Kerabu Bersuara ® |
- AMK cabar Pemuda Umno nafi gambar bersama ‘kekasih gelap’
- Man Dinobat Juara Raja Lawak 5
- Laporan audit Yayasan Selangor dedah perbelanjaan tak munasabah
- Subsidi: Pengguna Thailand lebih beruntung daripada Malaysia
- Edaran Segera! Jawapan Balas "Judi Jejas Undi" - Dato' Anuar Tan
- Yayasan Selangor Sedia Hadapi Segala Kemungkinan
- Rakyat Kelantan Tolak Judi Sama Tolak Umno!
AMK cabar Pemuda Umno nafi gambar bersama ‘kekasih gelap’ Posted: 18 Mar 2011 03:00 PM PDT GOMBAK: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) hari ini mencabar Pemuda Umno memberi penjelasan atau penafian berhubung penyebaran gambar Ketua Pemuda Umno sebuah bahagian di Selangor bersama 'kekasih gelap' di beberapa blog dan laman sosial. Naib Ketua AMK Pusat, Azmizam Zaman Huri berkata, individu yang tertera gambarnya itu harus tampil membersihkan nama dengan membuat penafian segera. "Kalau benar ini gambar beliau, sebagai ahli dan pemimpin Umno peringkat bahagian yang kononnya memperjuang Melayu dan Islam, harap beliau meletak jawatan. "Tolong jawab segera, rakyat perlukan penjelasan," kata Azmizam dalam facebook beliau. Gambar itu memaparkan seorang lelaki tanpa baju berpelukan mesra dengan seorang wanita muda dan seksi yang tangan kirinya memegang manja pipi lelaki berkenaan. Beberapa blog menamakan lelaki itu sebagai Ketua Pemuda Umno sebuah bahagian di Selangor tetapi tidak pula menamakan identiti wanita berkenaan yang hanya dirujuk sebagai kekasih gelap. |
Man Dinobat Juara Raja Lawak 5 Posted: 18 Mar 2011 09:40 AM PDT Oleh KAMELIA OTHMAN SHAH ALAM: Seperti dijangka Man atau nama sebenar Abd Rahman Kassim, 33, dinobatkan sebagai juara program realiti Raja Lawak Astro 5 dalam pertandingan akhir malam Jumaat. Program akhir yang bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu menyaksikan peserta yang berasal dari Kuala Lumpur ini berjaya meraih undian peminat sebanyak 45 peratus. Manakala Kumpulan RJ yang dianggotai oleh Rahim Mat Ali dan Ridhzuan Mat Ali yang menerima undian 32.5 peratus sekadar berpuas hati muncul naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Balas denganundian 22.6 peratus. Dengan kemenangan tersebut, Man berjaya membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000, barangan elektrik serta trofi sumbagan Astro. Sementara kumpulan RJ dan Balas tidak pulang dengan tangan kosong apabila masing-masing berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan RM30,000, barangan elektrik serta trofi. "Saya masih lagi tergamam dengan kemenangan ini, ia membuktikan pengorbanan lima tahun dari program pertama hingga ke kelima akhirnay membuahkan hasil. "Sebagai orang biasa, saya rasakan ini merupakan satu keajaiban yang berlaku dalam hidup saya," katanya selepas diumumkan sebagai juara. Tambah Man, dia berharap agar diberi peluang untuk mengembangkan bakat yang ada dalam dirinya. "Perancangan selepas ini hanya serahkan kepada pihak Astro untuk mencungkil bakat lagi bakat yang ada pada diri saya. "Selain itu, saya juga perlu berbincang dengan majikan saya Pos Malaysia untuk perancangan selepas ini," ujarnya. Pertandingan akhir itu diadili oleh tiga orang juri tetap iaitu David Teo, Sathiya dan Afdlin Shauki, sementara keputusan penuh pula ditentukan oleh penonton seratus peratus menerusi undian Khidmat Pesanan Ringkas (SMS). Dengan keputusan ini, secara automatik ketiga-tiga peserta akhir ini layak untuk bertanding di dalam rancangan Maharaja Lawak yang akan bersiaran pada 1 April ini. Program Maharaja Lawak tersebut akan menyaksikan persaingan di antara kesemua finalis rancangan Raja Lawak Astro dari musim pertama hingga kelima. |
Laporan audit Yayasan Selangor dedah perbelanjaan tak munasabah Posted: 18 Mar 2011 09:20 AM PDT SHAH ALAM: Laporan audit Yayasan Selangor mendedahkan banyak perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah yang membawa kepada defisit RM7.41 juta, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Perbelanjaan tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor hampir RM1 juta, malah bayaran dibuat kepada pengurus acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan. "Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor sehingga November 2010, defisit RM7.41 juta," kata Khalid. Beliau mengulas laporan audit yang disemak Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 14 Disember 2010 yang diedar kepada media. Semakan itu memberi tumpuan kepada pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang 15 November 2010 lalu. Selain itu, Khalid berkata, sebanyak 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 tidak dimaklum atau diluluskan Pihak Berkuasa Negeri sekaligus bertentangan dengan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993. "Pengurus Besar juga meluluskan elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada Ahli Mesyuarat, selain semakan audit mendapati, Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan," katanya. Khalid berkata, antara yang menunjukkan tadbir urus korporat itu yang tidak baik ialah seramai 18 kakitangan berhenti dan 50 lagi ditukar dalam tempoh Mac hingga November 2010. Ekoran itu, katanya, surat tunjuk sebab bertarikh 5 Januari 2011 dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap masalah yang timbul mengikut pandangan dan saranan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri. "Pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggungjawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan. "Keesokannya, surat yang saya tandatangani dikeluarkan mengarah Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuat kuasa serta merta," katanya. Khalid berkata, kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban melibatkan semua institusi termasuk syarikat berkaitan kerajaan negeri. Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja mengamal perbelanjaan berjimat cermat, malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum. "Kerajaan Selangor bersikap telus, tidak menyembunyikan salah laku mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat. Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah rakyat. "Kerajaan Selangor akan meneliti setiap syor dan mengguna pakai cadangan itu dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri," katanya. |
Subsidi: Pengguna Thailand lebih beruntung daripada Malaysia Posted: 18 Mar 2011 08:45 AM PDT Kebelakangan ini subsidi seolah-olah perkataan kesat digunakan golongan berkuasa di negara ini. Subsidi dipersalahkan apabila defisit fiskal negara semakin meningkat sehingga dikatakan mampu membawa Malaysia ke arah jalan sama dilalui Greece dan Ireland baru-baru ini. Penghapusan subsidi kini menjadi misi kebangsaan. Memang eloklah rakyat Malaysia semakin sedar tentang kelebihan dan kekurangan sistem masyarakat yang terlalu bergantung kepada subsidi. Sikap bergantung kepada subsidi untuk mengawal harga minyak atau angan-angan bahawa harga minyak kita akan terus kekal pada harga sekarang untuk jangka masa yang boleh dijangka amat tidak realistik kerana sumber hidrokarbon mempunyai hadnya. Sekalipun kita mempunyai simpanan minyak dan gas lebih besar yang boleh bertahan 100 tahun lagi, tidak wajar membazirkannya kerana bahan bakar yang diberi murah akan menjadi lebih mahal untuk dihasilkan dalam masa 20 tahun akan datang. Rakyat Malaysia yang waras pasti memahami lama-kelamaan kita terpaksa meneruskan hidup tanpa subsidi bahan bakar. Bezanya adalah cara debat hebat berhubung subsidi terpilih dilakukan kerajaan, terutama berkaitan subsidi besar bagi gas yang diberi kepada sektor tenaga serta jumlah hutang bagi caj perkhidmatan yang terpaksa diserap rakyat setiap tahun. Kedua-duanya jelas terlihat dalam mana-mana kaedah pengurangan defisit fiskal. Untuk rekod, bajet kebangsaan bagi 2011 memperuntukkan 8.7% daripada bajet operasi berjumlah RM212 bilion untuk caj khidmat hutang bagi semua pinjaman diambil dan dijamin Kerajaan Persekutuan. Ini berjumlah RM18.4 bilion bagi faedah dan bayaran prinsipal setahun. Jumlah itu pasti terngiang-ngiang dalam pemikiran golongan yang tahu kira-kira di sebalik subsidi di Malaysia kerana ia jauh lebih tinggi daripada subsidi bahan bakar dan makanan ditanggung Kerajaan Persekutuan setiap tahun. Apabila harga minyak mentah melonjak pada 2008, jumlah subsidi bahan bakar ditanggung kerajaan merupakan RM15 bilion (berdasarkan data Pemandu). Mengikut keadaan biasa apabila harga minyak mentah di antara AS$65 dan AS$85 setong, anggaran subsidi bahan bakar adalah antara RM9 bilion dan RM11 bilion setahun. Sehubungan itu, hakikatnya – sekalipun harga minyak mentah sekali lagi melonjak seperti pada tahun 2008 (yang belum berlaku setakat ini) , jumlah keseluruhan subsidi ditanggung kerajaan tetap lebih rendah daripada caj khidmat hutang. Dalam keadaan biasa, Malaysia membelanjakan dua kali ganda wang rakyat untuk membayar hutang terkumpul sejak beberapa tahun kebelakangan ini yang mencapai RM407 bilion pada akhir 2010. Berikutan itu, walaupun wajar memfokuskan terhadap penghapusan subsidi sebagai cara mengurangkan defisit fiskal kebangsaan, rakyat mesti terus memberi tekanan untuk mendapatkan pelan konkrit bagi mengurangkan caj khidmat hutang untuk tahun-tahun akan datang. Pembayaran hutang merupakan punca utama dan tiba masanya rakyat memandang realiti terutama dalam pada kerajaan tergesa-gesa mengeluarkan bon bagi membiayai projek-projek mega bernilai bilion ringgit diumumkan di bawah ETP. Kita tidak sepatutnya terus obses dengan penghapusan subsidi sehingga terlepas pandang terhadap hutang yang dikumpulkan Kerajaan Persekutuan setiap tahun. Wajarkah langkah berjimat cermat diambil untuk mengurangkan bajet kebangsaan supaya kita mengurangkan pinjaman tahunan bagi membiayai defisit kita? Bolehkah kita terus hidup dengan pertumbuhan ekonomi sederhana dalam pada kita menangani masalah hutang tinggi? Saya tiada jawapannya, tetapi lambat laun kita akan sampai peringkat yang tak dapat dielak lagi jadi eloklah memulakan diskusi umum itu sekarang. Macam mana pun, setiap rakyat Malaysia pasti setuju bahawa menghapuskan rasuah dan amalan buruk dalam kerajaan akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap hutang. Soalan ekonomi seterusnya yang patut difikirkan dalam mana-mana debat berhubung subsidi adalah berhubung subsidi gas bernilai RM19 bilion yang diberikan kepada sektor tenaga setiap tahun. Ini memang isu sensitif buat PETRONAS yang mengeluh setiap tahun bahawa ia seperti membakar RM19 bilion semata-mata mahu memastikan tarif tenaga elektrik pada tahap yang kononnya rendah. Sekalipun kita mempunyai simpanan gas tidak terhingga (dan hakikatnya, tidak) pembakaran gas asli sebanyak itu setiap tahun membahayakan alam sekitar selain merupakan pembaziran ekonomi sedangkan keuntungan lebih tinggi boleh diraih jika ia digunakan dengan cara lain (sama ada sebagai LNG atau stok suapan untuk bahan kimia yang diproses). Penyokong subsidi gas berjumlah RM19 bilion untuk sektor tenaga pasti menghujahkan bahawa ia perlu untuk membantu rakyat kerana tarif lebih murah itu memanfaatkan rakyat secara langsung. Itu merupakan hujahan politik yang serupa dengan hujahan ekonomi bahawa subsidi tenaga perlu untuk menjadikan Malaysia sentiasa kompetitif sebagai pusat pengeluaran. Pada pandangan saya, kelompongan wujud dalam kedua-dua hujahan itu. Kajian Jeff Rector dari Universiti Stanford mendapati, rakyat (pengguna bukan perniagaan dan bukan industri) hanya menggunakan 19% daripada keseluruhan elektrik dijana di Malaysia pada 2005. TNB juga membuat beberapa perubahan kepada struktur tarif awam, sedangkan kemungkinan besar tiada kenaikan tarif sekiranya subsidi gas dihentikan secara berperingkat. Sektor industri dan komersial wajar bimbang apabila sebarang cadangan menghentikan subsidi gas kepada sektor tenaga dibuat secara berperingkat kerana merekalah yang perlu menanggung kerugian berikutan menggunakan 81% daripada keseluruhan tenaga elektrik dijana. Bagaimanapun, di sinilah persoalan praktikal dan falsafah berhubung subsidi gas memerlukan perbincangan mendalam (yang dengan mudahnya diabaikan kerajaan ): Pertama – wujud kelopongan besar antara usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu modal inovasi dan kreativiti lebih tinggi; dengan dakwaan bahawa sektor industri kita akan terus dilindungi melalui tarif elektrik murah yang dibayar kerajaan. Sebuah ekonomi yang masih mendapat manfaat daripada 'kebajikan' diberikan kerajaan (sama ada dalam bentuk kontrak lumayan atau subsidi) pasti akan melawan sebarang usaha ke arah pembaharuan struktur kerana memang lazim bagi manusia mengkehendaki cara yang paling mudah. Buat apa menyusahkan diri melaksanakan pembaharuan ekonomi untuk mengubah struktur ekonomi sedangkan industri kita masih mampu meraih keuntungan tinggi dengan mengeluarkan produk rendah teknologi dan kandungan kreatif berikutan kos pembuatannya disamarkan dengan subsidi kerajaan? Kedua – walaupun ada pandangan bahawa industri kita masih memerlukan sejenis subsidi untuk mengekalkan daya saing, data ekonomi dan tarif jelas menunjukkan subsidi gas RM19 bilion itu tidak bererti nilai tarif lebih rendah. Ada kelopongan besar yang perlu ditangani. Thailand merupakan contoh baik bagaimana tarif lebih murah boleh diperolehi tanpa membelanjakan terlalu banyak untuk 'subsidi korporat' dalam bentuk subsidi gas gergasi kepada sektor tenaga setiap tahun. Harga gas yang dijual kepada sektor tenaga di Thailand ditetapkan dengan harga pasaran gas dibeli secara domestik dan daripada kontrak bekalan jangka panjang negara jiran pembekal (seperti Myanmar). Selain harga gas mentah, formula itu merangkumi caj bagi tarif saluran paip, margin pemasaran serta indeks harga pengguna , pergerakan pertukaran wang asing serta indeks harga pengeluaran. Pendek kata, pengeluar tenaga di Thailand membayar harga pasaran untuk gas – hampir pada harga RM31 per mmbtu apabila harga minyak mentah mencapai harga AS $100 setong (bandingkan dengan RM10.70 per mmbtu yang dijual kepada sektor tenaga di Malaysia). Menariknya (dan malangnya), tarif elektrik Thailand jauh lebih murah daripada Malaysia walaupun Malaysia mempunyai sistem subsidi tinggi untuk kononnya memastikan tarif elektrik rendah. Pengguna persendirian di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh buat 150 kWh pertama digunakan; berbanding tarif Malaysia bagi penggunaan setara sebanyak 22 sen per kWh. Ini merupakan perbezaan 22% lebih tinggi daripada tarif Malaysia. Begitu juga pengguna runcit di bawah kategori 'tarif perdagangan voltaj rendah' membayar tarif lebih tinggi di Malaysia berbanding penggunaan tenaga elektrik setara di Thailand. Tarifnya merupakan 37 sen per kWh di Malaysia, iaitu 48% lebih tinggi daripada tarif di Thailand berjumlah 25 sen per kWh bagi kategori penggunaan sama. Senarai perbandingannya terlalu panjang. Eloklah rakyat Malaysia lebih membuka mata mengenai cara ekonomi kita dilaksanakan atau ke mana wang pembayar cukai dibelanjakan. Memang bagus apabila rakyat mula berfikiran jangka panjang dan mempertikaikan daya maju sistem sosial yang terlalu bergantung kepada subsidi. Bagaimanapun, sebarang perbincangan untuk penghapusannya mesti dilakukan secara jujur dan adil untuk semua pihak. Buat masa ini, sikap berdiam diri berhubung subsidi gas berjumlah RM19 bilion itu dilihat hanya memanfaatkan sebilangan kecil masayarakat, atau langsung tidak menghiraukan tahap hutang awam yang membimbangkan; ini terlalu tidak adil buat negara dan generasi akan datang. *** Diterjemah oleh Muni dari artikel asal (di sini) *** Rafizi Ramli adalah Pengarah Stragetik KEADILAN |
Edaran Segera! Jawapan Balas "Judi Jejas Undi" - Dato' Anuar Tan Posted: 18 Mar 2011 01:28 AM PDT KENYATAAN AKHBAR YB DATO HJ ANUAR TAN BIN ABDULLAH SEBAGAI JAWAPAN TERHADAP AKHBAR SINAR HARIAN 17 /3/2011 'JUDI JEJAS UNDI' Sebagai pimpinan dalam PAS yang berjuang berteraskan Islam, kita tidak mengambil kira soal undi sebagai pertimbangan dalam hal perjudian, sebaliknya ketakwaan kepada Allah SWT wajib diutamakan. Menang kalah dalam satu pertandingan hanya merupakan perkara duniawi tapi ketakwaan akan dinilai oleh Allah SWT di akhirat. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Encik Hu Phang Chaw adalah pandangan yang memberi gambaran kepada masyarakat lain bahawa masyarakat Cina hanya akan memberi undi kepada PAS sekiranya mereka diberi peluang atau hak untuk berjudi adalah amat mengelirukan. Kenyataan ini jelas akan memalukan masyarakat Cina seolah-olah orang Cina terlibat dengan aktiviti perjudian. Ini tidak benar, hanya sebahagian kecil orang Cina dan bangsa-bangsa lain di dunia ini terlibat dengan aktiviti perjudian. Dalam konteks masyarakat Cina Kelantan, saya berani katakan bahawa majoriti orang Cina tidak berjudi kerana dasar kerajaan PAS untuk mengharamkan dan tidak mengeluarkan lesen premis untuk berjudi telah dilaksanakan sejak 20 tahun yang lepas kerana masyarakat Cina di Kelantan mempunyai moral dan pendidikan yang tinggi. Saya sendiri dan sebahagian besar masyarakat Cina mendapat pendidikan di sekolah Cina, dididik oleh guru-guru orang Cina supaya jangan terlibat dengan gejala judi. Dan saya yakin tiada satu guru di dunia ini yang mengajar murid mereka berjudi. Sudah menjadi amalan dan budaya institusi keluarga orang Cina terutama ibubapa mereka daripada awal lagi mendidik anak mereka untuk menjauhi daripada judi. Yang terpenting, semua agama termasuk agama dan kepercayaan yang dianuti oleh orang Cina semuanya mengharamkan judi kerana judi satu masalah sosial, satu fenomena tanpa mengira agama, kebudayaan, adab resam, falsafah, bangsa dan negara yang perlu dibenteras oleh umat manusia. Sebagai kerajaan negeri, tanggungjawab kita bukan hanya untuk mentadbir negeri, berkhidmat kepada rakyat dan ianya juga merupakan tanggungjawab kita seboleh mungkin untuk mendidik masyarakat dengan unsur-unsur dan amalan yang murni dan luhur. Penyokong-penyokong Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang bersama dengan perjuangan PAS sepatutnya memahami PAS merupakan satu gerakan untuk menyebarkan syariat Islam untuk membina satu masyarakat yang adil, saksama kepada umat dan bukan hanya untuk meraih undi tanpa mengambil kira hukum halal dan haram. Isu tiket loteri ini perlu difahami dengan lebih teliti. Tiket loteri yang diperkenalkan dalam tahun 50-an sudah diswastakan dan hari ini namanya adalah ' Big Sweep' seperti TOTO, Magnum 4 Digit dan sebagainya merupakan judi yang membayar cukai dan lesen kepada Kerajaan Persekutuan seperti jenis perjudian yang lain. Apa yang masyarakat Cina nilaikan terhadap kerajaan negeri, yang penting adalah 'good governence' iaitu kerajaan yang adil dalam semua aspek kepada masyarakat berbilang kaum. DHPP perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan melalui kerajaan tempatan supaya tidak meluluskan lesen premis perjudian. Inilah perbezaan di antara kerajaan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang perlu kita jelaskan kepada masyarakat untuk menjadi pilihan mereka. Sekiranya dasar kerajaan negeri dikatakan bercanggah dengan dasar perjudian Kerajaan Persekutuan yang membenarkan perjudian dan dasar kerajaan Persekutuan boleh memaksa kerajaan negeri untuk membuka 'flood gate' dan membenarkan pelbagai aktiviti perjudian di Kelantan, maka serahlah kepada pemimpin Kerajaan Persekutuan untuk menjawab di akhirat kelak kerana pimpinan kerajaan negeri telah melakukan segala yang boleh dan termampu dalam hal perjudian ini. Sekian, terima kasih. Dato' Hj Anuar Tan bin Abdullah Exco Pembangunan Usahawan, Perdagangan & Perpaduan Masyarakat merangkap ADUN Kota Lama Pejabat MMK Kota Darulnaim, Kota Bharu 12 Rabiulakhir 1432H 17 Mac 2011 |
Yayasan Selangor Sedia Hadapi Segala Kemungkinan Posted: 17 Mar 2011 08:41 PM PDT SHAH ALAM 18 Mac - Yayasan Selangor bersedia berhadapan segala kemungkinan yang akan berlaku menjelang pembentangan laporan audit berhubung isu perbelanjaan organisasi itu minggu hadapan. Pengurus Besarnya, Ilham Marzuki berkata, pihaknya akan menjawab segala dakwaan terhadap Yayasan Selangor dan bersedia untuk memperbaiki segala kelemahan lapor Sinar Harian. Menurutnya, Yayasan Selangor telah menjawab segala dakwaan yang dilontarkan oleh pihak tertentu, namun beliau menegaskan segala dakwaan perlu diperhalusi terlebih dahulu. "Kita bersedia memperbetulkan apa jua kelemahan yang didakwa, sekiranya ada kelemahan tersebut kita akan perbaiki dengan segera," katanya. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka akan mendedahkan laporan audit tersebut secara terperinci pada akhir bulan ini. Abdul Khalid berkata, pembentangan laporan audit tersebut perlu demi menjelaskan kepada umum tentang kedudukan sebenar kedua-dua anak syarikat negeri itu. Yayasan Selangor disiasat selepas didakwa membelanjakan RM300,000 untuk majlis makan malam ulang tahun ke-40 yayasan itu yang menyebabkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacitadan enggan menghadiri majlis tersebut. |
Rakyat Kelantan Tolak Judi Sama Tolak Umno! Posted: 17 Mar 2011 07:41 PM PDT Kenyataan media itu dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari. -HD Judi: Kelantan dukacita Pusat lulus lesen KOTA BHARU, 17 Mac: Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno BN di peringkat Pusat adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain. Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan kerajaan negeri tetap berpendirian menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. "Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan," ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Beliau berkata, berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan. Berikut adalah kenyataan penuh beliau. Sebagaimana semua pihak sedia maklum bahawa polisi pentadbiran kerajaan negeri Kelantan sejak 1990 adalah berteraskan prinsip pentadbiran Islam. Dalam isu pengharaman premis judi dan perjudian haram, kerajaan negeri sedia melaksanakan pematuhan kepada ajaran Islam yang tidak membenarkan penganutnya berjudi atau terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan perjudian. Begitu pula, sebelum pelaksanaan penguatkuasaan larangan premis judi dan aktiviti perjudian dibuat pihak kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak di luar kerajaan. Antaranya berunding dengan badan-badan NGO dan wakil-wakil dari semua agama seawal 1991. Hasilnya telah sepakat dan bersetuju dengan hujah bahawa perjudian wajar dilarang atas pendirian bersama bahawa perjudian memberi banyak keburukan daripada kebaikan dan mudaratnya sehingga boleh membawa seseorang itu menjadi muflis, mengalami kerosakan dan kehancuran kerukunan rumah tangga. Perjudian melupakan 'akal fikiran' manusia, menyebabkan manusia hanya berserah kepada 'nasib'. Apa kata kalau manusia menyerahkan kepada nasib semata-mata dalam semua aktiviti hidup? Pasti akan jahanam dan porak-peranda. Manakala perniagaan dihalalkan kerana berniaga mencetuskan aktiviti rasional manusia. Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan telah diarah menggubal peraturan penguatkuasaan yang tidak membenarkan mana-mana premis menyediakan khidmat perjudian dan aktiviti berkaitan. Penguatkuasaan itu adalah selari dengan bidang kuasa kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Adapun berbangkit isu larangan penjualan tiket-tiket loteri big sweep yang dikatakan tidak memerlukan premis tetap untuk dijual, maka dalam isu ini, pihak kerajaan negeri sedia menelitinya dan menyerahkan kepada legal adviser untuk melihat dari sudut perundangan yang ada. Apa pun, pendirian kerajaan negeri ialah tetap menjaga kesucian ajaran Islam dan mendokong keluhuran undang-undang, selari dengan perlembagaan persekutuan. Natijahnya, apa sahaja bentuk perjudian pasti membawa lebih keburukan daripada kebaikan. Berkaitan dengan apa yang dihebohkan oleh pemimpin parti politik tertentu yang mengungkit rasa tidak puas hati dengan polisi sedia ada kerajaan negeri berhubung penguatkuasaan larangan premis judi di Kelantan, pihak kerajaan negeri sedia menerima pandangan dan sedia memberi penjelasan. Sehubungan itu, kerajaan negeri merakamkan rasa dukacita kerana pihak kerajaan pimpinan Umno-BN di peringkat Pusat sana adalah pihak berkuasa yang meluluskan pelbagai jenis lesen judi sehingga memerangkap umat Islam dan penganut agama lain. Sekian. Terima kasih. Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan Pejabat Menteri Besar Kelantan. Kota Darulnaim, Kota Bharu. 12 Rabiulakhir 1432 17 Mac 2011 |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan