Jumaat, 18 Mac 2011

Addin

Addin


Taib Mahmud Undur Ketua Menteri, Kekal ADUN?

Posted: 18 Mar 2011 10:00 AM PDT

Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, akan membuat satu pengumuman esok dipercayai berhubung pilihan raya negeri akan datang. "Tunggu sehari lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perhimpunan Belia 2011 hari ini ketika ditanya sama ada beliau mahu membuat "pengumuman khas". Ada juga pihak menjangkakan Taib juga akan membuat pengumuman penting bahawa beliau tidak akan kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri.

Keputusan itu dilihat sebagai sebahagian usaha Barisan Nasional (BN) bagi mengurangkan kemarahan dan rasa tidak puas hati terhadap pemimpin veteran itu selain mahu menggunakannya sebagai peluang memperoleh kemenangan mudah kali ini. Taib akan menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berada di Sarawak.

Dipercayai beliau dijangka mengumumkan bahawa akan melepaskan jawatan ketua menteri dan juga keputusan mahu membubarkan Dewan Negeri, yang bakal membuka laluan kepada pilihan raya negeri.Sumber dalam memberitahu bahawa Dewan Negeri yang memperuntukkan 71 kerusi akan dibubarkan seawal Isnin ini dengan penamaan calon dan pengundian dijangka bulan depan.

Semalam, Taib berhadapan dengan gelombang dakwaan rasuah dan nepotisme termasuk Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segala tuduhan terhadap pemimpin berambut putih itu.

Ada juga pandangan bahawa Taib tidak harus bertading lagi kali ini tetapi ada juga pendapat yang mengatakan pemimpin itu mampu untuk mengekalkan kesepaduan perikatan mereka dan menyumbang kepada kemenangan BN.Bagaimanapun sebagai kompromi, Taib dikatakan bersetuju kepada syor bertanding tetapi meletakkan jawatan sebagai ketua menteri sebagai pilihan raya.

Antara yang disebut sebagai penggantinya ialah Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Datuk Amar Abang Johari Abang Openg atau Naib Presiden Datuk Amar Awang Tengah Awang Ali Hassan. Semalam, Taib mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abang Mohammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN memenangi 62 kerusi, DAP enam manakala PKR, SNAP dan Bebas masing-masing satu. DAP dan PKR telah membentuk Pakatan Rakyat (PR) dengan gandingan PAS selepas pilihan raya negeri 2008 dan akan bertanding pada pilihan raya negeri bersama SNAP meskipun empat parti itu belum merumuskan pembahagian kerusi. BN Sarawak dikatakan terjejas teruk ekoran isu Alkitab selain dakwaan rasuah membabitkan Taib dan keluarganya./KL-Today

Tamparan Buat UMNOngok, Kerajaan PR Selangor Tidak Sembunyi Salah Laku Pegawai

Posted: 18 Mar 2011 07:01 AM PDT

SHAH ALAM, 18 Mac - Kerajaan Selangor hari ini mengedarkan laporan audit Yayasan Selangor yang disemak oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semakan audit Yayasan Selangor banyak menumpu hal-hal berkaitan pengurusan perbelanjaan Majlis Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor yang dirancang ada 15 November 2010 lalu.

Katanya, hasil audit dalaman bertarikh 14 Disember 2010 mendapati terdapat beberapa isu berkaitan aturan perbelanjaan yang dikatakan tidak mengikut aturan biasa. "Terdapat juga tindakan yang dikatakan tidak menjaga kepentingan Yayasan Selangor," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, antara tindakan yang menunjukkan tadbir urus korporat yang tidak baik ialah seramai 18 warga kerja telah berhenti dan 50 lagi ditukarkan dalam tempoh Mac hingga November 2010. Beliau berkata, perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta malah terdapat perbelanjaan yang selesai dibayar kepada Pengurus Acara walaupun aktiviti belum dilaksanakan.

Tambahnya lagi, pengurus besar juga meluluskan elaun-elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada ahli mesyuarat. Beliau menjelaskan, terdapat 12 keputusan tertinggi dibuat sepanjang 2010 hanya melalui Circular Resolusi malah tidak dimaklumkan atau diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut kehendak Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 12 1993-arahan bagi meningkatkan kualiti perancangan dan kawalan ke atas pengurusan syarikat-syarikat kerajaan.

Semakan Audit juga, katanya mendapati Timbalan Pengurusan Besar (Pengurusan) tidak menghormati arahan bercuti dalam siasatan dengan hadir mesyuarat yang dihadiri Pengurus Besar.Perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan kewangan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November 2010," ujarnya lagi.

Kerajaan Selangor, tegasnya telah dan akan terus meneliti setiap syor yang diberikan dan akan menggunapakai cadangan tersebut dari semasa ke semasa demi menjaga kredibiliti Yayasan Selangor milikan penuh Kerajaan Negeri. Justeru, katanya pada 5 Januari 2011, satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bagi menjawab setiap kuiri yang ditimbulkan.

Beliau menjelaskan lagi, proses yang teratur, adil dan bebas telah dijalankan. Pandangan serta saranan dari Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri juga telah diperolehi. Akhirnya, kata beliau pada 17 Februari 2011, Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah Yayasan Selangor telah sebulat suara memutuskan untuk menamatkan kontrak Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) dengan alasan gagal menunaikan tanggung jawab dan urus tadbir kewangan yang baik serta tidak prihatin dengan prosedur yayasan.

Pada 18 Februari 2011, satu surat yang ditandatangani Menteri Besar telah dikeluarkan yang mengarahkan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam berkuatkuasa serta merta.
"Kerajaan Selangor sentiasa berpegang pada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban," tegasnya.

Beliau menambah, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri semua institusi termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri bukan sahaja mengamalkan perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah malah menyediakan audit tahunan yang tertib, lengkap dan teratur untuk semakan umum.

"Kerajaan Selangor akan sentiasa bersikap telus dan tidak akan menyembunyikan sebarang salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pegawai, kakitangan awam dan anak-anak syarikat di bawah Kerajaan Negeri."Kita juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang difikirkan perlu demi menjaga amanah yang diberikan rakyat Selangor," katanya lagi./Harakahdaily

Taib Mahmud Nak Sampai Wasiat Terakhir Esok..

Posted: 18 Mar 2011 05:30 AM PDT

Malaun-malaun yang bakal lingkup..ha..ha..ha..
KUCHING, 18 Mac - Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan membuat satu pengumuman esok dipercayai berhubung pilihan raya negeri akan datang. "Tunggu sehari lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perhimpunan Belia 2011 di sini hari ini ketika ditanya sama ada beliau mahu membuat "pengumuman khas".


Taib juga tidak menyatakan sama ada pengumuman itu akan dibuat di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan berada di sini esok sempena siri lawatan kedua-dua pemimpin itu ke seluruh negara.

Taib menafikan ura-ura kononnya beliau akan berlepas pada Ahad untuk melakukan umrah. Semalam, beliau mengunjungi Yang Dipertua Negri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pilihan raya kecil akan diadakan pada 16 April. Penggal bagi Dewan Undangan Negeri Sarawak sekarang yang mempunyai 71 kerusi berakhir pada 23 Julai. Dalam pilihan raya negeri yang lepas, Barisan Nasional memenangi 62 kerusi, DAP enam, Parti Keadilan satu, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) satu, dan Bebas satu./ Bernama

Addin :

Esok Taib Mahmud nak sampaikan wasiat terakhir sebelum tersungkur pada pilihanraya negeri Sarawak...ha..ha..ha..bersama Najib pulak tu..ha..ha..ha.. melok sangatlah tu..ha..ha..ha..Lepas Taib Mahmud..Najib Tuntuya pulak tersungkur..ha..ha..ha..bungkus pakai borong lepas tu..ha..ha..ha..Sorang hantar Lubnan..lagi sorang hantar Mongolia..ha..ha..ha..

Panas!!Taib Mahmud Rampas Tanah..

Posted: 18 Mar 2011 02:00 AM PDT

Pembangunan yang di bawa oleh Taib Mahmud di kawasannya
BALINGIAN PUSAT RAMPASAN TANAH TAIB – PENDEDAHAN EKSKLUSIF!

Taib Mahmud telah menjanjikan pembangunan, tetapi dia telah mendatangkan kemusnahan kepada kawasan pilihanrayanya sendiri. Kini terdapat banyak komuniti yang mengalami kejutan akibat gelombang apa yang kami namakan sebagai 'pembangunan kemusnahan' pada kawasan-kawasan yang kebanyakannya adalah tanah-tanah rezab hutan (Forest Reserve).

Kajian kami mendapati syarikat-syarikat di sebalik pemusnahan ini yang telah mendatangkan keuntungan kepada Taib Mahmud, saudara-mara terdekatnya atau kroni-kroni perniagaannya dan individu-individu yang dikenali dan yang biasanya bertindak sebagai proksinya.  Gambar-gambar pada entri asal di sini (berbahasa Inggeris), yang diambil dalam perjalanan kami melaksanakan kajian dan siasatan kami itu, menunjukkan kesan kemusnahan akibat tsunami – tetapi tsunami ketamakan yang dilakukan oleh seorang lelaki tua bersama gerombolan kroni penyangaknya ke atas kawasan-kawasan pengundinya sendiri.

Setiap satunya untuk saya – tiada untuk kamu

Taib telah berpura-pura memberi 'kemajuan dan pembangunan' kepada rakyatnya. Beliau telah berkali-kali menasihatkan para pendengar khutbahnya untuk 'bersabar', tetapi dalam pada itu dia tidak menunjukkan sebarang kesabaran untuk meranapkan apa sahaja tanah yang mempunyai nilai yang telah didiami rakyatnya sejak beberapa generasi lagi.

Individu-individu ini telah dibayar RM250 untuk satu ekar tanah-tanah NCR mereka, sungguh memilukan – mana kala ada pula yang tidak dibayar satu sen pun! Seorang Iban yang berusia 80 tahun telah memaklumkan kami bahawa dia dan keluarga sehingga lima generasi telah membuka kawasan itu, dan mengusahakan dusun buah-buahan, yang kini telah dimusnahkan tanpa sebarang pampasan. Pada satu lagi kes, jentolak milik syarikat perladangan telah hampir-hampir merobohkan rumah panjang orang-orang di situ. Para penyiasat dan pengkaji dari Sarawak Report telah mengesahkan bahawa orang-orang yang dibayar pampasan adalah sebenarnya ketua-ketua kaum yang dilantik oleh kerajaan, yang kini diberi gaji bukan untuk mewakili kaum-kaum mereka, tetapi untuk menjadikan mereka sentiasa tunduk dan akur kepada arahan-arahan dari kerajaan BN.

RM250 adalah suatu jumlah yang amatlah kecil berbanding dengan nilai kayu-kayan dan konsesi-konsesi ladang kelapa sawit atas tanah-tanah berkenaan, yang akan kami bentangkan pada bahagian lain dalam artikel ini.

Mendatangkan kekayaan kepada keluargaku dan rakan-rakan niagaku atas nama 'pembangunan'!

Kajian dan siasatan Sarawak Report ke atas pengambilan tanah-tanah di kawasan Balingian dan Mukah oleh Taib telah berjaya membongkar suatu tahap penipuan yang amat mengejutkan. Cubaan-cubaan untuk menutup dan menyembunyikan jumlah wang yang amat besar yang terjana untuk keluarga dan rakan-rakannya, telah dapat kami bongkar yang membuktikan berlakunya rasuah.

Tanah-tanah yang diambil oleh Arip dan Taib sendiri melalui Mesti Bersatu

Salah satu contohnya adalah satu kawasan tanah di Balingian, yang dianggarkan 34,000 hektar luasnya, telah diserahkan pada awal 2000-an kepada saudara Taib ketika itu, arwah Arip Mahmud. Kami telah mengenalpasti terdapat 7 plot yang luas dari pejabat pendaftar tanah, yang telah diserahkan kepada beberapa syarikat yang jelasnya diuruskan oleh Lanco Plantation, milik arwah Arip. Lanco Plantation Sdn Bhd berpejabat di 458/459, Sublot 62, Jalan Padungan, Kuching, Sarawak. Pengurus syarikat berkenaan adalah Patrick Embol dan peguam mereka adalah Lim Jit Meng. Kami mendapati wakil Arip adalah Hamni bin Juni dan Haji Anwar Susadd bin Razali, kerana mereka telah menggunakan alamat yang sama dengan Lanco Plantation di dalam rekod pendaftar tanah!

Cubaan-cubaan untuk menyembunyikan pemberian tanah-tanah kepada Lanco menggunakan nama-nama syarikat yang berasingan, namun jaringan-jaringan itu dapat kita kesan di pejabat pendaftar tanah. Kedua-dua syarikat Palmlyn dan Hariyama menggunakan alamat dan nombor telefon yang sama dengan Lanco, nombor telefon pengurusnya, Patrick Embol, juga digunakan pada Rajah Mutiara Sdn Bhd. Lim Jit Meng merupakan peguam yang sama untuk pengambilan dua ladang di Pulau Bruit bagi pihak Arip Mahmud (Easter Eden dan Poh Zhen) yang telah berjaya memperolehi keuntungan sebanyak RM40 juta untuk Arip dan Ketua Menteri ketika dijual semula 12 hari kemudian!

Semua syarikat yang telah kami dedahkan di atas telah berkontroversi dengan syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kroni pembalakan Taib yang terkenal rakus di seluruh dunia, Tiong Hiew King. Terdapat keuntungan syarikat-syarikat itu dimasukkan ke dalam syarikat-syarikat awam untuk keluarga Taib, walaupun selebihnya masuk ke syarikat-syarikat peribadi Tiong di mana transaksinya masih tidak diketahui.

Dalam kes Hariyama, yang telah memperolehi sebanyak 10,600 hektar tanah hutan simpan terlindung Retus, kita mendapati Arip Mahmud telah merundingkan transaksi sebanyak RM6.8 juta pada 24hb Februari 2003 dan kemudian menjualkannya kepada syarikat Jaya Tiasa milik Tiong dengan harga RM23.5 juta empat hari kemudian iaitu pada 28hb Februari 2003 untuk mendapat keuntungan sebanyak RM17 juta. Keluarga Taib juga memiliki saham-saham dalam Jaya Tiasa, maka dengan itu mereka tetap akan menikmati keuntungan dari pengeksploitasi kawasan-kawasan itu menerusi ladang kelapa sawit.

Begitu juga, kita mempunyai bukti yang menunjukkan 5,000 hektar ladang Palmlyn, di mana Arip telah diminta untuk menjelaskan premium sebanyak RM3 juta pada 12hb Februari 2004, telah dipindahkan ke Subur Tiasa, juga milik Tiong, pada 30hb September 2004 dengan harga RM11.7 juta, keuntungan RM9 juta.

Rajah Mutiara dan Golden Star-Ace yang kini didaftarkan sebagai dimiliki oleh syarikat-syarikat peribadi Tiong, iaitu Rimbunan Hijau Group. Atas alasan ini, harga yang dibayar kepada keluarga Taib Mahmud tidak direkodkan secara terbuka, tetapi kami boleh menganggarkan lebih banyak juta-juta yang diperolehi oleh keluarga yang terkaya di Sarawak.

Raziah dan skandal Sarawak Plantation

Raziah dan suaminya, Robert Geneid, telah mendapat 27,000 hektar tanah menerusi konsesi dalam rantau itu, di bawah syarikat-syarikat Miracle Harvest dan Green Ace Resources, di mana syarikat awam Kwantas telah mendapat 70% saham setelah menerima konsesi. Konsesi kini telah dijual untuk mendapatkan keuntungan sebanyak berjuta-juta ringgit. Raziah juga menerima syarikat Saradu Plantation dari saudaranya, Ketua Menteri, berjumlah 5,000 hektar. Namun, skandal Sarawak Plantation telah mendedahkan suatu amalan rasuah yang dilakukan di tengah-tengah kerajaan Taib, di mana dia menggunakan proksi dan wakil-wakil untuk mengawal perniagaan utamanya di Negeri Sarawak dan menswastakan aset-aset negeri ke tangan ahli-ahli keluarganya. Hamid Sepawi dan Hasmi Hasnan adalah dua orang 'saudagar kaya' yang bertindak sebagai proksi atau wakil utama kepada Taib Mahmud.

Kedua-dua orang berkenaan bertindak sebagai Pengerusi-pengerusi/Pemegang-pemegang utama atas saham-saham dalam pelbagai usahasama negeri dan juga usahasama 'yang diswastakan' yang sering menerima kontrak-kontrak dan kementerian-kementerian pimpinan Abdul Taib Mahmud. Hamid Sepawi adalah sepupu Taib, mana kala Hasmi Hasnan adalah kenalan Taib yang juga seorang bekas pegawai Jabatan Tanah dan Survei. Kedua-dua orang ini, yang berasal dari keluarga sederhana, telah mendapat tempat sebagai pemimpin multi-perniagaan, yang juga tersenarai di kalangan 30 orang terkaya di Malaysia, setelah Taib menjadi menteri dalam tahun 1981. Mereka bertindak sebagai pengurus bersama bagi rangkaian usahasama yang dibiayai oleh Taib – salah satunya adalah Sarawak Plantations yang berskandal kini.

Menswastakan keluarganya sendiri

Profil syarikat Sarawak Plantations Bhd jelas menunjukkan bahawa ianya telah ditukar menjadi sebuah syarikat awam "sebagai mekanisma untuk menswastakan aset-aset milik Sarawak Land Development Board (SLDB). Ini jelas bermakna sayarikat berkenaan telah menerima kawasan-kawasan tanah yang amat luas yang pada asalnya merupakan tanah negeri.

Taib dan keluarga tidak sedikit pun didengar memohon maaf ketika mereka 'membangunkan' tanah-tanah NCR yang mereka dapati. Tetapi perolehan keuntungan itu terdapat pada maklumat-maklumat pemegang saham yang telah diumumkan untuk syarikat 'awam' itu. Kedua-dua Hamid Sepawi dan Hasni Hasnan yang memegang jawatan-jawatan utama dalam syarikat tersebut, maka pegangan saham-saham mereka pun harus diperjelaskan di bawah undang-undang.

Lebih 60% dari bank tanah Negeri Sarawak, termasuk suatu kawasan yang amat luas di kawasan pilihanraya Taib sendiri telah 'diswastakan' kepada Hamid Sepawi dan Hasni Hasnan yang bertindak selaku proksi kepada si tua bangka itu. Adakah Ketua Menteri itu ingin mengelirukan para pengundi di kawasan pilihanrayanya bahawa dia bukan hanya mewakili mereka, tetapi berhakmilik atas kawasan mereka?

Memandangkan mereka belum berpuas-hati dengan pemilikan yang tak langsung ke atas beribu-ribu hektar tanah di Balingian melalui Sarawak Plantation, kedua-dua orang proksi Taib berkenaan kini memiliki ladang-ladang berasingan dalam kawasan itu, sebagai mana direkodkan dalam pejabat Pendaftar Tanah.

Kroni-kroni lain yang mendatangkan masalah-masalah kepada para pemilik tanah

Terdapat beberapa buah syarikat lagi yang turut membawa masalah kepada orang-orang tempatan di Balingian. Mereka itu juga merupakan pemegang-pemegang konsesi yang lain. Desacorp (di mana anak rakan politik Taib, Hamid Bugo ada pegangan saham) dan Empire Plantations yang besar, dimiliki oleh keluarga Wong, kroni perniagaan utama Ketua Menteri menerusi syarikat mereka, WTK.

Kini terdapat empat buah rumah panjang di Ulu Kenyana telah menemui ketua PKR Baru Bian untuk mewakili kes mereka.

Linggam anak Ngabok dari komuniti Iban Rumah Randi di Kenyana, menceritakan kepada kami bahawa masalah-masalahnya bermula dua tahun lalu apabila Empire Plantations telah mencerobohi tanah-tanah adatnya dan memusnahkan lanskap, termasuk pokok-pokok buah. Namun pemilik ladang enggan mengikhtiraf hak-hak orang-orang kampung di situ.

"Apabila mereka mengadakan mesyuarat dengan Pegawai Daerah (DO) untuk membincangkan beberapa perkara, mereka tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya menuntut untuk bercakap dengan Penghulu dan Tuai Rumah" kata Limnggam.

Mesej yang dibawa balik oleh Penghulu untuk anak-anak buahnya adalah "Tanah itu adalah Tanah Negeri (State Land), jadi kamu tak boleh buat apa-apa" kata orang-orang kampung itu. Tetapi mereka tahu bahawa tanah-tanah itu adalah milik mereka sejak berkurun lamanya. Mereka juga sedar bahawa ketua-ketua mereka yang dilantik oleh Barisan Nasional, yang mewakili mereka, telah dipaksa untuk bersetuju dan diberi RM250 untuk setiap hektar dan bukan untuk anak-anak buah mereka.

Orang-orang kampung mengatakan bahawa ketua-ketua mereka juga bertindak sebagai pemegang saham-saham dalam ladang-ladang tersebut, yang memberikan mereka lebih banyak insentif untuk bertindak menentang kepentingan orang-orang yang mereka wakili.

Telampau banyak kata-kata Taib mengenai 'modenisasi' yang boleh membawa kebaikan untuk orang-orang kampung. Mereka telah dipinggirkan dan tidak menerima apa-apa, walaupun mereka berada dalam kawasan pilihanraya Taib. Kini mereka semakin sedar. "Kali ini kami tidak akan mengundi BN lagi. Tidak sama sekali"./Sarawak Report

Sah!! Berlaku Pembaziran Di Yayasan Selangor

Posted: 17 Mar 2011 10:02 PM PDT

SHAH ALAM, 18 Mac - Laporan Audit Yayasan Selangor yang akan dibentangkan Kerajaan Negeri bulan ini mengesahkan berlakunya perbelanjaan berlebihan oleh yayasan itu menerusi dua individu penting dalam organisasi tersebut.


Sinar Harian yang memetik sumber melaporkan, setakat November 2010, Yayasan Selangor telah mengalami defisit RM7.41 juta dan pasukan audit telah menyarankan kepada Lembaga Amanah Yayasan Selangor supaya membuat pertimbangan untuk menamatkan kontrak bagi dua individu terbabit.

Menurutnya, laporan audit tersebut, berlaku perbelanjaan secara 'bidan terjun' dilakukan oleh seorang individu yang disokong oleh individu yang lain (dua individu penting Yayasan Selangor) telah memberikan impak negatif kepada aliran tunai Yayasan Selangor.
Sementara itu, pasukan audit yayasan yang enggan didedahkan identitinya mengesahkan dakwaan sumber Sinar Harian berhubung isi kandungan Laporan Audit Yayasan Selangor adalah benar dan tepat. " Benar, itulah yang terkandung dalam laporan audit tersebut,"katanya ketika dihubungi semalam.

Sumber sama memberitahu, cadangan untuk menamatkan kontrak kedua-dua individu terbabit adalah disebabkan mereka tidak dapat menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan membuat keputusan tertentu untuk kepentingan diri sendiri. Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka akan membentangkan laporan audit Yayasan Selangor sebelum berlangsungnya Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan ini.

Sebelum ini, Bahagian Audit Dalam Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah melaksanakan audit terhadap Yayasan Selangor pada 29 November 2010 sehingga 1 Disember 2010. Laporan audit kemudiannya diserahkan kepada Abdul Khalid, selaku Pemegang Amanah Yayasan Selangor pada 17 Disember 2010.

Pilihanraya Sarawak : Kerusi PAS Hampir Selesai

Posted: 17 Mar 2011 09:37 PM PDT

KUALA LUMPUR,18 Mac - Pembahagian kerusi antara parti komponen Pakatan Rakyat bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak kini berada di tahap akhir, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa. Beliau yang kini berada di Kuching ketika dihubungi Harakahdaily berkata, pembahagian kerusi khususnya untuk PAS, hampir selesai.

"Masih dalam perbincangan dan PAS sudah ada beberapa kerusi untuk ditandingi. PAS tidak banyak yang bertindih, cuma sekarang perbincangan peringkat akhir," katanya yang hadir ke sana atas tujuan itu. Katanya, kesemua urusan pembahagian itu akan selesai dalam masa terdekat memandangkan spekulasi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan dibubar bertiup kencang.
Apatah lagi semalam berlaku pertemuan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengadap Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri. Ada pihak mendakwa dalam pertemuan itu Abdul Taib telah menyatakan hasrat pembubaran Dun kepada Yang Dipertua Negeri.

Spekulasi itu turut mendakwa Dun Sarawak kemungkinan dibubarkan pada 21 Mac ini dan pilihan raya dilangsungkan pada 16 April sementara 9 April adalah hari penamaan calon. Ianya diperkuatkan lagi dengan lawatan serentak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negeri Bumi Kenyalang itu pada Sabtu ini yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.

Mengulas mood rakyat Sarawak ketika ini, Nasharuddin yang sebelum ini hadir melancarkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di Miri berkata, rata-rata mereka mahukan perubahan. "Mereka seperti menanti kehadiran pilihan raya negeri ini. Kita dapat dengan dari perbualan-perbualan mereka.

"Sokongan kepada Pakatan Rakyat saya kira Alhamdulillah baik, malah pada pelancaran DHPP sebelum ini juga turut disertai suku kaum Dayak," katanya lagi. Beliau turut memaklumkan, PAS telah pun memulakan gerak kerja pilihan raya di kawasan-kawasan yang dijangka akan ditandingi mereka sejak beberapa bulan lalu.

Media pro-Umno semalam menggambarkan wujud perpecahan teruk dalam parti komponen Pakatan Rakyat ekoran 'perebutan' kerusi yang bakal ditandingi. Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub semalam berkata, proses tawar-menawar antara parti kompenen itu adalah biasa namun yakin proses itu akan diselesaikan dengan segera./Harakahdaily

Kementerian Pelancongan Di Dakwa Minta Rasuah!!

Posted: 17 Mar 2011 09:00 PM PDT

Sebuah agensi pengiklanan yang mengendalikan kempen "Malaysia Truly Asia" mendakwa mereka menolak pembaharuan kontrak dengan Kementerian Pelancongan setelah diminta memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak itu. Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif 'Intergrated Strategic Communications' (ISC), Austen Zecha berkata, berikutan kejadian itu pihaknya telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk diambil tindakan.

Austen Zecha dalam satu kenyataan medianya berkata, ISC turut membidas kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang mendakwa pemberian tender kementeriannya yang bernilai RM 381 juta secara keseluruhannya itu dibuat secara telus. Malah menurut Zecha, beliau dan timbalannya turut ditemui 'seseorang' pada 19 Januari lalu supaya 'menawarkan Kementerian Pelancongan 50 peratus rebat atau sebahagian keuntungan daripada kontrak tersebut.

Jelas Zecha (gambar), sebagai balasannya ISC akan 'memenangi semula' kontrak Tourism Malaysia bagi kawasan Eropah, Amerika Utara dan Oceania. "Hal ini menyebabkan ISC mengambil keputusan menarik kembali tendernya pada rabu, 26 Januari," kata Zecha. Katanya, ISC sepenuhnya bersetuju insiden tersebut menghina kredibiliti agensi ini sekali gus menambah kecurigaanya mengenai proses pemberian tender oleh Kementerian Pelancongan itu.

Menurut Zecha lagi, ISC mempunyai rekod bersih dalam kempen Malaysia Truly Asia sejak mengendalikannya pada 1999 di bawah empat Menteri berbeza iaitu Datuk Leo Michael Toyad, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Datuk Seri Azalina Othman dan Datuk Seri Ng Yen Yen. Zecha berkata, Kementerian Pelancongan juga sebelum ini hanya membenarkan ISC meminta RM 3 Juta bil bagi 2009 dan 2010 untuk kontrak 3 tahun sebelumnya di Eropah, sedangkan sepatutnya ia boleh diperolehi dengan jumlah RM 18 juta setahun.

"Ia hanya setelah pentadbiran Menteri ini (Ng Yen Yen), sebelum ini atau semasa syarikat sebelum ini pada tahun 1970-an, 80-an dan 90-an tidak pernah pihak Kementerian membenarkan ISC atau mana-mana syarikat untuk memberi bil bagi 1 per enam dari nilai kontrak tahunan, atau sebanyak kira-kira 17 peratus. "Jadi apa yang berlaku kepada 83 peratus lagi dari kontrak bernilai RM 18 juta pada tahun 2009 dan 2010, dan siapa yang membenarkan serta mendapat keuntungan dari komisyen dan invois bernilai RM 30 juta dalam tempoh 2 tahun ini?" tanya Zecha lagi.

Tambah Zecha, beliau turut mempersoalkan penglibatan Ng dalam isu ini kerana komennya dalam Persidangan Parlimen Selasa lalu bertentangan dengan kenyataannya sebelum ini bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai lima syarikat yang diberikan kontrak selama tiga tahun dan bernilai RM 381 juta atau RM 127 juta setahun itu.

15 Mac tahun lalu, Ng Yen Yen membuat laporan polis ke atas sebuah blog yang mendakwa beliau memberi kontrak untuk mempromosi produk pelancongan kepada sebuah syarikat milik rakan baik anaknya dan menggunakan keuntungan dari komisyen tersebut bagi berkempen untuk pemilihan MCA./Tvs News

Victoria Jayaseele Martin Gagal Jadi Peguam Syarie

Posted: 17 Mar 2011 07:30 PM PDT

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan seorang peguam wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin (sebelah kanan gambar), untuk menjadi seorang peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Hakim Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan yang difailkan oleh Victoria (kiri) pada 19 Mei tahun lalu untuk semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menolak permohonannya untuk menjadi peguam syarie.

Dalam penghakimannya, Rohana berkata MAIWP mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mengeluarkan syarat mengenai pelantikan peguam syarie di mana syarat berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong."Parlimen memberi kuasa kepada MAIWP untuk membuat syarat-syarat mengenai kemasukan peguam syarie iaitu prosedur, kelayakan dan pembayaran dan kuasa yang diberikan adalah sangat luas," katanya.
MAIWP mempunyai kuasa untuk berbuat demikian seperti mana dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993, katanya. Victoria, 49, yang memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004, telah memohon tindakan undang-undang di mahkamah sivil setelah permohonan beliau untuk diterima sebagai peguam syarie ditolak oleh MAIWP.Dalam permohonan itu, Victoria, yang diwakili peguam Ranjit Singh menamakan MAIWP sebagai defendan.
MAIWP diwakili peguam Sulaiman Abdullah. Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie. Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

Beliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 14 Mei tahun lalu, beliau mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi dalam perundangan permulaan untuk memohon menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan selepas Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan permohonan beliau untuk semakan kehakiman. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mesti beragama Islam./Bernama

Tiada ulasan: