Ahad, 20 Mac 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Penulis 'Nik Aziz’s Outlandish Edicts' (Fatwa Pelik Nik Aziz) sila baca!!

Posted: 20 Mar 2011 08:14 AM PDT

Saya merujuk kepada artikel yang tersiar di muka 10, akhbar New Straits Time bertarikh 19 Mac 2011 yang bertajuk Nik Aziz's Outlandish Edicts (Fatwa Pelik Nik Aziz).

Saya kira penulis artikel tersebut Azmi Anshar berniat jahat dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti al-Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan sewaktu menulis artikel yang sebahagian besarnya mengandungi unsur-unsur prejudis terhadap Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Dari para pertama lagi, penulis menampakkan kedangkalannya apabila menyentuh berkenaan dengan gesaan YAB Tuan Guru supaya wanita Kelantan berpakaian sopan dan menutup aurat.

Penulis menyifatkan gesaan ini sebagai seemingly denuded women of their long-held rights to dress, appear and behave as they always had in Malaysia (kelihatan menafikan hak wanita selama ini yang bebas untuk berpakaian, muncul di khalayak dan menampilkan diri sebagaimana kebiasaan wanita di Malaysia).


Hairan sekali, apabila seorang penulis yang namanya mencerminkan dirinya sebagai seorang muslim boleh mempertikaikan apa yang disebut oleh Menteri Besar Kelantan itu.Sedarkah penulis, bahawa pakaian menutup aurat bukannya difardhukan oleh Nik Aziz, apa lagi Muhammad SAW, bahkan ia merupakan kefardhuan daripada Allah SWT. Tidak malukah penulis sebagai seorang muslim mempertikaikan kata-kata Menteri Besar Kelantan itu dalam keadaan dirinya masih merupakan seorang yang bersyahadah ; bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah?

Perlu diingatkan, bermula tahun 1990, Tuan Guru Nik Abdul Aziz hanya menyebut isu aurat sebagai satu teguran kepada rakyat dan juga kakitangan wanita yang bekerja, tidak pernah ada satu tangkapan yang dibuat terhadap mereka yang tidak menutup aurat sehinggalah pada tahun 2005, barulah diperkenalkan kod berpakaian dan dikenakan denda kepada mereka yang melanggarnya. Adakah ini merupakan satu perkara yang pelik sehingga dianggap fatwa pelik oleh Azmi Anshar?

Sedarkah Azmi bahawa di Amerika Syarikat sendiri pada hari ini, fesyen berseluar londeh dan mendedahkan pakaian dalam juga telah dilarang demi memastikan keamanan dan ketenteraman awam. Tidakkah itu juga merupakan satu fatwa pelik? Atau Azmi Anshar ingin berkata bahawa PAS juga wujud di Amerika? Demikian juga di China, pakaian seksi sehingga menggangu mata orang lain juga turut dilarang di atas alasan menjaga ketenteraman awam. Apa jawapan Azmi Anshar terhadap langkah kedua-dua negara ini?

Artikel ini juga bagi saya penuh fitnah terhadap dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan di Kelantan. Seolah-olah kerana dasar inilah wanita di Kelantan ditindas. Barangkali Azmi Anshar ini seorang penghuni gua yang baru keluar melihat cahaya. Sedarkah beliau bahawa di Kelantanlah, golongan wanita dibela dengan pelbagai dasar kebajikan yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri. Di sini terdapat skim perlindungan kepada armalah, cuti wanita bersalin selama 60 hari, penggalakan wanita yang bekerja di kilang-kilang agar diberikan shif bekerja pada waktu siang sahaja, perlantikan Senator daripada kalangan wanita dan juga perlantikan penghulu khas untuk golongan wanita. Semuanya ini merupakan cetusan perubahan yang dimulakan oleh kerajaan yang menindas wanita seperti yang digambarkan oleh penulis Azmi Anshar. Dan jangan lupa, di saat cuti dua hari seminggu yang dinikmati oleh kakitangan awam di seluruh negara pada hari ini termasuklah golongan wanita, ia bermula di negeri Kelantan yang mana Doctor In The House itu pernah melabelnya sebagai budaya pemalas!

Azmi Anshar juga mempertikaikan soal calon wanita yang bertanding mewakili PAS pada hari ini sebagai satu perubahan terhadap fatwa pelik Nik Aziz. Kasihan sungguh apabila beliau tidur selama dua dekad sehingga gagal untuk melihat punca wanita tidak digalakkan bertanding sekitar tahun 1970an – 1990an. Sedarkah Azmi Anshar, parti yang pertama meletakkan calon wanita ialah PAS melalui calonnya Khatijah Sidek yang bertanding di kerusi Dungun, Terengganu pada tahun 1955. Pada waktu itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih berada di luar negara dan masih belum mengeluarkan pandangannya (atau dalam istilah Azmi Anshar sebagai fatwa pelik).

Apa yang menyebabkan golongan wanita agak terkebelakang satu ketika dahulu ialah kerana permainan politik kasar UMNO yang menggunakan politik ala samseng dengan pemuda tahan lasaknya dan lain-lain. Senario ini meletakkan ahli politik terutama dari pembangkang seperti PAS dalam keadaan bahaya dan ini tidak sesuai untuk dipikul oleh golongan wanita. Lupakah kita kepada tragedi yang berlaku kepada Allahyarham Abdul Samad Gul, ahli parlimen PAS yang mati dibunuh satu ketika dahulu? Lupakah kita kepada insiden-insiden berdarah yang menimpa penceramah-penceramah PAS satu ketika dahulu?

Hari ini, senario tersebut beransur reda dan wanita dibenarkan kembali untuk berada di pentas politik ekoran keselamatannya yang sudah agak terjamin berbanding sebelum ini. Azmi Anshar perlu sedar, polisi tersebut bukannya satu fatwa, tetapi pendirian sementara mengikut senario semasa. Sepatutnya Azmi Anshar lebih fokus kepada agama yang diperalatkan oleh UMNO yang hanya bersifat sementara. Islam Hadhari sebagai contoh, di longkang mana ia dicampakkan pada hari ini setelah ia dijulang bagaikan ratib wajib satu ketika dahulu?

Melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai anti wanita ialah satu tuduhan songsang yang sangat tersasar. Jangan dilupa cadangan Tuan Guru agar diberikan peluang kepada Muslimat PAS menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS beberapa tahun yang lampau. Bolehkah UMNO membuka pintunya seluas itu? Tentu sekali tidak, kerana jawatan dalam parti UMNO umpama lubuk yang boleh menjanjikan seribu satu projek dan tender.

Azmi Anshar tidak berjaya membuktikan apa-apa melalui tulisannya, hanya sekadar memenuhi separuh muka surat akhbar NST dengan satu tulisan sampah yang tidak mempunyai apa-apa nilai. Sekian.


Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari (20 Mac 2011)
- Penulis ialah Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.

WiFi Percuma, nak bohong tu.. biarlah berpada..

Posted: 20 Mar 2011 07:27 AM PDT

Setelah NGO atau NGOk habis diperguna mereka kini Media pula menjadi lidah mereka dalam menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang..

Terbaru agensi berita nasional Bernama dan akhbar harian bahasa Inggeris, New Straits Times kerana melaporkan kerajaan negeri tidak memasukkan kawasan pilihan raya BN untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar Wifi secara percuma...


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membidas agensi berita nasional Bernama dan akhbar harian bahasa Inggeris, New Straits Times kerana melaporkan kerajaan negeri tidak memasukkan kawasan pilihan raya BN untuk mendapatkan perkhidmatan jalur lebar Wifi secara percuma.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, turut mengecam pemimpin BN atas 'taktik tidak jujur' mereka menggunakan kawalan mereka atas media untuk melakukan penipuan.

Lim berkata, kerajaan negeri tidak terperanjat bila akhbar seperti New Straits Times berterusan menyerang kerajaan negeri bagi sesuatu yang ia tidak dilakukannya, tetapi sebenarnya cuba membetulkannya.


"Tetapi bagi agensi berita nasional seperti Bernama untuk tidak menyiarkan penjelasan kerajaan negeri bahawa inisiatif WiFi bebas itu adalah untuk semua, termasuk kawasan parlimen BN, menunjukkan bahawa pilihan raya umum semakin hampir dan Bernama patut dikenali BNnama," kata Lim, dalam satu kenyataan hari ini.

"Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah untuk semua penduduk Pulau Pinang, termasuk penyokong BN," jelas Lim.

Beliau mengulas laporan yang memetik pengerusi Pasukan Petugas Komunikasi Pulau Pinang, Jeff Ooi sebagai didakwa berkata tiada gunanya melabur wang di Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Nibong Tebal buat masa ini.

Laporan tersebut dibidas oleh beberapa pemimpin BN yang mengkritiknya sebagai "tidak adil", malah "merbahaya dan kebudak-budakan".

Ooi, yang juga ahli parlimen Jelutong dilaporkan berkata jika kerajaan negeri mempunyai sumber, ia akan menyediakan perkhidmatan percuma, tetapi inisiatif itu kini ditumpukan ke kawasan pilihan raya yang diwakili Pakatan.

"Jika penduduk di kawasan tersebut mahukan WiFi, mereka hendaklah mengundi Pakatan," Ooi dipetik sebagai berkata dalam akhbar The Star.

Taib Mahmud adalah Hosni Mubarak di Malaysia?

Posted: 20 Mar 2011 02:06 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dicadang membuat usul tergempar di Parlimen mendesak penubuhan Suruhanjaya Bebas bagi menyiasat semua pendedahan kekayaan luar biasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, kata Pengerusi Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman.

"Pendedahan Sarawak Report dan badan bukan kerajaan (NGO) lain mengenai kekayaan beliau (Taib Mahmud) sesuatu yang tidak boleh dinafikan," katanya pada kenyataan media, hari ini.


Semalam, Presiden Transparency International (Malaysia), Paul Low menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi berkaitan, segera menyiasat dakwaan rasuah terhadap Taib Mahmud bagi mengelakkan Malaysia berada dalam kedudukan corot dalam indeks rasuah dunia.

Mengalu-alukan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Isnin ini, Mazlan yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat, berkata rakyat Sarawak mesti berani melakukan perubahan dengan menyingkirkan Taib Mahmud dan Barisan Nasional (BN) di Sarawak.

"Jenayah Taib Mahmud dan kuncu-kuncunya tidak boleh dimaafkan. Dosa mereka terlalu besar dan rakyat mesti menyingkirkan mereka," katanya.

Mazlan berkata, jurang kehidupan antara Taib Mahmud dan pemimpin BN jauh berbeza dengan rakyat yang tinggal di pondok buruk sedangkan mereka memiliki mahligai jutaan ringgit.

"Perhatikan penduduk di Kampung Pujut, Miri dengan kroni BN di perumahan elit Luak Esplanade. Macam langit dengan bumi!" katanya.

Beliau juga menyifatkan, rekod buruk pemerintahan 30 tahun Taib Mahmud punca kebanyakan kawasan di Sarawak ketinggalan 40 tahun berbanding Semenanjung Malaysia.

"Penderitaan dan kesengsaraan rakyat akibat kemiskinan tegar meliputi sebahagian besar kehidupan penduduk Sarawak.

"Ketiadaan bekalan api, letrik, air, jalan tanah merah dan prasarana adalah fenomena biasa di negeri itu. Lihat sahaja di Sibu, Bintulu, Batang Lupar, Miri, Limbang dan bahagian lain di Sarawak.

"Tidak tergambar di minda kita, sebuah negeri yang luas, ada minyak dan kawasan balak terbesar di Malaysia, rakyatnya hidup daif," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Paling menyedihkan, kata Mazlan, tanah adat (NCR) yang diteroka sebelum merdeka, dirampas syarikat kroni Taib Mahmud, walaupun penduduk melakukan segala cara untuk mempertahan tanah mereka.

"Memorandum dan laporan polis menjadi rutin tetapi dipandang sepi Taib Mahmud," katanya yang turut menyelar keangkuhan BN kerana menggunakan samseng untuk mengekang kesedaran rakyat, sekali gus menjadikan Taib Mahmud adalah Hosni Mubarak di Malaysia.


Keadilandaily

Serangan barat membunuh 48 rakyat Libya

Posted: 20 Mar 2011 01:33 AM PDT

Apa yang kita boleh pelajari dari tragedi ini ialah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.. Dikala Libya berada dalam suasana yang lemah, barat mengambil kesempatan dari peluang yang ada dengan mencipta berbagai alasan untuk menguasai Libya dan Minyaknya..

TRIPOLI: Barat melancarkan fasa pertama serangan ke atas pertahanan Libya apabila 112 peluru berpandu tomahawk dilepas ke atas lebih 20 sasaran.

Serangan itu dilakukan oleh kapal perang Amerika dan British, bertujuan membuka laluan kepada pasukan udara bersekutu untuk melumpuhkan pertahanan udara negara itu.

Ketika mengumumkan serangan tersebut, Presiden Barrack Obama berkata, langkah itu diambil bagi menyelamatkan nyawa orang awam meskipun beliau keberatan mengunakan kuasa ketenteraan, lapor AP.

"Kami tidak boleh melihat sahaja apabila seorang pemimpin yang zalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak akan ada belas kasihan ke atas mereka," katanya dilapor dari Brasilia.


Para pegawai Amerika memberitahu masih terlalu awal untuk menilai kesan serangan itu, tetapi yakin berlaku kemusnahan teruk ke atas pertahanan Libya.

Naib Panglima William E. Gortney memberitahu wartawan serangan itu adalah permulaan kempen yang dikenali sebagai 'Operation Odyssey Dawn'.

Wartawan AFP pula melaporkan, bom digugurkan awal pagi ini berhampiran Bab al-Aziziyah, ibu pejabat Presiden Muammar Gaddafi di Tripoli, mencetuskan kemarahan diktator tersebut.

Wartawan itu melaporkan mediterranean kini telah menjadi seperti 'medan perang'.

Sementara itu, stesen televisyen tempatan pula melaporkan seramai 48 maut manakala 150 lagi cedera dalam serangan tersebut.- Keadilandaily


Isu DNA Hanya 'Wayang Kulit'

Posted: 20 Mar 2011 01:13 AM PDT

SHAH ALAM 20 MAC: Desakan beberapa badan bukan kerajaan pro Umno yang meminta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan DNA beliau di mahkamah, dilihat sebagai satu pertunjukan 'wayang kulit' bertujuan memesongkan pemikiran masyarakat dalam kes fitnah kedua Anwar.

Peguambela Anwar, Sivarasa Rasiah dalam segmen Fokus Berita Khas di Tv Selangor semalam berkata, apa yang berlaku hari ini adalah skrip yang diulang tayang ketika kes fitnah Anwar pada 1998.

"Mereka keterangan dalam kes Datuk Seri Anwar ini bukan satu fenomena baru. Dalam kes 98', it sudah mula dengan (Tan Sri) Gani Patail sendiri yang dibuktikan mereka laporan medikal supaya memberi gambaran palsu bahawa Anwar telah mencederakan diri sendiri dalam kes mata lebam," tegas beliau.


Beliau menjelaskan, tindakan pemalsuan bukti dalam kes Anwar Ibrahim begitu kronik hinggakan seorang pegawai polis berpangkat tinggi turut terlibat memalsukan bukti kes dengan meletakkan DNA Anwar pada tilam dalam kes sebelum ini.

Justeru ujarnya, keengganan Anwar yang juga Ketua Pembangkang untuk membenarkan sampel DNA beliau diperoleh ada asasnya.

"SAC (Mohd) Rodwan (Mohd Yusof) pada masa itu, terlibat dalam usaha mencuri sampel darah Datuk Seri Anwar yang disimpan oleh Dr Zahari Nor dan Rodwan ini terlibat dalam usaha memberi keterangan DNA dengan menanam DNA di atas tilam yang kita nampak diangkat turun setiap hari di mahkamah (pada masa itu)," kata
beliau lagi.

Selain itu, tambah beliau, keterangan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat juga tidak konsisten serta menampakkan ciri-ciri wujudnya satu konspirasi untuk menjatuh dan membunuh karier politik Anwar.

"Kita ada bukti sekarang yang disahkan di mahkamah, budak Saiful ini dah berjumpa Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), juga dengan (Datin Seri) Rosmah (Mansor). Mula-mula Najib menafikan, kita kena ingat itu, lepas itu (Najib) terpaksa mengakui, kata, Saiful berjumpa untuk bincang pasal biasiswa. Itu membohong, satu pembohongan. Lepas itu dia (Najib) tukar cerita dan kata Saiful datang laporkan tentang satu insiden liwat," jelas beliau.

Malah tambah beliau, terdapat banyak lagi kesangsian yang boleh dipersoalkan dari segi teknikal berkenaan kejadian sebenar pada hari Saiful mendakwa dirinya diliwat, dengan hanya menilai bukti DNA yang kononnya milik Anwar yang ditemui pada tubuh pengadu.


TVS News

Dulu nak pijak Mahkamahpun takut.. Sekarang cakap Besar pulak..

Posted: 20 Mar 2011 01:00 AM PDT

Oleh : Wira Arjuna

Apakah kuasa atau 'muka' yang tinggal kepada badan kehakiman negara, apabila Perdana Menteri sendiri menyanggah arahan mahkamah dan mendesak Ketua Pembangkang untuk menyerahkan DNA beliau dalam kes liwat fitnah 2.

Berucap di Kuching semalam, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sendiri rela memberikan DNAnya jika di minta diminta oleh pendakwaraya.

Anehnya Najib tidak membuat tawaran itu semasa pembincaraan kes bunuh Altantuya Sharibuu walaupun ada dokumen-dokumen jelas menunjukkan Najib bukan sahaja mengenali model Mongolia itu tetapi mengadakan hubungan seks dengannya.


Rasa tidak perlulah dikitarkan semula, bahan-bahan bukti di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengaitkan pejabat Najib kepada Abdul Razak Baginda (penasihat Najib) dan pegawai polis yang di dapati bersalah membunuh Altantuya.

Ketika perbicaraan itu, bukan sahaja Najib tidak memberikan DNAnya, beliau langsung tidak menawarkan diri untuk ke mahkamah bagi memberi keterangan demi menjelaskan hubungannya dengan Altantuya.

Demonstrasi dan tunjuk perasaan yang dianjurkan di seluruh negara oleh Umno dan juak-juak parti untuk mendesak Anwar memberikan DNAnya minggu lalu tentunya bertujuan memberi tekanan kepada mahkamah mengeluarkan arahan sedemikian kepada Ketua Pembangkang itu.

Namun segala tunjuk perasaan itu menerima sambutan hambar. Di Petaling Jaya, 50 orang hadir namun media massa arus perdana melaporkan kumpulan itu mewakili 30 pertubuhan bukan kerajaan!.

Mungkinkah Najib terdesak untuk mencabar Anwar menyerahkan DNAnya kerana sambutan dingin pada tunjuk perasan yang dianjurkan oleh konco-konconya tidak menjadi?.

Atau lebih bahaya, mungkinkah Najib bertindak sedemikian kerana menyedari 'perangkap" yang dipasang oleh polis untuk menghumban Anwar ke penjara sekali lagi tidak akan berjaya ekoran keputusan hakim bahawa bahan bukti diambil oleh polis secara tipu helah dan tidak sah.

Apa pun, hakikat ialah Najib mengetahui tindakan-tindakan mantan Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Peguam Negara Abdul Gani Patail memalsukan bukti terhadap Anwar pada tahun 1998.

Dua pegawai kanan itu turut menjadi paksi kepada pendakwaan terhadap Anwar kali ini, Begitu juga dengan seorang lagi pegawai dari kes dahulu, ASP Rodhwan Mohd Yusuf yang berjumpa dengan pengadu Saiful secara sulit sebelum laporan polis di buat terhadap Anwar.

Hakikat juga adalah pengadu Saiful Bukhari Azlan menalifon Musa, dan berjumpa Rodwan, serta mengadakan perbincangan dengan Najib sebelum beliau membuat laporan polis, mendakwa di liwat oleh Anwar.

Najib tahu semua ini, Beliau juga tahu ketelusan proses siasatan terhadap Anwar dalam kes fitnah pertama dan kedua serta penggunaan bukti reka cipta terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri itu yang kini menjadi musuh utama politik beliau dan Umno.

Berbekal semua "pengetahuan dan maklumat itu" Najib tetap "yakin"' pada kewibawaan polis, pejabat Peguam Negara untuk mengendalikan bukti sampel DNA Anwar.

Perbicaraan setakat ini sudah pun mendedahkan bagaimana polis campurtangan dalam pemeriksaan doktor terhadap Saiful, termasuk mengisi sendiri borang pemeriksaan awal.

Perbicaraan turut memperlihatkan "ketakutan' doktor untuk merujuk kepada nota-nota kerana bimbang ia digunakan oleh peguam bela untuk mengetahui kebenaran mengenai dakwaan yang dibuat oleh Saiful.

Perbicaraan turut mendedahkan bagaimana polis sendiri membelakangkan arahan Jabatan Kimia dan peraturan dalam menyimpan bukti-bukti dan sampel DNA itu sendiri.

Bayangkan seorang kanan pegawai polis boleh alpa sehingga menyimpan bukti DNA dalam peti simpanan dan bukannya peti sejuk sebagaimana yang perlu.

Najib tahu semua ini namun kenapa beliau begitu bingkas dan terdesak mahukan Anwar menyerahkan DNAnya?

Jawapannya mudah kerana mahu melengkapkan satu lagi pendakwaan atas bukti reka cipta untuk kali kedua terhadap musuh politik utamanya yang bernama Anwar Ibrahim.


TVS News

Samsengnya Kroni Taib Mahmud...

Posted: 19 Mar 2011 07:31 PM PDT


Wakil rumah Ranggong diforum 'Tanah, Adat dan Pilihan Raya' malam tadi, Sui anak Salleh turut menceritakan pengalamannya bersama rumah panjang Ranggong dan Belilie yang diserang kira-kira 100 samseng BN menyerang kampung mereka menggunakan bom dan sabit.

Sungguh menghairankan, kemanakah perginya anggota polis yang bertugas di Sarawak? Adakah kerana mereka itu kaum pribumi yang kurang berpelajaran kita akan menjadikan mereka seperti Red Indian di US?


Adakah laporan mereka dipandang sepi sebagaimana laporan kaum Penan yang mendakwa wanita mereka dirogol oleh pembalak?

Perlukah kita tunggu hingga mereka mengulangi tradisi memenggal kepala yang diamalkan oleh datuk nenek mereka baru kita hendak bertindak?

Mereka juga rakyat Malaysia yang sedikit sebanyak menyumbang untuk kesejahteraan kita bersama tetapi mereka dilayan lebih teruk dari warga asing yang mencari makan di negara ini..


Samseng kroni Taib Mahmud guna bom rampas tanah ada

KUALA LUMPUR: Syarikat yang menjadi kroni Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud sanggup mengupah samseng untuk membakar rumah bagi menghalau orang Asal, seterusnya merampas tanah milik mereka.

"Jika dulu, syarikat kroni menggunakan kaedah memujuk sebelum 'merampas' tanah rakyat tetapi kini sampai ke tahap membakar dan mengupah samseng untuk menyerang penduduk seperti yang berlaku di rumah panjang Ranggong.

"Saya tidak menolak kemungkinan masyarakat Orang Asal akan 'memenggal' mereka seperti zaman dahulu jika syarikat kroni terus-terusan menindas dan merampas hak kami," kata Minggat anak Nyakin.

Mingat antara orang Asal yang dibelasah samseng beberapa bulan lalu hingga kedua-dua penglihatannya terjejas dalam usaha mempertahan haknya sebagai pemilik tanah adat.

Beliau berkata demikian pada forum 'Tanah, Adat dan Pilihan Raya' malam tadi. Ahli panel ialah Pengarah Eksekutif BRIMAS Sarawak, Mark Bujang; Setiausaha Awam Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia), Nicholas Mujah dan Koordinator Sarawak Indigenous Lawyers Alliance (SILA), Abun Sui Anyit.

Lebih 200 orang menghadiri forum anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dengan kerjasama Jawatankuasa Hak Sivil dan NGO Peguam, Loyar Buruk.

Wakil rumah Ranggong, Sui anak Salleh turut menceritakan pengalamannya bersama rumah panjang Ranggong dan Belilie yang diserang kira-kira 100 samseng BN menyerang kampung mereka menggunakan bom dan sabit.

"Kami selaku pemilik tanah dan Orang Asal kesal dengan tindakan syarikat kroni yang mengahtar samseng untuk menghalau dan menakut-nakutkan kami.

"Serangan samseng itu termasuk menggunakan bom dan sabit dilakukan terhadap penduduk rumah panjang kira-kira seminggu," katanya.


Keadilandaily

Libya diserang, 110 peluru berpandu dilancar

Posted: 19 Mar 2011 07:22 PM PDT


TRIPOLI, 20 Mac — Tentera perikatan Amerika Syarikat dan Eropah melancarkan tindakan ketenteraan — dinamakan operasi Odyssey Dawn — ke atas Libya semalam (tengah malam dan awal pagi ini, waktu Malaysia) untuk memaksa Muammar Gaddafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri, sekali gus meninggalkan tampuk kepimpinan.

Kempen perikatan itu dilihat sebagai yang terbesar sejak Perang Iraq hampir lapan tahun lalu.


Ekoran serangan itu, televisyen kerajaan Libya melaporkan negaranya "diceroboh musuh".Pesawat-pesawat perang melepaskan serangan pertama dengan memusnahkan kereta kebal pasukan tentera kerajaan di Benghazi, sebelah timur Libya.

Selain Amerika Syarikat, perikatan Barat itu terdiri daripada Britain, Perancis, Kanada dan Itali.

Beberapa jam kemudian (awal pagi ini waktu Malaysia), kapal perang dan kapal selam Britain dan Amerika Syarikat melancarkan lebih daripada 110 peluru berpandu ke atas pangkalan pertahanan udara di sekitar Tripoli - ibu negara Libya dan bandar raya Misrata di sebelah barat, yang dikuasai tentera Muammar.

Pentagon berkata operasi ini diadakan untuk menguatkuasakan resolusi PBB yang mengenakan zon larangan terbang dan apa jua pendekatan bagi menghentikan tindakan ketenteraan Muammar di negaranya ekoran kebangkitan rakyat yang berlarutan sejak sebulan lalu.

Resolusi itu diluluskan tiga hari lalu.

Malah serangan ini dilancarkan beberapa jam selepas perikatan itu dan negara Arab mengadakan mesyuarat khas di Paris semalam.

"Ini bukan hasil yang Amerika Syarikat atau mana-mana rakan kami mahukan," kata Presiden Barack Obama yang sedang mengadakan lawatan ke Brazil.

"Kita tidak boleh berdiri begitu sahaja apabila seorang penzalim memberitahu rakyatnya bahawa tidak ada belas kasihan," kata beliau.

Tidak sampai dua jam selepas Obama mengeluarkan kenyataan itu, Muammar pula muncul di televisyen sambil merayu kepada negara-negar Arab dan Amerika Latin supaya "berdiri bersama rakyat Libya, menentang pencerobohan ini yang tidak akan membawa apa-apa kesan, sebaliknya menjadikan rakyat Libya lebih kuat dan bersatu."

Di Washington, Laksamana Muda William E. Gortney berkata, peluru berpandu dilepaskan daripada beberapa kapal pemusnah Amerika Syarikat dan juga kapal-kapal selam serta satu daripada milik Britain.

Katanya, serangan itu mengenai lebih daripada 20 lokasi tentera udara Libya sepanjang kawasan pantai Mediterranean dan sebelah barat.

Katanya, serangan ini hanya bahagian pertama siri kempen mereka dan lebih banyak serangan sudah dirancang.

Kapal Amerika Syarikat yang terlibat termasuklah USS Barry, USS Stout, USS Providence, USS Scranton dan USS Florida manakala satu kapal selama Britain Westminster.

Dalam pada itu, laporan terbaru pagi ini menyebut Libya mahu Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tergempar ekoran serangan Barat sejak semalam.

Laporan stesen televisyen Al Jazeera dan Al Arabiya yang menyiarkan harapan itu tidak memberi sumber bagi berita tersebut.


The Malaysian Insider

Bible Bahasa Melayu, Guan Eng jugak dikata berniat jahat...

Posted: 19 Mar 2011 10:08 AM PDT


Sinar Harian semalam begitu meriah dengan berita yang meunjukkan berbagai NGO mengadakan demonstrasi aman di beberapa tempat mendesak Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim menyerahkan DNA kepada mahkamah untuk mempercepatkan proses perbicaraan kes tuduhan liwatnya.

Banyak gambar yang disiarkannya, ada gambar yang menunjukkan kira-kira 15 orang yang kononnya dari pelbagai NGO berhimpun di hadapan Masjid Jamek Sungai Nibong mendesak Anwar menyerah DNA kepada Mahkamah, ada juga demo yang dianjurkan PERKASA dan PEKIDA daerah Keluang dan juga PERKASA Muar juga tidak melepaskan peluang untuk mengadakan demo ini..


Ada juga yang lebih bodoh telah membuat laporan Polis bagi mendesak Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim menjalani ujian DNA dan menyerahkannya kepada Mahkamah. Yang Dipertua Perkasa Batang Padang juga mengatakan laporan Polis itu dibuat kerana baginya Anwar telah mencabar Mahkamah..

Aku rasa mungkin dia ni sepsis bodoh tak boleh diajar ni.. pasal tak tahu hujung pangkal cerita nak bercakap juga macam Rosmah yang mengeluarkan kenyataan lawak antarabangsa pasal Tsunami di Jepun hari tu.. Pendakwa kan belum kemukakan lagi permohonan kepada Mahkamah, jadi macam mana pula Anwar dikatakan mencabar Mahkamah??

Malang bangsaku.. yang nak menjadi pembela kepada bangsaku amat kurang bijak..

Dalam aku membelek akhbar itu terpandandang satu berita juga pasal demo tapi bukan pasal menuntut Anwar menyerahkan DNA demo ini pasal Bible berbahasa Melayu.

Demo yang diadakan di Georgetown itu disertai oleh seramai 30 ahli Badan Anti Islam Liberal (Badai), mereka membantah keputusan Dewan Rakyat dan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang telah membenarkan Bible diterjemahkan kedalam Bahasa Melayu.


Mereka membantah keputusan Dewan Rakyat dan Perdana Menteri tapi kalau diperhatikan pada banner yang dibawa mereka mereka mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng..

Guan Eng dikatakan berniat jahat kerana membenarkan pengedaran Bible dalam Bahasa Melayu sedangkan nama jalan digunakan dalam Bahasa Lain..

Apa kena mengena Guan Eng dengan Bible Bahasa Melayu ni entahlah.. sedangkan yang menahan dan melepaskan Bible tersebut sempena Pilihanraya Sarawak adalah Kementerian Dalam Negeri..

Nampak sangat yang mereka itu mengadakan demo tapi tak tahu apa yang mereka nak protes.. orang kata menyerbu membabi buta..

Dibawah ini berita tentang siapa yang membenarkan pengedaran Bible dalam Bahasa Melayu tu dari Malaysiakini..


Penahanan alkitab Injil BM ditarik balik

Setelah dibidas pelbagai pihak, berhubung tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menahan ribuan alkitab Injil berbahasa Melayu, kerajaan hari ini bersetuju untuk mengeluarkan kitab yang dirampas dan ditahan di Kuching dan Pelabuhan Klang.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, berkata tindakan kerajaan itu selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah membenarkan pengeluaran serta penyebaran Kitab Injil dalam Bahasa Melayu secara terhad dan terkawal.

Bagaimanpun semua kitab berkenaan mesti dicop dengan tag "Untuk penganut agama Kristian sahaja".
"Sejak tahun 1982, dengan akta tersebut, laporan menunjukkan bahawa tiada sebarang isu atau masalah yang dihadapi dalam pelaksanaannya. Dengan merujuk kepada fakta tersebut, Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menggunakan warta 1982 yang sama dalam pengeluaran Kitab Injil.

"Setelah pemerhatian serta analisa yang teliti, Peguam Negara (AG) juga telah menetapkan bahawa pengeluaran Kitab Injil yang telah diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah.

"Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," kata Idris.

Menurut beliau, kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya, kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

"Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan," katanya.

Idris yang merupakan penganut agama Kristian dan berasal dari Sarawak berkata beliau telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini. Bagi penganut agama Kristian, kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan Kitab Injil di Kuching mahupun di Pelabuhan Klang," katanya.

Dari perspektif penganut agama Islam pula, katanya, seperti yang telah ditetapkan oleh Peguam Negara, pelaksanaan ini tidak akan memberi kesan dalam kes mahkamah yang berkaitan isu Kalimah Allah.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," akhiri kenyataan itu.

Tiada ulasan: