Ahad, 13 Februari 2011

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Merlimau: Peluang PAS perhebat dakwah

Posted: 13 Feb 2011 03:00 PM PST

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai orang-orang yang beriman! Siapa saja antara kamu yang keluar daripada agamanya, Allah akan mendatangkan satu kaum yang dicintai-Nya dan mereka pun mencintai Allah." (Al-Maidah 5:54)
***

PENULIS berpeluang menemui dan mewawancara seorang imam dalam kunjungan ke Merlimau baru-baru ini. Percakapannya syahdu, mengandungi pengharapan agar PAS dapat memperhebatkan dakwah, menunjukkan cara hidup dituntut Islam termasuk akhlak Islamiah dalam menghadapi pilihan raya kecil N27 Merlimau yang akan diadakan pada 6 Mac nanti.

Beliau percaya PAS dapat melakukannya; dakwah Islam dapat berkembang, menyegarkan minda penghuni bumi yang sudah lama gersang kerana disirami hitam pekat kebendaan. Apabila kebendaan, kedudukan dan kuasa menjadi ukuran, matlamat untuk mencapai kejayaan duniawi akan dilakukan tanpa mengira batas halal dan haram termasuklah menindas, menyakiti dan memakan harta dan hak orang lain.

Menurut beliau satu isu saja yang dipertahankan PAS dalam pilihan raya Dun Tenang tempoh hari sudah cukup untuk beliau melihat cahaya kebenaran itu. Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman yang tetap istikamah berpegang kepada hukum tidak bersalaman dengan lelaki bukan mahram atau berlapik tangan (bersarung tangan) jika terpaksa berbuat demikian, membuktikan wujud ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT pada bila-bila masa, tidak kira senang atau susah; menang atau kalah.

"Jika perkara 'sehalus itu' (sebenarnya persoalan aurat tersangat penting bukan remeh) seperti masalah persentuhan lelaki-perempuan diambil berat, tentulah persoalan lebih besar yang membabitkan hukum hakam dijaga sebaik-baiknya. Inilah yang kita dahagakan. Kita mahu melihat Islam didaulatkan dalam semua segi kehidupan," katanya.

Menurut beliau sebagai imam, ada satu insiden yang begitu menyayat hatinya. Katanya: "Suatu hari dalam satu perjumpaan dengan imam-imam, ada seorang pemimpin tertinggi Umno memberitahu bahawa bersalaman lelaki-perempuan bukan mahram tidak salah tetapi membatalkan air sembahyang saja. Jelaslah pengetahuan agama pemimpin ini dangkal tetapi apa yang bahaya dia mahu orang lain mengikutinya sedangkan hal babitkan hukum bukan boleh dibuat main-main."

Imam itu berkata, dengan adanya pilihan raya kecil Dun Merlimau, terbukalah peluang bagi PAS untuk melanjutkan kerja-kerja dakwahnya di Melaka. "Merlimau akan dikunjungi orang ramai dari seluruh negara, jadi gunakanlah kesempatan ini untuk menunjukkan cara hidup Islam. Insya-Allah, kawan dan lawan akan hormati," katanya.

Beliau memberitahu sebagai contoh, orang PAS yang datang dari seluruh negara, makmurkanlah masjid-masjid yang ada di Merlimau. Tentunya tidak ada siapa yang boleh melarang jika orang PAS datang berbondong-bondong ke masjid untuk solat berjemaah pada setiap waktu. Tentu sesiapa saja akan terpegun melihat disiplin orang PAS tetapi janganlah duduk bersembang lama-lama atau tidur dalam masjid.

Beliau bimbang kelakuan kurang elok ini akan menyebababkan orang ramai terutama penduduk tempatan meluat kepada orang PAS.

"Oleh itu jagalah tata tertib, insya-Allah apabila orang Melaka terpandang budi bahasa orang PAS lambat laun mereka akan tertarik," katanya.

Menurut beliau pilihan raya kecil ini akan memberi peluang kepada orang PAS menyampaikan mesej perjuangan. "Kalah menang bukan soalnya, itu ketentuan Illahi. Apa yang penting lakukan tugas dakwah kita untuk menyampaikan walaupun satu ayat," katanya.
Penulis juga sempat berborak dengan beberapa penduduk di sebuah kedai kopi. Seorang daripadanya mengingatkan agar PAS memilih calon yang benar-benar komited kepada agama. "Kami juga mahukan anak tempatan, orang Merlimau sendiri. Kalau calon orang sini, kami tahu latar belakang dan kerja-kerjanya. Dia orang masjid ke, orang bukan masjid ke, kami sudah tahu," katanya.

Seorang lagi menyampuk: "Betul, kalau dia orang sini, kami boleh tahu dia berlakon ke atau benar-benar jujur. Ada orang berlakon baik depan orang ramai tapi kat (di) rumah pukul bini."

Seorang lelaki lain pula berkata: "Orang Umno pun bagus letakkan orang tempatan (Merlimau) sebagai calonnya. "Ini kerana kami sudah tahu latar belakang dan perangai setiap orang daripada mereka. Saya tahu ada pemimpin ini yang pernah pukul orang masjid, ada yang banyak hutang; sebenarnya ramai yang bermasalah.

"Jadi sangat elok orang PAS dan Umno letakkan orang tempatan. Akan mudahlah orang kampung nilai siapa baik dan siapa kaki temberang sebenarnya," katanya.

http://lanh14.blogspot.com/2011/02/merlimau-peluang-pas-perhebat-dakwah.html

Tentera bubar parlimen Mesir, gantung perlembagaan

Posted: 13 Feb 2011 02:32 PM PST

Harakahdaily

KAHERAH, 14 Feb: Pemerintah Tentera Mesir telah membubarkan parlimen dan menggantung perlembagaan negara itu, dalam pengumuman perubahan drastik demokrasi negara itu.

Ianya dibuat berdasarkan refrendum popular yang diterima mereka.

Dalam pengumuman terbaru mereka semalam, pemimpin tentera yang menjalankan pemerintahan sementara selepas Hosni Mubarak dijatuhkan, berkata mereka akan memerintah Mesir dalam tempoh enam bulan atau sehingga pilihan raya parlimen dan presiden baru diadakan.

Mereka juga memaklumkan, Perdana Menteri, Ahmed Shafik akan terus mengetuai kerajaan sementara Mesir.

Perkembangan terbaru itu memberi harapan baru buat rakyat Mesir yang masih lagi meneruskan protes mereka hari ini.

Difahamkan beberapa orang daripada mereka ditangkap apabila bertembung dengan pihak tentera semalam.

Jumaat lalu, Mubarak akhirnya berundur selepas akur dengan tekanan rakyat yang mengadakan demonstrasi mendesak beliau meletak jawatan.

Anwar Ibrahim sudah letih berjuang?

Posted: 13 Feb 2011 07:45 AM PST

Oleh DINSMAN

Melihat wajah terbaru Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akhbar kita baru-baru ini, saya tiba-tiba terasa sesuatu. Tiba-tiba seperti tersedar bahawa masa telah lama berlalu semenjak tercetusnya Reformasi berikutan tindakan Mahathir menyingkirkan beliau daripada kabinetnya, awal September 1998.

Kebetulan pula waktu ini kita sedang menyaksikan Revolusi Mesir yang cuba menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak, telah masuk minggu ketiga namun Presiden itu masih juga belum jatuh. Sedangkan sebelumnya Presiden Tunisia terpaksa lari meninggalkan takhtanya tidak lama setelah rakyatnya bangkit.

Kita mengharapkan kebangkitan rakyat Mesir itu akan berjaya menjatuhkan Presidennya dalam tempoh waktu beberapa hari sahaja. Dan waktu itulah, apabila terpandang wajah Anwar Ibrahim yang telah banyak berubah itu, saya tiba-tiba seperti tersedar daripada suatu keadaan yang telah lama melupakan kita akan sesuatu.

Apabila terus direnung wajah itu, seperti terasa bahawa ia bukan sahaja menunjukkan tempoh waktu yang telah lama berlalu, tetapi juga menceritakan kepenatan dan keletihan akibat terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, halangan dan fitnah yang kadang-kadang melampaui batasan normal.

Dan itulah hakikatnya, dan itulah realitinya, dan itulah situasinya kita. September 1998 hingga kini sudah lebih 12 tahun. Teringat antara slogan yang sering kita jerit-jeritkan dulu: "Undur, undur! Undur Mahathir!" Dan Mahathir pun telah lama berundur. Malah penggantinya Abdullah Badawi juga telah pun berundur. Tetapi kita masih lagi gagal menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional itu.

Di manakah silapnya kita?

12 tahun adalah suatu tempoh yang cukup panjang untuk sebuah perjuangan bagi menjatuhkan sebuah kerajaan. Apalagi dalam suasana kebangkitan rakyat Tunisia dan Mesir yang sedang hangat dalam fikiran kita sekarang. Juga dalam kehangatan pengalaman menyaksikan orang Melayu yang masih tegar mempercayai Umno sebagai pembela nasib mereka walau apa pun maklumat sebaliknya yang cuba kita bentangkan ke hadapan mereka di PRK Tenang itu.

Memang tanda-tanda kezaliman Umno/BN itu semakin hari semakin nyata, dan tembelang kejahatan mereka pun semakin tersingkap. Itu tidak dinafikan. Di sebalik kritikan yang semakin lantang dan tajam itu pun nampaknya pihak mereka tetap gagal menunjukkan tanda-tanda berubah ke arah lebih baik, walaupun jelas mereka memang berusaha ke arah itu.

Memang mereka ingin berubah ke arah yang lebih baik dan ke arah yang diterima rakyat. Tetapi apakan daya mereka telah membentuk diri mereka sedemikian, dan ideologi atau 'aqidah kebendaan' mereka itu tidak akan memungkinkan mereka berubah seperti yang dikehendaki rakyat terbanyak. Hanya kepandaian mereka mempengaruhi (atau menipu) rakyat – itulah sahaja kelebihan yang ada pada mereka, yang terus mengekalkan mereka di situ.

Rupa-rupanya tidaklah begitu mudah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang (walaupun) zalim. Tokoh seperti Anwar Ibrahim yang kewibawaannya terserlah sejak di kampus universiti dan telah menunjukkan kehebatan-kepintarannya mendaki tangga kuasa dengan begitu tangkas, (dalam waktu singkat telah bersedia di tempat menunggu untuk mengambil alih teraju kuasa), dan beliau memahami sistem dan nilai dalaman pihak berkuasa tersebut, pun masih tidak berjaya melakukannya.

Di manakah silapnya kita?

Tentunya ada silap kita di mana-mana. Bukannya saya bermaksud hendak membuat tuduhan melulu berikutan keluarnya orang seperti Gobalakrishnan itu daripada parti KeAdilan, (seperti yang menjadi kemusykilan beberapa orang kawan). Bukan. Tak ada kena mengena dengan peristiwa itu. Hanya saya terfikirkan hal ini apabila merenungi wajah Anwar yang kelihatan seperti keletihan dan kepenatan itu.

Memanglah. Tidak mudah untuk mengekalkan momentum perjuangan dalam tempoh waktu yang begitu panjang. Ditambah dengan segala fitnah yang melanggar batasan itu lagi. Maka saya kira dalam kita ghairah membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum yang dijangka akan dibuat tahun ini, eloklah kita ambil sedikit masa untuk memikirkan hal ini.

Pengalaman saya dan kawan-kawan dalam bidang kesenian dan kebudayaan misalnya, memang menyedihkan. Sangat menyedihkan. Terutama di Selangor, negeri yang teraju pemerintahannya dipegang oleh Parti Keadilan Rakyat. Seolah-olah menunjukkan bahawa parti-parti Pakatan Rakyat ini hanya berpolitik sahaja. Hanya hendak merebut kuasa politik sahaja. Lain-lain hal tidak dipedulikan. Hal-hal kesenian dan kebudayaan seperti tidak ada nilai bagi mereka.

Itu salah satu silapnya kita. Maka bagi sesetengah pihak mereka melihat seperti PR ini minatnya hanya hendak mengambilalih kuasa sahaja. Hal-hal lain semuanya dianggap tidak penting dan tidak mustahak. Bahkan jangankan hal kesenian dan kebudayaan, hal sekelompok golongan "reformis" yang begitu nyata sumbangan mereka terhadap gerakan reformasi itu pun seperti tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Anwar Ibrahim bukanlah tokoh politik yang tidak mempunyai kesedaran budaya. Beliau malah dikenali juga sebagai tokoh pemimpin yang mempunyai kesedaran budaya yang tinggi. Maka hairannya mengapa boleh tertonjol hal seperti kurang kesedaran budaya itu di kalangan pihak-pihak berkenaan dalam PR?

Dan saya menimbulkan perkara ini bukanlah kerana memikirkan kepentingan orang-orang seni dan budaya. Saya menimbulkan perkara ini sebagai salah satu pemikiran ketika mengenangkan tempoh waktu sudah melewati 12 tahun kita reformasi, dan kita masih dihantui kebimbangan yang Selangor pun mungkin akan terlepas ke tangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Di manakah silapnya kita? Tentulah ada silap kita di mana-mana, 'kan!
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

FLOM: Najib perlu jawab kekeliruan

Posted: 13 Feb 2011 07:30 AM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru untuk menerangkan kekeliruan kenyataannya mengenai Jabatan Wanita Pertama Negara (FLOM) di Pejabat Perdana Menteri yang ditubuhkan khas buat isteri kesayangan beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Merujuk kepada jawapan Najib di Parlimen pada November 2010, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tiada staf tetap mahupun staf kontrak yang didedikasikan kepada isterinya, Rosmah.

Namun begitu, kenyataan Najib terbukti bercanggah apabila laman web direktori Pejabat Perdana Menteri sendiri menunjukkan bahawa terdapat lima pegawai yang berkhidmat di bawah FLOM, yang diketuai Siti Azizah Sheikh Abod seperti yang dilaporkan Harakahdaily di sini.

"Apabila maklumat itu dibongkar dan dijadikan pengetahuan umum oleh sebilangan media dan juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, maklumat tersebut telah hilang secara misterinya daripada laman web tersebut. Kebenaran mengenai peruntukan kepada jabatan tersebut masih belum dimaklumkan.

Bahkan, penemuan baru 'Jabatan Wanita Pertama Malaysia' langsung tidak disebutkan dalam empat jilid Senarai Perjawatan Persekutuan, yang merupakan sebahagian daripada kertas Bajet Persekutuan 2011.

Persoalannya sekarang ialah bagaimana dan berapa banyak peruntukan telah diberikan kepada jabatan ini dan apakah fungsi jabatan ini," ujar Liew dalam kenyataannya.

Semakan Harakahdaily baru-baru ini juga mengesahkan bahawa laman web directori Pejabat Perdana Menteri yang menyenaraikan jabatan FLOM telah dibuang seperti yang didakwa Liew.

Selain FLOM, Liew berkata dalam laman directori yang dipadamkan tersebut terdapat banyak lagi jawatan-jawatan berupa penasihat untuk isu-isu tertentu yang tidak dinyatakan dalam kertas Bajet Persekutuan 2011.

Ini meliputi Datuk Seri Dr Abdullah bin Md Zin sebagai penasihat hal-ehwal agama Islam, Datuk Shahidan Kassim sebagai penasihat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Jalaludin bin Bahaudin sebagai penasihat media, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya sebagai penasihat perhubungana antarabangsa dan Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abd Hamid sebagai penasihat sains.

Menurut Liew, setiap penasihat diberikan sekurang-kurangnya satu staf untuk membantu tugas mereka.

Liew turut mengingatkan bahawa Jabatan Perdana Menteri merupakan pihak yang paling besar perbelanjaannya jika dibandingkan dengan kementerian yang lain, dan disasarkan akan menerima RM 15.8 billion tahun ini yang tidak termasuk peruntukan kepada Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Dengan rekod perbelanjaan tertinggi berbanding dengan tahun-tahun yang lepas dan lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan pada tahun 2007… dengan ini, saya menyeru Perdana Menteri untuk menyajikan jawapan yang jujur tentang isu ini dan bertanggungjawab kepada rakyat.

"Rakyat Malaysia berhak mengetahui bagaimana duit rakyat digunakan," ujar Liew.

Roboh: AMK dakwa Utusan bohong

Posted: 13 Feb 2011 07:15 AM PST

Fakhri Ali

BUKIT MERTAJAM,13 Feb: Akhbar Utusan Malaysia sekali lagi dibidas oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang setelah memaparkan berita bertajuk ' MPSP roboh 1,000 gerai' sepertimana yang tersiar pada 8 Februari yang lalu.

Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Ghazali semasa ditemui berkata berita dan angka yang dipaparkan tidak benar dan berunsur fitnah untuk mengaibkan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR).

Amir juga berkata, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Direktorat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menyatakan hanya 10 buah premis sahaja yang dirobohkan oleh pihak penguatkuasa MPSP pada hari kejadian iaitu 7 Februari yang lalu.

"Apa yang cuba ditimbulkan oleh akhbar tersebut adalah untuk mensensasikan isu perobohan gerai yang ternyata dilaksanakan sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan tersebut.

"Dalam operasi yang dilaksanakan MPSP telah bertindak mengikut garis panduan yang diberikan. Mereka juga tidak berpihak kepada mana-mana peniaga. Sebaliknya jumlah gerai yang dirobohkan melibatkan 4 kepunyaan orang Melayu, 2 Cina, 1 India dan selebihnya adalah milik warga asing, " katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis MPSP memberi jaminan usaha sedang dilaksanakan bagi menempatkan semula peniaga yang terlibat di satu lokasi yang akan dikenal pasti dalam kawasan yang sama bagi memberi peluang kepada mereka meneruskan perniagaan.

Namun begitu, katanya, ia memerlukan sedikit ruang sebelum proses pelaksanaannya dijalankan.

Amir juga mengingatkan Umno dan Barisan Nasional khususnya di Pulau Pinang supaya tidak mengeruhkan suasana dengan mengapi-apikan para peniaga melalui penyiaran berita mereka bagi menimbulkan kebencian masyarakat kepada Kerajaan Negeri.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Tengah, Ong Chin Wen serta para peniaga yang terlibat dalam perobohan gerai mereka baru-baru ini.

Ops Piramid pincang

Posted: 13 Feb 2011 07:00 AM PST

Abdul Fatah

Terlebih dahulu saya, sebagai pemerhati yang mewakili Kelab Malaysia Jeddah (KMJ), Malaysian Business Council (MBC), Kelab Malaysia Yanbo', Kelab IDB & Panda mengucap terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dalam usaha penghantaran pelajar-pelajar Malaysia dari Mesir transit ke Jeddah dan seterusnya kembali ke tanahair. Usaha ini amat baik dan perlu diteruskan lagi.

Segala perancangan yang dibuat sangat bagus tetapi perlu dipantau oleh pihak-pihak tertentu kerana didapati banyak perkara yang pincang telah berlaku di Sekretariat Ops Piramid yang berpusat di Markaz Madinatul Hujajj, Tabung Haji. Didapati seolah-olah tidak ada korodinasi semasa pegawai-pegawai yang bertugas yang terdiri dari Pak Duta, Pak Kongen Jeddah, Pak Kongen Dubai, Konsul Haji dan beberapa pegawai kanan dari Wisma Putra dan Tabung Haji.Difaham mesyuarat begitu kerap diadakan tetapi tidak ada timbalbalas dan keseragaman. Antara yang ketara adalah dari segi pengurusan yang tidak efisyen dan keseragaman dan komited seperti contoh-contoh di bawah:

KELEMAHAN PENGURUSAN PENDAFTARAN

Daftar senarai pelajar tidak mengikut tarikh ketibaan (kerana difahamkan visa yang diberikan adalah 'emergency evacuation visa' bagi tempoh 1 minggu sahaja);

Daftar senarai pelajar yang disediakan bercampur tarikh ketibaan dan tidak dibuat penyisihan maka sukar untuk mengenalpasti pelajar mana yang sampai dulu dan kemudian lantaran ini mengakibat penghantaran balik pelajar tidak teratur dan berjadual;

Daftar senarai pelajar hanya dibuat pada hari pertama dan kedua sahaja tetapi hari berikutnya tidak ada daftar senarai daftar pelajar dibuat;

Pelajar yang datang dahulu sehingga kini masih belum balik tetapi pelajar yang baru sampai sehari dua sudah balik;

Ini menunjukkan pengurusan pentadbiran oleh MKN, Pak Duta, Pak Kongen Jeddah dan Dubai tidak efisyen;

Didapati ada sesetengah pelajar yang terdiri daripada anak-anak 'Dato' atau 'VIP' diberikan keutamaan dalam penghantaran balik. Difahamkan senarai penghantaran balik diurus kendalikan oleh Pak Duta dan Pak-Pak Kongen sahaja dan mereka inilah yang menuntukan anak Dato atau VIP yang akan dihantar balik dulu terutamanya yang ada kaitan dengan wisma putra atau kaum kerabat mereka;

Disebabkan daftar senarai pelajar tidak ada maka didapati banyak pelajaran aliran pengajian Islam telah berjaya membolos keluar dari Madinatul Hujajj pada hari pertama mereka sampai. Pelajar-pelajar ini telah mengambil kesempatan mengerjakan umrah dan tinggal dirumah sanak saudara atau rakan pelajar-pelajar mereka dari Universiti Umm Qurra, Makkah;

Sebahagian pelajar yang telah selesai mengerjakan Umrah telah balik secara persendirian ke Malaysia tanpa melalui secretariat kerana mereka mengetahui daftar senarai pelajar tidak ada;

Sebahagian besar pelajar masih lagi berada di Bukit Ajyad, Makkah menumpang di rumah saudara atau pelajar-pelajar Malaysia (dari Universiti Umm Qurra, Makkah) dan bilangannya lebih kurang 100 orang;

Dimaklumkan sebanyak 100 pelajar yang menghadapi masalah dimana visa mereka telah tamat sahlaku dan ini menimbulkan satu masalah lagi;

KEGAGALAN PENGURUSAN PENGHANTARAN BALIK

Urusan ticketing diuruskan oleh pihak Tabung Haji sepenuhnya dan didapati banyak kelemahan dari segi pengurusan;

Pelajar-pelajar tidak dimaklumkan lebih awal tarikh dan masa mereka akan balik, berkumpul untuk menaiki bas dan bertolak ke lapangan terbang. Maklumat terperinci seperti jenis pesawat (MAS/Charlie/Air Asia/Singapore Airlines/Royal Brunei/ Garuda/ Saudia Airlines/) No.Pesawat, destinasi, waktu bertolak/ketibaan, samada transit tidak diberitahu langsung. Pelajar-pelajar ini dibuat seperti menghalau anak kambing masuk ke reban bila tiba waktu senja. Mereka tidak boleh bertanya langsung dan akan dimarah oleh pegawai yang membuat ticketing. Arahan naik bas dan terus kelapangan terbang;

Jadual penerbangan terlalu sukar untuk diperolehi, dimana apabila ibubapa bertanya pihak secretariat mereka beritahu mereka tidak tahu kerana pihak ticketing Tabung Haji tidak berikan maklumat. Ini menunjukkan bahawa tidak ada kerjasama atau kordinasi di antara pihak sekreatriat dan Tabung Haji;

Ahli keluarga yang membuat panggilan bertanya mengenai status anak mereka tidak dilayan dimana 'pegawai-pegawai khas' atau 'jurucakap khas' ini tidak menjawap panggilan telefon dan panggilan 'didivertkan' kepada pegawai lain yang tidak berkenaan;

'Bosses" yang bertugas tidak akan menjawab panggilan telefon dari ibubapa dan panggilan ini akan diarahkan kakitangan bawahan menjawab;

Semua maklumat terlalu sukar untuk diperolehi dan banyak sangat 'red tape' dan hanya 'bos' tertentu yang boleh mengeluarkan informasi yang diminta tetapi bos-bos ini sukar pulak untuk dihubungi melalui telefon;

Didapati ada beberapa pegawai dari Kementerian Pelajaran dan MARA yang ada di markaz ini tetapi tidak ada satu program yang disusun bagi pelajar-pelajar ini untuk mengelak kebosan mereka;

Maka markaz ini boleh diumpamakan macam pusat serenti;

Pelajar perempuan dan lelaki bebas bergaul tanpa batasan dan boleh duduk berdua-dua waktu malam tanpa ada kawalan atau penguatkuasaan,

Pihak KMJ dan MBC mahu membuat taskirah tidak dibenarkan;

Banyak pelajar pengajian Islam dari Universiti Al Azhar dan Tanta yang mahu menganjurkan kuliah agama dan tazkirah tetapi tidak dibenarkan atas alasan takut ada propaganda politik;

Terlalu banyak pegawai yang berada dalam bilik operasi dan bermesyuarat setiap hari tetapi tidak tahu apa keputusan dan kesudahannya;

Seharus Pak Duta dan Pak-Pak Kongen bertugas di bilik operasi ini 24 jam tetapi dukacitanya ada dikalangan mereka yang masuk ke Bilik Operasi jam 11 pagi atau 12 tengahari. Disebelah malam setakat jam 8 malam sahaja dan sudah balik ke rumah.

Program yang paling sibuk mereka sediakan adalah program untuk mengerjakan Umrah oleh Dato' MKN. Yang pastinya Pak Kongen Jeddah yang menjadi KETUA menyediakannya dan turut sama sebagai pengiring. Masalah pelajar tidak selesai mereka sudah 3 atau 4 kali mengerjakan umrah. Kepentingan pelajar diketepikan dan kepentingan sendiri diutamakan. Malahan Pak Kongen Jeddah siap mengadakan majlis makan malam dirumahnya untuk Dato' MKN dan 'Pegawai-Pegawai Khas' Bilik Operasi. Ini bertujuan untuk bodek dan mengampu.

Pak Duta, Pak Kongen, Konsul Haji/Naib Konsul Haji sibuk menajga Dato' MKN dan ditatang dan diusung ke hulu ke hilir dengan penuh tanggungjawab. Pak Duta dan Pak Kongen Jeddah yang nampak paling terover sebab mereka ini dah terlebih tempoh untuk balik ke Malaysia tetapi masing-masing mencari kable untuk kekal sebagai Duta atau bagi Pak Kongen pulak dapat dilantik sebagai Duta. Maka masing-masing pasang pukat untuk mendapat hasil. Tugas mereka bukan membantu pelajar tetapi menjaga Dato' MKN pulak.

Kesimpulannya, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dari Kelab Malaysia Jeddah, MBC, IDB dan Panda yang saban malam berada di Madinatul Hujajj memberikan sumbangan material, wang ringgit dan moral kepada pelajar-pelajar ini mengucapkan terima kasih kepada PM atas usaha murni beliau tetapi dukacitanya pelaksanaan diperingkat bawahan kucar-kacir dan boleh memboleh memburuk dan mencalar Negara.

Dengan paparan ini diharap semua rakyat Malaysia mengetahui keadaan sebenar berlaku di Pusat Operasi Piramid Madinatul Hujajj, Jeddah. Ops Piramid berakhir pada hari ini, 13 Februari 2011.

Sekian, terima kasih.

ABDUL FATAH ABDUL KARIM

Mewakili KMJ, MBC, IBD dan PANDA

Bertanding dalam kumpulan relevan

Posted: 13 Feb 2011 06:45 AM PST

Harakahdaily

JOHOR BAHRU, 13 Feb: Berikutan bahang pilihanraya kampus yang semakin dirasai di kampus-kampus utama dalam negara, Pro Mahasiswa UTM telah menghantar memorandum berisi 5 tuntutan kepada pihak universiti.

Pengerusi Pro Mahasiswa UTM, Leftenan Muda Ku Abdul Muhyi berkata, tuntutan-tuntutan itu ada asasnya memandangkan universiti bukan sahaja pusat pembelajaran dan penyelidikan terutama dalam aspek sains dan teknologi, tetapi juga sebagai institusi pendidikan dalam pelbagai aspek iaitu idealisma dan aktivisma.

Justeru, katanya salah satu tuntutan yang dikemukakan oleh Pro Mahasiswa UTM ialah universiti membenarkan pilihanraya kampus dipertandingkan dalam bentuk berkumpulan dan berlogo.

Dalam memorandum setebal 12 muka surat itu, Pro Mahasiswa UTM telah menggariskan sebab dan rasional kenapa perlunya pertandingan secara berkumpulan dan berlogo dibenarkan.

"Jika diteruskan sistem sedia ada, bagaimanakah seorang calon mampu berkempen untuk dirinya sendiri kepada 20,000 mahasiswa di seluruh kampus?

"Adakah ia relevan dalam konteks seorang mahasiswa? Adakah sistem pilihanraya kita hanya sekadar melepaskan batuk ditangga tanpa mengambil kira faktor kepimpinan sebenar mahasiswa?

"Jika diteruskan sistem sedia ada, apakah relevannya manifesto seseorang calon disampaikan secara perseorangan sedangkan dalam kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa, pentadbiran dijalankan melalui sistem pentadbiran kolektif? Seseorang calon yang menang kemungkinan diletakkan di fakulti, atau jabatan yang tidak selari dengan manifesto yang dijanjikan.

"Bukankah sistem ini membuka ruang kepada calon tidak melunaskan janji dan membuka ruang untuk pengundi (mahasiswa) mempertikaikan kejujuran calon semasa berjanji dan menabur manifesto?" soalnya.

Duta Pro Mahasiswa UTM, Munzir Musa turut menyokong usaha Pro Mahasiswa UTM untuk membenarkan pertandingan secara berkumpulan dan berlogo.

"Idea ini selari dengan agenda PTPM iaitu aspek kepimpinan mahasiswa. Kita perlukan inovasi dalam sistem pemilihan kepimpinan mahasiswa. Saya berharap universiti mempertimbangkan tuntutan ini kerana persaingan sihat akan wujud dalam kalangan calon yang bertanding dan mahasiswa akan lebih kreatif semasa berkempen."

Dalam memorandum itu juga, Pro Mahasiswa turut menjawab dakwaan jika sistem ini dilaksanakan akan membawa perpecahan kepada mahasiswa.

"Universiti perlu menyedari bahawa kita mempunyai budaya yang istimewa berbanding kampus-kampus lain yang lebih 'panas'. Keistimewaan ini yang kita perlu angkat supaya menjadi contoh kepada universiti lain.

"Dalam kabinet Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), ahli Exco daripada pihak Pro Mahasiswa dan Evolusi boleh duduk semeja dan bekerjasama selepas tamat pilihanraya kampus untuk membawa agenda bersama sepanjang MPM mentadbir," katanya.

DAP dakwa kontroversi Hari Kekasih permainan politik BN

Posted: 13 Feb 2011 06:30 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra


KUALA LUMPUR, 13 Feb — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa kontroversi sambutan Hari Kekasih baru-baru ini adalah mainan politik Barisan Nasional (BN) yang mahu menimbulkan kebencian antara kaum dan agama negara ini.

Beliau berkata tindakan melabelkan ajaran Kristian sebagai "tradisi berdosa" adalah satu tuduhan tidak bertanggungjawab dan biadap.

"Jelas sekali ada pihak tertentu yang cuba mencari populariti di kalangan umat Islam dengan menjalankan kempen anti-Hari Kekasih seakan-akan satu kempen menyelamatkan Islam daripada dosa-dosa yang diamalkan di kalangan bukan Islam.

"Jelas sekali, ini adalah suatu permainan politik BN dengan taktik talam dua muka untuk menimbulkan kebencian di kalangan kaum dan agama masing-masing," katanya berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Tahun Arnab Anjuran PKR Cabang Tanjung hari ini.

Teks ucapannya dikeluarkan di sini.

Tambah Ketua Menteri Pulau Pinang itu, sikap talam dua muka yang dimainkan BN itu berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat yang sentiasa bertindak adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

"Sandiwara talam dua muka BN ini berlainan dengan Pakatan Rakyat yang bertindak adil kepada semua kaum dan agama dengan mempromosikan kesederhanaan, kesefahaman, dan saling hormat-menghormati serta bantu-membantu di antara satu sama lain.

"Sekiranya mereka (BN) ingin mempertahankan Islam, mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN yang menyerang calon wanita PAS sebagai ekstremis kerana calon wanita itu memilih untuk tidak salam dengan kaum lelaki? Mengapa mereka tidak menjalankan kempen ke atas pemimpin BN sama yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik?" soal Lim.

Jelas beliau, Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari bukan sebahagian daripada fahaman dan ajaran Kristian.

Sebaliknya, beliau berkata ia adalah satu amalan popular yang tidak menggalakkan perbuatan zina.

"Jelas sekali permainan perkauman dan ekstremis ini bertujuan untuk pecah-belahkan rakyat dengan melaga-lagakan antara agama agar pemimpin BN boleh terus memerintah dan skandal rasuah yang kian berleluasa," katanya.

Justeru, Lim menggesa rakyat supaya menolak tuduhan yang berbaur perkauman yang melabelkan orang bukan Islam sebagai berdosa.

"Khususnya dalam media yang dikuasai BN, kerana menyebarkan maklumat palsu bahawa amalan tradisi Kristian dan Hari Kekasih adalah berdosa.

"Pada masa yang sama ada pemimpin BN yang melabelkan negara-negara Islam sebagai mundur, miskin, korup dan tidak demokratik," katanya sambil menegaskan Pakatan Rakyat berpegang kuat dengan kepercayaan bahawa kesederahaan adalah keadilan.

Kelmarin Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd Aziz, menasihatkan orang ramai khususnya yang beragama Islam supaya menjauhi sebarang acara atau majlis yang bertemakan sambutan Hari Kekasih bagi mengelakkan mereka terlibat dengan gejala maksiat.

Terdapat beberapa versi sejarah sambutan Hari Kekasih, termasuk yang dikaitkan dengan pesta sambutan Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia, kisah mubaligh Kristian Saint Valentine dan juga sempena musim mengawan burung pada 14 Februari.

Bersandarkan beberapa hujah yang jelas, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 2005 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kekasih adalah haram bagi seluruh umat Islam.

Wan Mohamad berkata, "amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam."

Kalau BN tidak mendapat kemenangan 2/3 Muhyiddin akan jadi PM.

Posted: 13 Feb 2011 05:30 AM PST

Kegagalan Abdullah Badawi untuk memimpin parti dan kerajaan menyebabkan BN tidak mampu untuk mendapatkan kemenangan 2/3 didalam Dewan Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu. Hasilnya Abdullah terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan 'sedikit' imbuhan dalam bentuk tanah yang bernilai puluhan juta ringgit di Kuala Lumpur sebagai 'ganti-rugi' kerana meletakkan jawatan.

Orang nombor duanya Najib naik menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta Pengerusi BN peringkat nasional. Abdullah telah mendapat tekanan yang begitu besar sehinggakan beliau terpaksa berfikir dengan mendalam yang akhirnya membawa beliau untuk membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Setelah beraku sedikit 'golden hand shake' beliau meletakkan jawatan dan Najib Razak mengambil alih jawatan beliau. Apa yang penting kita ketahui ialah perletakkan jawatan itu adalah hasil dari penolakkan yang jelas oleh rakyat terhadap BN pimpinan UMNO sehinggakan BN hampir-hampir tumpas dan hanya mampu untuk memerintah dengan 'majority' yang tipis di Dewan Parlimen Persekutuan.

Lain-lain perkataan jika seseorang Perdana Menteri tidak mampu untuk mendapatkan sokongan 2/3 di Dewan Parlimen maka pada bila-bila masa sekali pun Perdana Menteri wajar meletakkan jawatan kerana 'precedent' ini telah dimulakan dengan perletakkan jawatan oleh Abdullah Badawi. Seandainya BN menghadapi keadaan yang sama didalam pilihanraya yang akan datang maka Najib akan terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM seperti yang dilakukan oleh Abdullah Badawi 2 tahun yang lepas.

'Game plan' perletakkan jawatan bagi Abdullah Badawi dahulu adalah untuk mempercepakan kenaikkan Najib, dan usaha untuk memberikan tekanan kepada Abdullah meletakkan jawatan dilakukan oleh Muhyidin Yassin. Muhyiddin menjadi orang kuat menekan Abdullah untuk mengundurkan diri kerana jika Najib naik ke kerusi Perdana Menteri beliau sendiri menagih jawatan Timbalan PM kepada Najib walaupun beliau belum tentu untuk menjadi PM kerana Najib adalah 6 tahun lebih muda darinya.

Yang penting beliau mesti menjadi Timbalam PM kerana jika ada apa-apa yang berlaku kepada Najib beliau sudah bersedia untuk mengambil alih jawatan yang disandang oleh Najib itu.

Akhir-khir ini tidak kurang juga ramainya rakan-rakan di dalam UMNO membuat andaian yang jika Najib tidak berupaya mendapatkan kemenangan 2/3 didalam pilihanraya yang akan datang maka Muhyiddin akan mengambil tempat Najib kerana kegagalan mempertahankan majoriti 2/3 atau untuk mengembalikan kemenangan 2/3 itu merupakan satu kegagalan kepada Najib.

Malahan sudah nampak tanda-tanda dari perbualan penyokong-penyokong pimpinan ingin melihat BN untuk memenangi pilihanraya kali ini dengan hanya mendapat majoriti yang mudah bagi memudahkan Muhyiddin mengambil alih kepimpinan negara seperti Najib mengambil alih dari Abdullah Badawi dahulu.

Saya difahamkan yang ada pemimpin veteran yang berkepentingan untuk melihat Muhyiddin mengambil alih kepimpinan UMNO dan negara kerana jika keadaan itu berlaku maka mudah baginya untuk menempatkan ahli keluarganya menaikki tangga kepmpinan negara kita.

Jika apa yang saya dengar itu benar maka usaha untuk memantapkan UMNO itu sudah pasti tidak akan mendatangkan apa-apa munafaat bagi parti ini. Mengikut apa yang didengar mendesak Najib untuk meletakkan jawatan akan lebih mudah jika BN hanya mendapat majoriti yang simple seperti apa yang didapati dalam pilihanraya yang lalu.

'Game plan' setengah pihak didalam UMNO ini sebenarnya amat merbahaya bagi BN kerana jika silap perkiraan maka UMNO dan BN akan menghadapi kemungkinan menerima kekalahan hasil dari politiking yang tidak sihat di kalangan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli parti kita sendiri.

Bagi pihak yang ingin melihat perkara ini berlaku telah mula bercakap tentang kegagalan Najib untuk melaksanakan pelan-pelan pembangunan yang diumumkan oleh beliau kepada umum. Kumpulan ini nampaknya lebih suka jika pelan ini gagal kerana ianya akan memudahkan usaha mereka untuk menekan Najib untuk berundur dari memimpin negara.

Baginya isu terhadap Najib itu sangat memenatkan mereka untuk mendapatkan keyakinan rakyat keseluruhannya. Selama ini saya berpendapat isu-isu peribadi Najib dan keluarganya yang heboh diperkatakan itu datangnya dari luar UMNO, tetapi akhir-akhir ini isu ini sebenarnya disuburkan oleh mereka didalam UMNO dan BN sendiri kerana permainan politik dalaman yang sangat kotor dan tidak berfaedah.

Tetapi itulah penyakit yang sedang dihadapi oleh UMNO. Kalau politiking seperti ini masih berlaku maka tidaklah mustahil UMNO akan kecundang dihadapan mata rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Didalam UMNO kini elemen 'orang Najib' dan 'orang Muhyiddin' nampaknya akan timbul secara beransur-ansur dan ini merupakan satu situasi yang tidak sihat untuk parti.

Jika benar apa yang dikhabarkan itu, maka Najib akan mengambil tindakkan untuk hanya mencalonkan orangnya didalam pilihanraya yang akan datang. Untuk memberi alasan bagi menggugurkan seseorang penyandang itu adalah perkara yang mudah kerana keseluruhan mereka yang sedang menyandang di kerusi Parlimen dan Undangan negeri ada masalah masing-masing.

Alasan rasuah dan salah gunakuasa merupakan alasan yang paling mudah bagi Najib untuk menurunkan sesiapa sahaja yang sedang menyandang itu.

Lagi pun Najib mempunyai hak untuk menentukan sesiapa yang boleh atau tidak boleh bertanding kerana janji beliau untuk menurunkan 'winnable candidates' itu akan tetap dilaksanakan. Najib mempunyai hak untuk memastikan yang pemilihan calun didalam pilihanraya kali ini adalah dari mereka yang setia kepada beliau.

http://aspanaliasnet.blogspot.com/2011/02/kalau-bn-tidak-mendapat-kemenangan-23.html

Bekerjasama seperti satu keluarga – MB

Posted: 13 Feb 2011 05:20 AM PST

KAJANG, 13 Feb - Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Pakatan) mengamalkan dasar keterbukaan dan kebertanggungjawaban serta bekerjasama sebagai satu keluarga bagi memajukan negeri Selangor tanpa ada rasa perbezaan kaum dan agama.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapan sambutan Tahun Baru Cina di sini semalam menjelaskan, semua bangsa harus berganding bahu bersama bagi kemajuan dan kejayaan negeri Selangor kerana melalui cara ini kita akan berasa selesa dan bangga berada di negeri imi.

"Pada perayaan ini saya mengingatkan masyarakat Tionghua dan masyarkaat Selangor supaya memggunakan kesempatan iniuntuk sama-sama membangunkan keluarga kita dan bekerja sebagai satu keluarga untuk menjayakan negeri Selangor," katanya.

Katanya, dengan kaedah itu Pakatan dapat membuat perubahan minda terhadap rakyat Selangor tanpa membeza-bezakan mana-mana kaum dan agama.

"Kerajaan Pakatan telah memberi sumbangan sejumlah enam belas juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SRA), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Cina swasta di seluruh negeri Selangor," katanya.

Sebagai Menteri Besar jelasnya, beliau dan kepimpinan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan harta dan kekayaan negeri Selangor diurus dengan cekap dan bertanggungjawab.

Tambahnya, kerajaan negeri telah meluluskan permohonan pelupusan secara pemilikan tanah kerajaan di bawah seksyen 76 untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Counghnout bagi kegunaan masyarakat di situ.

Pada tahun ini juga ujarnya, kerajaan negeri telah memperuntukkan satu juta ringgit bagi setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk membaikkan jalan raya dan parit-parit dan diharapkan semua Adun dapat menggunakan peluang itu untuk memberikan keutamaan kepada tempat-tempat yang harus diperbaiki supaya menjadi memberikan keselesaan kepada masyarakat.

Walau bagaimanapun pihaknya mengingatkan semua rakyat berjimat cermat menggunakan wang ringgit dengan cara yang terbaik kerana harga barangan mula naik dan simpanan wang mungkin terjejas.

Sehubungan itu, jelasnya kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan akan mengadakan pertemuan pada Februari ini bagi membincangkan serta mencadangkan bagaimana boleh membantu meringankan bebanan harga barangan melalui cara yang dipanggil "market intervention".

Majlis keraian Tahun Baru Cina yang dihadiri lebih dua ribu orang itu turut menyaksikan kehadiran tuan Speaker negeri, Datuk Teng Chang Kim, Adun Kajang, Lee Kim Sin dan barisan Exco Selangor.

Kemeriahan majlis diserikan dengan persembahan pertunjukan kebudayaan dan tarian masyarakat Cina.

Islam benarkan rasuah, Johari kecam kenyataan Isa

Posted: 13 Feb 2011 03:45 AM PST

Norutul Ilham

KUALA LUMPUR: Hanya pemimpin yang cetek pengetahuan agama sahaja tergamak membuat kenyataan, kononnya rasuah bukan kesalahan di sisi agama, sedangkan Islam jelas memaktubkan amalan itu sebagai haram dan pemberi serta penerima akan masuk neraka, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Beliau yang mempersoal tindakan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad mengatakan rasuah bukan masalah besar di Malaysia kerana turut berlaku di mana-mana negara di dunia ketika berucap dalam forum di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Dalam ucapannya, Isa dilapor berkata, rasuah berlaku di Malaysia tidak teruk kerana Malaysia belum mengalami kehancuran akibat gejala terkutuk itu.

Mengulas lanjut, Johari berkata kenyataan Isa yang pernah dikenakan hukuman kerana mengamal politik wang dalam Umno pada 2004, sebagai pemimpin Islam yang cetek pengetahuan agama.

"Isa tidak sedar yang beliau kini memimpin kepada Felda yang 90 peratusnya Melayu beragama Islam. Beliau sebelum ini pernah terbabit dengan rasuah, mungkin sebab itu tergamak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

"Kerana rasuah, Melayu tidak maju dan kenyataan itu seolah-olah membenarkan amalan rasuah berleluasa. Pada 2010, Menteri Kewangan Kedua mengeluarkan kenyataan berhubung ketirisan hampir RM26 bilion yang dialami negara akibat rasuah," katanya.

MB akan bertemu keluarga dan pelajar Mesir

Posted: 13 Feb 2011 01:43 AM PST

SHAH ALAM, 13 Feb – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertemu dengan keluarga dan pelajar Selangor yang menuntut di Mesir Selasa depan bagi membincangkan mengenai masa depan mereka.

Khalid berkata, pertemuan ini penting bagi memastikan mereka tidak ketinggalan selain membolehkan mereka mendengar sendiri cadangan kerajaan negeri Selangor dalam hal ini berikutan keadaan yang masih tidak jelas di negara Arab Afrika Utara itu.

"Pada 15 haribulan ini saya akan jumpa dengan keluarga pelajar Selangor yang kembali ke tanah air untuk selesaikan masalah mereka, terutama bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dengan pelajaran dan kerjaya mereka," katanya pada majlis Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu di sini, semalam.

Dianggarkan seramai 1,200 pelajar dari Selangor yang sedang belajar di beberapa universiti dan IPT di Mesir dan 600 daripadanya merupakan tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS)

Sebelum ini kerajaan negeri telah menawarkan kursus seperti bahasa Arab, bahasa Inggeris, komputer dan kewangan yang memakan masa selama enam bulan hingga setahun di Universiti Industri Selangor (Unisel), yang diberikan secara percuma, selain yuran daftar kepada pelajar yang tergendala pelajarannya akibat konflik ini.

Kelmarin, Naib Presiden Mesir, Omar Suleiman mengumumkan bahawa Hosni Mubarak telah melepaskan jawatannya sebagai presiden negara itu dan menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada pihak tentera.

Dua hari lalu, Hosni Mubarak masih ingin bertahan di kerusi presiden walaupun dia membuat pengumuman bahawa kuasa mentadbir telah diturunkan kepada naibnya. Namun begitu pengumuman tersebut masih tidak meredakan rakyat Mesir yang terus menerus mengadakan demonstrasi menuntut perletakkan jawatannya dengan segera.

Khalid berharap rakyat Mesir dapat mengecapi demokrasi dan keadaan aman akan tiba secepat mungkin.

"Berhentinya Mubarak dari jadi Presiden Mesir merupakan langkah terbaik, tapi risiko masa depan Mesir masir kurang jelas, saya harap rakyat Mesir dapat menikmati demokrasi dalam masa terdekat," katanya.

Haram Hari Kekasih: Cukupkah sekadar khutbah

Posted: 13 Feb 2011 01:31 AM PST

Oleh Nuridah Mohd Salleh

Keluh kesah dari kemelut isu sambutan "hari kekasih" – velantine's day kini sebenarnya tidak habis-habis diperkatakan oleh pencinta peradaban akhlak Islamiyah serta masyarakat bertamadun dan berbudi luhur saban tahun, terutamanya bila hampir tiba 14 Februari.


Sebenarnya seluruh masyarakat dapat melihat sendiri semua program dan aktiviti pengisian dalam menyambut hari tersebut tanpa diragui terungkap dalam prasa-prasa berikut; "gaya hidup tidak sihat";"kegiatan tidak bermoral";"budaya bercanggah dengan akhlak Islamiyah";"acara-acara mengundang dosa";"pesta-pesta maksiat";"karnival minum arak dan seks bebas"; dan pada tahun lepas popular dengan "hari remaja wanita tidak digalakkan memakai seluar dalam – pantiless"; serta pelbagai tindakan berseronok menurut nafsu serakah yang tidak dapat diterima oleh masyarakat bertamadun yang mengutamakan peradaban, ketinggian moral dan akhlak mulia serta berbudi luhur.

Sepatutnya sudah mencukupi saranan Allah s.w.t pada surah an-Nur: ayat 21, bagi umat Islam yang benar-benar memahami dan menghayati firmanNya itu yang bernaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu turut langkah-langkah Syaitan. Sesiapa yang menurut langkah-langkah Syaitan itu, maka sesungguhnya ia menyuruh berbuat keji dan mungkar."

Oleh itu timbullah pelbagai gesaan demi gesaan, ingatan demi ingatan dari kalangan NGO-NGO yang prihatin dan pelbagai pihak yang cintakan Islam yang sudah merasakan sebu dan berdosa di atas perilaku sebahagian umat Islam terutamanya di kalangan remaja yang menyambut pesta tersebut.

Rentetan dari itu keluarlah fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan pada November 2005 yang memutuskan bahawa adalah "haram" bagi umat Islam menyambut pesta berkenaan. Malah orang awam juga dibenarkan melaksanakan kawalan pencegahan maksiat seperti membuat "tangkapan awam – people arrest" dengan syarat-syarat tertentu mengikut Akta Tatacara Jenayah (Mahkamah Syariah) di Wilayah Persekutuan dan anekmen Jenayah Syariah di negeri-negeri seluruh negara.

Jelaslah pada kita sudah ada instrumen pencegahan ataupun setidak-tidaknya ada fatwa pengharaman sambutan hari tersebut. Persoalannya sejauh manakah perlaksanaannya? Cukupkah dengan Jakim dan Jais mewajibkan semua masjid di seluruh negara membaca khutbah mengenai pengharaman sambutan hari tersebut? Malah tindakan pencegahan maksiat mengikut undang-undang yang telah dijalankan oleh bekas Mufti Selangor, Almarhum Datuk Ishak Baharom dulu pernah dihalang dan dikekang.

Siapakah sepatutnya yang bertanggungjawab untuk melakukan tugas nahi mungkar ini? Banyak saranan dari pimpinan negara dari kalangan parti pemerintah membebankan masalah ini kepada ibu bapa yang gagal mendidik akhlak anak-anak mereka. Serta tambah pula gesaan agar isu ini tidak diperbesar-besarkan kerana ditakuti akan menjejaskan industri pelancongan serta menggagalkan perkembangan ekonomi negara.

Bagi PAS amanah untuk melaksanakan tugas nahi mungkar ini mestilah diterajui dengan penuh tanggungjawab oleh mereka yang memegang tampuk pemerintahan selain dari menjadi tanggungjawab semua pihak.

Jelasnya Umno telah gagal melunaskan tanggung jawab ini. Umno tidak berminat untuk menyelesaikan masalah kronik ini secara serius serta mengikuti lunas-lunas Islam. Bagi mereka isu-isu ekonomi lebih utama ditangani daripada isu-isu moral. Sikap ini telah membuat mereka tidak jijik dengan jenayah rasuah dan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa.

PAS teliti empat nama, Kintan dan Yuhaizan jadi pilihan

Posted: 13 Feb 2011 12:42 AM PST

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 13 Feb — PAS telah meneliti empat nama calon yang akan dipilih bagi mewakili parti Islam tersebut dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pimpinan PAS pusat yang bermesyuarat hari ini telah menerima empat nama darpada PAS Melaka untuk diteliti.

"Kita telah menerima empat nama untuk diteliti secara keseluruhan dan kita sudah ada keputusan rasmi.

"Calon yang kita pilih adalah anak tempatan dan ia hanya akan diisytiharkan oleh Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pada 24 Februari ini di Merlimau," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS di sini.

Empat nama yang diangkat PAS Melaka itu adalah Setiausaha Dewan Muslimat PAS Melaka, Kintan Man selain Ketua Penerangan PAS Melaka Kamaruddin Sidek, Yang Dipertua PAS Jasin Jasme Tompang dan Timbalan Yang Dipertua PAS Jasin Yuhaizan Abdullah.

Ditanya peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil kawasan itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS Merlimau berkata, ia tidak mustahil memandangkan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kubu kuat seperti dua siri pilihan raya kecil di Galas dan Tenang.

"Tak mustahil kita dapatkan kerusi pertama PAS di Merlimau, di sana tiada kubu kuat BN.

"Kalau kita lihat peti undi di sana juga adalah peti undi campuran, jadi dengan pendekatan yang kita gunakan nampak lebih mudah peluang kita," katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin tertinggi PAS berkata dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan telah disenarai pendek untuk menjadi calon.

"Apa yang boleh saya katakan kita terima empat nama tapi dua nama iaitu Kintan dan Yuhaizan disenarai pendek manakala Kamarudin dan Jasme tidak.

"Tapi saya tidak tahu siapa yang akan dipilih, kita tunggu sahaja Presiden PAS umumkan pada 24 Februari ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan 6 Mac dengan penamaan calon pada 26 Februari.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme dengan majoriti 2,154 undi.

PRK Dun Merlimau. Beza Kehadiran Penyokong Dari Pihak Pakatan Dan Bn. Lihat Sendiri Gambar Ini

Posted: 12 Feb 2011 11:00 PM PST

http://a2.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/180425_198307946862378_100000495237239_732054_5688058_n.jpg


fuh ramai beb. Tg Nik Aziz hadir malam semalam. orang ramai limpah sapai ke tepi jalan.



http://a3.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-snc6/180425_198307943529045_100000495237239_732053_2884425_n.jpg

jeng jeng.. korang jangan pelik beb. ceramah bn ni yang ramainya separuh dari kanak-kanak hahaha.. penceramah pun nampak macam mayat hidup jer.


Luahan Tidak Puas Hati Kami Kepada Presiden PAS

Posted: 12 Feb 2011 09:30 PM PST

Presiden PAS mesti tegas

Percanggahan pendapat secara terbuka oleh pemimpin-pemimpin PAS akan hanya menyebabkan PAS kurang dihormati oleh rakan-rakan Pakatan. Lebih parah lagi jika berlaku hentam menghentam. PAS akan dianggap sebagai parti yg berpecah belah dan tidak bersatu.

Presiden PAS perlu bertindak dan tidak hanya berdiam diri seperti sekarang. Disiplin dalam parti saudah seperti tidak wujud lagi. Kami amat merindui akan Ustaz Hadi yang tegas dan berkarisma pada tahun-tahun 80'an dan 90'an.

PAS perlu menjadi jurubicara ummah tetapi sekarang ini dilihat hanya sebagai pelakon tambahan. Sekadar untuk membekalkan tenaga-tenaga kerja bila ada demonstrasi atau pilihan raya kecil.

Rasuah bukan masalah di negara ini - Isa Samad

Posted: 12 Feb 2011 09:15 PM PST

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad berkata, rasuah bukanlah masalah besar di negara ini kerana ia berlaku di mana-mana negara di dunia.

"Rasuah di mana-mana, taklah teruk sangat. Kalau buruk dah hancur dah Malaysia ni," kata Isa ketika memberikan ucapan di forum masa depan kepimpinan Melayu di PWTC lewat petang semalam.

Turut menjadi penal di forum tersebut adalah Datuk Mustafa Ali (Setiausaha Agung PAS) dan Datuk Johan Jaafar (Pengerusi Media Prima) manakala moderatornya adalah Tan Sri Dr Nordin Kardi, bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ketika memberikan ucapannya, Mustafa berkata, antara cabaran besar kepimpinan Melayu di negara ini adalah pelakuan rasuah yang bermaharaja lela di negara ini.

Ia kini, kata Mustafa, sudah menular ke semua pihak dari peringkat tertinggi negara, pertengahan bahkan golongan bawahan termasuk pada pelajar.

"Yang mengejutkan saya, hasil kajian yang dibuat oleh Institut Intergriti Malaysia (IIM) yang mendapati 35 peratus pelajar menjawab, mereka akan mengambil rasuah jika ada peluang," kata Mustafa.

Sebelum ini, Isa pernah dipecat dari jawatan Naib Presiden Umno apabila didapati beliau terlibat dengan rasuah politik dalam pemilihan Umno. Ekoran itu, beliau juga kehilangan jawatannya sebagai menteri.

Isa kembali semula ke ruang utama politik negara apabila dipilih sebagai calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan dan menang.

Baru-baru ini, Isa telah dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai Pengerusi Felda. Ramai beranggapan ia berlaku hasil dari pengaruh isterinya, Datik Seri Rosmah Mansor.

"Bagi saya ia tidaklah teruk sangat...kerajaan pula tidaklah menghalalkan rasuah," kata Isa.

Sukar untuk PAS dan Umno bersatu

Dalam ucapannya juga, Isa berkata, sukar untuk PAS dan Umno bersatu kerana jika kedua-duanya bersatupun Melayu tetap tidak akan bersatu.

"Kalau PAS dan Umno bersatu, tentu ada orang akan tubuh parti Melayu yang lain. Baru-baru ini parti Kita tubuh, lepas ini parti Kami pula," kata Isa disambut tepukan sorakan gemuruh peserta di dewan PWTC yang kebanyakannya adalah penyokong Umno itu.

Kita adalah parti yang dirujuk kepada Datuk Zaid Ibrahim yang ditubuhkan baru-baru ini.

"Jadi apa yang kita minta adalah, biarlah Umno dan PAS ini bersatu atas perkara-perkara yang disepakati untuk kepentingan orang Melayu...itu dah cukup," kata Isa.

Desakan untuk PAS bersatu dengan Umno menjadi vokal di kalangan peserta Simposium Dilema Melayu itu yang rata-rata pro Umno atau anak didik Umno di kampus seluruh negara itu.

Ia dianjurkan oleh bekas pelajar pro Aspirasi iaitu kumpulan pelajar yang pro Umno dalam kampus.

Mustafa ketika mengulas isu ini berkata, menjadi dasar PAS dan Pakatan Rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam perkara-perkara kepentingan bersama dan untuk keadilan.

"Kita dalam Pakatan Rakyat bersetuju untuk mempertahankan tiga perkara pokok dalam perlembagaan iaitu Islam agama rasmi persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu dan juga kedudukan raja-raja Melayu.

"Bahkan menjadi dasar PAS juga untuk bekerjasama dengan Umno untuk perkara-perkara kepentingan bersama atas prinsip keadilan," katanya.

Surat terbuka kepada Dato’ Siti Nor Bahyah — Alwyn Lau

Posted: 12 Feb 2011 09:00 PM PST

Dato' Siti,

Dengan perasaan bimbang, saya ingin berbincang tentang video anda tentang Hari Valentin yang sedang disiarkan di Youtube.

Sebagai seorang penganut Kristian, saya menghormati dan juga ingin memperhatikan isu-isu sosial dari sudut pandangan ahli agama lain. Saya menghargai amaran anda supaya semua praktis sosial yang mahu dipraktis perlu dipraktis dengan was-was dan sejarah praktis itu perlu diteliti dari segi sejarahnya. Saya berpihak dengan puan untuk mengajari pemuda pemuda yang senang dipengaruhi tentang sejarah, maksud, dan sudut negatif Hari Valentine.

Saya juga menghormati pandangan Dato' tentang status Hari Valentine dalam Islam dan saya tidak ingin masuk campur dalam pandangan Dato' tentang apa yang haram dan apa tidak haram dalam Islam atau apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad.

Saya cuma ingin membangkang sudut pandangan Dato' bahawa hal-hal sosial negatif seperti 'clubbing' dan seks tidak muhrim adalah tradisi masyarakat Kristian; "Maksiat, disco, couple bersunyi-sunyian ialah tradisi bagi masyarakat beragama Kristian."

Saya bersetuju bahawa amalan amalan tersebut adalah tempias sosial daripada Negara Negara yang terlalu liberal (yang termasuk, tetapi tidak semestinya, negara negara 'western'), tetapi untuk menyamakan aktiviti ini dengan tradisi penganut Kristian menunjukkan yang Dato' sendiri telah mengabaikan nasihat puan sendiri untuk meniliti sejarah Kristian yang melibatkan Hari Valentin.

Ajaran Nabi Isa (Jesus Christ) bukanlah untuk mengamalkan aktiviti negative seperti yang telah disebutkan (dan menaikkan harga bunga melebihi 200%!), tetapi sebenarnya untuk memastikan yang dalam semua amalam, perasaan sayang dan cinta perlu ada.

Pada masa ini, ketua ketua gereja cuba memastikan bahawa pemuda Kristian perlu berwaspada dan berhati-hati dalam aktiviti yang mereka lakukan, untuk tidak membazirkan duit dan mengingati tuhan kami apabila mahu melakukan sesuatu.

Silalah faham yang saya menyokong perspektif Dato' untuk menjaga pemuda pemudi negara ini daripada melakukan aktiviti negatif. Saya juga (salute?) peringatan Dato yang cinta romantis — walaupun menarik — datang dengan tanggungjawab dan kematangan yang tidak dilihat sebagai romantis, tetapi adalah sumber kepada cinta yang sebenar.

Semoga kami boleh belajar daripada ajaran satu sama lain.

* Alwyn Lau adalah pembaca The Malaysian Insider. Artikel ini telah diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris.

* This is the personal opinion of the writer or publication. The Malaysian Insider does not endorse the view unless specified.

Persoalan Agama: Isteri jangan dizalimi walaupun tak suka

Posted: 12 Feb 2011 08:30 PM PST

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Islam saran wanita pilih suami salih sebagai keutamaan ketika cari pasangan

Soalan:

SAYA ingin mengetahui ciri-ciri suami derhaka dalam konsep Islam. Bagaimanakah seorang suami boleh terjerumus ke arah suami derhaka? Adakah suami derhaka dianggap satu dosa dalam Islam. ADILA,
Petaling Jaya.


Jawapan:

DALAM surah an-Nisa' ayat 19, Allah SWT berfirman: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci terhadap mereka (disebabkan tingkah lakunya, jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut agar suami melayan isterinya dengan baik dan tidak menzalimi mereka. Orang berakhlak mulia adalah orang yang baik dengan isterinya seperti dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." Begitu juga sabdanya lagi: "Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya."

Justeru, mereka yang sudah bergelar suami perlu bersikap bijaksana, sabar, adil, bertanggungjawab dalam memimpin rumah tangga. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 34 bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan."

Ini bukan bermakna, lelaki bebas melakukan kezaliman kepada wanita. Bahkan mereka menanggung amanah Allah yang akan dipersoal di akhirat kelak. Islam mengajar supaya adil dalam semua perkara. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya."

Begitu juga suami yang baik hendaklah bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan isteri dan anak seperti makanan dan pakaian. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Hakim bin Mu'awiyyah, beliau berkata bahawa ia pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian." Mungkin pada masa kini suami isteri bekerja, tetapi ia tidak bermakna suami sudah terlepas tanggungjawab memberi nafkah. Namun, isteri walaupun pendapatannya besar, ia tetap tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Justeru, suami yang baik hendaklah memberi nafkah bersesuaian kemampuan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 34 bermaksud : "Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."

Kepada saudari yang bertanya, sememangnya ada suami yang menzalimi isteri. Kerana itu, Islam menyuruh untuk memilih aspek salih sebagai keutamaan memilih bakal suami. Suami yang salih sekali-kali tidak akan menzalimi isterinya walaupun ia tidak menyukai isterinya dan kedua, mungkin saja suami yang tidak menyukai isteri disebabkan sikap isteri.

Seperti yang disebut oleh pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah, kadang-kadang isteri suka mencabar suami apabila bergaduh. Kedua, isteri tidak menjaga mulut sehingga terlepas perkataan yang menyebabkan hati suami sakit. Ketiga, isteri tidak malu iaitu tidak menjaga batas pergaulan dengan lelaki asing. Keempat, isteri tidak menjaga penampilan di hadapan suami tetapi bersolek berlebihan apabila keluar rumah. Kelima, isteri cemburu berlebih-lebihan dan sebagainya. Semua perkara ini perlulah dimuhasabah kembali dan dibaiki agar keadaan menjadi lebih baik. Wallahua'lam.

Pasangan kekasih sedang khayal dicekup khalwat

Posted: 12 Feb 2011 08:00 PM PST

GUA MUSANG: Seorang gadis dipercayai pernah melahirkan anak luar nikah, dicekup kerana berkhalwat dengan pasangan bukan beragama Islam di sebuah hotel bajet di Jalan Besar di sini, malam kelmarin.

Lebih mengejutkan, pasangan yang diberkas itu juga menjadikan bilik di hotel bajet terbabit sebagai tempat melepaskan gian menagih dadah, ketika diserbu jam 11.30 malam kelmarin.

Pegawai Agama Jajahan, Anuar Hashim, berkata gadis itu ditahan bersama pasangannya iaitu seorang lelaki Cina berusia 29 tahun dan berasal dari Kampung Baru, di sini.
"Ketika diserbu, lelaki terbabit cuba melarikan diri namun gagal kerana pintu bilik dikepung manakala gadis terbabit sedang khayal dadah," katanya di sini, semalam.

Serbuan itu dikendalikan Skuad Amru dan Jabatan Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) diketuai Iman Muda Masjid Tengku Muhammad Faiz Petra, Gua Musang, Hazuari Che Hamid, selepas menerima maklumat orang awam.

Anuar berkata, pasangan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk membuat laporan sebelum dibawa ke Pejabat Agama Jajahan bagi siasatan lanjut.

"Manakala lelaki bukan Islam itu dibebaskan kemudian," katanya.
Anuar berkata, gadis itu akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang kerana berkhalwat dengan lelaki bukan agama Islam pada 5 April depan.
"Dia akan didakwa mengikut Seksyen 9(2), Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan No 2/85.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,' katanya.

Persoalan Agama: Qada mesti dilakukan segera selepas halangan selesai

Posted: 12 Feb 2011 07:30 PM PST

Soalan:

AYAH saya sudah meninggal dunia. Ketika arwah sakit tenat, beliau meminta ibu saya membayarkan fidyah sebagai qada solatnya. Ayah saya mengalami sakit lumpuh selama lapan tahun dan tidak dapat bercakap dengan jelas. Persoalan saya, apakah dia wajib mengqadanya.

INGIN TAHU, Kelana Jaya.

Jawapan:

MENGERJAKAN suatu kewajipan sesudah berlalu waktunya disebut sebagai mengerjakan qada. Seorang Muslim mestilah melaksanakan kewajipannya termasuk solat pada waktu yang ditetapkan oleh Allah. Seorang itu dikira berdosa sekiranya menangguh solat sehingga terlepas waktu tanpa ada sebarang uzur.

Dalam Perang Khandak, Nabi Muhammad SAW berada dalam situasi yang sangat mencengkam, sehingga tidak sempat mengerjakan empat fardu solat sehinggalah jauh malam. Akhirnya, Baginda melaksanakan solat Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak secara berturut-turut diselangi iqamah. Demikian riwayat daripada at-Tirmizi, an-Nasa'i dan Ahmad. Setiap orang yang mempunyai kewajipan sudah semestinya ditunaikan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari daripada Ibnu Abbas yang bermaksud, "(Hutang kepada) Allah adalah lebih patut ditunaikan."

Kalangan ulama sudah sepakat bahawa wanita yang sedang haid dan baru melahirkan (nifas), orang kafir yang belum pernah memeluk Islam atau orang gila, semuanya tidak wajib untuk qada solatnya. Orang yang tertidur, terlupa, atau dalam situasi yang tidak mengizinkan (bimbang yang berkaitan dengan diri atau orang lain seperti doktor yang menjaga pesakit yang dalam keadaan kritikal) dituntut untuk qada solatnya. Ketika itu mereka tidaklah dikira berdosa.

Qada mestilah dilaksanakan segera sesudah uzur atau halangan itu selesai. Jika seseorang itu sudah berkali-kali meninggalkan solat sama ada uzur atau tidak, maka hendaklah ia menghitung kembali atau hendaklah dia menduga dengan sungguh-sungguh atau penuh yakin berapa kali ia sudah meninggalkan solat, kemudian hendaklah ia qada.

Adapun orang sakit yang sudah meninggal dunia dan ketika sakit tidak mampu untuk melaksanakan solat, walaupun dengan isyarat, maka dalam mazhab Abu Hanifah, dia tidak wajib memberi wasiat untuk membayar kafarah atau fidyah. Adapun orang yang mampu mengerjakan solat walau dengan isyarat tetapi tidak melaksanakannya, maka dalam kes seperti ini hendaklah dia berwasiat agar keluarganya membayar kafarat iaitu daripada harta yang ditinggalkannya. Sekiranya ia tidak berpesan atau tidak memiliki harta, keluarga boleh saja secara sukarela membayarkan fidyah atau kafaratnya. Wallahua'lam.

Imam Muda nasihat lupakan Hari Kekasih

Posted: 12 Feb 2011 07:00 PM PST

Oleh A'isyah Sukaimi


Sambutan dorong kelakuan tak bermoral: Asyraf

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini dinasihatkan tidak meraikan Hari Kekasih yang bakal disambut esok kerana selain bercanggah ajaran Islam, ia juga lebih cenderung kepada kegiatan yang mengundang keruntuhan moral di kalangan remaja.

Juara program Imam Muda kelolaan Astro, Muhammad Asyraf Ridzuan, berkata walaupun agama Islam tidak menghalang umatnya menunjukkan elemen kasih sayang tetapi Islam menyekat kegiatan maksiat yang sering dikaitkan dengan sambutan Hari Kekasih.

"Kita menghalang sambutan Hari Kekasih bukan kerana ia dari barat tetapi kerana menyalahi ajaran Islam.

"Lagipun, kita boleh meraikan Hari Bapa dan Hari Ibu yang juga amalan dari masyarakat barat tetapi tidak menyalahi ajaran agama kita," katanya yang menjadi panel jemputan program Bicarawara dan pelancaran 'Kempen Awasi Jerat Hari Valentine's,' di sini, kelmarin.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu akan disiarkan di saluran TV1 jam 11 malam, 18 Februari ini.

Selain Asyraf, program itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu Pengarah Urusan Raudhatul Sakinah, Rosmawati Zainal dan wakil JAKIM, Mohamad Zarifi Mohamad Daud.
Lebih 1,000 penonton menghadiri program itu yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan (IPT), pelajar sekolah menengah dan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Mengulas lanjut mengenai elemen kasih sayang yang ditampilkan dalam sambutan Hari Kekasih, Muhammad Asyraf berkata, kasih sayang antara dua jantina berbeza bukan hanya menggunakan janji manis tetapi perlu diikat dengan satu akad yang menyimpulkan ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi.

"Perkahwinan bukan bertujuan menyusahkan hubungan sesama manusia tetapi ia bermatlamat menjadikan masyarakat yang stabil, aman dan harmoni.

"Untuk menunjukkan kasih sayang sesama manusia, kita bukan menunggu pada hari berkenaan tetapi ia boleh disemai setiap hari seperti yang dianjurkan oleh Islam," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz mahu lebih banyak program pendidikan diadakan bagi menyedarkan golongan muda mengenai percanggahan perbuatan menyambut Hari Kekasih dengan ajaran Islam.

"Program berbentuk pendidikan adalah lebih sesuai berbanding penguatkuasaan undang-undang kerana ia mampu meningkatkan kefahaman dan memberi kesan lebih baik dari segi jangka panjang," katanya.

Pemimpin dunia kagum revolusi rakyat Mesir

Posted: 12 Feb 2011 06:30 PM PST

Peralihan kuasa, proses demokrasi secara aman dipuji

PARIS: Pemimpin dunia memuji tindakan rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Hosni Mubarak dan menyifatkan ia sebagai kejayaan bersejarah untuk kuasa rakyat serta demokrasi, manakala China dan Russia berharap negara itu beroleh kestabilan, semalam.
Ucapan tahniah kepada rakyat Mesir mencurah-curah sebaik Mubarak menyerahkan kuasanya kepada pemimpin tentera selepas 18 hari bantahan dilakukan rakyat Mesir menentang pemerintahan kuku besinya selama 30 tahun.

Presiden Amerika Barack Obama berkata rakyat Mesir sudah bersuara dan ia boleh diselesaikan hanya dengan demokrasi yang sebenar.

Pasukan bersenjata kini perlu memastikan peralihan politik yang boleh diyakini rakyat Mesir, kata Obama yang turut memberi amaran mengenai cabaran hari-hari mendatang.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon memuji tindakan Mubarak yang tunduk kepada kehendak rakyat dan mengambil keputusan sukar demi rakyat Mesir.

Perdana Menteri Australia, Julia Gillard turut menyaran perubahan daripada peringkat asas bagi memastikan peluang dan kebebasan rakyat biasa Mesir dibuka.
China berharap peralihan kuasa itu akan mengembalikan kestabilan dan ketenteraman awam dengan akhbar berbahasa Inggeris China Daily memetik yang penunjuk perasaan antiMubarak menyebabkan kacau bilau.

Menteri Luar Russia turut menyarankan ke arah kestabilan.

"Kita harap dengan peristiwa terbaru ini dapat membantu mengekalkan kestabilan dan memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan urusan seperti biasa," katanya.

Bagi Israel yang juga sekutu damai Mesir, pegawai kerajaan berkata:
"Kita berharap peralihan kepada demokrasi ini akan dilakukan dengan sebaiknya untuk Mesir dan jirannya, Israel," katanya.

Pegawai itu turut menekankan keperluan untuk mempertahankan perjanjian 1979 di antara Mesir dan Israel, ditandatangani dua tahun sebelum Mubarak mengambil alih kepemimpinan.

Canselor Jerman Angela Merkel berharap Mesir dapat meneruskan keamanan di Asia Barat, dengan perjanjian yang dibuat dengan Israel dihormati dan keselamatan Israel dijamin.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan, yang juga penyumbang utama Mesir berkata: "Saya berharap kerajaan baru ini akan melahirkan demokrasi.

"Saya mahu Mesir terus memainkan peranan membina di Asia Barat,".

Dalam kenyataan bersama Ketua Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso, Ketua Polisi Luar Kesatuan Eropah (EU) Catherine Ashton dan Presiden EU Herman Van Rompuy, turut menyanjung semangat rakyat Mesir.

"Kami menyeru pihak tentera terus bertindak dengan penuh tanggungjawab dan memastikan perubahan demokrasi mengambil tempat dengan aman," kata mereka.

Presiden Perancis Nicolas Sarkozy turut memuji tindakan dan semangat Mubarak untuk berundur.

"Perancis menyeru semua rakyat Mesir berarak untuk kebebasan."

Perdana Menteri Britain David Cameron mengajak untuk membebaskan Mesir menerusi demokrasi, manakala Perdana Menteri Kanada Stephen Harper menekankan pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil serta menghormati hak asasi manusia termasuk golongan minoriti.

Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma memuji tindakan Mubarak yang berfikiran seperti pemimpin yang mengutamakan rakyat melebihi kepentingannya.

Gelombang kegembiraan melanda bandar Arab sebaik saja berita pengunduran Mubarak tersebar dengan orang ramai keluar di jalanan untuk meraikan berita gembira itu dari Gaza ke Beirut.

Dari Semenanjung Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri memuji kejayaan terhadap revolusi Mesir dengan sambutan bagi melahirkan kegembiraan diadakan di segenap penjuru kawasan itu. – AFP

Mubarak mahu hidup dalam buangan di Dubai

Posted: 12 Feb 2011 05:30 PM PST

Destinasi persaraan dipilih untuk elak pendakwaan

KAHERAH: Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak yang sekarang berada di pusat peranginan Sharm el-Sheikh selepas meletakkan jawatan atas desakan rakyat kelmarin, kemungkinan akan berhijrah ke Dubai.

Akhbar Britain, The Guardian melaporkan semalam perbincangan sudah diadakan di antara beberapa negara Arab dan Amerika Syarikat berhubung destinasi selanjutnya bagi Mubarak yang lari bersama keluarga ke pusat peranginan laut Merah Mesir ini, selepas melepaskan kuasa kepada tentera.

Satu isu penting bagi memilih destinasi 'persaraannya' ialah bagi memastikan bekas presiden itu akan menikmati kekebalan daripada dikenakan tindakan undang-undang di atas tuduhan menyebabkan 300 kematian ketika bantahan rakyat selama 18 hari dan salah guna kuasa oleh pasukan keselamatan.

Sebelum ini, Mubarak dilaporkan mungkin menuju ke Jerman tempat beliau berehat selama tiga minggu selepas menjalani pembedahan Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas naib presiden, Omar Suleiman Rabu lalu menafikan laporan itu dan pihak berkuasa di Jerman juga menafikannya.

Kemungkinan Mubarak bersara di Sharm el-Sheikh adalah sesuatu yang dijangkakan kerana beliau akan terdedah kepada kemungkinan diheret ke mahkamah di atas jenayah kemanusiaan dan rasuah.
Menurut akhbar al-Quds al-Arabi yang berpangkalan di London, isu kekayaan yang dihimpun Mubarak dan keluarganya turut akan menentukan destinasi persaraan bekas presiden yang memerintah hampir 30 tahun itu.

Pakar sebelum ini menganggarkan Mubarak dan keluarga berkemungkinan mempunyai harta £43.5 bilion (RM210 bilion) dengan kebanyakan di bank Britain dan Switzerland atau dilabur dalam hartanah di London, New York, Los Angeles dan pantai di pesisir Laut Merah.

Sementara itu, seorang pegawai lapangan terbang Kaherah, berkata pihaknya menerima senarai nama pegawai yang dikaitkan dengan rejim Mubarak yang tidak dibenarkan keluar negara.

Beliau enggan mendedahkan nama dalam senarai itu tetapi berkata bekas Menteri Penerangan, Anas el-Fiqqi menghantar begnya ke lapangan terbang tetapi tidak muncul untuk penerbangannya ke London, kemungkinan selepas mendengar namanya dalam senarai berkenaan.

"Senarai nama itu dikeluarkan mungkin untuk mengelak mereka yang berkuasa sebelum ini daripada lari daripada dikenakan sebarang tindakan," kata pegawai lapangan terbang itu.

Pihak tentera yang kini berkuasa semalam melonggarkan perintah berkurung yang dikenakan sejak 18 hari lalu dan mengenakan larangan terhadap pegawai dan bekas pegawai kerajaan daripada meninggalkan negara itu. – AP/Agensi

Hosni mungkin lari ke luar negara

Posted: 12 Feb 2011 05:00 PM PST

KAHERAH - Selepas Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai presiden Mesir, timbul spekulasi bahawa beliau akan melarikan diri ke luar negara, lapor beberapa buah akhbar dan laman web semalam.

Hosni, 82, kini dikatakan sedang bersembunyi di sebuah villa miliknya di pusat peranginan Sharm el-Sheikh, Mesir di Laut Merah selepas beliau meninggalkan Istana Presiden dengan menaiki helikopter kelmarin.

Menurut beberapa sumber diplomatik, antara lokasi yang mungkin menjadi pilihan Hosni dan keluarganya ialah Britain, Perancis, Arab Saudi atau Bahrain.

Isteri Hosni, Suzanne memegang pasport Britain manakala seorang anak lelakinya, Gamal memiliki sebuah rumah besar di Belgravia, London menjadikan Britain pilihan terbaik untuknya tinggal di luar Mesir.

Berbanding Arab Saudi, keluarga itu mungkin akan memilih negara Barat.

Perancis juga boleh menjadi lokasi pilihan buat Hosni. Bekas presiden itu mungkin memilih untuk tinggal di Paris kerana beliau pernah menghabiskan masa di sana sebelum pergi ke Heidelberg, Jerman untuk mendapatkan rawatan sakit belakangnya sebelum ini.

Sumber-sumber menyatakan Hosni juga mungkin memilih untuk tinggal di sebuah rumah di Bahrain.

Beliau dan pemerintah Bahrain, Sheikh Hamad Ibn Isal Al Khalifa merupakan rakan rapat.

Hosni dikatakan amat mempercayai Sheikh Hamad.

Arab Saudi merupakan antara destinasi yang mungkin menjadi tempat tinggal Hosni kerana bekas Presiden Tunisia yang meletakkan jawatan atas desakan rakyat, Zine El Abidine Ben Ali kini dikatakan tinggal di Jeddah, Arab Saudi pada 14 Januari lalu.

Sementara itu, punca Hosni meletakkan jawatan secara mengejut kelmarin disebabkan kata dua yang diberikan tentera kepadanya sama ada berundur atau berlaku satu rampasan kuasa, lapor akhbar Washington Post semalam.

Menurut akhbar itu, Hosni yang memerintah hampir 29 tahun enggan meletakkan jawatan pada Khamis lalu selepas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta memberitahu Jawatankuasa Perisikan Dewan AS bahawa terdapat petunjuk bahawa Hosni akan meletakkan jawatan.

Keengganan beliau meletakkan jawatan itu menimbulkan kemarahan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) pada Khamis lalu.

Pendedahan itu dibuat oleh seorang pegawai kanan, AS yang namanya tidak didedahkan.

Para pegawai tentera memberi kata dua kepada Hosni supaya meletakkan jawatan beberapa jam sebelum pengumuman peletakan jawatan tersebut diumumkan pada pukul 10 malam waktu tempatan kelmarin. Pengumuman itu dibuat beberapa jam sebelum Hosni meninggalkan Istana Presiden di sini untuk menuju ke pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah bersama beberapa anggota keluarganya.

Ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir di sini dikatakan tahu bahawa Hosni menerima arahan daripada AS supaya beliau meletakkan jawatan.

Sementara itu, warga Mesir semalam masih meraikan perletakan jawatan Hosni yang menyerahkan kuasa pentadbiran negara kepada tentera dengan menangis kegembiraan, melompat, menjerit, menari serta berpelukan antara satu sama lain.

Malah, ada juga yang berdiri tegak tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Kaherah juga meriah dengan letupan mercun, bunyi hon kereta dan tembakan yang dilepaskan ke udara.

"Rakyat telah menumbangkan rejim. Ini merupakan hari paling gembira dalam generasi saya," kata seorang penunjuk perasaan, Ali al-Tayab.

Di istana presiden, orang ramai menunjukkan tanda V yang membawa maksud kemenangan dan menjerit: "Bergembiralah rakyat Mesir. Hari ini ialah hari perayaan. Dia sudah meletakkan jawatan."

Sejumlah penunjuk perasaan juga dilihat membersihkan Dataran Tahrir di Kaherah daripada sampah sarap dan bangkai kereta yang terbakar setelah ia menjadi tempat perhimpunan penunjuk perasaan sejak 25 Januari lalu.

Para penunjuk perasaan menuntut Hosni meletakkan jawatan kerana pemerintahannya yang menindas kebebasan bersuara selain tidak membawa kemakmuran ekonomi kepada ramai penduduk yang masih miskin di Mesir. - Agensi

Tiada ulasan: