Sabtu, 5 Februari 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Ketua Cawangan Umno Silam hentam Umno

Posted: 05 Feb 2011 04:44 PM PST

Aku sekarang berada di Lahad Datu Sabah sejak 1 Feb lagi. Aku kesini atas tugas rasmi syarikat , bukan nak mai makan dengan ketua-ketua cawangan umno ni.
Kebetulan, seorang pengikut dan penyumbang artikel di Mimpi Senja ni berasal dari Lahad Datu. Dah bila aku dah di LD ni, ambil lah kesempatan tuk jumpa dia. Tak tau pula aku rupa-rupanya dia adalah seorang ahli umno ...tak pa, biarlah, itu hak dia ... tapi artikel-artikel yang pernah dihantar beliau semuanya menghentam umno ... hahaha

Hari khamis lalu dia ajak aku makan tengahri, bersama seorang lagi kawannya. Dalam perjalanan baru dia cakap, yang orang yang nak kami jumpa ni seorang ketua umno cawangan. Sesampai di restoran, aku dapati ketua umno ini dengan isterinya, yang katanya baru lepas miting. Si isteri siap dengan baju kebaya 1Malaysia ... tak pa pi lah bukan dia kacau aku. Walau apa pun aku dah dapat makan 'free'.

Masa makan kami hanya bercerita bab pernigaan, tapi bila lepas makan cerita dah bertukar ke bab politik ... macam-macam dia cerita ... macam-macam diluahkan ketidakpuasan nya pada Umno ... hahaha, aku dengar saja.

Selepas balik ke hotel, ingin sangat aku ceritakan di sini apa yang telah ketua cawangan ini menghentam partinya sendiri ... tapi tunggu dulu, aku perlu dapat cerita lagi ...

Hari ini - Sabtu - kami bertemu lagi. kali ini bukan satu tapi 3 orang ketua cawangan duduk semeja dengan aku bersama sahabat aku tu untuk meluahkan ketidakpuasan hati masing-masing terhadap UMNO ..

Antara yang masih tak dapat aku lupa ... "encik tengok lah pada pilihanraya yang lalu? ... PKR yang tidak punya cawangan di sini, tidak pernah adakan sebarang ceramah atau kempen, malah tidak ada kenderaan pun yang mengangkut pengundi ke tempat mengundi, boleh mendapat hampir 5000 undi .... kenapa? Kerana rakyat dah bencikan UMNO"

"Wakil rakyat tidak pernah mengambil kisah tentang kami. Dia hanya datang semasa hendak mengundi, selepas mendapat undi rakyat mereka pun hilang"

"Sudah 20 tahun saya menjadi ketua cawangan, sejak 1991. Kami dulu dari dari Usno. Bila umno masuk Sabah pada 1991, kami secara otomatis menjadi ahli Umno ... apa kami dapat? Tidak dapat apa-apa. Sebagai ketua cawangan pun tidak dapat apa-apa, tambahan lagi lah sebagai ahli biasa, atau rakyat biasa."
Sekarang kami hanya menunggu PRU13 ...

Tapi bila aku terbaca pula tadi Ketua PKR Sabah keluar parti ... aku jadi pening ... tak tau siapa yang betul ...???

Esok - Ahad - aku nak jumpa depa lagi, insyaallah akan aku korek lebih dalam lagi ... Nite

[Executive Hotel Lahad Datu -1.26am 6/2/11]

Apa dah jadi ni DSAI? - Ketua PKR Sabah keluar parti

Posted: 05 Feb 2011 04:11 AM PST


.
PKR Sabah yang sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila ketua perhubungan negerinya, Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.

Pajudin, 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang tadi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak serius dalam menangani masalah-masalah dan isu Sabah.

"Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan 'cakap tidak serupa bikin'.

"Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya... Maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti," katanya.

"Setelah melihat perkembangan politik, saya seterusnya memohon untuk menyertai Umno dan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa kerana hanya BN yang telah lama memperjuangkan hak rakyat dan banyak menyumbang kepada rakyat," jelas beliau.

Katanya beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatan lewat petang tadi melalui faks, SMS, dan e-mel ke PKR pusat dan percaya ramai lagi ahli PKR terutamanya ketua-ketua dan ahli jawatankuasa cabang akan turut serta meninggalkan parti kerana ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cara kepimpinan pusat.

"Saya percaya keputusan untuk keluar dari PKR akan disusuli oleh ramai lagi rakan-rakan kepimpinan yang berada dalam PKR Sabah bila melihat senario politik PKR yang kita anggap sebagai satu parti yang sudah kucar-kacir, tidak ada hala tuju dan tidak ada pembelaan daripada pemimpin-pemimpin di peringkat pusat," tambahnya lagi.

Sebelum ini perlantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Jan lalu, merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu. Pajudin merupakan naib ketua cabang PKR Tuaran.

Baru-baru ini, 18 daripada 24 ketua cabang PKR Sabah telah membuat bantahan terhadap perlantikan Pajudin yang lebih mesra dikenali sebagai 'ustaz'.

Pajudin yang menyertai PKR sejak 1999 berkata walaupun selepas dilantik sebagai ketua PKR Sabah, beliau tidak pernah mendapat kerjasama dan sokongan dari Anwar dan Dr Wan Azizah, dan ini menunjukkan mereka 'sengaja mempermain-mainkan' pemimpin PKR Sabah.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti disebabkan bantahan daripada 18 ketua cabang terhadap perlantikan beliau, Pajudin berkata: "Tidak. Bagi saya setelah dilantik oleh presiden melalui perlembagaan parti, maka saya anggap perkara itu sudah selesai."

Sementara itu Musa berkata trend satu demi satu pemimpin PKR keluar daripada parti, jelas menunjukkan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak relevan lagi di negara ini atau di negeri Sabah, kerana mereka sedar parti itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

"Saya mengalu-alukan permohonan beliau menjadi ahli Umno ... Kita akan terima permohonannya dan ini kita akan proses seperti biasa," tambah Musa.

Ditanya sama ada Umno Sabah lebih yakin menghadapi pilihan raya akan datang berikutan perkembangan ini, Musa menjelaskan Umno sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan kerana parti itu telah bekerja keras, sentiasa mendampingi dan membantu rakyat.


MS : Apa dah jadi ni DSAI, DSWA? ... Pajudin yang baru saja dilantik pada 10 Jan kini telah lari ... Mesti ada sesuatu yang tidak kena. Harap DSAI/DSWA dapat menerangkan sesuatu yang benar lagi telus agar kami kat bawah ni tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam sana.


Pajudin juga bukan sekadar keluar PKR malahan diberitakan memohon menyertai musuh ketat kita - Umno. Sampai bila isu-isu keluar parti ni akan terus berlaku? Harap pemimpin-pemimpin pakatan dapat mencari kelemahan-kelemahan dalaman yang membuatkan pemimpin-pemimpinnya lari meninggalkan parti.


harap perbetulkan 'nawaitu' kita ... samada benar-benar ingin menumbangkan najib/umno/bn atau sekadar memperkukuhkan kroni (setakat yang ada sekarang) tanpa memikirkan parti secara lebih khusus. kalau sekadar hanya ingin menjaga beberapa kerat kroni di dalam, aku pasti cita-cita ingin ke putrajaya tak akan kesampaian. ... DSAI/DSWA fikirkanlah dan perbetulkanlah 'nawaitu' agar tidak tersasar ...

Nak beli kereta? AWAS ... penipuan jurujual

Posted: 05 Feb 2011 01:39 AM PST




Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila membeli kereta kerana banyak kes penipuan membabitkan jurujual syarikat pengedar kenderaan dilaporkan sejak kebelakangan ini.



Setiausaha Agungnya Muhammad Shaani Abdullah berkata orang ramai tidak menyedari bahawa mereka telah tertipu oleh jurujual kereta sehinggalah kereta tempahan mereka tidak diterima pada masa yang ditetapkan.

"Banyak kes membabitkan penipuan penjualan kereta berlaku akibat kesilapan oleh pembeli sendiri seperti tidak menyiasat latar belakang syarikat pengedar kenderaan, berapa lama jurujual itu telah bekerja dengan syarikat berkenaan, adakah syarikat itu mempunyai rekod penipuan oleh jurujualnya dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sebuah laporan akhbar semalam mengenai hasrat seorang pesara tentera, Anuar Ariffin, 45, untuk memiliki sebuah kereta baru tidak kesampaian setelah wang deposit RM23,550 yang dibayar lesap didakwa dibawa lari seorang jurujual syarikat pengedar kenderaan pada pertengahan tahun lalu.

Menurut Anuar, beliau membayar wang deposit itu dengan cara membuat pertukaran kereta Perodua Myvi miliknya dan menambah wang tunai RM2,616 bagi menggenapkan baki deposit sebanyak RM23,550 yang perlu dibayarnya.

Bagaimanapun jurujual tersebut gagal dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kereta barunya selepas tiga bulan menunggu malah pihak syarikat pengedar kenderaan juga memberitahu bahawa jurujual itu telah berhenti kerja dan tidak bertanggungjawab atas kesalahan dilakukan jurujualnya.

Anuar membuat laporan polis dan turut mengemukakan masalah itu kepada Tuntutan Tribunal Pengguna dan kesnya masih dalam siasatan.

Sehubungan itu, Muhammad Shaani menasihati orang ramai agar melakukan penyelidikan dahulu sebelum membeli kereta dengan tidak menumpukan terhadap satu kedai sahaja dan mendapat pandangan daripada pelbagai pihak yang mahir dalam urusan jual beli kereta.

Selain itu, beliau juga meminta pihak berkuasa seperti polis dan agensi penguatkuasa yang berkaitan agar memastikan kes-kes penipuan penjualan kereta itu tidak berulang kerana ia memberi bebanan kepada pengguna.

Sekiranya pembeli itu mempunyai wang yang mencukupi mereka boleh melantik seorang peguam untuk mengendalikan kes tersebut tetapi kos guaman lazimnya tinggi dan mengambil masa yang lama untuk diselesaikan, katanya.

Beliau berkata Fomca mahu kerajaan bertindak tegas dalam menangani kes penipuan penjualan kereta kerana wujud individu yang tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan dalam masa yang pantas.

- Bernama

Tiada ulasan: