Khamis, 10 Mac 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Malaysia dan Mesir sama tapi tak serupa..

Posted: 10 Mar 2011 08:09 AM PST

Selama 30 tahun warga Mesir ditipu dengan pilihan raya. Selama 30 tahun warga Tunisia ditipu melalui pilihan raya. Selama 40 tahun warga Libya ditipu dengan pilihan raya. Akhirnya mereka turun ke jalan raya.

Oleh : Hishamuddin Rais

Minggu lalu telinga kita hingar bingar. Pendengaran kita haru biru. Keadaan jadi kuntau muntau. Ini kerana ada beberapa ekor Pak Menteri telah bersilat lidah cuba membuktikan bahawa Malaysia dan Asia Barat tidak sama.

Bila sahaja mereka mula membuka mulut, kita telah nampak yang mereka cuba melebong. Pak Menteri ini amat gerun untuk menyebut nama Tunisia dan nama Mesir. Yang disebut nama Asia Barat. Lalu kita bertanya: Ikan pekasam jenis apa yang dipanggil Asia Barat ini.

Negara yang mana satu namanya Asia Barat. Ini tidak pula dijelaskan untuk Mak Cik Felda yang melopong mendengar labon Pak Menteri yang sedang berceramah di Kerdau dan di Merlimau. Sedih dan sayu memikirkan Mak Cik Felda yang terus menerus kena tipu. Dari pendekatan saikoloji amat jelas Pak Menteri ini takut untuk menyebut nama Tunisia. Ini kerana ada bunyi…SIA di belakangnya.


Badan Pak Menteri menggigil sejuk mendengar nama Mesir kerana nama negara ini bermula dengan huruf M. Mereka akan sakit jiwa apabila mendengar atau membaca apa sahaja berita tentang Mesir atau Tunisia, Bahrainisia, Yemenisia, Jordanisia atau Libyasia. Seperti Pak Pandir – nama-nama negara Arab ini telah menjadi:Tok Tok Kai Serondong Batang Apa Hinggap di Tengah Belakang.

Memang betul Mesir dan Malaysia tidak serupa. Memang betul Tunisia dan Malaysia bunyinya sama tetapi satu di bumi tropikal dan satu di Laut Tengah. Sungai Nil dan Sungai Klang tidak serupa. Pokok durian dan pokok tamar tidak serupa. Kulit sawo matang Melayu dengan kulit buah zaiton Arab tidak serupa. Tidak serupa bukan bermakna tidak sama. Pokok durian dan tamar adalah pokok. Sungai Nil dan Sungai Klang adalah sungai. Justeru, warga Mesir dan warga Malaysia ada manusia.

Warga Mesir bukannya kambing dan warga Malaysia bukan keldai. Jika diterima hakikat bahawa warga Mesir dan Malaysia ini manusia maka mereka akan memiliki ciri-ciri kemanusiaan yang sama. Yang pokoknya – rakyat di Mesir menuntut keadilan dan turun ke jalan raya melawan kezaliman. Rakyat di Malaysia juga menuntut keadilan dan turun ke jalan raya melawan kezaliman. Ini asas kesamaan. Ini hakikat.

Ini realpolitik – bukan politik berkempen untuk menjadi ketua bahagian Kampung Gagu. Kitapun jadi hairan dan tertanya-tanya. Kenapa Pak Menteri ini risau kalau Mesir dan Malaysia tidak sama. Kalau Tunisia dan Malaysia tidak sama? Kenapa mula melebong panjang dengan teori bahawa Malaysia ini berbeza dari Mesir. Malaysia ini special. Malaysia ini lain. Dan Malaysia ini unik. Betul ke? Mari kita lihat persamaan antara Mesir dan Malaysia.

Mula-mula mari kita lupakan huruf M yang tidak membawa apa-apa makna yang mendalam kecuali untuk Pak Menteri yang takut dengan Tok Tok Kai yang akan hinggap ke atas belakangnya. Paling menonjol persamaan Mesir dengan Malaysia ialah kedua-dua negara ini sedang diperintah di bawah undang-undang darurat.

Di Mesir undang-undang darurat di isytiharkan semenjak tahun 1981 – apabila Presiden Sadat mati dibunuh. Hingga ke hari ini undang-undang darurat ini masih diguna pakai untuk memukul musuh politik regim Mubarak.

Di Malaysia – ramai warga tidak sedar – bahawa kita di Malaysia ini masih tertakluk di bawah undang-undang darurat. Pertama diisytiharkan oleh British pada 20 Jun 1948, kemudian oleh Mageran tahun 1969 dan pada tahun 1974. Undang-undang darurat ini masih diguna pakai.

Kerana itu jika kita duduk lima orang di warung, mengikut tafsir undang -undang darurat, kita boleh ditangkap. Lebih dari tiga orang akan ditafsir sebagai perhimpunan haram. Larangan-larangan yang sedang menafikan hak asasi kita untuk berkumpul itu adalah sebahagian dari undang-undang darurat peninggalan British.

Undang-undang darurat ini digunakan oleh British untuk memastikan penjajah British akan terus berkuasa di Tanah Melayu ketika Parti Komunis Malaya sedang mengangkat senjata melawan mereka. Undang-undang darurat yang sama tidak pernah dimansuhkan oleh Parlimen walaupun British telah lama lari.

Undang-undang British ini terus digunakan oleh United Malay National Organisation untuk memastikan mereka terus berkuasa dan memastikan Pakatan Rakyat mustahil akan sampai ke Putrajaya kecuali naik bas. Mesir dan Malaysia sama-sama mengakui bahawa negara ini mengamalkan sistem demokrasi dengan pilihan raya.

Mesir ada Parlimen, Perdana Menteri, Menteri dan Presiden. Semua ini dipilih melalui pilihan raya. Tidak berbeza dengan Malaysia – hanya di Malaysia kita tidak ada Presiden. Mubarak telah menjadi Presiden semenjak tahun 1981. Awalnya Mubarak telah dilantik oleh Parlimen untuk menjadi Presiden. Pada tahun 2005 perlembagaan telah diubah.

Perubahan tahun 2005 ini membolehkan Mubarak dipilih melalui pilihan raya untuk menjadi Presiden selama enam tahun lagi. Lihat bagaimana Parlimen dan Perlembagaan diubahsuai untuk memastikkan Mubarak terus berkuasa. Di Malaysia selama lebih 50 tahun proses pilihan raya ini telah dimanipulasi untuk memastikan United Malay National Organisation terus berkuasa.

Ini sama seperti di Mesir. Jangan lupa bagaimana Mahathir Muhamad telah mengubah perlembagaan untuk memastikan sesudah tiga tahun Parlimen – tidak akan ada lagi pilihan raya kecil jika kerusi itu telah kosong. Juga sesiapa yang meletak jawatan dari Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dinafikan untuk bertanding selama lima tahun.

Semua ini adalah kerja jahat United Malays National Organisation untuk memastikan parti ini terus berkuasa. Pilihan raya di Mesir dan di Malaysia sedang digunakan untuk menipu orang ramai agar tunduk dan memberikan kuasa kepada National Democratic Party dan United Malays National Organisation. Apa yang amat-amat dibenci oleh warga Mesir? Apa pula sebenarnya yang dibenci oleh warga Malaysia? Mubarak telah menggunakan undang-undang parlimen untuk menangkap musuh politik.

Di Mesir ada ISA dan di Malaysia juga ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Ramai ahli politik Mesir yang ditahan berbelas-belas tahun dalam penjara tanpa bicara. Ini sama seperti di Malaysia. Musuh politik United Malays National Organisation dahulunya dituduh komunis dan sosialis, ini sama seperti tuduhan yang telah digunakan oleh Mubarak.

Hari ini, musuh politik Mesir ialah golungan agama yang dituduh sebagai ekstremis Islam. Ramai aktivis dan pemimpin parti Ikhwan Muslimin yang meringkuk dalam penjara Mubarak. Ekstremis Islam ini juga adalah tuduhan yang digunakan oleh United Malays National Organisation terhadap musuh politiknya. Sila ingatkan kembali kepada Al-Maunah dan KMM – mereka ini ditahan tanpa bicara di Kamunting.

Tuduhan 'ekstremis Islam' ini amat menyenangkan telinga kuasa imperial Amerika yang sedang melancarkan serangan terhadap Islam. RTM – Radio dan Telivisen Mesir dan RTM Angkasapuri tidak banyak bezanya. Tidak ada suara dan pandangan yang berbeza yang mungkin kedengaran dari siaran kedua-dua RTM. Kedua-dua RTM telah digunakan untuk menipu dan mengkaburi pandangan orang ramai terhadap apa yang sebenarnya berlaku.

Kalau di Malaysia ini kita memerlukan lesen untuk mencetak akhbar. Di Mesir juga ada undang-undang yang sama. Media amat dikongkong dan dikawal untuk memastikan regim Mubarak akan terus berkuasa. Pada 1 Januari tahun ini, satu letupan telah berlaku di dalam sebuah gereja Kristian di Iskandariah.

Pada 8 Januari 2010, tiga gereja di Malaysia terbakar. Baru-baru ini sesudah Mubarak dihalau keluar telah ditemui bukti bahawa pembakaran ini dirancang oleh menteri dalam regim Mubarak sendiri.

Ini dilakukan untuk memastikan ada ketegangan agama. Ketegangan ini amat baik untuk rejim Mubarak meneruskan kuasa. Bila rakyat pecah maka senang untuk diperintah. Manakala pembakaran gereja di Malaysia ini kesnya hilang lesap entah ke mana. Tetapi jari telunjuk telah mula menunjukkan bahawa di belakang kerja jahat ini adalah mereka yang ingin meneruskan ketegangan bangsa-bangsa. Ketegangan bangsa-bangsa akan menakut-nakutkan orang Melayu.

Apabila orang Melayu takut, maka mereka seperti warga Mesir akan menyembah Mubarak minta tolong. Rasuah dan penyalahgunaan kuasa ini telah menjadi pekara biasa di Mesir dan di Malaysia. Mereka yang rapat dengan kuasa akan terlepas dari hukuman. Lihat sahaja kes pembunuhan Altantuya.

Najib Razak tidak pernah dipanggil oleh mahkamah walaupun Altantuya adalah bekas kekasih Najib mengikut akuan bersumpah PI Balasubramaniam. Mati dalam penjara dan lokap menjadi lumrah di Malaysia dan Mesir. Pada 6 Jun 2010 dahulu, Khaled Muhamaded Said berumur 28 tahun telah dibunuh oleh polis di Iskandariah.

Pada 16 Julai 2009, Teoh Beng Hock telah mati terbunuh di Shah Alam. Ini belum lagi diambil kira nama seperti Francis, Kugan dan Aminulrasyid yang kini menjadi statistik mangsa pembunuhan oleh samseng berpakaian seragam.

Dalam semua kemarahan dan kebencian terhadap National Democtaric Party dan United Malays National Organisatipon yang paling nyata ialah warga Mesir dan warga Malaysia marah kerana mereka ditipu dalam pilihan raya. Mereka dibodoh bodoh-bodohkan. Mereka digula-gulakan.

Pilihan raya dijalankan dengan tipu muslihat yang licik untuk memastikan National Democratic Party dan United Malays National Organisation menang. Selama 30 tahun warga Mesir ditipu dengan pilihan raya. Selama 30 warga Tunisia ditipu melalui pilihan raya. Selama 40 tahun warga Libya ditipu dengan pilihan raya. Akhirnya mereka turun ke jalan raya.

Pak Menteri yang memberi amaran akan menangkap pemimpin parti pembangkang dengan ISA itu bermata songsang. Menteri ini terlupa, amaran jenis yang sama juga telah dihebohkan oleh Mubarak. Tak ada sesiapa ambil pot. Sebenarnya rakyat sedang memberi amaran kepada para menteri agar jangan menipu dalam pilihan raya.

Jika menipu dalam pilihan raya maka warga Malaysia akan memilih jalan raya untuk mengganti kerajaan. Hampir terlupa – dalam sejarah tamadun Mesir – warga Mesir telah pernah bangun melawan Firaun yang zalim dan mungkar. Dalam sejarah tamadun Malaysia, warga Malaysiapun pernah bangun melawan Firaun, malah lebih ganas, lebih zalim dan mungkar dengan nama Mahafiraun a.k.a Mahathir Muhamad.

Gobala kata bukan Syarikat dia.. tapi keluarga dia ada share..

Posted: 10 Mar 2011 05:40 AM PST

Kata Gobala "Syarikat itu bukan milik saya, sebaliknya keluarga saya mempunyai kepentingan di dalamnya, bukan saya,"

Dalam menafikan dia mengiyakan.. kan dah terbelit..




PKR Desak SPRM, LHDN Siasat Gobalakrishnan

KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat mengenai kemampuan kewangan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan menjelaskan bayaran pajakan tanah di Kelantan bernilai RM1.4 juta.


Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mendakwa, pihaknya mempunyai bukti berupa dua salinan cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011.

Menurut Saifuddin, kedua-dua cek berkenaan bagi menjelaskan bayaran pajakan tanah seluas 40.47 hektar di Lojing, Kelantan di antara syarikat milik Gobalakrishnan iaitu Embun Megah Sdn Bhd dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad.

"Adalah aneh secara tiba-tiba Ahli Parlimen Padang Serai dapat menjelaskan bayaran berkenaan sejurus selepas keluar parti dan berterusan menyerang PKR.

"Dari mana sumbernya, siapa yang bermurah hati menolong, urusniaga apa yang dilakukan beliau hingga memungkinkan wang sebanyak itu diperolehnya?

"Januari dan Mac adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah Gobalakrishnan terhadap PKR dan ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1.4 juta untuk bayaran tanah ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Khamis.

Gobalakrishnan mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 29 Januari lalu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu yang dianggap gagal menyelesaikan masalah kaum India.

Selain itu Saifuddin mendakwa, PKR mengesyaki pengkhianatan beberapa Ahli Parlimennya yang bertindak keluar parti adalah atas dorongan habuan lumayan.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Gobalakrishnan menafikan menerima wang berjumlah RM1.4 juta seperti yang didakwa Saifuddin.

Malah beliau turut bersedia disiasat oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.

"Saya sedia untuk disiasat pada bila-bila masa. Saya tidak pernah menerima apa-apa bayaran berjumlah RM1.4 juta daripada mana-mana pihak seperti yang dikatakan mereka.

"Anda boleh periksa tandatangan saya, malah saya tak ada tunaikan apa-apa cek lagi pada tahun ini," katanya.

Menurutnya lagi, syarikat Embun Megah Sdn Bhd yang dimaksudkan Saifuddin bukan miliknya.

"Syarikat itu bukan milik saya, sebaliknya keluarga saya mempunyai kepentingan di dalamnya, bukan saya," katanya.


mStar

PR diperbodohkan Timbalan Pengerusi SPR?

Posted: 10 Mar 2011 04:32 AM PST

Aku tertanya-tanya siapa memperbodohkan siapa dalam isu pendaftaran Pakatan sebagai sebuah gabungan..

Adakah Timbalan Pengerusi SPR ini cuba untuk memperbodohkan pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat untuk mendaftarkan ketiga-tiga parti sebagai sebuah gabungan atau dia sendiri memang bodoh kerana tidak mengetahui tiga buah parti itu tidak memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Baca kedua-dua berita yang dipetk dari Lidah Rasmi UMNO dibawah ni..

SPR: Pakatan Perlu Segera Daftar


Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, beliau tidak pasti apakah kekangan yang dihadapi oleh pakatan pembangkang itu tetapi pada pertemuan dengan suruhanjaya itu mereka memaklumkan 'ada syarat-syarat yang belum dipenuhi'.

Justeru, beliau meminta kepimpinan parti-parti pembangkang terus berurusan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk menyegerakan pembentukan gabungan berdaftar tersebut.

"Pada setiap kali kempen pilihan raya kecil termasuk di Merlimau dan Kerdau ketika ini, masalah yang sama berulang iaitu parti-parti sekutu memasang poster dan sepanduk masing-masing sedangkan yang bertanding adalah salah sebuah parti pembangkang.

"Ini baru peringkat pilihan raya kecil tetapi cuba bayangkan masalah yang sama berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-13.- 5 March 2011


Tidak boleh gabung secara rasmi

PUTRAJAYA 9 Mac - Pakatan pembangkang tidak boleh membentuk satu gabungan rasmi kerana tidak memenuhi syarat tujuh anggota yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Pakatan itu yang dikenali sebagai 'pakatan rakyat' ketika ini dianggotai Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Pendaftar ROS, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, beliau tidak tahu-menahu jika ada tanggapan atau kenyataan sebelum ini menyebut pakatan pembangkang boleh membentuk satu gabungan parti walaupun hanya ada tiga anggota.

Beliau juga menolak dakwaan Pendaftar ROS sebelum ini, Datuk Md. Alias Kalil bahawa pakatan itu boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

"Undang-undang cakap syarat nak wujudkan sebuah pertubuhan ialah perlu ada tujuh anggota.

"Jika ada andaian seperti itu (cukup dengan tiga anggota), dikhuatiri nanti akan timbul kekeliruan dan banyak orang tafsirkan macam-macam ke arah kita (ROS), dalam hal ini biar mahkamah putuskan.

"Bagaimanapun sama ada ROS sudah menerima permohonan rasmi daripada pakatan pembangkang untuk menubuhkan gabungan rasmi, itu saya tidak pasti, kena semak dulu. Tapi syarat yang ditetapkan oleh undang-undang ialah kena ada tujuh anggota, barulah boleh tubuh pertubuhan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau ditanya tentang gesaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 4 Mac lalu supaya parti-parti dalam pakatan pembangkang mengusahakan dengan serius rancangan mereka untuk membentuk gabungan rasmi seperti Barisan Nasional (BN).

Ini bagi mengelakkan masalah kepada SPR dan polis pada setiap kali pilihan raya kecil kerana Pas, PKR dan DAP tidak dibenarkan untuk menaikkan bendera dan sepanduk bagi tujuan kempen. Ini adalah juga disebabkan tidak berdaftar sebagai satu gabungan di peringkat nasional.

Md. Alias dalam kenyataan ROS sebelum ini menjelaskan, pakatan pembangkang boleh mendaftar sebagai sebuah parti gabungan kerana syarat tujuh anggota yang digariskan tidak terpakai bagi parti politik.

Syarat itu hanya terpakai untuk pertubuhan tidak berstatus kebangsaan yang ingin menjadi pertubuhan kebangsaan sedangkan parti politik sudah berstatus nasional.

Kali terakhir pembangkang membuat kenyataan berhubung gabungan secara rasmi itu ialah pada tahun lepas oleh sekretariat yang ditubuhkan khusus untuk merangka dan meneliti soal penggabungan.

Ketika itu salah seorang anggota sekretariat memaklumkan bahawa pakatan itu sedang meneliti dan dalam tahap akhir merangka draf mengenai penggabungannya sebagai sebuah parti di peringkat nasional.


Lidah Rasmi UMNO

Najib belanja RM63,000 hanya untuk hantar email ‘Salam 1Malaysia’

Posted: 10 Mar 2011 04:07 AM PST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM63,000 hanya untuk menghantar email ucapan 'Salam 1Malaysia' kepada 1.25 juta rakyat di negara ini. Email itu dihantar pada awal Febuari bersama ucapan SMS Tahun Baru Cina.

Perkara itu didedahkan dalam satu soalan parlimen yang dibangkitkan Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan semalam.

Menurut laporan Malaysiakini, Najib dalam jawapan bertulisnya menyatakan empat juta SMS yang dihantar itu disediakan secara percuma oleh tiga syarikat telekomunikasi iaitu Digi Bhd, Maxis Bhd dan Celcom Bhd.


Manakala syarikat yang mengendalikan penghantaran emel itu dilapor berpangkalan di Amerika Syarikat.

Justeru Ahli Parlimen Seputeh, Teresa kok, mengingatkan Najib bahawa bajet yang diperuntukkan kementerian kewangan bukan lah dana peribadinya tetapi wang pembayar cukai yang perlu diurus dengan cermat.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor turut mendakwa Najib menganugerahkan kontrak menghantar emel kepada pihak ketiga, Lyris Inc, yang merupakan syarikat pemasaran teknologi yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat.

Teresa mendakwa, tiada proses tender terbuka, tetapi nama syarikat itu boleh dilihat dengan mengklik pada pautan 'tidak melanggan' (unsubscribe) pada emel berkenaan.

Sehubungannya, beliau menggalakkan orang ramai mengklik 'tidak melanggan' (unsubscribe) senarai penghantaran 'Salam 1Malaysia' bagi menyelamatkan wang pembayar cukai dan sebagai satu mesej protes.


Keadilandaily

Gobala bernilai RM1.4 Juta .. yang lain berapa pula?

Posted: 09 Mar 2011 11:12 PM PST

Sayang sekali.. berbagai rintangan telah dilalui bersama PKR.. akhirnya tewas dengan nilai RM1.4Juta... Harga diri yang sepatutnya tidak boleh dijual beli, akhirnya terjual juga..


Saifuddin menunjukkan salinan dua cek bernilai RM1.4 juta milik Gobakrishnan untuk membayar hutang tanah

KUALA LUMPUR: Jika tiga bulan keluar parti menerima habuan RM1.4 juta, berapa pula nilai yang diperoleh seseorang Ahli Parlimen KEADILAN yang belot, dalam tempoh lebih panjang?


Mengajukan pertanyaan itu, Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail merujuk kepada perbuatan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrisnan yang keluar parti dan terbukti mampu menjelaskan hutan bernilai RM1.4 juta.

"Jika Ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah berjumlah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapakah agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga perkhianatan ini?

"Kalau, 'nilai' Ahli Parlimen Padang Serai dengan jumlah RM1.4 juta, berapa pula habuan yang diterima Ahli-ahli Parlimen Bayan Baru, Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu dan Nibong Tebal," soalnya lagi pada pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut mendedahkan bukti salinan dua cek bernilai RM700,000 dan RM 701,250 masing-masing bertarikh 12 Januari dan 15 Mac tahun ini, yang dipercayai sebagai bayaran pajakan tanah seluas 100 ekar di Lojing, Kelantan.

Katanya, Gobalakrisnan secara tiba-tiba menyelesaikan bayaran pajakan tanah antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd dengan Kumpulan Pertanian Kelantan Bhd yang berjumlah RM 1.4 juta.

"Dari mana sumbernya? Siapakah yang 'bermurah hati' menolong. Urus niaga apa yang dilakukannya yang memungkinkan wang sebanyak itu diperoleh?" katanya.

Beliau turut menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya 'bertanya khabar' kepada Gobalakrishnan berikutan kemampuannya membuat bayaran RM1.4 juta dalam satu transaksi

Saifiuddin juga mengulangi pendirian betapa pengkhianatan pemimpin KEADILAN keluar parti termasuk Ahli-ahli Parlimen,didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh jika kekal dalam parti.

"Dek dorongan inilah ramai yang tewas. Ralatnya, mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Selain Gobalabrishnan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Mohamed Zahrain Hashim; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng; Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Shamsuri keluar parti dengan pelbagai alasan.

Sebaliknya, pelbagai laporan menunjukkan tindakan mereka bersandarkan faktor kewangan termasuk membayar hutang masing-masing.- Keadilandaily


Baca juga bagaimana cek itu diperolehi..

Warga Prihatin Jumpa Saifuddin Kemuka Bukti Cek 'Membeli' Ahli Parlimen Lompat

KUALA LUMPUR 10 MAC: Salinan dua keping cek yang ditandatangani oleh seorang ahli parlimen yang keluar parti PKR baru-baru ini diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail oleh individu yang prihatin terhadap Parti Keadilan Rakyat.

Saifuddin yang ditemui di lobi Dewan Rakyat memberitahu TV Selangor, bahawa beliau sendiri telah membuat semakan bagi memastikan kesahihan cek dan resit asal sebelum meminta salinan diberikan kepada beliau.

"Kadang-kadang bukti ini tak perlu kita cari, orang yang bersimpati dengan kita dan tak boleh tahan tengok lakonan ahli-ahli parlimen ini yang keluar parti kerana tak boleh terima Keadian yang tak membela rakyat, mereka yang mempunyai bukti ini datang menemui saya, dan menyerahkan bahan bukti. Setelah saya teliti dan semak, mendapati ianya merupakan dokumen asal yang saya mohon izin untuk dibuat salinan dan saya dapat salinan tersebut," jelas beliau.

Menurut beliau, satu pendedahan akan dibuat tidak lama lagi kerana serik dengan tuduhan liar ahli parlimen yang keluar parti sedangkan kebenarannya jauh daripada itu.

"Dulu bertanding di bawah tiket PKR dan menang kemudian meninggalkan parti dengan memberikan alasan-alasan seperti parti hilang halatuju, Anwar terlalu gila menjadi Perdana Menteri dan segala macam. Kita sentiasa pertahankan bahawa alasan mereka mengkhianati parti adalah kerana dibeli, dan walaupun mereka sanggah tetapi untuk julung-julung kalinya semalam, saya telah menunjukkan salinan dua keping cek," tegas beliau.

Manakala Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan kesahihan bukti tersebut kerana beliau melihat sendiri salinan cek-cek tersebut.

"Kalau benarlah bagai dek kata, maka undang-undang perlu melalui prosesnya tersendiri. Kalau YB Machang telah menyebutnya di dalam Dewan dan berkebetulan, saya lihat sendiri salinan (cek) itu, dua-dua cek itu dan jumlahnya memang, RM1.401 juta, tunai," kata beliau.

Beliau menegaskan agensi penguatkuasa kerajaan khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia perlu bertindak segera kerana impaknya kepada masyarakat umum adalah besar.

"Dengan kata lain, SPRM perlu segera bertindak dan mungkin ada yang membuat laporan polis. Bayaran tunai untuk sebidang tanah seperti ini jarang-jarang dibuat, dan kita tahu peribadi itu, bagaimana kedudukan kewangannya terdahulu sebelum dia melompat, menjadi Bebas. Tiba-tiba dia datang bayar RM1.4 juta yang dia hutang untuk tanah itu, tunai," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang turut berada di lobi Parlimen berkata pendedahan ini membuktikan betapa terdesaknya Umno-BN untuk mengekalkan kuasa sehingga sanggup membeli wakil rakyat.

Menunjukkan betapa terdesaknya Umno ataupun kerajaan ataupun BN untuk mengekalkan kuasa dengan kaedah membeli danini bukti yang terbaru dan saya rasa ini sukar unntuk (dipertikaikan), resit sudah ada. Saya tidak merasa bimbang sangat untuk memberitahu bahawa lima lagi yang melompat pun mempunyai elemen ditawarkan kemudahan," katanya.

Azan berkata, tren dahulu adalah membeli pengundi tetapi tren kini adalah membeli wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tersebut.

"Dulu dibeli, beli rakyat dengan cara membeli undi dengan sogokan dengan membuat projek-projek dan sebagainya, sekarang tidak lagi membeli pengundi, membeli pengaruh di kawasan. Sekarang, wakil rakyat yang diundi, dan kaedah membeli ini sangat nyata sekarang sehingga Setiusaha Agung (PKR) mempunyai bukti yang jelas dalam bentuk resit, dan beliau menyebut dalam Dewan, angka tersebut, RM1.4 juta untuk tujuan pembelian tanah," jelas beliau.- TVS News

Najib dan Mubarrak, sama saja..

Posted: 09 Mar 2011 11:01 PM PST

Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menindas dan bersikap kuku besi dilihat persis corak pemerintahan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dakwa kepimpinan PKR.

Naib Presidennya, N Surendren berkata Najib yang menerajui BN sentiasa secara konsisten menggunakan apa-apa cara walaupun jahat untuk kekal berkuasa seperti parti yang diterajui Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) di Mesir.

"Terdapat persamaan yang luar biasa antara pemerintahan autoritarian selama 30 tahun di Mesir oleh Hosni Mubarak dan pemerintahan menindas selama 53 tahun oleh Najib dan BN ke atas Malaysia.


"Antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan televisyen; tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik; keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan; pilihanraya yang tidak bebas ataupun adil," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun menurut Surendran, persamaan yang paling ketara adalah kedua-dua pemimpin itu dari masa ke semasa mengheret pesaing politik mereka ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah yang direka-reka.

"Objektifnya adalah untuk menghancurkan pesaing politik secara politik dan peribadi, dan oleh demikian menghapuskan ancaman kepada pemerintahan mereka.

"Rejim-rejim yang tidak bertoleransi dengan pasti akan menggunakan kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan dan tidak memedulikan kedaulatan undang-undang," katanya.

Mubarak digulingkan oleh rakyatnya selepas jutaan mereka berkumpul dan memprotes secara aman di Dataran Tahrir sejak 25 Januari lalu selepas tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi beliau selama 30 tahun.

Menurut Surendran, kes Liwat II yang membabitkan Anwar sama dengan apa yang dilakukan Mubarak ke atas pemimpin pembangkang Mesir Ayman El Nour pada tahun 2005 sehingga menyebabkan Alyman dipenjara selama lima tahun.

Anwar semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga pernah dipenjara selama 6 tahun.

"Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja. Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad yang dipenjarakan selama lima tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara," katanya lagi.

Justeru Surendren berkata rakyat perlu bangkit untuk memastikan kerajaan BN disingkirkan agar penindasan, korupsi dan kezaliman dapat dihentikan sepertimana Mubarak dan NDP.

"Rakyat Malaysia, bersama dengan dunia, berasa girang melihat melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. Sekarang, kita mengalukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas BN dan pemimpinnya Najib Razak.

"Pemerintahan BN yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, BN perlu disingkirkan," akhiri kenyataannya itu.

Malaysiakini

Tuduhan Liwat : Seluar dalam Saiful berada di rumah teman wanitanya

Posted: 09 Mar 2011 08:15 PM PST

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Fitnah II bersambung semula hari ini dan pendakwa memanggil saksi terakhir mereka, Pegawai penyiasat DSP Jude Pereira. Berikut lintas langsung kronologi perbicaraan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

9.06 pagi: Mahkamah mula bersidang. Pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira mengambil tempat di kandang saksi. Beliau sekarang adalah Ketua Bahagian Pendakwaan & Undang-undang Bukit Aman.

9.08 pagi: Jude mula bertugas dalam sebagai Ketua Bahagian Pendakwaan & Undang-undang Bukit Aman bermula 4 Januari 2011. Sebelumnya beliau merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields bermula 1 Jun 2008.


9.10 pagi: Saiful keluar dari bilik saksi untuk dicam.

9.11 pagi: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar tiba di galeri mahkamah.

9.12 pagi: Menurut Jude, beliau menghubungi Superintendan Ku Chin Wah, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pada masa itu selepas mendapat tahu tentang laporan liwat itu. Ku Chin Wah meminta beliau menyiasatnya.

9.13 pagi: Jude memberitahu beliau berjumpa dengan Saiful Bukhari di Hospital Kuala Lumpur pada Jam 8.50 malam 28 Jun 2008 di Hospital Kuala lumpur.

9.16 pagi: Pada jam 9 malam menemui tiga orang doktor HKL-Dr Siew, Dr Razali, Dr Khairul-yang memeriksa pengadu.

9.19 pagi: Beliau bertemu doktor-doktor itu di Bilik Mawar, Hospital Kuala Lumpur.

9.20 pagi: Beliau turut ada bersama sepanjang pemeriksaan berlangsung. Pemeriksaan berlangsung dari jam 9.30 malam sehingga jam 11 malam.

9.21 pagi: Menurut Jude, yang memeriksa Saiful adalah Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Khairul Nizam. Dr Siew menerima dan membungkus spesimen yang diterima daripada kedua-dua doktor itu.

9.22 pagi: Spesimen darah pengadu turut diambil untuk laporan toksikologi.

9.28 pagi: Jude memberitahu menerima spesimen daripada doktor pada 12.30 pagi dan pulang ke pejabatnya di Brickfields pada jam 1 pagi 29 Jun 2008.

9.29 pagi: Menurut Jude, beliau turut merampas kemeja jenama Ralph Lauren biru muda daripada pengadu di hospital sebelumnya.

9.36 pagi: DSP Jude memeriksa pelincir jenama Johnson and Johnson yang dirampas daripada pengadu.

9.41 pagi: Jude memberitahu turut merampas seluar dalam biru hitam (blue black) kepunyaan Saiful dari rumah teman wanitanya. Ia diambil daripada mesin basuh di rumah teman wanita pengadu.

9.41 pagi: Kesemua eksibit yang diterima Jude sewaktu menyiasat kes disimpan di peti besi beliau di pejabatnya di Brickfields.

9.41 pagi: Beliau menanda eksibit yang diterima pada 1 Julai 2008.

9.47 pagi: Menurut Jude, pada 30 Jun 2008, beliau ke sebuah kondo yang dipercayai tempat kejadian di Damansara bersama sepasukan polis forensik.

9.49 pagi: Pasukan forensik jumpa sehelai bulu di unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara. Di unit 11-5-2 pula, pasukan forensik menemui sehelai duvet dan sehelai karpet.

9.52 pagi: Menurut Jude, beliau memasuki kondo tersebut dengan izin pemiliknya. Pemilik kondo, Hasanuddin Hamid keluar dari bilik saksi untuk dicam Jude.

9.54 pagi: Jude mengecam sehelai bulu yang diambil dari kondo dipercayai tempat kejadian.

10.10 pagi: Mahkamah berehat sebentar.

10.42 pagi : Mahkamah bersambung semula. DPP Yusof menyambung soal balas DSP Jude Pereira berkenaan 12 spesimen yang diterima daripada pihak hospital.

10.48 pagi: DSP jude memberitahu beliau menyerahkan spesimen ke Jabatan Kimia Petaling Jaya pada 30 Jun 2008. Ia diserah kepada Dr Seah Lay Hong di Jabatan Kimia.


Keadilandaily

Istimewa buat pemimpin PR khasnya PKR - Sila baca..

Posted: 09 Mar 2011 07:35 PM PST

100% aku setuju dengan saranan DSAI ni.. pemimpin yang tidak puas hati boleh berambus keluar tapi Ahli janganlah keluar.. letihdah nak pi pujuk..

Bagi aku antara pemimpin dan penyokong.. penyokong lebih bernilai.




KOTA SARANG SEMUT - Mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang tidak berpuas hati sekiranya tidak dipilih bertanding pada pilihan raya umum akan datang 'dialu-alukan' untuk keluar dari PR kerana pakatan itu hanya memerlukan calon yang sanggup berkorban.


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin PR yang dikenal pasti bermasalah dan tidak menunjukkan prestasi yang baik akan digugurkan bagi memberi laluan kepada pemimpin lain yang lebih berkebolehan dan diterima rakyat.

Menurutnya, PR memandang serius usaha memenangi PRU akan datang demi membawa perubahan kepada rakyat sebagaimana dinikmati rakyat Mesir dan Tunisia setelah pemimpin diktator mereka dijatuhkan.

"Lebih baik mana-mana pemimpin yang ada kepentingan diri keluar dari PR dengan segera kerana kita memerlukan gerak kerja yang kukuh dan sentiasa yakin dengan keupayaan pakatan ini untuk menentang pemerintahan zalim UMNO dan BN.

"Pada masa sama, saya juga menuntut semua ahli PR lebih berani menyampaikan wadah perjuangan pakatan itu kepada umum di samping tidak meremehkan usaha yang dilakukan pucuk kepimpinan parti masing-masing dalam usaha menawan Putrajaya," katanya sewaktu menyampaikan ceramah sempena pemerintahan tiga tahun PR di Kedah di Kota Sarang Semut, semalam.

Anwar turut mendedahkan terdapat pemimpin PR yang dibayar sebanyak RM1.4 juta untuk keluar dari parti masing-masing di samping cuba melaga-lagakan keutuhan hubungan tiga parti utama PR iaitu PKR, Pas dan DAP.

"Saya sudah menyerahkan segala bukti itu kepada Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution untuk disimpan sebelum menunggu masa yang sesuai untuk didedahkan," katanya.

Anwar juga meluahkan keazaman PR untuk berusaha dan berikhtiar dengan sedaya upaya untuk memperbaiki prestasi pakatan itu di kawasan Dewan Undangan Negeri( DUN) dan Parlimen yang tewas pada PRU dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang lalu.

"Kita mesti bersungguh-sungguh untuk menghadapi PRU yang akan datang memandangkan ianya peluang terbaik untuk menukar pemerintah sebagaimana berlaku di beberapa negara di Timur Tengah," katanya.


Sinar Harian

BN Kedah gila talak.. aku ingatkan Gila Babi...

Posted: 09 Mar 2011 07:03 PM PST

KOTA SARANG SEMUT - Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak mempertahankan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah sejak tiga tahun lalu dan menyifatkan segala tohmahan Barisan Nasional (BN) terhadap Kerajaan Negeri sejak pilihan raya umum (PRU) yang lalu sebagai 'gila talak'.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, di sebalik keupayaan Kerajaan Negeri PR memerintah Kedah mengatasi jangkaan UMNO dan BN, barisan pembangkang masih memandang rendah kerajaan pimpinannya dan berlagak seperti pemerintah.


Menurutnya, dakwaan Kerajaan Negeri gagal menunaikan manifesto pilihan raya lalu juga tidak benar kerana tindakan penurunan cukai tanah, perbelanjaan wang Kerajaan Negeri dengan lebih berhemah, pembatalan projek loji penapisan minyak di Yan dan tender pembalakan secara terbuka tidak pernah dilakukan UMNO dan BN sebelum ini.

"Dulu UMNO dan BN dengan angkuhnya mengatakan PR tidak akan memerintah lebih tiga bulan, tapi sekarang usia Kerajaan Negeri sudah tiga tahun.

"Dulu UMNO dan BN kata pertumbuhan ekonomi negara Kedah tidak akan melebihi 2.5 peratus. Namun, pencapaian ekonomi negeri membanggakan dan antara empat negeri terbaik di Malaysia. Sekiranya mereka menilai pencapaian kami hanya 2.5 peratus, saya anggap pencapaian mereka hanya 1.5 peratus semata-mata," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Buku Jingga peringkat negeri Kedah di Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengerusi PKR Kedah, Datuk Wan Salleh Wan Isa; Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Lee Guan Aik dan barisan Jawatankuasa Pas, PKR dan DAP negeri.

Azizan berkata, Kerajaan Pusat juga bersandiwara untuk menunjukkan kononnya mereka bersikap prihatin terhadap rakyat apabila pada mulanya sanggup mengeluarkan belanja yang besar untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di Mesir daripada krisis negara itu sebelum ini.

Bagaimanapun, mereka bertindak menghantar semula pelajar itu ke Mesir dalam masa sebulan, malah mengecualikan pembiayaan tambang ke atas pelajar yang tinggal di negeri pembangkang.

"Bila berlakunya pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan Presiden, Hosni Mubarak di Mesir, mereka cepat-cepat membawa pulang pelajar kita, kononnya bimbang atas keselamatan mereka.

"Bila hendak dihantar pulang semula, mereka serahkan beban itu kepada kita. Tapi tidak mengapa, Kerajaan Negeri tidak ada masalah menanggung pembiayaan tambang penerbangan pulang ke Mesir berserta wang poket RM500 kerana wang sebanyak RM2.5 juta yang digunakan adalah wang rakyat," katanya.

Azizan berkata, UMNO dan BN turut disifatkannya lebih teruk daripada Jepun kerana mengkritik apa jua pelaksanaan Kerajaan Negeri terhadap rakyat secara konsisten tanpa memikirkan kerelevanan tindakan itu.

"Sebelum ini, bila tarif air dinaikkan 10 sen, banyak orang termasuk pemimpin UMNO dan BN yang beria-ria mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Wisma Darulaman, kononnya Kerajaan Negeri berlaku zalim.

"Kini mereka mula protes tindakan Syarikat Air Darul Aman (Sada) menghentikan khidmat Pos Malaysia sebagai ejen kutipan bayaran bil walaupun Pos Malaysia bertindak menaikkan upah perkhidmatan daripada 70 sen kepada 90 sen bermula bulan ini.

"Atas dasar keprihatinan tidak mahu membebankan rakyat, kami menghentikan khidmat Pos Malaysia. Saya hendak tanya, adakah UMNO dan BN ada kepentingan dengan Pos Malaysia sehingga beria-ria menghentam Kerajaan Negeri?" katanya.

Ditanya dakwaan Kerajaan Negeri akan melaksanakan cukai pintu di pekan kecil setiap daerah dalam masa terdekat, Azizan menjelaskan beliau tidak tahu mengenainya kerana tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat.


Sinar Harian

Tiada ulasan: