Jumaat, 18 Februari 2011

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM

WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM


PENULIS YANG AMBIL KESEMPATAN KELEMAHAN PKR UNTUK HANCURKAN PAKATAN PEMBANGKANG

Posted: 18 Feb 2011 09:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

SEORANG Penulis bernama Wan Nasuha Wan Hassan telah menulis di sini, yang mencemuh Timbalan Presiden PKR, YB Azmin Ali yang telah menyebut bahawa rundingan pembahagian kerusi di antara PR menjadi agak sukar kerana PAS mula mengintai kawasan yang bukan majoriti Melayu.

Sekiranya kritikan atau cemuhan penulis berkenaan hanya kerana Azmin mengeluarkan pandangan secara terbuka melalui media, itu saya faham dan saya juga tidak bersetuju dengan kaedah Azmin yang terlajak. Tetapi apabila Penulis mengaitkan kegagalan PKR mengawal beberapa Wakil Rakyatnya dari melompat parti sejurus PRU Ke 12 yang lalu, maka beliau mencadangkan agar PAS dan DAP meninggalkan PKR, maka saya merasakan ada niat jahat Penulis berkenaan secara peribadi terhadap kepimpinan PKR sekaligus beliau mahu melihat PR hancur di tangan Umno/Bn.

`Penulis batu api' seperti ini amat merbahaya kerana sentiasa mencari kelemahan pemimpin dari parti yang beliau tidak suka untuk mencapai cita-citanya. Mungkin cita-citanya sama seperti cita-cita Umno yang sentiasa memburukkan DS Anwar dan Tuan Guru Nik Aziz bertujuan untuk mendatangkan kesangsian di kalangan penyokong-penyokong kedua tokoh tersebut. Saya tidak pasti Penulis berkenaan adalah ahli dari mana-mana parti di dalam PR atau mungkin juga ejen dari pihak sebelah sana.

Penulis cuba untuk menunjukkan beliau lebih pintar dan bijak berpolitik daripada pemimpin PAS dan DAP. Hujah dangkal yang dibawanya jelas menunjukkan betapa ceteknya beliau membaca sejarah politik Pembangkang. Mungkin kerana teramat bencinya beliau kepada DS Anwar dan Azmin, maka beliau berusaha untuk mengesyorkan satu pandangan yang bodoh.

Saya tidak mahu mengulas isu yang beliau sebut bahawa Azmin hanya mendapat mandat 9 % daripada jumlah ahli-ahli PKR kerana hujah beliau itu teramat lemah sekali. Beliau terikut dengan hujah pemimpin Umno yang menyebut bahawa peratusan yang mengundi di dalam pemilihan pimpinan PKR baru-baru ini teramat rendah peratusannya jika dibandingkan dengan jumlah keahlian. Ternyata beliau akhirnya terpedaya dengan hujah Umno yang tidak tahu mathematik itu.

Cuba bandingkan, jika 9 % daripada ahli-ahli PKR yang dikatakan mengundi Azmin berapa ribukah yang mengundi? Jumlah itu jauh lebih ramai daripada yang mengundi Tun Mahathir, Pak Lah, Najib atau Muhyiddin di dalam Pemilihan Pucuk Pimpinan Umno sendiri. Ini adalah kerana kaedah yang digunapakai oleh PKR adalah satu ahli satu undi. Masakan Penulis tidak faham? Wajarkah hanya kerana beliau sakit hati Azmin memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dan hanya kerana Azmin mengeluarkan pendapat seperti di atas maka PAS dan DAP harus tinggalkan PKR? Jangan sangka pemimpin PAS dan DAP sebodoh kamu yang mempunyai nawaitu peribadi sejahat itu.

Saya bukan mengatakan pemilihan di dalam PKR semuanya bersih kerana saya sendiri banyak menulis dan mendesak agar PKR berbuat sesuatu dengan telus terutamanya berkaitan dakwaan berlakunya salah laku sepanjang pemilihan yang lalu. Tetapi, mengambil kesempatan di atas beberapa kelemahan ini untuk menghancurkan kerjasama di dalam PR tidak boleh diterima sama sekali.

Kesimpulannya, cadangan beliau agar PAS dan DAP meninggalkan PKR adalah satu cadangan yang tiada asas, tiada sebab, tiada hujah melainkan untuk melihat PR berkubur. Itu sahaja./wfauzdin.blogspot.com

MALANG SUNGGUH DAPAT MENTERI SEJAHIL INI

Posted: 18 Feb 2011 07:00 PM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

TERKEJUT beruk saya bila membaca kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan, DS Ismail Sabri yang mencabar PR menurunkan harga barang keperluan di negeri-negeri yang diperintah oleh PR. Saya terkejut kerana tidak menyangka manusia sejahil ini pemikirannya boleh diangkat menjadi Menteri dalam kabinet Najib.

Saya merasakan mungkin saya seorang sahaja yang terkejut, tetapi nampaknya kenyataan Menteri yang tidak tahu melaksanakan tugas itu turut mendatangkan kehairanan kepada Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA). Apabila sudah ramai yang merasa hairan dan terkejut, maka sahih lah Menteri itu tidak tahu buat kerja atau sudah kehabisan modal untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang sekarang.

`Tidak masuk akal'. Itulah yang dikatakan oleh Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah terhadap cabaran Menteri berkenaan. Sha'ani berkata jika benar kerajaan pusat ingin melepaskan tanggungjawab tersebut kepada Pakatan Rakyat, kerajaan pusat seharusnya menyerahkan kutipan hasil cukai kepada Pakatan Rakyat.

"Kerajaan sendiri tidak faham bagaimana mahu membantu pengguna dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kenyataan menteri-menteri sebenarnya memperdayakan pengguna", ujar Sha'ani.

Cabaran bodoh dari Menteri berkenaan juga turut mendapat reaksi dari pemimpin muda DAP, Tey Kok Kiew. Mana mungkin PR boleh menurunkan harga barang di negeri-negeri bawah pemerintahannya kerana harga majoriti barang keperluan berada di bawah Kerajaan Pusat. Samalah juga dengan harga tol lebuhraya yang berada di bawah negeri-negeri PR, harga petrol dan gas. Cabaran sedemikian rupa hanya boleh di utarakan sekiranya PR mengambil alih Putrajaya. Justeru itu, Menteri berkenaan jangan cuba untuk memperbodohkan rakyat./wfauzdin.blogspot.com

TUAN IBRAHIM TUAN MAN BAKAL KEJUTKAN UMNO DI KERDAU?

Posted: 18 Feb 2011 11:51 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

BIJAKNYA SPR apabila mengumumkan tarikh Pilihanraya Kecil Dun Kerdau, Pahang diadakan serentak dengan Pilihanraya Kecil Dun Merlimau, Melaka. SPR menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari. Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam dalam sidang media di Kuching.

PRK Dun Kerdau adalah merupakan PRK yang pertama di Pahang sejurus PRU Ke 12 ekoran kematian Adunnya dari Umno Allahyarham Zaharuddin Abu Kassim yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung. Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Siapakah calon PAS yang bakal dicalonkan kali ini? Difahamkan beberapa nama telah pun disenaraikan termasuk Pesuruhjaya PAS Pahang sendiri iaitu Us Tuan Ibrahim Tuan Man dan juga Ketua Pemuda PAS Pusat Us Nasruddin Hassan Tantawi. Memandangkan Dun Kerdau lebih separuh dari pengundinya datang dari kawasan Felda, saya merasakan calon yang paling layak untuk menambat hati para pengundi di situ adalah Us Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau pernah menjadi Wakil Rakyat di kawasan felda iaitu di Jengka.

Us Tuan Ibrahim Tuan Man juga mempunyai pengaruh yang besar dan dikenali ramai sebelum beliau aktif politik di dalam PAS. Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga amat disenangi oleh masyarakat bukan Melayu walaupun jumlah pengundi di kalangan bukan Melayu tidak begitu ramai. Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

PRK Dun Kerdau amat penting untuk menguji sejauh mana sokongan rakyat terutamanya orang-orang Melayu terhadap PAS dan PR di Pahang. Keputusan yang bakal diperolehi nanti bakal menjadi aras pengukur kekuatan PR di dalam menghadapi PRU Ke 13 nanti. Pahang dikatakan berpotensi untuk menambahkan jumlah kerusi PR samada di Parlimen mahupun di Dun Pahang.

Kekuatan Umno/Bn sebenarnya telah kita jangka kerana senjata mereka tetap sama di dalam mana-mana jua pilihanraya diadakan. Mereka cuma bergantung kepada Media, Jentera Kerajaan dan juga longgokan wang ringgit. Tanpa ketiga-tiga ini, Umno tidak mampu bernafas walau sesaat pun. Justeru itu, PAS dengan kerjasama padu dari rakan di dalam PR semestinya telah bersedia dengan kesemua aset mereka itu. /wfauzdin.blogspot.com

CADANGAN BERNAS DARI KETUA PEMUDA DAP YANG WAJAR DISOKONG

Posted: 18 Feb 2011 09:12 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

APABILA Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali menyebut bahawa PR menghadapi sedikit masalah kerana dikatakan PAS mula mengintai kerusi yang bukan majoriti Melayu di dalam PRU akan datang, beliau banyak dikritik oleh beberapa pemimpin dari PAS. Sewajarnya Azmin dikritik dan ditegur kerana anggapan beliau sedemikian rupa boleh menyebabkan salah faham di kalangan penyokong PR.

Selaku Timbalan Presiden PKR, Azmin sepatutnya lebih tahu saluran mana yang beliau boleh gunakan untuk menyatakan kebimbangannya. Namun dapat difahami kenyataan Azmin itu bukan satu sangkaan buruk terhadap PAS, cuma beliau ingin menyebut betapa di masa akan datang ini pembahagian kerusi sesama PR sedikit sukar dari sebelumnya memandangkan situasi dan perkembangan mutakhir yang menunjukkan PAS tidak lagi boleh bergantung kepada kawasan majoriti Melayu samata-mata.

Saya tertarik dengan cadangan Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke yang menekankan bahawa sebarang keputusan samada mengekalkan `status quo' di dalam PRU Ke 12 yang lalu atau membuat beberapa perubahan taktikal perlulah dipersetujui bersama di antara pimpinan PR. Beliau turut mencadangkan agar kawasan yang PR dahulunya tewas, mestilah diletakkan calon dari parti yang mempunyai potensi besar untuk menang.

Sebagai contoh, jika di dalam PRU Ke 12 yang lalu kawasan itu ditandingi oleh PKR tetapi tewas, ada baiknya di dalam PRU Ke 13 nanti kawasan itu ditandingi oleh parti yang mempunyai potensi untuk menang di situ samada dari PAS mahupun DAP. Apa yang penting katanya, PR dapat merampas kerusi tersebut. Ini satu idea yang baik dan bukan bertujuan untuk merampas hak sesebuah parti di dalam PR.

Di sinilah kebijaksanaan pimpinan PR itu penting. Sikap mementingkan diri sendiri dan menjaga kepentingan parti masing-masing sahaja harus dikikis. Perubahan wajar dilakukan dari semasa ke semasa mengikut situasi dan perkembangan politik di sesebuah kawasan itu. Sasaran untuk menang perlu diletakkan di hadapan./wfauzdin.blogspot.com

MAHKAMAH - ADUN `KATAK' PELABUHAN KELANG KEKAL SEBAGAI ADUN?

Posted: 18 Feb 2011 01:15 AM PST

Oleh: WFAUZDIN NS

APA sudah jadi? Hari ini Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Badrul Hisham Abdullah masih merupakan ADUN Pelabuhan Klang. Keputusan itu dibuat oleh Hakim Zaleha Yusof.Kerusi DUN Pelabuhan Klang itu telah diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Januari lalu. (Rujuk laporan Malaysiakini hari ini).


NONE

Sebelum ini Speaker Dun Selangor, YB Teng mengistiharkan kerusi Dun Pelabuhan Kelang kosong kerana Adun Umno Badrul Hisham, tidak menghadiri sidang dewan tanpa cuti selama lebih kurang enam bulan sejak bulan 16 Julai tahun lalu.

Mengikut Perlembagaan Selangor, kerusi DUN dianggap kosong jika wakil rakyatnya tidak hadir sidang dewan tanpa cuti selama enam bulan.

Badrul Hisham telah memfailkan saman asal untuk mengisytiharkan bahawa pengumuman Teng itu tidak sah dan terbatal, serta memfailkan injunksi untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengisytiharkan pilihan raya kecil di DUN yang diwakilinya.

Ramai yang telah menjangka keputusan ini dan amat malang sekali terbukti betapa kuasa Speaker Dewan tidak lagi `kebal'. Pengundi-pengundi di Dun Pelabuhan Kelang `terpaksa' juga menerima Wakil Rakyat yang mereka undi atas tiket PKR itu kekal dikerusi tersebut atas cop Umno. Di mana maruah Wakil Rakyat ini? Sekian lama tidak hadir Dewan, menjadi Wakil Rakyat dengan `memperdaya' pengundi tetapi masih tergamak memakan gaji dan elaun sebagai Adun?

Sekali lagi nasib dan hak rakyat ditentukan oleh mahkamah. Apa sudah jadi dengan negara ini?/wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: