Kelab Greenboc |
- 20 Gerai Makan Di Taman Greenwood Musnah Dalam Kebakaran
- UMNO BN Guna Pelajar Politeknik Merlimau Sebagai Pengundi Hantu
- TEKUN Tipu Penduduk DUN Merlimau
- Edisi Kantoi: SB Guna Trak TNB
- Kisah Ayam Dan Biawak Dari Merlimau
- Juruwang Dari Merlimau Berdepan Hukuman Penjara 1,120 Tahun
- Kisah Janda Yang Hebat, Kikis 80 Lelaki Veteran
- Pantang Jumpa Pokok Pelik, Terus Dipuja Dan Diminum Airnya
- Kita Kata Rakyat Sudah Menyampah Dengan UMNO BN
- Mengapa Shafie Afdal Melenting Bila Ummi Diejek?
- Alhamdulillah! Satu Keluarga Di Cina Memeluk Islam
- Rakyat Mengeluh, Harga Barang Keperluan Naik Mendadak
- 'Keling Tak Sedar Diri' - Risalah Perkauman Ditaburkan Di PRK Merlimau
- PRK Merlimau: Kempen BN Bertentangan 1Malaysia
- NGO 1Malaysia Di Merlimau: Ali Rustam Ibarat Kura-kura Dalam Perahu
- Khalid Mahu Peguam Negara Dakwa ADUN Kuang
- Pemimpin PAS Kesan Ada Pengundi Luar Ditawarkan Untuk Mengundi Di Merlimau
- Bumbung Rumah Terbang Dipukul Puting Beliung
20 Gerai Makan Di Taman Greenwood Musnah Dalam Kebakaran Posted: 05 Mar 2011 01:25 AM PST Gombak: Puluhan pengunjung yang menjamu selera di Medan Selera Greenwood, di sini, terkejut apabila premis berkenaan tiba-tiba terbakar, malam kelmarin. Gambar: PADAM...anggota bomba memadamkan kebakaran gerai terbabit. Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, tiada kecederaan dilaporkan, namun 20 gerai makanan hangus dijilat api. Saksi kejadian yang juga peniaga di medan selera itu, Wan Nor Shakila Wan Rahim, 25, berkata ketika kejadian dia duduk sebelum seorang pelanggan menjerit kerana melihat api di kawasan berkenaan. "Saya mengarahkan pelanggan keluar sebelum cuba memadamkan api bersama empat pekerja. "Usaha kami gagal kerana api merebak pantas. Kami melihat api menjilat gerai sambil menunggu bomba dan penyelamat. Saya terdengar lebih tiga letupan yang berkemungkinan letupan tong gas," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.51 malam dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. "Empat jentera dari Balai Bomba Pusat Gombak Selatan dan Selayang dengan kekuatan 27 anggota dihantar ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran itu. "Api dipadamkan sepenuhnya jam 11.07 malam. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya. -hm |
UMNO BN Guna Pelajar Politeknik Merlimau Sebagai Pengundi Hantu Posted: 05 Mar 2011 12:00 AM PST Jasin - PAS membuat dakwaan terbaru bahawa arisan Nasional (BN) menawarkan "habuan" kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk mengundi mewakili pengundi tertentu — bertindak sebagai "pengundi hantu" di kerusi Merlimau esok. Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Datuk Halim Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat BN telah memberi "habuan" yang besar kepada 750 pelajar untuk menjadi "pengundi hantu". "Kita dapat maklumat ada pelajar telah dibayar oleh BN untuk mengundi pada pilihan raya kecil esok. "Pelajar ini dari sini (Merlimau), saya terima maklumat pelajar ini telah ditawarkan habuan untuk jadi pengundi, kira-kira 750 pelajar akan mengundi mewakili pengundi Merlimau," katanya kepada The Malaysian Insider. Selain pelajar, jelas Halim, ada juga pihak tertentu yang turut ditawarkan dengan "habuan" yang tinggi. "Maklumat kita dah terima yang mana ia juga ditawarkan kepada orang lain juga. "Kesemua mereka ini akan mengundi menggunakan kad pengenalan orang lain iaitu kad pengenalan pengundi Merlimau, katanya. Beliau berkata "pengundi hantu" itu melibatkan kesemua semua daerah mengundi di Merlimau. Kata Halim, pihaknya masih belum mengetahui jumlah "habuan" yang ditawarkan. DUN Merlimau mempunyai tujuh daerah mengundi termasuk Ayer Merbau, Chinchin, Jasin Lalang, Merlimau Utara, Merlimau Pasir, Permatang Serai dan Pengkalan Samak. Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan Yuhaizat Abdullah dari PAS. Sebelum ini PAS mendakwa BN telah menjalankan kempen ala samseng dengan mengugut pengundi di DUN Merlimau, namun dinafikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Ditanya mengenai program anjuran pertubuhan misteri 1 Malaysia, Halim menyifatkan satu bentuk rasuah terhadap pengundi di Merlimau. "Ini adalah gejala rasuah terhadap pengundi, ini yang diamalkan BN sama ada melalui pertubuhan... tapi saya yakin itu adalah siri rasuah dan ia sepatutnya tidak berlaku. "Malam ini mereka akan bagi duit kepada pengundi sebagai rasuah," katanya. Jelas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa itu, pihaknya berharap supaya BN mengamalkan kempen yang bersih bukan menawarkan "habuan" kepada pengundi. Kewujudan pertubuhan misteri yang menggunakan nama 1 Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau menimbulkan pelbagai persoalan besar mengenai motif sebenar badan itu. Difahamkan pertubuhan itu beroperasi atas nama 1 Malaysia dan hanya muncul dalam kempen pilihan raya kecil untuk mengagihkan barangan keperluan termasuk mengedarkan kemeja-T tertera logo 1 Malaysia kepada pengunjung khususnya pengundi kawasan Merlimau yang hadir. Pertubuhan ini dikatakan mengadakan makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada pengundi. Difahamkan program itu dihadiri pengundi bukan Melayu yang jumlahnya begitu ramai. -TMI |
TEKUN Tipu Penduduk DUN Merlimau Posted: 04 Mar 2011 11:00 PM PST Empat puluh pengusaha penternakan lembu feedlot berkelompok di Lanchang, Melaka kecewa apabila pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) menahan sebahagian besar wang pinjaman mereka daripada nilai keseluruhan kira-kira RM1.2 juta, meskipun ia sudahpun diluluskan pihak terbabit. Ketua projek berkenaan, Fahruzridza Jaafar, 34, berkata, jumlah tersebut berdasarkan setiap pengusaha melakukan pinjaman berjumlah RM30,000. Menurutnya, segala-galanya bermula pada 1997, apabila beliau dicadangkan oleh ahli parlimen Jasin ketika itu, Datuk Mohd Said Yusof supaya menjalankan projek ternakan lembu dengan mencari satu tapak sesuai. Fahruzridza yang juga pengerusi Persatuan Seni Silat Langkah Bromo (PSSLB) berkata, beliau telah mengambil peluang itu dan juga menyarankan 39 ahlinya yang lain supaya menyambut peluang itu bagi menjayakan projek ternakan lembu mereka. "Secara kebetulan ketika itu sejak tahun 2005, saya memang ada memajak tanah di Semujuk, Sungai Rambai dengan keluasan kira-kira 3 ekar lebih bagi penanaman pisang dan sebaik muncul projek itu saya telah korbankan projek tanam pisang lalu bertukar kepada ternakan lembu. Projek tertangguh "Dalam masa yang sama kami terus memohon untuk pinjaman daripada TEKUN dengan berbekalkan segala sokongan daripada beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar Melaka, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. "Akhirnya, kelulusan kami perolehi pada 28 Januari 2008 dan sebagai fasa awal TEKUN telah mengeluarkan sebahagian daripada pinjaman terbabit kepada kami yang berjumlah RM416,875 untuk menjalankan projek itu. "Tetapi malangnya projek itu tertangguh selama lapan bulan apabila mendapat bantahan daripada penduduk kampung di Semujuk dengan alasan projek berkenaan tidak sesuai dilakukan di kawasan terbabit. "Kami hairan mengapa mereka tidak menyokong sedangkan ada pusat ternakan lain, malah saiznya jauh lebih besar terletak bersebelahan kawasan tempat kami merancang untuk projek berkenaan," katanya ketika ditemui di rumah seorang daripada peserta projek berkenaan di Jasin. Fahruzridza berkata, dengan bantuan ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman, pihaknya cuba mencari jalan menyelesaikan perkara itu sehingga akhirnya terpaksa memindahkan projek berkenaan dari Semujuk ke Lanchang dengan keluasan tanah kira-kira lapan ekar. "Kami berdepan masalah apabila jumlah pinjaman awal adalah untuk dimanfaatkan untuk tanah di Semujuk yang sudah tersedia beberapa kemudahan seperti laluan tambak, saliran, tanah yang sudah diratakan dan pondok pekerja. "Ia berbeza dengan tanah di Lanchang yang saiznya jauh lebih besar dan ditambah pula tiada sebarang kemudahan berkenaan di mana kami terpaksa keluarkan belanja yang besar untuk meratakan tanah, buat saliran, kandang, jalan dan pelbagai lagi. "Ketika projek menyediakan kandang sudah hampir siap, kami cuba untuk memohon agar pihak Tekun mengeluarkan sebahagian lagi pinjaman yang sepatutnya untuk memasuki sejumlah lembu tetapi malangnya mereka enggan atas alasan kandang yang dibuat tidak mengikut spesifikasi. Dibiarkan terus hanyut "Kami hairan mengapakah TEKUN boleh mempersoalkan pasal spesifikasi, sedangkan perkara itu sepatutnya dilakukan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan lagi pun sebelum itu pun pihak Tekun tiada pun sentuh soal sebarang spesifikasi. "Menurut TEKUN lagi, jumlah pinjaman yang diberi kepada kami sepatutnya sudah mencukupi biarpun peringkat awalnya mereka sudah luluskan RM1.2 juta. Menurut Fahruzridza, dia kesal kerana setiap langkah yang dilakukan adalah atas nasihat Jabatan Haiwan dan Jabatan Kesihatan tetapi malangnya Tekun memberi alasan berkenaan. "Beberapa mesyuarat yang di pengerusikan wakil rakyat kawasan pada awalnya TEKUN bersetuju untuk mengeluarkan sebahagian lagi baki pinjaman tetapi malangnya mereka mencabul keputusan mesyuarat. "Projek kami akhirnya tergantung sehingga kini dan lebih malang lagi usaha kami untuk menemui pelbagai pihak berolehi kehampaan termasuk mengadukan masalah berkenaan di Jabatan Perdana Menteri, sehingga kini masih belum ada jawapan," katanya. Fahruzridza berkata, dia bersama 39 rakannya yang lain berusia antara 21 hingga 40 tahun berasa kecewa dengan tindakan pihak TEKUN dan menganggap itu satu penganiayaan. "Bayangkan mereka dah luluskan RM1.2 juta kepada kami tetapi hanya beri kami RM416,875 sahaja. Bagaimana kami nak teruskan projek ini. Semua kami sudah laksanakan, cuma hanya menunggu masuk lembunya sahaja. "Lebih malang lagi, mereka mengarahkan kami memulang baki pinjaman berjumlah RM735,605 sedangkan kami tidak perolehi pun duit pinjaman berkenaan. "Selain itu, kini kami diarah untuk membayar pinjaman untuk setiap peserta berjumlah RM14,000 dan sekiranya kami gagal nama kami semua akan disenarai hitamkan. "Sikap TEKUN yang jelas mahu membunuh kami amat dikesali bagaikan sengaja membina kapal di tengah lautan tetapi tidak menyiapkan layarnya dan kami terus hanyut," katanya. -mk |
Edisi Kantoi: SB Guna Trak TNB Posted: 04 Mar 2011 10:29 PM PST Merlimau - Skuad kamera berjaya merakam aksi Special Branch ataupun SB yang cuba membuat rakaman di tempat ceramah PAS yang mana juga berlangsung konsert Pak Long dan Azhan Atan dengan menggunakan kenderaan Tenaga Nasional Berhad. Tindakan mereka cuba menyamar sebagai anggota Tenaga Nasional Berhad tidak berjaya apabila Skuad Kamera berjaya merakam kamera yang terletak dalam kenderaan milik Tenaga Nasional Berhad itu. Panik dengan keadaan itu, anggota SB tersebut keluar dari kenderaan dan berpura-pura tanya siapakah yang datang ceramah malam ini. Ini sudah biasa kedengaran apabila pihak yang menjadi kuda tunggang UMNO/BN cuba menjadikan jentera kerajaan sebagai alat untuk kepentingan parti. Kehadiran tiga orang anggota terbabit sebenarnya sudah dikesan kerana tidak pernah ada juruteknik TNB datang mendengar ceramah. Mereka meletakkan kenderaan berhadapan dengan Perpustakaan Awam Merlimau yang bertentangan dengan Markaz Induk PAS. Sebagai pihak yang bertanggungjawab, mereka tidak seharusnya menjadi kuda tunggangan kepada UMNO/BN sebaliknya menjaga ketenteraman awam. -n27merlimau Salah seorang pengintip Inilah kenderaan yang digunakan Lihat anak panah- Dalam land rover ini ada kamera Kenderaan Tenaga Nasional Berhad Lihat anak panah - sambungan kamera dalam land rover Lihat anak panah Kamera yang dihala ke tempat ceramah dan konsert |
Kisah Ayam Dan Biawak Dari Merlimau Posted: 04 Mar 2011 09:00 PM PST Kari biawak disangka ayam' Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mempunyai satu anekdot kegemarannya yang beliau suka berkongsi dengan sesiapa sahaja yang bersedia mendengarnya, sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau. Dalam cerita ini, Mohd Ali dan pengerusi MIC Melaka, R Perumal, melawat Kampung Paya Buloh yang sebahagian besar penduduknya adalah kaum India, untuk mencari satu keluarga yang didakwa oleh DAP sering tidur dalam kelaparan. "Saya buka periuk mereka dan mendapati satu per empat daripadanya berisi nasi. Saya tanya mereka, 'Apa lauk hari ini?' "Perumal buka periuk lain dan mendapati ia berisi kari ayam! "Ada tiga paha ayam, dan DAP mendakwa mereka miskin," kata Mohd Ali mengenai isu tersebut yang dilaporkan oleh akhbar Malaysia Nanban, yang disiarkan beberapa hari sebelum hari pencalonan. Dalam laporannya, akhbar harian berbahasa Tamil itu bercakap dengan seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari sebuah keluarga seramai lima orang, yang mendakwa dia sedang menimbang berhenti sekolah untuk bekerja sepenuh masa sebagai penjaga lembu bagi menambah pendapatan keluarganya kerana ibu bapanya sakit. Jadi sasaran Sebaik sahaja disiarkan, wartawan berkenaan menjadi sasaran gangguan "orang ramai" yang marah dengan laporannya itu. Terdapat cubaan untuk memecahkan cermin pintu belakang keretanya pada malam tersebut, tetapi tiada barang yang diambil. Kerosakan pada kenderaan tersebut dianggarkan sekitar RM400. Malaysiakini kemudiannya berkunjung ke Kampung Paya Buloh bagi mendapatkan kesahihan berhubung aporan Nanban itu. Lebih menarik lagi, bapa budak lelaki itu - yang hanya mahu dikenali sebagai Periamalai - berkata kari ayam kari yang didakwa oleh Mohd Ali dalam periuk mereka, sebenarnya adalah biawak yang ditangkap anjing peliharaan mereka. "Kami tangkap biawak beberapa kali dalam seminggu," katanya sambil menambah mereka tidak makan ayam kerana tidak begitu suka rasanya. Manakala nasi yang Mohd Ali nampak, tambahnya, adalah pemberian seseorang. Dan sekali dua dalam seminggu, keluarganya tidur dalam keadaan perut kosong selepas makan sedikit bubur, dan adakalanya hanya minum air sahaja. -mk Ulasan GB Ali Rustam ada rasa tak itu kari biawak? |
Juruwang Dari Merlimau Berdepan Hukuman Penjara 1,120 Tahun Posted: 04 Mar 2011 08:35 PM PST Juruwang Didakwa Pecah Amanah Deposit 56 Cek Tak Wujud Bernilai Hampir RM2 Juta MELAKA: Seorang juruwang sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 56 pertuduhan pecah amanah membabitkan deposit cek tidak wujud bernilai RM1,925,500. Roslizam Zabar, 40, dari KM28.4, Kg Batu Gajah, Merlimau, Jasin yang bertugas didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Bank Islam Malaysia Berhad, Kompleks Pernigaan Masjid Tanah, Alor Gajah di sini, antara 15 Disember 2008 hingga 17 Ogos 2010. Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dan denda serta boleh juga dikenakan sebatan. Jika sabit kesalahan, Roslizam berdepan hukuman penjara maksimum 1,120 tahun. Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan perbicaraan pada 13 Jun depan. Mengikut kertas pertuduhan, Roslizam sebagai orang yang diamanahkan bagi semua urusan kaunter bank berkenaan, secara curang dan tanpa pengetahuan serta kebenaran pihak bank, telah mendeposit 56 cek yang tidak wujud bernilai antara RM5,000 hingga RM49,500 ke akaun Roslen Enterprise bernombor 04024010016444. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haslinda Abu Bakar meminta mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM1 juta terhadap tertuduh kerana melakukan kesalahan serius yang membabitkan 56 pertuduhan. "Dia bukan tidak berkemampuan kerana beberapa hari sebelum ditangkap, telah mengeluarkan wang melebihi RM400,000 daripada satu akaun yang telah ditutup," katanya sambil menambah Roslizam menerima gaji penuh walaupun digantung kerja. Sementara itu, peguam Shah Rizal Alias dan Shahrul Amali Shafie merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana akaun bank Roslizam telah dibekukan. "Selain itu, tertuduh mempunyai isteri yang tidak bekerja dan tiga orang anak yang masih kecil (yang) perlu disara, oleh itu, saya memohon mahkamah meletakkan jumlah wang jaminan yang munasabah," kata Shah Rizal. - BERNAMA |
Kisah Janda Yang Hebat, Kikis 80 Lelaki Veteran Posted: 04 Mar 2011 07:22 PM PST Kuala Terengganu: Selepas diceraikan suami kerana curang, seorang wanita pertengahan umur sedikit pun tidak insaf, sebaliknya semakin ligat bertukar-tukar pasangan untuk mengikis wang mereka. Sasarannya ialah lelaki berusia 60 hingga 70 tahun. Mahu dikenali sebagai Nora, wanita berusia 44 tahun itu berkata, sudah lebih lapan tahun dia mendapatkan wang dengan cara tidak bermoral itu dan sepanjang tempoh berkenaan kira-kira 80 lelaki veteran menjadi mangsanya. Dalam pengakuannya kepada Harian Metro, Nora memberitahu dia mula menjalin hubungan sulit dengan lelaki tua yang berduit ketika dia masih bergelar isteri orang. "Kira-kira tujuh tahun saya curang di belakang suami saya. Terus terang saya lakukan itu semua kerana duit disebabkan suami saya kurang berkemampuan. Apabila tembelang saya dikesan suami, saya diceraikan awal tahun lalu. "Selepas menjanda, saya semakin ligat kerana tiada siapa yang menanggung hidup saya. Hasilnya, kini saya mampu membeli rumah, kereta, motosikal dan barangan kemas," katanya yang mempunyai seorang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas suami. Nora mendakwa dia mempunyai lebih 80 teman lelaki, majoritinya berusia 60 hingga 70 tahun yang sedia memberi wang kepadanya pada bila-bila masa dan balasannya dia perlu menyerahkan tubuhnya kepada mereka. "Rakan rapat menggelar saya pisau cukur, tapi saya tak hiraukan gelaran itu kerana lebih penting saya dapat hidup mewah," katanya. Menurutnya, setiap kali membeli-belah, dia akan meminta teman lelakinya membelikan pelbagai pakaian dan barangan dengan harga mencecah ratusan ringgit. "Walaupun paras rupa tidak berapa cantik dan usia sudah lanjut, namun dengan menggunakan sedikit ilmu kebatinan yang dipelajari, saya mampu menundukkan mana-mana lelaki yang didampingi. "Saya menganggap hubungan saya dengan mereka sebagai adil. Mereka mahu meniduri saya dan saya pula inginkan wang serta barangan berharga," katanya. Katanya, dia selesa dengan apa yang dilakukannya kerana pada setiap waktu wang RM2,000 hingga RM3,000 pasti berada di dalam beg tangannya. Menurutnya, dengan menggunakan taktik pujuk rayu sambil membelai lelaki 'hidung belang' dia bukan saja mendapat wang, malah rumahnya turut diubah suai oleh teman lelakinya. "Perwatakan sopan dengan mengenakan pakaian menutup aurat membuatkan lelaki mudah terpikat pada saya dan selepas itu baru saya menjerat mereka dengan kata-kata manis dan berkesudahan di ranjang. "Saya akui tahu perbuatan saya ini salah, namun perangai mengikis wang lelaki sukar untuk dibuang selepas lebih lapan tahun bergelumang melakukan kerja ini," katanya. -hm |
Pantang Jumpa Pokok Pelik, Terus Dipuja Dan Diminum Airnya Posted: 04 Mar 2011 06:43 PM PST Denda, penjara puja pokok petai Gambar: ORANG ramai berkumpul bagi melihat titisan air dari pokok petai di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, Kepala Batas baru-baru ini. KEPALA BATAS - Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan perkara bercanggah dengan ajaran Islam termasuk memuja sebatang pokok petai yang dikatakan 'menangis' di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal di sini. Ini kerana amalan tersebut bercanggah dengan Seksyen 3 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996. Peringatan itu diberikan oleh Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menerusi notis yang ditampal pada batang pokok petai yang menarik perhatian ramai apabila mengeluarkan air sejak seminggu lalu. Mengikut seksyen itu, mereka yang melanggar larangan itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. -kosmo
Ulasan GB Telah menjadi satu sikap sesetangah anggota masyarakat, pantang jumpa benda-benda pelik terus percaya dan terus nak dipuja. Begitu tipisnya iman kepada Allah s.w.t. Yang maha Menjadikan, malah boleh disifatkan lansung "tidak beriman" jika sudah sampai tahap pemujaan. Sehingga "pokok petai menagis", berduyun-duyun meminum airnya, yang rupa-rupanya air kencing serangga bernama reriang. Amacam sedap tak? |
Kita Kata Rakyat Sudah Menyampah Dengan UMNO BN Posted: 04 Mar 2011 05:00 PM PST Muhyiddin: Jangan hasut rakyat guling kerajaan ikut Timur Tengah Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini member amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah. Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan pemimpin pembangkang membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik itu adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab. "Ini provokasi pembangkang... tidak bertanggungjawab, tidak demokratik dan sengaja mahu membuat huru-hara bila mana buat perbandingan situasi di Malaysia bila semua orang tahu, adalah negara yang aman, makmur dan membangun dengan pesat, rakyat jelata menikmati kemajuan yang agak tinggi berbanding negara itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis beramah mesra dengan penduduk Kampung Badok di sini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pemimpin pembangkang dalam siri ceramah pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang kawasan Kerdau di Pahang dan pilihan raya kecil bagi kerui DUN Melaka kawasan Merlimau, yang seolah-olah mengajak rakyat berdemonstrasi menggulingkan kerajaan. Muhyiddin (gambar) berkata pembangkang seharusnya jujur jika mahu membandingkan Malaysia dengan negara-negara yang sedang dilanda krisis politik itu. "Dia boleh buat perbandingan tapi sebenarnya bukan satu perbandingan (yang) betul, apa lagi membuat provokasi, macam bermain dengan api, memprovokasi rakyat bangkit dan menentang kerajaan," katanya. Muhyiddin berkata kerajaan pimpinan Barisan Nasional sentiasa mengamalkan dasar yang membolehkan rakyat segenap lapisan menyampaikan apa sahaja pandangan atau perkara yang diperlukan untuk perhatian kerajaan menerusi pelbagai saluran. "Kita mengamalkan sistem demokrasi yang segar di mana setiap lima tahun sekali ada pilihan raya...dia (pembangkang) menang juga, kita pun ada menang dalam pilihan raya kecil, dia kalah, kita pun ada ada kalah. "Dari segi amalan demokrasi, itu sudah cukup membuktikan negara ini sebuah negara demokratik, negara yang tidak dijalankan atas dasar autokrasi, diktatorial, kalau dibandingkan presiden sebuah negara (lain) dengan Malaysia, (sebenarnya) tidak boleh buat perbandingan," katanya. Ditanya apa tindakan kerajaan untuk menangani perkara berkenaan, Muhyiddin berkata negara ini mempunyai sistem undang-undang keselamatan bagi memastikan perkara seperti itu tidak menjurus kepada keadaan yang semakin buruk. "Kita beri amaran jangan bermain dengan api, kita ada sistem dan pihak berkuasa tentang (mengenai) keamanan dan keselamatan negara. Walaupun begitu, kita memperingatkan rakyat, jangan hancurkan negara ini kerana diprovokasi pembangkang. "Tujuan (pembangkang) lain tidak ada, hanya nak timbulkan porak-peranda. (Mereka) lebih seronok negara ini hancur, ada pertembungan antara kaum, (mereka) buat provokasi, satu sikap yang amat tidak bertanggungjawab," katanya. Muhyiddin sebelum itu bersolat Jumaat di Masjid Kampung Badok yang terletak di kawasan DUN Kerdau. Pilihan raya kecil itu melibatkan calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS, Hassanuddin Salim. Pengundian ialah pada Ahad ini. — Bernama
Ulasan GB Kita katakan kepada TPM, tan Sri Muhyiddin yassin, tiada siapa menghasut rakyat untuk berdemo, tetapi tindakan UMNO BN sendiri yang akan menyebabkan rakyat berani mengambil risiko untuk berdemo, sama seperti yang berlaku di Mesir, Tunisia, Algeria, Libya dan Oman Rakyat "menyampah' dengan Najib, dengan Muhyiddin, dengan UMNO BN. Sebab? Memperkuda dan memperalatkan agensi kerajaan di dalam sistem pemerintahannya. SPR, SPRM, PDRM, Sistem Kehakiman, pejabat Peguam Negara - kesemua agensi ini sudah dilihat oleh rakyat, melakukan jenayah besar apabila mereka sudah tidak lagi berkecuali tetapi sebaliknya menjadi kuda tunggangan pemerintah negara. Apabila rakyat sudah tidak tahan dengan penganiayaan yang mereka lakukan tiada apa yang dapat menahan rakyat dari berdemo. Tangkap dan bunuh mereka semua jika anda mampu, tetapi perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan akan tetap terus bersemarak tanpa dapat ditahan oleh sesiapa. Apabila sistem pilihanraya untuk memilih parti pemerintah pun dimanipulasikan dengan memperkudakan sekalian jentera kerajaan untuk memenangkan pemerintah, maka rakyat sendiri akan bangun membetulkan kepincangan tersebut. Kerana demikian hukum alam, dan sejarah zaman berzaman menujukkan "yang zalim akan tetap menerima kegagalan dan kekalahan akhirnya". |
Mengapa Shafie Afdal Melenting Bila Ummi Diejek? Posted: 04 Mar 2011 04:48 PM PST cerita Ummi: Pakatan tak harus melenting, kata Shafie Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata Pakatan Rakyat tidak harus melenting dengan cerita pihak tertentu, seperti Ummi Hafilda Ali yang "nampak sendiri apa yang berlaku". Merujuk kepada sedikit 'ketegangan' dalam ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda pada malam semalam, Shafie berkata kebenaran harus diterima. "Bila Ummi Hafilda sebut tentang mereka, mereka terasa... Ini kebenaran dia, pengalaman yang dia nampak dengan mata sendiri. Dia suarakan sebagai rakyat. "Kalau kebenaran itu pahit, kita harus terima. Takkan kita nak melenting pula dan lakukan perkara tidak sihat," katanya yang juga menteri pembangunan luar bandar dan wilayah. Ceramah sulung melibatkan Anwar Ibrahim dan Ummi Hafilda - saksi penting kes liwat 1998 - di Kerdau pada Khamis malam dicemari ejek-mengejek, sindir-menyindir dan jerit-menjerit antara penceramah dan penonton yang hadir. Bercakap pada sidang media selepas berucap dalam majlis bersama pemimpin di Felcra Rumpun Makmur, Shafie berharap parti bertanding mengikuti arahan pihak berkuasa. Baliau berkata, jika ini tidak dipatuhi mungkin suasana akan "jadi lebih ganas". Beliau sebelum itu mengumumkan projek sambungan paip di lima kampung di Kerdau untuk kegunaan 141 rumah yang bernilai RM4.2 juta. -mk Ulasan GB Siapa tak kenal Ummi Hafilda? Penulis buku sensasi "40 Sebab Anwar Tak Boleh jadi PM" yang cerita Ummi Hafilda ada di dalamnya telah pun kembali ke rahmatullah. Kini diulangkan semula cerita-cerita tersebut. Dan rakyat tidak mempercayainya, seperti Tun Dr Mahathir sendiri tidak mempercayai penulis buku berkenaan. Shafie Afdal pula yang sekarang ini cuba membela Ummi Hafilda. Tidak salah untuk rakyat tertanya-tanya atau berpersepsi, Shafie ada affairkah dengan beliau sehingga Shafie Afdal sanggup mempertahankannya? Belum tahap menuduh tetapi sekurang-kurangnya ia menimbulkan persepsi sedemikian, bersebabkan tindakan Shafie sendiri beriya-iya membela Ummi Hafilda. Sedangkan abang Ummi Hafilda sendiri, Azwan Ali, yang tiada sebarang kaitan dengan kes Anwar tidak mempercayai Ummi Hafilda. Sila lihat bukti ini: p/s Ingat, blog GB bukan membela Anwar, tetapi blog GB akan tetap membela kebenaran dan keadilan untuk Anwar sampai ke penghujungnya. |
Alhamdulillah! Satu Keluarga Di Cina Memeluk Islam Posted: 04 Mar 2011 02:54 PM PST Tutong - Seorang perempuan Cina dan empat anaknya memilih Islam sebagai satu jalan hidupnya yang baru. Perayaan memeluk Islam dilakukan oleh Jabatan Dakwah Tutong di Kampung Keriam, di daerah Tutong. Tamu kehormat dalam acara tersebut adalah Haji Harun bin Haji Junid yang merupakan Wakil Setiausaha Tetap di Kementerian Agama Cina. Acara dimulai dengan pembacaan surat Al Fatihah yang kemudian diikuti dengan upacara memeluk Islam. Yong Siow Mee, membacakan doa dengan dibimbing kakitangan dari Kementerian Agama Cina dan kemudian memilih nama Muslim barunya sebagai Nur Ameerah Raziqin binti Abdullah Yong. Sementara empat anak-anaknya yang juga berganti nama Nurhafizah binti Bakar, Nurshahnizam bin Bakar, Nurhalizam bin Bakar dan Nurazlizam bin Bakar, tak lupa berdoa dan memilih nama mereka sendiri Muslim. Acara ini juga memperlihatkan penampilan Dzikir Marhaban yang dibawakan anggota PESATU yang diikuti dengan percikan bunga yang wangi kepada Yong Siow Mee dan keempat anaknya oleh tamu kehormatan. Doa selamat dibacakan oleh Imam Haji Abd Aziz bin Badul. Pejabat dan staf Pusat Dakwah Islam dan penduduk desa setempat juga ikut hadir.
|
Rakyat Mengeluh, Harga Barang Keperluan Naik Mendadak Posted: 04 Mar 2011 06:45 AM PST Kuala Lumpur: "Harga minyak naik, harga barang pun naik, susah peniaga nak cari makan," keluh peniaga burger, Asraf Ahmad, 24 berikutan kenaikan beberapa harga barang yang memberikan kesan kepada perniagaan yang diusahakannya di sini. Katanya, harga sedozen roti burger yang dibelinya sebelum ini RM9, namun baru-baru ini ia naik sehingga RM12.80 sedozen. "Selain itu, harga sos, mayonis dan kicap turut mengalami kenaikan," katanya. Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di sini mendapati beberapa barang kegunaan harian mengalami kenaikan harga, malah ada beberapa barang makanan utama mengalami peningkatan harga sehingga menyebabkan peniaga serba salah untuk menaikkan harga. Kenaikan itu dakwa mereka kerana harga ditawarkan pemborong amat tinggi berbanding harga sebelumnya. "Payah sebab kami nak jaga pelanggan, tapi harga daging naik pula," kata Kamarulzaman Ghazali, 55, yang kini berada dalam dilema untuk menaikkan harga daging dalam pasaran. Menurut Kamarulzaman, harga borong bagi sekilogram daging tempatan RM18 dan harga daging import antara RM12 hingga RM13, namun berlaku perubahan harga yang mendadak baru-baru ini. "Harga baru kami terima dari pemborong semalam RM24.50 bermakna harga daging tempatan naik RM6.50," katanya ketika ditemui di sini, semalam. Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kenaikan harga barang membebankan mereka. Menurut Rafei Jamil, 32, harga makanan mentah utama tidak perlu dinaikkan kerana ia akan membebankan. "Sepatutnya harga makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan tidak perlu naik kerana harga sekarang pun membebankan," katanya. Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketika mengulas isu kenaikan harga barangan, berkata keadaan ini sukar untuk dikawal memandangkan sifat tamak sesetengah peniaga yang mengaut keuntungan mudah menaikkan harga barang sesuka hati. Katanya, sifat tamak peniaga sukar untuk dikikis memandangkan mereka tahu pembeli pasti akan membeli barangan keperluan harian berkenaan. Menurutnya, bagi menangani masalah ini pengguna mempunyai hak bagi membasmi penularan kenaikan harga barang. -hm |
'Keling Tak Sedar Diri' - Risalah Perkauman Ditaburkan Di PRK Merlimau Posted: 04 Mar 2011 06:00 AM PST Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini membuat dua laporan di balai polis Merlimau berhubung tindakan liar pihak tertentu menyerang kenderaannya dan terjumpanya risalah berbaur perkauman yang tertera dengan logo PERKASA. Risalah itu dijumpai di peti surat penduduk sekitar Kampung Ayer Merbau semalam. Ia kelihatan seperti halaman utama akhbar Utusan Malaysia, milik Umno dengan perkataan "Keling tak sedar diri". "Risalah jahat berbau perkauman yang bertajuk 'Keling tak sedar diri' dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian penduduk setempat yang berbilang bangsa dan agama. "Saya selaku Pengerusi Majlis pimpinan Negeri Keadilan Melaka mendesak pihak polis segera menjalankan siasatan yang menyeluruh terhadap penyebaran risalah yang tidak beranggungjawab ini," kata Shamsul dalam laporannya. Ini kejadian kedua seumpama itu dilaporkan di Merlimau. Dua hari sebelum hari penamaan calon, beberapa risalah yang dijumpai melabelkan Cina sebagai 'pengkhianat'. Laporan kedua PKR dibuat oleh Shamsul adalah berhubung 'serangan' ke atas beberapa kenderaan PKR termasuk yang digunakan bagi membawa ketua umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Serai pada 2 Mac lalu. Menurut Shamsul beberapa objek keras dibaling ke arah kereta yang membawa Anwar dan dua lagi kereta yang mengiringi ketua pembangkang berkenaan. "Tiba-tiba saya terdengar bunyi hentaman yang kuat pada kenderaan, saya terus beredar dan berhenti rehat di gerai berhampitan Masjid Sempang tidak jauh dari dari jalan Batu Gajah... dan mendapati terdapat kesan hentaman yang kuat di bahagian depan bonet oleh batu. "Ini adalah tindakan provokasi dan samseng oleh penyokong-penyokong BN,"tulis Shamsul dalam laporannya itu. Dua hari lalu, ketika ceramah Pakatan Rakyat oleh Anwar di Permatang Pasir, dua kereta dipecahkan cerminnya manakala angin pada tiga motosikal dilepaskan dan tempat kunci dua lagi motosikal dirosakkan. Awal minggu ini, seorang penduduk yang meletakkan keretanya di hadapan bilik operasi DAP juga mendapati cermin belakangnya dipecahkan. Kain rentang PAS sekitar Merlimau juga dirosakkan manakala sebuah pentas yang didirikan oleh DAP bagi majlisnya juga dibakar. |
PRK Merlimau: Kempen BN Bertentangan 1Malaysia Posted: 04 Mar 2011 05:15 AM PST Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kempen pilihan raya kecil DUN Merlimau sangat kotor dan bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan BN, lapor Harakahdaily. Lim yang kesal dengan beberapa perbuatan khianat termasuk penyebaran risalah fitnah berkata, Umno BN harus bertanggungjawab dalam perkara berkenaan. "Kempen ini mahu menonjolkan 1Malaysia yang sepatutnya menunjukkan perpaduan dan satu kempen yang bersih. "Tapi sangat sedih apabila melihat kempen yang sangat kotor. Ada fitnah, dusta, risalah-risalah dan gambar lucah, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan siapa yang bertanggungjawab? "Tentulah Barisan Nasional. Tak boleh lari daripada itu," kata beliau pada sidang media di bilik gerakan DAP, pekan Merlimau, petang semalam. Hadir sama ialah calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Yuhaizad Abdullah. Lim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur juga berkata, Umno harus memberi peluang kepada pengundi-pengundi untuk memilih calon daripada mana-mana parti tanpa menggunakan wang sebagai umpan. "Siapa menang siapa kalah terpulang kepada pengundi-pengundi. "Berkempenlah secara bersih dan hormati keputusan rakyat. Tak perlu ada insiden-insiden seperti pecah kereta, pentas DAP cuba dibakar. "Ini semua tidak patut berlaku dan semua bertentangan dengan slogan 1Malaysia. "Politik wang sangat jelas dan ini bukan satu pertandingan yang sihat dan sangat dikesali," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai peluang Pakatan Rakyat untuk menang pada pilihan raya ini, Lim berkata, kalah atau menang bukan keutamaan tetapi yang lebih penting adalah melihat perubahan yang dilakukan pengundi-pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum. "Kita tahu tempat ini memang sukar untuk menang, mungkin tak boleh menang tapi apa yang mustahak dapat sambutan pengundi-pengundi di kawasan ini yang menunjukkan sokongan lebih kuat kepada Pakatan Rakyat," katanya. Ujarnya juga, selepas pilihan raya umum 2008, semakin ramai rakyat yang mahukan politik baru. "Sejak tsunami politik tiga tahun dahulu kita lihat ada perubahan bukan sahaja di negeri Melaka tapi di Malaysia dan apa yang berlaku di Mesir,Tunisia dan Timur Tengah, kita lihat perkembangan politik baru dan rakyat mahu menuntut perubahan termasuk di Malaysia," katanya. |
NGO 1Malaysia Di Merlimau: Ali Rustam Ibarat Kura-kura Dalam Perahu Posted: 04 Mar 2011 04:30 AM PST Jasin - Kewujudan pertubuhan misteri yang menggunakan nama 1 Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menimbulkan pelbagai persoalan besar mengenai motif sebenar badan itu. Malah pertubuhan itu, yang turut menganjurkan pelbagai jenis program termasuk majlis makan malam dikatakan mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional (BN). Selain itu, kewujudan pertubuhan misteri itu dilihat membantu kempen BN dengan menawarkan pelbagai hadiah dalam setiap program yang dianjurkan. Difahamkan pertubuhan itu beroperasi atas nama 1Malaysia dan hanya muncul dalam kempen pilihan raya kecil untuk mengagihkan barangan keperluan termasuk mengedarkan kemeja-T tertera logo 1 Malaysia kepada pengunjung khususnya pengundi kawasan Merlimau yang hadir. Pertubuhan ini dikatakan mengadakan makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada pengundi. Difahamkan program itu dihadiri pengundi bukan Melayu yang jumlahnya begitu ramai. Terbaru, pertubuhan itu telah mengadakan program makan malam bersama masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Merlimau di sini malam tadi. Setiap pengundi diberikan tiket untuk menghadiri program tersebut. Mereka yang tiada tiket tidak dibenarkan masuk termasuk wartawan. Selain itu, program anjuran pertubuhan misteri itu dikawal ketat petugas yang memakai kemeja-T 1 Malaysia. Ketika ditanya mengapa wartawan tidak dibenarkan masuk, petugas terbabit berkata hanya mereka yang mempunyai tiket dibenarkan untuk menyertai program yang dianjurkan. "Maaf, hanya mereka yang ada tiket sahaja yang boleh masuk. Ini adalah arahan pihak atasan, saya tidak boleh benarkan," kata petugas yang mengawal di pintu utama sekolah itu. Selain makan malam, masyarakat India yang hadir turut dipersembahkan dengan dendangan lagu dan cabutan bertuah. Wartawan yang menunggu di hadapan pintu masuk sekolah itu hanya dibenarkan masuk ketika Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam hadir memberikan ucapan. Bagaimanapun ketika ditanya mengenai pertubuhan itu, Mohd Ali berkata beliau tidak tahu tentang kewujudannya. "Saya tak tahu, saya datang sini sebab ada ramai orang, jadi saya singgah. "Tapi kalau ia sokong 1 Malaysia saya juga sokong," katanya. Pertubuhan 1 Malaysia ini pertama kali muncul pada kempen pilihan raya kecil di Galas November lalu dengan sejumlah sukarelawannya mengagihkan beg barangan itu kepada pengundi, khususnya di kawasan yang ramai pengundi berbangsa Cina. Keadaan yang sama juga disaksikan pada pilihan raya kecil Tenang. -TMI Ulasan GB Kura-kura dalam perahu. Pura-pura tak tahu. GB sudah ulas di dalam BN Guna NGO, Ubah Taktik Bawa Penari Seksi Ke Merlimau. Petikan: Ya, begitu sandiwara UMNO BN yang mengubah taktik dengan menggunakan NGO, bukan lagi parti komponen BN untuk membawa penari seksi di dalam pilihanraya kecil. Jika sebelum ini majlis konsert sedemikian di bawa oleh MCA, tetapi setelah di hentam teruk oleh masyarakat Islam, kini sebuah NGO dibentuk - bernama 1Malaysia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh MCA sebelum ini. Untuk menipu rakyat, maka berkatalah mereka kononnya mereka juga mengjengkelkan BN, kononnya MCA, MIC dan Gerakan juga irihati dengan mereka, walhal itu adalah hanya wayang dan sandiwara untuk mengaburi mata masyarakat umum. MCA, MIC dan Gerakan telribat untuk menjemput masyarakat bukan Melayu ke jamuan anjuran NGO berkenaan. Itu sudah jelas membuktikan ia adalah tajaan BN sendiri. |
Khalid Mahu Peguam Negara Dakwa ADUN Kuang Posted: 04 Mar 2011 03:45 AM PST Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim menghantar sepucuk surat hari ini kepada Peguam Negara, Abdul Ghani Patail yang mengesa tindakan undang-undang diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus yang secara terbuka mengaku memiliki dan mengedar akhbar tanpa permit, Selangor Terkini. Pengakuan terbuka Ketua Penerangan UMNO Selangor itu telah disiarkan portal berita, Malaysiakini dan beberapa akhbar utama lain pada 23 Februari lalu. Tindakan Abdul Shukor menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana mengedarkan kalendar beliau bersama-sama akhbar Selangor Terkini yang didapati menggunakan logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran. Menteri Besar berpendirian bahawa tindakan Abdul Shukor telah memberi imej buruk terhadap wakil rakyat kerana perbuatannya itu menunjukkan seolah-olah beliau menyokong bahawa sesebuah penerbitan tidak memerlukan kebenaran Kementerian Dalam Negeri. Sehubungan itu, Menteri Besar menggesa Peguam Negara mengambil tindakan terhadap Abdul Shukor kerana bersubahat mengedarkan akhbar tanpa permit dan menggunakan logo rasmi Kerajaan Selangor tanpa kebenaran. Menteri Besar juga telah mengarahkan pegawainya menghantar bukti-bukti kepada pihak polis bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang telah dibuat pada 17 Januari lalu. Abdul Khalid (gambar kanan) berharap Peguam Negara tidak menutup sebelah mata atau pilih kasih dalam kes ini kerana Abdul Shukor memperlekehkan pentadbiran Kerajaan Selangor dan DYMM Sultan Selangor. "Saya berharap Peguam Negara akan bertindak tanpa rasa takut atau memihak (without fear or favour) dalam hal ini sepertimana yang dituntut oleh rakyat dan undang-undang Malaysia," kata Menteri Besar. -MR *Kenyataan media daripada sekretariat akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor. |
Pemimpin PAS Kesan Ada Pengundi Luar Ditawarkan Untuk Mengundi Di Merlimau Posted: 04 Mar 2011 03:29 AM PST Merlimau - Beberapa pengundi luar akan digunakan untuk menjadi pengundi di pilihanraya kecil DUN Merlimau, demikian didedahkan oleh Naib Presiden PAS, YB Salehuddin Ayub di sini petang tadi. "Daripada maklumat yang kita dapat, diantaranya ialah ada (orang luar) yang ditawarkan menjadi pengundi. Kita melihat hal ini sebagai sesuatu yang serius. Mereka disediakan habuan sekiranya mereka bersedia untuk menjadi pengundi pada 6 hb ini. Jadi saya berharap perkara ini dapat dielakkan untuk menjamin sebuah pilihanraya yang adil dan bersih di Merlimau ini," ujarnya. Menjawab satu pertanyaan, Salehuddin merasa pelik bahawa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyatakan beliau tidak tahu mengenai kewujudan sebuah NGO misteri yang menamakan diri mereka 1Malaysia di kawasan Merlimau yang bergerak untuk memberikan hadiah-hadiah kepada pengundi-pengundi. Laporan The Malaysian Insider sebelum ini menyebut pertubuhan itu turut menganjurkan pelbagai jenis program termasuk majlis makan malam dikatakan mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional (BN). Selain itu, kewujudan pertubuhan misteri itu dilihat membantu kempen BN dengan menawarkan pelbagai hadiah dalam setiap program yang dianjurkan. "Bagaimana Ketua Menteri Melaka bleh hadir di program berkenaan tetapi dalam masa yang sama beliau menyatakan beliau tidak tahu menahu tentang kewujudan NGO berkenaan?" soal Salehuddin. Selain itu beliau turut mendedahkan bahawa beberapa pemimpin PAS termasuk calon PAS, Haji Yuhaizad Abdullah telah menerima SMS ugutan dari kumpulan yang menggelarkan diri sebagai 'Geng Jebat Derhaka'. Ujar beliau, kemungkinan besar Barisan Nasional (BN) adalah dalang di sebalik penyebaran SMS berbaur ugutan itu. SMS tersebut berbunyi "Geng Jebat Derhaka akan terus mengganas di ceramah-ceramah PR (Pakatan Rakyat) yang menjadi pentas memecah-belahkan Melayu, sekiranya anda mahu kejadian pecah kenderaan di (Kampung) Chinchin dan Jalan Pahlawan berulang, hadirlah ke ceramah-ceramah PR pada malam ini dan seterusnya... awas keselamatan kenderaan anda tidak terjamin". Selain Yuhaizad, turut menerima SMS sama adalah Setiausaha PAS Melaka Harun Mohamad dan Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang. Setiausa Perhubungan PAS, Sdra Harun Mohammad menyatakan: "Saya yakin ugutan ini datang dari pihak Umno-BN kerana sebelum ini saya pernah menerims SMS dari nombor yang sama berbunyi 'TPM (Timbalan Perdana Menteri) bayau (bayar) makan minum di Chinchin supaya halal dan dia tak amik (ambil) kesempatan macam (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)... naik haji pun nak free (percuma)... nak orang sponsor (taja)... itu rasuah namanya dan tak ikut sunah nabi... sah ke hajinya? "Nombor telefonnya sama tapi bila dihubungi tidak dapat," kata Harun. Tambah Harun, beliau telah membuat laporan polis berhubung SMS berbaur ugutan itu dan berharap pihak polis akan membuat siasatan segera. Jelas Harun, beliau menerima SMS tersebut pada pukul 7.20 malam dan membuat laporan polis kira-kira pukul 12.30 malam tadi. Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara Yuhaizat dan calon BN, Roslan Ahmad yang merupakan ahli jawatankuasa Umno Jasin. |
Bumbung Rumah Terbang Dipukul Puting Beliung Posted: 04 Mar 2011 02:30 AM PST Melaka - Tiga rumah penduduk di sini, rosak di bahagian bumbung apabila terlibat dalam kejadian angin puting beliung yang melanda secara tiba-tiba di Taman Rembia Setia, Rembia, petang semalam. Bagaimanapun, kejadian jam 4.30 petang itu tidak membabitkan kecederaan berikutan dua daripada pemilik rumah berkenaan tiada di rumah. Malah, seorang nenek, Leong Gee Ling, 57, yang berada di rumahnya bersama seorang cucu perempuannya berusia 3 tahun turut tidak mengalami sebarang kecederaan. Gee Ling berkata, ketika kejadian, dia duduk di ruang tamu, sementara cucunya itu pula sedang tidur di ruang sama. Menurutnya, semasa kejadian dia menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar bunyi kuat di bahagian atas bumbung disusuli dentuman seperti ada barang jatuh. Katanya, kejadian beritu berlaku begitu pantas sehingga beberapa keping bumbung di bahagian dapur rumahnya musnah dipukul ribut. "Ketika itu, saya tidak menyangka ia ribut kerana tidak hujan, lalu saya terus duduk di dalam rumah tanpa berbuat apa-apa. "Bagaimanapun, apabila menyedari jiran berteriak menyuruh saya keluar barulah saya menyedarinya," katanya. Sementara itu, R Ganesan, 46, berkata, bumbung rumahnya paling teruk terjejas dalam kejadian itu apabila lima keping di bahagian atas bilik rumahnya musnah. Menurutnya, ketika kejadian dia bekerja dan mengetahuinya selepas dihubungi oleh jirannya, jam 4.45 petang. "Ketika kejadian tiada sesiapa berada di rumah kerana isteri dan lima anak berada di Kuala Lumpur," katanya. -SH |
You are subscribed to email updates from Kelab Greenboc To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan