Pahang Daily Online |
- Pencemaran Projek Bijih Besi, PAS Pahang Mohon Agar 'Kerajaan Negeri' Hentikan Segera Aktiviti Di Kg.Selamat Pelabuhan Demi Keselamatan Rakyat !
- Menteri Besar Pahang Di Gesa Agar Membatalkan Projek Pembinaan Pusat Pemprosesan Rare Earth Di Gebeng Demi Kesejahteraan Hidup Rakyatnya !
- Tahniah: Datuk Lee Chong Wei Akhirnya Berjaya Pertahankan Kejuaraan Badminton All England Apabila Menewaskan Musuh Tradisinya Lin Dan
Posted: 13 Mar 2011 10:55 PM PDT KUANTAN, [14 Mac] - Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Ramli Abdul Rahman (foto), meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang serta Pejabat Tanah dan Daerah bertindak menghalang aktiviti perlombongan bijih besi di Kampung Selamat Pelabuhan, dekat sini berikutan pencemaran teruk. Menurutnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan di kawasan seluas empat ekar sejak lima bulan lalu itu telah menimbulkan masalah pencemaran udara sehingga menimbulkan masalah kesihatan kepada kira-kira 1,000 penduduk tempatan. "Saya telah melawat kawasan berkenaan setelah menerima aduan penduduk dan mendapati lokasi perlombongan amat tidak sesuai selain sikap kontraktor yang tidak mengindahkan keselamatan penduduk tempatan. Sekarang Kampung Selamat sudah tidak selamat. "Kawasan di situ mengalami pencemaran teruk sehingga diselaputi banyak habuk apabila waktu panas dan berlaku banjir lumpur pada musim hujan. Keadaan ini menyebabkan ramai terutamanya kanak-kanak di situ menghidap batuk, selesema dan demam selain kering tekak. "Penduduk juga mengadu, oleh kerana kawasan pengumpulan bijih besi hanya 100 meter dari kediaman penduduk menyebabkan berlaku pencemaran bunyi bising sehingga menyebabkan penduduk tidak lagi merasa aman," ujarnya. Tambah Ramli, turut teruk terjejas ialah peniaga kedai makan yang semakin kurang dikunjungi pelanggan akibat meja yang sentiasa berhabuk, bunyi bising dan suasana yang tidak selesa. Menurutnya lagi, terdapat tiga kawasan simpanan bijih besi di situ dan pada setiap hari lebih 10 lori berulang-alik mengangkut besi berkenaan tanpa mengira waktunya. Yang menyedihkan, mereka seperti tidak menghiraukan keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar yang berdepan dengan pencemaran udara selain kawasan yang kotor dengan lumpur. "Operasi melombong seperti ini tidak boleh dibiarkan di kawasan kediaman seperti ini. Saya lihat ada penduduk yang terpaksa berkurung 24 jam seperti tinggal di dalam gua kerana pintu dan tingkap rumah tidak boleh dibuka akibat habuk berterbangan dengan banyak. "Harapan saya kepada JAS, pejabat tanah dan pejabat menteri besar supaya berikhtiar menghentikan aktiviti membahayakan penduduk ini. Janganlah kerana memberi keuntungan kepada pihak tertentu, keselamatan penduduk pula terabai," jelasnya. Dalam pada itu, Ramli berkata beliau akan mengusahakan pengumpul tanda tangan penduduk bagi membantah kegiatan itu dan akan dihantar kepada MB Pahang. Khairil [Sebenarnya, apa yang berlaku kepada penduduk berkenaan sudah beberapa kali kami dedahkan termasuk yang disiarkan oleh media masa. Namun sikap acuh tidak acuh kerajaan negeri dalam menangani masalah ini amatlah dikesali. Mereka lebih rela melihat nyawa rakyat terancam daripada menghalang aktiviti yang telah mencemarkan kesihatan itu. Rakyat Pahang tahu, kebanyakkan syarikat terbabit mempunyai hubungan dengan orang politik di negeri ini. Malah, kerakusan puak-puak UMNO memohon kawasan lombong bijih besi di negeri ini menyebabkan banyak masalah berlaku termasuk kawasan tadah hujan pun diterokai. Bukan setakat orang politik, malah ramai orang awam yang terlibat asalkan mahu memberi sebahagian daripada hasil kepada orang politik. Malah difahamkan ribuan permohonan kini berada di Pejabat Pengarah Tanah & Galian Pahang yang masih belum diproses lagi. Apa yang terjadi di Kampung Selamat Pelabuhan itu adalah tempat simpanan bijih besi sebelum dieksport ke China. Besi yang diankut dari lombong-lombong berkenaan diletakkan sementara di kawasan itu sebelum dihantar ke Pelabuhan Kuantan untuk dihantar ke negara terbabit. Inilah yang berlaku sebenarnya. Kami akan dedahkan lebih banyak kerakusan dan penyelewengan yang berlaku dalam projek lombong bijih besi di Pahang dalam masa terdekat ini. Tunggu pembongkaran secara eksklusif di PDO]. |
Posted: 13 Mar 2011 07:12 PM PDT Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob (foto) digesa bertindak segera dan mengambil perhatian serius terhadap keputusan kerajaan negeri pimpinannya yang memberi kelulusan pembinaan sebuah pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia, di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini. Kelulusan yang diberikan itu wajar dibatalkan segera kerana Adnan harus menerima hakikat bahawa kewujudannya bakal mengundang bencana yang lebih besar selepas ini. Apa yang amat ditakuti oleh rakyat pasti menjadi kenyataan suatu hari nanti, mungkin ketika itu Adnan sudah tidak lagi bergelar Menteri Besar. Oleh itu, beliau tidak perlu rakus untuk menarik pelabur sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial kepada rakyat. Sebelum ini, rakyat Pahang telah dikecohkan dengan isu penggunaan bahan kimia berbahaya di sebuah lombong emas dekat Raub. Kini ia berlaku lagi, dan apakah Kerajaan Negeri Pahang tidak peka akan perkara ini agaknya?. Apakah Adnan mahu melihat banyak risiko nyawa terkorban akibat kerakusannya mengejar keuntungan semata-mata? Inilah yang perlu difikirkan sebenarnya. Soalnya kenapa Adnan mendiamkan diri dalam hal ini. Sedangkan beliau tahu projek itu memang cukup berbahaya. Malah, pada tahun 2007 dulu Kerajaan Negeri Terengganu (jiran Pahang) telah menolak cadangan pembinaan projek serupa itu di sana. Bahkan, bahaya nadir bumi ini pernah menggemparkan negara ketika tragedi yang menimpa penduduk-penduduk di Bukit Merah, Perak sekitar tahun 1982-87 dulu. Maka itu, apakah kewajaran Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Adnan Yaakob meneruskan projek ini agaknya?. Apakah ada dikalangan mereka sudah mendapat komisyen atau bayaran pendahuluan yang dijanjikan, maka kini takut melanggar perjanjian jika projek ini dibatalkan. Rakyat perlu tahu pendirian Adnan Yaakob sekarang. MB Adnan Yaakob Di Gesa Mendahulukan Rakyat Malah tindakan membisu Adnan berhubung projek bernilai RM700 juta itu. jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena sebenarnya. Lebih membimbangkan projek pemprosesan tanah jarang itu tidak memerlukan penilaian kesan alam sekitar lengkap. Penilaian kesan alam sekitar lengkap tidak diperlukan memandangkan terdapat kelemahan dalam undang-undang kita. Oleh itu tidak terdapat sebarang ruang bagi orang ramai untuk meneliti cadangan langkah pencegahan dan potensi risiko dan mengemukakan bantahan mereka. Malah difahamkan syarikat terbabit juga ada menyatakan terdapat pendedahan paras rendah kepada radiasi. Keadaan ini amat membimbangkan memandangkan tidak terdapat paras selamat atau nilai ambang pendedahan radiasi pengionan. Sebagai Menteri Besar, Adnan sepatutnya perlu faham untuk jangka panjang, pendedahan paras rendah (kronik) kepada radiasi amat berbahaya kerana tisu hidup dalam tubuh boleh mengalami kerosakan oleh radiasi pengionan. Pendedahan kepada sisa radioaktif boleh menyumbang kepada peningkatan insiden leukaemia awal kanak-kanak, kanser , keguguran, mencacatkan system imun dengan bilangan sel darah putih rendah yang luar biasa, paras plumbum yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak yang boleh membawa kepada keracunan plumbum. Kanak-kanak lebih mudah terjejas kepada kesan bahaya bencana radiasi berbanding penduduk umum kerana tubuh mereka menyerap dan memetabolismekan bahan secara berbeza, dan kerana mereka lebih cenderung mendapat kanser tertentu daripada pendedahan itu. Terdapat juga kemungkinan yang tinggi bahawa kanak-kanak yang lahir daripada ibu bapa yang terdedah kepada radiasi boleh terjejas oleh pendedahan itu juga. Makanya, adakah kerajaan UMNO BN di Pahang sanggup mengorbankan rakyat demi keuntungan duniawi semata-mata?. [Ramai yang belum pernah mendengar tentang 'rare earth', apatah lagi akibat buruk yang boleh datang daripadanya. Pemprosesan 'rare earth' menghasilkan sisa radioaktif dan sisa radioaktif ini amat berbahaya bukan sahaja kepada manusia tetapi seluruh ekosistem. Ramai yang telah meninggal dunia akibat pendedahan kepada sisa-sisa radioaktif leukemia, kanser, kelahiran bayi cacat dan sebagainya. Sejarah mungkin bakal mengulang. Sebuah syarikat Australia kini membina kilang memproses 'rare earth' di Kawasan Perindustrian Gebeng yang terletak di Kuantan, Pahang ini. Pemprosesan 'rare earth' ini dikhuatiri akan mencemari sumber air dan seterusnya mengakibatkan kejadian seperti di Bukit Merah, Perak. Kesan jangkamasa panjang yang akan diakibatkan amatlah ketara kerana sisa radioaktif tidak mudah reput. Sila print flyers berkaitan untuk diedarkan di kawasan berhampiran anda !!]. |
Posted: 13 Mar 2011 04:59 PM PDT KUALA LUMPUR [14 Mac] - Sekalung tahniah kita ucapkan kepada jaguh perseorang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (foto) yang telah berjaya melakar kejayaan kedua untuk mempertahankan kejuaran badminton All England di Birmingham awal pagi tadi. Pemain nombor satu dunia itu berjaya menewaskan musuh tradisinya dari China iaitu Lin Dan dengan keputusan 21-17, 21-17. Kemenangan bergaya beliau itu membuktikan dia sebenarnya mempunyai tahap keupayaan yang tersendiri untuk membuktikan bahawa pemain China tersebut bukanlah terlalu sukar untuk ditewaskan. Umum masih ingat kekalahan muda Chong Wei yang bermain sebagai persoaranga pertama Badminton Piala Thomas di Kuala Lumpur dulu. Kekalahan tersebut menyebabkan pasukan negara terkeluar dari persaingan merebut kejuaran itu digelanggang sendiri. Ia sedikit mengecewakan dan ramai menyangka prestasi Chong Wei sudah merudum akibat badi kekalahan kepada pemain China terbabit yang sukar untuk diatasi. Kini laungan "Malaysia Boleh" menyemarakkan semangat Datuk Lee Chong Wei yang akhirnya berjaya menjinakkan Lin Dan untuk merangkul kejuaran All England. Syabas buat anak muda kelahiran Pulau Pinang itu, yang berjaya buktikan yang dia memang layak untuk berada pada ranking pertama dunia. [Difahamkan selepas kemenangan beliau pagi tadi, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak juga turut menghubunginya bagi mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut. Kini nama Datuk Lee Chong Wei kembali bertakhta di persada badminton dunia sebagai pemain terulung di zaman ini. Apapun, sebagai rakyat Malaysia kita rasa bangga atas kejayaan ini dan sudah semestinya kepada anak Pulau Pinang itu. Nampaknya, kini Pulau Punang berjaya melahirkan dua "Tokoh Sukan Nombor Satu Dunia" iaitu Datuk Lee Chong Wei bagi acara badminton dan Nicol Ann David bagi sukan Skuash. Sesuatu yang amat menakjubkan sebenarnya. Semoga kejayaan ini memberi semangat kepada generasi muda untuk lebih gigih dan aktif lagi dalam dua acara sukan itu]. |
You are subscribed to email updates from Pahang Daily Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan