Sabtu, 5 Mac 2011

.

.


Renungan Sabtu

Posted: 05 Mar 2011 02:46 AM PST

Muhyiddin Amaran Rakyat, Kita Amaran Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin, Zaid Hamidi dan Hishamuddin Hussein memberi amaran supaya pembangkang tidak asak rakyat daripada melakukan apa yang rakyat Mesir lakukan. Pada saya Munyiddin tidak suasah payah memberi apa-apa amaran sebaliknya beliau dan UBN mengenal pasti apa yang rakyat mahukan hari ini.

Apa yang mereka itu kena ingat kalau rakyat sudah berang, hilang sabar, rakyat akan melakukan apa saja. Mereka akan bangkit tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Jangan perkecil suara rakyat. Hari ini ada beberapa lompongan yang perlu diisi segera oleh UBN kalau mereka tidak mahukan rakyat bangkit. Kalau mereka tidak mahu melihat pertumpahan darah, UBN kena perbaiki segera kepincangan ini.

Apa juga kepincangan yang berlaku dalam negara ini sehingga boleh membawa kepada keributan, perbalahan hatta pertumpahan darah kerajaan UBN kena bertanggungjawab. Jangan bila sudah berlaku tragedi semuanya disalahkan kepada pembangkang. Pihak kerajaan kena sedar yang mereka juga ada saham dalam sebarang cetus timbul.

Mungkin UBN merasa selesa selama ini kerana rakyat negara ini agak penakut dan berhati-hati dalam tindakan mereka atas kerajaan. Bila diadakan tunjuk perasaan, rakyat mudah dihurai. Hanya dengan pancutan water cannon saja rakyat akan lari. Atau bawa beberapa ekor anjing bersama FRU memegang cotal rakyat akan bercelidar lari.

Tetapi akan sampai ke satu tahap di mana rakyat tidak akan pedulikan water cannon lagi. Rakyat akan balik dan tumbangkan kereta kebal atau black maria. Akan ada rakyat yang akan sanggup mengorbankan nyawa demi melahirkan keadilan dan perubahan menyeluruh. Iya keadaan itu akan sampai juga nanti kalau kerajaan tidak mempeduli atau mendegar dengan baik suara dan rintihan rakyat. Jadi amaran tidak bermakna lagi.

Banyak yang berlaku kini tidak menyenangkan rakyat. Rakyat merasakan mereka diperbodohkan oleh kerajaan.

1. Saman ekor yang tidak masuk akal itu menyusahkan rakyat.
2. Pembahagian projek kepada kroni, diskriminasi dan penindasan secara 'berpelembagaan' masih terus berlaku.
3. Kenaikan harga barang yang sesuka hati tanpa sebab dan kawalan berpatut.
4. Pengangguran yang ramai dan tidak ada usaha mengatasi masalah ini.
5. Untuk mengatasi masalah penganggur kerajaan ambil mereka sebagai kakitangan kontrak kemudian bila cukup tempoh setahun atau dua tahun dihentikan begitu saja tanpa diserap ke jawatan tetap.
6. Ketirisan dalam sistem pembahagian subsidi dan peruntukan kepada rakyat. Kontrak hanya diberi kepada 'lembu jambu' dan 'gajah biru' saja.
7. Tidak ada pembaikian terhadap sistem pilihan raya.
8. Ketidak tegasan dalam tindakan undang-undang dan berlakunya pendakwaan terpilih masih berlaku. Perwujudan SPRM dan pembaikian sistem kehakiman hanya gimik saja.
9. Kian banyaknya berlaku penyelewengan dalam sistem pentadbiran, demokrasi dan sebagainya.

Inilah antara faktor atau pun hambatan kepada kerajaan yang mana satu hari nanti kalau mereka hilang sabar menyebabkan mereka akan bangkit memberontak. Mereka bukan saja setakat berhimpun tetapi juga akan membakar negara ini. Apa yang berlaku di Mesir, Tunisia dan negara Timur Tengah dan Afrika antaranya disebabkan oleh perkara disebutkan di atas tadi.

Muhyiddin atau Najib dan menteri lain perlu ingat, amaran dan larangan mereka itu yang bunyinya keras dan tegas ia tidak akan dipedulikan rakyat. Rakyat yang hilang sabar dan sudah ditindas melampau tidak akan peka dan prihatin kepada amaran itu.

Rakyat seperti harimau lapar yang dikurung, kalau ia tidak diberikan makanan atau tatkala ia hendak mengawan dan tidak diberikan kawan, dia akan mengamuk mengoyak sangkar. Sang harimau sanggup mati dalam sangkar besi asal dia merasai puas dan aman dengan kematian itu. Tunggulah Muhyiddin keadaan akan muncul juga kalau tuntutan tidak diselesaikan. Sebab rakyat bukan selamanya bodoh.

Justeru jalan terbaik ialah UBN tidak begitu sombong dan bongkok dan merasakan mereka boleh menipu dalam segala hal dan merasakan mereka akan berkuasa sampai khiamat. [wm.kl.6:55 pm 05/03/11]

Renungan Sabtu

Posted: 04 Mar 2011 05:11 PM PST

Kenapa Saya Boikot
Pilihan Raya Kecil Merlimau & Kerdau

MUNGKIN ada di antara pejenguk blog Merah Tinta tertanya-tanya kenapa tidak ada laporan pilihan raya kecil Kerdau dan Merliau. Tidak seperti biasa saya akan membuat laporan setakat termampu dan mengulas perjalanannya. Kadang-kadang saya mengambil masa hingga larut malam untuk mengisi blog berhubung sesuatu pilihan raya. Saya tidak akan peduli apa yang orang lemparkan terhadap saya, tetapi demi 'tugas' saya lakukan. Tetapi kenapa tidak kali ini?

Bagi penjenguk yang membuka atau mengikuti catatan iseng-isengan saya di Facebook akan menyedari akan hal ini, kesepian mengenai Merlimau dan Kerdau dalam ruang blog saya. Dalam catatan ringkas sebelum hari penamaan calon saya sudah menjelaskan saya tidak akan melayani pilihan raya kecil berkenaan. Dalam istilah popularnya ialah 'boikot' pilihan raya berkenaan. Tindakan ini agak sinikal tetapi itulah yang berlaku. Boikot.

Saya tidak menjelaskan kenapa saya mengambil keptusan itu, menjauhkan diri dari kedua pilihan raya tersebut. Di sini, saya jelaskan serba ringkas kenapa saya berbuat begitu. Dalam pada itu ada macam-macam pandangan dan ulasan dari rakan Fb terhadap tindakan saya itu. Ada juga memerli saya, sejauh mana saya boleh berpuasa dengan tindakan itu. Saya tahu ada oknum yang tertunggu-tunggu untuk menyebat saya atas keputusan saya itu.

Saya adalah saya! Jarang saya menarik balik apa yang saya putuskan. Keputusan saya juga tidak mudah sejalur dengan keputusan orang lain. Walaupun pemboikotan ini tidak ada implikasi kepada mana-mana parti politik, tetapi sekurang-kurangnya saya membuat protes secara peribadi dalam keadaan senyap, dan saya berjaya.

Alasannya, bagi saya tidak perlu untuk Pas menyertai kedua-dua pilihan raya berkenaan. Dengan menolak untuk Pas menjadikan pilihan raya itu sebagai platform untuk berdakwah, atau mengajarkan demokrasi kepada penduduk dikedua kawasan itu, bagi saya penyertaanya tidak relevan dan begitu mustahak.

Saya tidak mahu bahaskan sejauh mana Pas berjaya menggunakan kedua pillihan raya itu sebagai wadah dakwah. Tetapi apa yang saya nak sebut, ialah kesan dan implikasi dari pilihan raya berkenaan. Dan dalam pemerhatian saya berdasarkan laporan berbagai pihak ternyata ruang pilihan raya itu lebih banyak menjadi tong sampah tempat melemparkan fitnah, kata mengata, menunjuk samseng daripada menjadi mimber untuk berdakwah mengajak manusia berhemah dan kembali je jalan Allah dengan harmoni dan damai.

Di atas kertas sudah jelas Pas tidak akan menang pada kedua pilihan raya berkenaan. Kedua pilihan raya itu adalah dalam kubu Umno. Sukar untuk Pas memenanginya dalam keadaan pilihan raya kecil di mana UBN akan main jahat dan mengeksploitasikan apa yang ada. Kurang cerdiklah kalau Pas sengaja menahan batang tubuhnya untuk 'dipajang' dalam pilihan raya berkenaan. Keberanian haruslah disertakan dengan kebijaksanaan dan pandai bermuslihat. Menyerang lawan tidak kira tempat dan tanpa melihat kekuatan musuh adalah kurang cerdik kalau tidak pun bodoh.

Sebenarnya Pas boleh menggunakan alasan yang kemas untuk tidak menyertai pilihan raya itu, dari dikatakan oleh pengikutnya sebagai pengecut. Misalnya Pas boleh mengatakan tidak perlu kerana pilihan raya umum akan tiba bila-bila masa saja. Penyertaannya membazirkan wang dan masa saja. Kandati pilihan raya umum ke-13 jauh, tetapi Pas boleh guna alasan itu. Ianya logik dan tepat dan saya percaya semua ahli akan menerimanya dengan baik.

Tanpa menyertai pilihan raya itu Pas boleh menyimpan tenaga untuk menghadapi pilihan raya umum di kedua kerusi berkenaan. Pas boleh simpan atau perbanyakan wang dalam tabung buluh yang dilancar oleh Tuan Ibrahim Taun Man. Daripada wang dihabiskan di kedua pilihan raya itu baik disimpan bagi menghadapi pilihan sebenar - PRU. Alasan Pas untuk berlatih di pilihan raya berkenaan rasanya tidak begitu kuat. Tidak timbul soal Pas perlu membuat latihan tubi setelah Pas melalui 12 kali pilihan raya umum. Masakan masih belum cerdik-cerdik lagi?

Sebaliknya bila Pas ikut menyertai pilihan raya itu, Pas akan dihentam kiri dan kanan. Secara tidak langsung juga ia membelek ruang fitnah besar dilakukan di pilihan raya berkenaan. Rasanya misi dakwah Pas pada pilihan raya itu tidak terlawan dengan fitnah, pengkhinatan dan pencabulannnya. Seharusnya Pas tahu akan hakikat ini, dan menutup ruang fitnah itu dengan tidak menyertai pilihan raya itu. Saya rasa ini juga sayu amalan baik.

Juga bagi saya, Pas tidak perlu menyertainya kerana ia memberi kesan sampingan lain yang menguntungkan UBN. Keputusan pilihan raya itu nanti akan memberi peluang kepada UBN untuk dijaja kepada rakyat kononnya mereka sudah diterima rakyat. Kemenangan itu nanti akan dijadikan modal kononnya UBN sudah pulih semula. Kemenangan dengan majoriti mengatasi apa yang diperolehi dalam pilihan raya lalu menjadikan UBN akan bergembira besar, walaupun kalau menang sudah cukup bererti buat mereka.

Ada orang berpendapat Pas bertanding untuk tidak mahu UBN menang percuma. Apa salah kalau UBN menang percuma? Maruah dan kredibiliti Pas tidak akan terjejas. Kalah dan menang tidak memberi apa-apa erti kepada kedudukan kedua-dua kerjaan negeri berkenaan. Ia tidak akan merubah status quo yang ada. Sepatutnya biarlah UBN melontarkan kata-kata Pakatan pengecut kerana tidak menyertai pilihan raya itu, tidak mengapa. Dalam perjuangan berundur selangkah bukan bermakna kalah tetapi mengumpul kekuatan dan semangat untuk mara seribu langkah dan mengapai puncak kemenangan. Itulah hemah dan kebijaksanaan dalam perjuangan.

Sudah sampai masanya saya rasakan Pas tidak begitu tergila-gila sangat untuk bertanding di mana saja kerusi tanpa memikirkan kesan dan akibat. Kalau semata-mata hendak bertanding bagi mengelakkan UBN menang percuma tidak bijak, bukan tindakan politik yang profesional. Rasanya kalau UBN menang tanpa bertanding ia tidak menjejaskan nilai dan kualiti Pas sedikit pun. Sebaliknya tanpa pertandingan itu menyebabkan UBN akan keliru untuk mecongak sejauh mana kekuatan Pas dan Pakatan yang disimpan untuk dihemburkan pada pilihan raya umum lalu.

Pas boleh bertanding kalau kebetulan kerusi itu adalah milik mereka seperti mana di Galas. Ataupun kedudukan dan senerionya tidak seperti hari ini, seperti di Parlimen Kuala Terengganu. Tetapi hari ini bukan lagi semalam yang memberi kelebihan kepada Pas. Bak kata orang tua-tua kalau hendak menauk, menauklah dalam sawah bukannya menauk dalam lubuk, di lubuk orang merawai bukan menauk!

Saya tidak tahu apakah keputusan Pas untuk bertanding itu merupakan keputusan 'kolektif' yang diputuskan oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Selalunya Abdul Hadi akan membuat keputusan kolektif dalam hal-hal begitu. Kalau keputusan itu merupakan keputusan kolektif bermakna semua pemimpin Pas kena bertanggungjawab atas apa juga keputusan pilihan raya berkenaan.

Sebalik kalau ia hanya keputusan beberapa orang dari Dewan Harian Pas, maka orang berkenaan hendaklah bertanggungjawab. Apa yang saya tahu Pas memang sudah tidak berminat untuk meneruskan pertandingan, tetapi pihak kawasan Keredau dan Melaka begitu beriya untuk bertanding.

Mereka tentu ada alasan sendiri. Tetapi kalau pertandingan di Merlimau dan Kerdau itu kerana semata-mata atas desakan dan kemahuan kawasan, maka kesan kepada keputusan itu nanti hendkalah ditanggung oleh pemimpin peringkat kawasan. Apapun adalah tidak bijak kalau Presiden tidak menggunakan kuasa proregatifnya bagi menasihati agar Pas tidak menyertai pilihan raya berkenaan.

Apa yang saya tulis hanya padangan dan dari perspektif yang saya nampak saja dan mungkin tidak betul. Adapun muslihat dan nawaitu Pas menyertai kedua pilihan raya itu hanya mereka saja yang tahu. Kita hanya melihat dan menilai dari luar saja yang mungkin banyak silau dan silapnya. Semoga Pas memperolehi pahala dari kedua pilihan raya berkenaan. [wm.kl. 10: 20 am 05/03/11]

Sebelum Gelap

Posted: 04 Mar 2011 03:23 AM PST

Wakil Rakyat Umno Rasuah

YANG ramai dilaporkan rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) ialah wakil rakyat Pakatan Rakyat. Di Kelantan lebih lima laporan dibuat terhadap wakil rakyat Pas sepanjang 19 tahun lalu kononnya terlibat melakukan pelbagai rasuah. Ada yang dilaporkan menerima rasuah untuk pergi menunaikan haji.

Ada yang dilaporkan rasuah dan disiasat kerana terlibat dalam meluluskan kawasan balak. Ada yang terlibat dengan pengaihan rumah kedai majlis daerah. Ada juga disiasat dan dilaporkan kerana rasuah menggunakan peruntukan kerajaan membina paip air ke rumah ibu sendiri. Dan entah macam-macam lagi.

Anihnya dalam banyak laporan dan siasatan itu tidak ada satu kes pun yang lekat. Maksudnya tidak ada seorang pun wakil rakyat Pas diseret ke mahkamah kerana kerana rasuah. Atau yang lagi dibicarakan beberapa hari.

Berlainan dengan keadaan wakil rakyat UBN di Negeri Sembilan. Di negeri ini tidak ada riuh randah mengenai penglibatan wakil rakyat mereka dalam rasuah. Kalau pun ada bekas Menteri Besarnya yang menang jawatan Naib Presiden digugurkan kerana terlibat dengan rasuah. Wakil rakyat lain tidak pula kedengaran.

Alih-alih hari ini Mahkamah Seksyen Seremban telah mendapati Adun Lenggeng dari BARISAN NASIONAL UMNO Mustafa Salim (foto) didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM2,000. RM2,000 saja bukan juta-juta. Mungkin kalau nilai rasuahnya ratusan juta ia tidak akan disiasat?

Mahkamah akan menentapkan 1 April ini untuk menentukan hukuman. Menurut laporan Mustafa dihukum dibawah Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Mengikut akta itu pesalah boleh dihukum 14 hari hingag 20 tahun penjara atau denda lima kali jumlah suapan atau minimum RM10,000.

Perkembangan di Negeri Sembilan itu membuka persoalan umum apakah satu lagi pilihan raya kecil akan berlaku di negera ini? Sebab kalau mengikut perlembagaan negara,
Perkara 48(1)(e) menggariskan bahawa kelayakan seseorang wakil rakyat akan gugur sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah serta dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000.

Biarlah kita tunggu 1 April nanti. Namun naluri saya mengatakan bahawa tiada pilihan raya kecil untuk kerusi Lenggeng. Mahakmah boleh mengenakan hukuman yang menyebabkan pilihan raya tidak boleh diadakan. Eloklah rakyat sudah pun naik bosan dan muak dengan pilihan raya.

Nasib yang diterima Mustafa itu secara tidak langsung mencemarkan Umno dan Barisan Nasional. Takdir itu juga menunjukkan bahawa wakil rakyat Pas khasnya di Kelantan bersih dengan rasuah.

Dan bila mendapat tahu yang Adun Umno Lenggeng itu didapat bersalah maka teringatlah saya kepada kata-kata Hussein Ahmad, bekas Ketua Penerangan Umno Malaysia dalam pertemuan dengan saya dua tiga minggu lepas Hussein bertanya, pemimpin Umno mana yang tidak rasuah? Ertinya seluruh pemimpin Umno rasuah termasuk juga beliau (Hussein) sebab beliau pernah memimpin Umno. He he...[wm.kl.7:40 pm 04/03/11]

Tiada ulasan: