Khamis, 17 Februari 2011

D'Perbatasan

D'Perbatasan


Semoga Allah S.W.T Memberi Hidayah Pada Tun Mahathir

Posted: 17 Feb 2011 05:54 PM PST

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat hidayah Allah SWT dalam meneruskan kehidupan serta berhenti daripada terus mengkritiknya.

"Saya tidak berhasrat setakat ini untuk mengulas jawapan Tun Mahathir terhadap saya seperti yang tersiar di akhbar semalam (kelmarin), cukuplah saya berkata, saya simpati dengan beliau, semoga beliau mendapat hidayah Allah," katanya dalam ruangan Facebooknya, semalam.

Dr Mahathir dalam tulisan di blognya mendakwa, tujuan hidup Mursyidul Am Pas itu hanyalah untuk memenangi pilihan raya dan kemudian menjadi pemerintah bersama DAP serta PKR.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu juga sanggup bekerjasama dengan pihak yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala Pas di samping mempertahankan pendapat tokoh bukan Islam supaya umat Islam melonggarkan pegangan mereka terhadap ajaran Islam.

Menurutnya, Nik Abdul Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, dalam masa sama bersedia bekerjasama dengan syaitan bagi menjayakan perjuangannya.

Dalam pada itu, Nik Aziz dalam blognya mendakwa kegagalan kepimpinan Dr Mahathir menyebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hanya memberi keuntungan kepada segelintir golongan.

Malah, katanya, kegelisahan atau dilema di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini termasuk orang Melayu sendiri berpunca daripada UMNO yang menolak perjuangan berasaskan bangsa.

"Kegagalan DEB pada 1990 ada tercatat dalam sejarah.

"Hakikatnya pelaksanaan DEB menyebabkan Bumiputera tak ke mana, melainkan ada segolongan sahaja yang mengecap nikmat," katanya.

Nik Aziz berkata, pemilikan kekayaan negara hanya 18 daripada 30 peratus yang disasarkan.

"Kenapa gagal? Dr Mahathir selaku Perdana Menteri masa itu ada jawapan sebenar. Habis kenapa Dr Mahathir sembunyi punca?" katanya. Aziz


Dari Sinar Harian

Adun Tenang Diserang Sakit Jantung

Posted: 17 Feb 2011 05:28 PM PST

Belum pun habis BN meraikan kemenangan di PRK Labis.
Belum pun sampai sebulan Adun Tenang, Azhar Ibrahim berkhidmat sebagai Adun.
Belum pun hilang warna merah tanah kubur Datuk Sulaiman Taha.
Adun Tenang yang baru, Mohd Azhar Ibrahim dilaporkan telah diserang sakit jantung.
Khabarnya sudah 4 hari beliau dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Mohd Azhar Ibrahim 39 tahun merupakan seorang bekas ADO telah meletak jawatan lebih awal dari perkhidmatannya kerana menjadi calon BN pada PRK Tenang yang lalu. Oleh kerana itu dipercayai beliau berkemungkinan tidak dapat wang pencen dari jawatannya itu. Ini kerana sebagai kakitangan perkhidmatan awam, dia perlu bekerja selama 10 tahun bagi melayakkan dia menerima pencen.

Tidak mengapalah, sebab beliau pun sudah menang sebagai Adun Tenang. Tapi syarat sebagai wakil rakyat (Ahli Parlimen/Adun), beliau perlu menjadi wakil rakyat selama 2 penggal berturut-turut bagi membolehkan dia menerima pencen. Bagi wakil rakyat yang berkhidmat hanya sepenggal, dia tidak layak menerima pencen.

Jadi sama-samalah kita berdoa supaya Mohd Azhar Ibrahim ini kembali sihat dan dapat berkhidmat kepada masyarakat Labis. Kasihan juga kepada keluarganya. Andai apa-apa berlaku kepada Tok Ai, maka tiadalah pencen terbitan untuk mereka. Penat PRK Tenang tidak hilang lagi, rasanya tak sanggup untuk PRK kali ke-2 di Tenang dalam satu penggal!.


Dari PulakDah..... / RakyatMarhaen

Mahathir terlupa dirinya Menteri KDN ketika Ops Lalang

Posted: 17 Feb 2011 06:04 AM PST

Mahathir Mohamad sememangnya terkenal sebagai Perdana Menteri yang dominan, tegas ketika memberi kata duanya. Beliau tidak mengendahkan sindiran pengkritiknya, sebaliknya akan menyanggah kritikan mereka dengan sikap dan nada yang angkuh.

Sesungguhnya, jasa dan silap seseorang tokoh bakal dinilai sejarah. Untuk tokoh seperti Mahathir (gambar kiri), mustahil penilaian terhadapnya hanya berat sebelah. Tokoh seperti Mahathir sering berkeupayaan untuk menghalalkan setiap dasar dan tindak-tanduknya, malah amat yakin dengan hujah dirinya - meskipun wacananya itu tidak semestinya diterima umum. Keyakinan ini, dari perspektif yang lain, ditafsirkan sebagai keberanian untuk bertanggungjawab - iaitu memikul tanggungjawab terhadap jasa dan silap yang dilakukan.

Namun demikian, sifat Mahathir ini semakin luntur dalam tempoh lapan tahun selepas beliau bersara. Contoh yang terdekat, Mahathir cuba lepas tangan begitu sahaja tanggungjawab politiknya dalam "Operasi Lalang" pada tahun 1987, dalam satu wawancaranya yang dibukukan dalam Doctor M: Operation Malaysia - Conversations with Mahathir Mohamad, oleh Tom Plate. Mahathir mendakwa penangkapan pada 26 Oktober 1987 adalah keputusan polis, dan beliau hanya menerima keputusan itu. Malah, beliau mendakwa dirinya pernah berjumpa dan menjamin kepada pembangkang sebelum "Operasi Lalang", bahawa mereka tidak akan ditangkap.

Sejumlah 106 orang, termasuk ahli politik, pejuang pendidikan Cina, pencinta alam dan pekerja agama ditahan dalam Operasi Lalang, malah 40 orang antaranya dilanjutkan penahanan dua tahun. Permit akhbar The Star, Watan, Sin Chew Jit Poh dilucutkan, dan hanya kembali beroperasi pada tahun 1988. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila Mahathir menafikan bahawa dirinya adalah dalang utama di sebalik operasi penekanan politik ini.

Mahathir terlupa

Rakyat bukan menuduh sembarangan apabila menuding jari terhadap Mahathir, sebagai dalang "Operasi Lalang". Setelah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Musa Hitam dicantas, Mahathir sebagai PM merangkap jawatan Menteri Dalam Negeri sejak tahun 1986. Jawatan Menteri Dalam Negeri ini hanya diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri (ketika itu), Abdullah Ahmad Badawi, selepas Pilihan Raya Umum tahun 1999.

Meskipun Mahathir berdepan dengan sekta yang berlainan pada awal zaman pemerintahannya, namun beliau berjaya menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah (gambar kanan) bersama pasukan B-nya, dalam pergelutan kuasa yang sengit dalam UMNO. Mahathir berjaya mempertahankan kedudukan sebagai PM, Menteri Dalam Negeri, Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Polis Diraja Malaysia berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri - adalah sesuatu yang tidak masuk akal bahawa polis berani mengingkari arahan Mahathir - jika dilihat kepada sifat Mahathir yang diktator.

Jikapun tidak membincangkan realiti hubungan politik pada ketika itu, Mahathir tetap tidak boleh memisahkan diri dari tanggungjawab "Operasi Lalang" seandainya disemak peruntukan dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). 40 dari 106 orang tahanan dilanjutkan penahanan dua tahun, yang seandainya dirujuk kepada Seksyen 8 (1) ISA - adalah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri untuk mengarahkan agar penahanan dua tahun dikenakan, seandainya pada budi bicara Menteri, tahanan tersebut mengancam keselamatan negara.

Menurut ISA, walaupun Seksyen 73 memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menangkap tanpa waran sesiapa yang boleh ditahan mengikut Seksyen 8, tetapi Seksyen 73(3) juga menyatakan bahawa tempoh penahanan ini tidak boleh melebihi 60 hari. Malah, jika penahanan melebihi 30 hari, Ketua Polis Negara perlu melaporkan kepada Menteri Dalam Negeri tentang keadaan penahanan.

Oleh itu, seandainya Mahathir tidak merestui tindakan menindas yang tidak demokratik ini, beliau mempunyai sekurang-kurangnya dua peluang untuk menghalang, dan bukannya menjurus kepada penangkapan. Pertama, mustahil polis tidak berunding dengan Mahathir sebelum operasi penangkapan yang sebegitu besar dijalankan. Namun, Mahathir tidak membantah, sebaliknya merestuinya. Kedua, selepas penangkapan 106 orang, suasana ketegangan (yang didakwa kerajaan) telah dikawal. Persoalannya, mengapa Mahathir tetap menandatangani arahan untuk melanjutkan penahanan selama dua tahun untuk 40 orang tahanan?

Seandainya Mahathir tidak bersetuju dengan penangkapan seawalnya, tetapi terpaksa akur kerana khuatir "berlakunya konflik perkauman" - maka beliau boleh membubuh noktah kepada operasi ini selepas penahanan 60 hari. Beliau tidak perlu menandatangani surat untuk melanjutkan tempoh penahanan - kuasa yang hanya dimiliki Menteri Dalam Negeri, dan bukan polis.

Sebagai PM, Mahathir adalah Ketua Eksekutif (kerajaan), maka beliau tidak terelak daripada tanggungjawab politik terhadap semua keputusan dan operasi kuasa eksekutif. Sebagai Menteri Dalam Negeri, Mahathir juga tidak terelak daripada segala tanggungjawab eksekutif terhadap keputusan dan tindakan PDRM. Kita boleh memahami keterbatasannya jikalau Mahathir sekadar Menteri Dalam Negeri - kerana Menteri Dalam Negeri mungkin membantah penangkapan polis, tetapi dihalang PM. Namun, Mahathir adalah PM merangkap Menteri Dalam Negeri - apa lagi alasan yang ingin dikemukakan untuk membela dirinya?

Menjadi bahan lawak

Bukan kali pertama Mahathir menafikan bahawa dirinya memainkan peranan yang negatif dalam pemerintahannya. Walaupun Mahathir adalah dalang di sebalik "krisis kehakiman 1988", namun beliau tetap berkeras untuk membela dirinya - bahawa bukan dirinya yang memecat Ketua Hakim Negara, Salleh Abas, serta dua orang Hakim Mahkamah Agung yang lain, Wan Suleiman dan George Seah, tetapi tribunal.

Krisis kehakiman 1988 bermula dengan niat Mahathir untuk mengawal kuasa kehakiman. Sebelum tercetusnya "krisis kehakiman", beliau telah bersilat lidah dengan Salleh Abbas (gambar kanan) dalam isu kebebasan badan kehakiman, kemudian dilanjutkan pula kes kelangsungan UMNO/UMNO Baru (UMNO 11). Tribunal yang menjatuhkan kesalahan "misconduct" (salah laku) ke atas Salleh Abas, ditubuhkan atas cadangan Mahathir kepada Yang Di-Pertuan Agung dengan kuasanya sebagai PM. Motifnya cukup jelas. Kini, Mahathir cuba mengasingkan diri daripada tanggungjawab ini - mungkin "muka tebal" tidak cukup untuk menyifatkan kenyataan sebegini.

Hujah-hujah Mahathir sepanjang lapan tahun yang lalu telah menghakis imejnya sebagai pemimpin dominan yang berkarisma. Seandainya Mahathir memilih untuk mengakui kesalahan politik dirinya, dan menunjukkan keikhlasan dirinya untuk bermuhasabah; atau tetap berpegang bahawa dirinya melakukannya demi kepentingan negara ketika itu, dan berdepan dengan segala tanggungjawab dan kritikan - ia semestinya lebih baik daripada apa yang dilakukan sekarang - enggan meminta maaf, sebaliknya menolak segala-galanya kepada orang lain.

Mungkin Mahathir ingin meninggalkan catatan bertulis untuk membersihkan tanggungjawabnya, agar mempertahankan reputasi sejarahnya. Tetapi perhitungannya silap. Tindakan ini sekadar menambah bahan lawak tentang dirinya dalam sejarah.


*Chang Teck Peng ialah Ketua Pengarang MerdekaReview. Disedut, disunting dan diterjemah dari teks asal yang disiarkan pada 15 Februari 2011.

Guan Eng Ziarah Keluarga Mohamad Sabu

Posted: 17 Feb 2011 05:36 AM PST

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup meluangkan masa walaupun sibuk dengan mesyuarat Exco pagi tadi semata-mata mahu mengucapkan takziah kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu kerana kematian ibu tercinta, Halijah Mat, 91.

Beliau yang bergegas setelah selesai mesyuarat berkenaan sampai pada pukul 1.15 tengahari iaitu ketika jenazah Allahyarhamuha sedang dikafankan untuk dibawa ke Masjid Padang Menora untuk disembahyangkan selepas solat Zohor.

Turut serta dalam suasana sedih itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, Adun Jeneri Yahya Abdullah, Adun Kubang Rotan, Nasir Mustaffa, Adun Semangol, Ustaz Ramli Tusin, Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Rosidi Husain, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Maipp), Ustas Elias Zakaria.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman, Exco Kesihatan, Pembangunan Insan dan NGO Negeri Kedah, Dr Ismail Salleh dan Exco Belia Negeri Kedah, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib selain Adun Batu Maung, Malik Abul Kasim, di samping Adun Kupang, Johari Abdullah, Adun Bandar Baru, Ustaz Yaacob Husin.

Jenazah Allahyarhamuha disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Menora dengan bacaan talkin oleh iman masjid berkenaan, Haji Ibrahim manakala solah jenazah diimamkan oleh Ustaz Elias Zakaria.

Mohamad ketika ditemui mengucapkan ribuan terima kasih pada semua yang hadir untuk membantu menyelesaikan jenazah ibunya yang meninggal akibat sakit tua pukul 1.30 pagi tadi.

Tidak ketinggalan juga kepada pasukan Unit Amal Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang turut serta membantu mengawal lalu lintas dari pagi sehingga selesai urusan pengebumian.

Anwar Nak Hapus ISA Tapi Mahathir...?

Posted: 17 Feb 2011 05:29 AM PST

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan beliau pernah mencadangkan untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) tetapi dibantah Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.

Menurut Anwar, beliau mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

"Benar saya kemukakan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tetapi ia ditolak. Akhirnya ada menyebut hasrat meminda beberapa peruntukan di Parlimen. Jika benar Tun Mahathir bersetuju, (ISA) dah lama mansuh," kata Anwar dalam cicipan Twitter beliau.

Anwar berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir dalam satu forum tentang demokrasi anjuran Dewan Negara hari ini. Mahathir mendakwa beliau mahu menghapuskan ISA pada satu masa dahulu namun ia tidak dipersetujui polis pada masa tersebut.

Namun, bercakap dalam majlis yang sama, Mahathir berkata ISA perlu dikekalkan walaupun di negara lain ramai tahanan yang ditahan di bawah akta menyerupai ISA diseksa oleh pemerintah.

Najib Jangan Tipu Rakyat Dakwa Ekonomi Naik

Posted: 17 Feb 2011 04:43 AM PST

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berhenti memperdayakan rakyat dengan penggunaan angka yang tidak realistik pada masa kini.

Menurut Dr Dzul, walaupun pertumbuhan ekonomi negara seolah-olah meningkat, namun permasalahan sebenar berhubung ekonomi masih membelit rakyat.

"Persoalan dalam ekonomi hari ini tidak hanya berlegar sekitar persoalan angka. Persekitaran tentang pertumbuhan. Pakar-pakar ekonomi sudah lama tidak mendewa dan bertuhankan angka ini.

Ujarnya, di kala rakyat masih dihimpit dengan beban sara hidup, tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh Najib dengan pencapaian sekitar enam peratus yang disuarakannya hari ini.

Bernama hari ini melaporkan, Najib sebagai berkata, negara telah menjangkaui sasaran pertumbuhan enam peratus tahun lalu walaupun dalam keadaan ekonomi yang malap.

"(Namun) persoalan yang menjadi pertikaian hari ini yang saya hendak katakan pada Najib, ia bukan hanya persoalan angka pertumbuhan. Permasalahan ekonomi yang memerlukan reformasi dan penambahbaikan, jangan pandang kepada satu-satu parameter sahaja. Itu hendak membodohkan rakyat namanya," bidas Dr Dzul.

Menurut Dr Dzul lagi, Najib terlebih dahulu harus menjawab tentang persoalan 40 peratus rakyat di negara ini yang masih 'terpenjara' dengan pendapatan kurang daripada RM1,500.

Dengan keadaan taraf hidup yang semakin tinggi, adakah soal kelangsungan hidup mereka diambilkira dalam kerangka pertumbuhan ekonomi setiap tahun negara, soal Dr Dzul (gambar).

Malah hutang isi rumah juga semakin meningkat kepada 77.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadikan jumlahnya RM577 bilion.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, ia merangkumi bebanan pinjaman kereta (RM118 bilion), pinjaman perumahan (RM225 bilion) dan pinjaman peribadi (RM22 bilion) selain anggaran hutang kad kredit (RM200 bilion).

Tidak cukup dengan itu kata Dr Dzul, lebih malang apabila negara kita berada di tangga kelima dalam senarai negara yang terlibat dalam aliran keluar wang haram sekitar RM888 bilion bermula tahun 2000-2008.

Hal itu kata Dr Dzul menyebabkan dana sebesar itu tidak dapat digunakan bagi tujuan pembangunan negara.

"Kata pada Najib, janganlah hendak memperbodohkan rakyat. Kerap menyebutkan tentang ETP (Program Transformasi Ekonomi), ini pada kami, hanyalah sebutan gimik media untuk menyuntik 'feel good factor' pada pilihanraya.

Menurut Dr Dzul, masalah ekonomi negara harus dibendung dengan kadar segera jika tidak mahu generasi akan datang hanya mewarisi kemiskinan negara.

"Kita sebenarnya mengorbankan kekayaan anak-anak kita.

"Pembaziran atau (penggunaan wang) tidak kena kepada keutamaan, subsidi kepada rakyat ditarik, pakar-pakar ekonomi bertanyakan mengapa berlaku sedemikian sementara subsidi kepada IPP diteruskan," tambahnya lagi.

'Mani lelaki misteri pada seluar dalam Saiful'

Posted: 17 Feb 2011 02:01 AM PST

Perbicaraan kes liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menempuh saat genting hari ini apabila mahkamah mendengar keterangan daripada ketua unit jenayah berat Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong.

Semalam, Seah hanya berada di kandang saksi selama beberapa minit sebelum perbicaraan ditangguhkan akibat gangguan bekalan elektrik di mahkamah.

Beberapa pendedahan memeranjatkan berlaku di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, melibatkan borang pro-forma oleh doktor yang mengendalikan kes berkenaan.

Doktor berkenaan menyatakan dalam borang tersebut bahawa pengadu dalam kes ini – Mohd Saiful Bukhari Azlan – hanya terlibat dalam "cubaan liwat" dan "cubaan seks oral."

Doktor Hospital Kuala Lumpur Dr Khairul Nizam Hassan sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Saiful mendakwa telah diliwat dan diminta melakukan seks oral.

Bagaimanapun, pihak pembelaan yang diketuai peguam Karpal Singh berjaya menimbulkan keraguan berhubung kenyataan berkenaan.

Turut hadir di mahkamah hari ini ialah wakil daripada Kedutaan Australia.

Dua orang pakar daripada negara itu turut hadir hari ini – ahli patologi forensik Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald.

D'Perbatasan: Apapun, sama-sama kita nantikan adengan seterusnya kes liwat II ini. Ramai yang meramalkan, Anwar Ibrahim bakal kembali ke Penjara Sg.Buloh dalam masa terdekat ini.
Apakah semua ini dapat diterima oleh para penyokongnya yang selama ini menganggap dirinya tidak bersalah.

RM 2000 Bantu Pelajar P.Pinang Pulang Ke Mesir

Posted: 17 Feb 2011 01:37 AM PST

Kira-kira 318 orang pelajar kelahiran Pulau Pinang yang menuntut Mesir akan diberi imbuhan oleh kerajaan negeri untuk menyambung kembali pelajaran apabila keadaan di sana kembali stabil.

Perkara ini diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini dan diumumkan oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman di sini.

Pemberian ini menunjukkan Kerajaan Negeri sangat prihatin kepada semua isu permasalahan masyarakat dan rakyat negeri ini.

Sehingga kini ada 318 pelajar di mana 111 orang adalah pelajar bagi bidang perubatan manakala 207 orang lagi adalah pelajar bidang syariah.

"Ada 318 orang pelajar kesemuanya. Kerajaan negeri telah bersetuju dalam mesyuarat Exco yang lepas bahawa kita akan memberikan sedikit imbuhan untuk mereka pulang semula ke Mesir. Kita akan memberi RM 2,000 kepada seorang pelajar.

"Ini untuk membantu mereka bagi memberi tiket penerbangan balik dan mengurangkan bebanan keluarga. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin kepada masalah yang dihadapi masyarakat dan rakyat," kata Datuk Mansor (gambar).

Wang imbuhan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjumlah RM 1,000 dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIP) juga memberikan sejumlah RM 1,000.

Bantuan kewangan ini diberikan bagi meringankan bebanan keluarga pelajar selain membantu membeli tiket untuk pulang semula ke negara itu.

Mengulas perkara sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berharap Kerajaan Persekutuan juga memberi sedikit bantuan bagi pelajar-pelajar ini.

Tol Lebuh Raya Pantai Baru turun insentif Najib menjelang PRU13

Posted: 16 Feb 2011 10:47 PM PST

Sementara spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun semakin kuat, pentadbiran Najib meneruskan pengumuman siri insentif — terbaru menurunkan kadar tol Lebuh Raya Pantai Baru.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kadar tol semasa RM1.60 yang dibayar di plaza tol antara Petaling Jaya Selatan dan Kampung Medan diturunkan daripada RM1.60 kepada RM1.

Najib berkata ia sebagai hadiah sambutan Tahun Baru Cina.

Ini kali ketiga perdana menteri mengumumkan penurunan kadar tol sejak Bajet 2011 dibentangkan Oktober lalu.

Najib membuat pengumuman ketika sambutan Chap Goh Meh di Taman Datuk Hormat, Petaling Jaya, kawasan pinggir bandar di Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Pada 2008 kerajaan pusat pernah mengumumkan bayaran tol di plaza tol menghala ke ibu negara.

Tiada ulasan: