KARPET KUNING |
Selepas tsunami melanda Jepun ... Posted: 13 Mar 2011 01:52 AM PST FUKUSHIMA (Jepun): Selepas gempa dan tsunami, Jepun semalam diancam bahaya radiasi nuklear pula, ekoran letupan yang merosakkan sebuah loji nuklear negara tersebut. Letupan itu mencetuskan kebimbangan Jepun akan menghadapi peleburan nuklear, sedang para pegawai cuba membendung apa yang dikhuatiri akan menjadi bencana nuklear paling teruk selepas letupan Chernobyl pada 1986. Media Jepun menganggarkan, 1,300 orang telah terbunuh dalam gempa dan tsunami itu yang memusnahkan bandar-bandar pesisiran pantai negara itu. Polis menganggarkan 200 hingga 300 mayat telah dijumpai di bandar Sendai. Lagi 300 hingga 400 mayat ditemui di Rikuzentakata, sebuah bandar kecil pesisiran pantai yang mempunyai kira-kira 23,000 penduduk. Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Yukio Edanom, berkata tiada kenaikan besar paras radiasi selepas letupan di loji nuklearnya tu kerana ia tidak berlaku dalam tempat simpanan reaktor itu. 'Kemudahan reaktor nuklear itu terletak di dalam sebuah mesin simpanan terbuat daripada keluli, yang dikelilingi sebuah bangunan konkrit. Bangunan konkrit ini yang runtuh. Kami dapati mesin simpanan di dalamnya tidak meletup,' kata beliau dalam satu sidang akhbar. Encik Edano awalnya berkata satu langkah memindahkan para penduduk dalam lingkungan 10 kilometer dari bangunan loji nuklear Daiichi 1 yang berusia 40 tahun itu sudah mencukupi, tapi sejam kemudian, lingkungan itu ditambah kepada 20 kilometer. Sedutan televisyen menunjukkan wap naik dari loji itu yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo. Di sepanjang perairan timur laut, pekerja penyelamat menyelongkar runtuhan bangunan serta serpihan kenderaan dan bot yang musnah, mencari jika ada mangsa masih hidup dalam kawasan paling teruk terjejas seperti bandar Sendai, 300 kilometer ke timur laut Tokyo. Para penduduk yang masih kelihatan bingung, cuba menyimpan air dan berkumpul di dalam khemah-khemah sementara dalam keadaan sejuk yang menggigit. Gambar dari udara menunjukkan bangunan dan kereta api tercampak di sana sini di dataran-dataran berlumpur, bagaikan permainan kanak-kanak. 'Hampir semua kedai ditutup. Ini antara yang masih dibuka. Saya ke sini untuk beli lampin, air minuman dan makanan,' kata Encik Kunio Iwatsuki, 68 tahun, kepada agensi berita Reuters di Mito, di mana penduduk beratur di luar pasar raya yang rosak, bagi membeli barangan asas. Di sepanjang pantai, mangsa-mangsa yang terselamat, cuba meredah jalan-jalan hampir musnah. Gempa bumi dan tsunami itu, dan kini kebocoran nuklear, menimbulkan cabaran terbesar pernah dihadapi Jepun dalam satu generasi ini. Letupan di loji nuklear keempat Chernobyl telah mengeluarkan beribu-ribu tan debu nuklear beracun hingga ke sejauh Ukraine, Russia dan Belarus. Ia merupakan bencana nuklear paling teruk pernah terjadi. Letupan di kemudahan nuklear di Jepun itu berlaku sedang operator loji Tokyo Electric Power Co (Tepco) itu bertungkus-lumus cuba mengawal tekanan dalam teras reaktor itu. Syarikat itu mempunyai sejarah yang tidak tentu dalam industri yang mengalami skandal. Pada 2002, presiden syarikat pembekal elektrik terbesar negara itu terpaksa meletak jawatan bersama empat lagi eksekutif kanan, kerana bertanggungjawab ke atas apa yang disyaki pemalsuan rekod keselamatan loji nuklear itu. Awal sebelum itu, operator loji itu telah melepaskan apa yang dikatakannya sedikit wap radioaktif bagi mengurangkan tekanan itu. Katanya, b ahaya sudah berkurang kerana berpuluh-puluh orang sudah berpindah dari kawasan sekeliling. Wartawan Reuters berada di wilayah Fukushima, kira-kira 70 kilometer dari loji itu. Media lain telah melaporkan ada kepungan polis di jalan-jalan di kawasan tiu bagi menghalang orang ramai menghampirinya. -- Reuters. Sementara itu sekitar 10,000 orang didapati hilang di bandar pelabuhan Minamisanriku di Miyagi yang terjejas oleh gempa, lapor televisyen NHK semalam. Bilangan itu merupakan lebih separuh penduduk bandar di Lautan Pasifik itu yang lebih 17,000 orang. Pihak berkuasa kini cuba menjejaki orang-orang hilang itu. Ia mengesahkan bahawa sekitar 7,500 orang telah dipindahkan ke 25 tempat perlindungan selepas gempa kelmarin, tetapi kira-kira 10,000 orang masih tidak dapat dihubungi, kata NHK. |
You are subscribed to email updates from KARPET KUNING To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan