Muslimeen United |
- Bekas OCPD Diarah Bayar RM200 Ribu Kepada Pemimpin PAS
- Aziz hilang kelayakan jadi Pengerusi SPR. Kenapa?
- Penduduk Kg Baru: Kalau Tak Berjaya Di Parlimen, Kami Jumpa Sultan
- PR Perak buat aduan polis terhadap demo haram umno Perak
- GEMPAR: Penduduk Jepun Panik, Radioaktif Disahkan Paras "Sangat Tinggi"
- Kesan radiasi: Kerajaan perlu perjelas kepada rakyat
- Polis Bodoh atau Menteri yang Bangang isu Saman Ekor ni
- Bisikan Mumia... Firaun baru kini muncul!
- PANAS!! Pasca Demo Tuntut DNA: Maruah Reformasi Tercabar!!
- Serangan ke atas Kelantan bertujuan calarkan imej PAS
- Engkaulah Suami Yang Aku Impikan
- Terbaru..Wajah Menakutkan "Kepala" Air Thunami..
- Berita Harian Memfitnah ADUN Bukit Payung, Laporan Polis Dibuat
Bekas OCPD Diarah Bayar RM200 Ribu Kepada Pemimpin PAS Posted: 15 Mar 2011 03:52 AM PDT Kuantan - Mahkamah hari ini memerintahkan bekas Ketua Polis Rompin, Hanafi Daud membayar kepada Dr Hatta Ramli dan dua pimpinan PAS Pahang, Mazlan Yassin dan Nazri Ahmad sebanyak RM200,000 sebagai ganti rugi dan kos akibat daripada penangkapan dan penahanan yang tidak sah ke atas mereka bertiga di Markas PAS Rompin di Muadzam, Pahang pada 10 Mei 2004 lalu. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuantan, Puan Sazlina Safie membuat keputusan tersebut hari ini setelah Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili defendan menyatakan kepada mahkamah bahawa anak guam beliau bersetuju membayar plaintif-plaintif RM200 ribu. Kes hari ini ditetapkan untuk perbicaraan taksiran gantirugi. Pada 26 Ogos 2009, Hakim Datuk Mariana Yahya telah memutuskan bahawa defendan telah menyalahgunakan kuasanya apabila membuat serbuan ke atas markas PAS dan menangkap serta menahan Dr Hatta, Mazlan dan Nazri. Hakim juga memutuskan bahawa ceramah PAS yang diadakan di dalam kawasan markas tersebut adalah satu perhimpunan yang sah dan tidak memerlukan permit polis kerana ia bukan tempat awam. Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan juga telah melanggar Artikel 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberitahu plantif-plaintif atas alasan apa mereka ditangkap. Setakat ini, inilah kali pertama pihak OCPD disaman oleh pimpinan PAS di atas gangguan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas ceramah PAS, hatta hakim sendiri menemplak defendan kerana mengganggu ceramah PAStersebut sedangkan ia berjalan secara aman dan telah banyak kali dijalankan di markas tersebut. Dr Hatta, Mazlan dan Nazri diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin manakala Hanapi Daud diwakili oleh Kamal Azira Hassan. -HD |
Aziz hilang kelayakan jadi Pengerusi SPR. Kenapa? Posted: 15 Mar 2011 03:51 AM PDT Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN Gesaan agar dianjurkan segera perhimpunan besar-besaran menuntut pilihan raya bersih, telus dan adil buat kali kedua tidak boleh dipandang ringan. Ia memang satu keperluan yang cukup mendesak. Persiapan rapi mesti dibuat bagi memastikan demonstrasi raksasa kali ini lebih besar dan meriah berbanding himpunan Bersih, 10 November 2007, yang menyaksikan lebih 50,000 orang berarak ke Istana Negara. Meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bertukar pengerusi, daripada Abdul Rashid Abdul Rahman kepada Abdul Aziz Yusof (dan juga lupa setiausahanya dulu, Wan Ahmad Wan Omar, yang dikatakan licik mengatur 'komplot' bagi menyukarkan siapa jua saingan BN, kini menjadi timbalan pengerusi), proses pilihan raya di negara kita terus berjalan secara berat sebelah, jauh daripada menyediakan "padang permainan yang sama rata". Memandangkan pilihan raya umum ke-13 nanti merupakan gelanggang pertarungan "hidup-mati", sudah pasti SPR akan terus diperkudakan dan menjadi perkakas paling efektif untuk BN meraih kemenangan. Jika pilihan raya kampus, yang langsung tidak memberi kudis buat survival kuasa BN pun dimanipulasi dengan cukup kotor, dengan taktik licik memenangkan kumpulan mahasiswa Aspirasi Pro-Umno, apakah kita begitu daif untuk mengharapkan SPR dibenarkan menjalankan tugas dan fungsinya secara profesional, bagi mengendalikan pilihan raya dengan bebas dan adil? Imbau sejenak apa yang dilakukan SPR selepas Umno dikejutkan dengan prestasi buruk dalam pilihan raya umum 1999. Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, khususnya di Kedah, dijalankan menurut kehendak strategis Umno-BN. Lokasi pengundi bukan Melayu sengaja dimasukkan ke dalam beberapa kawasan Parlimen yang dikuasai PAS, seperti Kuala Kedah, Pokok Sena dan Jerai, dengan andaian mereka tidak akan menyokong calon PAS dalam PRU 2004. Lebih buruk, empat negeri majoriti Melayu, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis langsung tidak mendapat tambahan kerusi Parlimen kerana dibimbangi ia hanya akan meningkatkan jumlah wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat. Pada 1999, bilangannya meningkat daripada tujuh orang pada 2005 kepada 27. SPR bekerjasama erat dengan Umno yang tersepit ketika itu. SPR juga didakwa terbabit secara sedar dan aktif dalam memanipulasi senarai daftar pemilih di Terengganu. Pengundi baru didaftarkan dengan jumlah yang luar biasa. Kadarnya langsung tidak selari dengan pertumbuhan penduduk Darul Iman. Dipercayai sejumlah besar "pengundi hantu" diwujudkan, hasil kerjasama bersepadu di antara SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), selain ramai yang mengundi lebih daripada sekali. Targetnya semata-mata untuk merampas kembali Terengganu yang dikuasai PAS pada 1999. Situasi genting buat Umno di antara tahun 1999 dan menjelang pilihan raya 2004 tidaklah sekritikal apa yang bakal dihadapi BN dalam PRU13 nanti. Pada 1999, BN masih mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan hanya terlepas dua negeri, sedangkan pada 2008, BN buat pertama kali dinafikan majoriti dua pertiga dan tumbang di lima negeri (enam jika termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur). Realiti BN kini bagai telur di hujung tanduk. Kalau sekadar bertujuan merampas Terengganu -- negeri yang kaya dengan hasil petroleum itu -- Umno-BN bertungkus-lumus memperalatkan jentera dan kemudahan kerajaan khususnya "SPR serta konco-konco", selain mengamalkan rasuah politik secara berleluasa, maka cuba kita bayangkan apa yang sanggup dilakukannya bagi mempertahankan sisa-sisa kuasa, terutama di peringkat persekutuan? Apakah BN tidak merencanakan taktik dan teknik tertentu (pastinya di luar batas undang-undang) bagi merebut kembali negeri-negeri Pakatan Rakyat? Misalnya, Selangor, negeri termaju di Malaysia, yang selama ini menjadikan menteri besarnya (di bawah Umno) begitu berpengaruh daripada segi politik dan cukup kaya raya melalui amalan rasuah dan salahguna kuasa. Apakah anda fikir Najib Razak selaku ketua perhubungan Umno dan Noh Omar, timbalannya, hanya sibuk mengatur ceramah untuk diisi Ezam Mohd Noor, bagi menyerang kerajaan negeri Pakatan Rakyat dan personaliti Anwar Ibrahim? Beberapa insiden yang sempat dihidu, seperti dirakamkan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan di pejabat JPN Shah Alam, mengenai proses pendaftaran pemilih warga Sabah untuk "diagih-agihkan" di Selangor, hanya cebisan kecil kisah konspirasi BN-SPR-JPN. Kita belum dapat membongkar grand design lebih besar, yang mungkin tidak terfikir oleh kita tentang modus operandinya, seperti pemimpin PAS tidak pernah menjangka usaha licik Umno Terengganu untuk menumbangkan kerajaan PAS pada 2004. Beberapa hari lalu, di Paya Jaras, Sg Buloh, dikesan satu lagi komplot dalam usaha BN merampas Selangor, yang dipercayai turut membabitkan JPN. Pendatang tanpa izin, termasuk dari Kemboja dikatakan telah diberikan MyKad dan akan didaftarkan sebagai pengundi untuk kawasan terpilih. Selain itu, difahamkan beberapa universiti tempatan turut "bersubahat" dengan BN bagi mendaftarkan pelajarnya sebagai pemilih, dengan menyasarkan kawasan tumpuan di Selangor. Jentera BN sedang mengenal pasti kawasan pilihan raya tertentu untuk ditempatkan pengundi baru dari kalangan mahasiswa itu. Minggu lalu, beberapa pemimpin KeADILan mendedahkan peningkatan mendadak pengundi pos di beberapa kerusi Dun Perak. Angka terbesar dicatatkan di Dun, Pangkor, yang diwakili Menteri Besar. Di Kok Lanas, Kelantan, hampir 500 isteri tentera ditukar status menjadi pengundi pos walaupun mereka tidak pernah memohonnya. Faktor undi pos sejak sekian lama menjadi penyelamat BN di kawasan tertentu. Dalam tuntutan Bersih pada 2007, dicadangkan sistem pengundian pos dimansuhkan dengan segera kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara. Ketika wibawa SPR dipersoal secara terbuka, pengerusinya Abdul Aziz Yusof mencetuskan polemik baru. Beliau tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kurang dari 12 hari seperti dilaksanakan semasa pilihan raya negeri 2006. Utusan Malaysia, 9 Mac, meletakkan tajuk, "Kempen tujuh hari pada pilihan raya di Sarawak?" Aziz berkata, tempoh kempen terlalu lama dikhuatiri boleh mengundang amalan politik tidak sihat antaranya provokasi yang ditimbulkan oleh parti tertentu. Ujarnya, kempen pilihan raya kecil Dun Merlimau dan Kerdau selama lapan hari pun sudah cukup mencetuskan kebimbangan dan kekecohan menerusi kemunculan isu pergolakan politik dari Timur Tengah. "Semasa kempen pilihan raya kecil Sibu, ramai penduduk tempatan melahirkan rasa terkejut dengan cara pendekatan yang dibawa oleh parti-parti pembangkang dari Semenanjung. Di Merlimau dan Kerdau begitu juga apabila sentimen kebangkitan rakyat di Mesir, Tunisia dan Libya dikaitkan dengan suasana negara ini sehingga membangkitkan provokasi dalam kempen. SPR sedang mengkaji semua ini. Kita bimbang jika penduduk Sarawak yang dikenali sebagai orang yang sabar hilang kesabaran dengan provokasi ditekankan ke atas mereka, maka ia mungkin mencetuskan kejadian tidak diingini," kata Aziz. Mengulas kemungkinan tempoh berkempen dipendekkan di Sarawak, AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu, yang juga tokoh yang sering bercakap tentang amalan demokrasi tempang di Malaysia menegaskan: "Dengan tempoh kempen sependek itu, apa yang pembangkang boleh buat? Pembangkang sudahlah tidak diberikan ruang bersuara menerusi media kerajaan dan media arus perdana, tidak banyak wang pula. Jadi kesemua itu adalah untuk memberikan keuntungan dan kemenangan kepada Umno BN yang memerintah dengan cara yang cukup jelas dan terang-terangan." Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menganggap respon Aziz yang mendakwa tempoh kempen terlalu lama boleh mengundang amalan politik tidak sihat dengan mengaitkannya dengan pergolakan politik Timur Tengah sebagai tidak releven. Katanya, jika diimbas kembali senario Pilihan raya Umum 2008 yang berlangsung selama dua minggu, ia berjalan dengan aman. Tambahnya, ketakutan pihak SPR sengaja diperbesarkan, malah dianggap mempersendakan peranan polis dan pasukan keselamatan yang bertugas siang malam menjaga ketenteraman awam.
Bagi saya, Aziz bukan lagi berbicara sebagai Pengerusi SPR, yang bertanggungjawab memastikan proses pilihan raya adil, bebas dan telus. Beliau seolah-olah sudah menjadi kerabat rapat Taib Mahmud, yang sedang memikirkan jalan untuk mempertahankan kuasa BN di Sarawak. Dalam bahasa kasar, Aziz kini berbicara dengan lidah Umno. Dalam SMS kepada saya, pensyarah media, Dr Abu Hasan Hasbullah memberi respons: "SPR bukan diktator baru yang menjadi pemerintah bagi negara ini. Kuasa SPR hanya sebagai suruhanjaya yang bekerja menguruskan pilihan raya adil buat rakyat, bukannya senapang Gaddafi yang boleh membuli rakyat sesuka hati. SPR telah menjadi terlalu biadab terhadap demokrasi, perlembagaan dan negara dengan mengambil alih kuasa penentu siapa pemerintah." Lagi pun, bukankah isu kemudahan perhubungan dan faktor geografi di Sarawak sudah cukup untuk memanjangkan lagi tempoh kempen, sekurang-kurangnya 21 hari seperti dituntut Bersih? Lebih aneh apabila Aziz cuba mengaitkan dengan corak kempen parti politik di Sibu, yang pastinya ditujukan kepada pembangkang. Dalam pilihan raya kecil Parlimen itu, DAP berjaya merampas kerusi majoriti pengundi Cina berkenaan daripada BN. Najib (yang aktif turun berkempen menabur pelbagai janji dan "ugutan" di sana) dan Taib memang terkedu dengan kemenangan gemilang Pakatan Rakyat itu. Ia dibimbangi menghasilkan gelombang positif buat pembangkang dalam pilihan raya umum negeri Sarawak yang dijadualkan tidak lama lagi. Rakyat menyaksikan kempen di sana berjalan baik dan aman. Lalu, mengapa Aziz mahu mempermainkan sentimen pengundi Sarawak terhadap "orang Semenanjung"? Bukankah ada taktik BN yang tersembunyi dalam kenyataan Aziz itu? Mengenai sentimen kebangkitan Timur Tengah, Aziz sepatutnya menyedari bahaya pilihan raya ala Hosni Mubarak yang nampaknya mula menular di sini. Rakyat Mesir dan Tunisia turun ke jalan-jalan raya, berdada dengan pasukan keselamatan dan mempertaruhkan nyawa mereka kerana sudah bosan, muak dan marah dengan proses pilihan raya korup sejak puluhan tahun. Rakyat di Malaysia juga mungkin bangkit "memberontak" jika sistem demokrasi di negara ini turut korup. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat sering menegaskan bahawa mereka tetap memilih untuk melakukan perubahan dengan menukar kerajaan melalui peti undi, dalam pilihan raya yang adil dan bebas. Saya mengingatkan, sepatutnya Aziz menyedari peruntukan Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam." Adakah orang seperti Aziz telah mendapat kepercayaan awam? Sekurang-kurangnya bagi saya, beliau belum menepati kriteria yang dijelaskan oleh peruntukan Perlembagaan itu. |
Penduduk Kg Baru: Kalau Tak Berjaya Di Parlimen, Kami Jumpa Sultan Posted: 15 Mar 2011 03:47 AM PDT KUALA LUMPUR 15 MAC : Penduduk Kampung Baru tidak akan berdiam diri jika kampung halaman mereka mahu dibangunkan sesuka hati tanpa persetujuan dan perbincangan yang telus. Malahan, mereka tidak keberatan untuk bertemu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jika itu merupakan salah cara untuk mempertahankan tanah warisan mereka. Salah seorang wakil penduduk berkata, mungkin istana sahaja yang mampu menyelesaikan masalah mereka sekiranya ia tidak berjaya diselesaikan di peringkat parlimen. "Kalau kita tak berjaya di parlimen, kita menghadap Sultan Selangor, kalau itu juga tidak berjaya kita akan rayu seluruh penduduk Kampung Baru, kita adakan reformasi untuk membela tanah Kampung Baru ini,"katanya. Beliau berkata demikian pada majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi. Majlis menyaksikan beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat hadir memberikan sokongan kepada penduduk Kampung Baru. Namun malangnya, majlis yang sepatutnya turut disertai ahli parlimen BN itu, tidak berjaya menarik minat mereka untuk bersama-sama mendengar suara hati rakyat Kampung Baru. Menurut Munir Nazir pula yang menetap di Kampung Baru sejak tahun 70-an lagi berkata, kerajaan sepatutnya melupakan hasrat untuk melakukan pembangunan di kawasan yang menjadi lokasi kediaman dan sumber rezeki penduduk Kampung Baru. "Di sini saya hendak memberitahu, tolong beritahu kepada menteri-menteri yang dikatakan Menteri Wilayah itu, anak-anak Kampung Baru yang ada di sini, kalau tidur tolong jangan bangunkan, anak-anak Kampung Baru kalau dia bangun susah nanti, tolong sedarkan Menteri Wilayah itu," kata Munir. Beliau turut mengingatkan, jika kerajaan tetap berdegil mahu pembangunan dijalankan di satu-satunya kampung di ibu negara itu, pemilik dan pewaris Kampung Baru hendaklah dibayar dengan pampasan setimpal dan menyiapkan kawasan penempatan baru yang berbaloi seperti yang dimiliki sekarang. "Kalau dibiarkan kawasan pasar minggu dibangunkan, biarkan kami dipindahkan tempat yang munasabah dan kami dibayar dengan baik baru dipindahkan, bukan halau begitu saja duduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR),"katanya lagi. |
PR Perak buat aduan polis terhadap demo haram umno Perak Posted: 15 Mar 2011 12:42 AM PDT IPOH, 15 MAC - Pakatan Rakyat Perak telah membuat satu laporan Polis berkenaan isu demonstrasi haram di hadapan pejabat PAS, DAP dan PKR di Jalan Medan Istana Ipoh pada Ahad lepas. Demonstrasi yang dihadiri oleh sekumpulan individu yang dikenali sebagai ahli UMNO bersama Dato Hamidah Othman, Adun Sungai Rapat yang juga merupakan ketua penerangan wanita UMNO Malaysia. Beberapa orang wakil yang terdiri daripada PAS, DAP dan PKR, yang diwakili YB Sivakumar (DAP), Sdr Ismad Shahril (PAS), YB Chan Ming Kai (PKR), YB Wong Kah Woh (DAP), dan Ustaz Hafez Sabri (PAS) telah hadir ke Balai Polis Ipoh, untuk membuat laporan tersebut Berita & Foto kiriman Mohd Hafez Sabri |
GEMPAR: Penduduk Jepun Panik, Radioaktif Disahkan Paras "Sangat Tinggi" Posted: 15 Mar 2011 12:38 AM PDT Radioaktif: Rakyat Jepun, warga asing di Tokyo mula panik TOKYO, 15 Mac — Tokyo diselubungi perasaan panik selepas kerajaan mengesahkan paras radioaktif di sekitar kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi, menyebabkan sebahagian kecil penduduk mula meninggalkan ibu negara Jepun itu. Laporan dari Jepun juga menyebut penduduk tempatan mula menambah simpanan stok keperluan rumah. Beberapa kedutaan asing juga menasihatkan kakitangan dan rakyat negara masing-masing agar meninggalkan tempat-tempat yang terjejas dan syarikat-syarikat multinasional juga mengambil langkah sama ada menggesa kakitangannya menjauhi kawasan terbabit atau menimbang untuk memindakan mereka ke luar Tokyo. Menggambarkan perasaan panik di kalangan warga kota Tokyo, tinjauan Reuters hari ini menunjukkan Don Quixote, kedai 24 jam di daerah Roppongi telah kehabisan radio, lilin, tin-tin minyak dan beg tidur. Terdahulu Perdana Menteri Jepun mengesahkan kebocoran radiasi pada kadar yang tinggi di kawasan timur laut yang menempatkan loji-loji tenaga nuklear. Pelancong-pelacong asing seperti Christy Niver dari Egan, Minnesota berkata mereka mengalami pengalaman menakutkan dan mahu meninggalkan Tokyo segera. Anak perempuannya berusia 10 tahun, Lucy kelihatan lebih tegas untuk meninggalkan Tokyo. "Saya takut. Saya sangat takut, saya lebih rela hadapi tornado," katanya. "Saya mahu tinggalkan (kawasan ini)," katanya lagi. Pasukan Czech Symphony Orchestra juga meninggalkan Tokyo dengan bas menuju wilayah Ishikawa di sebelah barat Jepun selepas konsert mereka di sini dibatalkan. "Sebahagian mahu kembali ke kampung halaman mereka selepas gempa bumi, tetapi sukar untuk mendapatkan tiket bagi seratus orang sekarang," kata Hitomi Sakuma, pemain piano. Bank utama Amerika Syarikat, Citigroup juga berkata pihaknya secara konsisten memaklumkan pekerjanya berhubung perkembangan semasa tetapi belum ada arahan supaya memindah keluar mereka dari Tokyo. Beberapa wartawan antarabangsa yang membuat liputan di kawasan bandar raya Sendai, yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami yang meragut sekurang-kurangnya 10,000 orang, juga meningalkan kawasan tersebut. Pejabat Michael Page International, syarikat perkhidmatan pengambilan pekerja Britain di sini, juga ditutup selama seminggu. "Saya akan pergi ke Singapura esok dan akan bekerja dari pejabat kami di Singapura," kata seorang pekerjanya. Agensi berita Kyodo kadar radiasi setiap minit juga dikesan di Tokyo dengan paras radiasi di Saitama dekat ibu negara Jepun itu sekitar 40 kali lebih tinggi berbanding paras normal - tidak cukup untuk menyebabkan kemudahan ke atas orang ramai tetapi ia sudah cukup untuk mencetuskan rasa panik. Sekitar 12 juta orang tinggal di kawasan metropolis itu. Angin sedang menerbangkan secara perlahan-perlahan radiasi dari loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer ke utara Tokyo.
|
Kesan radiasi: Kerajaan perlu perjelas kepada rakyat Posted: 15 Mar 2011 12:37 AM PDT Ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat berhubung kesan letupan ketiga di loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi di Jepun. Menurut Nurul Izzah, penjelasan mengenainya perlu kerana rata-rata rakyat di negara itu turut merasa bimbang akan kesan radiasi yang dihebah-hebahkan. "Apakah peratusan kemungkinan radiasi dari loji tenaga nuklear ini akan tiba di Malaysia, berdasarkan senario 'full meltdown'? "Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat wajib menghentikan dahulu sebarang perancangan untuk membina loji tenaga nuklear mahupun pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth refinery) di negara ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Tahap radiasi loji nuklear di utara ibu negara Jepun, Tokyo dikatakan meningkat 400 kali ganda hari ini di selepas negara itu digegarkan gempa bumi dan dibadai tsunami, Jumaat lalu. Angin perlahan yang bertiup dari loji nuklear Fukushima Daiichi dikatakan akan memberi kesan ke atas Kyoto termasuk Tokyo. Perdana Menteri Jepun juga menasihatkan rakyat yang berada pada radius 30km daripada loji nuklear supaya berada di dalam rumah kerana radiasi dilaporkan pada tahap yang boleh mengancam kesihatan. Menurut Nurul Izzah, perkembangan di Jepun itu terus menggusarkan rakyat di negara ini dan mempersoalkan tindakan kerajaan sama ada mempunyai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat dari pencemaran nuklear jika berlaku. "Apakah langkah berjaga-jaga yang harus diambil rakyat Malaysia? Adakah Kerajaan Pusat benar-benar bersedia menghadapi situasi pencemaran nuklear yang mungkin terjadi? "Oleh itu, saya berharap agar pihak Kerajaan Pusat bertindak lebih pantas tetapi tepat dalam menerangkan situasi sebenar di Jepun serta apakah akibat yang mungkin dialami rakyat Malaysia di Semenanjung, Sabah, dan Sarawak," katanya. -M'kini |
Polis Bodoh atau Menteri yang Bangang isu Saman Ekor ni Posted: 14 Mar 2011 06:32 PM PDT |
Bisikan Mumia... Firaun baru kini muncul! Posted: 14 Mar 2011 06:31 PM PDT Kaum yang keji dan ganas serta zalim. Kaum pembunuh dan penumpah darah manusia. Kalau nabi disembelih, digergaji disula dan dibakar... apalah sangat manusia lain. Kini penerus kezaliman itu akan terus muncul. Terbaru, Anak sulung bekas Perdana Menteri Rejim Zionis Israel Ariel Sharon mengusulkan untuk membakar bangsa Arab. Laman al-Islam al-Youm melaporkan, Gilad Sharon putra sulung pembunuh kem Pelarian Palestine Sabra dan Shatila dalam sebuah wawancara dengan akhbar Yediot Aharonot mengatakan, orang-orang Arab harus dibakar. Dia menyatakan, pengepungan atas orang-orang Arab dan Palestina harus diperketat. Gilad Sharon adalah putra Ariel Sharon yang melakukan kejahatan kemanusiaan dengan membunuh 3500 orang di kem pelarian Palestine Sabra dan Shatila tahun 1982. Beliau merupakan Perdana Menteri Israel dari 7 Mac 2001 hingga 14 April 2006.Sepanjang tempoh itu Ariel Sharon telah banyak merosakkan bumi Palestin. Banyak air mata yang telah mengalir kerana kezalimannya. Ramai pejuang yang telah terkorban kerana kekejamannya. Anak-anak kecil Palestin perlu mengenal erti keganasan, peperangan kerana sikap kejam Ariel Sharon. Hari ini, Ariel Sharon bagaikan mayat hidup selepas 4 tahun koma. Sehinggakan media di seluruh dunia terutamanya media barat berasa malu untuk menerbitkan gambar-gambar keadaan Ariel Sharon yang ada pada hari ini. Kini Ariel Sharon yang berusia 81 tahun dikatakan mempunyai berat sekitar 15 kg sahaja. Doktor yang merawatnya mengatakan Ariel Sharon akan terus koma sehingga umur 90 tahun. Beliau dah jadi umpama mumia firaun. Terpenjara dalam jasad yang sudah membusuk. Kini mewariskan perangai jahat dan kejam kepada anaknya pula. Sama seperti firaun membakar rakyatnya dalam parit berapi… kini Gilad Sharon nampaknya bakal menjadi firaun baru. Tidak cukupkah peringatan Allah terhadap golongan ini. Rupanya tak mengehntikan kerakusan dan kejahatan mereka. Sementara itu, dilaporkan bahwa tentara dan penjajah Zionis menyerang warga Palestine yang sedang menunaikan sembahyang di Masjid Aqsa. Serangan yang terjadi Ahad baru-baru ini menyebabkan kecederaan dikalangan jamaah solat. Laporan lainnya menyebutkan bahwa tentara Zionis juga menyerang sebuah daerah di dekat kota Selfit, Tepi Barat Sungai Jordan. Satu bangsa yang tak mempedulikan orang lain. Herannya! mana Pertubuhan Keselamatan Bangsa Bersatu PBB? OIC? adakah kerana mereka Yahudi & Nasara, mereka diam membisu? Adakah kerana mereka Islam, maka tiada nilai nyawa dan darah mereka? |
PANAS!! Pasca Demo Tuntut DNA: Maruah Reformasi Tercabar!! Posted: 14 Mar 2011 06:30 PM PDT MARUAH REFORMASI TERCABAR Saya amat kesal dengan tindakan musuh-musuh Anwar Ibrahim yang mempolitikkan kes mahkamah yang sedang berlangsung. Beberapa demonstrasi telah dianjurkan di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh seolah-olah Anwar telah didapati bersalah oleh mahkamah. Walhal, mahkamah hanya menolak bahan-bahan bukti yang diperolehi secara tidak sah. Sebagai seorang pendokong Reformasi tegar, saya yakin penuh Anwar ialah mangsa konspirasi politik. Pemimpin-pemimpin UMNO gentar dengan Anwar Ibrahim lalu terpaksa memfitnahkan beliau. Mereka berharap dengan menghumban Anwar ke penjara, gerakan Reformasi akan hilang taring. Justeru itu, saya menyeru kepada Anwar untuk mengambil tindakan tegas supaya serangan-serangan musuh politik ini dapat ditangani. Anwar wajib menyerah sampel DNA untuk membuktikan beliau tidak bersalah. Saya percaya langkah tegas Anwar ini akan membuat musuh-musuh politik beliau mati akal. Untuk mengelakkan kemungkinan tersebut, saya mencadangkan ujian dan profiling sampel DNA itu dibuat secara profesional dan telus. Jika perlu, Majlis Peguam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan pakar-pakar genetik antarabangsa yang dilantik oleh Anwar akan menyelia proses tersebut. Objektif memberi DNA hanya untuk mengenalpasti sama ada DNA lelaki Y yang dijumpai pada tubuh Saiful Bukhari Azlan padan dengan DNA Anwar Ibrahim. Walaupun jika ditakdirkan DNA-DNA itu padan, Anwar masih mempunyai ruang untuk mempertikai bagaimana air mani beliau diletakkan pada tubuh Saiful. Anwar Ibrahim sebagai seorang pemimpin Anugerah Tuhan pasti prihatin yang serangan-serangan ini bukannya setakat peribadi beliau sahaja malah ditujukan kepada seluruh gerakan Reformasi. Bukan maruah Anwar Ibrahim sahaja yang tercabar tetapi kredibiliti semua Reformis juga tergugat. Anwar Ibrahim harus mengambil langkah berani dan bijak demi keutuhan gerakan Reformasi. LAWAN TETAP LAWAN!!! AKTIVIS JALAN TAR |
Serangan ke atas Kelantan bertujuan calarkan imej PAS Posted: 14 Mar 2011 05:39 PM PDT - Pengangguran di Kelantan sebenarnya lebih rendah daripada peringkat nasional KUALA NERUS - Serangan yang dibuat dengan kenyataan-kenyataan 'sumbang' mengenai negeri Kelantan tidak akan mampu menggugat keutuhan pentadbiran dan pemerintahan kerajaan yang diperintah oleh PAS itu. Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli bin Shaari berkata ia adalah bertujuan untuk mencalarkan imej PAS dimata rakyat Malaysia. "Yang (mereka) kata tak maju (negeri) Kelantanlah, yang (mereka kata) menganggur ramai (di) Kelantan lah, ini serangan sebenarnya, sebab mereka hendak mencalarkan imej PAS di mata rakyat Malaysia, "InsyaAllah, kia yakin, serangan-serangan yang dilakukan itu, tidak menggugat keutuhan kita,"katanya ketika menyampaikan ucapan di Kampung Kubang Jela dekat sini pada Ahad, 13 Mac. Beliau mendedahkan, fakta sebenar kadar pengangguran di kelantan adalah lebih rendah daripada kadar pengangguran di peringkat nasionaldan beberapa negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional. Beliau berkata, menurut buku penyiasatan tenaga buruh yang dikeluakan Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2009, kadar pengangguran di Kelantan adalah 2.2 peratus berbanding 4.0 peratus. "Rekod pengangguran, tahun 2009, kadar pengangguran di Kelantan 2.2%, kadar pengangguran di peringkat nasional 4.0%, maknanya kadar pengangguran di Kelantan lebih rendah dari peringkat nasional, "di Terengganu kadar pengangguran 3.5%, di sarawak 4.7%, di Sabah paling teruk, kadar penganggurannya 6.1%,"jelasnya Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan menolak dakwaan sesetangah pihak yang memfitnah ramai orang Kelantan yang berhijrah ke luar negeri Kelantan disebabkan tidak ada peluang pekerjaan di negeri Kelantan. Dengan merujuk Pelan Induk ECER yang dikeluarkan Oktober 2007, beliau menegaskan jumlah orang luar Kelantan yang masuk ke negeri Kelantan sebenarnya lebih ramai dari rakyat Kelantan yang berhijrah keluar. "rakyat Kelantan yang keluar, bekerja di luar Kelantan (seramai) 21,920 orang, manakala orang luar Kelantan yang masuk ke negeri Kelantan, bekerja di Kelantan (seramai) 24. 460 orang, "siapa yang kata (negeri) Kelantan tidak ada (peluang) kerja? yang keluar lebih sedikit dari yang masuk,"ujarnya. Ahmad Fadli juga menyifatkan, serangan yang dilakukan ke atas negeri Kelantan dan Menteri Besar Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat adalah datangnya dari satu pasukan (team) yang sama, diketuai oleh 'pemain tahun 90-an, yang juga mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Muhammad. -BO BO Radio Download this episode (35 min) |
Engkaulah Suami Yang Aku Impikan Posted: 14 Mar 2011 05:35 PM PDT Ketika engkau mencintaiku, engkau menghormatiku. Dan ketika engkau membenciku, engkau tidak mendzalimiku. (Dr. Ramdhan Hafidz) Aku masih ingat saat malam pertama kita, saat itu engkau mengajakku soalat Isya' berjamaah. Setelah berdoa engkau kecup keningku lalu berkata: "Dinda, aku ingin engkau menjadi pendampingku Dunia-Akhirat". Mendengar ucapan itu, akupun menangis terharu. Malam itu engkau menjadi sosok seperti Sayidina Ali yang bersujud semalam suntuk kerana bersyukur mendapatkan sosok isteri seperti Siti Fatimah. Apakah begitu berharganya aku bagimu sehingga engkau mensyukuri kebersamaan kita? Malam itu, aku tidak dapat mengungkapkan rasa syukurku ini dengan ucapan. Aku hanya mampu mengikutimu, bersujud di atas hamparan sajadah. Tanpa bisa aku membendung air mata ini tiada hentinya mengalir kerana mensyukuri anugerah Allah yang diberikan padaku dalam bentuk dirimu. Akupun berikrar, aku ingin menjadi sosok seperti Siti Fatimah, dan aku akan berusaha menjadi isteri sebagaimana yang engkau impikan. Dan ternyata sujud itu bukan hanya di saat malam pertama, setiap kali aku terbangun pada akhir sepertiga malam, ku lihat engkau sedang bersujud dengan penuh kekhusukan. Aku kadang-kadang iri dengan kesolihanmu, engkau terlena dalam sujudmu sedang aku berbaring di atas katil yang empuk dengan sejuta mimpi. Kenapa engkau tidak membangunkan aku? Padahal aku ingin bermakmum padamu agar kelak aku tetap menjadi isterimu di surga. Aku hanya merasakan kecupan hangat melengkapi tidur malamku saat engkau terbangun untuk melakukan solat malam. Apakah kecupan itu sebagai isyarat agar aku terbangun dari tidurku dan melaksanakan solat berjamaah bersamamu? Atau kerana engkau tidak tega membangunkan aku saat engkau melihat begitu pulasnya aku dalam tidurku? Aku yakin, dengan ketaatanmu pada agama, engkau akan membahagiakanku dunia-akhirat. Tidakkah agama kita mengajarkan bagaimana suami harus menyayangi isteri, membuatnya bahagia, melindungi dan membuatnya tersenyum. Dan sebaliknya, isteri harus berbakti, melayani dan membuat suaminya terpesona padanya. Aku tidak peduli siapakah engkau, miskin dan kaya tidak ada bezanya bagiku. Aku hanya tertarik pada sosokmu yang bersahaja dan sederhana. Raut wajahmu yang penuh dengan keikhlasan membuatku ingin selalu menatapnya. Lembutnya sifatmu membuatku yakin bahwa engkau adalah suami yang dapat menerima segala pemberian Tuhan dan akan menyayangiku apa adanya. Aku tidak peduli dengan rumah comel dan sederhana yang engkau persembahkan untuk kita tempati bersama. Rumah yang hanya terdiri dari ruang tamu, kamar kita, dan satu ruangan yang berisi buku-buku terutama buku agama. Namun dari rumah yang comel ini, aku melihat taman surgawi menjelma di sini. Aku yakin engkau adalah sosok suami yang tekun belajar dan memahami agama, dan dengan bekal ini aku yakin engkau dapat membimbingku untuk meraih syurga ilahi. Sebagaimana agama kita telah mengisyaratkan bahawa, barang siapa berjalan dijalan ilmu, maka Allah akan mempermudah jalan menuju ke syurga. Saat kulihat engkau begitu berbakti kepada kedua orang tuamu dan senang menjalin silaturahim, aku yakin engkau akan berlaku baik pada anak-isterimu. Aku lihat engkau jarang sekali berbicara, tapi masya Allah kalau sedang bekerja, engkau menjadi sosok yang tekun dan rajin. Dan dari cara tutur katamu, aku mendengar kata-kata mutiara yang penuh hikmah, sehingga yang tergambar dalam fikiranku adalah sosok Lukmanul Hakim, sosok suami dan ayah yang selalu mendidik keluarganya, mengajarkan anaknya untuk tidak menyekutukan Allah. Sungguh aku bangga mempunyai suami sepertimu melebihi kebanggaanmu padaku. Aku lebih memerlukanmu jauh melebihi keperluanmu padaku. Terima kasih suamiku, kerana engkau telah membimbingku… -dakwatuna |
Terbaru..Wajah Menakutkan "Kepala" Air Thunami.. Posted: 14 Mar 2011 05:33 PM PDT |
Berita Harian Memfitnah ADUN Bukit Payung, Laporan Polis Dibuat Posted: 14 Mar 2011 05:31 PM PDT Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini. Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan. Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu. "Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi. "Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat," tegasnya. Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung. Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan 'Pegawai Adun mengaku khalwat' serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung. Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung. "Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai. "Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu," ujarnya. Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut. Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain. "Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya. "Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun. "Ini fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai," jelasnya. Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit. Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail. -HD |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan