Selasa, 22 Februari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Maut Dipanah Petir

Posted: 22 Feb 2011 12:45 AM PST

Teluk Intan: "Ketika itu bot kami hampir tiba di jeti, seketika saya ternampak cahaya terang memancar dari jauh sebelum terdengar dentuman kuat menyebabkan saya dan arwah rebah," kata Mohd Fadli Yunus, 22, anak saudara kepada Yahya Mokdar, 59, yang maut dipanah petir ketika pulang memancing udang galah, petang kelmarin.

YAHYA bersama udang galah yang dipancing baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang berhampiran jeti Kampung Sungai Jelawat, Sungai Perak, Yahya maut di tempat kejadian manakala, Mohd Fadli cedera ringan dan dirawat di Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan susulan.

Sebelum kejadian, arwah bersama Mohd Fadli dan seorang lagi rakan, Sofian Saroji, 33, keluar memancing udang galah di Sungai Perak seawal jam 7 pagi.

"Sebaik dentuman itu, saya rebah tidak sedarkan diri dan tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa bapa saudara saya. Itu kali pertama arwah mengikut kami memancing udang galah," katanya.

Sofian berkata, mereka membuat keputusan pulang selepas mendapati cuaca tidak mengizinkan.

Katanya, melihat arwah dan Mohd Fadli rebah tidak sedarkan diri menyebabkannya panik.

"Saya cuba mengejutkan arwah, namun tiada reaksi sebelum mendapati Mohd Fadli menunjuk tindak balas. Ketika itu, saya terasa bahang dan sakit sebahagian badan termasuk kebas di tangan dan kaki.

"Risau sesuatu yang buruk berlaku, saya membawa sampan ke jeti dan meminta pertolongan daripada pemilik bot sebelum menghubungi pihak ambulans," katanya.

Katanya, arwah disahkan meninggal dunia ketika tiba HTI manakala Mohd Fadli pula dimasukkan ke hospital sama untuk rawatan susulan.

Sofian berkata, arwah tidak banyak bercakap ketika memancing dan membawa pulang dua kilogram hasil udang ditangkap bersama.

Isteri mangsa, Siti Rafingah Abd Wahab, 56, berkata, arwah sempat minum kopi sebelum keluar rumah untuk memancing kelmarin.

Katanya, arwah sebenarnya bukan seorang kaki pancing kerana banyak menghabiskan masa di sawah yang diusahakan.

"Dia (arwah) mengikut Mohd Fadli memancing kerana tiada sebarang aktiviti di bendang pada hari itu," katanya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika dihubungi mengesahkan mangsa maut akibat dipanah petir. -hm

PAS Buat Laporan Polis: UMNO BN Peralatkan Politeknik Merlimau

Posted: 22 Feb 2011 12:00 AM PST

PAS mahu pengarah Politeknik Merlimau disiasat

PAS Jasin membuat laporan polis berhubung tindakan BN dan Umno yang didakwa menjadikan Politeknik Merlimau sebagai bilik gerakannya dengan menjalankan program untuk kempen pilihan raya kecil di DUN Merlimau.

Laporan dibuat kira-kira jam 10.30 pagi tadi oleh Yang Dipertua PAS Jasin, Mejar (B) Jasme Tompang di Balai Polis Merlimau.

Menurut Jasme, PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dianggap tidak bertamadun oleh Umno dan BN, sekali gus mahu parti itu menghentikan segera semua program yang berjalan atau akan dijalankan di situ.

Dakwanya, tindakan itu tidak adil kepada PAS dan Pakatan Rakyat yang tidak dibenarkan menggunakannya.

NONE"Kami mahu pihak berkuasa menyiasat sekiranya wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ke atas Pengarah Politeknik Merlimau, Dr Arshad Kassim yang membenarkan program Umno dan BN diadakan di situ.

"Para pelajar juga terganggu dari segi emosi, pembelajaran, keselamatan dan sebagainya disebabkan kehadiran ramai orang yang tidak dikenali bebas keluar masuk ke dalam kawasan politeknik itu," laporan polis itu dipetik.

Turut mengiringinya ADUN Banda Hilir, Khoo Poay Tiong, Ketua Dewan Pemuda PAS Jasin, Aminuddin Jalil, Ketua Dewan Muslimat PAS Jasin, Shapiah Ahmad dan beberapa ahli jawatankuasa (AJK) PAS Jasin.

Ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Merlimau, Jasme berkata, antara program yang dijalankan Umno dan BN adalah pelancaran jentera pilihan raya BN (24 Januari) oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan program suai-kenal bapa angkat dengan AJK peti undi BN Merlimau.

"Umno dan BN juga menyalahgunakan lokasi berkenaan berikutan mengadakan majlis jamuan dan Tahun Baru Cina bersama Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 19 Februari lalu.

"Jelas penyalahgunaan berlaku apabila mereka mengadakan kursus untuk memenangi DUN Merlimau kepada petugas Umno dan BN pada 20 Februari lalu dan terbaru, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengadakan pertemuan dengan Pengerusi dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri Melaka," katanya.

Katanya, memandangkan Politeknik itu digunakan sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan undi pada dalam pilihan raya 6 Mac nanti, Jasme mendakwa ia memberikan kelebihan kepada BN untuk "memanipulasi serta peluang mensabotaj PAS". -mk


Kes Hakim Berkhalwat : 22 Mac Keputusan Pindah Perbicaraan

Posted: 21 Feb 2011 11:00 PM PST

George Town — Hakim Mahkamah Rendah Syariah Pulau Pinang Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 22 Mac bagi membuat keputusan permohonan memindahkan perbicaraan kes khalwat hakim syarie dan pasangannya ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Nik Bukhari Hashimy membuat keputusan itu setelah menimbangkan bahawa pihak pendakwaan perlu meneliti bantahan bertulis daripada pihak pembelaan yang baru difailkan hari ini kerana menolak permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan perbicaraan kes itu.

Pada prosiding lepas pihak pendakwaan, yang diwakili Ketua Pendakwa Syariah Zulhairi Aziz, membuat permohonan supaya perbicaraan kes khalwat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang Adam Tumiran, 43, dan pasangannya Nurul Izani Md Isa, 34, dipindahkan dari Mahkamah Rendah Syariah ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Adam dan Nurul Izani, yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur, dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Dis 2010 pukul 2.05 pagi di rumah nombor 18B, Kuarters Kerajaan Negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.

Adam dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang manakala Nurul Izani dituduh mengikut Seksyen 27 (b) enakmen sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga membenarkan jaminan kedua-dua tertuduh dilanjutkan. Adam dan Nurul Izani diwakili peguam bela Munawir Abdul Aziz. — Bernama

Pasangan Ditangkap Di Bawah Katil

Posted: 21 Feb 2011 10:30 PM PST

Nibong Stesen – Jarak umur tidak menghalang niat seorang janda menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelaki yang usianya jauh lebih muda.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermoral membabitkan wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan lelaki masih belasan tahun di sebuah rumah Jalan Nibong Stesen itu terbongkar berikutan serbuan pihak berkuasa syariah sebaik menerima aduan orang ramai.

Akhirnya, berdasarkan bukti yang boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah syariah, kedua-dua pasangan yang tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 29, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001, kerana perbuatan sebagai persediaan melakukan persetubuhan luar nikah.

Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan Pendakwaraya Syarie, Azmi Tengah, ketika serbuan dilakukan di rumah terbabit kira-kira jam 9 pagi, 4 Julai tahun lalu, pintu dibuka oleh seorang wanita (tertuduh wanita) dikenali dengan Hidayah (bukan nama sebenar).

Pemeriksaan lanjut menemui seorang lelaki, Syafuddin (bukan nama sebenar) dalam keadaan bogel sedang bersembunyi di bawah katil.

Setelah mendengar rayuan tertuduh wanita dan mengambil kira hujah pendakwaraya, Hakim Syarie, Shamsudin Ngah akhirnya menjatuhkan hukuman denda RM2,800 atau tiga bulan penjara ke atas Hidayah sebagai pengajaran atas kesalahan dilakukan.

Pasangannya yang berasal dari Jalan Sekolah Pusat itu bagaimanapun gagal hadir dan satu perintah waran tangkap dikeluarkan ke atasnya sementara menunggu kesnya disebut semula pada 18 April nanti. -SH

Muallaf Wanita Terpaksa Solat Secara Sorok-sorok

Posted: 21 Feb 2011 09:29 PM PST

Kuala Lumpur: Seorang wanita mualaf mendakwa bekas suami tidak membimbingnya menjadi Muslim yang baik sepanjang lima tahun perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Gambar fail: Audrey Amira keluar dari mahkamah mendukung anaknya Alya Natasha

Menurut Audrey Amira Goon Abdullah, 34, bekas suaminya, Ablen Rosmon Gamid, 35, dan ahli keluarganya juga tidak mengamalkan ajaran Islam dengan baik.

Katanya, sepanjang tinggal dengan mentua, tidak pernah lihat mereka menunaikan solat dan solat Jumaat selain turut percaya perkara syirik.

Bekas suaminya juga pernah menceritakan pernah minum arak dan ke kelab malam ketika ke luar negara.

"Saya terpaksa solat secara sorok-sorok kerana tidak mahu diketahui ahli keluarga mentua sebab takut dikatakan berlagak.

"Sekali-sekala adik bekas suaminya juga membawa pulang kawan perempuannya dan tidur bersama satu bilik dalam pengetahuan ibu bapa mentua," jelasnya yang turut mengakui pernah tidur bersama bekas suaminya di rumah sama sebelum berkahwin.

Pengurus Kanan Korporat Kewangan itu berkata demikian ketika memberi keterangan berhubung tuntutan hak penjagaan anak Alya Natasha, 5, daripada bekas suaminya. -hm

Anak Ayah Pin Cemerlang Dalam Pelajaran

Posted: 21 Feb 2011 08:36 PM PST

Jertih: "Saya tidak tertekan dengan kisah ayah yang menjadi tumpuan rakyat negara ini, sebaliknya ia membakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran," kata Mohd Khairul Adhar Arifin, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Hulu Besut, yang memperoleh 4A, sekali gus menjadi antara 12 pelajar cemerlang STPM Terengganu 2010.

Gambar: MOHD KHAIRUL menunjukkan slip keputusan peperiksaan STPM diterimanya, semalam.

Mohd Khairul berkata, sejak ayahnya yang lebih dikenali masyarakat sebagai Ayah Pin, meninggalkan ibunya Che Jaharah Awang, 52, di Kampung Batu 13, Hulu Besut, melarikan diri daripada pihak berkuasa kerana menyebarkan ajaran sesat, dia bertekad berjaya dalam pelajaran bagi membalas jasa ibunya.

Beliau yang mendapat A dalam subjek Pengajian Am, Bahasa Malaysia, Sastera dan Seni Visual berkata, hanya mengetahui mendapat keputusan cemerlang selepas dihubungi guru sekolahnya dan berhasrat memasuki pusat pengajian tinggi untuk merealisasikan cita-citanya menjadi guru.

"Saya datang ke sekolah hari ini (semalam) selepas menerima panggilan guru untuk menerima slip keputusan STPM," katanya ditemui selepas menerima keputusan STPM daripada Ketua Penolong Pengarah Akademik (Bahasa) Jabatan Pendidikan Terengganu, Che Soh Muda di sekolah itu semalam.

Selain Mohd Khairul, seorang lagi pelajar sekolah itu yang mendapat 4A ialah Nor Masrina Masri, 18, tetapi tidak dapat hadir ke sekolah kerana bekerja sementara di klinik swasta di Kuala Lumpur. -BH

Ulasan GB

GB berharap berita di atas diterima sebagai satu berita semata-mata. Bukan bertujuan untuk mempromosi ajaran Ayah Pin.

Jangan pula selepas ini ramai ibubapa berpusu-pusu nak cari Ayah Pin untuk menuntut ilmunya sehingga mendapat anak yang pandai.

Moralnya, sesiapa pun, tak kira anak penoreh, anak penyapu sampah, anak menteri, malah anak orang sesat seperti Ayah Pin pun, jika rajin belajar akan memperolehi kejayaan.

Peragut Maut Tercampak Dan Tertonggeng Dalam Longkang

Posted: 21 Feb 2011 07:15 PM PST

Ampang: Seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang ketika itu nekad mengejar penjenayah terbabit di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai di sini, semalam.

Tindakan berani arkitek wanita berusia 28 tahun yang juga anak bekas pegawai polis itu membuatkan dua lelaki terbabit panik sehingga mereka masuk ke laluan jalan mati di taman berkenaan sebelum berpatah balik dan merempuh kereta mangsa yang mengejar mereka.

Akibatnya, kedua-dua lelaki terbabit terpelanting ke longkang menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian selepas kerandut zakarnya pecah, manakala rakannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi ketika mangsa sedang bersiap ke tempat kerja dan sejurus keluar dari kereta untuk menutup pintu pagar, dua lelaki terbabit meragut beg tangannya yang diletak di tempat duduk hadapan.

Mangsa cuba melawan, tetapi dia ditendang sehingga terjatuh.

Sebaik melihat mangsa terjatuh, kedua-dua lelaki terbabit melarikan diri, namun mangsa yang berang mengejar suspek.

Mangsa yang sudah biasa dengan laluan di kawasan itu memberhentikan keretanya di persimpangan jalan kira-kira 200 meter dari rumahnya selepas melihat lelaki terbabit melalui jalan mati.

Ketika itulah, lelaki yang panik berpatah balik dan memecut laju motosikal berikutan laluan terbabit agak berbukit sebelum mereka merempuh kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan suspek terpelanting dan tercampak ke longkang.

"Kedua-dua suspek berkenaan warga Indonesia dan lelaki yang mati itu berusia 35 tahun manakala rakannya yang parah berusia 24 tahun.

"Siasatan polis mendapati, suspek menggunakan motosikal curi dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun dan Seksyen 41 (1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Mahyudin Zakaria, 59, berkata, dia hanya menyedari anaknya diragut apabila terdengar jeritan di luar rumah.

Katanya, dia yang bimbang sesuatu berlaku ke atas anaknya bergegas ke luar rumah dan melihat anaknya tergesa-gesa menaiki kereta lalu mengejar lelaki terbabit.

"Saya mengekori anak dengan menaiki kereta kerana bimbang keselamatannya.

"Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, saya melihat suspek sudah berada di dalam longkang dan mengalami kecederaan parah akibat merempuh kereta anak yang berhenti di simpang jalan," katanya. -hm



KEMEK...keadaan kereta mangsa.


PECAH...motosikal dinaiki kedua-dua penjenayah.


ANGKAT...anggota bomba dan paramedik mengangkat suspek.


MANGSA...Amiruddin (kiri) berbincang dengan mangsa ragut, semalam.


Ibu Minta Anak Mati Di Lokap Disiasat & Sikap Polis Yang Biadab

Posted: 21 Feb 2011 06:00 PM PST

Kuala Lumpur: "Saya mahu polis menyiasat semula punca kematian anak saya demi keadilan," kata ibu kepada Hairul Amri Aliyas, 26, yang meninggal dunia dalam lokap di Balai Polis Kuala Selangor.

Zaleha Bahari, 48, mendakwa kesal tindakan polis yang seolah-olah 'menyembunyikan' punca sebenar kematian anak lelakinya itu, awal pagi 17 Februari lalu.

Dia yang hadir menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini, semalam memberitahu dia hanya dimaklumkan mengenai kematian anaknya selepas dua anggota polis datang ke rumahnya.

Zaleha berkata, anaknya ditahan dua anggota polis yang datang ke rumahnya di Kampung Baru Sungai Buluh, Jeram pada 11 Februari lalu kerana dituduh mencuri di sebuah pasar raya, kira-kira jam 9.30 malam.

"Dia direman di Balai Polis Kuala Selangor selama tujuh hari.

"Selepas tiga hari ditahan, anak saya mengadu sakit perut dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang (HTK) untuk rawatan. "Sebaik dirawat, dia dibawa pulang ke lokap semula. Ketika itu, saya dibenarkan melihatnya.

"Sehari sebelum meninggal dunia, dia dibawa sekali lagi ke HTK kerana sakit perut dan diberi rawatan sebagai pesakit luar.

"Anak saya meninggal dunia kira-kira jam 4.30 pagi keesokan harinya dalam lokap," katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, semalam.

Zaleha berkata, hasil bedah siasat menyatakan punca kematian anaknya kerana ulser namun banyak terdapat kesan lebam pada badan dan bahunya.

Berikutan itu, dia mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam bagi membela kematian anaknya yang dianggap misteri.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya sudah menubuhkan badan khas untuk menyiasat kes itu dan berharap polis menjalankan siasatan semula bagi membela keadilan.

Ulasan GB

GB geram kalau menemui pegawai-pegawai penjawat awam yang bercakap dengan tangannya di pinggang atau di kocek.

Semacam awak seorang sajalah yang "berpangkat besar" dalam dunia ini.

Kelmarin kita siarkan seorang ketua pengawal bercekak pinggang sambil sebelah tangannya menutup mulut seorang mahasiswa. Kini seorang anggota polis menyeluk tangannya ke dalam saku sewaktu bercakap dengan orang awam.

Sikap pegawai polis berkenaan yang tidak berdisiplin dan tidak menghormati orang awam sangat-sangat dikesali. Ia tidak beretika dan menampakkan polis berkenaan cuba untuk menunjukkan dia paling berkuasa atas dunia.

Jika GB ada di tempat tersebut, perkara pertama GB akan tegur ialah "keluarkan tangan anda dari kocek anda" dan hormati rakyat yang membayar gaji anda!


Laporan Pilihanraya Kampus: Pro-M Menang Di UM & UKM, Tewas Di UPM & UTM

Posted: 21 Feb 2011 04:50 PM PST

Semalam Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya memenangi pilihan raya kampus universiti itu. Mereka menyapu bersih semua 9 kerusi umum dan mendapat 14 kerusi fakulti.

Lawan mereka hanya berjaya mendapat 16 kerusi fakulti. Manakala calon bebas menang dua kerusi fakulti.

Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) juga menang di UKM. Mereka mmenangi 23 dari 37 kerusi yang dipertandingkan pada pilihanraya kampus (PRK) 2011.

Menurut keputusan yang dimaklumkan Ketua Jentera Pro Mahasiswa UKM, Mohammad Ismail Aminuddin, sehingga jam 12 tengah malam tadi, jentera Pro-M menang kesemua lima kerusi umum bagi tahun tiga dan empat. Sementara bagi kerusi umum tahun satu dan dua, Pro-M menang dua kerusi dari tujuh yang dipertandingkan.

Ismail menjelaskan, pihaknya kini sedang mengemukakan bantahan rasmi berhubung tindakan berat sebelah pengerusi jawatankuasa pelaksana majlis pemilihan perwakilan pelajar, Musa Zainal yang membenarkan dua orang calon Pro Aspirasi bertanding, walaupun tidak layak bagi PRK ini.

"Ini kerana syarat utama untuk bertanding ialah setiap calon diwajibkan menghadiri bengkel pilihanraya. Dalam kes ini, calon dua Pro M tidak dibenarkan bertanding. Tetapi untuk calon Pro Aspirasi, mereka dibenarkan," kata Ismail.

Sementara itu, keputusan tidak rasmi di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Pro-Aspirasi terus berkuasa.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan.

Daripada jumlah 11 kerusi itu, 2 adalah kerusi umum, 8 kerusi fakulti manakala sebuah kerusi siswazah lanjutan.

Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi.

Di UTM pula, daripada keputusan yang diumumkan tengah malam ini, pro-A menang dengan mendapat 38 daripada 56 kerusi, lapor malaysiakini.

Pro-M mendapat 12 kerusi dan bebas 5. Satu kerusi tidak diketahui cenderung kepada pasukan mana.

Melepas tengah malam, pengiraan undi di USM masih berjalan.

Gambar ehsan NST




Pelik, Air Mani Saiful Ditemui Di Duburnya Sendiri

Posted: 21 Feb 2011 04:02 PM PST

Peguam Anwar dakwa air mani Saiful dikesan di dubur sendiri

Prosiding kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini "dikejutkan" dengan dakwaan peguamnya bahawa salah satu profil DNA dikesan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik pengadu dan saksi utama itu sendiri.

Ramkarpal Singh, salah seorang peguam Anwar berhujah, penemuan laporan kimia menunjukkan air mani yang ditemui pada bahagian rektal sebenarnya adalah milik Saiful (gambar) memandangkan profil DNA "12, 13" adalah lebih dominan berbanding profil DNA "Lelaki Y".

"Saya mengesyorkan kepada anda profil dalam B8 adalah milik Saiful, oleh itu (ia) boleh ditafsirkan bahawa air mani yang dikesan di bahagian duburnya sendiri," kata Ramkarpal di mahkamah hari ini.

Bagaimanapun Dr Seah menafikan perkara itu sambil berkata terdapat dua bentuk kesan di bahagian rektal iaitu sperma dan bukan sperma.

Profil DNA Saiful, menurut Dr Seah, tergolong dalam kategori pertama.

"Ya, meskipun profil DNA Saiful '12, 13' dikategorikan di bawah pati bukan sperma, di mana Dr Seah tidak dijawab ialah DNAnya sendiri juga ditemui pada kesan sperma B8.

"DNA Saiful bukannya penyumbang utama dalam kes ini, tetapi ia juga dikesan dalam kedua-dua ekstrak,"
kata seorang lagi penguam Anwar, Sankara Nair kepada The Malaysian Insider kemudian.

Terdahulu pagi tadi, peguam-peguam Anwar meneruskan pemeriksaan balas ke atas Dr Seah dengan meminta beliau mengulas mengenai kesahihan laporan kimia.

"Anda mempunyai situasi di mana pancutan (air mani) ke dalam dubur adalah 56 jam sebelum laporan (dibuat). Adakah anda menduga untuk melihat kemerosotan kualiti sperma dan DNA?" soal Ramkarpal.

Menjawab soalan itu, Dr Seah berkata, tidak perlu mengambil langkah-langkah tambahan untuk menentukan kemerosotan kualiti meskipun air mani berada dalam dubur selama 56 jam. -TMI

Ulasan GB

Apa yang rakyat tertanya-tanya semalam ialah:

Jika benar ada seperma di dubur Saiful, apakah "pakar" berkenaan tersilap di dalam analisa DNAnya atau pencalit sperma tersalah calit sampel atau skrip Pendakwa Raya sendiri yang tersilap?

[Bergambar & Video] Kisah Seorang Padri Katolik Peluk Islam

Posted: 21 Feb 2011 02:46 PM PST

Bukan saya yang mencari Islam, Islam yang menemukan saya," kata Idris Tawfiq. Ia berucap di hadapan para ahli akademik dan keluarga besar Universiti Cambridge. Di perguruan tinggi ini sedang berlansung acara tahunan Experience Islam Week, satu acara untuk pengenalan Islam dan toleransi.

Ia mengaku, tak ada masalah dengan masa lalunya. "Saya mencintai pekerjaan dan masa lalu saya, namun hati saya seperti dipandu memilih Islam," katanya. "Setelah menjadi Muslim, saya menemukan kedamaian yang tak pernah saya temukan sebelumnya."

Menurutnya, keputusannya memilih Islam adalah keputusan terbesar dalam hidupnya. Ia masih melakukan pelayanan, ketika kemudian hatinya berbicara lain. Sampai suatu ketika, timbul keberanian untuk menyatakan behenti dan letak jawatan (sebagai paderi). "Saya merasa sendirian setelah itu," katanya.

Pertama kali, ia menyatakan berhenti menjadi paderi. Namun, ia tetap memegang kayakinan lamanya, sambil terus belajar Islam. "Saya tidak bermaksud mengubah iman saya itu bukan bahagian dari rencana saya sama sekali," katanya.

Ia menyatakan, tinggal dan besar di Britain selama 40 tahun, ia punya pandangan stereotip tentang Muslim. Tapi saat menghabiskan cutinya di Mesir, ia bertemu dan berteman dengan banyak orang Muslim, dan mengatakan bahwa ia mulai menyadari persepsi tentang keyakinan Islam. "Keyakinan lama saya perlahan luntur, dan Islam menjadi lebih menarik perhatian saya," katanya.

Menurutnya, ajaran Islam sebenarnya sangat indah. "tak benar Islam mengajarkan kekerasan. "Jika anda menyelami ajaran Islam, anda akan menemukan ajaran agama ini benar-benar sangat indah, sangat lembut, dan manis," katanya.

Ia menyarankan satu hal bagi mereka yang tengah belajar Islam. "Sebelum anda membuah keputusan, tarik nafas dalam-dalam dan dengarkan apa kata Islam. Kemudian, penahi pola pikir anda," katanya.

Ketika ini, Tawfiq memutuskan untuk tinggal di Mesir. Ia mengaku tak mudah dengan perubahan politik di negeri itu. "Satu hal yang diajarkan Islam adalah, jangan pernah terkejut dengan apapun yang datang dalam kehidupan kita. Di Mesir, semua terbukti. Siapa yang menduga hanya dalam tiga minggu penzalim yang 30 tahun lebih berkuasa boleh tumbang," katanya.









Siapa Padam Mesej SMS Pada Telefon Bimbit Teoh?

Posted: 21 Feb 2011 07:12 AM PST

Kes Teoh: Suruhanjaya arah analisis SMS telefon Teoh

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock hari ini memutuskan untuk menyerahkan telefon bimbit dan kad sim milik setiausaha politik exco Selangor itu kepada penyiasat persendirian bagi siasatan lanjut.

Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen, yang mempengerusikan suruhanjaya itu, turut meminta beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) berbahasa Cina diterjemah bagi mengetahui isi kandungannya.

Beliau pada awalnya kelihatan terkejut dengan penjelasan pegawai pengendali, Timbalan Pendakwa Raya Kwan Li Sa bahawa sebelum ini (prosiding inkues), tiada pihak yang meminta penjelasan mengenai isi kandungan SMS itu walaupun terdapat beberapa data penting.

Penyerahan telefon dan kad sim itu juga bertujuan mendapatkan data penting lain termasuk bila ia dimatikan dan dihidupkan kembali kerana timbul persoalan siapa yang membuka dan membaca SMS Teoh selepas beliau meninggal dunia.

Pendedahan mengenai SMS itu ditimbulkan oleh peguam mewakili Majlis Peguam Christopher Leong yang mendapati rekod SMS milik Teoh telah dibaca pada 16 Julai 2009 dan seseorang berkemungkinan bertindak mematikan telefon bimbit selepas itu kerana SMS pada 17 Julai 2009 masih berstatus ''unread'' (belum dibaca).


Selain itu, suruhanjaya itu juga memerlukan maklumat lebih terperinci mengenai data yang telah dipadamkan daripada telefon itu kerana sehingga kini pihak forensik yang menyiasat telefon tersebut gagal memperoleh sebarang maklumat.

Dalam prosiding hari ini, pegawai penyiasat Seksyen Jenayah Komputer Inspektor Mohd Zaidi Abu Hassan memberitahu bahawa beliau gagal mendapatkan maklumat yang dibangkitkan suruhanjaya kerana peralatan yang digunakan di makmal polis tidak dapat mengesannya.

Bagaimanapun beliau mengesahkan bahawa telefon bimbit Teoh berada dalam keadaan ''off'' ketika menerimanya untuk siasatan dan tiada sebarang kata kunci untuk membukanya.

Pada prosiding inkues lepas seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu bahawa telefon Teoh telah diserahkan kepada Teoh sejurus selesai sesi merakam percakapannya dan seorang pegawai SPRM menjumpai telefon itu bersama dengan beg sandangnya di atas sofa.

Ekoran gagal menemui Teoh, pegawai SPRM terbabit bertindak menyimpannya sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Sementara itu, pegawai penyiasat DSP Sharul Othman Mansor yang turut memberi keterangan berkata beliau memeriksa tempat kejadian untuk kali kedua kerana mendapat arahan daripada pihak atasan yang tidak berpuas hati dengan siasatan sebelum itu.

Katanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh telah memintanya melakukan siasatan di beberapa tempat termasuk di meja Ping Pong dan pantr Tingkat 14 di Pejabat SPRM tetapi tiada sebarang kesan ditemui.

Mengenai kesan tapak kasut yang dijumpai di bawah bingkai tingkap, Sharul berkata beliau tidak dapat mengesahkan saiz kasut yang digunakan kerana ia samar-samar.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya ini juga dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lepas, antara lain bagi menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat ''keputusan terbuka'' berhubung kes itu.

Prosiding disambung esok. – Bernama

Masturah, Calon Yang Hilang Menang Pilihanraya Kampus

Posted: 21 Feb 2011 05:45 AM PST

Kumpulan Pro Mahasiswa (Pro-M) Universiti Malaya (UM) termasuk calon yang hilang Masturah Abu Bakar memenangi pilihan raya kampus universiti yang diumumkan lewat petang ini.

Dalam keputusan yang diumum tadi, Pro-M memperoleh 23 kerusi termasuk kesemua sembilan kerusi umum manakala barisan Pro Aspirasi yang menguasai 16 kerusi dan dua lagi oleh 'calon' Bebas.

Sebanyak 41 kerusi termasuk sembilan umum dipertandingkan kali ini.

Keputusan pengundian yang dijalankan menggunakan sistem elektronik diumumkan pada pukul 6 petang tadi.

Masturah dilaporkan hilang kira-kira 30 jam sejak petang kelmarin, ditemui selamat tengah malam tadi.

Pelajar jurusan syariah dan sains politik Islam memenangi kerusi umum.

Dia dikatakan hilang ketika berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam di sini, yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM. -TMI


Punca kehilangan Masturah masih misteri

Punca kehilangan calon umum Pro-Mahasiswa (pro-M), Masturah Abu Bakar terus menjadi misteri apabila dia tidak mahu menjawab soalan wartawan mengenai apa yang telah berlaku terhadapnya ketika dia dilaporkan hilang kelmarin.

Sebaliknya, dia hanya menunjukkan isyarat tangan yang dia tidak mengulas apa-apa mengenai kejadian itu.

Masturah kelihatan tenang, tetapi diam sepanjang sidang akhbar yang diadakan di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya petang ini.

Bagaimanapun, ketika itu kedengaran seseorang yang berdiri di belakang ibunya - Mariam Abdul Rashid - berkata dia (Masturah) tidak sedar apa yang berlaku.

Selepas itu, ibunya mencelah: "Kita serahlah kepada polis untuk menyiasat siapa yang bertanggungjawab dan sebab-sebabnya. Polis bekerjasama dan melakukan siasatan selanjutnya."

Mariam menambah, polis telah merakamkanya kenyataan anak ketiganya itu.

Kelmarin, rakannya telah membuat laporan polis selepas Masturah hilang ketika berkempen untuk pilihan raya kampus UM.

Dia bagaimanapun ditemui di sebuah masjid di Bangi kira-kira jam 12.30 malam tadi.

Sementara itu, ketika bercakap dalam sidang akhbar tersebut, Marian menyifatkan kehilangan Masturah sebagai satu perkara yang tragis kepada keluarganya

Hadir sama dalam sidang akhbar pada jam 2.20 petang ini ialah bapanya - Abu Bakar Din - serta empat sepupunya yang bertubuh sasa dan berkaca mata hitam, difahamkan menjadi pengawalnya.

Masturah hanya berdiam diri sepanjang sidang akhbar tersebut.

"Saya tidak menyangka kerana anak saya ini, adalah seorang yang baik sejak kecil hingga sekarang.

"Saya harap kehilangannya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak. Kehilangan anak saya ini, ada pihak yang bertanggungjawab melakukannya," tambah Mariam.

Ditanya mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap kehilangannya anaknya itu, Mariam berkata:

"Kita tidak mengesyaki sesiapa, saya bercakap secara umum dan kebetulan ia berlaku dalam suasana kempen pilihan raya kampus.

"Saya tidak tuduh mana-mana pihak kerana ia berlaku dalam kesibukan kempen pilihan raya kampus," katanya.

Mariam bagaimanapun, kesal kerana kehilangan anaknya itu dilaporkan oleh kawan-kawannya tetapi bukan pihak universiti.

Bagaimanapun, katanya, timbalan naib canselor UM ada menghubunginya.

Ketika wartawan bertanya Masturah sama ada beliau sedar apa yang berlaku, ibunya terus mencelah dengan berkata:

"Kita tidak tahu. Suasana masih baru bagi dia. Jadi, tidak adil kita menekan dia, (dengan) menanyakan apa yang berlaku.

"Sebagai keluarga saya memberi ruang dan tempoh untuk berehat. Nanti dalam tempoh yang baik, selepas pulih, kita mungkin akan dapat maklumat," katanya.

Mariam berkata, Masturah menelefonnya tengah malam tadi, sambil menangis, dengan menggunakan telefon yang dipinjam dari seorang peniaga dekat masjid tersebut.

Selepas itu, kata Mariam, beliau bercakap dengan pemilik telefon tersebut untuk mengetahui lokasi Masturah ketika itu, sebelum bergegas ke sana.

Mengenai spekulasi yang Masturah kemungkinan ada kaitan dengan 'makhluk halus' Mariam berkata: "Saya tidak tahu, tetapi yang penting ada orang bawa dia. Saya minta rujuk kepada polis." -mk


Laporan Pilihanraya Kampus: Pro-M Menang Di UM, Tumbang Di UPM Berdemo Di UKM

Posted: 21 Feb 2011 04:35 AM PST

Pro-M menang di UM

Kumpulan pro-Mahasiswa Universiti Malaya memenangi pilihan raya kampus universiti itu hari ini.

Mereka menyapu bersih semua 9 kerusi umum dan mendapat 14 kerusi fakulti.

Lawan mereka hanya berjaya mendapat 16 kerusi fakulti.

Manakala calon bebas menang dua kerusi fakulti.

Keputusan diumumkan pada jam 6 petang tadi. Manakala tempoh bantahan ditetapkan sehingga jam 8 malam ini.

Bantahan tersebut akan diteliti esok dan keputusannya akan diumumkan lusa.

UPM: Pro-M tumbang

Sementara itu, keputusan tidak rasmi di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan Pro-Aspirasi terus berkuasa.

Kumpulan Pro-Mahasiswa hanya berjaya mendapatkan 12 kerusi daripada 44 yang dipertandingkan.

Daripada jumlah 11 kerusi itu, 2 adalah kerusi umum, 8 kerusi fakulti manakala sebuah kerusi siswazah lanjutan.

Pro-Aspirasi pula mendapat 31 kerusi. -mk



Gagal isytihar kelayakan calon Pro-A, Pro-M UKM berdemo

Pro-M UKM bantah berhubung kelayakan calon Pro-A bagi kerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan.

PETALING JAYA: Pilihan raya kampus di lima buah universiti masih berlangsung hari ini dengan kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) dan

Pro-Aspirasi (Pro-A) masing-masing bersaing sengit dalam merebut jawatan yang dipertandingkan.

Antara universiti itu termasuklah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Namun menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima FMT lewat petang ini mengatakan mahasiswa Pro-Mahasiswa UKM akan mengadakan demonstrasi dihadapan Pusat Penjumlahan Undi universiti terbabit.

SMS yang diterima daripada Ahli Majlis Tertinggi Pro-M UKM, Hilman Idham menyatakan demonstrasi itu akan diadakan jam 8 malam ketika penjumlahan undi diadakan.

Demonstrasi itu berikutan bantahan bertulis pihak Pro-M UKM berhubung kelayakan calon Pro -A bagi kerusi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan pagi tadi.

Menurut jurucakap Pro-M, Faiz Ismail ketika dihubungi FMT berkata calon Pro-A Nur Elfarra Mohammad didakwa tidak layak bertanding ekoran gagal menghadiri bengkel kursus yang diwajibkan pihak unversiti.

Namun setelah perjumpaan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan MPP Musa Zainal Abidin kira-kira jam 12 tengah hari tadi menemui jalan buntu.

Menurut Faiz, pihaknya mendesak agar pencalonan calon Pro-A digugurkan, namun Musa mahu Pro-M menampilkan bukti berhubung dakwaan mereka mengenai Elfarra.

"Pihak Jawatankuasa Pelaksana terima bantahan bertulis itu dan mahu kami kemukakan bukti. Kami tampilkan dua saksi yang merupakan pelajar dari Fakulti Perniagaan yang mengenali Elfarra.

"Bukti utamanya adalah senarai calon yang hadir ke bengkel itu yang bukan ditokok tambah. Maka kami desak agar Musa memberi kerjasama dengan menyerahkan senarai itu, tapi beliau enggan kerana itu untuk rujukan beliau semata-mata," katanya yang dihubungi FMT.

Bersikap 'berat sebelah'

Faiz yang juga pelajar tahun akhir Fakullti Pendidikan mendakwa Musa yang bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan tidak sepatutnya bersikap 'berat sebelah'.

"Bukti utama ada ditangan Musa…..beliau sepatutnya tidak berat sebelah dalam hal ini. Beliau patut beri kerjasama bagi bukti. Namun beliau enggan kerana beliau kata itu hak dia. Kami tanya staf UKM lain, mereka kata hanya Musa yang ada maklumat tersebut," dakwa Faiz.

Faiz berkata akan berlaku kejutan pada malam ini, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

Malah pihak calon daripada Pro-M bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan seperti mengambil tindakan undang-undang.

Sementara itu, Musa gagal dihubungi FMT bagi ulasan lanjut berhubung perkara ini. -FMT



Tragedi FELDA Kepis : Pesakit Mental Tikam Ibunya

Posted: 21 Feb 2011 03:26 AM PST

Lelaki saksi isteri ditikam anak

SOHAIMI menunjukkan tempat Jemelah ditikam anaknya sebelum meninggal dunia Sabtu lalu.

BAHAU – Seorang lelaki tidak dapat melupakan saat-saat ngeri isterinya menjerit-jerit meminta tolong ketika ditikam oleh anak lelaki mereka di sebuah rumah di Felda Kepis di sini Jumaat lalu.

Selepas kejadian pada pukul 8 malam, mangsa Jemelah Muhammad, 53, meninggal dunia kira-kira 17 jam dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) akibat cedera di beberapa bahagian badannya.

Mengimbas semula kejadian itu, suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang bersembang bersama seorang rakan di luar rumahnya sebelum terdengar isterinya menjerit meminta tolong.

"Tiba-tiba saya mendengar isteri saya jerit, bang tolong, bang tolong! Sebaik masuk ke dalam (bilik) saya terkedu melihat anak saya sedang menikam arwah yang berada di atas katil dengan senjata tajam.

"Saya terus pukul anak saya dan menarik dia daripada mencederakan ibunya," katanya menceritakan kejadian itu ketika ditemui di rumahnya di sini semalam. -kosmo


BAHAU – Gara-gara tidak makan ubat, seorang pesakit mental menikam ibunya yang tidur hingga mati di sebuah rumah di Felda Kepis, dekat sini, Jumaat lalu.

Mangsa, Jemelah Muhamad, 53, seorang pekerja kantin sekolah, di sini, maut ditikam anaknya, yang mengalami masalah mental sejak enam tahun lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anak lelaki mangsa yang berumur 28 tahun itu dipercayai menikam beberapa kali dada ibunya yang sedang tidur di dalam bilik.

Kejadian itu disedari suami mangsa, Sohaimi Maidin, 53, yang sedang berbual bersama rakan di luar rumah apabila mendengar jeritan isterinya meminta pertolongan.

Sohaimi berkata sebaik mendengar jeritan isterinya, dia segera ke bilik dan mendapati anaknya sedang menikam dada Jemelah beberapa kali.

"Tanpa berfikir panjang, saya segera memukul dan menariknya dari situ, sementara isteri lari keluar rumah dalam keadaan berlumuran darah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sohaimi berkata, anak kedua daripada empat beradik yang tidak mempun-yai pekerjaan itu, tidak melawan dan hanya mendiamkan diri, seolah-olah terkejut dengan apa yang berlaku.

"Saya segera membawa isteri ke hospital dengan bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

"Hari Sabtu, saya menerima berita menyedihkan apabila doktor di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, memaklumkan isteri saya meninggal dunia sekitar jam 1 tengah hari," katanya.

Sohami berkata, dia tidak pernah terfikir perkara itu boleh berlaku kerana anaknya tidak pernah bertindak di luar jangkaan.

"Saya sedih dan terkilan dengan kejadian itu kerana saya dan arwah melayan mangsa bagaikan menatang minyak yang penuh.

"Mungkin anak saya melakukannya kerana tidak memakan ubat sakit mental yang dialaminya sejak beberapa hari lalu," katanya.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kepis dekat sini, semalam.

Difahamkan, suspek ditahan untuk membantu siasatan turut diberikan peluang melihat arwah ibunya buat kali terakhir.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba ketika dihubungi berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. -SH


Tamparan Tepat Ke Muka Ali Rustam: Negeri Maju Tiada Elektrik

Posted: 21 Feb 2011 02:37 AM PST

Beberapa bulan lalu, Melaka diisytiharkan sebagai 'negeri maju' oleh ketua menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagaiamanapun, C Ragunathan tidak bersetuju.

Rumahnya yang berusia lebih 25 tahun terletak di atas sebidang tanah milik swasta di sebuah estet kelapa sawit di Kampung Paya Yoki, kira-kira 6km dari pekan Merlimau dan kira-kira 500 meter dari kawasan kejiranan yang paling hampir.

Hanya lima tahun lalu Ragunathan mendapat sambungan bekalan elektrik ke rumahnya, itupun bukan melalui cara yang sepatutnya.

Selepas bertahun-tahun permohonannya asyik ditolak, beliau membayar RM30,000 kepada seorang juruteknik bagi membuat penyambungan 'haram' bagi mendapatkan bekalan elektrik. Ini dilakukan dengan pemasangan tiang ke rumahnya dari grid tenaga yang terletak kira-kira 2km jaraknya.

Namun, bagi rumahnya yang didiami oleh lebih 10 orang itu, mereka masih tidak menikmati bekalan air bersih.

Ragunathan, ayah kepada tiga anak itu berkata, bekalan air harian kini diperolehi menerusi sebuah kolam di belakang rumah mereka. Bagi air minuman, bekalan diperolehi dari sebuah perigi.

"Saya masih bertanya kepada pihak berkuasa bila boleh dapat bekalan air paip. Malah, sehingga hari ini, saya terus telefon mereka," katanya ketika ditemui.

"Mereka (pihak berkuasa) kata tidak dapat bekalkan keperluan itu kerana tidak ada orang tinggal di kawasan ini tetapi, bukankah kita juga orang?"

Terdapat lebih kurang 20 pemilik tanah yang masih tinggal di kawasan yang sama. Ada yang telah berpindah kerana terlalu sukar bagi meneruskan kehidupan tanpa keperluan asas.

Menjelang pilihan raya kecil ini, Ragunathan berharap masalahnya dapat diselesaikan.

Awal bulan ini, pembantu ketua menteri Melaka melawat kawasan itu bersama pegawai Tenaga Nasional Bhd, dan berjanji masalah mereka akan diselesaikan sebelum pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau pada 6 Mac ini.

"Saya telah undi dacing (logo BN) sejak beberapa pilihan raya lalu, dan ini kali pertama ada orang yang bertanyakan mengenai kehidupan kami.

"Keluarga saya ada 12 undi… kita akan lihat apa yang berlaku pada pilihan raya kecil nanti," kata Ragunathan, yang juga mendakwa dirinya sebagai penyokong MIC. -mk

Kes Bunuh Sosilawati: Sarawanan Dan Suresh Dipenjara 20 Tahun

Posted: 21 Feb 2011 01:30 AM PST

Dua pekerja ladang yang didakwa melupuskan bahan bukti pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kini bakal meringkuk di penjara selama 20 tahun selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, meminda hukuman asal mereka iaitu 7 tahun.

Gambar: U Suresh dan K Saravanan dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas Mahkamah menjatuhkan hukuman 20 tahun terhadap mereka hari ini. - FOTO Roslin Mat Tahir.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas berpendapat tempoh 7 tahun adalah tidak berpatutan dengan kesalahan serius yang dilakukan oleh K.Sarawanan dan U.Suresh.

Pada 15 Oktober tahun lalu, Sarawanan, 20, dan Suresh, 27, mengaku bersalah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan Sosilawati, 47, dan tiga individu yang didakwa hilang bersamanya.

Mereka ialah pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Sarawanan didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara membakar mayat mangsa manakala Suresh didakwa membuang abu mayat ke dalam Sungai Panchau, dekat sini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah ladang di Lot Nombor 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting. -mstar

Laporan Ahli Kimia Diragui - Tidak Ikut Piawaian Antarabangsa

Posted: 21 Feb 2011 01:00 AM PST

Liwat II: Ahli kimia akui tidak patuhi piawaian

Ahli kimia dan pakar DNA Dr Seah Lay Hong (gambar) hari ini mengakui beliau tidak mengikuti piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Society of Forensic Genetics ketika menyediakan laporan berhubung ujian DNA pada perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengakui meskipun menganggotai pertubuhan itu tetapi tidak mematuhi apa yang dinyatakan pada jurnal berkenaan.

"Saya tidak mematuhi peraturan antarabangsa tetapi sejak itu, ia mungkin telah berubah," katanya.

Dr Seah juga tidak bersetuju bahawa beliau berat sebelah dalam menyediakan laporan dan berkata ia disediakan berdasarkan maklumat yang dibekalkan kepadanya.

"Berdasarkan piawaian antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam jurnal ini, awak tidak mengikuti ataupun mematuhinya," kata peguambela Ram Karpal Singh.

"Saya tak setuju," balas Dr Seah.

Hakim, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah kemudian menyoal doktor itu mengapa beliau gagal mematuhi arahan tersebut tetapi Seah gagal menjawab soalan berkenaan.

Ram juga berhujah satu 'allele' yang dilaporkan pada B9, di kawasan rektal bawah.

"Ini bukan milik Saiful atau 'Lelaki Y'. Bacaan allele 28 tidak dilaporkan walaupun ia adalah di puncaknya."

Apabila Ram terus mengasak, ahli kimia itu enggan melayan serta tidak memberikan jawapan.

Menurut Ram apa yang dicatatkan oleh laporan kimia adalah berlainan dengan apa yang diperlihat dalam geraf.

"Ia seolah-olah separuh DNA pasukan bolasepak dijumpai tetapi awak memilih untuk tidak melaporkannya kerana ia dikesan di seluar dalam, seluar, kawasan B5 peri-anal dan sekarang B9," kata Ram.

Dr Seah juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa 'Lelaki Y' - DNA yang dijumpai di peri anal Saiful dan sekitar kawasan duburnya.

"Tidak ada spesimen atau rujukan sampel diberikan," katanya.

Ram berkata lelaki misteri yang tidak dikenali itu mungkin sesiapa juga termasuk pegawai penyiasat, Jude Blacious Pereira.

Minggu lalu, pelbagai persoalan teknikal berhubung bagaimana ujian DNA dijalan dan ditentukan. Lebih banyak perkara seumpama itu dijangkakan hari ini apabila seorang lagi ahli kimia akan memberi keterangan. -mk

Ulasan GB

Bagaimana dia boleh diiktiraf sebagai pakar jika beliau tidak mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh International Society of Forensic Genetics yang beliau sendiri menganggotainya?

"Penipuan" tersebut hanya disedari apabila peguambela Ram Karpal Singh mendedahkannya di mahkamah hari ini menyoal beliau dan mendedahkan bahawa Dr.Seah tidak mengikuti piawaian antarabangsa seperti yang ditetapkan dalam jurnal International Society of Forensic Genetics .

Ahli Kimia tersebut cuba memperbodohkan orang lain dengan menyangka orang lain tidak akan tahu penganalisaan DNA yang dilakukan.

Aduan perlu dilakukan kepada pertubuhan antarabangsa tersebut supaya mereka boleh memecat Dr Seah dari keanggotaannya.

Tiada ulasan: