Isnin, 14 Mac 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Budaya buruk di universiti hasil didikan Umno

Posted: 14 Mar 2011 02:00 PM PDT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Mac: Teguran Datuk Seri Najib Tun Razak kepada ahli akademik supaya tidak terlalu berpolitik seperti ketam menyuruh anak berjalan betul.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, punca ahli akademik jadi demikian kerana tingkah laku dan budaya politik Umno yang mengajar mereka.

Katanya, setengah tindakan ahli akademik macam tindakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Umno yang menyekat bantuan dan menyenaraikan hitam bantuan kerana menyokong Pakatan Rakyat.

"Budaya politik Umno yang diketuai oleh Datuk Seri Najib sudah mewarnai corak pemikiran ahli akademik di IPTA," ujarnya.

Tambahnya, tindakan Hal Ehwal Pelajar ketika pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bukti pemikiran primitif Umno yang bersarang di kalangan pentadbir, hatta bergelar profesor.

Menurutnya, ahli akademik yang mengampu kerajaan akan dinaikkan pangkat, walapun merit akademik tidak layak sementara ahli akademik yang kritis akan dipinggirkan dari kenaikan pangkat, walaupun kewibawaan mereka teruji.

Beliau berkata, sekarang Presiden Umno resah dengan budaya politik di kalangan ahli akademik terutama ketika setiap kali perlantikan Naib Canselor Universiti seperti budaya surat layang yang ada di dalam Umno menjalar ke universiti.

"PAS menasihatkan Datuk Seri Najib tidak perlulah mengeluh dengan budaya buruk di universiti semuanya hasil didikan Umno kepada anak didiknya," katanya.

Baginya, samalah juga Allah menimpa kepada Umno dengan wabak rasuah, kerana pemimpin Umno yang mengajar tingkah laku begitu sehingga menjadi barah tahap empat.

"Sekarang penyakit ini sukar untuk diubat, maka perkara yang sama juga akan berlaku di universiti.

"Yang mengajar budaya ini ialah pemimpin Umno ketika hendak melantik pimpinan universiti, maka sekarang sudah menjadi masalah kepada pemimpin Umno siapakah ahli akademi yang boleh dipilih untuk memegang jawatan tersebut, kerana semuanya hendak mengampu, kesannya tahap akademik terabai.

Fitnah: Adun Bukit Payung buat laporan polis

Posted: 14 Mar 2011 09:00 AM PDT

Khairul Azlam Mohamad

KUALA TERENGGANU, 14 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah membuat satu laporan polis terhadap akhbar Berita Harian hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat pada jam 3.00 petang tadi di Balai Polis Chendering, Kuala Terengganu kerana berunsur fitnah serta memalukan wakil rakyat berkenaan.

Katanya, pihak polis diminta segera bertindak membuat siasatan terhadap penulis serta akhbar terbabit agar tidak meneruskan laporan bersifat fitnah dan memalukan itu.

"Kami buat laporan polis ini supaya pihak polis segera buat siasatan terhadap akhbar yang terlibat agar jangan meneruskan lagi.

"Kita minta mereka (akhbar) segera menunaikan beberapa tanggungjawab terhadap kesilapan yang mereka buat dengan menjatuhkan imej saya selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dipilih oleh rakyat," tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Chendering dengan diiringi oleh beberapa orang ahli jawatankuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Bukit Payung.

Ini berikutan, laporan sebuah akhbar arus perdana itu yang melaporkan 'Pegawai Adun mengaku khalwat' serta dikaitkan dengan Adun Bukit Payung.

Mohd Nor turut melahirkan rasa kesal dan malu dengan fitnah yang dikaitkan isu khalwat dengan Pegawai Adun Bukit Payung.

"Saya buat laporan fitnah dan malu. Memalukan saya dan rakyat di Bukit Payung. Fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks, sedangkan saya tidak memiliki mana-mana pegawai.

"Ini (laporan) bukan hanya memalukan saya tetapi memalukan rakyat di Dun Bukit Payung, yang mereka memilih saya menjadi wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-12, lalu," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu menafikan mengenali individu terbabit berdasarkan laporan berita tersebut.

Katanya, dalam Dun Bukit Payung mempunyai lebih 19,000 pengundi yang terdiri dari kalangan rakyat Umno, PAS dan lain-lain.

"Saya tidak kenal individu itu berdasarkan laporan berita tersebut. Pengundi di Dun Bukit Payung seramai 19,000 orang yang terdiri dari rakyat Umno, PAS dan sebagainya.

"Nama Mohd Din Jusoh mungkin ramai yang terdapat di Dun Bukit Payung. Saya tidak pernah melantik dia (Mohd Din) sebagai pegawai Adun.

"Ini fitnah 'jahat' yang menyatakan saya melantik seorang pegawai yang terlibat dengan skandal seks sedangkan, saya tidak memiliki mana-mana pegawai," jelasnya.

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor telah menyerahkan kepada pihak peguam dari Dewan Pemuda PAS negeri bagi meneliti serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

Hadir sama mengiringinya, Ketua Penerangan Dun Bukit Payung, Mohd Nasir Ismail.

Slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' Dr Mahathir amat berjaya

Posted: 14 Mar 2011 08:30 AM PDT

Bagi seseorang pemimpin yang inginkan 'self-actualization' peribadinya, Dr Mahathir adalah pemimpin yang paling berjaya di dalam sejarah negara merdeka kita ini. Apa sahaja yang beliau mahukan berjaya di dapati dan dinikmati beliau. Saya menulis lagi tentang beliau kerana akhir-akhir ini nama beliau menjadi sebutan orang ramai selepas beliau menulis memoir beliau 'Doctor in the house' yang sekarang telah mencecah jualan melebihi 10,000 naskah.

Beliau mahir bagaimana hendak mendapatkan apa yang beliau mahu. Beliau memahami apa yang ada di dalam hati rakyat terutamanya orang Melayu dan lebih khusus lagi ialah orang Melayu di dalam UMNO. Dr Mahathir mahir mengambil kesempatan kepada kelemahan orang Melayu dan kefahaman beliau tentang sifat dan perangai orang Melayu.

Itulah sebabnya Dr Mahathir mengambil sifat mudah mengalah dan baik hati orang Melayu itu sebagai kelemahan yang boleh diperguna untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau faham orang Melayu mudah percaya dan memberikan keyakinan kepada beliau walaupun banyak dari apa yang dilakukan oleh beliau itu memudharatkan perjuangan orang Melayu sendiri.

Beliau tidak sehaluan dengan semua pihak termasuk UMNO sendiri. Apabila UMNO (asal) itu seperti pertubuhan yang lain yang mempunyai perlembagaan membenarkan pertandingan di dalam parti, beliau mengambilnya 'personal' dan apabila parti mencalunkan orang lain untuk mendapatkan pilihan beliau secara sistematik menjadikan parti itu mati di sisi undang-undang.

Beliau kemudiannya menuduh orang lain kerana matinya UMNO itu. Beliau menyalahkan perlembagaan yang membolehkan ahli memilih pimpinan. Sekarang wujud UMNO (baru) yang di tubuhkannya dan parti ini adalah satu-satunya parti di dalam dunia ini yang tidak membolehkan ahli membawa apa-apa kes untuk 'arbitration' ke mahkamah. Keputusan undang-undang hanya terletak di tangan pemimpin-pemimpin semata-mata. Undang-undang hanya mereka yang memimpin untuk menentukan.

Keputusan undang-undang hanya untuk kepentingan mereka yang sedang di rasuk kuasa. Yang penting kuasa jangan terlepas kepada pihak lain. Biar putih mata jangan sesekali berputih tulang. Alasannya tentulah untuk menjaga perpaduan UMNO walaupun tujuannya ialah untuk perpaduan di antara mereka segelintir pemimpin yang mabuk kuasa.

Saya selalu bercakap yang slogan 'kepimpinan melalui teladan' anjuran Dr Mahathir sangat berjaya. Teladan ini di ikuti sampai kehari ini oleh pimpinan-pimpinan yang menggantikan beliau. Malahan sudah pun menjadi budaya yang diterima pakai oleh kebanyakan yang memimpin kita. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli serta penyokong UMNO pada hari ini ramai yang telah meneladani kepimpinan Dr Mahathir dan ini lah satu-satunya slogan ciptaan Dr Mahathir yang paling berjaya dilaksanakan dan dipraktikan.

Projek pembangunan yang mega-mega hanya dianugerahkan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai orang-orang yang berpengaruh di belakangnya. Setengah syarikat-syarikat itu ada Raja-Raja di belakangnya. Setengah syarikat itu ada Menteri-Menteri si sebaliknya, malahan hanya syrikat-syarikat dan kumpulan yang berpengaruh sahaja yang mendapat segala peluang dalam pengagihan ekonomi negara kita.

Bagi sesebuah negara menjadi negara yang stabil politiknya, asas yang paling penting ialah negara yang mempunyai kelas menengah yang besar. Kelas menengah ini merupakan kumpulan yang berpengaruh untuk menentukan jatuh bangunnya politik sesebuah politik dan negara. Itulah sebabnya di zaman perlaksanaan DEB dahulu Malaysia telah melebarkan kelas menengah rakyat dan apa yang menggembirakan ialah pertambahan bilangan orang Melayu yang termasuk di dalam gulungan ini.

Itulah sebabnya usaha merapatkan perbezaan pendapatan di antara yang berada dan tidak berada menjadi teras utama di dalam usaha mencapai perpaduan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Kalau kita lihat contoh-contoh yang nyata, kita boleh melihat di negara-negara maju. Negara maju yang sangat 'familiar' bagi rakyat Malaysia ialah England, negara bekas penjajah Tanah Melayu itu dan elok kita lihat contoh yang terbaik untuk menyaksikan negara yang mempunyai kelas menengah yang besar.

Kesetabilan politik negara itu sudah sampai keperingkat optima kerana kebanyakan rakyatnya adalah tergulung kedalam kategori kelas menengah dan tidak banyak perbezaan dari segi pendapatan dan 'social disparity' yang besar. Kumpulan yang terkaya memperolehi kekayaan yang besar itu bukan dari keistimewaan dari kerajaan dan tidak kita mendengar PM Britain terlibat di dalam pembahagian projek-projek gergasi seperti yang berlaku di sini.

Gulungan yang terkaya hanya kecil bilangan jika dibandingkan dengan 55 juta rakyat negara itu. Begitu juga sebaliknya junlah yang miskin tidak begitu tinggi peratusannya seperti yang ada di sini.

Dr Mahathir lah yang memulakan budaya seorang PM mempengaruhi pembahagian projek-projek raksaksa kepada kawan-kawan dan kroni yang rapat sehinggakan sekarang ini kita mendengar ahli-ahli perniagaan yang bertanya serta tercari-cari siapa yang boleh membuka jalan untuk memajukan 'proposal' perniagaan terutamanya jika jumlah yang terlibat itu melibatkan berbillion ringgit.

Sesiapa yang mengenalkan dan membuka laluan kepada PM dan orang yang berkuasa yang lain sudah tidak bersusah payah untuk berniaga kerana komisyennya sangat besar. Jumlah kos komisyen itu sudah dimasukan ke dalam kos projek itu sebagai 'pelincir' untuk pemimpin-pemimpin yang membuat keputusan kepada siapa projek itu di anugerahkan.. Budaya ini sudah menjadi budaya yang sudah sebati dan sesiapa yang menegur tentang isu ini akan dianggap sebagai kesalahan.

Itulah sedikit sebanyak coretan yang membuktikan bahawa slogan 'kepimpinan melalui teladan' anjuran Dr Mahathir itu sangat berjaya sehingga ke hari ini. Budaya ini tidak akan dapat di hilangkan selagi UMNO masih dipimpin oleh jenis pemimpin didikan pemimpin besar dunia ketiga ini.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/03/slogan-kepimpinan-melalui-teladan.html

KEADILAN kunjungi kedutaan Jepun, ucap takziah

Posted: 14 Mar 2011 08:00 AM PDT

Pimpinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN dan kerajaan Selangor bersimpati atas kesengsaraan rakyat Jepun

KUALA LUMPUR: Pimpinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN mengunjungi Kedutaan Jepun di Malaysia bagi menyatakan kesedihan berhubung kejadian gempa bumi dan tsunami di negara itu.

Mereka ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua dan Datuk Pengerusi Majlis KEADILAN Negeri Sembilan, Kamarul Baharin Abbas.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne; Ahli Parlimen Selayang, William Leong; Ahli Parlimen Ketereh, Aziz Kadir dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ghani dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad. Beberapa Exco Selangor, Elizabeth Wong, Rodziah Ismail dan Ronnie Liu, turut berbuat demikian.

Mereka disambut Timbalan Chief-de-Mission kedutaan itu, Koichi Ito.

Khalid menyampaikan salam takziah Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang dan menyatakan mereka mendoakan kesejahteraan mangsa bencana alam dan menawarkan bantuan untuk merawat mangsa.

Ia berikutan Selangor mampu menghulur bantuan pemulihan menerusi pelajar kejuruwatan Kolej Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan tidak keberatan membiayai penghantaran mereka.

"Inilah bantuan sedikit yang kami boleh hulurkan. Kami mendoakan semua mangsa yang selamat agar cepat sembuh. Kami tahu dan yakin rakyat negara Jepun akan pulih dari malapetaka itu, dengan cepat," katanya.

Koichi menghargai keprihatinan Pakatan Rakyat termasuk KEADILAN dan rakyat Malaysia keseluruhannya yang mengambil berat dan simpati terhadap penderitaan mangsa bencana alam itu.

"Kami yakin mampu mengatasi bencana ini. Kerajaan Jepun sangat menghargai semangat perpaduan yang ditunjukkan Pakatan Rakyat, Kerajaan Selangor dan rakyat Malaysia," katanya.

Larangan jualan loteri, PR hantar delegasi ke Kelantan

Posted: 14 Mar 2011 07:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menghantar delegasi untuk menemui Menteri Besar Kelantan bagi mendapatkan gambaran tepat berhubung larangan penjualan loteri, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Anwar berkata, dua wakil dari setiap parti gabungan Pakatan Rakyat dijangka membuat kunjungan itu, selewat-lewatnya Khamis ini.

Meraka, katanya, ialah Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua; Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"Kita menegaskan keperluan untuk menyerahkan kebijakan membuat keputusan ini kepada pihak negeri. Kita akan jelaskan kepada rakan dalam Pakatan Rakyat tentang pendirian Islam yang tegas dalam isu judi," kata Anwar.

Beliau berkata, kuasa meluluskan judi di tangan kerajaan Persekutuan dan sebarang perubahan undang-undang sedia ada di negeri Pakatan memerlukan perbincangan di kalangan pimpinan.

"Kita ada kaedah dan mekanisme tertentu. Pimpinan Pakatan Rakyat harus berwaspada atas tindakan yang boleh mengeruhkan suasana dan salah tafsir," katanya.

Selain itu, Anwar berkata, satu pertermuan akan diadakan bersama kumpulan yang membantah penggunaan novel Interlok, Khamis ini.

"Pendapat kita, sebagai novel – sesebuah karya sastera tidak harus ada larangan, pengharaman ataupun pembakaran. Pakatan Rakyat mesti mengambil kira keprihatinan dan sensitiviti kaum di negara kita terhadap buku itu," katanya.

Beliau berkata, antara perkara yang disentuh dalam perbincangan itu termasuk aspek yang didakwa menyinggung dan menghina masyarakat India.

Keselamatan dan kebajikan rakyat Selangor di Jepun, terjamin

Posted: 14 Mar 2011 07:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kerajaan negeri tidak perlu membawa pulang pelajar dan rakyat Selangor dari Jepun buat masa ini kerana keselamatan dan kebajikan mereka terjamin sungguhpun negeri itu dilanda tsunami dan gempa bumi yang dashyat.

Pada masa sama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menawarkan bantuan perubatan termasuk khidmat kejururawatan untuk di kerah ke Jepun sekiranya diperlukan oleh negara itu.

Khalid berkata majoriti rakyat Selangor di Jepun berada di utara Jepun dalam keadaan selamat manakala malapetaka berkenaan melanda wilayah selatan.

"Saya tidak akan memanggil mereka semua untuk balik kerana merujuk kepada kedutaaan jepun dan website kerajaan Jepun tiada notis dikeluarkan ataupun keperluan mengenai rakyat perlu keluar dari Jepun, tiada pengumuman oleh itu janganlah kita tergesa-gesa membuat keputusan"

Khalid bagaimanapun menegaskan semua pihak termasuk kerajaan Selangor bagaimanapun berada dalam keadaan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan.

Tambah Khalid, pihaknya juga bersedia untuk menawarkan bantuan jika perlu kepada Tokyo.

Bantuan yang dimaksudkan merangkumi khidmat perubatan untuk mangsa-mangsa tsunami dan gempa bumi berkenaan.

"Kita doakan untuk keselamatan mereka pada setiap masa. Pada waktu yang sama lawatan ini memberi peluang kepada kami untuk menawarkan bantuan bagi mengurangkan kesan bencana ini," kata Khalid.

Khalid bagaimanapun yakin Jepun selaku kuasa ekonomi Asia yang unggul berkemampuan untuk menangani krisis berkenaan.

"Saya menganggap Jepun mempunyai kebolehan dan keupayaan yang sangat cukup untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi sebagai saudara kita juga sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan untuk memberi bantuan supaya kita dapat merasakan bersama kesedihan mahupun suka"

Tawaran bantuan kerajaan Selangor dihulurkan apabila Khalid mengetuai rombongan Pakatan Rakyat ke Kedutaan jepun di Kuala Lumpur untuk merakaman takziah atas malapetaka paling dashyat yang melancda Negara itu dalam lebih seratus tahun.

Rombongan ini disambut, Timbalan Ketua kedutaan tersebut, Koichi Ito.

Pada pertemuan itu, Menteri Besar menyatakan bahawa rakyat Selangor sentiasa mendoakan kesejahteraan mangsa-mangsa yang terselamat dalam bencana alam berkenaan.

Koichi berkata, beliau akan merujuk bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan Jepun dalam waktu terdekat untuk tindakan susulan.

Rombongan Menteri Besar turut disertai barisan EXCO kerajaan negeri, Ahli Parlimen Pakatan termasuk Kamarul Baharin Abbas, Tian Chua dan Nurul Izzah serta Dr Dzulkefly Ahmad.

Harussani tak patut hukum Nik Aziz tanpa penjelasan

Posted: 14 Mar 2011 06:30 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, Pemimpin-pemimpin PAS menyifatkan tindakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menjatuhkan hukuman terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran penyataan "undi PAS masuk syurga" tanpa mendapatkan penjelasan bertentangan dengan prinsip selaku tokoh agama.

Malah pemimpin-pemimpin PAS menggesa Harussani agar membuat penjelasan kepada Mursyidul Am PAS itu berhubung tulisan terbaru Mufti Perak itu dalam Mingguan Malaysia, 6 Mac lalu.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Harussani sepatutnya tidak boleh membuat sebarang keputusan selagi tidak mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak.

"Sebagai seorang mufti, Harussani tidak boleh mengeluarkan kenyataan dengan hanya berpandukan satu atau dua sumber sahaja dan sepatutnya beliau mendapat penjelasan sebenar dari Datuk Nik Aziz.

"Beliau tidak boleh keluarkan apa-apa kenyataan dengan hanya bersandarkan laporan media... jadi bila beliau sudah keluarkan kenyataan itu maknanya beliau kena jelaskan tuduhan itu kepada Datuk Nik Aziz," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Justeru, kata Tuan Ibrahim, Harussani perlu menjelaskan tuduhan itu kepada Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dan keengganan berbuat demikian adalah satu tindakan yang tidak wajar bagi seorang mufti.

"Beliau tidak boleh lari tapi kena jawab dan beri penjelasan kepada Datuk Nik Aziz... tindakan tidak mahu jawab adalah satu tindakan yang tidak betul sebagai seorang mufti.

"Harussani letakkan hukuman ke atas Datuk Nik Aziz pada kenyataan yang tidak benar, beliau kena jawab surat rasmi tersebut kerana Datuk Nik Aziz nak tahu bila dan di mana beliau kata demikian.

"Tak wajar Harussani menjatuhkan hukuman sedangkan Datuk Nik Aziz tidak diberi peluang untuk buat penjelasan, jalan terbaik adalah beliau balas surat rasmi Datuk Nik Aziz dan membuat penjelasan terhadap tuduhan itu," kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Tambah Tuan Ibrahim, satu pertemuan antara Nik Aziz dan Harussani perlu diatur bagi menyelesaikan percanggahan pendapat yang menyentuh isu-isu Islam.

"Saya cadangkan agar adakan pertemuan antara Datuk Nik Aziz dan Harussani, pertemuam mesti diatur bagi menyelesaikan segala percanggahan pendapat ini," katanya.

Cadangan sama turut dikemukakan Dewan Pemuda PAS Perak sebelum ini, yang mana bagi mereka sudah tiba masa kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Sebelum ini pejabat Menteri Besar Kelantan telah menghantar surat rasmi kepada Harussani memohon penjelasan ekorang penyataan "undi PAS masuk syurga" yang ditulis dalam Mingguan Malaysia.

Namun Harussani berpendirian untuk tidak membuat penjelasan kepada Nik Aziz kerana percaya Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.

Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.

Bagi Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad, tindakan Harussani enggan memberikan respons terhadap surat rasmi yang dihantar Nik Aziz itu membuktikan beliau tidak berani untuk membuat penjelasan itu.

"Selama ini Harussani cakap hanya sebelah pihak tapi kini Nik Aziz telah menghantar surat untuk mohon penjelasan mengenai tulisannya baru-baru ini.

"Jadi kenapa Harussani tak berani nak buat penjelasan? Patut beliau kena buat penjelasan kepada Nik Aziz tapi nampaknya beliau tak berani," katanya.

Beliau berkata tindakan Harussani menjatuhkan hukuman terhadap Nik Aziz tanpa mendapatkan penjelasan adalah tidak wajar.

"Sepatutnya mengikut adab kalau orang dah hantar surat, kenalah balas... jangan senyap je.

"Lagipun Harussani telah menjatuhkan hukuman tanpa mendapat penjelasan, mana boleh macam itu... patut beliau kena dengar dari kedua-dua belah pihak baru boleh jatuhkan hukuman," katanya.

Bagaimanapun seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar meminta agar Harussani "tutup mulut" sekiranya enggan memberikan penjelasan terhadap penyataan "undi PAS masuk syurga" yang mengaitkan Nik Aziz.

"Saya minta beliau tutup mulut kalau tidak sanggup untuk buat penjelasan kepada Datuk Nik Aziz.

"Jangan jadi macam mulut murai, bercakap ikut suka hati... kalau tak nak beri penjelasan tutup mulut," katanya.

Tambah Ahli Parlimen Pokok Sena itu, imej dan maruah Harussani akan terjejas sekiranya enggan membuat penjelasan kepada Nik Aziz.

"Kalau nak bercakap juga buat penjelasan terhadap tuduhan itu, kalau rasa tak sanggup lebih baik diam.

"Bila beliau tak nak beri penjelasan ia menjatuhkan maruah beliau sebagai Mufti Perak bukan imej Datuk Nik Aziz," katanya.

Najib, Rais dicabar serah DNA bukti tak terlibat bunuh Altantuya, rogol amah

Posted: 14 Mar 2011 06:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Rais Yatim untuk menyerahkan DNA masing-masing bagi membuktikan mereka tidak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya Shariibu dan dakwaan merogol amah.

"Di Malaysia, kalau Umno buat demonstrasi, maka dibenarkan. Tapi soalnya, kalau nak bangkit soal tuntutan DNA, kenapa mereka tidak minta DNA Najib dalam kes pembunuhan Altantuya?

"Kenapa tak minta DNA Datuk Rais dalam dakwaan tuduhan rogol pembantu rumahnya?" soal Anwar pada sidang media di Parlimen, ketika menjawab soalan mengenai tindakan ahli Umno yang berdemonstrasi menuntut Ketua Umum KEADILAN itu menyerahkan sampel DNA.

Isu Manifesto: MB Kedah terima cabaran Mukhriz

Posted: 14 Mar 2011 05:30 AM PDT

BUKIT KAYU HITAM, 14 Mac — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berhubung kejayaan melaksanakan manifesto pilihan raya umum yang lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN bulan depan.

Katanya beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 80 peratus manifesto yang telah dibuat PAS.

"Tak perlu nak senaraikan kepada mereka (wakil rakyat BN) kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan...Saya akan jawab kalau mereka tanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin di sini hari ini.

Azizan mengulas desakan pemimpin BN yang mahu beliau menyenaraikan dan mengemukakan bukti mengenai kejayaan menifesto pada PRU yang lalu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak perlu disenaraikan semula memandangkan kerajaan negeri sebelum ini telah menyenaraikan kejayaan itu dalam akhbar rasmi (Warta Darul Aman).

"Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegoklah sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri perlu mengemukakan bukti yang sahih kepada rakyat mengenai kejayaannya menyelesaikan serta melaksanakan 80 peratus janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Mukhriz berkata kenyataan yang dikeluarkan kerajaan PAS itu tidak berasaskan kepada fakta yang lengkap dan membuatkan rakyat keliru mengenai kejayaan yang telah dilaksanakan.

"Kita mahu kerajaan PAS mengambil peluang mengemukakan bukti yang benar dalam sidang Dewan Undangan Negeri April depan bagi menjelaskan secara terperinci kepada rakyat secara keseluruhan apa yang mereka maksudkan kejayaan 80 peratus itu.

"Ia tidak cukup dengan sekadar cakap-cakap sahaja kerana rakyat jauh lebih bijak," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Abdul Ghani berkata sehingga Julai tahun lepas, sebanyak 80.7 peratus daripada manifesto yang mempunyai 57 perkara yang disenaraikan dalam manifesto PRU12 berjaya mencapai matlamatnya.

Daripada 57 perkara tersebut, beliau berkata 46 daripadanya telah dilaksanakan dan 11 perkara lagi atau 19.3 peratus masih dalam peringkat kajian merangkumi bidang pentadbiran, pertanian, pembangunan Insan, hal ehwal Islam, hal ehwal wanita, sukan dan rekreasi serta pihak berkuasa tempatan.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat negeri ini tidak nampak sebarang perubahan selepas Kedah diambil alih oleh PAS sejak 2008.

Berita Harian diberi amaran keras: Rais Yatim

Posted: 14 Mar 2011 05:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata akhbar Berita Harian telah diberikan amaran keras berikutan penyiaran ilustrasi yang mempersenda tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun dalam akhbar Berita Minggu, semalam.

Beliau berkata memandangkan isu ilustrasi berkaitan soal kemanusiaan, akhbar berkenaan tidak dikenakan tindakan undang-undang.

"Ini adalah soal kemanusiaan dan kita tidak boleh mengenakan tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kita hanya memberi dalam bentuk amaran yang keras supaya tidak diulangi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi antara Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dengan kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan akhbar berkenaan supaya tidak menjadikan nahas atau bencana seperti tsunami yang melanda negara matahari terbit itu sebagai punca humor.

"Kami telah mengemukakan kepada Berita Harian supaya dalam nahas sebesar itu jangan ada apa-apa humor yang menyakitkan atau memilukan hati manusia, ianya perlu kita hadapi bersama.

"Jadi, sama ada Ultraman atau personaliti komik lain, kita tidak usah menjadikan ianya sebagai punca humor. Perkara ini sudah disampaikan kepada editor mereka dan mereka memohon maaf kepada masyarakat khususnya masyarakat di Jepun," katanya.

Semalam, Berita Minggu menyiarkan karikatur hasil lukisan Zoy yang memaparkan superhero popular Jepun – Ultraman – lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, pelbagai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan kesal dengan sikap akhbar berkenaan yang dikatakan tidak sensitif terhadap nasib kurang baik yang menimpa rakyat Jepun.

Dalam pada itu, akhbar Berita Harian dalam muka hadapannya hari ini telah menyiarkan artikel memohon maaf mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Rais berkata semua syarikat telco telah diminta supaya memainkan peranan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau penggera segera menyampaikan maklumat kepada pelanggan mereka sekiranya keadaan di negara ini tidak stabil.

"Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) suaya memastikan semua syarikat telco, apabila ada darurat, bukan saja tsunami tapi apa saja kesusahan yang dialami oleh rakyat, maka kemudahan SMS dan penggera syarikat itu beroperasi," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi selama 10 tahun antara MKLSB dengan kerajaan, bagi operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL termasuk tapak premis MKL terdiri daripada lima lot tanah persekutuan yang dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Menurut perjanjian itu, MKLSB bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan menara tersebut mengikut standard menara telekomunikasi dan penyiaran yang diluluskan, serta sebagai sebuah pusat pelancongan dan hospitaliti. – Bernama

Diari siasatan lengkap dibuat selepas setahun kematian Teoh

Posted: 14 Mar 2011 04:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu diari penyiasatan yang lengkap mengenai soal siasat bekas setiausaha politik exco Selangor itu dibuat selepas setahun kematiannya.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Putrajaya Arman Alies berkata diari pada Ogos 2010 itu merupakan hasil laporan kedua selepas laporan pertama pada Julai 2009, yang ditulis dalam komputer riba miliknya, hilang akibat diserang virus.

Arman juga memberitahu prosiding hari ini bahawa beliau tidak menyimpan "soft copy" laporan pertamanya itu.

"Laporan pertama yang saya buat telah diserahkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selepas keterangan saya diambil oleh polis pada 18 Julai 2009," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Arman turut memberitahu hasil laporan kedua itu dibuat berdasarkan ingatannya sahaja dan berpandukan kepada dua helai kertas A4 yang telah dibuat catatan olehnya semasa temu bual dengan Teoh pada 16 Julai 2009.

Ketika ditanya Peguam Edmund Bon, apa tujuannya membuat laporan kedua itu, Arman berkata: "Saya membuat laporan untuk tujuan simpanan saya."

Beliau turut bersetuju dengan Edmund bahawa perkataan "kekerasan tidak digunakan" ditambah dalam laporan kedua yang disediakan olehnya.

"Saya menambah perkataan itu untuk mengelakkan daripada tohmahan dan saya cerita benda yang benar," katanya.

Arman juga tidak bersetuju dengan Edmund bahawa beliau tidak menulis perkataan "kekerasan tidak digunakan" dalam laporan pertama kerana beliau tidak berperasaan serba salah mengenai apa yang berlaku di dalam bilik bersama Teoh.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen memutuskan supaya kesemua komputer termasuk komputer riba dan telefon bimbit milik Arman diambil dan diserahkan kepada penyiasat persendirian Michael Leslie Squires untuk disiasat.

"Kesemua komputer riba dan telefon bimbit milik pegawai lain yang terlibat akan diambil jika perlu untuk mengetahui kandungan dan butiran yang berkaitan," katanya.

Sebelum ini, peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam telah mencadangkan kepada suruhanjaya untuk mengambil semua dokumen termasuk komputer, telefon bimbit dan memo milik pegawai SPRM lain yang terlibat dalam penyiasatan Teoh.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu. – Bernama

Pemuda PAS dakwa Umno Perak cuba sabotaj Harussani: Nik Aziz temu

Posted: 14 Mar 2011 04:00 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 14 Mac – Dewan Pemuda PAS Perak menyifatkan Umno negeri itu "bimbang" dan cuba menghalang pertemuan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyelesesaikan "perang mulut" dalam hal berkaitan agama Islam antara dua tokoh itu.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan negeri Perak Datuk Hamdi Abu Bakar yang menyifatkan pertemuan tertutup antara Harussani dan Nik Aziz tidak sesuai selain merugikan umat Islam kerana ia dipolitikkan.

"Dewan Pemuda PAS Perak merasa kesal kerana masih ada umat Islam yang membezakan agama dalam politik dan ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

"Kami melihat Datuk Hamdi Abu Bakar tidak memahami Islam yang sebenarnya dan ia bertentangan dengan slogan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) tentang konsep Islam dan agama kerana kurangnya pemahaman dari kalangan pimpinan Umno sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baharu sebelum ini berkata pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz tidak perlu diadakan kerana perbezaan aliran kedua-dua tokoh itu.

Beliau berkata Harussani merupakan seorang ketua ulama manakala Nik Aziz seorang ahli politik yang berkemungkinan perdebatan di kalangan mereka boleh dipolitikkan.

Kata Raja Ahmad, pihaknya akan berusaha untuk memastikan pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz dapat diadakan bagi menyelesaikan segala perbalahan dan "perang mulut" antara mereka terutamanya yang berkaitan hal-hal agama Islam.

"Sepatutnya ia perlu dilihat sebagai satu objektif baik kerana usaha ini akan memberikan kekuatan umat Islam agar tidak bertelagah dengan hukum yang ada.

"Dewan Pemuda PAS Perak sekali lagi berharap dapat menemukan kedua-dua tokoh ini walaupun ada pihak tertentu yang tidak senang dengan usaha ini," katanya.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya berhasrat menemukan Harussani dan Nik Aziz berhubung "perang kenyataan" menyentuh isu-isu Islam baru-baru ini.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merealisasikan pertemuan tersebut.

Harussani dalam tulisannya dalam Mingguan Malaysia sebelum ini mengaitkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dengan penyataan "undi PAS masuk syurga."

Tulisan Harussani itu mengundang rasa kurang senang kepada Nik Aziz lalu menghantar surat rasmi kepada Mufti Perak itu untuk memohon penjelasan berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun Harussani menegaskan, beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Nik Aziz berhubung tulisan responsnya menyentuh isu "undi PAS masuk syurga."

Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.

Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.

Angka kematian mungkin lebih 10,000, kata polis

Posted: 14 Mar 2011 03:30 AM PDT

Angka kematian akibat gempa bumi sekuat 8.9 di Jepun boleh mengorbankan lebih 10,000 orang di daerah Miyagi yang paling teruk dilanda bencana itu, kata polis hari ini, ketika pegawai lain cuba memberi jaminan kepada orang ramai bahawa reaktor di dua loji nuklear yang rosak, tidak menimbulkan bahaya segera.

"Saya tiada ragu bahawa angka kematian akan mencecah lebih
10,000 di daerah ini," stesen NHK memetik ketua polis Takeuchi Naoto sebagai berkata.

Kira-kira 800 disahkan terkorban setakat ini di Miyagi dan kawasan lain di timur laut Jepun, yang dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Tiada hubungan langsung dengan kira-kira 10,000 penduduk bandar Minamisanriku.

Polis berkata sebelum ini lebih daripada 2,000 orang telah terbunuh atau tidak dapat dikesan di kawasan terbabit, lapor agensi berita
Kyodo News.

Satu pegawai perbandaran di bandar Futaba di Fukushima memberitahu Kyodo bahawa kira-kira 90 peratus rumah tiga komuniti pantai telah dihanyutkan oleh tsunami.

Kira-kira 390,000 meninggalkan rumah mereka, dan kebanyakannya berteduh di lebih 1,400 tempat perlindungan sementara bertempat sekolah dan pusat komuniti, lapor NHK.

Mohon sampel DNA Anwar bukti DPP dieksplotasi ahli politik – Karpal

Posted: 14 Mar 2011 03:00 AM PDT

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwa raya untuk mendapatkan sampel DNA Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan mereka dieksploitasi ahli politik tertentu, kata Karpal Singh.

Beliau yang mengetuai pasukan peguam bela Anwar percaya pendakwa raya kes Fitnah II mahu menutup kes itu, tetapi membatalkan hasrat akibat campur tangan politik.

"DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dieksploitasi ahli politik. Beliau (Yusof) mahu menutup kesnya selepas pegawai penyiasat memberi keterangan minggu lepas.

"Malah, beliau memberi isyarat kepada mahkamah untuk berbuat demikian minggu lalu," katanya di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Namun, beliau terkejut kerana pendakwa raya tiba-tiba berubah fikiran dan membuat dua permohonan di mahkamah, hari ini.

Pendakwa raya hari ini memohon Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah mengkaji semula keputusan menolak bukti DNA yang diperoleh polis secara tipu muslihat ketika Anwar ditahan.

Mereka juga memohon mahkamah supaya mengarahkan Anwar memberi sampel darah bagi pemprofailan DNA dan proses penghujahan kedua-dua berlangsung hari ini.

"Sangat jelas, ada seseorang meminta beliau (Yusof) berbuat demikian," kata Karpal lagi.

Mengulas tindakan Perkasa, Gaps dan Suara Anak-anak Mamak Malaysia yang berdemontrasi meminta Anwar menyerahkan DNA, Karpal mengingatkan mereka supaya tidak campur tangan dalam proses perbicaraan.

"Perkara ini sangat serius. Ia boleh jadi penghinaan kepada mahkamah. Hakim sudah memberi amaran agar pihak luar tidak masuk campur sehinggalah hakim membuat keputusan berdasarkan bukti-bukti yang ada.

"Saya tidak teragak-agak membawa pihak berkenaan ke mahkamah dan sumbat mereka ke penjara," kata Karpal.

Beliau juga menganggap keputusan Anwar untuk tidak menyerahkan sampel DNA sebagai tepat bagi mengelak kemungkinan terdedah kepada eksploitasi seperti dalam kes Fitnah I.

"Pada 1998, terdapat salah guna sampel DNA yang diambil. Anwar membuat keputusan sangat tepat untuk tidak memberikan sampel darahnya," katanya.

Pada kes Fitnah I, hakim ketika itu menolak bukti DNA yang dikemukakan pendakwa selepas pegawai polis yang menyiasat kes itu, ASP Rodwan didapati meletakkan DNA Anwar pada tilam yang dikemukakan sebagai bukti di mahkamah.

Perbicaraan itu, akhirnya berlangsung berdasarkan surat-surat tuduhan yang ditulis saksi pendakwa serta keterangan lisan semata-mata. Antaranya surat Ummi Hafilda Ali.

Karpal berkata, undang-undang yang sedia ada tidak membenarkan tertuduh untuk menyerahkan DNA dan jika mereka dipaksa berbuat demikian, tertuduh boleh mengambil tindakan saman boleh dibuat terhadap pendakwa atau polis.

"Undang-undang dalam negara ini jelas. Anda tidak boleh memaksa seseorang itu menyerahkan DNA mereka. Undang-undang menyatakan jika kita dipaksa memberikan sampel darah, kita boleh menyaman individu yang memaksa kita berbuat demikian," katanya.

Liow: Kerajaan pastikan makanan diimport dari Jepun selamat

Posted: 14 Mar 2011 02:44 AM PDT

PUTRAJAYA, 14 Mac – Kementerian Kesihatan akan memastikan makanan yang dimport dari Jepun selamat digunakan dan tidak terdedah kepada kesan radiasi akibat kebocoran di loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi ekoran gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Malaysia mengimport 48,456 tan metrik barangan makanan dari Jepun setiap tahun, antaranya ikan, buah-buahan, makanan bijirin dan minuman serta barangan makanan dalam tin.

"Kementerian mengikuti rapi perkembangan kesan kebocoran radiasi di Negara itu dan mengambil langkah berjaga-jaga supaya tidak ada makanan yang terdedah kepada radiasi akibat kebocoran di loji janakuasa di bawa masuk ke negara ini," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet kementerian itu di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kes jangkitan Andenovirus di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), Liow berkata sehingga pukul 5 petang semalam seramai 35 orang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Jumlah pelatih yang menjalani pengasingan ialah 673 orang dengan 573 orang tidak menunjukkan simptom demam dan hanya menunggu masa untuk dikeluarkan dar pengasingan," katanya.

Setakat ini, penularan Adenovirus itu menyebabkan seorang pelatih di pusat latihan berkenaan, Mohd Azizan Aziz, 21, meninggal dunia 8 Mac lepas.

Menenai Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA semalam yang meluluskan usul menangguhkan pemilihan parti, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata keputusan sebulat suara itu jelas menunjukkan kematangan perwakilan dari seluruh negara bagi merealisasikan agenda parti.

EGM semalam adalah untuk menangguhkan pemilihan parti bagi membolehkan parti itu memberi tumpuan kepada persedian menghadapi pilihan raya umum akan datang. – Bernama

Pakatan Rakyat lancar kempen ‘DNA Najib-Altantuya’

Posted: 14 Mar 2011 02:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menggerakkan kempen yang dinamai 'DNA Najib-Altantuya' sebagai reaksi terhadap tohmahan pimpinan dan media kawalan Umno Barisan Nasional (BN) terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu sampel DNA.

"KEADILAN akan menggerakkan kempen bertema 'DNA Najib-Altantuya'. Kita merancang untuk memulakan kempen itu mulai minggu hadapan," kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail, hari ini

Bercakap pada sidang media di Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata, kempen itu berbentuk pengedaran risalah dan ceramah penerangan di seluruh negara.

"Kita kini sedang menyediakan dokumen berkaitan," katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, demonstrasi yang diadakan ahli Umno BN menuntut Anwar menyerahkan sampel DNA sebagai suatu tindakan politik yang pincang.

"Sudah jelas bahawa kes ini adalah kes politik. Ia sengaja diwujudkan untuk memberi kesan kepada pengundi pada pilihan raya akan datang," katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua.

9,575 kes rogol bawah umur direkod sejak 2005

Posted: 14 Mar 2011 02:11 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Sebanyak 9,575 kes rogol di bawah umur direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata statistic yang direkodkan PDRM itu menunjukkan jumlah kes yang melibatkan mangsa bawah umur adalah lebih tinggi bagi tempoh 2000 hingga 2010 berbanding kes yang melibatkan mangsa bukan bawah umur.

"Bagaimanapun, polis tidak mempunyai rekod mengenai jumlah kes rogol di bawah umur bagi tempoh 2000 hingga 2004," katanya menjawab soalan Tan Sri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) di sini hari ini.

Dr Fong ingin tahu jumlah kes rogol di bawah umur yang berlaku sejak tahun 2000 dan tindakan yang diambil kementerian bagi menangani gejala itu.

Abu Seman Yusop berkata kementerian sentiasa memandang serius dan komited dalam membendung penayah rogol lebih-lebih lagi bagi kes yang melibatkan golongan di bawah umur.

Katanya, antara langkah yang diambil PDRM ialah memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan akan merujuk mangsa kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika memerlukan perlindungan.

"Selain itu, polis akan meneruskan siasatan untuk mendapatkan bukti terhadap suspek dan bagi kes yang dituduh di mahkamah dan jika suspek disabitkan kesalahan, pihak peguam negara akan memohon kepada mahkamah supaya hukuman lebih berat dikenakan," katanya. — Bernama

MP Klang: Putrajaya perlu belajar pengalaman Jepun, gugur idea nuklear

Posted: 14 Mar 2011 12:30 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Wakil rakyat DAP hari ini menggesa kerajaan agar menggugurkan rancangan untuk membina loji tenaga nuklear dengan mengambil kira nasib yang dialami Jepun selepas dilanda gempa bumi terburuk dan tsunami Jumaat lalu.

Loji-loji tenaga nuklear di timur laut Jepun berhadapan dengan masalah kegagalan reaktor berfungsi dan letupan juga disaksikan kelmarin dan hari ini.

Lebih 180,000 dipindahkan dari kawasan lingkungan loji melibatkan 20 kilometer manakala sekitar 160 orang terdedah kepada radiasi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata,

Malaysia harus menggunakan kebijaksanaan untuk mengelak daripada menggunakan loji tenaga nuklear, sebaliknya menggunakan sumber tenaga lain yang lebih bersih dan selamat.

"Oleh itu, saya menggesa Menteri Peter Chin agar membatalkan kesemua idea mahu menerokai tenaga nuklear," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Nazri: Gelaran wanita pertama rujuk isteri PM

Posted: 14 Mar 2011 12:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Panggilan Wanita Pertama dalam konteks Malaysia merujuk kepada isteri Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, panggilan itu adalah satu gelaran tidak rasmi yang tidak berasaskan kepada sebarang peruntukan perundangan tetapi berasaskan kepada amalan dan kelaziman yang biasa.

"Ini adalah amalan lama dalam politik antarabangsa. Sebagai contoh di United Kingdom, Ratu Elizabeth bukan dianggap Wanita Pertama kerana beliau digelar sebagai Ratu.

Wanita Pertama ialah isteri kepada Ketua Eksekutif iaitu isteri Perdana Menteri. Begitulah juga seperti yang berlaku di negara Jepun," katanya.

Justeru, tidak perlu timbul sebarang kekeliruan dari segi penggunaan gelaran tersebut, katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang bertanya mengenai takrifan Wanita Pertama Malaysia, sama ada merujuk kepada isteri Perdana Menteri atau Raja Permaisuri Agong.

Mengenai peruntukan kewangan untuk membiayai kegiatan Wanita Pertama pada 2011, Mohamed Nazri berkata tiada peruntukan kewangan khusus untuk membiayai kegiatan isteri Perdana Menteri.

Menjawab soalan tambahan Johari, Mohamed Nazri turut menegaskan bahawa tidak wujud unit khas untuk Wanita Pertama di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya penggunaan panggilan Wanita Pertama juga tidak bercanggah dengan peruntukan 32 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Raja Permaisuri Agong sebagai yang utama. — Bernama

Kronologi Fitnah II: Demo minta DNA hina mahkamah – Karpal

Posted: 13 Mar 2011 11:30 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini akan mendengar dua permohonan pendakwa raya – semakan semula keputusan bicara dalam perbicaraan dan permohonan untuk mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sampel profail DNA.

Permohonan itu akan dibuat Peguam Cara Negara II, Mohd Yusof Zainal Abiden mengikut Seksyen 73 dan 165 Akta Bukti 1950.

Jumaat lalu, peguam bela membantah permintaan pendakwa raya dan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah yang kemudian menetapkan hari ini untuk mendengar hujah kedua-dua pihak.

Selasa lalu, Zabidin menolak tiga bukti yang diperoleh secara tipu – botol air mineral 'Cactus', tuala muka 'Good Morning', dan berus gigi – untuk dikemukakan sebagai bukti kerana ia diambil secara tipu helah sewaktu Anwar ditahan secara tidak sah.

Pendakwa raya akan memulakan hujah mereka diikuti hujah balas daripada Karpal Singh.

Berikut adalah laporan langsung dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur:

8.45 am – Galeri awam masih banyak ruang kosong.

8.51 am – DSP Jude Pereira kelihatan berdiri berhampiran pintu bilik saksi dan melihat-lihat galeri awam.

8.56 am – Anwar tiba di mahkamah bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

9.19am: Mahkamah mula bersidang.

9.24am: Karpal Singh mahu mahkamah membuat keputusan terlebih dahulu terhadap individu yang mengadakan demontrasi mendesak Anwar menyerahkan DNA-nya kepada mahkamah kerana perbuatan itu adalah satu penghinaan kepada mahkamah.

"Ia merupakan satu intimidasi terhadap Yang Arif untuk memerintahkan Anwar membekalkan DNA beliau," kata Karpal.

Karpal juga mahu mahkamah mengambil tindakan terhadap permohonan penuh pendakwa yang dibocorkan di laman Malaysia-Today dan turut dilaporkan dalam akhbar News Straits Times hari ini.

9.29 am – Zabidin memanggil Karpal dan Yusof berbincang di bilik beliau. Mahkamah ditangguh sebentar.

9.47 am: Mahkamah bersidang semula. Hakim Zabidin mengingatkan kedua-dua pihak agar tidak melakukan sebarang perkara yang boleh merencatkan perjalanan perbicaraan yang sedang berlangsung.

10.13 am: Peguam Anwar, Marissa Regina Fernando tiba di mahkamah. Dalam pembentangannya, Yusuf berkata tanpa mengambil kira sama ada penahanan Anwar sah atau tidak, penahanan beliau dilakukan berdasarkan waran tangkap.

"Sama ada beliau dibawa (ke lokap) secara sah atau tidak, tangkapan dibuat berdasarkan waran tangkap. Anwar dilokap lanjutan daripada penahanan beliau," tambah Yusof lagi.

10.30am: Karpal mencelah pembentangan Yusof dan menyatakan beliau meleret dalam pembentangannya dan perkara yang dibentangkan juga sudah disentuh sebelum ini.

10.43am: Semua kerusi di galeri awam mahkamah penuh. Sebahagian hadirin kelihatan mengantuk begitu juga dengan Hakim Zabidin.

10.52am: Mahkamah ditangguhkan seketika.

11.28am: Mahkamah bersambung. Yusof membentangkan hujah bagi permohonan kedua iaitu mendapatkan sampel profail DNA Anwar.

12.07am: "Kami meminta mahkamah mempertimbang permohonan ini untuk membenarkan kami mengarahkan tertuduh memberikan sampel DNAnya," kata Yusof.

12.09am: Karpal berkata permohonan sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini dan beliau meminta masa sehingga esok untuk menyediakan hujah balas. Yusof tiada bantahan dan mahkamah dan Hakim Zabidin menangguhkan mahkamah.

Mahkamah akan bersidang semula jam 9 pagi esok.

Loji tenaga nuklear Fukushima letup lagi, cetus kebimbangan baru

Posted: 13 Mar 2011 10:54 PM PDT

TOKYO, 14 Mac — Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi menyaksikan letupan baru hari ini — yang kedua dalam tiga hari — mencetuskan kebimbangan baru di kalangan rakyat Jepun yang masih belum keluar daripada kesan tragedi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Bagaimanapun agensi keselamatan nuklear Jepun tidak dapat mengesahkan sama ada letupan hidrogen di reaktor Unit 3 loji itu menyebabkan kebocoran radiasi.

Loji itu ada tiga reaktor.

Laporan Reuters menyebut, agensi berita Kyodo melaporkan sebanyak 2,000 mayat ditemui di dua kawasan pantai di Miyagi.

Angka kematian dijangka akan terus meningkat selepas pihak berkuasa mengesahkan 1,597 orang terbunuh dan 1,481 orang masih hilang di kawasan-kawasan sebelah timur laut dan timur yang dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Sebanyak 1,000 mayat ditemui dibawa ombak ke pantai-pantai di Semenanjung Ojika yang teruk dilanda gempa bumi dan 1,000 lagi dikesan di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tempatan tidak dapat berhubung dengan 10,000 orang atau separuh daripada penduduk kawasan itu.

Angka kematian rasmi tidak termasuk 200 hingga 300 mayat yang ditemui di Sendai, ibu kota Miyagi, yang belum boleh diakses oleh polis atau pekerja-pekerja lain.

Kira-kira 450,000 orang telah dipindahkan dari kawasan Miyagi dan lima kawasan setakat semalam.

Telur direbus guna air kencing

Posted: 13 Mar 2011 09:00 PM PDT

RATUSAN telur direbus dengan menggunakan air kencing di wilayah Zhejiang, China dengan menggunakan resipi berusia ribuan tahun lalu.

BEIJING - Sebuah kedai di wilayah Zhejiang, timur China menjual telur yang direbus dengan air kencing budak sekolah dan ia merupakan resipi tradisonal berusia ribuan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Chef makanan tradisonal, Lu Ming berkata, dia mahu mempromosikan semula makanan tradisional itu sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Air kencing tersebut dikumpul daripada pelajar sekolah lelaki yang berumur 10 tahun, mereka kencing di dalam sebuah tong dan kami mengambil air itu pada setiap hari.

"Telur-telur itu akan direbus dalam air kencing tersebut dengan kulitnya," katanya.

Menurutnya, telur tersebut berasa sedap dan berkhasiat untuk menyembuhkan demam selain meningkatkan konsentrasi serta menghilang rasa mengantuk. - Agensi

Pemenang ratu cantik perlu lapah ular

Posted: 13 Mar 2011 08:00 PM PDT

DALLAS, Amerika Syarikat (AS) - Pemenang Ratu Cantik Ular di Sweetwater, Texas perlu melapah ular spesies orok-orok selain diberikan tiara kemenangan, lapor sebuah akhbar semalam.

Pemenang ratu cantik itu, Laney Wallace yang memenangi gelaran tersebut pada minggu lalu hanya menggunakan parang untuk memutuskan kepala dan melapah kulit ular tersebut dengan menggunakan gunting.

"Saya terlalu teruja untuk memutuskan dan melapah kulit ular," katanya.

Daging ular itu digoreng untuk dijadikan makanan ringan, manakala kulit haiwan itu digunakan untuk membuat but dan dompet manakala racunnya pula untuk dibuat kajian.

Pemenang kedua pula diminta mencelup tangannya dengan darah ular tersebut dan membuat kesan tapak tangannya yang berdarah di dinding. - Agensi

Pemberontak semakin lemah lawan Gaddafi

Posted: 13 Mar 2011 07:00 PM PDT

BENGHAZI, Libya - Para pemberontak dilihat meninggalkan bandar minyak Brega semalam selepas tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi melancarkan serangan.

"Para pemberontak sudah meninggalkan Brega," kata seorang saksi, Osama Jazwi menerusi telefon kepada wartawan agensi berita Reuters.

Seorang lagi penduduk, Abdul Hakim memberitahu bahawa para pemberontak sudah meninggalkan bandar berkenaan.

Sebelum ini laporan berita Libyan TV menyatakan tentera Gaddafi sudah merampas semula bandar Brega daripada penguasaan para pemberontak.

Pergolakan di negara itu bermula pada 15 Februari lalu apabila para penunjuk perasaan bertempur dengan askar-askar Gaddafi.

Pertempuran itu berlaku bagi menuntut peletakan jawatan Gaddafi yang sudah berkuasa selama hampir 41 tahun di Libya.

Pergolakan itu tercetus ekoran kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir yang menyebabkan kedua-dua pemimpin di negara tersebut terpaksa meletakkan jawatan.

Kumpulan para penentang dilihat semakin lemah terutama apabila berlaku pengunduran terbesar pada minggu lalu di kawasan timur negara tersebut yang dikuasai mereka.

Kelmarin, Liga Arab meminta Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan larangan terbang di Libya, meningkatkan tekanan terhadap Amerika Syarikat (AS) dan kuasa-kuasa besar Barat lain untuk mengambil tindakan terhadap Gaddafi ekoran pergolakan tersebut yang dipercayai mengorbakan lebih 1,000 orang.

Kesemua 22 anggota Liga Arab mengakui Libya telah kehilangan kedaulatan dan meminta PBB memikul tanggunjawab dengan melaksanakan zon larangan terbang di negara berkenaan. - Agensi

Mangsa tsunami hanyut tiga hari diselamatkan

Posted: 13 Mar 2011 06:00 PM PDT

http://kosmo.com.my/kosmo/pix/2011/0314/Kosmo/Dunia/du_02.1.jpg


HIROMITSU SHINKAWA yang duduk di atas serpihan atap di laut dihampiri dengan bot tentera laut Jepun dekat bandar Fukushima, timur laut Jepun semalam.

TOKYO – Seorang lelaki tua, Hiromitsu Shinkawa hanyut di laut sejak tsunami melanda Fukushima di timur laut Jepun akibat gempa bumi kuat yang berlaku pada Jumaat lalu.

Dia hanya diselamatkan semalam selepas sebuah bot tentera laut Jepun dapat mengesan lelaki yang berumur 60 tahun itu yang sedang melambai-lambai menggunakan kain berwarna merah.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun, Yoshiyuki Kotake berkata, ketika itu, Shinkawa hanya 15 kilometer dari persisiran pantai, Minamisoma.

Kotake berkata, Shinkawa memberitahu kepada anggota penyelamat, tsunami menghanyutkan dia dan isterinya yang pulang ke rumah untuk mengambil barang-barang keperluan selepas gempa bumi Jumaat lalu.

Menurutnya, isterinya hanyut dibawa arus.

Sebelum ini, dia melambai-lambaikan tangannya ke arah beberapa buah helikopter dan kapal bagi mendapatkan perhatian supaya dia diselamatkan.

"Beberapa buah helikopter dan kapal telah melalui dekat dengannya tetapi kelibatnya tidak dapat dikesan, kata seorang lagi jurucakap Kementerian Pertahanan.

Tentera Jepun telah menggunakan sebuah bot yang kecil bagi membantu menyelamatkan Shinkawa yang dihanyutkan di laut.

Agensi berita Kyodo melaporkan, pihak tentera menyifatkan Shinkawa bernasib baik kerana cuaca yang baik dan tenang membantu dia terapung di laut.

"Saya menyangka hari ini (semalam) akan menjadi hari terakhir dalam hidup saya," kata Shinkawa. – Agensi

Tiada ulasan: