Isnin, 14 Mac 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


RM90 juta kes saman Felda belum selesai

Posted: 14 Mar 2011 03:47 AM PDT

BERNAMA

Sebanyak 12 daripada 18 kes saman terhadap Felda sehingga bulan lepas sudah diselesaikan dan diputuskan oleh mahkamah, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata daripada 12 kes itu, hanya satu kes iaitu tuntutan peneroka Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan, yang tidak memihak kepada Felda.

Katanya kes Felda Kemahang 3 berhubung tuntutan penggredan jualan sawit berjumlah RM11.3 juta telah dilunaskan kepada peneroka yang terbabit.

"Keputusan mahkamah tidak memihak kepada Felda disebabkan masalah teknikal pada hari perbicaraan, peguambela Felda tidak hadir," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) pada persidangan Dewan Rakyat.

Kamaruddin mahu Perdana Menteri menyatakan jumlah kes-kes saman di mahkamah oleh peneroka terhadap Felda dan keputusan mahkamah serta implikasi kewangannya kepada agensi itu.

Ahmad berkata terdapat enam kes yang masih belum selesai perbicaraan iaitu dua kes mengenai tuntutan terhadap kadar perahan minyak dan dua kes mengenai tuntutan pulangan wang tabung tanam semula.

"Seterusnya, masing-masing satu kes mengenai tuntutan deklarasi proses tender dan permintaan harga di dalam tender bagi penebangan kayu-kayu getah peneroka dan tuntutan penyingkiran peneroka," katanya.

Beliau berkata anggaran nilai tuntutan bagi kesemua kes yang belum selesai perbicaraan berjumlah RM90 juta.

"Ini adalah anggaran jika Felda kalah, namun, Felda sentiasa berusaha supaya menang dalam semua kes berkaitan yang difailkan di mahkamah," katanya.


Wanita PKR: Kod protokol istimewa untuk isteri PM?

Posted: 14 Mar 2011 03:39 AM PDT

MALAYSIA KINI

Baru beberapa jam membuat penjelasan berhubung kedudukan isteri perdana menteri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz didakwa "play-safe, penuh niat putar belit dan berunsur manipulasi terhadap Perlembagaan Persekutuan".

bukit antarabangsa landslide 071209 zuraida kamaruddin"Jawapan beliau yang mendakwa bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya dangkal dan cuba menghina perlembagaan negara...," kata Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (kiri).

Anggota parlimen Ampang itu mendakwa, kenyataan itu di parlimen sebentar tadi bertentangan dengan diperuntukkan dalam Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama adalah kepunyaan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama oleh Rosmah hanyalah "kod amalan" seperti yang didakwa dan dengan menggapnya sebagai "pegawai" buat perdana menteri, Zuraida juga menggambarkan Rosmah mendapat kelebihan yang lebih istimewa.

"Namun, jika demikian bagaimanakah sejumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang 'kakitangan' untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama? Bagaimanakah seorang 'kakitangan' biasa boleh diberikan peruntukan untuk melancong ke seluruh dunia?

"Adakah wujud pula kod protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk isteri perdana menteri? " soal Zuraida bertalu-talu.

Sehubungan itu, Zuraida menggesa Mohamed Nazri "menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta dan realiti" bagi membuktikan beliau benar-benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak.

Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini memberitahu parlimen, panggilan Wanita Pertama dalam konteks Malaysia merujuk kepada isteri perdana menteri.

Katanya,panggilan itu adalah gelaran tidak rasmi yang tidak berasaskan kepada sebarang peruntukan perundangan tetapi berasaskan kepada amalan dan kelaziman yang biasa.

Nik Aziz tunggu MCA tanpa syarat

Posted: 14 Mar 2011 03:37 AM PDT

Abdul Rahim Sabri

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat bersedia menerima kunjungan pemimpin MCA bagi membincangkan pengharaman jualan loteri di negeri itu tanpa sebarang syarat, kata setiausaha akhbarnya.

pas convention shah alam 190211 nik abdul aziz nik mat at podium Ahmad Fadhli Shaari berkata, tarikh dan tempat pertemuan itu bagaimanapun akan ditentukan kemudian, dijangka lusa (Rabu), apabila beliau pulang daripada menghadiri program di Kedah.

"Kita mengalu-alukan kesediaan MCA untuk bertemu dengan Tok Guru (Nik Aziz). Beliau terbuka, tak ada masalah," katanya yang juga ketua penerangan Pemuda PAS negeri.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Fadhli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MCA semalam berhubung perkara itu.

Semalam, setelah ditimbulkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MCA, presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pihaknya mahu bertemu Nik Aziz bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan kerajaan Kelantan itu.

Katanya, kecuali Nik Aziz, MCA tidak beminat berjumpa dengan sesiapapun bagi mendapatkan penjelasan kenapa pengharaman dibuat itu dibuat selepas 20 tahun PAS berkuasa di Kelantan.

Mengapa tanah Kg Baru murah?

Posted: 14 Mar 2011 03:35 AM PDT

Akta MAS ini tidak sesuai lagi setelah Wilayah Persekutuan diwujudkan pada 1 April 1974 tetapi kerana ada orang yang mempunyai kepentingan, mereka mahu akta ini terus wujud.


PETALING JAYA: Kemelut pembangunan Kampung Baru terutama dalam isu pengambilan tanah sukar diselesaikan kerana ia terikat dengan Akta 'Malay Agriculture Settlement' (MAS) yang telah wujud sejak 100 tahun lalu.

Berikutan itu, dakwa seorang pemimpin Kampung Baru, pihak yang mempunyai kepentingan dan berpengaruh ke atas pemilik tanah Kampung Baru berkeras mahu mempertahankan akta tersebut.

Akta MAS menyebut hanya orang Melayu boleh memiliki dan menduduki tanah Kampung Baru.

Usaha kerajaan untuk memajukan Kampung Baru supaya setanding dengan kawasan sekitar sejak 20 tahun lalu masih belum berjaya.

Beliau yang enggan nama disiarkan juga mendakwa 75 peratus dari kira-kira 5,000 pemilik tanah dari 80 hektar memiliki gerah tanah bersyarat iaitu hanya boleh diduduki oleh orang Melayu.

"Akta MAS ini tidak sesuai lagi setelah Wilayah Persekutuan diwujudkan pada 1 Februari 1974. Akta MAS adalah akta Selangor tetapi

Kampung Baru di bawah Wilayah Persekutuan. Akta Selangor tidak boleh berada di Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, "Akta ini yang menyebabkan harga tanah Kampung Baru begitu rendah berbanding di kawasan sekelilingnya.

"Dalam dokumen Pelan Tempatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dicatat harga tanah Kampung Baru ialah RM350 sekaki persegi, itu pun dikatakan tinggi.

"Tetapi di kawasan KLCC harga mencecah RM1,200 hingga RM1,500 sekaki dan di Chow Kit ialah RM800 sekaki," tambahnya.

Nilai tanah terikat dengan Akta MAS

Ujar beliau, "mengapa tanah Kampung Baru begitu murah berbanding KLCC dan Chow Kit? Tanah menjadi murah kerana terikat dengan Akta MAS.

"Kalau Akta MAS dimansuhkan, tanah Kampung Baru dapat dijual sehingga RM900 atau RM1,000 sekaki persegi, masalah akan selesai.

Beliau berkata, kemelut pembangunan Kampung Baru ini telah berlarutan sejak 20 tahun lalu dan selagi Akta MAS ini masih ada ia tidak akan menemui jalan penyelesaian.

Katanya, sebelum ini ada dua pihak yang mahu memajukan Kampung Baru iaitu Persatuan Anak Kampung Baru dan Persatuan Pembangunan Kampung Baru tetapi kedua-dua persatuan ini tidak mempunyai tanah di Kampung Baru.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah menubuhkan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru sebagai badan khas untuk pembangunan semula Kampung Baru.

Bagaimanapun penubuhan perbadanan tersebut mendapat bantahan dari MAS yang mendakwa kementerian tidak pernah berbincang dengan pemilik tanah untuk menubuhkan perbadanan itu.

"Bagaimana MAS hendak setuju dengan perbadanan kerana hanya ada dua orang wakil dalam perbadanan sedangkan 14 lagi dilantik oleh menteri,?" soal beliau.

"Sebenarnya perbadanan ini tidak perlu kerana ada pemaju Bumiputera yang boleh memajukan Kampung Baru," katanya.

Pakatan Melaka bincang pembahagian kerusi

Posted: 14 Mar 2011 03:32 AM PDT

Skop perbincangan berkisar kepada berapa kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, PKR dan DAP dalam PRU ke 13.


MELAKA: Pakatan Rakyat Melaka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pembahagian kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Pengarah Pilihanraya PKR negeri, Mohd Yusuf Abdullah.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan secepat mungkin dan dijangka bulan ini juga.

"Skop perbincangan ialah mengenai berapa kerusi yang akan ditandingi oleh PAS, PKR dan DAP dalam PRU ke 13.

"Satu lagi yang akan diperbincangkan ialah adakah perlu PKR mengekalkan kerusi yang ditandingi dalam PRU lalu atau bertanding di tempat baru? Atau PAS bertanding di tempat lama mereka dan begitu juga dengan DAP?" katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam PRU 2008, PKR bertanding tiga kerusi parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), PAS satu kerusi parlimen dan 13 kerusi Dun manakala DAP dua kerusi parlimen dan lapan kerusi Dun.

Hanya DAP yang memenangi kerusi iaitu satu kerusi parlimen Kota Melaka dan lima kerusi Dun.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, mesyuarat itu mungkin tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana Sekretariat Pakatan Rakyat Melaka belum diwujudkan.

PAS, katanya, juga belum bermesyuarat di kalangan pemimpin untuk membincangkan pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, PAS bercadang membayangkan hasrat untuk mengambil kerusi Parlimen Jasin yang ditandingi oleh PKR dalam PRU ke 12.

"Kita berikan kerusi (parlimen) Jasin kepada PKR secara bersyarat tetapi kerusi ini memang kerusi PAS. PAS juga mahu membuat beberapa petukaran kerusi supaya lebih sesuai dengan kekuatan PAS," katanya

PAS tunjukkan Kesederhanaan Islam - Chua Jui Meng

Posted: 14 Mar 2011 03:30 AM PDT

Muhayat Jasmin

KEPALA BATAS: Umno menggambarkan Islam yang dibawa oleh PAS sebagai ekstrim dan menakutkan, kata Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Menurut Chua, pengalamannya sebelum ini bersama Umno, beliau tidak pernah diberi kefahaman yang mudah mengenai Islam malah melalui Umno masyarakat bukan Islam hanya memahami Islam itu dengan potong tangan dan bersunat.

"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya ketika menyampaikan pidato di Dewan Millenium, Kepala Batas semalam.

Bagaimanapiun kata Chua, setelah bergaul dengan PAS beliau mendapati Islam itu merupakan agama yang sederhana melalui pendekatan yang dibawa oleh PAS.

"Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim yang menakutkan kami. PAS yang saya didampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.

"Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.

Kata Chua, Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama yang ekstrim seperti digambarkan selama ini sebaliknya satu agama yang turut mengutamakan kebajikan kepada orang-orang bukan Islam.

Chua yang juga merupakan Naib Presiden PKR turut menyifatkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai contoh pemimpin Islam yang sederhana.

Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat bukan supaya tidak terperangkap dengan dakyah sempit yang mendakwa PAS itu pelampau dan mengamalkan politik sempit.

PAS Pahang mahu kegiatan lombong besi dihenti

Posted: 14 Mar 2011 03:20 AM PDT

Khairil Abdul Rahim

KUANTAN: Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang, Ramli Abdul Rahman, meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang serta Pejabat Tanah dan Daerah bertindak menghalang aktiviti perlombongan bijih besi di Kampung Selamat Pelabuhan, dekat sini berikutan pencemaran teruk.

Menurutnya, aktiviti perlombongan yang dijalankan di kawasan seluas empat ekar sejak lima bulan lalu itu telah menimbulkan masalah pencemaran udara sehingga menimbulkan masalah kesihatan kepada kira-kira 1,000 penduduk tempatan.

"Saya telah melawat kawasan berkenaan setelah menerima aduan penduduk dan mendapati lokasi perlombongan amat tidak sesuai selain sikap kontraktor yang tidak mengindahkan keselamatan penduduk tempatan. Sekarang Kampung Selamat sudah tidak selamat.

"Kawasan di situ mengalami pencemaran teruk sehingga diselaputi banyak habuk apabila waktu panas dan berlaku banjir lumpur pada musim hujan. Keadaan ini menyebabkan ramai terutamanya kanak-kanak di situ menghidap batuk, selesema dan demam selain kering tekak.

"Penduduk juga mengadu, oleh kerana kawasan pengumpulan bijih besi hanya 100 meter dari kediaman penduduk menyebabkan berlaku pencemaran bunyi bising sehingga menyebabkan penduduk tidak lagi merasa aman," ujarnya.

Tambah Ramli, turut teruk terjejas ialah peniaga kedai makan yang semakin kurang dikunjungi pelanggan akibat meja yang sentiasa berhabuk, bunyi bising dan suasana yang tidak selesa.

Menurutnya lagi, terdapat tiga kawasan penyimpanan bijih besi di situ dan pada setiap hari lebih 10 lori berulang-alik mengangkut besi berkenaan tanpa mengira waktu.

Yang menyedihkan, mereka seperti tidak menghiraukan keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar yang berdepan dengan pencemaran udara selain kawasan yang kotor dengan lumpur.

"Operasi melombong seperti ini tidak boleh dibiarkan di kawasan kediaman seperti ini. Saya lihat ada penduduk yang terpaksa berkurung 24 jam seperti tinggal di dalam gua kerana pintu dan tingkap rumah tidak boleh dibuka akibat habuk berterbangan dengan banyak.

"Harapan saya kepada JAS, pejabat tanah dan pejabat menteri besar supaya berikhtiar menghentikan aktiviti membahayakan penduduk ini. Janganlah kerana memberi keuntungan kepada pihak tertentu, keselamatan penduduk pula terabai," jelasnya.

Dalam pada itu, Ramli berkata beliau akan mengusahakan pengumpul tanda tangan penduduk bagi membantah kegiatan itu dan akan dihantar kepada Menteri Besar Pahang.

Tiada Peruntukan Khusus FLOM, Siapa Tanggung Kos Lawatan Rosmah ?

Posted: 14 Mar 2011 03:15 AM PDT

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menjelaskan tiada sebarang peruntukan khusus diberikan kepada isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan juga Jabatan Wanita Pertama Malaysia atau FLOM.

Nazri juga mengesahkan jabatan itu tidak pernah wujud. Kenyataan Nazri itu menimbulkan pelbagai kekeliruan dikalangan rakyat apabila FLOM sebelum ini dilihat menghiasi laman web rasmi perdana menteri.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin bingkas mempersoalkan sumber dana yang digunakan kerajaan bagi menampung kos keseluruhan lawatan rasmi Rosmah ke luar negara yang berjumlah lebih RM134'000 ?

"Jadi, kalau tidak menggunakan peruntukan dari Bahagian Wanita Pertama (FLOM), dari mana datangnya wang itu?" soal Zuraida.

Zuraida kemudian bingkas mempersoalkan adakah Nazri takut atau sekadar mahu menjaga air muka Rosmah justeru memberikan sedemikian.

"Ini adalah jawapan yang berdolak dalik. Menteri tidak memberikan jawapan yang tepat. Apakah kerana dia takut kepada Rosmah ?," ujar Zuraida.

Zuraida menegaskan kenyataan berbelit- belit oleh pihak menteri tidak menjernihkan keadaan malah ia turut mendatangkan kekeliruan kepada rakyat.

"Saya rasa sebenarnya kerajaan Malaysia masih tidak jelas untuk menyelesaikan masalah kedudukan yang mengaku dirinya first lady. Menteri sebenarnya ingin menyatakan kebenaran tapi sebenarnya takut," katanya.

Nazri ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Sungai Petani turut menjelaskan tindakan Rosmah yang menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama.

Nazri berkata, gelaran wanita pertama merupakan gelaran tidak rasmi dan ini merupakan amalan lama.

"Gelaran wanita pertama merupakan gelaran tidak rasmi yang tidak berasakan kepada sebarang peruntukan perundangan tapi berasaskan kepada amalan atau kelaziman," kata Nazri.

"Dalam kontes malaysia ialah yang amat berhotmat isteri perdana menteri," tambahnya lagi.

Tindakan Rosmah menggelarkan dirinya sebagai Wanita Pertama dipertikai banyak pihak lantaran gelaran itu dilihat lebih layak diberikan kepada Raja Permaisuri Agung.

Turut dipertikaikan jabatan yang diilhamkan Rosmah itu memenuhi ruang laman sesawang yang dikhususkan kepada pejabat rasmi perdana menteri.

Kes Anwar: Dokumen Pendakwaraya Dibocorkan Kepada Media

Posted: 14 Mar 2011 03:11 AM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz


KUALA LUMPUR : Ketua Pendakwaraya Datuk Yusuf Zainal Abidin mengaku pihak Peguam Negara bertanggungjawab atas kebocoran dokumen yang bakal di kemukakan oleh beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bersabit kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Akhbar New Straits Times hari ini menyiarkan dokumen hujah Datuk Yusuf bersabit permohonan supaya Hakim Zaibidin Mohamad diah mengarahkan Anwar untuk mengemukakan sampel DNA.

Yusuf begaimanapun meremehkan kebocoran dokumen itu dengan memberitahu mahkamah bahawa ia tidak memberi impak terhadap perbicaraan berkenaan.

Peguambela Sankara Nair memberitahu pemberita bahawa tindakan membocorkan dokumen kepada media arus perdana mirip kepada apa yang berlaku pada tahun 1998.

Dalam perbicaraan fitnah liwat pertma itu fakta-fakta mengenai pertuduhan terhadap Anwar dibekalkan kepada media sebelum ia di kemukakan kepada mahkamah,.

Tindakan itu adalah sebahagian daripada perancangan untuk memastikan Anwar diaibkan sepenuhnya sebelum dan semasa perbicaraan.

Yusuf hari ini mengaku beliau perlu bertanggungjawab terhadap kebocoroan dokumen terbaru namun tetap berpendirian isu itu tidak harus diperbesarkan.

Peguambela Karpal Singh turut menarik perhatian mahkamah kepada beberapa tunjuk perasaan anjuran penyokong Umno semalam.

Seperti dokumen yang dibocorkan, tunjuk perasaan itu juga dilihat sebagai bertujuan member I tekanan kepada hakim untuk mengarahkan Anwar supaya memberi sampel DNA itu.

Hakim Zaibidin sebelum ini megisthiarkan bahawa polis memperolehi sampel DNA daripada Anwar secara haram apabila menahan beliau dalam lokap pada 16 Julai 2008.

Selepas menahannya semalaman, polis merampas sehelai tuala. Berus gigi dan botol air mineral yang diguna oleh Anwar untuk menjalankan ujian DNA ke atas Ketua Pembangkang itu tanpa kebenaran beliau.

Kes Anwar : Campur tangan politik makin jelas, kata Karpal

Posted: 14 Mar 2011 03:04 AM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz

KUALA LUMPUR : Campur tangan politik dalam kes fitnah liwat 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah dengan cubaan pasukan pendakwaan memanipulasi peruntukan undang-undang untuk memaksa beliau memberikan sampel DNA, kata peguambela Karpal Singh.

Peguamcara Negara II, Datuk Yusof Zainal Abiden hari mendesak Hakim Zaibdin Mohamad Diah untuk mengarahkan Anwar memberi sampel darah untuk ujian DNA sungguhpun tidak ada undang-undang sedemikian, tambah Karpal.

Peguam veteran itu berkata Yusuf kini berusaha untuk "membina" semula kes terhadap Anwar menerusi ujian DNA setelah Pegawai Penyiasat Jude Pereira mengesahkan beliau memberi keterangan yang bercanggah dan mencurigakan.

"Memang kes ini dipolitikkan. Malah tidak syak lagi DPP (Yusof) telah digunakan dan dieksploitasi oleh ahli politik. Dia juga turut mahu tutup kes selepas pegawai penyiasat (Jude) memberi keterangan.

"Dia mengajukan perkara itu kepada mahkamah. Kami terkejut apabila dia kembali dan mahu membuat dua permohonan. Jadi sudah tentu ada seseorang yang wujud di tengah untuk bertujuan politik. Kes ini dieksploitasi oleh ahli politik," jelasnya.

Antara lain, Jude mengesahkan beliau melanggar peraturan Jabatan Kimia dan Polis diraja bersabit prosedur menyimpan bukti. Beliau juga mengesahkan memberi keterangan palsu sebagai yang diperakui oleh Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia(Suhakam) tahun lalu bersabit penahanan lima peguam tanpa waran.

Selasa lalu, Zabidin memutuskan polis memperolehi bukti DNA terhadap Anwar secara tidak sah apabila menahan beliau semalaman di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008.

Anwar dan dua peguamnya mengesahkan polis tidak memberikan asas penangkapan ke atas Anwar dan waran tangkap pula yang diberikan kepada Anwar tidak sama dengan yang dikemukakan di mahkamah.

Yusof tidak merayu terhadap keputusan berkenaan serta merta tetapi menunggu hampir tiga hari dan selepas Jude memberi keterangan untuk berbuat demikian, sekali gus menimbulkan spekulasi Pejabat Peguam Negara menerima tekanan politik untuk mengubah keputusan hakim itu.

Dalam hujahnya pagi tadi, Yusof sekali lagi mengkitar semula hujah beliau dengan mendakwa penahanan Anwar pada 16 Julai 2008 tidak salah disisi undang-undang.

Karpal menegaskan Yusof berhujah dalam secara terdesak kerana mengandaikan sampel DNA yang diambil pada tubuh Saiful disahkan milik Anwar dan justeru itu mahukan Anwar memberikan sampel darah untuk tujuan perbandingan.

Karpal berkata Anwar menjadi mangsa bukti reka cipta polis pada tahun 1998 dan terpaksa mengorbankan enam tahun di penjara. Justeru mantanTimbalan Perdana Menteri amat mencurigai sebarang pengambilan bukti yang membabitkan pengawasan polis, khususnya sampel darah untuk ujian DNA.

"Persoalannya tidak timbul malah sebentar tadi DPP (Yusof) mengandaikan sampel DNA telah disahkan. Setakat ini tiada apa yang disahkan. (Dan) undang-undang di negara ini jelas. Anda tidak boleh memaksa seseorang untuk memberi DNA dalam apa cara sekali pun.

Karpal berkata Yusuf cuba mengelirukan mahkamah dengan menyamakan sampel untuk ujian DNA Anwar sama seperti mengambil cap jari untuk tujuan perbandingan.

"Ia bukan untuk tujuan perbandingan. Saya rasa dia (Yusof) memberi analogi cap jari dan tulisan di mana mahkamah boleh membuat arahan itu dan menyamakannya kepada pengambilan sampel darah. Undang-undang adalah sangat jelas dalam isu ini dan sekiranya ada pihak yang memaksa untuk mendapatkan sampel sedemikian, anda boleh menyaman mereka," tegas beliau.

Esok Karpal akan memberikan hujah balas terhadap alasan-alasan Yusuf itu demi memastikan keputusan Zabidin menolak sampel tuala, berus gigi dan botol air mineral yang diambil polis secara tidak sah, dipertahankan.

Isu Manifesto: MB Kedah terima cabaran Mukhriz

Posted: 14 Mar 2011 03:02 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


BUKIT KAYU HITAM — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berhubung kejayaan melaksanakan manifesto pilihan raya umum yang lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN bulan depan.

Katanya beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 80 peratus manifesto yang telah dibuat PAS.

"Tak perlu nak senaraikan kepada mereka (wakil rakyat BN) kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan...Saya akan jawab kalau mereka tanya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin di sini hari ini.

Azizan mengulas desakan pemimpin BN yang mahu beliau menyenaraikan dan mengemukakan bukti mengenai kejayaan menifesto pada PRU yang lalu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak perlu disenaraikan semula memandangkan kerajaan negeri sebelum ini telah menyenaraikan kejayaan itu dalam akhbar rasmi (Warta Darul Aman).

"Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegoklah sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak," katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri perlu mengemukakan bukti yang sahih kepada rakyat mengenai kejayaannya menyelesaikan serta melaksanakan 80 peratus janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Mukhriz berkata kenyataan yang dikeluarkan kerajaan PAS itu tidak berasaskan kepada fakta yang lengkap dan membuatkan rakyat keliru mengenai kejayaan yang telah dilaksanakan.

"Kita mahu kerajaan PAS mengambil peluang mengemukakan bukti yang benar dalam sidang Dewan Undangan Negeri April depan bagi menjelaskan secara terperinci kepada rakyat secara keseluruhan apa yang mereka maksudkan kejayaan 80 peratus itu.

"Ia tidak cukup dengan sekadar cakap-cakap sahaja kerana rakyat jauh lebih bijak," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Abdul Ghani berkata sehingga Julai tahun lepas, sebanyak 80.7 peratus daripada manifesto yang mempunyai 57 perkara yang disenaraikan dalam manifesto PRU12 berjaya mencapai matlamatnya.

Daripada 57 perkara tersebut, beliau berkata 46 daripadanya telah dilaksanakan dan 11 perkara lagi atau 19.3 peratus masih dalam peringkat kajian merangkumi bidang pentadbiran, pertanian, pembangunan Insan, hal ehwal Islam, hal ehwal wanita, sukan dan rekreasi serta pihak berkuasa tempatan.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat negeri ini tidak nampak sebarang perubahan selepas Kedah diambil alih oleh PAS sejak 2008.

Diari siasatan lengkap dibuat selepas setahun kematian Teoh

Posted: 14 Mar 2011 02:59 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu diari penyiasatan yang lengkap mengenai soal siasat bekas setiausaha politik exco Selangor itu dibuat selepas setahun kematiannya.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dari Putrajaya Arman Alies berkata diari pada Ogos 2010 itu merupakan hasil laporan kedua selepas laporan pertama pada Julai 2009, yang ditulis dalam komputer riba miliknya, hilang akibat diserang virus.

Arman juga memberitahu prosiding hari ini bahawa beliau tidak menyimpan "soft copy" laporan pertamanya itu.

"Laporan pertama yang saya buat telah diserahkan kepada Jawatankuasa Aduan SPRM selepas keterangan saya diambil oleh polis pada 18 Julai 2009," katanya.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Arman turut memberitahu hasil laporan kedua itu dibuat berdasarkan ingatannya sahaja dan berpandukan kepada dua helai kertas A4 yang telah dibuat catatan olehnya semasa temu bual dengan Teoh pada 16 Julai 2009.

Ketika ditanya Peguam Edmund Bon, apa tujuannya membuat laporan kedua itu, Arman berkata: "Saya membuat laporan untuk tujuan simpanan saya."

Beliau turut bersetuju dengan Edmund bahawa perkataan "kekerasan tidak digunakan" ditambah dalam laporan kedua yang disediakan olehnya.

"Saya menambah perkataan itu untuk mengelakkan daripada tohmahan dan saya cerita benda yang benar," katanya.

Arman juga tidak bersetuju dengan Edmund bahawa beliau tidak menulis perkataan "kekerasan tidak digunakan" dalam laporan pertama kerana beliau tidak berperasaan serba salah mengenai apa yang berlaku di dalam bilik bersama Teoh.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen memutuskan supaya kesemua komputer termasuk komputer riba dan telefon bimbit milik Arman diambil dan diserahkan kepada penyiasat persendirian Michael Leslie Squires untuk disiasat.

"Kesemua komputer riba dan telefon bimbit milik pegawai lain yang terlibat akan diambil jika perlu untuk mengetahui kandungan dan butiran yang berkaitan," katanya.

Sebelum ini, peguam Christoper Leong dari Majlis Peguam telah mencadangkan kepada suruhanjaya untuk mengambil semua dokumen termasuk komputer, telefon bimbit dan memo milik pegawai SPRM lain yang terlibat dalam penyiasatan Teoh.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu.

Berita Harian diberi amaran keras: Rais Yatim

Posted: 14 Mar 2011 02:57 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata akhbar Berita Harian telah diberikan amaran keras berikutan penyiaran ilustrasi yang mempersenda tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun dalam akhbar Berita Minggu, semalam.

Beliau berkata memandangkan isu ilustrasi berkaitan soal kemanusiaan, akhbar berkenaan tidak dikenakan tindakan undang-undang.

"Ini adalah soal kemanusiaan dan kita tidak boleh mengenakan tindakan di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 atau Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kita hanya memberi dalam bentuk amaran yang keras supaya tidak diulangi," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi antara Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dengan kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan akhbar berkenaan supaya tidak menjadikan nahas atau bencana seperti tsunami yang melanda negara matahari terbit itu sebagai punca humor.

"Kami telah mengemukakan kepada Berita Harian supaya dalam nahas sebesar itu jangan ada apa-apa humor yang menyakitkan atau memilukan hati manusia, ianya perlu kita hadapi bersama.

"Jadi, sama ada Ultraman atau personaliti komik lain, kita tidak usah menjadikan ianya sebagai punca humor. Perkara ini sudah disampaikan kepada editor mereka dan mereka memohon maaf kepada masyarakat khususnya masyarakat di Jepun," katanya.

Semalam, Berita Minggu menyiarkan karikatur hasil lukisan Zoy yang memaparkan superhero popular Jepun – Ultraman – lari lintang pukang dari ombak tsunami yang besar.

Berikutan itu, pelbagai pihak melahirkan rasa tidak puas hati dan kesal dengan sikap akhbar berkenaan yang dikatakan tidak sensitif terhadap nasib kurang baik yang menimpa rakyat Jepun.

Dalam pada itu, akhbar Berita Harian dalam muka hadapannya hari ini telah menyiarkan artikel memohon maaf mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, Rais berkata semua syarikat telco telah diminta supaya memainkan peranan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) atau penggera segera menyampaikan maklumat kepada pelanggan mereka sekiranya keadaan di negara ini tidak stabil.

"Saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) suaya memastikan semua syarikat telco, apabila ada darurat, bukan saja tsunami tapi apa saja kesusahan yang dialami oleh rakyat, maka kemudahan SMS dan penggera syarikat itu beroperasi," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Rais menyaksikan majlis menandatangani perjanjian konsesi selama 10 tahun antara MKLSB dengan kerajaan, bagi operasi, pengurusan dan penyelenggaraan Menara KL termasuk tapak premis MKL terdiri daripada lima lot tanah persekutuan yang dimiliki oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Menurut perjanjian itu, MKLSB bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan menara tersebut mengikut standard menara telekomunikasi dan penyiaran yang diluluskan, serta sebagai sebuah pusat pelancongan dan hospitaliti.

Pemuda PAS dakwa Umno Perak cuba sabotaj Harussani: Nik Aziz temu

Posted: 14 Mar 2011 02:56 AM PDT

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Perak menyifatkan Umno negeri itu "bimbang" dan cuba menghalang pertemuan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menyelesesaikan "perang mulut" dalam hal berkaitan agama Islam antara dua tokoh itu.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pihaknya kesal dengan kenyataan Ketua Penerangan negeri Perak Datuk Hamdi Abu Bakar yang menyifatkan pertemuan tertutup antara Harussani dan Nik Aziz tidak sesuai selain merugikan umat Islam kerana ia dipolitikkan.

"Dewan Pemuda PAS Perak merasa kesal kerana masih ada umat Islam yang membezakan agama dalam politik dan ia tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

"Kami melihat Datuk Hamdi Abu Bakar tidak memahami Islam yang sebenarnya dan ia bertentangan dengan slogan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak) tentang konsep Islam dan agama kerana kurangnya pemahaman dari kalangan pimpinan Umno sendiri," katanya dalam satu kenyataan.

Hamdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Baharu sebelum ini berkata pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz tidak perlu diadakan kerana perbezaan aliran kedua-dua tokoh itu.

Beliau berkata Harussani merupakan seorang ketua ulama manakala Nik Aziz seorang ahli politik yang berkemungkinan perdebatan di kalangan mereka boleh dipolitikkan.

Kata Raja Ahmad, pihaknya akan berusaha untuk memastikan pertemuan antara Harussani dan Nik Aziz dapat diadakan bagi menyelesaikan segala perbalahan dan "perang mulut" antara mereka terutamanya yang berkaitan hal-hal agama Islam.

"Sepatutnya ia perlu dilihat sebagai satu objektif baik kerana usaha ini akan memberikan kekuatan umat Islam agar tidak bertelagah dengan hukum yang ada.

"Dewan Pemuda PAS Perak sekali lagi berharap dapat menemukan kedua-dua tokoh ini walaupun ada pihak tertentu yang tidak senang dengan usaha ini," katanya.

Sebelum ini, Dewan Pemuda PAS Perak berkata pihaknya berhasrat menemukan Harussani dan Nik Aziz berhubung "perang kenyataan" menyentuh isu-isu Islam baru-baru ini.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi merealisasikan pertemuan tersebut.

Harussani dalam tulisannya dalam Mingguan Malaysia sebelum ini mengaitkan Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dengan penyataan "undi PAS masuk syurga."

Tulisan Harussani itu mengundang rasa kurang senang kepada Nik Aziz lalu menghantar surat rasmi kepada Mufti Perak itu untuk memohon penjelasan berhubung dakwaan itu.

Bagaimanapun Harussani menegaskan, beliau tidak perlu membuat penjelasan kepada Nik Aziz berhubung tulisan responsnya menyentuh isu "undi PAS masuk syurga."

Ini kerana, jelas Harussani, sekiranya penjelasan diberikan kepada Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan itu akan tetap mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kehendak agama Islam.

Selain itu, Harussani percaya Nik Aziz akan tetap menggunakan hukum agama dalam politik yang boleh mengelirukan umat Islam.

Gempa Jepun: Universiti Tun Hussein Onn gagal kesan empat kakitangan

Posted: 14 Mar 2011 02:53 AM PDT

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sehingga hari ini masih gagal mengesan empat kakitangannya yang belajar di Jepun, yang dilanda gempa bumi dan tsunami paling buruk Jumaat lalu.

Jurucakap UTHM Nor Hidayati Ramlee berkata, seramai 43 kakitangan universiti belajar di Jepun, namun empat orang gagal dihubungi sehingga hari ini.

"Sehingga kehari ini kita masih gagal untuk menghubungi empat orang manakala yang lain ada yang terselamat dan ada yang berada di pusat perlindungan sementara.

"Kita sudah cuba hubungi sejak Jumaat lalu tapi masih belum dapat apa-apa maklumat mengenai empat orang ini... kita ada e-mel tapi tak balas dan kita cuba hubungi mereka tapi tak dapat, pihak kami memerlukan maklumat tentang keadaan mereka di sana," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Empat kakitangan UTHM itu dikenali sebagai Hezil Mansor yang menuntut di Universiti Ritsumeiken Asia Pacific, Nabilah Ibrahim (Universiti Tohoku), Shahrul Niza Mokhatar (Universiti Kagoshima) dan Siti Hajar Aminah Ali (Universiti Kobe).

Mereka ditaja oleh universiti itu dan ada yang ditaja Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada Jumaat lalu, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami - memusnahkan kawasan timur laut negara itu.

Kawasan Fukushima, antara bahagian paling turuk dilanda gempa bumi dan tsunami.

Angka kematian dijangka terus meningkat selepas pihak berkuasa negara itu mengesahkan 1,597 orang terbunuh dan 1,481 orang masih hilang di kawasan-kawasan sebelah timur laut dan timur yang dilanda gempa bumi dan tsunami Menurut Nor Hidayati, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keadaan dan kedudukan kakitangan UTHM itu boleh menghubungi pihak pentadbiran universiti itu di talian 07-4537127 atau menghantar e-mel ke alamat hidayati@uthm.edu.my.

"Kami nak tahu keadaan dan kedudukan mereka, selamat atau tidak, jadi kami minta sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak UTHM.

"Sekarang kami masih cuba menghubungi mereka selain meminta pihak kami di sana untuk meneruskan usaha mencari mereka," katanya.

600 ribu pendatang asing dikesan melalui projek IC di Sabah

Posted: 14 Mar 2011 02:42 AM PDT

Sumber KeadilanDaily

KOTA KINABALU: Aktivis hak asasi dan masyarakat, Dr Chong Eng Leong berkata, menurut kajiannya sehingga 2005, seramai 600,000 pendatang tanpa izin mendapat status kewarganegaraan tetap melalui projek IC di Sabah. Katanya, daripada jumlah penduduk Sabah yang berjumlah 1.6 juta penduduk, seramai 600 ribu adalah warga asing tidak termasuk pendatang yang memiliki permit sah.

Kalau dulu jumlah penduduk di Sabah adalah dua pertiga dari jumlah penduduk Sarawak, sekarang Sarawak dua pertiga daripada jumlah penduduk Sabah," ujarnya ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Pembentukan Suruhanjaya Diraja mengenai Pendatang Tanpa Asing (PATI) di Sabah pada Konvensyen KEADILAN yang diadakan semalam.

Projek IC di Sabah merupakan projek rahsia dan tersusun yang membabitkan beberapa parti politik termasuk agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen.

Dalam pembentangan kertas kerjanya, Dr Chong mengupas tentang Projek IC bagi membawa pendatang tanpa izin ketika Malaysia di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak tahun 1980 an dan 1990 an.

Dr Chong merupakan bekas calon PBS yang memfailkan petisyen pilihan raya Likas pada 1999 kerana membantahkan kewujudan pengundi hantu yang menyebabkan kekalahannya di kawasan itu.

Beliau mengulas pengakuan bekas ketua daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim yang ditangkap di bawah ISA dan beberapa buku yang ditulis secara terpeinci oleh seorang penulis bernama Mutalib MD mengenai projek IC di zaman Mahathir dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Harris Salleh.

"Dia (Hassnar) masuk ISA kerana peranannya dalam projek IC. Dia dedah ada mesyuarat yang dijalankan di Kuala Lumpur, yang dipengerusikan oleh Megat Junid Megat Ayub, siapa yang hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ahmad Sarji, Pengarah JPN Sabah, Haji Sani Adnan dan beberapa orang lagi,'"

"Dalam buku Mutalib, Projek IC- agenda tersembunyi Mahathir, dia tulis terang-terang siapa yang ada pada mesyuarat itu. Semua ada ditulis di dalam buku itu," katanya yang kini telah menyertai KEADILAN.

Katanya, beliau langsung tidak berharap kerajaan Umno-BN akan mempunyai kesungguhan politik untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat isu itu yang disifatkan sudah begitu kritikal.

"Kita boleh selesai hanya dengan satu cara, kita tukar kerajaan di Putrajaya. Kita Pakatan Rakyat, Pas, Keadilan dan DAP telah bersetuju akan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan awam untuk menyiasat perkara ini. Ini kerana soal keselamatan, kedaulatan kita untuk anak-anak cucu kita pada masa akan datang," ujarnya.

Peta Jepun Berubah, Kedudukan Pulau Honshu Berganjak 2.4 Meter

Posted: 13 Mar 2011 10:16 PM PDT

LAPORAN– AP/AFP/Reuters

T
okyo: Gempa bumi kuat yang melanda timur laut Jepun kelmarin, bukan hanya meragut sekurang-kurangnya 1,700 nyawa, manakala 10,000 lagi dikhuatiri hilang, malah meninggalkan kemusnahan besar termasuk ancaman radiasi di bahagian utara negara itu berikutan letupan di salah satu reaktornya selain impak fizikal yang menyaksikan peralihan paksi bumi kira-kira 25 sentimeter.

Anggaran kerugian AS$15 bilion (RM52.5 bilion). Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter kelmarin yang juga kelima terkuat di dunia itu menyebabkan kedudukan Pulau Honshu yang merupakan pulau utama Jepun itu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer – impak yang menurut saintis Itali dan Amerika Syarikat sebagai lebih besar berbanding gempa bumi Sumatera, sebelum ini.

Jepun mengerahkan lebih 50,000 askar, manakala anggota mencari dan penyelamat melakukan tugas mencari mangsa selepas gempa yang berpusat di pantai Pulau Honshu yang juga kawasan berpenduduk paling padat di Jepun dengan kemusnahan sekurang-kurangnya 3,600 rumah, dilaporkan.

Bagaimanapun, lebih 30 jam selepas kejadian itu, Perdana Menteri, Naoto Kan, berkata anggota penyelamat masih belum tiba di kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.

Seramai 215,000 penduduk di kawasan timur lautnya yang terjejas teruk itu, berlindung di penempatan sementara ketika sekurang-kurangnya 5.6 juta penduduk pula terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik dan air bersih.

Semua talian telefon terputus ketika ramai penduduknya yang terselamat, beratur panjang mendapatkan bantuan.

Sebanyak 400 mayat ditemui di bandar Rikuzentakata, wilayah Iwate yang dilaporkan musnah dan tenggelam sepenuhnya, manakala di bandar Sendai, sekurang-kurangnya 300 mayat turut ditemui.

Agensi berita Kyodo melaporkan, sebuah kapal yang membawa sekurang-kurangnya 100 penumpang, dihanyutkan tsunami dan nasib mereka belum diketahui hingga sekarang.

Ketika harapan menemui lebih ramai mangsa masih hidup kian tipis, Jepun dikejutkan dengan kejadian kebocoran radioaktif di salah reaktor nuklearnya di Fukushima, utara Tokyo akibat letupan di bumbung loji terbabit berikutan gempa bumi kuat.

Perkembangan itu meningkatkan ancaman radiasi jika reaktor itu terbakar dan memaksa kerajaan memindahkan penduduk yang tinggal di lingkungan 20 kilometer dari reaktor Daichi 1 berusia 40 tahun itu.

Pengumuman oleh Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano itu dibuat ketika rakaman televisyen memaparkan imej kepulan wap panas dari loji itu yang memaksa syarikat pengendalinya, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) berusaha mengurangkan tekanan dalam teras reaktor berkenaan.

Sementara itu, kesan tsunami turut dirasai di beberapa negara sekitar kawasan Pasifik dan Amerika Syarikat, dengan berjuta-juta penduduk terpaksa mencari perlindungan di kawasan lebih tinggi selepas menerima amaran tsunami.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terbunuh, manakala lima lagi dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan ombak besar di Cresent City California.

Isu Loteri Diperbesarkan Pihak Luar Kelantan - Balasubramaniam

Posted: 13 Mar 2011 10:14 PM PDT

Tahu dasar Islam Pas

SHAH ALAM – Rakyat bukan Islam di negara ini perlu mengetahui dasar Islam diperjuangkan Pas bagi memudahkan mereka memahami agama itu dengan senang.

Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas Malaysia (DHPPM), N Balasubramaniam berkata, masyarakat di Kelantan bersikap terbuka berhubung tindakan Kerajaan Negeri melarang penjualan loteri Big Sweep.

Menurutnya, isu ini cuba diperbesarkan pihak luar, terutamanya pemimpin bukan Islam, dengan alasan untuk merosakkan imej Kerajaan Kelantan.

"Banyak kelebihan jika menerima keputusan larangan penjualan tiket loteri itu," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Balasubramaniam berkata, 10 tahun lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengadakan perbincangan dengan tokoh Budha dan Hindu di negeri itu dan mereka sepakat dengan keputusan yang dilakukan Nik Aziz.

"Nik Aziz tidak akan membuat keputusan tanpa berbincang dengan pihak sepatutnya," katanya.

Sebelum ini, Exconya, Datuk Takiyuddin Hassan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, Kerajaan Negeri mengharamkan semua bentuk perjudian dan lesen bagi premis serta segala bentuk aktiviti perjudian tidak dikeluarkan di negeri itu. -SH

Umno Selangor Nafi Gagal Bayar Bil PBT

Posted: 13 Mar 2011 10:11 PM PDT

BERNAMA

SHAH ALAM: Umno Selangor tidak pernah gagal melunaskan bil tuntutan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak pakatan PKR-DAP-PAS mengambil alih pentadbiran negeri itu pada Mac 2008, kata Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Md Salleh Ungku Abd Jamal.

"Setiap pembayaran yang kami buat ada penjelasannya," kata beliau untuk menjelaskan kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Faekah Hussin, bahawa kerajaan negeri akan meminta semua PBT negeri itu untuk menyenaraikan semua hutang Umno kepada PBT dan melakukan tuntutan dalam tempoh dua minggu.

Faekah dilaporkan mendakwa Umno Bahagian Shah Alam masih mempunyai hutang tertunggak melebihi RM236,000 dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak lebih setahun lalu.

Ungku Md Salleh dalam satu sidang media di sini pada Ahad juga mencabar Faekah agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika meragui sumber dana yang diperoleh Umno Selangor dan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) untuk membiayai penghantaran pulang pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir.

Katanya Umno Selangor mempunyai dokumen yang lengkap untuk setiap perbelanjaan yang dilakukan dan beliau tidak takut jika perkara itu disiasat.

"Faekah sepatutnya melapor kepada SPRM jika mempunyai bukti-bukti yang menyebabkan beliau ragu dengan dana yang diberi khas kepada pelajar-pelajar negara ini yang menuntut di Mesir," katanya.

MCA Cadang Syarikat Insurans Salur Subsidi Bersilang

Posted: 13 Mar 2011 10:10 PM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: MCA menentang langkah untuk menaikkan premium insurans motor 'third party', sebaliknya menggesa syarikat insurans kenderaan melaksanakan subsidi bersilang bagi mengimbangi premium berkenaan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pihaknya menyedari bahawa syarikat insurans menanggung kerugian akibat tuntutan insurans 'third party' tetapi keuntungan besar yang diraih dari insurans komprehensif boleh membantu memberi subsidi bersilang kepada insurans 'third party'.

"Pada 2008, kutipan bagi premium insurans 'third party' ialah RM581 juta sementara tuntutan ialah RM1.553 bilion dan syarikat insurans mengalami kerugian kira-kira RM971 juta.

"Tetapi jika anda lihat pada premium insurans komprehensif bagi 2008, kutipan ialah RM24.253 bilion sementara tuntutan ialah RM2.594 bilion, bererti mereka meraih untung sekitar RM21.658 bilion.

"Jadi dengan keuntungan ini syarikat insurans mampu menyalur subsidi bersilang untuk premium insurans 'third party'. Yang demikian kenaikan insurans 'third party' adalah tidak wajar," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di sini pada Ahad.

Mengenai isu lain, Chua menggesa Kementerian Dalam Negeri membenarkan kemasukan Injil berbahasa Melayu, yang kini ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.

Beliau berkata kerajaan mesti menjamin hak setiap individu terhadap kebebasan beragama, dan amalan kepercayaan individu dihormati.

Guna kaedah berkesan dekati golongan 'atas pagar'

Posted: 13 Mar 2011 10:01 PM PDT

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) mahu semua wanita dalam Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang mengubah perancangan serta mencari kaedah lain yang lebih berkesan bagaimana untuk mendekati golongan 'atas pagar'.

Baginya, perancangan lama bukan tidak sesuai tetapi mungkin telah terlalu biasa dan memerlukan pemerkasaan yang lebih terperinci kerana wanita sekarang tidak seperti dahulu yang kurang pendedahan.

"Memandangkan masa berlalu begitu cepat dan putaran dunia global makin pantas, maka tiada lain perancangan dan pendekatan politik juga harus berubah ke tahap yang menyakinkan.

"Kalau boleh biarlah golongan wanita dalam Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang duduk semeja dan memikirkan tentang usaha menambat hati wanita," jelasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ketika merasmikan konvensyen Wanita Pakatan Rakyat Pulau Pinang di Audiotarium A , Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam.

Menurutnya, merayu dari rumah ke rumah semasa kempen pilihan raya walaupun penting tetapi ia dianggap terlambat.

Apa salah, katanya jika pertemuan dengan mereka diadakan saban bulan dengan niat ziarah di samping menyerahkan risalah menangkis tohmahan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sebagai kerajaan yang memerintah aktiviti wanita ke tiga parti memang terbuka luas ekoran terdapat jalinan program bersama kerajaan termasuk bergerak seiring kaum lelaki mencari warga emas, rakyat miskin dan terbaru golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU).

"Latihlah mulai sekarang, masa masih ada untuk mendekatkan diri wanita Pakatan Rakyat dengan kerajaan dan membantu merealisasikan slogan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat'. Jangan tunggu pilihan raya baru nak kunjungi mereka," tegasnya.

Justeru itu, ujarnya wanita Pakatan Rakyat bukan sahaja berperanan mendidik masyarakat menjadi sebuah masyarakat yang dinamik malahan turut menjadi sayap parti yang kuat bersama sayap pemuda.

"Jika ada sayap tapi tak kuat terbang tak guna. Oleh itu sebagai sayap, kita harus mendekati masyarakat serta membantu menyelesaikan masalah mereka kerana wanita adalah penentu kalah menang Pakatan Rakyat pada masa depan," ujarnya.

Rumah Adun Teja Dipecah Masuk

Posted: 13 Mar 2011 09:58 PM PDT

Ditulis oleh shuaib ayob

PERAK : Rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang dipecah masuk dipercayai antara tengah malam hingga awal pagi ini, dengan beberapa laci digeledah.

Mengikut paparan twitter pemimpin KEADILAN itu, bilik stor dan dapur rumahnya turut diselongkar.

"Bilik stor pun kena selongkar, apa sebenarnya mereka (pencuri) mahu?" tulisnya dalam bahasa Inggeris.

"Dapur juga. Cari makankah?" sindir beliau.

Beliau melalui twitter itu, dengan mengambil kira kejadian itu mengkritik statistik jenayah menurun.

Laporan polis sudah dibuat dan polis sudah mengambil keterangan beliau berdasarkan gambar yang dipaut pada twitternya.
Maklumat terperinci berkaitan kejadian belum diketahui, setakat ini.

Lih Kang menjadi Adun Teja selepas mengalahkan calon Barisan Nasional, Yeu Sau Kham dengan majoriti sebanyak 175 undi, pada pilihan raya umum (PRU) ke-12. Beliau memperolehi 6,533 undi berbanding lawannya 6,358 undi.

Satu lagi laporan Polis terhadap Taib

Posted: 13 Mar 2011 09:56 PM PDT

Ditulis oleh shuaib ayob



SARAWAK : Pergerakan untuk Perubahan Sarawak (MoCS), pimpinan Francis Siah telah membuat laporan polis terhadap Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud atas dakwaan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa.


Bagaimanapun, pelawaannya pada 4 Mac kepada Taib supaya hadir

di balai polis pusat (CPS), tempat Francis membuat laporan polis, tidak disambut - di mana Taib ataupun wakilnya tidak datang.

Siah (kiri - tengah) mahu Taib datang ke CPS jam 1 tengahari supaya mereka sama-sama membuat laporan polis.

Siah secara rasmi membuat laporan itu pada jam 1.15 tengahnya kepada Koperal Norsiti Raffidah. Beliau juga mengemukakan kompilasi siri laporan yang dipetik dari Sarawak Report, Bruno Manser Fund dan portal berita.

Siah berkata, kenyataannya akan diambil oleh pegawai penyiasat Inspektor Mohd Enzry, minggu depan.

"Saya membuat laporan polis jenayah pengubahan wang haram, rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya.

Lagi gempa 5.8 magnitud landa Jepun

Posted: 13 Mar 2011 09:51 PM PDT

LAPORAN- AFP



TOKYO : Gempa berkekuatan 5.8 magnitud melanda perairan timur laut Jepun, di Ibaraki, awal pagi ini menyebabkan bangunan tinggi bergegar di ibu negara Tokyo.

Bagaimanapun, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), gempa yang berlaku di 140 kilometer di perairan timur laut Tokyo itu tidak menyebabkan ancaman tsunami.

Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan dan mereka yang cedera.

Loji tenaga nuklear Fukushima letup lagi, cetus kebimbangan baru

Posted: 13 Mar 2011 09:50 PM PDT

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

Seorang ibu cuba bercakap dengan anaknya yang dikuarantin kerana dipercayai terdedah dengan radiasi dari loji tenaga nuklear Fukushima, hari ini. — Foto Reuters
TOKYO — Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi menyaksikan letupan baru hari ini — yang kedua dalam tiga hari — mencetuskan kebimbangan baru di kalangan rakyat Jepun yang masih belum keluar daripada kesan tragedi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Bagaimanapun agensi keselamatan nuklear Jepun tidak dapat mengesahkan sama ada letupan hidrogen di reaktor Unit 3 loji itu menyebabkan kebocoran radiasi.

Loji itu ada tiga reaktor.

Laporan Reuters menyebut, agensi berita Kyodo melaporkan sebanyak 2,000 mayat ditemui di dua kawasan pantai di Miyagi.

Angka kematian dijangka akan terus meningkat selepas pihak berkuasa mengesahkan 1,597 orang terbunuh dan 1,481 orang masih hilang di kawasan-kawasan sebelah timur laut dan timur yang dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Sebanyak 1,000 mayat ditemui dibawa ombak ke pantai-pantai di Semenanjung Ojika yang teruk dilanda gempa bumi dan 1,000 lagi dikesan di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tempatan tidak dapat berhubung dengan 10,000 orang atau separuh daripada penduduk kawasan itu.

Angka kematian rasmi tidak termasuk 200 hingga 300 mayat yang ditemui di Sendai, ibu kota Miyagi, yang belum boleh diakses oleh polis atau pekerja-pekerja lain.

Kira-kira 450,000 orang telah dipindahkan dari kawasan Miyagi dan lima kawasan setakat semalam.

Tiada ulasan: