WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat
- DS UTHAYAKUMAR NAJIB 26 02 2011
- Tidak Mustahil Politik Asia Ikut Jejak Mesir Jika Media Massa Terus Ditekan - DSAI
- HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June Ini
Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat Posted: 27 Feb 2011 07:37 PM PST Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat Salam Sejahtera. "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." (Maksud Al-Quran, al-An'am 6:162) Sesungguhnya, segala puji-pujian kepada Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Nabi Muhammad SAW, Pesuruh Allah pengakhir zaman. Didoakan kepada semua pengundi, sanak-saudara dan kaum keluarga warga Dun Merlimau dan Dun Kerdau berada dalam selamat dan sejahtera dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Tuan-puan dan Saudara-saudari yang dihormati sekalian. Bersempena dengan pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka dan N.28 Dun Kerdau, Pahang ini, saya dengan ini mengambil kesempatan untuk menyampaikan seruan ingatan kepada diri saya dan pengundi sekalian yang berkebetulan berlaku dalam bulan sambutan Maulidur Rasul 1432H. Maka, ambillah pengajaran daripada sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat bukannya laknat kepada sekalian alam. Mengamalkan ajaran Nabi baik dari segi ibadatnya, mahu pun segenap urusan hidup (mauamalat) adalah pelengkap kepada mencapai keberkatan di akhirat nanti. Oleh kerana itu, kita kena bergantung kepada Islam di dalam segala-gala segi perjuangan hidup. Ajaran Nabi Muhammad SAW sendiri tidak menerima perjuangan atas nama bangsa Arab, yang diterima hanyalah perjuangan atas nama keimanan yang hakiki terhadap Allah, Rasul dan hari akhirat. Selari dengan firman Allah: "Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjidilharam itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberikan hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim." (Maksud Al-Quran, At-Taubah 9:19) Justeru Islam mengutamakan iman bukannya perbuatan. Atas kebenaran ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW inilah, maka setiap apa yang kita buat hendaklah berserta dengan niat yang tulus di atas dasar keimanan. Oleh itu, menghadapi pilihan raya kecil ini, saya mengajak para pengundi sekalian tetapkan niat dan iman semasa menggunakan hak mengundi "untuk ubah nasib hidup kita, demi menegakkan kebenaran dan keadilan serta kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat." Sesuai dengan niat tersebut, maka ubahlah kepercayaan kita dari mempercayai hanya Umno sahaja yang boleh memerintah dan membawa pembangunan, kepada memberi kepercayaan kepada PAS-Pakatan Rakyat yang juga boleh memerintah dan membawa pembangunan kepada bangsa, agama dan tanah air. Ini kerana parti Islam PAS sudah lebih 20 tahun berjaya sebagai sebuah kerajaan yang memerintah dan membangunkan rakyat dan negeri di Kelantan. Dan kini kejayaan itu turut berlaku di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Bagi PAS di Kelantan, kejayaannya adalah kerana mengamalkan dasar pentadbiran Islam berteraskan prinsip ubudiah (keyakinan kepada Tuhan), mas'uliah (penuh tanggungjawab mengikut kehendak agama) dan itqan (melakukan yang terbaik) yang selari dengan kehendak syariat. Justeru itu, Kerajaan Negeri Kelantan berjaya dengan rekod bersih, tiada amalan rasuah, berintegriti, bebas dari riba dan subur dengan hasil mahsul anugerah Tuhan. Malah berkat pentadbiran Islam, semua lapisan kaum hidup dengan aman, damai dan sejahtera berpandukan agama. Ia sebagai bukti betapa syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini berjaya mendidik pentadbir, pemimpin dan rakyat terus berpegang teguh kepada agama. Falsafah ini adalah selari dengan doa iftitah yang kita baca di permulaan sembahyang: "Sesungguhnya sembahyang ku, ibadat ku, hidup ku dan mati ku adalah kerana Alllah Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam (Lillahi Rabbi 'alami)." Maknanya kerajaan Negeri Kelantan tetap jujur dan ikhlas mendidik semua pemimpin dan rakyat untuk mengingati tanggungjawab beragama––bersembahyang dan beribadat, dosa dan pahala serta memikirkan soal hidup dan mati. Inilah natijah perjuangan PAS yang sentiasa mendidik rakyat ke arah kehidupan beragama, berkeamanan dan berharmoni. Justeru Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh PAS sudah berjaya meyakinkan masyarakat semua kaum, bahawa apa yang kita laksanakan di Kelantan adalah yang terbaik, malah lebih baik berbanding dengan apa yang dibuat oleh Umno sebelum ini. Maka, Negeri Kelantan telah mendahului negeri-negeri lain dalam banyak aspek pembangunan berteraskan ajaran Islam. Terbaru sekali ialah penggunaan wang syariah––dinar emas dan dirham (sistem kewangan Islam zaman Nabi Muhammad SAW), dan pemberian beras percuma kepada keluarga miskin di bawah Skim al-It'aam. Tuan-puan dan saudara-saudari sidang pengundi sekalian. Islam mengajar kita supaya berlaku adil kepada semua pihak, termasuklah ketika bertanding dalam pilihan raya. Setiap kali PAS bertanding, prinsip yang diamalkan ialah berkempen dengan adil dan bersih, tiada ugut-mengugut dan sogok-menyogok. Sentiasa memberi peluang kepada pengundi untuk menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan memilih dan mengundi PAS. Maka demi masa depan kita, undilah PAS pada kali ini. Ubahlah undi kita, dari undi Umno kepada mengundi PAS. Sebagaimana masyarakat Kelantan yang sudah menolak perjuangan Umno dan parti Umno bukan lagi parti kerajaan. Masyarakat Kelantan menolak perjuangan kebangsaan Umno adalah kerana dasarnya yang mengasing-asingkan dan membeza-bezakan rakyat mengikut kaum-kaum, dan mengenepikan nilai-nilai keadilan yang diajar oleh Islam. Oleh sebab amalan itulah, Umno telah gagal mewujudkan perpaduan sebenar di kalangan semua kaum dalam negara ini. Kegagalaan itu membuktikan perjuangan Umno tidak selari dengan ajaran Tauhid Islam. Mengikut ajaran Tauhid, bukan hanya Tuhan itu Satu, tetapi satu segala-galanya. Maksudnya, kita hendaklah menerima Islam dan ke-Esaan Tuhan dengan tulus ikhlas. Hatta manusia yang berbagai-bagai bangsa itupun hendaklah disatukan di bawah satu keturunan iaitu keturunan Nabi Adam AS. Malangnya, ajaran seperti ini tidak diajar oleh perjuangan sekular dan kebangsaan Umno. Oleh itu, terimalah sistem Islam yang sentiasa benar dan adil untuk semua kaum. "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam–tidak tali kebangsaan) dan janganlah kamu bercerai-berai ." (Maksud Al-Quran, Ali-Imran 3:102-103), Sebenarnya Allah SWT tidak menerima segala amalan kita, melainkan kita beramal dengan ajaran Islam yang syumul. Maka, menolak perjuangan Umno-BN adalah satu tindakan betul yang sekaligus menolak perjuangan sekular dan kebangsaan. Oleh itu, saya penuh yakin bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat, Haji Yuhaizad bin Abdullah (Dun Merlimau) dan Hassanuddin bin Salim (Dun Kerdau) adalah calon-calon yang mesra dan rapat dengan semua lapisan pengundi. Mereka berdua cukup berpengalaman selaku pimpinan parti dan masyarakat, maka sudah pasti mereka mampu melaksanakan tugas dan tanggungjawab demi menunaikan harapan rakyat. Dengan ini saya menyeru dan merayu kepada sekalian pengundi, terutamanya pengundi Melayu, Cina dan India, dan khasnya pengundi peneroka yang budiman lagi bijaksana, bersama-samalah kita mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat. Bulatkan hati, dengan lafaz 'Bismillah...nama Tuhan yang Esa' undilah Bulan pada hari Ahad, 6 Mac 2011 nanti. Keluarlah beramai-ramai untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat dan jangan hiraukan ugutan dan sogokan pihak Umno-BN. Selamat mengundi. Semoga dengan 'sepangkah undi,' tuan-puan dan saudara-saudari sekalian dirahmati Allah Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. "Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia, Bersama PAS-Pakatan Rakyat" *PAS UNTUK SEMUA * Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS. |
DS UTHAYAKUMAR NAJIB 26 02 2011 Posted: 27 Feb 2011 12:35 AM PST |
Tidak Mustahil Politik Asia Ikut Jejak Mesir Jika Media Massa Terus Ditekan - DSAI Posted: 27 Feb 2011 12:33 AM PST Tidak Mustahil Politik Asia Ikut Jejak Mesir Jika Media Massa Terus Ditekan - DSAI Kebanyakan negara Asia akan berdepan dengan kebangkitan rakyat ala Mesir jika mereka terus mengekang institusi- institusi seperti badan kehakiman dan media-massa yang menjadi penanda aras demokrasi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua Pembangkang itu menegaskan pemerintah autokratik di rantau ini tidak lagi boleh menghalalkan kekangan sebegitu sebagai pra-syarat mengejar kemajuan kerana lambat laun rakyat akan bangkit menolak penindasan sebegitu. "Anggapan bahawa sesebuah kerajaan harus memusatkan segala kuasa pada dirinya, memerintah secara autokratik demi mencapai pemodenan dan membasmi kemiskinan, tanpa diselia oleh institusi-institusi berwibawa...amat bertentangan dengan konsep demokrasi dan kebebasan,' tegas Anwar. Anwar menyifatkan Jepun, India dan kini Indonesia sebagai pengamal sistem demokrasi yang agak rancak, manakala kebanyakan negara Asia yang lain dibelit dengan pemerintahan kuku besi. "Pemimpin di rantau ini harus diingatkan untuk melaksanakan pembaharuan sosio ekonomi dan memperkasakan institusi-institusi demokrasi dan hak kebebasan rakyat," kata Anwar dalam ucaptamanya mengenai forum kebangkitan Asia yang berlansung di Phonm Penh Kemboja. Anwar berkata gerakan demokrasi di Mesir, Libya, Tunisia dan dunia Islam lain mempunyai impak yang besar ke atas negara-negara Asia. Seperti di Timur Tengah, ramai pemerintah di Asia secara sistematik bertindak menghakis, malah memansuhkan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan keseimbangan kuasa. "Sebagai pengganti, mereka memperkenalkan undang-undang zalim yang mencabul kebebasan asas rakyat dan konsep pengasingan kuasa yang menjadi prinsip asas sistem demokrasi," tegas Anwar. Akibatnya, kata Anwar, hak dan kebebasan rakyat di negara-negara Asia berkenaan semakin terhakis, tidak kira samada mereka dari golongan miskin, suku kaum minoriti atau kelas pertengahan. "Di tengah-tengah penindasan ini, kita melihat pemimpin kerajaan begitu ghairah mencari sokongan walaupun dengan cara meniupkan api perkauman yang menggugat kestabilan negara," tambah Anwar. Lebih menjengkelkan apabila pemimpin negara penduduk majmuk mengawal penuh institusi-institusi negara temasuk media massa hanya untuk mencetuskan ketegangan kaum demi kelangsungan politik diri. Dalam ucapannya itu, Anwar menegaskan selain pilihanraya yang bebas dan adil, institusi kehakiman adalah tunjang utma untuk mempertahankan kewibawaan sesebuah negara. "Sesebuah badan kehakiman yang tercemar boleh dan akan membawa negara ke ambang kehancuran. Ia akan membawa kepada kegagalan secara terancang proses keadilan di negara itu," kata Anwar. Anwar melahirkan rasa kesal dengan sesetengah pemimpin Asia yang terus engkar menghayati mesej yang dibawa menerusi kebangkitan rakyat di Timur Tengah. "Kita harus ingatkan pemimpin autokrat yang angkuh ini bahawa lambat laun mereka akan membayar harga yang tinggi kerana menolak suara rakyat menuntut kebebasan dan demokrasi," tegas Anwar. "Apa yang rakyat mahukan ialah keadilan sosial, kebertanggungjawaban untuk membanteras rasuah, urus tadbir telus dan pemberdayaan politik," tambah Anwar.
|
HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June Ini Posted: 27 Feb 2011 12:30 AM PST HIMPUNAN 500K BERSIH 2 : June Ini Ditulis oleh Nasruddin Tantawi 1. Negara kita masih menyaksikan kepincangan ketara dalam amalan demokrasi. Bukan sahaja dipentas politik negara malah kepincangan serupa turut melanda politik kampus. Bermula dari pengendalian sistem demokrasi yang berat sebelah, tidak adil dan tidak telus telah menimbulkan keresahan berpanjangan dari rakyat dalam negara kita. Saya percaya tragedi yang berlaku di UPM baru - baru ini pun bermula dari keresahan serupa yang turut dirasai oleh para mahasiswa. 2. Pada 10 November 2007 yang lalu, rakyat telah meledakkan kebangkitan menuntut sebuah demokrasi yang bersih dalam satu himpunan 100,000 rakyat yang dikenali sebagai himpunan BERSIH. Beberapa tuntutan yang telah dibuat dalam himpunan BERSIH yang pertama tempohari masih dibekukan begitu sahaja oleh pihak berwajib. Antara tuntutan tersebut ialah : Penggunaan Dakwat Kekal kepada pengundi
4. Saya yakin seluruh rakyat dalam negara kita dapat saksikan kepincangan ini, apabila media elektronik dan cetak negara kita seperti RTM dan Utusan Malaysia serta Berita Harian diguna sepenuhnya secara tidak adil untuk berkempen sebelah pihak iaitu pihak UMNO dan BN sedang RTM dan Utusan Malaysia atau Berita Harian ini tidak pula diisytiharkan sebagai media rasmi atau buletin rasmi parti UMNO dan BN . 5. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sekali lagi mendesak dan merayu supaya kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara ini sebelum berlangsungnya pilihanraya umum ke 13 akan datang. Hanya keadilan , ketelusan dan kesaksamaan dalam sistem pengendalian demokrasi negara ini akan menjadi rakyat tenang dan akur menerima keputusan pilihanraya, samaada menang atau kalah. Andai sistem pengendalian demokrasi negara masih pincang dan dilihat terlalu banyak kelemahan di sana dan sini, keputusan pilihanraya akan mencetus rasa tidak puas hati dan menganggu kesejahteraan serta keharmonian rakyat . 6. Desakkan dan rayuan ini adalah serius. Kami sudah penat bertolak ansur dan bertarik tali dengan pihak kerajaan dalam menuntut keadilan serta ketelusan dalam sistem demokrasi negara ini. Sungguhpun kerajaan UMNO dan BN benar - benar nekad mahu mempertahankan survival kuasa dan pengaruh mereka , maka pertahankanlah ia dengan bermaruah dan berhemah. Iaitu melalui satu sistem pengendalian demokrasi yang telus, adil dan saksama. Bukan melalui sistem saingan demokrasi yang berat sebelah. 7. Kami memberi tempoh sehingga menjelang 1 Mei 2011 ini untuk kerajaan memberi komitmen lalu memulihkan sistem demokrasi pincang yang kita hadapi dalam negara kita hari ini. Andai desakan dan rayuan ini tidak dipeduli oleh pihak kerajaan, kami dari Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi komitmen untuk menyahut seruan Yb Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS bahawa satu lagi rally atau himpunan BERSIH digerakkan. 8. Kali ini, insyaallah saya percaya dan yakin, sekurang - kurangnya setengah juta rakyat [500,000] akan bangkit secara aman namun penuh tegas untuk memohon dan mendesak agar kerajaan mahu atau tidak mesti memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar adil dan telus kepada semua parti yang bertanding dan melibatkan diri dalam pilihanraya. 9. Saya meletakkan jangkaan tarikh awal untuk BERSIH 2 ini ialah pada bulan June 2011 [ Sabtu ] jika sekiranya menjelang 1 Mei 2011 ini, kerajaan masih gagal untuk meyakinkan rakyat dengan satu komitmen untuk memastikan sistem pengendalian demokrasi negara benar - benar dipulihkan serta bebas dari sebarang ruang manipulasi serta kepincangan. 10. Saya ulangi tanpa sikap teragak - agak demi kebaikan kepada seluruh rakyat dan negara agar kerajaan benar - benar serius dan memahami tuntutan kami sebagai rakyat dan anak - anak muda khasnya yang mahu menyaksikan perubahan besar berlaku dalam negara ini. Andai tuntutan diterima dan dilaksanakan , kami benar - benar mengucapkan terima kasih namun jika sebaliknya, berbanyak maaf kami pinta bahawa kami khasnya anak - anak muda, dengan Nama Allah swt Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Adil, akan bangkit sekali lagi menuntut hak kami sebagai rakyat yang merdeka pada bulan June 2011 dalam Himpunan 500K BERSIH 2 kelak . Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan. Nasrudin bin Hassan
|
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan