Khamis, 24 Februari 2011

kalam Perantau

kalam Perantau


Ledakan Kebangkita​n Mahasiswa

Posted: 24 Feb 2011 11:00 PM PST

  1. Mendepani situasi rencam politik dunia dengan skala ricthernya yang agak tinggi serta menyaksikan kebangkitan anak – anak muda yang mendominasi iklim politik dunia hari ini dan rata – rata mereka adalah mahasiswa, nyata tidak ketinggalan rupanya negara kita turut mengalami gegarannya.
  2. Berurutan dengan kejayaan Dewan Pemuda PAS menghimpunkan 30 ribu kekuatan tenaga pemudanya dari seluruh negara di negeri Kedah Darul Aman sebagai persiapan untuk menghadapi pilihanraya umum ke 13 akan datang, kini kita digemparkan dengan kejayaan Pro Mahasiswa di UM, UIA, UKM, UMK, USIM, UMS, UMSKAL, USM Kubang Kerian dan UPSI walaupun Pro Mahasiswa kalah di UTM, USM Penang dan UPM.
  3. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan selamat melaksanakan tanggungjawab serta menunaikan amanah kepimpinan buat adik – adik dari Pro Mahasiswa yang telah memenangi pilihanraya di kampus masing – masing. Semoga kejayaan gemilang itu akan terus membawa mahasiswa bangkit berjuang sekaligus menggalas kecemerlangan ilmu sebagai asas utama kejayaan.
  4. Mahasiswa adalah agent penting bukan sahaja untuk lingkaran politik kampus tetapi juga dalam menentu arah masa depan negara di semua lapangan termasuk politik, ekonomi, budaya dan sosial. Saya mengharapkan kemenangan Pro Mahasiswa dalam arena politik kampus kali ini, benar – benar telah berjaya membebaskan minda mahasiswa dari kongkongan kerajaan sekalipun realitinya mereka masih dikongkong oleh AUKU dan pelbagai peraturan tempatan universiti.
  5. Selepas ini, Mahasiswa diharap mempertingkatkan prestasi kebangkitan mereka untuk terus berjuang menentang AUKU disamping turut memperjuangkan kecemerlangan akademik guna mengangkat izzah mahasiswa sehingga mereka tidak lagi dianggap sebagai boneka kepada mana – mana pihak sebaliknya mempunyai idealisme perjuangan tersendiri , memperjuangkan kebenaran, keadilan dan masa depan negara yang maju dan sejahtera.
  6. Kejayaan ini mesti diterjemahkan dengan kerja gigih, semangat, berani, nekad membawa perubahan dan memimpin idealisme mahasiswa dalam kehidupan mahasiswa di kampus dan juga di luar kampus. Malah penglibatan mahasiswa dalam arus kebangkitan anak muda dewasa ini untuk menentu masa depan negara dan kepimpinannya juga sangat di alu – alukan.
  7. Kami telah lama memperjuangkan agar masyarakat mahasiswa dibenarkan untuk berpartisipasi dengan politik luar kampus agar sentuhan mahasiswa turut mewarnai landskap politik tanahair dan pastinya corak dan frame politik negara lebih menarik terutama golongan mahasiswa adalah mewakili golongan intelek yang matang dan berwibawa.
  8. Telah sampai masanya negara memberi kepercayaan kepada mahasiswa dan menghargai ilmu jua karisma mereka biarpun usia mereka masih muda. Justeru dunia dan politiknya hari ini adalah milik orang muda. Kesuburannya dan Kebangkitan rakyat hari ini juga dipacu oleh orang muda. Malah suara orang muda seperti mahasiswa mula didengar dan dihargai oleh semua.
  9. Sekalung tahniah sekali lagi dari saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia buat kejayaan anda semua dari kalangan mahasiswa yang nyata tidak pernah mengizinkan diri kalian dipengaruhi oleh mana – mana pihak terutama golongan yang sering mahu memangsakan mahasiswa dengan pelbagai peraturan yang mengongkong minda dan tumbesar jiwa seorang yang mahu bergelar intelektual.
  10. Tahniah !

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Calon PAS: Hassanudin di Kerdau, Yuhaizad di Merlimau

Posted: 24 Feb 2011 07:01 PM PST

Ketua Penerangan PAS Pahang Hassanudin Salim akan membawa cabaran parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau pada 6 Mac depan.

Manakala timbalan ketua Dewan Pemuda PAS Melaka Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.

kerdau by election pas announcement candidate 240211Pencalonan Hassanudin diumumkan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kompleks PAS Kerdau malam ini. Beliau merupakan bekas calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008, tetapi tewas kepada calon BN Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Hassanudin tewas dengan majoriti 1,615 undi. Beliau mendapat 2,520 undi, manakala Zaharuddin memperolehi 4,135 undi. Hasanuddin, 43, adalah seorang usahawan kelulusan diploma ukur tanah UiTM.

Turut hadir ialah timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, timbalan presiden PKR Azmin Ali, dan pemimpin DAP, Tan Seng Giaw.

Sementara itu, Harakahdaily melaporkan, Hasanuddin dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, Temerloh. Beliau mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan berskala besar seperti pembinaan infrastruktur Hospital Temerloh di samping pernah berkhidmat di Sudan dalam industri minyak dan gas.

SPR menetapkan tarikh pengundian PRK Kerdau pada 6 Mac ini sementara penamaan calon pula 26 Februari.  Sementara itu, Yuhaizad, 38, juga merupakan timbalan yang dipertua PAS Jasin.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan penyokong Pakatan Rakyat di Kampung Merlimau Pasir.

merlimau by election pas candidate yuhaizat abdullah 240211 02Berusia 38 tahun, Yuhaizad memiliki Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (ILHAM), Selangor dan juga memperolehi Sijil Kejuruteraan Mekanikal dari Institut Kemahiran Mara, Jasin.

Beliau terlibat di dalam bidang politik sepenuh masa dan adalah anak watan Merlimau serta seorang pemimpin muda yang dikenali ramai, mesra dan mudah dikenali.

Pengalaman luas dalam badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B, Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia dan persatuan penduduk memastikan beliau menjadi aset kepada rakyat dan negeri sekiranya terpilih mewakili DUN Merlimau pada pilihan raya nanti.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hidhir Abu Hassan, 54, dari BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian ditetapkan pada 6 Mac.

Turut hadir pada majlis pengumuman calon itu, Setiausaha PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali, Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Yang Dipertua Pas Negeri Melaka, Abdul Ghani Abdul Rahman, Ketua Pemuda DAP pusat, Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abdul Hadi berkata Yuhaizad dipilih berdasarkan kelayakan pendidikan itu, statusnya sebagai anak tempatan dan kerana ia masih muda.

Yuhaizad memegang ijazah dalam pengajian Islam dan sijil dalam kejuruteraan mekanikal. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus projek pembinaan.

Menurut Abdul Hadi, tidak mustahil untuk PAS menang kerana ia pernah memenangi pilihan raya kecil sebelum ini, sekiranya ia dijalankan dengan adil, begitu juga dengan pihak media.


Tiada ulasan: