BRIGED MP SEGAMBUT |
Posted: 18 Mar 2011 08:02 AM PDT KUALA LUMPUR, 18 Mac: Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi menyifatkan kenyataan Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi relevan sebagai angkuh. Athirah berkata, sebagai pemimpin muda, Rosnah tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang tidak menghormati hak rakyat untuk memilih mana-mana parti politik. "Ia adalah suatu kenyataan yang terlalu angkuh daripada seorang pemimpin muda dalam Umno yang hakikatnya baru bertatih mengenali dunia politik sebenar. "Kenyataan yang lahir daripada kedunguan dan emosi politik yang terkongkong malah tidak selari dengan perkembangan semasa negara dan dunia yang setiap hari menolak corak pentadbiran dan pemerintahan kuku besi serta monopoli oleh elit-elit politik tertentu yang lazimnya menjadikan rakyat sebagai bahan permainan dan perbodohan," kata beliau kepada Harakahdaily. Athirah juga berkata, Rosnah sebenarnya takut dengan pelbagai tawaran Pakatan Rakyat yang semakin mendapat perhatian dan keyakinan rakyat. "Bila dia kata PR sudah tidak relevan, Rosnah sebenarnya sedang menampakkan ketakutan dan kegusarannya terhadap pelbagai program Pakatan Rakyat baik yang telah dilaksanakan di peringkat negeri-negeri pentadbiran PR mahupun agenda 10 Janji Jingga PR," katanya. Tambahnya, kenyataan Rosnah sebenarnya hanya mengambil sikap emosi dan prejudis melulu sebagai seorang pemimpin muda Umno BN yang terdesak memastikan survival mereka khususnya dalam PRU13 akan datang. Athirah yang juga Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Muslimat Pusat itu juga berkata, Rosnah telah menyinggung perasaan sebahagian besar rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan kepada PR sehingga memerintah di beberapa buah negeri dalam Malaysia. "Sebagai Timbalan Menteri, Rosnah sewajarnya lebih memposisikan diri untuk kepentingan rakyat tanpa mengira mereka itu penyokong parti mana. "Adalah suatu yang amat malang mempunyai seorang pemimpin muda seperti Rosnah yang gagal memahami maksud sebenar sebuah negara yang baik dengan sistem demokrasi yang juga baik serta subur," katanya lagi. Beliau turut mencabar Rosnah untuk berdebat berdasarkan fakta, bukan mengeluarkan kenyataan kepada media milik mereka sahaja. "Rosnah juga barangkali tertipu dengan beberapa keputusan pilihan raya kecil sejak kebelakangan ini yang disimpulkan sebagai pulihnya sokongan rakyat terhadap BN, sedangkan hakikatnya ia tidak begitu. "Ini boleh kita syarahkan dengan lebih panjang lebar kalau Rosnah berani untuk berdepan secara hujah, bukan sekadar mengeluarkan pelbagai kenyataan kepada media proksi mereka. Beliau turut menasihati Rosnah agar belajar menerima hakikat bahawa pembangkang yang baik sangat perlu bagi memastikan ketelusan perjalanan pentadbiran sesebuah negara tanpa ada salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah dan ketirisan. "Peranan mana-mana atau sesiapa jua sebagai kuasa pembangkang tidak wajar diperlekehkan bahkan sebagai seorang pemimpin muda dalam fasa baru politik Malaysia, kita wajar lebih bersifat terbuka dan berfikiran positif. "Pembangkang dalam status politik wajar dilihat sebagai kuasa check and balance. Dan ini semua gagal untuk dilihat dan difahami oleh Rosnah. "Pakatan Rakyat memang sangat relevan dalam negara ini dan kita akan terus mencabar keangkuhan Umno BN," katanya. Semalam, Rosnah dalam satu program Umno menasihatkan pengundi di Sarawak dan Sabah agar menolak kepimpinan Pakatan Rakyat yang dikatakan tidak lagi relevan dan konsisten. |
Posted: 17 Mar 2011 09:18 PM PDT Walaupun kontroversi Interlok bermula dengan penggunaan perkataan "paria" dan perkara yang dianggap sensitif, panel bebas yang mengkajinya berjaya menerokai, terdapat juga bahagian yang dianggap "menyesatkan" dan "memalukan". Menurut cadangan pindaan melibatkan 67 perkara yang diperakukan oleh dalam persidangan terakhirnya pada 4 Mac, perkara itu antaranya yang menyentuh soal dewa penganut Hindu dan upacara keagamaan mereka. Dalam bahagian yang menceritakan upacara perkahwinan watak Maniam dan Malini (halaman 227 dan 228), disebut bahawa pengantin duduk atas pelaminan yang dihiasi daun mangga "yang ada hubungannya dengan kaman, dewa cinta". Terdapat juga bahagian yang menyebut tentang membaca doa untuk dewa Palikai selepas upacara ankurarppanam - yang ditafsirkan pengarang sebagai upacara pemujaan yang dilakukan dengan periuk tembikar berisi sembilan macam tunas biji-bijian. "(Berkenaan) Fakta dan budaya. Elakkan memberi maklumat yang 'menyesatkan'!" begitu ditandakan dalam ruangan "catatan/rasional" setelah mengusulkan supaya nama-nama dewa itu dibuang. Bagaimanapun, laporan yang diperoleh Malaysiakini daripada seorang anggota panel berbangsa India Uthaya Sankar SB tidak mengulas lanjut maksud "menyesatkan" seperti yang ditandakan. Istilah Britain Difahamkan, cadangan pindaan disediakan tiga anggota panel yang mewakili masyarakat India yang diberikan tugas khas mencari perkara yang sensitif bagi kaum itu. Ia antara lebih 100 cadangan yang dikemukakan, yang turut melibatkan "Buku 1" dan "Buku 2" yang menyentuh kehidupan keluarga Melayu dan Cina pada zaman sebelum merdeka. Selain Uthaya, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan turut terlibat. Sementara itu, cadangan itu juga mendakwa terdapat "kesalahan fakta yang amat memalukan" ketika Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menulis tentang babak dua watak India sedang menjamah makanan India, termasuk "papadom". Ayat asal yang digunakan seperti berikut: "Kemudian, dia mencedok rasam dan dibubuh di atas nasi. Diambilnya sambar diletakkannya di tepi daun itu dengan beberapa keping popadom dan sayur." Bahagian itu kemudiannya ditandakan sebagai, "Nota: papadam (Malayalam), appalam (Tamil). Popadom adalah istilah di Britain!" Selain itu, menariknya, cadangan itu turut cuba menonjolkan aspek moral dan keagamaan dalam wataknya seperti memasukkan perkataan "tuak dilarang di sisi agama" dan babak watak Maniam bersembahyang. Konsep bumiputera belum wujud Sementara hujah-hujah yang disebut dalam cadangan 12 halaman itu bagi menolak perkataan paria kerana watak utama kaum India bukanlah daripada kasta itu jika dilihat daripada kehidupannya yang digambarkan dalam novel. Antaranya, apabila dia (Maniam) berangkat ke Tanah Melayu dengan kemahuan sendiri yang didakwa mustahil mampu bagi seorang paria pada zaman itu. Antara lain dalam cadangan itu:
|
Posted: 17 Mar 2011 06:51 PM PDT Di Malaysia, industri pertahanan dalam bidang ekonomi pada hakikatnya merupakan "dinosaur" yang harus disingkirkan sejak awal lagi. Berbilion-bilion ringgit diperuntukkan kerajaan kita untuk menggerakkan sektor yang berorientasikan kecanggihan teknologi ini, namun tidak membawa apa-apa kesan ekonomi secara langsung mahupun tidak langsung sebaliknya. Perbelanjaan pertahanan adalah antara perbelanjaan kerajaan yang tertinggi, menelan bilion, malah belasan bilion ringgit setiap tahun. Menurut statistik daripada Stockholm International Peace Research Institute, perbelanjaan pertahanan Malaysia mencatat USD 4.078 bilion (lebih RM12.5 bilion) pada tahun 2009, bersamaan 2% daripada GDP. Sejak Jun 2010, kerajaan Malaysia telah memberi kontrak dengan jumlah nilai RM9 bilion sekurang-kurangnya untuk pembelian aset pertahanan baru dan pemeliharaan aset yang sedia ada. Kontrak yang bernilai kira-kira RM6 bilion dianggarkan akan diberikan seterusnya, dan kedua-duanya membawa kepada jumlah RM15 bilion. Selain itu, dalam Defence Fair pada tahun lalu, kerajaan telah menandatangani kontrak pertahanan negara yang nilai keseluruhannya berjumlah lebih RM10.4 bilion. Kerajaan telah memperuntukkan bajet RM 21 bilion kepada pertahanan di bawah Rancangan Malaysia kesembilan (tahun 2006-2010), bersamaan 10.6% perbelanjaan pembangunan. Bajet peruntukan ini melonjak kira-kira 10%, kepada RM 23 bilion di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (tahun 2011-2015). Daripada perkiraan di atas, purata perbelanjaan tahunan untuk pertahanan mencatat RM4.4 bilion, dalam tempoh tahun 2006 hingga 2015. Industri pertahanan bercanggah dengan logik ekonomi Jika mengikut teori ekonomi, peruntukan kerajaan Malaysia yang mencecah bilion ringgit ke dalam bidang yang berorientasikan kecanggihan teknologi, seharusnya menikmati peningkatan produktiviti dan penurunan kos daripada ciptaan teknologi baru. Namun, mengapa sektor industri pertahanan Malaysia gagal mengecapi manfaat ini daripada teknologi yang canggih, sebaliknya terpaksa memperuntukkan perbelanjaan yang semakin tinggi dari tahun ke tahun? Persoalannya, mengapa sektor pertahanan ini bercanggah dengan logik ekonomi? Terdapat dua masalah pokok di sini. Pertamanya, bidang pertahanan adalah sebahagian daripada dasar afirmatif bumiputera. Atau lebih tepat, merupakan salah satu saluran penting kerajaan untuk menyokong kroninya. Keistimewaan sektor ini adalah, hampir kesemua syarikat yang terlibat dimiliki bumiputera, malah tiada "persaingan pasaran". Semua kontrak pertahanan diberikan secara terus. Kontrak yang diberikan bertujuan untuk memanfaatkan usahawan bumiputera, terutamanya kroni. Lantaran daripada itu, dengan syarat "tidak kira apa pun harga yang perlu dibayar", maka nilai kontrak semakin melonjak. Misalnya, kerajaan memberi satu kontrak pembinaan enam buah patrol vessel kepada PSC Industries Bhd, yang dikuasai korporat bumiputera terkenal, Amin Shah Omar Shah. Harga asal pembinaan adalah RM5.35 bilion, tetapi tundaan yang berlaku telah melonjakkan kosnya kepada RM6.75 bilion pada Januari 2007. Tiada perpindahan teknologi Keduanya, perbelanjaan pertahanan negara lebih kepada pembelian aset ketenteraan seperti Armored Personnel Carrier (APC), kapal selam, patrol vessel; atau perbelanjaan untuk memeliharanya, hampir tidak melibatkan kajian dan penyelidikan teknologi yang canggih, malah tidak melibatkan perpindahan teknologi. Dalam pembangunan industri pertahanan, penguasaan kemahiran teknologi adalah kuncinya, dan juga aset yang paling bernilai. Semakin canggih, semakin kompleks malah semakin kuat kuasanya senjata ketenteraan, maka semakin tinggi harga produknya. Untuk Malaysia yang ketinggalan dari segi kecanggihan teknologi, kita hanya bergantung kepada teknologi alat pertahanan negara lain, dan kemudian memasang di tempatan (misalnya APC), atau terus import dari luar negeri (misalnya kapal selam). Kesemua ini tidak melibatkan perpindahan teknologi dari luar ke dalam negeri, malah juga tidak melibatkan penyelidikan yang bakal berakhir dengan penemuan atau ciptaan baru. Dalam perkara ini, pengalaman PROTON menjadi pengajaran terbaik. Sungguhpun industri otomobil Malaysi telah mempunyai sejarah 25 tahun, namun PROTON tetap gagal bersaing di pasaran antarabangsa - kerana selama ini kita hanya tumpu kepada kerja pemasangan - tiada penyelidikan, atau perpindahan teknologi. Selain itu, industri pertahanan adalah sektor industri dengan sensitiviti yang tinggi. Apabila pelabur mencurah wangnya untuk penyelidikan teknologi senjata tercanggih, ia berkemungkinan besar melibatkan rahsia ketenteraan, yang sudah pasti tidak akan dikongsi teknologinya. Dalam suasana dan keterbatasan sedemikian, bidang pertahanan di Malaysia bukan satu sektor ekonomi yang "produktif", malah cenderung sebagai sektor "belanja" atau "tidak produktif". Keadaan ini menjelaskan mengapa peruntukan bilion, malah belasan bilion ringgit ke dalam bidang ini tidak mendatangkan manfaat ekonomi secara langsung atau tidak langsung. Malah, ia tidak mendatangkan manfaat dalam hal civilian use yang menggerakkan tamadun manusia. Pertahanan vs Keselamatan vs Ancaman Pada dasarnya, perbelanjaan pertahanan mempunyai hubungan yang langsung dengan keselamatan negara dan ancaman luar. Perbelanjaan pertahanan akan melonjak apabila keselamatan negara hendak dipertingkatkan, atau ketika kita berdepan dengan ancaman luar. Peningkatan keselamatan atau penangkisan ancaman luar melalui pertambahan peruntukan pertahanan negara akan membawa kesan positif external (luaran) terhadap ekonomi negara, termasuk produktiviti ekonomi, pertumbuhan ekonomi yang stabil dan mengukuhkan keyakinan pelabur asing. Namun demikian, 54 tahun sejak kemerdekaan Malaysia (Tanah Malaya) - selain ancaman daripada Parti Komunis Malaya dan Konfrontasi Indonesia pada peringkat awalnya, kita tidak berdepan dengan peperangan atau ancaman serangan luar untuk 40 tahun yang lalu. Kekuatan pertahanan atau ketenteraan Malaysia bukan pertimbangan pelabur asing sejak permulaannya. Sebaliknya, pelabur asing lebih mementingkan pasaran yang bebas, struktur ekonomi dan politik yang sarat dengan amalan rasuah, struktur dan kerenah biroktasi, sumber manusia yang tidak berdaya saing, kadar penjenayahan dan sebagainya. Oleh itu, peningkatan perbelanjaan pertahanan langsung tidak mencerminkan, malah memenuhi keperluan realiti yang sebenar. Dengan erti kata lain, peningkatan perbelanjaan pertahanan untuk melindungi negara dari serangan luar langsung tidak berfungsi untuk memantapkan pembangunan ekonomi dan mengukuhkan keyakinan pelabur asing, sebaliknya menimbulkan masalah "perbelanjaan yang terlebih". Lebih tepat, bidang industri pertahanan yang didukung dengan wang berbilion-bilion ringgit ini sekadar untuk menyokong aktiviti merentir (rent-seeking) kroni, untuk mengekalkan politik naungan (patronage), dan tidak membawa apa-apa kebaikan ekonomi. *Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal. |
Posted: 17 Mar 2011 05:08 PM PDT Ummi Hafilda Ali hari ini memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap ahli perniagaan Nor Azman Abdullah Baginda Minda dan Malaysiakini. Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini. Ummi mendakwa sebuah artikel yang disiarkan dalam Malaysiakini pada hari Selasa, yang memetik Baginda sebagai berkata beliau akan mendedahkan dakwaan salahlakunya. Ummi juga memohon injunksi terhadap Baginda dan Malaysiakini daripada mengulang atau menyiarkan lagi kenyataan-kenyataan yang memfitnahnya. Bercakap kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut, Ummi berkata Baginda telah mencemarkan reputasinya ekoran perbicaraan kes liwat pertama terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. Ummi yang merupakan saksi utama dalam perbicaraan itu, mendakwa Baginda telah digunakan oleh pihak peguambela untuk memberi keterangan bagi mencabar kredibilitinya. Ummi juga mendakwa bahawa Baginda hanya menjadi alat yang digunakan oleh Anwar untuk memfitnahnya, sambil menegaskan bahawa PAS dan PKR menggunakan perkara itu untuk kepentingan mereka sendiri. Katanya, dia mengambil tindakan undang-undang itu bukan kerana takutkan Baginda berceramah mengulangi dakwaan fitnah terhadapnya, tetapi ia demi menjaga reputasi dan integritinya. Dalam pernyataan tuntutan 18 halaman, usahawan wanita itu mendakwa bahawa kenyataan Baginda dan artikel tersebut membawa maksud: Sementara itu, Bernama melaporkan, Ummi Hafilda dalam saman pemula tersebut mendakwa defendan dalam satu temuramah di lobi Bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi. Dia mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nor Azman adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat. Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mengakibatkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar. Beliau mendakwa defendan kedua pula telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah tersebut di web portal www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu. Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan-kenyataan berbau fitnah terhadapnya. |
You are subscribed to email updates from BRIGED MP SEGAMBUT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan