipertikaikan, kuasa mengawal dan menguruskan umat Islam melalui undang-undang syariah dan mahkamah syariah contohnya, yang telah diterima dan dihormati sejak sebelum Merdeka, perlulah diterima dan dihormati semua.

Begitu juga hak mengamalkan kepercayaan dan agama yang melibatkan masyarakat bukan Islam perlu juga begitu. Karya dan tulisan jangan sekali-kali mencetuskan kontorversi sehingga melukai perasaan dan sensitiviti mana-mana pihak. Jika berlaku segeralah ditangani dengan matang.

Malaysia tidak akan jadi macam Singapura kiranya semua pemimpin dalam Negara mengekalkan asas-asas yang membina Negara tercinta ini dan terus memelihara dan menghormatinya. Kuan Yew tiada tempat di sini!

ARTIKEL INI TERBIT DALAM AKHBAR MINGGUAN SIASAH BIL.

Tiada ulasan: