Ahad, 13 Mac 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Peta Jepun Berubah, Kedudukan Pulau Honshu Berganjak 2.4 Meter

Posted: 13 Mar 2011 12:40 AM PST

Tokyo: Gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun kelmarin, bukan hanya meragut sekurang-kurangnya 1,700 nyawa, manakala 10,000 lagi dikhuatiri hilang, malah meninggalkan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di salah satu reaktornya selain impak fizikal yang menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.

Anggaran kerugian AS$15 bilion (RM52.5 bilion). Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter kelmarin yang juga kelima terkuat di dunia itu menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer – impak yang menurut saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi Sumatera, sebelum ini.

Jepun mengerahkan lebih 50,000 askar, manakala anggota mencari dan penyelamat melakukan tugas mencari mangsa selepas gempa yang berpusat di pantai Pulau Honshu yang juga kawasan berpenduduk paling padat di Jepun dengan kemusnahan sekurang-kurangnya 3,600 rumah, dilaporkan.

Bagaimanapun, lebih 30 jam selepas kejadian itu, Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata anggota penyelamat masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Seramai 215,000 penduduk di kawasan timur lautnya yang terjejas teruk itu, berlindung di penempatan sementara ketika sekurang-kurangnya 5.6 juta penduduk pula terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Semua talian telefon terputus ketika ramai penduduknya yang terselamat, beratur panjang mendapatkan bantuan.

Sebanyak 400 mayat ditemui di bandar Rikuzentakata, wilayah Iwate yang dilaporkan musnah dan tenggelam sepenuhnya, manakala di bandar Sendai, sekurang-kurangnya 300 mayat turut ditemui.

Agensi berita Kyodo melaporkan, sebuah kapal yang membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, dihanyutkan tsunami dan nasib mereka belum diketahui hingga sekarang.

Ketika harapan menemui lebih ramai mangsa masih hidup kian tipis, Jepun dikejutkan dengan kejadian kebocoran radioaktif di salah reaktor nuklearnya di Fukushima, utara Tokyo akibat letupan di bumbung loji terbabit berikutan gempa bumi kuat.

Perkembangan itu meningkatkan ancaman radiasi jika reaktor itu terbakar dan memaksa kerajaan memindahkan penduduk yang tinggal di lingkungan 20 kilometer dari reaktor Daichi 1 berusia 40 tahun itu.

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu dibuat ketika rakaman televisyen memaparkan imej kepulan wap panas dari loji itu yang memaksa syarikat pengendalinya, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berusaha mengurangkan tekanan dalam teras reaktor berkenaan.

Sementara itu, kesan tsunami turut dirasai di beberapa negara sekitar kawasan Pasifik dan Amerika Syarikat, dengan berjuta-juta penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi selepas menerima amaran tsunami.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Cresent City California. – AP/AFP/Reuters

Pegawai Wakil Rakyat Dicekup Khalwat Dalam Kereta

Posted: 12 Mar 2011 11:00 PM PST

Marang – Sepasang kekasih ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dalam sebuah kereta di satu kawasan sunyi dan gelap di Kampung Alur Tuman, Pulau Kerengga, dekat sini, kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin. Gambar fail.

Paling mengejutkan apabila lelaki itu yang merupakan pegawai kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Parlimen Marang, Terengganu.

Malah dia juga sudah berkahwin dan sepatutnya berada bersama keluarga lebih-lebih lagi pada malam Jumaat.

Lelaki itu mengaku hanya bekerja sebagai buruh ketika keterangannya diambil pihak berkuasa manakala wanita warga Indonesia itu pula tidak mempunyai suami dan bekerja pembantu rumah di Kuala Terengganu.

Berdasarkan maklumat, anggota polis peronda yang melalui kawasan itu membuat pemeriksaan di lokasi kejadian kira-kira jam 1.30 pagi sebelum menahan seorang lelaki berusia 52 tahun bersama pasangannya berumur 34 tahun dalam kereta terbabit.

Pasangan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan dibebaskan dengan jaminan sebelum dihadapkan ke Makahmah Rendah Syariah Marang, petang kelmarin.

Bagaimanapun, perbicaraan secara tertutup diadakan kerana ia berlaku pada hari cuti umum iaitu Jumaat.

Difahamkan Hakim Syarie, Shamsudin Ngah terpaksa menangguhkan perbicaraan untuk rayuan dan keputusan dibuat pada hari bekerja.

Kedua-dua tertuduh terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) Terengganu 2011 yang boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Persuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan mengenai perkara itu bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenainya.

Namun ketika diajukan soalan mengapa perbicaraan itu diadakan secara tertutup, beliau berkata, ia hanya prosedur biasa bagi membolehkan pihaknya menahan individu terbabit dalam masa lebih panjang.

Sehubungan itu, ADUN terbabit ketika dihubungi bagi mengesahkan status lelaki terbabit memberitahu, beliau belum dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan. -SH

Ulasan GB

DUN-DUN di dalam parlimen Marang adalah:

Alur Limbat (BN)
Bukit Payung (PAS)
Ru Rendang (PAS)
Pengkalan Berangan (BN)



Sistem Pendinginan Reaktor Ke 2 & Ke 3 Gagal

Posted: 12 Mar 2011 10:52 PM PST

AAncaman baru, sistem pendinginan reaktor ke-2 gagal

Beribu-ribu orang meninggalkan kawasan loji nuklear Jepun yang dilanda gempa bumi kelmarin, selepas berlaku kebocoran dan pihak berkuasa berdepan dengan ancaman baru hari ini ekoran kegagalan sistem pendinginan dalam reaktor kedua.

Seorang kanak-kanak yang tinggal tak jauh dari reaktor nuklear sedang diperiksa dari kemungkinan terkena kesan radiasi, menyusul meletupnya sebuah bangunan di reaktor nuklear di Sendai.

Ketika para pekerja menyimbahkan reaktor terbabit dengan air laut untuk mengelakkan berlaku malapetaka, sebuah lagi reaktor di loji
tersebut berdepan dengan masalah.

Operator loji Tepco berkata, pihaknya sedang bersedia untuk melepaskan stim bagi melegakan tekanan dalam reaktor No 3 di loji yang terletak 240km di utara Tokyo itu - yang akan mengeluarkan jumlah kecil radiasi - ekoran letupan dan kebocoran semalam dari reaktor No. 1.

Pada 11 pagi (10 pagi waktu Malaysia) syarikat berkenaan telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa tahap radiasi telah mengatasi had selamat di di kawasan tersebut dan menyifatkannya sebagai "keadaan kecemasan". Tepco bagaimanapun berkata ini tidak bermakna satu ancaman kepada kesihatan manusia.

Pasukan bertungkus lumus untuk menghalang cecair pendingin daripada meruap dan mendedahkan rod bahan api kepada udara, yang boleh mencetuskan kebocoran besar radiasi. Sistem pendingin gagal selepas generator penyokong elektrik rosak dilanda tsunami.

BERITA TERKINI:

Reaktor Ke 3 Juga Gagal

Sebuah reaktor nuklear kedua sedang mengalami masalah serius menyusul gempa yang merusakkan loji eletkrik nombor 1 di Fukushima di Jepun utara, yang mengalami letupan besar pada hari Sabtu.

Operator loji, Tokyo Electric Power (Tepco), menyatakan tekanan meningkat di dalam reaktor No 3 setelah kehilangan sistem pendingin daruratnya. Masalah serupa telah menyebabkan ledakan di reaktor No 1. Para teknisyen sedang berjuang mengatasinya.

Namun laman BBC mengatakan, reaktor kedua adalah jenis yang berbeza dengan reaktor yang meletup pada Sabtu. Reaktor ini menggunakan MOX (plutonium ditambah uranium) yang apabila meledak maka kesannya akan menimbulkan masalah yang lebih parah.

Dikutip oleh Kyodo, sumber Tepco mengatakan puncak batang bahan bakar MOX adalah 3 meter di atas air. Sementara itu, Tepco mengatakan sekurang-kurangnya 15 orang di sebuah hpospital terdekat yang ditemukan telah terkena kesan radioaktif.

Kerajaan Jepun sejauh ini telah menetapkan dua kali lipat ukuran zon pengosongan sekitar Fukushima 1 sampai 20km (12,4 mil) setelah letupan. Kerajaan telah mendesak penduduk setempat untuk tetap tenang dan sedang mempersiapkan untuk membahagiakan yodium kepada siapa pun terkena radio aktif.

Badan pengawas nuklear PBB, Badan Energi Atom Internasional (IAEA), mengatakan dalam sebuah pernyataan, dalam radius 20 km sekitar Fukushima [Nomor 1] Daiichi, yang dianggarkan 170 ribu orang telah dipindahkan.

"Dalam radius 10 kilometer di sekitar Fukushima [Nomor 2] Daini dianggarkan sekitar 30 ribu orang telah dipindahkan dan tindakan pemindahaan setakat ini belum selesai."

Loji Elektrik Tenaga Nuklear adalah penting bagi Jepun. Negara ini sangat bergantung untuk keperluan tenaganya pada Loji Elektrik Tenaga Nuklear, sementara di sisi lain, keadaan alam mereka sangat terdedah terhadap gempa bumi.

Malaysia Terdedah Ancaman Gempa Dari Negara Jiran

Posted: 12 Mar 2011 09:51 PM PST


Kuala Lumpur: Malaysia tetap terdedah kepada gegaran kuat dan ancaman tsunami jika gempa bumi berskala melebihi tujuh pada skala Richter melanda negara jiran, kata Pengarah Bahagian Geofizik dan Tsunami, Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Rosaidi Che Abas.

Katanya, keadaan itu bergantung kepada tahap kekuatan gegaran itu seperti berlaku di Padang, Indonesia tahun lalu hingga menyebabkan kawasan pantai barat Semenanjung turut merasai gegarannya.

"Bagaimanapun, pada umumnya Malaysia masih selamat daripada mengalami gempa bumi berukuran besar kerana negara berada di luar Lingkaran Api Pasifik.

"Namun, Malaysia tidak terlepas daripada ancaman tsunami kerana negara ini dikelilingi laut seperti yang pernah berlaku selepas gempa bumi berskala 9.3 pada skala Richter melanda Acheh pada 26 Disember 2004," katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Bagaimanapun, Mohd Rosaidi berkata, tsunami yang terhasil selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter di pantai Honshu, timur laut Tokyo kelmarin boleh melanda sekitar pantai Sabah.

"Kita masih memantau perkembangan itu dan mengeluarkan amaran meminta penduduk sekitar pesisir pantai Sabah dan Labuan berjaga-jaga kerana dikhuatiri tsunami mungkin sampai ke sana," katanya.

Sementara itu, penyelidik gempa bumi Prof Dr Azlan Adnan, berkata berdasarkan kajiannya walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, negara ini terdedah kepada ancaman gempa yang berlaku di negara jiran.

Azlan yang juga pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, tsunami yang berpunca daripada gempa bumi di Jepun kelmarin tidak mustahil boleh melanda kawasan pantai utara Sabah dan pantai timur Semenanjung.

"Tsunami yang terhasil selepas gempa bumi itu boleh memberi kesan sehingga beratus kilometer jauhnya dari pusat gempa berdasarkan kekuatan gempa bumi itu," katanya. -BH

Rumah Didiami Pelajar Malaysia Di Jepun Terbelah Umpama Kek

Posted: 12 Mar 2011 08:15 PM PST

Kuala Lumpur: "Beberapa rumah didiami pelajar Malaysia, terutama di Iwate dan Miyagi, retak teruk, malah ada antaranya terbelah umpama kek remuk akibat gempa yang melanda Jepun kelmarin.

"Suasana rumah macam kapal selepas perang dan ia boleh dilihat melalui gambar yang dimuatkan dalam blog atau laman sosial mereka (pelajar)," kata Razuan Md Radzi, pelajar tahun empat Universiti Iwate, Jepun.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia.

"Selepas gempa, saya mendapatkan perlindungan di kedutaan kita di sini, malah ketika bersama rakan lain, bangunan kedutaan turut bergoyang teruk dan bumbung runtuh.

"Kami kemudian berlari keluar dan berkumpul di tempat letak kereta sebelum keadaan kembali pulih," katanya.

Gempa berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan bumi Samurai itu selain mengundang tsunami yang disifatkan terburuk dalam tempoh 300 tahun.

Kejadian berlaku tepat jam 2.46 petang waktu tempatan (1.46 waktu Malaysia) selama dua minit dan setakat ini mengorbankan hampir 1,000 nyawa manakala ribuan yang lain masih hilang.

Bagi Yusuf Abd Karim, 28, yang bekerja di sebuah syarikat di Tochigi, kira-kira 300 kilometer dari pusat gempa, kesan gegaran boleh dirasai kawasan penginapannya.

"Sehingga malam tadi (kelmarin) kediaman kami masih bergoyang, tetapi syukur tiada kejadian tidak diingini menimpa kami di sini," katanya.

Sementara itu, Panglima Operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenen Jeneral Datuk Ackbal Abdul Saman ketika dihubungi berkata, pihaknya menunggu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Wisma Putra untuk menghantar pasukan bantuan ke Jepun.

"TUDM bersiap-sedia menghantar bantuan ke negara berkenaan dan jika menerima arahan, pasukan saya akan terus bergerak ke sana.

"Kita tidak tahu jenis bantuan yang akan disalurkan kerana belum berada di sana, namun saya yakin pasukan yang akan dihantar mampu membantu rakyat kita di sana selain meringankan beban yang mereka tanggung," katanya.

Serahan Keranda Yang Gagal

Posted: 12 Mar 2011 07:15 PM PST

Pulau Pinang - Timbalan Yang Dipertua Persatuan Peniaga-peniaga Komtar Mohamed Ghani Abd Jiman semalam cuba menghantar hadiah berupa sebuah keranda kepada ADUN Komtar, Ng Wei Aik.

Bagaimanapun, cubaan Ghani untuk menghantar keranda itu ke rumah Ng di Happy Valley berdekatan Paya Terubong, gagal.

Lori yang dipandunya dan dinaiki beberapa rakannya, dari Penang Road ke Happy Valley, telah dihalang oleh polis selepas dibantah penduduk.

"Saya membuat protes ini kerana Ng merancang untuk mengeluarkan saya dari Komtar sebaik kerja-kerja pengubahsuaian siap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tunjuk perasaan secara aman yang disertai beberapa anggota dari 11 badan bukan kerajaan di Georgetown, hari ini.

"Kami tidak mahu pemimpin yang suka bertindak kasar di Pulau Pinang dan akan terus menunjukkan penentangan sehingga dia meletak jawatan," katanya merujuk tindakan kasar Ng terhadap seorang pemilik restoran nasi kandar awal tahun ini.

Sebelum itu, sekumpulan lebih daripada 200 orang yang mendakwa anggota NGO Melayu Islam mengadakan tunjuk perasaan di Komtar berhubung isu tanah Melayu dan usaha meminggirkan orang Melayu di negeri ini.

Pengerusi kumpulan itu Anuar Khan Ali Azqar Khan berkata mereka akan menyerahkan satu memorandum kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara, di Georgetown.

"Kami tidak mahu orang Melayu di negeri ini terus merana disebabkan sikap kerajaan negeri yang gagal mengurus masalah orang Melayu dengan baik," katanya. - Bernama

Jodoh Tetap Ada Sekalipun Cacat Penglihatan

Posted: 12 Mar 2011 06:15 PM PST

Kuala Lumpur - Biarpun tidak dapat melihat, ia tidak menghalang bagi pasangan mualaf untuk mendirikan rumah tangga seperti insan normal lain.

Muhammad Adam Lee Abdullah, 39, selamat diijab kabul bersama Nurul Khairani Choi Abdullah, 37, dengan mas kahwin RM80 di surau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.

Adam yang telah memeluk agama Islam 17 tahun lalu menceritakan detik pertama perkenalannya bersama Nurul.

"Saya mula mengenali Nurul selepas salah seorang rakan saya memberikan nombor telefon Nurul kepada saya. Pada mulanya kami hanya berkenalan atas dasar saudara sesama Islam.

"Hari ini (semalam) genap dua tahun tempoh perkenalan kami serta Nurul memeluk agama Islam," katanya selepas majlis akad nikah semalam.

Ceritanya lagi, sepanjang perkenalannya, mereka selalu bertukar-tukar pendapat serta bercerita mengenai agama Islam.

Adam juga mempunyai kelebihan dalam menterjemah buku atau apa-apa penulisan ke dalam bentuk braille dengan menggunakan komputer.

Nurul yang berwalikan hakim semalam memberitahu, keluarga tidak pernah menghalang dirinya untuk memeluk agama Islam dan berkahwin sekali lagi.

"Saya pernah berkahwin lapan tahun lalu tetapi sudah bercerai. Adam sanggup menerima diri saya seadanya dan juga anak-anak saya yang berumur 10 dan 12 tahun.

"Adam telah menganggap anak-anak saya seperti anak kandungnya sendiri. Dia banyak mengajar saya dalam mendalami agama Islam," jelasnya.

Mereka yang baru membina tiang masjid itu mempunyai perancangan tersendiri dalam merangka perjalanan hidup selepas bergelar suami isteri.

Tambahnya, ramai pihak yang telah terlibat dalam membantu perkahwinan mereka dengan menaja pakaian pengantin, alat solek serta hiasan. -kosmo

PM Jepun Arah Operasi Menyelamat Besar-besaran

Posted: 12 Mar 2011 05:15 PM PST

Tokyo - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan (gambar) semalam mengarahkan operasi menyelamat besar-besaran melibatkan lebih 50,000 anggota tentera selepas gempa bumi kuat dan ombak besar tsunami mengorbankan lebih 1,000 orang di timur laut Jepun.

Beliau memberitahu, sekitar 200 pesawat tentera dan 25 buah kapal akan dihantar ke timur laut Jepun, bahagian yang paling teruk terjejas dalam malapetaka itu.

"Saya mengarahkan operasi besar-besaran kerana menyedari betapa dahsyat kemusnahan yang dicetuskan oleh tsunami kali ini," kata Kan selepas meninjau kawasan-kawasan yang musnah dengan menaiki helikopter.

"Sebahagian besar rumah di pesisir pantai musnah sama ada dihanyutkan ombak tsunami atau hangus dalam kebakaran," tambahnya.

Angka kematian rasmi bencana tersebut setakat ini kekal melebihi 574 orang dengan 1,115 lagi masih hilang manakala 1,128 yang lain cedera.

Namun, pihak berkuasa percaya, beribu-ribu orang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan atau lemas dihanyutkan tsunami.

Polis Jepun menyatakan, antara 200 hingga 300 mayat telah ditemui di Sendai, bandar paling hampir dengan pusat gempa terletak di timur laut Jepun.

Menurut pihak berkuasa, lebih 220,000 orang kini tinggal di lebih 1,350 penempatan sementara di lima negeri di timur laut Jepun dengan lebih 1 juta kediaman terputus bekalan elektrik dan air.

Namun, pihak berkuasa berkata, banyak lagi mayat dipercayai tertimbus dalam timbunan runtuhan.

Setakat semalam, pekerja-pekerja penyelamat belum tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas akibat malapetaka tersebut.

Bahagian timur laut Jepun mengalami kemusnahan paling dahsyat dengan beberapa bandar diratakan selepas gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter itu menggegarkan Jepun kelmarin dan mencetuskan gelombang tsunami setinggi 10 meter yang melanda daratan.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa mula menghantar pasukan bantuan semalam bagi membantu mangsa-mangsa bencana di Jepun.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu lewat kelmarin mengumumkan empat pasukan penyelamat dari Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sedang dalam perjalanan ke negara matahari terbit itu. - Agensi

UMNO Nampakkan Seolah-olah Islam Itu Zalim - Chua Jui Meng

Posted: 12 Mar 2011 04:15 PM PST

PAS tunjukkan Kesederhanaan Islam - Chua Jui Meng

Umno menggambarkan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai ekstrim dan menakutkan, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Menurut Chua, pengalamannya sebelum ini bersama Umno, beliau tidak pernah diberi kefahaman yang mudah mengenai Islam malah melalui Umno masyarakat bukan Islam hanya memahami Islam itu dengan potong tangan dan bersunat.

"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya ketika menyampaikan pidato di Dewan Millenium, Kepala Batas semalam.

Bagaimanapiun kata Chua, setelah bergaul dengan PAS beliau mendapati Islam itu merupakan agama yang sederhana melalui pendekatan yang dibawa oleh PAS.

"Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim yang menakutkan kami. PAS yang saya didampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.

"Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.

Kata Chua, Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama yang ekstrim seperti digambarkan selama ini sebaliknya satu agama yang turut mengutamakan kebajikan kepada orang-orang bukan Islam.

Chua yang juga merupakan Naib Presiden PKR turut menyifatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai contoh pemimpin Islam yang sederhana.

Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat bukan supaya tidak terperangkap dengan dakyah sempit yang mendakwa PAS itu pelampau dan mengamalkan politik sempit. -HD

Si Gangster Yang Menangis Mendengar Bacaan Al-Quran

Posted: 12 Mar 2011 02:48 PM PST

Berlin - Sewaktu berpindah ke bahagian barat Jerman, di masa runtuhnya tembok Berlin, Sayed Mann, kala itu 12 tahun, adalah budak yang tengah bingung mencari identiti diri. Keluarganya berasal dari Jerman Timur.

Tumbuh besar di lingkungan sosialis, agama tidak pernah ada dalam kamus keluarga dan hidupnya. Ia cenderung tersenyum sinis saat melihat orang-orang pemeluk keyakinan tertentu, termasuk Muslim.

Di Jerman Barat ia melihat situasi yang berbeza. Imigran lebih banyak dijumpai dan ia pun berkawan dengan beberapa orang asing.

"Saya tidak terbiasa dengan kehidupan baru ketika itu," aku Sayed. "Kami tiap hari hidup seperti sampah. Idola kami adalah orang-orang kulit hitam Amerika yang tinggal di pemukiman yang terpencil," tuturnya.

Mengidolakan mereka, lelaki yang dulunya bernama Sved Mann itu pun juga mencontoh perilaku para imigran itu. "Saya melakukan banyak hal buruk termasuk mencuri dan sebagainya," kenang Sayed.

Hingga akhirnya ia bertemu dengan seorang imigran berasal dari Turki yang menjadi kawan akrabnya. Si kawan itulah yang kemudian mengenalkan Sayed pada Islam dan berhasil mengajaknya memeluk agama tersebut.

Kawan Sayed memiliki abang lelaki seorang imam masjid tempatan. Ketika si adik memberi thau niatnya untuk mengajak Sayed berkunjung ke masjid, sang imam mengaku pesimis.

"Saya bilang, 'Dia? Tidak Mungkin'. Tapi adik saya sudah bertekad bulat. Bahkan ia mengatakan Sayed akan memeluk Islam sepulangnya saya dari bepergian," tuturnya.

Tiga bulan kemudian, ketika si imam pulang kembali ia tiba-tiba disambut oleh Sayed dengan sapaan Assalamu'alaikum. "Wow saya terkejut. Ini benar-benar luar biasa," ujarnya. "Saya bahkan sempat bertanya (pada Sayed) 'Apa yang terjadi padamu?'".

Rupanya si imam memahami selama ini Sayed selalu mencari, namun ia tak pernah-pernah meluangkan waktu dan cenderung mengabaikan untuk pertimbangan yang bersungguh-sungguh.

"Ia mengatakan selalu percaya dengan kewujudan Tuhan, saya kira itulah yang menuntun dia," kata si imam. "Saya melihat ia bahagia setelah menemukan Islam.

Kini si imam bahkan menjadi guru mengaji Sayed. Dengan disiplin ia belajar bahasa Arab supaya dapat membaca Al Qur'an.

Tapi Sayeed tak ingin disebut pindah agama. "Tak pernah ada istilah berubah agama dalam Islam," ujarnya. "Dalam Al Qur'an disebutkan tak ada paksaan dalam beragama," imbuh Sayed lagi.

Lalu? "Saya lebih suka menganggapkan sebagai 'seseorang telah mengenalkan saya pada Islam dan saya menuju agama itu," kata Sayed.

Ketika ditanya oleh Cengiz Culture, sebuah projek bebas pembuatan filem dokumentari tentang agama dan budaya di Jerman, mengapa ia memilih Islam, dengan mantap Sayed menjawab, "Kerana pada akhirnya semuanya adalah, Islam," ujarnya menekankan pada makna kata tersebut yakni berserah diri.

Ia telah mengucapkan ikrar dengan syahadat sepuluh tahun lalu. Sejak saat itu ia rajin membaca untuk mengetahui dan mengenal lebih dalam apa makna Islam, termasuk bagi dirinya.

Islam bagi Sayed adalah menyerahkan keinginan diri di bawah kehendak Tuhan. Mengapa ia mahu melakukan? "Kerana dengan itu nanti saya dapat bertemu dengan Pencipta saya, saya dapat menjumpai syurga. Saya berhak untuk itu dan saya kira itulah Islam menurut saya saat ini," papar Sayed ketika ditanya esensi Islam.

Sejak sepuluh tahun pula, Sayed melakukan solat lima kali dalam sehari. "Ketika anda solat anda "ditiadakan" dan istirahat dari dunia dan seluruh isinya. Anda membersihkn dan menghadap Pencipta," ujarnya.

Ia mengaku tak ada strategi khusus untuk melakukan solat lima kali dalam sehari di Jerman. "Setiap orang pasti bisa menemukan tempat untuk berwudhu, membasuh diri dan melakukan solat," ujarnya tanpa beban.

Sayed mengaku menemukan keyakinannya setelah diskusi panjang dengan si kawan tadi dalam satu malam. "Setelah itu saya langsung menyatakan ingin pergi ke masjid bersamanya," ungkap Sayeed.

Ketika itu subuh dan seorang anak kecil tengah melantunkan ayat-ayat suci Al Qur'an. Tiba-tiba Sayed pun menangis. "Saya tidak tahu mengapa. Saya tidak faham bahasa Arab, saya tidak tahu apa yang ia baca, tidak tahu apa pun," kenangnya.

"Tapi hati saya jelas telah memahami sesuatu. Itu benar-benar pengalaman luar biasa," tutur Sayed. "Saya yang hidup di jalan ala gangster tiba-tiba boleh menangis dan tidak tahu mengapa."

Kini selain ketenangan dan keteraturan hidup Sayed juga menemukan hal berharga lain dalam Islam. "Ketika anda menjadi seorang Muslim, anda kehilangan teman tetapi anda mendapatkan saudara," ujarnya. Dengan segera anda menjadi anggota sebuah keluarga. Ini sesuatu yang tidak bisa saya peroleh dalam gereja-gereja di Jerman."

SAMM Bantah Bank Negara Benarkan Syarikat Insurans Kenakan Premium Tambahan

Posted: 12 Mar 2011 07:35 AM PST

Petaling Jaya: Tindakan Bank Negara Malaysia memberi kebebasan kepada syarikat-syarikat insurans mengenakan kadar premium tambahan sehingga 150 peratus dari caruman premium biasa pengguna adalah tidak adil. Gambar hiasan

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Mohammad Yaser Sheikh Abd Rahman berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, dari tinjauan SAMM mendapati, akibat 'kebenaran' bank pusat itu, syarikat insurans bebas meletakkan kadar premium yang berbeza sehingga 150 peratus.

Sebagai contoh katanya, seorang pengguna yang membayar premium insurans pihak ketiga pada kadar RM72 setahun sebenarnya perlu membayar sehingga RM180 setahun akibat beban tambahan tersebut.

"Itu bagi kereta lama berusia 15 tahun yang berkapasiti rendah seperti di bawah 1,000 cc. Bagi 1,500 cc ke atas pula ia mencecah sehingga RM337.50 setahun," katanya.

Beliau berkata, tinjauan juga mendapati, pemilik kenderaan berusia 15 tahun ke atas pula berhadapan masalah lain apabila syarikat insurans tidak membenarkan mereka mengambil premium insurans pihak ketiga.

"Pemilik berkenaan perlu merujuk kepada 'Malaysian Motor Insurance Pool' (MMIP) bagi mendapatkan perlindungan insurans," terangnya.

Mohammad Yaser berkata, selain kadar berbeza yang ditetapkan MMIP, kenderaan yang berusia lebih 15 tahun itu juga perlu diperiksa oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom Sdn. Bhd.) dan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM60.

"Itu belum lagi menyentuh mengenai cadangan mewajibkan motosikal terpakai dihantar ke Puspakom sebelum dijual atau ditukar hak milik menerima reaksi bercampur daripada persatuan dan badan bukan kerajaan," jelasnya.

Dalam satu kenyataan yang pernah dikeluarkan pada 12 Januari lepas Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Wee Hong menyuarakan bantahan kerana berpendapat cadangan itu menyebabkan peningkatan kos yang mungkin terpaksa ditanggung pengguna.

Pemilik motosikal tanggung kos penghantaran?

"Kita tidak setuju. Kalau diteruskan berapa yuran yang akan dikenakan? Siapa mahu bayar kos (motosikal) yang dihantar ini? Biasanya pengguna (pemilik) yang kena tanggung semua ini (bayaran penghantaran)," katanya dalam kenyataan beliau yang pernah dipetik Bernama.

Menurut Wee, lazimnya kos penghantaran sebuah motosikal ke pusat berkenaan adalah antara RM100 hingga RM200.

Mohammad Yaser berkata, "justeru itu SAMM mendesak, adalah lebih bijak jika pihak berkuasa mewajibkan penjual terlebih dulu membuat pemeriksaan dan mendapat kelulusan bagi setiap motosikal terpakai yang hendak dijual semula.

"Langkah ini akan membantu memberi keselesaan kepada pembeli yang sesetengahnya adalah warga emas atau tidak tahu menguruskan proses mengisi borang dan peraturan lain yang berkaitan.

"Oleh itu, jika kerajaan mahu menguatkuasakan pemeriksaan berjadual ke atas motosikal terpakai, semua aspek itu mesti dikaji dengan teliti supaya tidak membebankan pemilik," katanya.

Ombak Pantai Batu Buruk Semakin Tinggi, Polis Berkawal

Posted: 12 Mar 2011 06:35 AM PST

Polis Terengganu menggerakkan anggotanya mengawal kawasan pantai terutama di lokasi sering dikunjungi orang ramai berikutan gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Gambar: POLIS trafik berkawal dan memberi amaran kepada orang ramai supaya menjauhi kawasan sekitar Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kerana dikhuatiri tsunami yang melanda Jepun merebak ke pantai tersebut. Foto: Rozainah Zakaria

Tinjauan Berita Harian di Pantai Batu Buruk di sini, mendapati polis mengarahkan orang ramai tidak menghampiri pantai malah peniaga dinasihat menutup premis masing-masing.

Ombak di Pantai Batu Buruk lebih tinggi dengan permukaan laut di beberapa bahagian bertukar kekuningan akibat bercampur pasir.

Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa, berkata pihaknya meningkatkan pemantauan terhadap seluruh pantai sebaik menerima arahan Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Idris Ahmad, berkata beliau terkejut apabila polis membuat pengumuman meminta orang ramai menjauhi pantai. -BH

Bini Najib Banyak Wujudkan Masalah

Posted: 12 Mar 2011 05:29 AM PST

Masalah yang dicetuskan oleh First Lady oleh Rashidi Hassan

BERDASARKAN jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamad Nazri Aziz di Parlimen 9 Mac lepas, suatu division baru yang dinamakan FLOM memang wujud pada asalnya.

Ia dipaparkan dalam laman web www.pmo.gov.my (Prime Minister Office), tetapi ia kemudiannya ditarik balik kerana dipertikaikan wakil Pakatan Rakyat.

Nazri dalam jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke, menafikan kewujudan FLOM, tetapi mengakui paparan mengenainya ditarik balik kerana beliau mendakwa 'pembangkang keliru'.

Tetapi Nazri tidak sedar, kekeliruan itu sebenarnya dicetuskan oleh kerajaan sendiri. Jika tidak mahu 'pembangkang' atau rakyat keliru, mengapa paparan mengenai FLOM, dibina menggunakan alamat website rasmi kerajaan Malaysia yang menggunakan singkatan gov.my di internet?

Nazri juga memperakui bahawa Datin Seri Rosmah Mansor dan rombongannya membelanjakan wang rakyat sebanyak RM134,317.76 wang negara (wang rakyat) untuk lawatan ke Arab Saudi, Oman dan Bangladesh.

Rosmah melakukan lawatan dari 6-10 Januari ke Riyadh, 16-18 Januari ke Muscat dan 20 Januari 2011 ke Dhaka.

Ahli rombongan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri adalah terdiri daripada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta isteri Menteri-Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri serta beberapa pegawai kerajaan yang terliba, kata Nazri.

Ada beberapa persoalan besar yang harus ditimbulkan di sini. Jawapan Nazri ini adalah jawapan rasmi kerajaan, selepas beberapa bulan isu berkaitan isteri PM dibangkitkan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan dan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri diam membisu.

Membangkitkan isu Rosmah bukan isu peribadi. Mempersoalkan kewajaran peranan Rosmah, juga bukan bertujuan menyentuh hal-hal peribadi PM Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri.

Dalam pertemuan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan karyawan Harakah di Pejabat Agung PAS 3 Mac lepas, beliau mengingatkan para wartawan agar tidak menyerang peribadi Rosmah.

Menyerang peribadi yang dimaksudkan beliau ialah, sebagai pengerak Harakah Islamiyah, kita tidak harus melabel Rosmah dengan gelaran yang menghina peribadi beliau.

Antara yang disebarkan dalam emel, facebook, blog dan sebagainya, ada pelayar internet menggelarkan beliau sebagai 'bik mama' (big mama), ada yang kata 'the fat lady'. Semua gelaran ini tidak wajar dan tidak menepati kehendak Islam.

Namun masalah timbul, apabila Rosmah menggelarkan dirinya First Lady of Malaysia (Wanita Pertama Malaysia), atau singkatannya FLOM (FLOM).

Sebelum ini, isu berkaitan Rosmah menjadi serius apabila kerajaan tidak menjawab tentang kewujudan jabatan baru yang dinamakan sebagai FLOM di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya.

Khabarnya dalam perancangan sebelum ini, FLOM ditempatkan pada aras yang sama dengan pejabat PM. Mempunyai pegawai yang tersendiri. Kewujudan FLOM disahkan melalui paparan dalam laman web rasmi JPM. Bagaimanapun, paparan tersebut dibuang selepas didedahkan media.

Namun hanya paparan yang dibuang. Lain-lain persoalan mengenai kewujudan FLOM, dana mana yang digunakan untuk membiayai perjalanan Rosmah ke luar negara, siapa yang membayar gaji pegawai-pegawai FLOM, semuanya didiamkan kerajaan.

Namun daripada jawapan Nazri di Parlimen, jelas menunjukkan Rosmah menggunakan wang kerajaan untuk memenuhi undangan negara terbabit. Yang lebih teruk sekali ialah apabila Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga menjadi anggota delegasi. Bila Menteri jadi anggota delegasi, maka sudah tentu Rosmah menjadi ketua rombongan.

Persoalannya, atas kapasiti apa seseorang yang tidak menjawat jawatan rasmi dalam kerajaan, boleh menjadi ketua rombongan, jika ianya majlis rasmi yang dibayar sepenuhnya oleh kerajaan.

Persoalan lain yang harus dibangkitkan, jika undangan tersebut khusus untuk Rosmah berucap atau menghadiri seminar, mengapa harus dibawa anggota rombongan yang besar? Mengapa harus diangkut seluruh isteri Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri dan pegawai-pegawai kerajaan?

Atas kapasiti apa kerajaan meluluskan peruntukan sebesar ini?

Mengenai FLOM, gelaran First Lady memang biasa digunakan, bagi merujuk kepada isteri Ketua Negara, sama ada dalam sistem beraja mahupun dalam sistem negara republik.

Namun, diterima juga gelaran First Lady bagi negara-negara yang mengamalkan sistem demokrasi seperti di Malaysia.

Apa pun, ramai di kalangan rakyat yang mempertikaikan hasrat Rosmah menjadi FLOM kerana dalam sistem perundangan negara, Malaysia mempunyai Yang di-Pertuan Agong, manakala Raja Permaisuri Agong seharusnya menjadi First Lady.

Dalam konteks kuasa eksekutif berpusat kepada PM, mungkin Rosmah mahu First Lady dirujukkan kepada beliau.

Bagaimanapun, lima PM Malaysia sebelum ini, dari Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hingga Tun Abdullah Ahmad Badawi, isteri mereka tidak pernah menggelarkan diri sebagai First Lady.

Justeru, apa yang dilakukan Rosmah adalah menyalahi precedent atau menyalahi amalan biasa yang diamalkan oleh isteri lima PM sebelum ini.

Tidak dinafikan wanita yang menjadi isteri kepada PM ada peranan tertentu yang harus dimainkan, untuk mendukung kerjaya suaminya.

Tetapi peranannya membantu suami (PM) harus dikhususkan. Isteri PM, isteri Menteri, isteri MB dan KM sama sekali tidak harus terbabit dalam business dealing, tender dan sebagainya.

Rosmah sudah pergi lebih jauh daripada lima isteri PM sebelumnya. Beliau pergi berkempen ke PRK Kerdau dengan menaiki helikopter. Masuk ke Felda dan berkempen untuk BN.

Harus dipersoalkan helikopter yang digunakan beliau milik siapa? Jika kos penerbangan tersebut dibiayai oleh ahli politik atau ahli perniagaan pro Umno-BN itu kita tidak persoalkan. Kita cuma mahu memastikan wang rakyat tidak disalahgunakan.

Masalah yang ditimbulkan oleh Rosmah bukan sahaja tidak disenangi Pakatan Rakyat, malah orang-orang Umno sendiri pun tidak menyenanginya.

Harus diingat, semasa PM, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkuasa dahulu, bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahannya sebagai 'kerajaan tiga beranak'.

Hari ini bloggers Umno sendiri yang melabel pemerintahan Najib sebagai 'kerajaan suami isteri'.

Kita tidak mahu menuduh lebih daripada itu, tetapi yang harus diperhatikan ialah kecenderungan kerajaan untuk membenarkan pihak tertentu terlalu berkuasa sehingga semua peraturan tatacara kerajaan dilanggar. Malah wang rakyat dibelanja sewenang-wenang untuk keperluan First Lady juga tidak wajar.

Kita mencabar kerajaan, jika apa yang dilakukan Rosmah tidak menyalahi peraturan, sila kemukakan bukti, butiran perbelanjaan beliau yang telus. Sila buktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

Jika bukti-bukti ini tidak dikemukakan, hanya dijawab dengan mengatakan 'itu fitnah pembangkang', maka jangan sesekali dipersoalkan jika wujud persepsi buruk terhadap isteri PM.

Jika persepsi buruk ini tidak diatasi, apakah bezanya Rosmah dengan Leila Tablisi, Suzanne Mubarak dan Imelda Marcos?

Jangan-jangan FLOM bakal jadi flop!

[Video] Loji Tenaga Nuklear Fukushima Dah Meletup! - updated

Posted: 12 Mar 2011 03:43 AM PST

Tokyo: Letupan didengar dan asap kelihatn di loji tenaga nuklear No. 1 Fukushima hari ini, lapor agensi berita Jiji memetik polis tempatan.

Awal hari ini, kerajaan Jepun memberi amaran elemen cairan di reaktor nuklear yang rosak ekoran gempa bumi dan tsunami semalam.

Ia sekaligus menimbulkan kebimbangan reaktor itu akan musnah dan menyebabkan bahan radioaktif tersebar.

Kebakaran tersebut berlaku kira-kira jam 3.30 waktu tempatan.

Bagaimanapun menurut Tokyo Power Electric Co yang menguruskan Loji Fukushima Dai-ichi di Sendai menyatakan tidak pasti letupan di loji berkenaan yang menyebabkan satu dindingnya runtuh, mengandungi reaktor nuklear.

Bagaimanapun mereka mengesahkan empat pekerja tercedera akibat kejadian itu.

Paparan TV Jepun menunjukkan salah satu dinding bangunan terbakar hangus dengan hanya meninggalkan rangka besinya.

Jurucakap kerajaan, Yukio Edano menyatakan semua penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari loji berkenaan patut dipindahkan.

Walaupun berdepan dengan kemusnahan, wakil Suruhanjaya Keselamatan Nuklear Jepun Ryohei Shiomi berkata ia tidak akan merebak dari lingkungan 10 km dan kebanyakan 51 ribu penduduk di sekitar telahpun dipindahkan.

Pasukan keselamatan Jepun termasuk lebih 50 ribu tentera dikerah membantu bagi memastikan kemalangan dan kebakaran dapat diatasi serta menyelamatkan mangsa akibat bencana alam paling teruk dalam tempoh 140 tahun ini.

Kadar rasmi kematian setakat jam 5 petang waktu tempatan ialah 413 dengan 784 disahkan hilang dan 1,128 tercedera.

Bagaimanapun media tempatan melaporkan lebih dari 1,300 terbunuh.

200 hingga 300 mayat dijumpai di pantai Sendai, bandar paling hampir dengan pusat gempa bumi semalam.

Lebih 215 ribu rakyat kini berlindung di 1,350 pusat pemindahan di lima wilayah berbeza.

Impak sebenar masih tidak dapat dikenal pasti.

Kemusnahan teruk dilaporkan di wilayah Miyagi kerana gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter semalam dan tsunami yang memusnahkan pelbagai kawasan terutamanya di bandar Sendai dan kawasan timur Jepun.



Jepun sah letupan loji tenaga nuklear Fukushima, penduduk dipindah

TOKYO, 12 Mac – Kerajaan Jepun mengesahkan letupan di loji tenaga nuklear Fukushima Daini hari ini ekoran gempa bumi dan tsunami semalam.

Terdahulu agensi berita Jiji memetik polis tempatan berkata letupan dan asap kelihatan di loji tersebut – sehari selepas timur laut Jepun digegarkan dengan gempa bumi paling buruk dalam 140 tahun.

Awal hari ini, kerajaan Jepun memberi amaran wujudnya cairan di reaktor nuklear yang rosak ekoran gempa bumi dan tsunami semalam, tetapi berkata, risikonya kecil.

Bagaimanapun Ketua Setiausaha Kabinet Jeoun Yukio Edano kemudian mengesahkan satu letupan dan kebocoran radiasi di loji tersebut.

"Kami sedang melihat punca dan situasi dan kami akan memaklumkan publik apabila kami ada maklumat lanjut," kata beliau.

"Buat masa ini kami merasakan pengosongan kawasan dalam lingkungan 10 kilometer adalah wajar," katanya.

Malah beliau juga berkata Jepun telah memperluaskan kawasan yang dikosongkan sekitar loji Fukushima Daini. – Reuters







Kereta Terbabas Rempuh Gerai - Peniaga Burger Sekeluarga Terselamat

Posted: 12 Mar 2011 02:28 AM PST

Besut - Seorang peniaga burger bersama isteri dan anaknya berusia enam tahun nyaris maut apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki terbabas dan hampir merempuh gerai tempat mereka berniaga di bahu jalan Jertih – Pasir Putih dekat Kampung Padang Luas di sini, semalam.

Turut nyaris menjadi mangsa adalah tiga pelanggannya yang berada di hadapan gerai ketika kejadian berlaku.

Peniaga terbabit, Che Mohd Safuan Che Kamaruzaman, 27, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang membabitkan kereta dipandu seorang lelaki lewat 30-an dari arah Jertih ke Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, ketika itu, isterinya, Zaleha Mohamad, 27, sedang membantu dia di sebelah kirinya manakala anaknya Che Ahmad Danial, 6, berada di tengah antara dua buah gerai burgernya dan gerai goreng pisang yang terletak bersebelahan, sementara seorang pelanggan bersama dua anaknya berdiri di depan gerai.

"Ketika saya menggoreng burger, saya lihat sebuah kereta Proton Iswara Aeroback meluru terus ke arah gerai saya kemudian terbabas hanya kira-kira semeter di belakang gerai.

"Kereta itu melanggar tong gas dan kuali berisi minyak goreng pisang menyebabkan minyak itu tumpah mengenai tangan dan badan anak serta isteri saya," katanya.

Bagaimanapun katanya, isteri dan anaknya tidak melecur memandangkan minyak masak itu sudah suam kerana api dapur telah dikecilkan disebabkan ibunya yang berniaga pisang goreng baru sahaja menutup kedai.

Mereka juga bernasib baik kerana ketika kereta itu terbabas, mereka berada rapat dengan gerai itu sementara kereta pula terbabas dua meter di belakang gerai sebelum tersadung ke dalam longkang.

"Selepas kejadian saya terus menarik anak ke tepi dan bersyukur Tuhan masih melindungi nyawa kami tiga beranak.


"Kami betul-betul bernasib baik dalam kejadian itu. Pertamanya sebab kereta tersasar sedikit daripada merempuh terus gerai kami, dan kedua tong gas tidak meletup walaupun telah dilanggar kereta terbabit.

"Ketiganya, minyak masak dalam kuali tidak begitu panas dan kami berada dekat dengan gerai," katanya yang berniaga tidak jauh dari Masjid Padang Luas.

Sementara itu, pemandu kereta terbabit, seorang guru dikatakan mahu berhenti berhampiran gerai mangsa untuk membeli burger, namun difahamkan kenderaan dipandunya gagal dikawal menyebabkannya terbabas. -SH

Ini Dia Negara-Negara Yang Akan Diterjang Tsunami

Posted: 12 Mar 2011 01:00 AM PST


Sejumlah negara telah memberikan peringatan kepada warganya berhubung dengan gempa 8,9 Skala Richter (SR) yang melanda Jepun, semalam.

Dahsyatnya kekuatan gempa tersebut telah menimbulkan gelombang tsunami yang juga menerjah negara-negara di Asia, Australia, bahkan Eropa.

Seperti diberitakan Reuters, Jumaat (11/3/2011), Kanada dan Amerika Syarikat, termasuk kepulauan Hawaii, sudah memberikan peringatan kepada warganya yang tinggal di pesisir yang berhadapan langsung dengan Laut Pasifik untuk berwaspada.

Demikian halnya dengan Mexico dan negara-negara di Amerika Selatan juga sudah diminta berjaga-jaga.

Kesan tsunami juga dirasakan warga di Rusia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua Nugini, Fiji, Panama, Honduras, Cile, Ekuador, Kolombia, dan Peru.

Pasukan Penjaga Pantai Taiwan langsung bergerak cepat mengosongkan warga di pesisir yang berpenduduk padat. Namun pihak berkuasa tempatan memberitahu gelombang yang sampai ke pantai sebelah utara Taiwan hanya setinggi 50 sentimeter.

Papua New Guinea juga sudah mengumumkan peringatan namun belum melakukan sebarang pemindahan penduduk. Kerajaan menyatakan gelombang laut tidak akan melebihi 1 meter.

Demikian halnya di Indonesia. Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisik (BMKG) mengumkan gelombang tsunami akan sampai ke wilayah timur Indonesia kira-kira pukul 18.35 WIB atau pukul 20.00 WIT. Ketinggian gelombang dianggarkan diantara 0.5 sampai 1 meter.

Tiada ulasan: