Khamis, 31 Mac 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


CIK ELIA SUHANA SAH ISTERI SULTAN ISMAIL PETRA

Posted: 31 Mar 2011 03:41 PM PDT

Cik Puan Elia Suhana Ahmad disahkan kekal sebagai isteri kedua bekas Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra, setelah Mahkamah Rayuan Syariah Kota Bharu hari ini menolak rayuan permohonan pengesahan lafaz cerai terhadap beliau.

Panel Hakim Mahkamah Syariah yang dipengerusikan Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri, Datuk Daud Muhammad, serta Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Dr Johari Mat, dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, membuat keputusan itu setelah perayu, Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Panel hakim itu juga menolak rayuan kes itu disebabkan peguam Nik Rorhana, Zainul Rijal Abu Bakar telah menarik diri daripada kes itu tiga hari lepas dan penarikan itu dimaklumkan kepada pihak mahkamah melalui sepucuk surat.

Daud berkata penolakan rayuan permohonan pengesahan lafaz cerai diputuskan mengikut Seksyen 121 (C) Enakmen Tatacara Syariah 2002.

Pada 5 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menolak permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan Ismail Petra terhadap Elia Suhana, 32, yang difailkan oleh Nik Rorhana pada 9 Mac tahun lepas.

Dua minggu selepas itu, Elia Suhana melalui peguam syarie yang mewakilinya, Fakhrul Azman Abu Hassan, mengemukakan permohonan untuk membatalkan permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana.

Sultan Ismail Petra, yang ketika itu masih Sultan Kelantan, didakwa menjatuhkan talak tiga terhadap Elia Suhana pada 12 Feb tahun lepas di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Elia Suhana berkata beliau gembira dan bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan serta menganggapnya sebagai satu hadiah buat suaminya sempena hari keputeraan baginda esok.

“Saya amat gembira, sekarang ini saya boleh tumpukan kes tuntutan hak lawatan ke atas suami saya,” katanya.

Pada 4 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Ismail Petra tetapi pihak Istana Mahkota di Kubang Kerian menghalang beliau daripada bertemu suaminya dan kes itu tertangguh berikutan permohonan pengesahan lafaz cerai berkenaan yang dibuat oleh pihak ketiga, iaitu Nik Rorhana


Pemilihan PAS: Tuan Ibrahim tak tanding No 2, Mat Sabu masih kaji peluang

Posted: 31 Mar 2011 02:47 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 27 Mac — Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden parti Islam itu pada pemilihan Jun ini, di sebalik desas-desus mengatakan persaingan kemungkinan sengit.

Sebelum ini khabar angin menyebut ada usaha untuk meminta beliau mencuba nasib jawatan nombor dua yang kini disandang Nasharudin Mat Isa.

Kata Tuan Ibrahim, beliau telah membuat keputusan yang jelas mengenai soal itu demi perpaduan parti. Dua naib presiden lain semasa ialah Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, masing-masing ahli Parlimen Pokok Sena an Kubang Kerian.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Tuan Ibrahim berkata, keputusan diambil demi masa depan yang lebih baik bagi PAS.
Jelas beliau, PAS mempunyai ramai pemimpin yang lebih layak dan berwibawa untuk bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
"Saya tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden dan keputusan itu dibuat setelah fikirkan bahawa PAS mempunyai kepimpinan yang ramai dan boleh menyumbang memperkuatkan parti dalam menghadapi cabaran serta bersaing dengan Barisan Nasional (BN).

"Cabaran PAS kini lebih besar dan keputusan yang saya buat ini adalah jelas," katanya. Jelas Pesuruhjaya PAS Pahang itu, dengan keputusan itu diharapkan kawasan yang akan mengadakan mesyuarat pada bulan depan tidak akan mencalonkan beliau bagi merebut jawatan timbalan presiden.

"Dengan keputusan ini saya harap kawasan tidak akan calonkan saya bagi jawatan ini, saya harap tidak pencalonan."Saya harap kawasan akan pencalonan pemimpin yang lebih baik dan layak untuk memegang jawatan itu," katanya.

Dengan keputusan itu, dijangkakan jawatan timbalan presiden akan menjadi rebutan antara penyandangnya Nasharudin dan ahli jawatankuasa PAS pusat Mohamad Sabu yang mungkin akan bertanding. Mohamad yang turut dihubungi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding bagi jawatan itu sekiranya mendapat sokongan kuat di peringkat kawasan.

Bagaimanapun, Mohamad berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding sekali lagi dan hanya akan mengumumkan pendiriannya tiga minggu sebelum muktamar yang akab berlangsung awal Jun ini.

Sekiranya, Mohamad bertanding ini merupakan kali kedua beliau berbuat demikian setelah tewas kepada Nasharudin dua tahun lalu. Turut bertanding ketika itu ialah Datuk Husam Musa.
Ketika itu kedua-dua Mohamad dan Husam merupakan naib presiden.

Pada pemilihan itu, Nasarudin mendapat 480 undi, Husam memperoleh 281 undi manakala Mohamad hanya 261 undi.

"Kita tengok pencalonan dulu… kemudian bincang dengan kawan-kawan, kemudian tengok pula sokongan lepas itu baru akan buat keputusan untuk bertanding atau tidak.

"Setakat hari ini saya masih belum membuat sebarang keputusan lagi, dua atau tiga minggu sebelum muktamar saya akan beritahu sebab saya nak tengok mood perwakilan. "Kalau dapat sokongan yang kuat saya akan bertanding tapi kena lihat perkembangan dulu… lihat di kawasan yang akan mengadakan mesyuarat bulan depan," kata Mohamad.

Mengakui kurang mendapat sokongan di peringkat perwakilan, Mohamad berkata, beliau mungkin akan bertanding jawatan lain sekiranya sokongan tidak kuat. "Kita tengok perkembangan dulu… tengok mood dulu. Kalau baik, saya akan bertanding, kalau tidak saya akan bertanding mana-mana jawatan yang dirasakan sesuai.

"Ataupun kemungkinan saya tidak akan bertanding pada pemilihan kali ini," katanya.


Tiada ulasan: