Khamis, 10 Februari 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Ops Lalang : Najiblah orang pertama yang sepatut ditahan - Datuk Johari

Posted: 10 Feb 2011 10:56 PM PST

KUALA LUMPUR: Jika benar polis bertanggungjawab terhadap Operasi Lalang 1987, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya turut sama ditangkap dan disumbat ke dalam penjara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika itu.
Ini kerana Najib yang merupakan Ketua Pemuda Umno pada masa tersebut merupakan orang pertama yang membuat hasutan mengapi-apikan kebencian sesama kaum.
"Najib adalah orang pertama yang harus kena (ditahan). Dia orang pertama yang mengapi-apikan kebencian sesama kaum sewaktu berucap di perhimpunan di Stadium TPCA Kampung Baru," kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad bahawa polis bertindak tanpa arahan beliau semasa Operasi Lalang 1987.

Mahathir berkata demikian di dalam buku tulisan Tom Plate, 'Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad'.

Johari juga berpendapat kenyataan Mahathir bahawa beliau tidak mengarahkan penahanan tersebut merupakan sandiwara dan lawak terbaik Mahathir pada tahun ini.

"Mahathir ini cuba buat lawak. Ketua Polis Negara tidak akan bertindak tanpa arahan daripada Menteri Dalam Negeri pada masa itu yang dijawat oleh beliau sendiri. Lebih-lebih lagi dalam hal politik yang memerlukan kebenaran daripada Menteri Dalam Negeri sendiri," katanya.

Beliau turut meminta agar Mahathir berhenti mencemar nama baik serta menjadikan polis sebagai kambing hitam bagi menulis semula sejarah lampaunya sendiri.

"Mahathir tak boleh cemar nama polis dan Mahathir perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri pada masa itu," kata Johari - Keadilan Daily

Berita yang BETUL dari Tambun, Ipoh ...

Posted: 10 Feb 2011 09:09 PM PST




IPOH: KEADILAN Cabang Tambun menafikan laporan sebuah portal berita bahawa ahli cabang tersebut meninggalkan KEADILAN dan menyertai Gerakan.

Semalam Malaysiakini melaporkan 200 bekas ahli KEADILAN Ipoh Barat dan Tambun menyertai Gerakan.

Namun menurut Ketua Penerangan Cabang tersebut, Omar Hakim Omar Farouk, berita tersebut tidak benar kerana tiada ahli cabang tersebut meninggalkan parti.

"Cabang Tambun tidak pernah menerima surat pemberhentian keanggotaan daripada mana-mana ahli dalam masa terdekat," kata Ketua Penerangannya, Omar Hakim Omar Farouk dalam sebuah kenyataan media.

Malahan, bekas ahli yang dilapor mengetuai kemasukan beramai-ramai ke dalam Gerakan tersebut juga sudah setahun meninggalkan KEADILAN, kata Omar Hakim.

Bahkan, katanya lagi, KEADILAN Cabang Tambun juga mengalami peningkatan ahli sepanjang masa.

"Setiap bulan ada ahli-ahli baru yang memasuki Pakatan Rakyat. 80 peratus daripada mereka pernah menjadi ahli parti komponen BN, tetapi kita tidak merasa perlu untuk menghebohkan perkara ini.

"Apa yang penting, peningkatan ahli baru serta penubuhan ranting baru berjalan dengan baik," kata Omar lagi

Pemantauan terhadap remaja Islam bukan hanya tertumpu pada sambutan Valentine sahaja - Dr Halimah

Posted: 10 Feb 2011 08:40 PM PST

PETALING JAYA: Pemantauan kegiatan tidak bermoral di negeri- negeri seperti Selangor, Kedah dan Kelantan dijalankan secara berterusan pada setiap tahun tanpa mengira sebarang perayaan mahupun sambutan tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali berkata pemantauan di negeri itu bukan hanya tertumpu pada sambutan Valentine, malah sambutan tahun baru atau kemerdekaan yang membabitkan umat Islam.

Halimah berkata di Selangor sahaja 100 peratus yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini membabitkan remaja Islam.

"Pemantauan dan penguatkuasaan dibuat secara berterusan oleh pelbagai pihak termasuklah polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), Rela, NGO kerana ia sudah menjadi tanggungjawab hakiki mereka.

"Malah kegiatan tidak bermoral seperti khalwat, zina, berdua-duaan tanpa ikatan ini merupakan masalah nasional dan di Selangor kami membuat pemantuan secara berterusan tanpa mengira sebarang sambutan mahupun perayaan tertentu.

"Di Selangor kempen anti zina yang menjurus kepada umat Islam telah dilancarkan sejak tahun lepas menjadi satu pendekatan untuk elak mencegah masalah sosial seperti buang bayi dan zina," katanya yang dihubungi FMT hari ini.

Beliau turut bersetuju dan mengalu-alukan mana-mana parti politik yang bersama-sama membantu menangai masalah sosial tersebut.

Parti politik dipelawa sumbang tenaga

Katanya, cadangan dikemukakan Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi kelmarin agar PBT bekerjasama dengan polis dan Rela untuk memantau aktiviti tidak bermoral ketika sambutan Valentine merupakan tindakan inklusif.

"Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) membantu dari segi pendidikan, NGO (badan bukan kerajaan) tidak boleh menghukum tetapi mereka berdakwah. Polis juga hanya tangkap orang yang berbuat jahat.

"Saya alu-alukan mana-mana parti politik, sama ada PAS mahupun Umno untuk sumbang tenaga bagi mengatasi masalah sosial seperti ini," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang.

Sementara itu, di Kedah menurut Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi Negeri Kedah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) agar meningkatkan penguatkuasaan bagi memantau umat Islam yang menyambut Valentine.

"Saya telah arahkan bahagian penguatkuasa Jaik untuk pantau remaja Islam yang menyambut Valentine dan mendapat kerjasama daripada polis dan turut membabitkan ketua pegawai agama daerah di semua daerah," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada FMT.

Penguatkuasaan secara berterusan

Manakala di Kelantan kerjasama bersama pihak polis dan Rela sudah menjadi amalan dalam membanteras kegiatan tidak bermoral tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Datuk Mohd Nik Amar Nik Abdullah, kebiasaannya dalam perayaan dan sambutan tertentu sebarang operasi akan ditingkatkan.

Sambutan Valentine kebiasaannya disambut pada 14 Februari, namun menurut Mohd Nik Amar di Kelantan keadaannya cukup berbeza jika dibandingkan di negeri-negeri lain.

"Di Kelantan tidak ketara kerana hampir tiada sambutan Valentine ini. Kami tiada NGO namun memiliki skuad yang digelar 'Amru' iaitu Amar Makruf Nahi Mungkar.

"Skuad ini akan menjalankan tugas-tugas pencegahan maksiat secara rasmi. Malah penguatkuasaan membabitkan kerjasama polis di seluruh daerah manakala Rela akan bertindak di kampung-kampung," katanya - FMT
STONE : Aku setuju sgt apa yg di nyatakan oleh Dr Halimah. Pemantauan terhadap moral remaja Islam perlu berterusan, bukan terhad kepada hari Valentine saja.
Datang saja ke KLCC pada petang Sabtu dan Ahad (dah berkurangan sejak ada Pavilion), korang boleh lihat bagaimana aksi-aksi anak-anak muda kita. Mereka bukan 'berkhalwat' kerana aksi-aksi menjolok mata mereka dilakukan di tempat awam. Sangat menyedihkan.
Dengan pakaian yang terdedah sana sini, merokok sudah kemestian, berpelukan, bercium ... kadang-kadang aku bertanya sendiri, apakah aku berada di sebuah negara Eropah, atau negara bukan Islam? ...
Apa tindakan yang boleh polis, PBT, Rela lakukan? Kerana aksi-aksi mereka di tempat awam. Inilah masanya Jabatan/Majlis agama atau PAS perlu bertindak. Tapi sejauh mana kah tindakan dari PAS Selangor/Wilayah setakat ini. Aku tidak lah berada di sana setiap hujung minggu, kecuali sesekali bila ada apa-apa acara atau membawa anak-anak berjalan-jalan.
Setakat yang aku tahu, tiada apa-apa tindakan sehingga kini dari PAS. Sekurang-kurangnya mereka boleh kesana memberi nasihat kepada remaja-remaja 'kaki lepak' tu.

Monorail Ali Rustam : 1.6km tambang RM10.00 .. ni dah kira kemut duit rakyat

Posted: 10 Feb 2011 09:43 AM PST

Anak Melaka

Saya adalah anak Melaka berasa terkilan di bawah kepimpinan Datuk Wira Mohd Ali Mohd Rustam gagal membawa perubahan pembangunan di negeri Melaka. Banyak projek pembangunan menjadi GAJAH PUTIH.

Teksi bermeter, Hang Tuah Mall, gelanggang go cart, muzium pengangkutan, bas panorama, Melaka International Airport dan banyak lagi. Terkini monorel Melaka buatan China@CAP AYAM sejauh 1.6 km bermula dari Tmn Rempah ke Tmn Nyiru Bunga Raya sejauh 1.6 km dikenakan tambang RM10.00 sehala.

Belum pun setahun beroperasi dah buat hal. Kononnya Melaka sudah capai status negara maju.

Jika di bandaraya Kuala Lumpur tambang monorel buatan Malaysia Scomi MTrans sehala sejauh 8.6 km merentasi 11 buah stesen bermula dari KL Sentral ke Titiwangsa RM2.50.

Ini bermakna tambang RM10.00 monorel Melaka sejauh 1.6 km boleh menyamai 4 perjalanan sehala dari KL Sentral ke Titiwangsa.

Apakah motifnya melabur berbilion ringgit untuk diwujudkan monorel Melaka?

Saya rasa baikduit dilaburkan ke projek tidak bermanfaat itu untuk disegerakan projek aerotrain dari MITC ke Bandar Hilir.

Saya pasti dengan konsep park & ride di stesen aerotrain, masalah kesesakan jalan raya di Bandaraya Melaka dapat diatasi.

Anak Melaka,
Ampang, Selangor

_Harakah Daily

Malam Jumaat ni .. mai kita layan cerita seram pula

Posted: 10 Feb 2011 08:30 AM PST

MISTERI DUA MAKHLUK ANEH DI GUNUNG JERAI
Bayi kami menjerit sangat kuat secara tiba-tiba, dan serentak dengan itu juga saya ternampak satu kelibat, seperti manusia tanpa pakaian namun tidak mempunyai wajah berada di belakang kereta ketika hendak menuruni bukit dari puncak Gunung Jerai dalam kejadian lewat petang Jumaat lalu," kata seorang lelaki berusia 27 tahun.

Tengku Uwais Masdani Tengku Mohd Adlan mendakwa ketika kejadian dia bersama isteri, Nor Hafizah Mohd Noor, 27, dan anak kedua mereka, Tengku Nur Qaira Damia, 3 bulan, dalam perjalanan turun ke bawah selepas kira-kira 30 minit berada di puncak gunung itu untuk mengambil gambar sambil bersiar-siar.

Menurutnya, semasa dalam perjalanan menuruni bukit, setiba di satu selekoh, kenderaan yang dipandunya sukar membelok sehingga memaksanya untuk mengundur kereta sebelum cuba membelok sekali lagi namun usaha itu gagal.

"Sehinggalah saya terpaksa mengundur kereta sambil membuka pintu untuk melihat keadaan di belakang sama ada melepasi jarak untuk membelok atau tidak.

"Sebaik melihat ke arah belakang, saya tergamam apabila melihat satu kelibat yang sangat tinggi seperti manusia tetapi tidak berpakaian dan tidak berwajah sedang memerhati saya.

"Dengan pantas ketika itu saya segera tutup tingkap dan pintu kereta lalu memecut dengan kelajuan sehingga 50 kilometer sejam menuruni bukit yang sangat curam sambil terbayang-bayang kelibat yang dilihat dengan sangat jelas, kerana ketika itu ia hanya berada kira-kira tiga meter sahaja dari tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Terdahulu mereka yang dalam perjalanan pulang dari Batu Feringhi singgah ke Gunung Jerai kira-kira jam 6.30 petang itu bagi mengambil angin petang sebelum pulang ke Jitra.

Tengku Uwais berkata, sepanjang perjalanan menuruni bukit itu, anaknya itu langsung tidak berhenti berteriak dan menjerit-jerit sehinggalah mereka berhenti seketika di surau sebaik sahaja tiba di bawah sebelum bergerak pulang ke Jitra.

Menurutnya, dalam perjalanan pulang dia langsung tidak bercakap apa-apa dengan isterinya sehinggalah tiba di rumah, barulah semua kejadian yang berlaku d diimbas kembali dan diceritakan kepada isterinya.

Sementara itu, Nor Hafizah berkata, pada awalnya lagi dia merasakan ada sesuatu yang berlaku ketika dalam perjalanan menuruni puncak itu, namun mulut berat hendak bertanya sehinggalah semua yang berlaku diceritakan kembali suaminya sebaik tiba di rumah pada malam itu.

Menurutnya, sambil bercerita mereka turut melihat kembali semua gambar yang dirakamkan dalam telefon bimbit dan kemudian apabila melihat sekeping daripada beberapa keping gambar yang diambil, dia terkejut melihat wajahnya pada gambar itu seakan-akan hodoh, lalu mereka membesarkan imej itu untuk melihatnya dengan lebih dekat.

"Tetapi apa yang mengejutkan, kami ternampak satu lagi objek yang rupanya seakan-akan binatang mempunyai tanduk namun berjubah putih dalam keadaan tergantung di sebalik pokok dan cahaya-cahaya lampu yang dihiaskan pada pokok terbabit.

Dia berkata, sebelum ini arwah bapa pernah juga memesan supaya jangan sesekali naik ke puncak gunung itu namun dia tidak tahu apa sebabnya.

"Ini kali pertama saya naik ke puncak itu dan pesanan arwah ayah mungkin bersebab dan tidak menyangka ia terjadi kepada kami.

"Mungkin ini kali pertama dan terakhir saya menaiki puncak itu kerana khuatir sesuatu berlaku selepas ini jika tidak berjaga-jaga," katanya.

Kes Hasbie : Umno memang terlibat aktiviti wang haram

Posted: 10 Feb 2011 03:00 AM PST

Norutul Ilham 10 Feb 2011, 06:57 pm

KUALA LUMPUR: Pendakwaan terhadap Hasbie Satar, bekas Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yakcop, menunjukkan individu yang rapat dengan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) terlibat dalam aktiviti wang haram.

Bercakap kepada KeadilanDaily.com, bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak) Malaysia, Mohd Nazree Yunus juga tidak menolak kemungkinan satu persatu kes berprofil tinggi melibatkan wang haram, mula memenuhi fail mahkamah.

"Saya tidak menolak jika tertuduh terlibat sama kerana Hasbie memegang jawatan Setiausaha Politik pada 2008 ketika Nor Mohamed adalah Menteri Kewangan Kedua," katanya.

Hasbie hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Butterworth atas tuduhan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, setahun selepas ditemui bersama RM2 juta di pangsapurinya di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang.

Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Mohd Zairan Aman menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan semula dan membenarkan Hasbie diikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin.

Jika bersalah, Hasbie boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya.

Baru-baru ini, Global Financial Integrity (GFI) mendedahkan berlaku pengaliran wang haram negara RM888 bilion antara 2000 hingga 2009

Mengulas lanjut, Nazree sambil meminta proses perundangan dilakukan secara telus, bimbang proses pendakwaan berprofil tinggi individu tertentu yang lazimnya mengambil masa panjang, terlepas dari hukuman.

"Bukan hari ini sahaja kita dengar ada kes berprofil tinggi melibatkan kroni Umno, tetapi banyak kes seumpama itu dilepaskan dari tuduhan seperti rasuah dan penipuan.

"Saya bimbang proses pendakwaan tidak dapat diteruskan kerana tiada keterangan saksi yang mungkin disabotaj. Contohnya, kes melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam, Tan Sri Eric Chia Eng Hock dan beberapa orang lagi.

"Kita mahukan keadilan, bukannya pesalah dibebaskan tanpa mengenakan apa-apa tindakan yang setimpal terhadap mereka," katanya - Keadilan Daily

Tiada ulasan: