Selasa, 1 Februari 2011

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


PAS minta Gobala tinggalkan Padang Serai

Posted: 01 Feb 2011 08:49 PM PST


PADANG SERAI, 2 Feb: Walaupun N Gobalakrishnan keluar dari PKR, namun bagi pemimpin PAS kawasan anggota Parlimen Padang Serai itu sudah keluar dari Pakatan Rakyat dan perlu melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen.

Mereka meminta Gobalakrisnan 'nyah' dari Padang Serai dengan meletakan jawatan dan memberi mandat kepada rakyat memilih seorang ahli Parlimen yang benar-benar bertanggungjawab dan beretika.

Yang Dipertua PAS Padang Serai, Fauzi Tahir menyifatkan, penyertaan Gobalakrisnan ke bebas menyusahkan rakyat yang telah memberinya kemenangan atas tiket Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Bukan masa untuk bermain dalam politik sebaliknya nyah dari Padang Serai kerana kami dan rakyat yang prihatin tidak mahu melihat mukanya lagi ekoran sikapnya mengkhianat perjuangan, " jelasnya.

Beliau patut sedar dengan kedudukan tinggi itu semua merupakan hasil kepercayaan rakyat yang telah menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 12 lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Serai, Abu Tolib Yahaya pula berkata, Gobalakrisnan wajar letak jawatan atau menghadapi tekanan yang lebih dahsyat menerusi demontrasi aman nanti.

Rakyat sangat marah kerana tindakan itu merosakan imej Pakatan Rakyat ketika menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

"Pemuda PAS terpaksa mengadakan demontrasi aman bersama PKR dan DAP kerana tidak mahu seorang ahli Parlimen yang suka melompat tetapi mahukan seorang pejuang yang kuat dan teguh walaupun apa juga rintangan yang dihadapi, " tegasnya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Lunas, Haji Derani Wahab pula berkata, sewaktu Adun Lunas Radzi Salleh letak jawatan Gobalakrisnan adalah orang pertama menganjurkan ceramah menghentam tindakan Radzi tetapi kali ini beliau pula menuruti langkah yang serupa.

"Gobalakrisnan akan menghadapi gelombang rakyat yang memarahinya dan besar kemungkinan satu tindakan membantah langkahnya itu akan berkumandang. Kita tidak boleh sekat kerana itu adalah hak rakyat yang memberinya kemenangan, " tambahnya.

Sementara itu bekas Yang Dipertua PAS Padang Serai, Ustaz Azmi Abdullah mengingatkan, Gobalakrisnan agar lepaskan jawatan ahli Parlimen untuk diadakan pilihanraya kecil segera.

Bukan membiarkan parlimen ini diwakili oleh Ahli Parlimen Bebas yang akan melupakan tanggungjawabnya terhadap rakyat setelah kecewa dengan sikap parti yang disertainya.

Beliau juga harus sedar jelasnya, kedatangan Gobalakrisnan dulu hanya sehelai sepinggang dan PAS bekerja bersungguh-sungguh memastikan kemenangan.

"Saya sewaktu itu merupakan orang yang bertanggungjawab penuh memperkenalkan Gobalakrisnan dan membawanya ke semua lokasi berjumpa rakyat amat kecewa dan berharap beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen kerana kami tidak mahu melihat kelibatnya lagi di Padang Serai, " tegasnya yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz topi merah'. HD

Pakatan tak putus asa kerana Tenang, mahu tumpu PRU13 - DSAI

Posted: 01 Feb 2011 08:02 PM PST


Oleh Yow Hong Chieh

PETALING JAYA, 2 Feb — Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penyokong-penyokong Pakatan Rakyat kekal setia dalam perjuangan menghadapi Barisan Nasional (BN) meskipun melalui empat kekalahan dalam lima pilihan raya kecil sejak setahun lalu.

Dalam pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang Ahad lalu, yang ke-14 sejak Mac 2008, BN mempertahankan kubu kuatnya itu dengan majoriti 3,707 undi — dengan lebih majoriti berbanding 2004 tetapi gagal capai majoriti 5,000 yang disasarkannya.

BN dan Pakatan Rakyat kini bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya kecil susulan membabitkan kerusi DUN Merlimau di Melaka 6 Mac ini — dua hari sebelum genapnya tiga tahun selepas pilihan raya umum 2008.

Awal tahun lalu BN merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor daripada penguasaan PKR-Pakatan tetapi DAP-Pakatan merampas kerusi Parlimen Sibu, Sarawak sebulan kemudian Mei 2010.

Pada pilihan raya serentak awal November lalu, PAS kehilangan kerusi DUN Galas dan BN mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Ahad lalu BN mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang, Johor.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berkata, masa dan usaha diperlukan untuk merangsang rakyat Malaysia dalam tindakan politik sambil merujuk kepada protes popular di dunai Arab yang hanya berlaku selepas pemerintahan autoritarian berdekad lamanya.

"Berapa ratus, ribu terbunuh di Mesir. Bukan hanya tahun ini, tetapi sejak beberapa dekad lalu, digantung, ditembak, hilang," kata beliau pada majlis pertama Jelajah Pemimpin 2011 di Taman Sri Manja malam tadi.

"Dan hanya sekarang ia (protes rakyat) berlaku. Jangan anggap ia satu jalan yang mudah," kata Anwar dengan merujuk kepada protes di Mesir yang berlarutan sejak 25 Januari lalu.

Sebelum Mesir protes rakyat membawa kepada pergolakan politik di Tunisia dan ia dikatakan sudah mula merebak ke beberapa negara lain di dunia Arab.

Sehubungan itu beliau meminta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat tidak putus asas ekoran kekalahan calon PAS Normala Sudirman di tangan Mohd Azahar Ibrahim dari BN, sebaliknya melihat pada kejayaan Tan Sri Khalid Ibrahim yang tewas di Ijok tetapi menang Mac 2008.

Khalid, yang kini merupakan Menteri Besar Selangor, berjaya merampas kerusi itu daripada MIC-BN pada 8 Mac 2008 tidak kurang setahun selepas kalah teruk dalam pilihan raya kecil awal 2007.

"Ya, kita kalah di Tenang. Kami terima dengan sabar," kata ketua pembangkang ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, jentera Pakatan Rakyat perlu diperkuatkan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan pembangkang boleh menggerakkan perjuangan menentang "kepimpinan rasuah" BN.

Beliau menambah, parti komponen Pakatan Rakyat akan berganding untuk meletakkan barisan calon yang kuat dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Di DUN Tenang, Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi manakala Normala memperoleh 2,992 undi yang memberikan majoriti 3,707 kepada calon BN - TMI

Tiada kerjasama PAS-UMNO jikapun dipelawa Agong - Khalid

Posted: 01 Feb 2011 07:54 PM PST


PETALING JAYA, 2 Feb — Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) menegaskan PAS tidak akan berganding dengan Umno bagi membentuk kerajaan perpaduan, yang diharapkan oleh parti teras BN itu sejak 2008, jikapun pihaknya dipelawa berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

"Saya memberi jaminan bahawa PAS tidak akan menyertai Umno-Barisan Nasional (BN) meskipun dipelawa oleh Agong," kata beliau ketika berucap pada pertemuan pertama program Jelajah Pemimpin 2011 anjuran PKR di sini malam tadi.

Sambil merujuk kepada pertemuan 24 Disember 2010, Yang Dipertua PAS Shah Alam itu berkata, bekerjasama dengan umno seolah-olah menjalin kerjasama dengan mereka yang tidak mengendahkan amalan Islam dan mengibaratkan Umno dengan umat Islam yang berkunjung ke kelab-kelab malam untuk mengambil minuman keras.

Justeru kata beliau, PAS lebih rela untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat berdasarkan prinsip Islam yang mengutamakan keadilan dan kebenaran, bukannya hanya kerana kaum semata-mata.

"Kami menerima Pakatan Rakyat kerana Umno sudah busuk hingga ke teras," kata wakil rakyat penggal pertama ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersama timbalannya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis santapan diraja di Istana Terengganu, Kuala Lumpur atas jemputan Yang di-Pertuan Agong.

Pertemuan itu difahamkan ada menyentuh soal kerjasama Umno dan PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan walaupun matlamatnya tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun pada 7 Januari lalu, Najib yang juga presiden Umno mengambil langkah Nik Aziz untuk tidak mahu mendedahkan hasil pertemuan bersama pemimpin parti itu pada 24 Disember yang dihadiri atas jemputan Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebagai langkah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri juga memutuskan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai pertemuan sempena majlis santapan di Istana Terengganu.

"Kami kena menghormati persefahaman pertemuan dan Yang di-Pertuan Agong mahukan ia satu majlis peribadi," kata Najib.

Nik Aziz menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

"Tak ada dah, tutup 'book' (buku) dah," kata beliau sehari sebelum itu.

Pada 4 Januari lalu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong di Istana Terengganu tiada kaitan dengan isu politik.

Nik Aziz berkata, berkata pemergiannya itu adalah bagi menjunjung titah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bekas perdana menteri itu melawatnya di Hospital Universiti Sains Malaysia.

"Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku," katanya.

"Adalah sangat tidak beradab dan beretika bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa menghadap," katanya.

Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

Isu kerjasama politik antara Umno dan PAS telah muncul banyak kali sejak keputusan pilihan raya umum Mac 2008.

Tiga hari kemudian, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat sudah menyelesaikan kontroversi berhubung pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu.

PAS kini menguasai 23 kerusi Parlimen dan bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2008.

Menerusi kerjasama itu pemimpin PAS mengetuai kerajaan negeri Kedah dan Kelantan manakala wakil DAP dan PKR masing-masing merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor. - TMI

Cari jalan juga tutup mulut Najib ...

Posted: 01 Feb 2011 06:41 PM PST


Hairan saya bagaimana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan sebegini? Mulut saya hanya boleh ditutup dengan hujah. Islam membenarkan berhujah. Jika begini, demokrasi pun tidak, Islam pun jauh sekali! - TGNA

Cari jalan 'tutup mulut' Nik Aziz

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Pas harus mencari jalan untuk 'menutup mulut' Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sering kali mengeluarkan fatwa politik kerana ia mampu merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, 'fatwa' yang keluar dari mulut Nik Aziz juga sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu.

''Pas hendaklah mencari jalan menutup mulut beliau (Nik Abdul Aziz) yang merosakkan akidah umat Islam di negara ini.

''Lagipun, pendapat beliau bukan pendapat Dewan Ulama Pas, jauh sekali pendapat daripada badan induk Pas,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan-kenyataan Nik Aziz yang sejak kebelakangan ini sering kali mengundang kontroversi.

Terbaru, Menteri Besar Kelantan itu melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.

Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang beberapa hari yang lalu.

Pendapat beliau berhubung serangan Lee Kuan Yew terhadap Islam juga dilihat seakan-akan mempertahankan serta merelakan perbuatan Menteri Mentor Singapura itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, fatwa Nik Aziz berkaitan politik juga sering berubah-ubah dan tidak berlandaskan nas serta ijmak ulama.

Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, Mursyidul Am Pas itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan cita-cita pembangkang tercapai dan dendam mereka terbalas walaupun agama dijadikan galang gantinya.

''Apa saja yang menguntungkan politik Pas akan dibiarkan berlaku walaupun ia diketahui akan menjejaskan kedudukan agama Islam,'' ujar beliau.

Timbalan Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Omar Saleh pula berpendapat, Nik Aziz terlalu banyak menggunakan agama untuk kepentingan politik beliau.

''Saya ingin bertanya kepada beliau, apakah status nenek moyang saya dan mereka yang tidak mengundi Pas sebelum Pas diwujudkan. Adakah mereka ini kafir seperti 'fatwa' yang dikeluarkan Pas?

''Jika Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) disifatkan sebagai pelacur politik, saya ingin bertanya, apakah Nik Aziz ini pelacur agama kerana sikap beliau yang memperdagangkan agama demi memuaskan nafsu untuk berkuasa.

''Anwar dan Nik Aziz ialah gambaran manusia 'putar alam' yang sanggup menjadi pak turut kepada DAP. Nik Aziz sendiri telah memperdagangkan Islam demi kepentingan politik DAP,'' tambahnya - UM
MS: HAHAHAHA aku dah tutup mulut Najib dah kat atas tu ... dan si katek juga dah selalu tutup mulut Najib ... najib tidak dapat bersuara ... si katek kata nak RM111 juta najib bagi ... si katek kata nak buat persidangan First Lady (dari Afrika saja) minta RM4.5 juta najib kasi, si katek kata nak pi melawat Arab Saudi dan Oman najib kasi berjuta-juta ... hahahaha
Begitu lah jadinya kalau seseorang itu (TGNA) nampak amat berkuasa, boleh mengganggu gugat pentadbiran najib 1mesia, akan pasti diserang bertalu-talu. Mereka akan menggunakan segala macam alasan.
Dey Zahid Hamidi, kau baca dulu DI SINI apa yang TGNA maksudkan dengan Jahiliyyah ... jgn bercakap soal akidah kalau dalam UMNO sendiri juga banyak yang tak betul.

Memperkayakan kroni - Penguatkuasaan AES : Polis trafik buat apa?

Posted: 01 Feb 2011 08:33 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Feb: Gelombang kedua membantah penswastaan saman ekor akan dilancarkan pada 12 Februari ini di Stadium Bangi dan akan dirasmikan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase), Datuk Mahfuz Omar berkata, pelancaran itu akan diikuti dengan program jelajah Kase ke seluruh negara bagi bertemu dengan pemilik-pemilik kenderaan yang dikenakan saman ekor dan kenderaan mereka disenarai hitamkan.

"Pelancaran ini sebagai pelancaran gelombang kedua Kase dan kita akan menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan 15 juta pemilik kenderaan yang disaman melalui saman ekor.

"Kita harap gelombang kedua ini boleh jadi gelombang baru untuk rakyat menolak kerajaan BNyang korup," kata beliau ketika ditemui selepas mengedarkan risalah bantah saman ekor di Plaza Tol Sungai Besi, petang tadi.

Menurutnya sebanyak 100,000 ribu risalah dicetak untuk diedarkan ke seluruh negara dan bagi kawasan Lembah Klang, edaran bermula hari ini di beberapa plaza tol utama berikutan ramai yang menggunakan lebuh raya untuk pulang menyambut Tahun Baru Cina Khamis ini.

"Kita edar risalah hari ini sempena tahun baru cina kerana banyak orang menggunakan lebuh raya. Di Seremban pun ada program yang sama, di sini kita edar di plaza tol Serdang, Gombak dan Sungai Buluh dan akan diteruskan esok dan lusa," katanya.

Naib Presiden PAS itu sekali lagi mengulangi desakan agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan menghapuskan semua saman ekor yang lama yang tidak boleh dikuatkuasakan melalui Akta Pengakutan Jalan 1987 dan memulakan dengan proses penguatkuasaan yang baru melalui Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 ini.

Kase juga tegasnya menyeru Kementerian Pengangkutan bersedia mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan termasuk Kase bagi membincangkan dan menjelaskan beberapa isu yang ditimbulkan seperti penswastaan penguatkuasaan peraturan lalu lintas dan kos-kos terlibat.

"Ini bagi memastikan wang rakyat digunakan untuk kepentingan rakyat sendiri, bukan syarikat-syarikat kroni," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sistem penguatkuasaan automatik (AES) iaitu penggunaan kamera statik dan bergerak untuk mengambil gambar kesalahan memandu melebihi had laju, melanggar arahan lampu isyarat dan memandu di lorong bas bagi kenderaan selain bas.

Sistem ini dikendalikan dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd yang mendapat pulangan 35 peratus daripada setiap lima juta saman yang dikeluarkan manakala kerajaan mendapat 65 peratus pulangan.

"Apa maksudnya ini? Ini bermaksud proses penguatkuasaan peraturan lalu lintas di bawah akta ini telah diswastakan. Apa rasionalnya peraturan lalu lintas diswastakan oleh Kerajaan?" soalnya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.

Pengunaan AES ini mula berkuatkuasa hari ini di seluruh negara.

Tambah Mahfuz lagi, pihaknya kesal dengan keengganan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk mengadakan perbincangan dengan Kase berhubung perkara itu.

"Malangnya pada 17 haribulan lalu kami minta untuk bertemu dengan Datuk Seri Hishamuddin (Hussein) tapi kami tidak menerima apa-apa respon. Kami berasa sangat kecewa kerana sebagai sebuah kementaerian langsung tidak memberi maklumbalas samaada bersetuju atau tidak untuk mengadakan pertemuan, diam begitu sahaja.

"Sekali lagi kami berharap perbincangan ini harus dibuat khususnya dalam penguatkuasaan AES yang kami anggap penswastaan saman ekor," katanya.

Turut bersama beliau ahli jawatankuasa Kase, Mohamad Taufek Abdul Ghani yang juga Adun Paroi.

Hantu Rosmah FLOM

Posted: 01 Feb 2011 06:46 AM PST

Malaysia adalah tanah Melayu - Mahathir

Posted: 01 Feb 2011 06:19 AM PST

Mahathir mahu bukan Melayu terima hakikat Malaysia 'Tanah Melayu'

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani
February 01, 2011

KUALA LUMPUR, 1 Feb — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat Malaysia mesti mengakui bahawa negara ini adalah milik orang Melayu dan oleh itu, mereka mesti menerima budaya dan bahasa masyarakat itu.

Bekas perdana menteri berkata nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Malah Dr Mahathir juga menekankan,bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional.

Beliau yang menyandang jawatan perdana menteri selama 22 tahun berkata, masyarakat Cina dan India mesti mengutamakan kepentingan negara berbanding soal kaum dan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia.

Sehubungan itu beliau yang juga bekas presiden Umno menambah, jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigiran ke negara ini.

Dr Mahathir berkata, kesemua kaum mesti menerima bahawa mereka Bangsa Malaysia — elemen yang penting untuk membolehkan kerjasama yang lebih baik daripada mereka yang berlainan kaum dan menjamin masa depan negara ini.

Beliau juga menambah, orang Melayu akan merasakan kurang terancam jika semua di negara ini menerima konsep Bangsa Malaysia.

"(Bekas presiden Filipina Corazon) Cory Aquino adalah Cina tetapi beliau menganggap dirinya rakyat Filipina. (Bekas perdana menteri Thailand), Thaksin Shinawatra adalah Cina tetapi beliau bercakap dalam bahasa Thai dan hidup dalam budaya masyarakat Thai.

"Tetapi keadaan berbeza di Malaysia. Kita masih memperkenalkan diri kita mengikut kaum. Itu sebabnya persoalan mengenai kaum terus menghantui kita," kata beliau pada majlis wacana "Kaum Melayu dan Masa Depan" di Memorial Tun Hussein Onn Memorial di sini.

Kata beliau, program-program afirmatif kaum seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) masih lagi penting memandangkan orang Melayu masih lemah dari segi ekonomi.

Kata beliau, orang Melayu kemungkinan berhadapan dengan risiko kehilangan negara ini tanpa dasar-dasar tindakan afirmatif.

"Apabila kita lemah bermakna kita akan kehilangan kuasa, meskipun kita ada perdana menteri (kalangan orang Melayu) tetapi kita tidak ada lagi sebarang kuasa, sebab kita bergantung pada yang lain," katanya.

Sebelum ini Dr Mahathir dikritik kerana pernah memperlekeh pihak yang mengetengahkan idea mengenai meritokrasi, dengan mendakwa mereka sebagai rasis dan mengecam orang Melayu yang menyokong pandangan sedemikian atas alasan mereka tidak bangga sebagai orang Melayu.


Dalam ceramahnya hari ini, Dr Mahathir berkata gagasan 1 Malaysia dan Wawasan 2020 berbeza kerana beliau mahu mewujudkan satu identiti nasional yang bersifat inklusif.

"Apabila kita cakap mengenai 1 Malaysia, orang ramai bercakap mengenai kesaksamaan bagi semua kaum. Bagi Melayu ia bermakna menghapuskan sekolah-sekolah vernakular.

"Bagi orang CIna dan India pula, 1 Malaysia bermakna menghapuskan hak orang Melayu," kata beliau.

Oleh itu kata beliau pentadbiran semasa mesti jelas dengan gagasan 1 Malaysia.

Wacana itu dianjurkan oleh Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan. Turut hadir Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir juga mengulangi bahawa masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza.

Beliau berkata bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.

"Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

"Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita," katanya.

Dr Mahathir berkata kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya PAS, sebagai parti serpihan Umno.

"Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada Umno) telah menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR," katanya.

"Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang perpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita," katanya.

Katanya ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi DEB yang diwujudkan untuk membantu mereka.

"Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu 'identify' diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang 'tongkat', hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang," katanya - TMI

Kekacauan di Mesir : Anak saya tidur bertemankan pisau

Posted: 01 Feb 2011 03:11 AM PST

Feb 1, 11

Bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di Mesir, beberapa ibu bapa pelajar hari ini mendesak kerajaan mengambil tindakan segera bagi membawa pulang anak mereka ke tanahair.

Seorang bapa, Salahul Ahmad Jamal Mohd berkata anaknya Nurul Firdaus, 18, yang kini menuntut di Mansura, memberitahu yang dia terpaksa tidur bertemankan pisau kerana bimbang dengan keadaan yang semakin tidak terkawal.

"Anak saya kini berada dalam keadaan ketakutan...sehingga terpaksa mengenggam pisau demi keselamatan diri dengan bertambahnya kejadiaan pecah rumah, manakala golongan banduan yang melepaskan diri dari penjara pula
bermaharajalela tanpa tindakan dari pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama di ibunegara.

Melihat pada keadaan sekarang, Salahul berkata sewajarnya kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara terbabit.

"Pelajar-pelajar ini adalah bakal pemimpin negara, bertindaklah cepat... jangan nak tunggu nyawa melayang baru nak hantar bantuan...ini bukan soal duit yang penting nyawa anak-anak kami paling utama," katanya.

Sejak Selasa lepas beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

Sementara itu, Rohana Abdul Rahman, ibu kepada Hanan Amira Hashim, 22, berkata beliau bimbang talian komunikasi di negara terbabit akan terputus.

"Sekiranya talian telekomunikasi terputus, ini akan menyukarkan kami (ibu bapa) untuk berhubung dengan mereka," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan memberi lebih tumpuan kepada kawasan di Mansura yang agak jauh jika dibandingkan dengan Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta dan Iskandariah.

"Tindakan segera perlu...jika tidak nyawa anak-anak kami berada dalam keadaan bahaya dengan masalah jenayah jalanan,pecah rumah dan banduan semakin 'bebas' di mana-mana sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.

- Bernama

Banjir di Tenang : Ketidakupayaan kedua-dua MP Labis (anak) dan bekas (bapa) yg hanya tahu menyerang isu bersalam membuta tuli

Posted: 01 Feb 2011 01:23 AM PST

Aku masih ingat kejadian yang melanda bayi sebuah keluarga di Kampung Abdullah bandar Segamat semasa banjir besar melanda Daerah Segamat dan daerah-daerah lain pada 18 hingga 21 Disember 2006. Bayi yang terlepas dari tangan ibu dihanyut air banjir yang deras tanpa sempat diselamatkan ibunya kerana sampan yang datang menghulurkan bantuan terbalik semasa dinaiki ibu. Pada ketika bayi itu dipercayai telah menemui maut, ibu menjumpai bayi kesayangannya di sebuah pusat pemindahan sementara.

Rupa-rupanya seorang pakcik sempat menyelamatkan bayi tersebut pada satu jarak yang agak jauh dari tempat sampan terbalik tanpa disedari ibu. Sementara itu, datuk kepada bayi tersebut yang bermalaman dalam kesejukan dan tanpa makan minum dan berak di atas bumbung rumah, sebahagian besar rambutnya bertukar kepada warna putih pada keesokan hari seolah-olah diselubungi salji.

Bantuan lambat datang. Anggota penyelamat dan sampan penyelamat tidak mencukupi sementara pemimpin negara memerhatikan perkembangan dengan hati yang tenang, memberi komen kepada pihak media tanpa mengarahkan dan memastikan tindakan segera dan "full force" semua pihak yang terlibat dari seluruh pelosok negara. Dari "Segamat 2006" ke "Segamat 2011", peristiwa yang lebih kurang sama berlaku. Seakan-akan dengan hati yang tenang, aman dan sejahtera, lambat bertindak untuk beberapa jam bukan isu besar, yang penting pengundi tidak terlewat memberikan sokongan undi di Tenang!

Banjir bukan masalah penting?

Seolah-olah keadaan banjir masih bukan masalah yang paling serius. Tidak apa-apa kalau keluarga-keluarga yang terperangkap di tingkat dua sesebuah rumah - mereka masih boleh buang berak ke dalam air yang deras, bau busuk hilang dengan cepat! Tidak apa kalau kesejukan kerana berada dalam keadaan basah tanpa bekalan air dan elektrik, satu malam sahaja!

Yang penting pemimpin politik mendapat liputan media. Kononnya nak segerakan kajian dan penggunaan sistem amaran awal, cukup hebat idea itu untuk dimuatkan dalam liputan media. Kononnya nak hantar pegawai kesihatan bagi memastikan keluarga yang masih terperangkap di tingkat dua atau bumbung rumah masih sihat, cukup bernas idea itu untuk menempah ruang dalam dada akhbar.

Bukan isu mangsa banjir terperangkap di atas bumbung atau di dalam ladang tanpa bekalan makanan. Hari pengundian telah selamat dijalankan. Untuk yang tidak mengundi Kerajaan Barang Naik, barangkali ini satu pengajaran.

Sesungguhnya, bukan dua kali tetapi sudah tiga kali penduduk Segamat mengalami banjir besar semenjak tahun 2006! Kali pertama banjir besar melanda Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak pada 18 hingga 21 Disember 2006, Daerah Segamat merupakan antara daerah yang paling teruk dilanda banjir.

Banjir ketiga sejak tahun 2006

Apabila banjir besar kembali melanda pada 11 hingga 17 Januari 2007, Segamat sekali lagi tidak dikecualikan dan ini merupakan kali kedua Segamat dilanda banjir dalam masa yang singkat. Jumlah hujan bulanan pada ketika itu setinggi 400mm, dianggap sebagai punca banjir kilat berlaku. Selepas banjir mulai reda, yang dititikberatkan ialah peruntukan demi peruntukan. Masalah pembangunan tidak mapan tidak perlu diberi perhatian. Projek peruntukan tidak perlu dipantau bagi memastikan penyempurnaannya. Perbelanjaan berhemah atau tidak juga bukan persoalannya.

Pada tahun 2006, Segamat mempunyai penduduk seramai 178,620 orang iaitu 8.6% daripada jumlah penduduk Johor. Semasa banjir Disember 2006 dan Januari 2007, sebanyak 104,023 penduduk terpaksa dipindahkan. Dengan kata lain, 58% daripada penduduk Segamat telah mengalami banjir yang teruk semenjak empat tahun yang lepas sementara disuapkan dengan laporan media - memetik komen-komen pemimpin negara seakan-akan dengan peruntukan kerajaan, secara otomatik banjir tidak akan berlaku lagi! Kononnya dengan komen dan peruntukan kerajaan, bantuan dalam segala aspek yang perlu, wajar dan wajib akan dihulurkan dengan segera!

Apabila ditinjau Belanjawan Negara 2008 yang dikemukakan pada tahun 2007, anggaran perbelanjaan persekutuan telah membelanjakan RM11 juta pada tahun 2007 untuk maksud "Rancangan Kawalan dan Isyarat Bahaya Banjir". Tetapi kali ini apabila berlaku banjir besar, penduduk Segamat sekali lagi disuapkan dengan laporan media yang memetik komen pemimpin negara, bahawa isyarat amaran bahaya banjir yang lebih sempurna akan disediakan.

Ke mana perginya peruntukan?

Persoalannya, ke mana perginya peruntukan yang sebegitu besar? Adakah jenis pembiayaannya serupa dengan jumlah perbelanjaan Perdana Menteri dan Menteri Melancong melibatkan wang rakyat sebanyak RM12 juta untuk terbang ke luar negara? Yang lebih penting, sejauh manakah keupayaan, keberkesanan dan kapasiti Kerajaan Barang Naik dalam menyelesaikan masalah banjir tanpa memboroskan wang rakyat?

Menurut Belanjawan Negara 2008, anggaran harga projek berjumlah RM105 juta untuk maksud "Membaiki dan Memulih Semula Projek-projek Yang Rosak Oleh Banjir" telah diperuntukkan. Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setiap tahun dianggarkan 29,800 kilometer persegi kawasan di Malaysia mengalami kejadian banjir dan semasa kejadian banjir pada tahun 2006 dan 2007, negara telah mengalami kejadian banjir yang teruk yang menyebabkan kerugian masing-masing mencecah RM1.1bilion dan RM776 juta hanya bagi aset-aset kerajaan di negeri-negeri yang terlibat.

Kerugian aset kerajaan tidak termasuk kerugian yang ditanggung oleh rakyat dan kerugian tidak langsung terhadap ekonomi di kawasan yang dilanda banjir. Secara perbandingan, kerugian aset kerajaan juga tidak dimasukkan dalam maksud "Membaiki dan Memulih Semula Projek-projek Yang Rosak Oleh Banjir" kerana nilainya tidak setimpal.

Maka persoalan di sini adalah, ke mana perginya peruntukan RM105 juta sedangkan selepas kejadian banjir pada tahun 2006 dan 2007, Bank Negara telah memperuntukkan RM500 juta dalam bentuk kemudahan bantuan khas kepada industri kecil dan sederhana yang dilanda banjir melalui Bank komersil, Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Pertanian.

Selain itu, pelbagai lagi kemudahan kewangan dalam bentuk pinjaman mikro juga diperuntukkan oleh Kerajaan kepada masyarakat bagi maksud Program Pembasmian Kemiskinan bagi memastikan masyarakat terkeluar dari tampuk kemiskinan dan seterusnya membina ketahanan mereka terhadap bencana.

Secara am, salah satu punca utama kepada banjir kilat ialah kerana sistem saliran air yang gagal berfungsi apabila berhadapan dengan jumlah hujan yang terlalu tinggi. Namun masalah pengaliran air tidak wajar dilihat sebagai isu teknikal sahaja sebaliknya kerangka analisa yang lebih luas yang melibatkan paradigma pembangunan tidak mapan serta kegagalan atau ketidakupayaan kerajaan hari ini menangani masalah banjir wajar diberi perhatian serius.

Aku senantiasa pergi ke Segamat. Aku suka ambil Jalan Tangkak, menghala ke arah selatan, masuk pekan Segamat dan menghala terus ke arah kedai wantan mee. Kalau untuk sarapan pagi aku sukakan "Roti Canai Jackie Chan" dan Kopi Hailam. Kini aku lebih risaukan keadaan rakan-rakan di Segamat yang masih terperangkap dalam tingkat dua rumah masing-masing atau rumah orang lain.

Kalau empat tahun yang lepas aku hanya bawa banyak air mineral semulajadi semasa melawat rakan-rakan di Segamat, kali ini aku akan bawa sayur-sayuran, Oren Mandarin dan kuih tahun baru Cina ke sana. Jumpa nanti Segamat. Jangan kita lupakan ketidakupayaan kedua-dua Ahli Parlimen Labis (anak) dan bekasnya (bapa) yang hanya tahu menyerang isu bersalaman membuta tuli! - merdeka review

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan

Lagi Najib kecut teloq : Apakah Revolusi Arab mungkin berjangkit ke Malaysia?

Posted: 01 Feb 2011 12:28 AM PST

oleh Mohamad Suhaimi Abdul Aziz

1 FEB 2011 — Tidak ada siapa meramalkan bahawa pemimpin negara-negara Arab yang terkenal sombong, angkuh, kuku besi, zalim dan rejim yang ganas ini bakal tumbang. Tunisia mendahului apabila menumbangkan rejim Zein al Abidin yang memerintah selama 23 tahun. Hosni Mubarak, yang memerintah selama 30 tahun dan terkenal dengan sifat zalimnya terhadap rakyat, rasuah, penyalahgunaan kuasa, serta bersahabat baik dengan rejim zionis Israel kini menanti saat untuk tumbang. Umat Islam mengingati Hosni Mubarak sebagai diktator yang telah menutup pintu sempadan dengan Gaza sebagai pintuk masuk Mesir ke Palestin sehingga menyebabkan ribuan umat Islam mati kebuluran. Revolusi kini mengakar ke Yaman, Jordan dan menghampiri beberapa negara Arab. Tunisia bagaikan domino pertama yang menumbangkan pemerintah, dan diekori oleh negara-negara Arab yang lain.

Selama berdekad lamanya keadilan dilenyapkan dan demokrasi hanya ditempelkan bagi menunjukkan kepada dunia mereka juga negara yang bebas dan adil. Walhal pilihanraya yang berlangsung, hanya parti mereka sahaja boleh bertanding dengan bebas manakala parti pembangkang ditekan. Pemimpin-pemimpin pembangkang dipenjarakan, dibunuh, diugut, dibuang negeri dan pelbagai lagi tindakan tidak peri kemanusiaan. Lebih melucukan apabila hanya parti mereka sahaja dibenarkan bertanding dalam setiap pilihanraya. Inilah yang berlaku di Indonesia era Suharto dan kini di negara-negara Arab.

Hasil kekayaan negara diagihkan sesama mereka manakala pemerintahan negara diwariskan kepada anak-anak mereka. Rakyat terus melarat dan merempat sedangkan pemimpin ini hidup bermewah. Rakyat dibiarkan dalam kelaparan, kemiskinan, dan pengangguran. Pelbagai cukai tidak masuk akal dikenakan bagi mengaut keuntungan sebanyak mungkin tanpa mempedulikan rakyat. Kemuncaknya, kemarahan rakyat bagaikan disimbah minyak petrol yang menyala-nyala. Kemarahan rakyat tidak mungkin dipadamkan sehinggalah rejim-rejim ini tumbang dengan hinanya.

Letusan revolusi ini adalah loceng amaran kepada pemimpin sombong bongkak di mana-mana negara. Pemimpin di Malaysia jangan beranggapan mereka selamanya selamat. Memerintah selama puluhan tahun memuakkan lagi rakyat terhadap pemerintahan mereka. Meskipun sistem pilihanraya di Malaysia tidak seteruk era rejim pemerintah Arab sekarang, namun ruang demokrasi tidak dibuka seluasnya untuk parti politik selain BN. Buktinya dimana-mana pilihanraya sama ada pilihanraya kecil mahupun pilihanraya umum, tidak sekali-kali parti pembangkang dibenarkan akses atau liputan di media. Lebih menjelekkan, pemimpin parti pembangkang difitnah, ditohmah, dihina dan dicaci sesuka hati melalui media rasmi tanpa diberi peluang mereka membela diri atau menjawab segala persoalan.

Undi pos yang dicurigai dikekalkan sebagai simpanan undi tetap BN. Daftar pemilih dimanipulasi sehingga berlaku penyelewengan yang ketara. Sengaja pemerintah tidak melaksanakan sistem celup jari bagi mengelakkan keadilan terlaksana. Manakala jentera kerajaan diperah semaksima mungkin bagi berkempen untuk pihak mereka. Pengundi pula ada yang dipujuk dengan pelbagai habuan seperti kain pelikat, beras termasuk wang ringgit. Habis berjuta ringgit duit kerajaan masuk ke poket pengundi.

Kalau dikira tekanan, hampir semua tekanan dan ancaman dirasai oleh parti pembangkang. Himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang kebiasaannya akan disuraikan dengan gas pemedih mata dan tangkapan-tangkapan. Kebebasan bersuara, berhimpun hampir tiada di Malaysia untuk pembangkang. Pentas ceramah diceroboh dan dirobohkan sesedap hati mereka.

ISA dan OSA pula dikekalkan sebagai agenda menakut-nakutkan rakyat. Apabila tergugat, yang menjadi mangsanya sudah pastilah pemimpin pembangkang. AUKU pula adalah pengawal keselamatan utama mahasiswa di kampus-kampus. Mangsa AUKU pasti mendapat mimpi ngeri dengan tindakan dibuang kampus, digantung pengajian atau amaran-amaran tertentu.

Selain itu, rakyat terus dibiarkan terhimpit dengan kesusahan. Dengan kenaikan harga barang keperluan, harga minyak petrol yang naik hampir setiap tahun, tol, menghapuskan biasiswa, pelbagai cukai lain dikenakan. Rumah-rumah rakyat yang dibina berpuluh tahun dianggap setinggan dan dirobohkan sesuka hati, kemiskinan bandar tidak diubati, manakala dasar gaji minimum tidak dilaksanakan sebagai bukti rakyat dibiarkan kesusahan.

Kekayaan negara diagihkan sesama mereka dan hanya cebisan diberikan kepada rakyat atas nama wang ihsan. Pemerintah pula hidup bermewah dengan membelanja duit rakyat di luar negara. Pemerintahan negara diserahkan secara warisan sesama mereka.

Dalam keadaan demikian, sukar untuk rakyat menghirup udara demokrasi yang bersih di Malaysia. Mampukah rakyat bertahan dengan kehidupan sedemikian, dan berapa lama lagikah pemerintahan ini akan terus bertakhta? Atau mungkinkah revolusi di dunia Arab akan menyusul di Malaysia...? - TMI

* Mohamad Suhaimi Abdul Aziz adalah naib ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Pemimpin perkauman tidak ada tempat dalam PKR

Posted: 31 Jan 2011 11:55 PM PST

PETALING JAYA: KEADILAN tidak mempunyai tempat bagi pemimpin yang memiliki mentaliti perkauman yang tebal kerana KEADILAN merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang mengumumkan keluar KEADILAN baru-baru dan mendakwa berkali-kali kononnya KEADILAN meminggirkan masyarakat India.

Menurut Nik Nazmi, isu yang sama juga pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin yang sebelum ini mendakwa KEADILAN mengabaikan masyarakat Melayu.

"Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada di dalam KEADILAN yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif.

"Ramai pimpinan KEADILAN telah menjawab tuduhan Gobala secara spesifik dan menafikan dakwaannya bahawa KEADILAN meminggirkan masyarakat India.

"Masyarakat sendiri dapat menilai dakwaannya hanya terbit selepas beliau kalah dalam pemilihan dan tidak dilantik menjadi Naib Presiden Parti," katanya dalam sidang media di pejabat parti itu di Petaling Jaya pada 1 Februari lalu.

Gobala sebelum ini mengaibkan KEADILAN dan pemimpin tertinggi parti itu di twitter selepas seorang pemuda India yang juga seorang peguam hak asasi manusia, N. Surendran dilantik sebagai Naib Presiden parti itu.

Namun, beberapa pimpinan senior dalam KEADILAN mengadakan sidang media sebelum ini menyokong penuh pelantikan Surendran.

Gobala turut menyerang parti dengan mengadakan sidang media bersama pemimpin MIC beberapa minggu lalu dan tidak menjawab surat tunjuk sebab yang diserahkan kepadanya.

Pada sidang media sama, Nik Nazmi turut menjelaskan jumlah sebenar anggota KEADILAN berketurunan India dalam parti itu.

"Saya juga ingin membetulkan laporan Free Malaysia Today (FMT) yang menyebut bahawa 40 peratus anggota KEADILAN adalah dari masyarakat India sementara Gobala pula menyatakan 90 peratus pimpinan KEADILAN adalah dari masyarakat Melayu.

Laporan dalam laman portal itu boleh dicapai menerusi alamat (http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/30/lets-debate-my-mp-status-gobala-tells-wan-salleh/).

Nik Nazmi menjelaskan, daripada 371,612 anggota KEADILAN, Melayu adalah 45 peratus, Cina 11 peratus, India 23 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula sebanyak 21 peratus.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN untuk sesi 2010-2013 pula, Melayu mewakili 62 peratus, Cina 20 peratus, India 12 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula 4 peratus.

"Hakikatnya majoriti besar pimpinan KEADILAN dipilih menerusi sistem satu anggota satu undi dan anggota KEADILAN jelas meletakkan kebolehan, keupayaan serta komitmen kepada perjuangan mengatasi sebarang perkiraan perkauman.

Justeru, katanya, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobala yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti.

"Rakyat akan menilainya di dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan KEADILAN sebagai parti politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan," tegasnya lagi. - keadilandaily

Tiada ulasan: