Jumaat, 18 Mac 2011

.

.


Tazkirah Jumaat

Posted: 17 Mar 2011 05:52 PM PDT

Judi, Kerajaan Kelantan Tidak Perlu Tolak Ansur

SAYA tidak tahu apakah ia wajar atau tidak untuk Kelantan memikir semula tindakannya melarang perjudian big sweep di negeri itu. Kenyataan MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dikeluarkan semalam sedikit mendukacitakan dan ia semacam ditekan.

Dalam kenyataan yang dibaca oleh setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari, menjelaskan kerajaan Kelantan akan mempertimbang balik pengharaman ke atas perjudian big sweep.

Kata kenyataan itu pihak kerajaan Kelantan akan meminta penasihat undang-undang membuat kajian semula ke atas tindakan yang diambil sebelum ini.

Apabila kerajaan Kelantan membuat 'ralat' itu maka timbul persoalan apakah sebelum larangan itu diketatkan kerajaan Kelantan tidak meminta pandangan penasihat undang-undang terlebih dahulu? Sepatutnya penasihat itu diminta memberi pandangan terlebih dahulu baru dilaksanakan penguatkuasaan untuk mengelakkan ia menimbulkan implikasi undang-undang.

Dengan apa yang berlaku, setelah timbul implikasi baru hendak ambil pandangan penasihat undang-undang ini bermakna tindakan itu dibuat tanpa mendapat pandangan penasihat undang-undang terlebih dahulu. Bolehlah dikatakan tindakan itu songsang atau pun berjalan tidak mengikut kepala? Jika ini berlaku agak malanglah bagi sebuah kerajaan yang sudah berusia 20 tahun.

Itulah jadinya kalau membelakangkan peraturan.

Dalam hal ini saya kira kerajaan Pas Kelantan khususnya Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sudah memahami hal ini. Mereka sudah tahu apa yang boleh dan tidak boleh. Sebab di MPKB-BRI sendiri ada penasihat undang-undang malahan Exco yang menjaga MPKB-BRI juga seorang lulusan undang-undang dan pernah menjadi peguam terkenal di Kota Bharu. Masakan MPKB-BRI tidak menghitung dari berbagai aspek perundangan sebelum ianya dikuatkuasakan.

Justeru apa yang saya nampak mengenai isu ini ialah tekanan daripada pihak bukan Islam dan ia ada implikasi politik kepada Pas. Jika semakan terhadap tindakan itu dilakukan sekali lagi kerajaan Kelantan 'mengaku kalah' kepada tekanan dan tidak berani untuk mempertahankan keputusan. Saya bimbang kalau keadaan ini berulang kerap sangat lama kelamaan orang boleh mempersoalkan wibawa kerajaan Kelantan yang megah dengan Membangun Bersama Islam itu.

Tekanan kepada kerajaan Kelantan ini jelas kerana pengumuman itu dibuat setelah Pas berjumpa dengan rakan mereka dalam Pakatan Rakyat, DAP dan PKR. DAP diwakili oleh Ketua Pemudanya, Loke Siew Fook; Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Liew Chin Tong dan manakala PKR oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Mohd Nor Manuty. Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali turut hadir sama.

Saya rasa didalam hati kecil Nik Aziz tidak bersetuju dengan langkah penyemakan semula tindakan itu. Apabila kenyataanya dibaca oleh Ahmad Fadhli ini bermakna beliau berat untuk memikir semula tindakan yang diambil sebelum ini. Kalau perkara itu diambil berat sudah pasti beliau sendiri akan mengumumkannya.

Sebelum ini MPKB-BRI sudah merampas penjualan tikit big sweep di dua buah premis di Kota Bharu serta menyita premis yang menjualnya. Ekoran tindakan itulah menimbulkan masalah dan bantahan dari sesetengah pihak. Rakan Pas dalam Pakatan - Dap dan PKR tidak begitu suka dengan tindakan Pas itu. Tentunya mereka lebih memikirkan soal kepentingan politik daripada tanggungjawab dan amanah untuk mencegah kemungkaran.

Nampak di sini Pas Kelantan menghadapi sedikit masalah dalam hal ini. Tindakan mereka sudah betul dan tepat sesuai dengan aspirasi kerajaan, tetapi lain pula dari kalangan rakan-rakan mereka, tidak bersetuju dengan tindakan itu. Masalah ini berlaku ialah kerana kelainan ideologi politik. Di sinilah bahanannya bagi Pas berkawan dengan DAP dan PKR. Dari satu sudut Pas mendapat keuntungan politik tetapi dari sudut lain Pas semacam kehilangan tanggungjawab dan amanah.

Pas boleh berkawan dengan sesiapa saja hatta Yahudi atau Israel tetapi Pas perlu menjaga agar nawaitu perjuangannya serta identitinya tidak lenyap gara-gara persahabatan itu. Pas juga kena pastikan dalam hubungan 'diplomatik politik' itu Pas sentiasa mendapat keuntungan darinya bukan merugikan diri.

Di sini saya hendak sarankan supaya kerajaan Kelantan terus dengan keputusannya sebelum ini. Jangan biarkan apa juga bentuk perjudian. Big sweep kena haramkan sama ada yang dijual di dalam premis atau pun di bawah pokok. Saya nak tanya apakah berjudi di tempat terbuka dengan berjudi di tempat tertutup ada perbezaan di sisi Allah?

Walaupun perjudian itu bukan memberi ruang kepada orang Islam, tetapi ia lebih memberi kepuasan kepada bukan Islam tetapi itu bukan alasannya. Pada saya haram tetap haram. Katakan sesuatu yang benar itu walaupun pahit.

Sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab dan memiliki kuasa mencegah kerajaan Kelantan kena tegas dan membenteras apa juga bentuk judi dan maksiat. Sekiranya kuasa yang dimiliki PBT hari ini tidak mencukupi untuk bertindak menghapuskan perjudian seperti big sweep itu, nah bagi kuasa kepada mereka secukupnya.

Pas mempunyai kuasa majoriti di Dun Kelantan jika perlu kepada kuasa tambahan itu maka pindalah perlembagaan. Tetapi saya rasanya untuk memberi kuasa kepada PBT bagi membasmikan perjudian tidak sampai pun memerlukan pindaan perlembagaan tetapi cukup setakat menambah enakmen kecil Majlis-Majlis Perbandaran dan seumpamanya sahaja. Yang penting mahu.

Kerajaan Pas Kelantan tidak seharusnya bersikap toleran di dalam hal ini. Tolak ansur berlebihan kepada pihak-pihak tertentu rasanya tidak wajar. Misalnya semata-mata untuk membolehkan orang bukan Islam melakukan maksiat atau aktiviti yang bertentangan dengan mereka, kerajaan Kelantan tidak perlu akur. Sebagai rakyat Kelantan atau orang yang bermastautin di Kelantan seharusnya tunduk dan patuh kepada kerajaan dan peraturan-peraturannya dan bukan sebaliknya. Ruang hak asasi bukan segala-galanya!

Contohnya bagi mereka yang ingin minum arak, berzina atau berjudi mereka boleh hijrah ke negeri-negeri lain yang membenarkan kegiatan berkenaan. Misalnya kalau untuk berjudi big sweep mereka boleh berpindah ke Terengganu kerana di situ ia boleh dibeli tanpa halangan. Kalau hendak hiburan dan perempuan, datang ke Kuala Lumpur, atau pergi ke Ipoh atau Kuantan, semua ada di situ.

Jadi tidak timbul di sini saya rasakan kerajaan negeri perlu menjadi anjal (liberal) dalam soal-soal yang ditetapkan Allah kerana kepentingan politik. Di sini juga saya hairan dengan sikap dan pendirian Pas dalam isu ini. Sepatutnya Pas pusat membuat pendirian tegas menyokong tindakan kerajaan Kelantan itu dan bukannya menganggap isu itu adalah isu terpencil di negeri itu. Sikap sebegini menyebabkan orang akan bertanya apakah conscious sebenar Pas terhadap perjuangan.

Saya selalu teringat kepada pesanan Tok Guru, bahawa hidup manusia ini bukan setakat di dunia sahaja, tetapi selepas mati nanti ada lagi kehidupan. Manusia ini akan dihisab bukan di sini tetapi di akhirat besok.

Pada saya tidak guna kalau kita menang politik, dapat kuasa tetapi tidak dapat menguatkuasakan kerana kemenangan begitu adalah sia-sia sahaja. Bertolak ansur, berhikmah di dalam politik pada saya hanya satu kebaculan saja. Besok Allah bukan saja tanya kerajaan UBN tetapi Allah juga akan hisab kerajaan-kerajaan Pas dan Pakatan Rakyat. [wm.kl.9:11 am 18/03/11]

Menanti Hujan Teduh

Posted: 17 Mar 2011 02:40 AM PDT

Pulau Brasmana
Kehilangannya Tidak Pernah Dirasai

SESIAPA yang ke Kuala Perlis untuk menaiki feri ke Langkawi terutamanya, akan terpandang hotel yang terletak di hadapan jeti berkenaan. Nama hotel berkenaan agak unik sedikit iaitu Putera Brasmana. Kalau dilihat kepada kelazimannya nama Brasmana itu semacam nama orang, kerana di depannya di padankan dengan Putera. Putera selalunya didhomankan kepada anak lelaki jantan berketurunan raja-raja.

Kerana menyinggahi Kuala Perlis atau melalui di situ sekejap saja, mungkin tidak ramai yang mengetahui apakah rahsia disebalik nama hotel berkenaan. Siapakah yang bernama Brasmana itu sebenarnya. Apakah ianya anak raja atau seseorang yang terkenal laksana pahlawan atau panglima di Perlis. Atau apa?

Sebenarnya Brasmana adalah sebuah pulau. Kenapa ia diabadikan di situ ada kisah dan ceritanya pula.

Adapun pulau itu terletak tidak jauh dari hotel berkenaan. Kalau berdiri di Jeti Kuala Perlis akan dapat dilihat dengan jelas pulau berkenaan dalam kedudukan melintang panjang. Asalnya pulau ini berada dalam perairan Malaysia. Dalam kata lain ia adalah khazanah negara ini. Tatkala kita mengetahui sejarahnya kita akan sayu dan sedih melihatnya kerana kini ia sudah menjadi milik orang.

Seperti mana dituturkan oleh seorang tokoh Umno Perlis, disebabkan kesilapan yang dibuat oleh juruukur kita menyebabkan pulau itu berpindah tuan kini menjadi hak Thailand. Kejadian ini berlaku dalam tahun 80-an. Tercenggang saya mendengar cerita itu dan sukar untuk mempercayainya. Kesilapan? Kesilapan macam mana sehingga secoping tanah milik kita berhijrah ke tangan orang lain.

Tidak pernah pula saya terdengar akan perpindahan itu ataupun polemik mengenai pulau berkenaan. Apakah ia tidak pernah digegerkan? Yang nyatanya kehilangan pulau berkenaan tidak dirasai oleh rakyat negara ini apa lagi untuk ditangisinya.

Ini tidak menghairankan kerana rakyat negara ini tidak sensitif terhadap hak dan kepentingan mereka. Kehilangan sebuah pulau tidak menjadi masalah kepada mereka. Inilah fikiran yang lama kelamaan menyebabkan bukan saja pulau tetapi tanah Semenanjung ini pula boleh lenyap dan bertukar nama kepada orang lain.

Tidak lama dulu kita telah hilang Pulau Batu Putih menerusi mahkamah timbang tara. Untuk beberapa waktu pulau itu menjadi milik kita. Tetapi kerana ketidak pedulian kita serta kebodohan menteri luar khasnya, akhirnya pulau itu telah melayang ke tangan Singapura. Kehilangan itu juga tidak ditangisi oleh banyak orang.

Memang tiada ada aset atau kekayaan di pulau berkenaan. Kalau ada pun pacat, unggas dan batu-batu yang kematu saja. Tetapi biarpun begitu bagi warga yang tahu menilai sejarah dan tahu menghargai hak mereka tidak mudah itu menyerahkan kepada sesiapa kerana pulau itu maruah dan air muka rakyat negara ini.

Apabila mahkamah timbang tara memutuskan pulau Batu Putih menjadi milik Singapura tidak ada seorang pun rakyat negara ini bangkit memprotes.

Begitu juga rakyat negeri Johor yang dikatakan lebih berhak ke atas pulau berkenaan. Pemimpin NGO yang hari ini melompat macam beruk mabuk todi, berarak ke sana berarak ke sana kononnya mempertahankan hak kepentingan Melayu dan negara ketika itu entah ke mana hilang. Mereka juga tidak membuka mulut memprotes kehilangan pulau berkenaan. Padahal sebahagian besar dari mereka waktu itu sudah pun berkhatan dan bersunat.

Sikap tidak peduli dan mudah menyerah atas rasa selesa tidak seharusnya diamalkan oleh anak watan negara ini. Kita semua harus sedar dan insaf dan melihat apa juga hak kita harus diambil berat. Jangankan sebuah pulau sepatutnya sebiji pasir pun kita kena pertahankan, jangan dibiarkan. Ambillah falsafah dan larangan yang dikenakan ke atas jemaah haji agar tidak membawa pulang walaupun sebutir pasir atau batu di tanah haram Makkah dan Madinah.

Larangan itu bukan saja-saja melainkan ada hikmah dan mesejnya tersendiri. Dalam hal ini saya mengambil pengertian bahawa Allah menyuruh kita menjadi bumi kita agar tidak 'diranyai' oleh mana-mana pihak.

Tetapi bila mengenangkan akan sejarah lampau yang berlaku di zaman pasca azab (penjajahan) apa nak menghairankan kerana pulau jauh lebih besar dan bermaruah dari Batu Putih dan Brasmana itu pun kita lepaskan begitu saja. Bukankah? [wm.kl.5:00 pm 17/03/11]

Tiada ulasan: