Selasa, 1 Februari 2011

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anwar Ulangi Turunkan Harga Minyak Jika PR Tawan Putrajaya

Posted: 01 Feb 2011 06:18 AM PST


TV SELANGOR COM


GOPENG: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi janji bahawa minyak petroleum akan diturunkan hanya sehari selepas Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya pada pilihanraya umum akan datang.

Ketua Umum PKR itu berkata dalam ceramahnya di Gopeng semalam bahawa alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan negara akan jatuh bankrap sekiranya membantu rakyat miskin dengan mengurangkan harga minyak dan barangan lain tidak berasas sama sekali.

Semalam kerajaan secara mengejut mengumumkan kenaikan petrol RON97 sebanyak RM0.10 sen menjadikan harganya RM2.50 sen. Ini merupakan kenaikkan kedua bahan api berkenaan bagi tahun ini.

"Kalau Allah takdirkan kita menang, masuk Putrajaya, saya ulang, hari ini masuk Putrajaya esok harga minyak turun seluruh negara," tegas beliau diikuti sorakan gemuruh daripada hadirin.

Dalam ceramah umum yang dibanjiri dengan kira-kira dua ribu hadirin, beliau menjelaskan keuntungan yang diperoleh oleh dari jualan hasil petroleum sahaja mencecah RM70 ke RM80 bilion setahun dan ini dapat digunakan untuk mengurangkan harga minyak hanya sekiranya hasil ini diuruskan dengan bijak dan adil.

Katanya, tidak logik sama sekali Najib membandingkan harga minyak di Malaysia dengan negara jiran seperti Singapura kerana Singapura bukanlah negara pengeluar minyak petroleum.

Anwar menjelaskan, inilah antara sebab beliau mengajak Perdana Menteri untuk berdebat berkenaan 'Buku Jingga' Reformasi 100 Hari PR yang dicemuh oleh Najib sebagai karut.

"Saya nak tanya, pasal apa harga minyak naik? kalau dia (Najib) kata Singapura, saya akan kata, banding Malaysia dengan semua negara-negara pengeluar minyak, mana-mana negara pengeluar minyak, Iran, Arab Saudi, Venezula, Qatar, Brunei, sebut mana ada satu negara pengeluar minyak, harga minyak mahal macam Malaysia, tak ada!" kata beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, kenaikan harga boleh dijustifikasikan sekiranya Malaysia bukannya pengeluar minyak.

"Kalau negara tak ada minyak, dan kata minyak naik tak ada apalah; (Menteri kata) Singapura pun naik, menteri bodoh cakap macam itu," kata beliau lagi.

Pengguna Motosikal Catat Jumlah Kematian Tertinggi Ops Sikap 23

Posted: 01 Feb 2011 04:56 AM PST

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengguna motosikal mencatatkan jumlah kematian paling tinggi iaitu sebanyak lima kematian pada hari keempat Ops Sikap ke-23 yang bermula Khamis lepas.

Merujuk kepada statistik laman web Polis Diraja Malaysia, selain daripada pengguna motosikal, tiga lagi yang maut melibatkan pengguna kereta.

Sementara itu, sebanyak 1,386 kemalangan dilaporkan berlaku pada Isnin dengan jalan bandaran mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 616 kes diikuti jalan persekutuan (290), jalan negeri (226), lebuh raya (180) dan 74 kes lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 12,451 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap ke-23 dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina bagi mendidikpengguna memandu secara berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibatnahas jalan raya pada musim perayaan.

Operasi itu akan berakhir 10 Feb ini.

Krisis Mesir: Keselamatan Pelajar Malaysia Semakin Membimbangkan

Posted: 01 Feb 2011 04:55 AM PST

PETALING JAYA: Keadaan keselamatan di Mesir ketika ini semakin membimbangkan berikutan kejadian kecurian dan jenayah yang turut melibatkan pelajar Malaysia.

Berdasarkan maklumat terkini, sebuah rumah pelajar perubatan Universiti Mansurah di Iskandariah dipecah masuk oleh penjenayah yang mengambil kesempatan ekoran kekalutan di negara itu ketika ini.

Bagaimanapun Timbalan Setiausaha pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM), Nik Nur Fariha Mohamed Zalami berkata, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan berlaku dalam insiden berkenaan.

Menurut pelajar tahun empat Universiti Mansurah itu, keadaan di bandar utama Mesir iaitu Kaherah dan Iskandariah yang kini dipenuhi dengan ribuah penunjuk perasaan berada dalam keadaan luar kawalan dan membimbangkan.

"Dua bahagian ini iaitu Kaherah dan Iskandariah cukup berbahaya, kumpulan pelajar yang berada di sana berada dalam keadaan berjaga-jaga," katanya ketika dihubungi mstar Online di sini, Selasa.

Nik Nur Fariha kini berada di Aldgate, London. Beliau meninggalkan Mesir bersama beberapa rakannya pada Jumaat lalu iaitu selepas tiga hari berlakunya rusuhan bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Maklumat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi PCM, Ahmad Azizi Md Jusoh yang kini masih berada di Mansurah, Mesir.

Selain itu, Nik Nur Fariha yang menjadi perantara saluran maklumat antara pelajar perubatan di Mansurah dan wakil persatuan mereka di Malaysia mengenai perkembangan terkini di mesir berkata, situasi di bandar Mansurah agak terkawal berbanding di kawasan lain.

Bagaimanapun katanya, keadaan berkenaan dikhuatiri akan berubah dalam masa terdekat berikutan perkembangan terkini iaitu kumpulan penunjuk perasaan mula memasuki kawasan bandar Mansurah.

"Tapi buat masa ini kawasan blok kediaman pelajar Malaysia sains perubatan di Tir'ah masih selamat.

"Tiada anggota polis, sebaliknya tugas mengawal keselamatan diambil alih oleh pihak tentera. Manakala pada waktu malam masyarakat arab tempatan turut mengadakan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan," katanya.

Terdapat 755 pelajar Malaysia belajar di Universiti Mansurah dengan 298 daripadanya ialah lelaki manakala 457 adalah wanita.

Tambahnya lagi, pelajar Malaysia di Mansurah kini sudah bersiap-sedia menunggu arahan daripada pihak Keduataan Besar Malaysia, Kaherah untuk dipindahkan.

"Walaupun tiada sebarang arahan diterima, tapi kumpulan pelajar di sana sudah bersiap-sedia untuk sebarang kemungkinan," katanya.

Jelas beliau, kumpulan pelajar Malaysia di Mansurah bagaimanapun tidak menghadapi masalah bekalan makanan.

"Bekalan makanan masih boleh dibeli, tapi sejak berlakunya rusuhan, harga barang makin naik dan lebih mahal," katanya.

Sejak Selasa minggu lalu, beberapa demonstrasi jalanan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansurah.

Daripada 11,319 pelajar Malaysia di negara itu, 6,135 sedang mengikuti jurusan pengajian Islam dan selebihnya dalam bidang perubatan.

Pelajar Malaysia Di Mansurah Sedia Untuk Pulang

Posted: 01 Feb 2011 04:44 AM PST

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia di Universiti Mansurah, Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sebahagian daripada mereka kini berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk pulang ke tanah air.

Difahamkan lebih daripada 15 pelajar Kuliah Perubatan universiti itu kini sedang bergerak dari bandar Mansurah menuju ke lapangan terbang antarabangsa berkenaan secara berkumpulan.

Menurut wakil persatuan pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM), Muhammad Azrul Azizi Amir Hamdan, tindakan meninggalkan negara yang kini sedang bergolak itu adalah inisiatif kumpulan pelajar berkenaan.

"Kumpulan terbabit mengambil langkah sendiri untuk pulang dan ada sebahagian daripada mereka sudah membeli tiket pulang ke Malaysia beberapa bulan lebih awal," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Muhammad Azrul Azizi, pelajar tahun tiga universiti selamat pulang ke Malaysia Ahad lalu.

Beliau kini mengendalikan laman blog krisismesirnasibrakyatkita.blogspot.com bagi mengumpul maklumat mengenai perkembangan terkini pelajar Malaysia di Mesir serta menjejaki kumpulan pelajar yang sudah selamat sampai ke tanah air.

Bagaimanapun menurut Muhammad Azrul Azizi, beliau dimaklumkan oleh rakannya yang berada di lapangan terbang tersebut, bagi pelajar yang mempunyai tiket penerbangan Egypt Air, tiada jaminan bahawa pesawat berkenaan akan terbang ke Kuala Lumpur.

"Tiada jaminan kerana sebelum ini Egypt Air sudah beberapa kali menangguhkan penerbangan dan ada juga penerbangan yang dibatalkan," katanya.

Tambah Muhammad Azrul Azizi, terdapat juga beberapa pelajar yang kini sudah menaiki pesawat Gulf Air dan bersedia untuk terbang ke Kuala Lumpur.

Keadaan di Mesir kucar-kacir berikutan suasana politik yang tidak menentu di negara itu akibat demonstrasi jalanan mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan.

Sejak Selasa minggu lalu, beberapa demonstrasi jalanan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansurah.

Daripada 11,319 pelajar Malaysia di negara itu, 6,135 sedang mengikuti jurusan pengajian Islam dan selebihnya dalam bidang perubatan.

PRK Merlimau: Bekas Datuk Bandar Antara Yang Tersenarai Sebagai Calon UMNO

Posted: 01 Feb 2011 04:43 AM PST

KELAB GREENBOC

Tujuh nama diserahkan calon Merlimau

Zaini Md Nor (kiri) dan Mohamed Nasser Selamat. Mereka yang tersenarai sedang melalui proses penapisan sebelum dihantar kepada PM

MELAKA TENGAH: Tujuh nama yang bakal diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini adalah daripada kalangan pegawai kerajaan dan pemimpin politik tempatan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata semua nama sedang melalui proses penapisan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

Namun menurut sumber, antara nama popular daripada kalangan pegawai kerajaan yang dimaksudkan Mohd Ali itu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Zaini Md Nor.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Mohamed Nasser Selamat; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad dan Penghulu DUN Bemban, Jezlee Pit.

Tidak ketinggalan juga nama bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Zaini, 50, yang berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau adalah bekas Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah yang pertama. Beliau sering mendapat pujian Mohd Ali kerana rajin dan proaktif, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohamed Nasser, 46, adalah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan anak jati DUN berkenaan. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jasin adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Roslan adalah AJK Bahagian Umno manakala Jezlee adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Jasin.

Ibrahim, 63, berasal dari Kampung Pulai, Merlimau pula berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Maryland, Amerika Syarikat. Nama beliau sebelum ini pernah dikaitkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, di kalangan ahli politik pula, antara nama yang disebut-sebut adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohd Said Yusof dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Zaidi Attan serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Abdul Nasir Bazid.

Mohd Said adalah bekas Ahli Parlimen Jasin, manakala Zaleha Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas DUN Bemban.

Zaidi yang juga seorang ahli perniagaan adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno negeri, manakala Abdul Nasir adalah kakitangan sebuah sekolah di Merlimau. -bh

Umno tak faham perkataan jahiliah

Posted: 01 Feb 2011 04:39 AM PST

PASPB

Nik Aziz pertahankan dakwaan jahiliah

http://malaysianstory.files.wordpress.com/2009/11/nik_aziz_new1.jpg

KOTA BHARU. : Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa terdapat masyarakat di negara ini yang masih tidak memahami perkataan jahiliah sebagaimana yang digunakannya semasa kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Katanya, setelah 50 tahun negara merdeka, orang bukan Islam masih belum memahami Islam sehingga perkara yang paling asas seperti soal larangan bersalaman antara bukan mahram dipertikaikan.

"Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliah. Ada yang marah saya apabila saya membangkitkan soal jahiliah. Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliah.

"Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliah walaupun tidak memakai nama jahiliah," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, label jahiliah terhadap mereka yang tidak mengundi Pas itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang yang dikatakan Mursyidul Am dan dipanggil ustaz.

Nik Aziz turut mempersoalkan sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang menghentam beliau semasa mengeluarkan kenyataan jahiliah.

"Kita dituduh sebagai kuda tunggangan DAP. Jika Timbalan Perdana Menteri sendiri menyebut Pas tidak pernah menggugurkan agenda negara Islam, UMNO pula bagaimana?" katanya.SH

YB tidur dah tak dapat elaun, tak apa Umno boleh bagi elaun ?

Posted: 01 Feb 2011 04:36 AM PST

PASPB

Elaun YB Badrul dihentikan


SHAH ALAM. : Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim menegaskan tiada pembayaran elaun diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah selepas 15 Januari lalu.

Menurutnya, elaun yang diberikan kepada ADUN mewakili parti PKR sebelum ini diberhentikan berikutan kekosongan kerusi DUN Pelabuhan Klang.

"Kekosongan kerusi itu telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) pada 21 Januari yanng lalu.

"Sekiranya ada pembayaran yang dilakukan kepadanya melebihi 15 Januari lalu kita akan menarik balik dan untuk bulan Februari, kita tidak akan memberikan kepadanya elaun lagi," katanya.

Chang Kim berkata, kesemua elaun diberikan kepadanya ditarik balik dan sekiranya terbayar, pihak kami akan mengambil semula.

Terdahulu, Chang Kim telah mengisytiharkan DUN Pelabuhan Klang kosong berikutan Badrul Hisham mewakili kerusi itu gagal hadir ke Sidang DUN dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah.

Keputusan itu dibuat selaras dengan peruntukkan Undang- Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 di bawah Artikel 69.

Lanjutan daripada tindakan Chang Kim, Badrul Hisham telah memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau masih wakil rakyat yang sah bagi kerusi tersebut.

Saman itu difailkan melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan &Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamh Tinggi Sivil, dekat sini, baru- baru ini.

Badrul memenangi DUN Pelabuhan Klang atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum (PRU ) Ke 12 lalu dengan majoriti 4,407 undi dan bertindak keluar parti dan menyertai UMNO pada Mei tahun lalu

Majlis Bandaraya Melaka disaman RM 2 juta

Posted: 01 Feb 2011 04:33 AM PST

WARKAH DAILY


AYER KEROH. : Seorang kakitangan sebuah agensi kerajaan memfailkan saman RM2 juta terhadap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) atas kecederaan parah dialaminya tahun lalu akibat ditimpa dahan sebatang pokok tua.

Writ saman berkenaan difailkan peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dan Muhammad Fadzil Hassan yang mewakili plaintif Md Nazeran Noor Mohamad, 32, di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, di sini, semalam.

Bercakap kepada media selepas memfailkan saman berkenaan, Sheikh Ikhzan berkata, saman itu difailkan berikutan kecuaian defendan (MBMB) dalam menjaga, menyelia dan memangkas dahan reput pada pokok tua berkenaan.

Menurutnya, banyak pokok berusia ratusan tahun dipelihara defendan di kawasan pelancongan Banda Hilir dan melarang pokok berkenaan daripada ditebang bagi mengekalkan tarikan pelancongan di sesetengah kawasan, terutama di sekitar Jalan Kota.

"Pada 14 Februari tahun lalu, kira-kira jam 10.15 pagi, sedang plaintif menunggang motosikal di Jalan Kota, Banda Hilir, satu dahan pokok daripada salah satu pokok tua yang dipelihara dan di bawah jagaan serta seliaan defendan jatuh dan menghempap plaintif," katanya.

Writ saman yang difailkan itu turut menyatakan bahawa defendan cuai apabila gagal memastikan pokok yang dipelihara berada dalam keadaan baik dan tidak berbahaya untuk orang awam yang lalu-lalang atau melalui di bawahnya.

Rakyat terkejut , pengundi Umno gembira petrol naik

Posted: 01 Feb 2011 04:24 AM PST

PASPB

Petrol Naik: Rakyat Terima Kejutan Berterusan- CASSA

SHAH ALAM .: Rakyat Malaysia menerima kejutan secara berterusan apabila harga petrol RON97 dinaikkan sekali lagi dalam tempoh sebulan.

Dengan kenaikan terbaru ini, harga petrol tersebut menjadi RM2.50, naik 10 sen berbanding sebelum ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George ketika dihubungi Tv Selangor melahirkan rasa terkejutnya dengan kenaikan kali keempat berturut-turut itu dan menggesa pihak kerajaan segera berpegang kepada janji yang dilafazkan sebelum ini.

"Bila kenaikan pada 4 Januari, kenyataan telah diberi, tidak ada lagi kenaikan dalam tempoh masa yang singkat. Masyarakat sudah menerima itu, tetapi setelah mereka menerima, ini menjadi kejutan berganda. Melalui kajian yang dilakukan daripada pengguna-pengguna, mereka katakan selepas ini kita tidak boleh terima lagi kenyataan-kenyataan kerajaan," tegas Dr Jacob.

Katanya, tindakan kerajaan yang secara sembunyi-sembunyi menaikkan harga RON97 memberikan implikasi besar kepada pengguna.

Walaupun rakyat Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan petrol dari jenis RON95, kenaikan RON97 akan tetap memberi kesan kepada pasaran negara.

"Pada pandangan saya, bila kenaikan ini dibuat mesti akan memberikan kesan kepada kenaikan harga-harga barangan lain seperti dalam sektor perkhidmatan. Sama ada kita suka atau tidak, ia tentu ada kesannya.

"Tolong berikan satu kenyataan contohnya seperti dalam satu tahun berapa kali kita naik, bagi tarikh.Tidak perlu sembunyi-sembunyi. Tindak balas yang kita terima sekarang dari masyarakat umum ialah kenapa kenaikan diumumkan dengan cara sembunyi?," tegas Dr Jacob lagi.

Malah tambahnya, tindakan kerajaan itu mengakibatkan rakyat mula tertanya-tanya dan membuat pelbagai spekulasi sama ada kerajaan Malaysia menghadapi masalah kewangan sehingga memaksa harga barangan-barangan tertentu dinaikkan.

Harga RON97 mula dinaikkan sejak tahun lalu kepada RM2.15 pada November, kemudian meningkat kepada RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.40 pada 4 Januari lalu.

Kerajaan kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tidak akan berlaku dalam tempoh beberapa lama.

Sementara itu, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli berkata, kenaikan secara berterusan terhadap petrol RON97 mengakibatkan kuasa beli rakyat kepada petrol jenis itu semakin mengecil dan hanya mereka yang berkemampuan dapat menikmati produk yang berkualiti itu.

"Persoalannya, apakah rakyat Malaysia ini hanya diberikan pilihan-pilihan yang berkualiti rendah, oleh kerana kualiti yang baik itu terlalu jauh bezanya sampai harga itu tidak termampu kepada orang biasa. Jadi kelihatannya kerajaan membuat struktur harga sedemikian rupa sampai orang awam, orang biasa, memang tidak akan mampu untuk merasa nikmat barangan yang lebih baik," kata Hatta kepada Tv Selangor.

Oleh kerana RON97 diapungkan harganya sejak tahun lalu mengikut pasaran antarabangsa, ia lebih menghairankan kata Hatta apabila di Malaysia, harganya terus meningkat tanpa berlaku sebarang penurunan.

Sepatutnya kata Hatta, harga yang diapungkan lebih mudah dikawal kerana sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia berkeupayaan berbuat demikian.

Kes Tumbuk Guru-Siapa Yang Bersalah

Posted: 01 Feb 2011 04:19 AM PST

Staff Berita Semasa

Berlaku di daerah Dungun, Seorang guru lelaki tidak menyangka tindakannya menerima pelawaan bapa muridnya ke rumah membawa padah apabila ditumbuk dua kali di muka selain disepak.Guru berusia 43 tahun itu juga diacukan pisau berikutan bapa terbabit naik angin apabila mengetahui mangsa menampar anaknya.

Penyebab bagi insiden tersebut adalah kerana guru terbabit menampar pipi dan memulas telinga pelajar terbabit yang didakwa memberikan isyarat lucah kepada salah seorang murid tahun 6 di sekolahnya selepas keluar dari makmal.

Atas sebab tindakan ingin "mengajar" anak murid, guru yang tidak mahu dikenali pula dibelasah bapa pelajar tersebut.Apakah rasionalnya tindakan bapa pelajar itu?

Kejadian ini bukan baru pertama kali terjadi,dan dari senario yang kami lihat, kebanyakan ibu bapa lebih banyak menyokong tindakan luar kawalan anak mereka dengan menganggap anak mereka berperwatakan baik di sekolah dan bukan sebaliknya.

Ini membuatkan pelajar-pelajar sekolah semakin "naik lemak" apabila mengetahui keluarga mereka akan menyokong mereka walau apa-pun terjadi atas sebab perbuatan pelajar tersebut di sekolah. Takkan tak tahu, guru adalah umpama bapa atau ibu kepada pelajar semasa di sekolah.

Wajarlah jika mereka melakukan kesalahan, mereka menerima hukuman. Namun sekarang, guru-guru tidak lagi dihormati.Tidak semasa zaman kami dahulu.Ibu-bapa pada zaman dahulu lebih menitik beratkan perasaan hormat dan memandang tinggi profession guru sebagai pendidik anak-anak mereka.

Pada masa dahulu, usahkan hendak membalas, hendak mengadu kepada keluarga bila kena hukum dengan guru pun, tidak berani untuk diluahkan.Kerana, ibu bapa beranggapan sekiranya anak mereka dihukum, ini bermakna anak mereka memang melakukan kesalahan.

Tidak ada guru yang ingin menghukum anak muridnya tanpa ada asas-asas yang kukuh. Dalam kes di atas, menunjukkan isyarat lucah bukanlah sesuatu yang boleh dibiarkan. Lebih-lebih lagi, perbuatan anak menjadi cermin kepada sikap dan keperibadian keluarga pelajar tersebut sendiri.

Jika kita sendiri sebagai ibu-bapa, melihat anak kita yang berusia 8 tahun sudah pandai memberi isyarat lucah, adakah kita hanya akan tersenyum gembira dengan perbuatan mereka? Anda fikirkanlah sendiri.

Pada pendapat kami, KPM selepas ini patut mewujudkan silibus atau modul mempertahankan diri untuk guru-guru mereka.Pada zaman ini, berkemungkinan ianya amat diperlukan.

Pendapat anda, siapakah yang patut dipersalahkan?

elajah PKR untuk perbaiki imej

Posted: 01 Feb 2011 04:18 AM PST

S Pathmawathy

Program jelajah pimpinan PKR bermula hari ini - selepas pemilihan parti itu tahun lalu yang dianggap kontroversi dan mencalarkan imejnya.

Jelajah itu akan dimula di Galeri Empire, Subang Jaya jam 4 petang ini oleh naib presiden yang juga ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga ADUN Seri Setia.

Kajian yang dijalankan oleh Pusat Pengajian Demokrasi dan Pilihan raya Universiti Malaya (UM) menunjukkan populariti PKR tercalar ekoran laporan media mengenai krisis dalaman parti itu.

Lebih separuh daripada responden dalam kajian tersebut menyuarakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program tersebut yang bertujuan untuk memperbaiki ikatan antara kepimpinan pusat parti dengan cabang-cabangnya, dijangka diadakan di 30 lokasi yang ditandingi PKR dalam pilihan raya serta kawasan yang dianggap 'strategik'.

Mengumumkan perkara itu hari ini, ketua penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata kaunter pendaftaran juga akan dibuka untuk keahlian baru.

Menurutnya, jelajah itu penting kerana ini adalah kali pertama ibupejabat PKR memainkan peranan langsung dalam menyusun program ini dengan pihak cabang - yang akan berjalan selama tiga bulan sehingga akhir April.

'Anak saya di Mesir tidur 'berteman' pisau

Posted: 01 Feb 2011 04:15 AM PST

BERNAMA

Bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di Mesir, beberapa ibu bapa pelajar hari ini mendesak kerajaan mengambil tindakan segera bagi membawa pulang anak mereka ke tanahair.

Seorang bapa, Salahul Ahmad Jamal Mohd berkata anaknya Nurul Firdaus, 18, yang kini menuntut di Mansura, memberitahu yang dia terpaksa tidur bertemankan pisau kerana bimbang dengan keadaan yang semakin tidak terkawal.

"Anak saya kini berada dalam keadaan ketakutan...sehingga terpaksa mengenggam pisau demi keselamatan diri dengan bertambahnya kejadiaan pecah rumah, manakala golongan banduan yang melepaskan diri dari penjara pula
bermaharajalela tanpa tindakan dari pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama di ibunegara.

Melihat pada keadaan sekarang, Salahul berkata sewajarnya kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengeluarkan pelajar Malaysia dari negara terbabit.

"Pelajar-pelajar ini adalah bakal pemimpin negara, bertindaklah cepat... jangan nak tunggu nyawa melayang baru nak hantar bantuan...ini bukan soal duit yang penting nyawa anak-anak kami paling utama," katanya.

Sejak Selasa lepas beberapa demonstrasi jalanan dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk di Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.

Sementara itu, Rohana Abdul Rahman, ibu kepada Hanan Amira Hashim, 22, berkata beliau bimbang talian komunikasi di negara terbabit akan terputus.

"Sekiranya talian telekomunikasi terputus, ini akan menyukarkan kami (ibu bapa) untuk berhubung dengan mereka," katanya.

Beliau juga berharap kerajaan memberi lebih tumpuan kepada kawasan di Mansura yang agak jauh jika dibandingkan dengan Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta dan Iskandariah.

"Tindakan segera perlu...jika tidak nyawa anak-anak kami berada dalam keadaan bahaya dengan masalah jenayah jalanan,pecah rumah dan banduan semakin 'bebas' di mana-mana sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama.


KASE kempen bantah saman automatik JPJ

Posted: 01 Feb 2011 04:12 AM PST

Hazlan Zakaria

Kempen Anti Saman Ekor (KASE) hari ini menggiatkan kempennya ke atas usaha Jabatan Pengangkutan Jalan menswastakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Kempen berkenaan dijalankan dengan mengedarkan risalah kepada pengguna jalan raya di beberapa plaza tol di Kuala Lumpur.

NONEPengerusi KASE Datuk Mahfuz Omar Sena mengetuai pasukan sukarelawan berkenaan yang mengedarkan risalah berkenaan di plaza tol Sungai Besi petang ini.

Beliau yang juga naib presiden PAS berkata, kempen itu dijalankan sempena pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan yang berkuasa hari ini.

Tambahnya, pindaan berkenaan, termasuk penswastaan AES tidak akan memberi penyelesaian dan hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah serta persoalan, katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Katanya lagi, kumpulan berkenaan turut bercadang untuk mengedarkan 20,000 risalah ke kawasan tol plaza Gombak, Sungai Buloh dan Shah Alam.

KASE ditubuhkan oleh Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS sejak Ogos tahun lalu bagi menggiatkan kempen bagi membantah penguatkuasaan saman melalui pembuktian fotografi oleh.

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah

Posted: 01 Feb 2011 04:10 AM PST

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya' yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya'rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

Umno terpaksa galas MCA yang lumpuh

Posted: 01 Feb 2011 04:07 AM PST

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Keputusan pilihan raya kecil Tenang menunjukkan beban Umno sebagai tukang usung MCA semakin bertambah, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"MCA semakin lumpuh, seolah-olah sudah patah kaki dan tangannya. Umno kini mendapat kerja baru sebagai tukang usung MCA.

"Tak ada batu, beban digalas," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, kalau dalam permainan bola, hanya Umno sahaja yang berhempas pulas bergerak ke serata padang.

"Umno terpaksa berlari sendirian sekeliling padang. Dialah penjaga gol, dialah pemain pertahanan, dialah pemain tengah dan dialah penyerang.

"MCA hanya jadi tukang bising suruh Umno buat itu ini dan tukang tengok di dalam padang sedangkan tukang tengok atau penonton sepatutnya berada di luar padang. Perkara tersebut dirungutkan oleh orang-orang Umno sendiri," katanya.

Malah bukan setakat itu sahaja, kata Mahfuz, MCA juga seolah-olah menjadi tukang sabotaj kempen Umno dengan perbuatan menghina Islam sehingga menimbulkan kemarahan anak kandung Umno, Perkasa.

Tidak cukup dengan itu, MCA juga seolah-olah mendorong pemimpin Umno menghina hukum Allah.

"Kerana terpengaruh dan begitu seronok dengan permainan MCA menghina hukum Allah, (Menteri Besar Johor, Datuk) Abdul Ghani Othman dengan begitu ghairah menghina hukum potong tangan sedangkan perkara itu merupakan ketetapan Allah dalam al-Quran.

"Ketika DAP sedang belajar berhenti mengecam hukum Islam walaupun tidak mahu dan tidak menyokongnya, Umno tetap meneruskan watak sebagai penghina hukum Islam.

"Kalaupun tak mahu buat atau tak sokong, Umno tak sepatutnya menjadi pak turut MCA menghina hukum Islam," katanya.

Pilihan raya kecil Tenang juga memperlihatkan kelemahan dan ketiadaan pengalaman jentera Umno Johor untuk "berperang" dengan pembangkang.

"Kalau tidak dibantu oleh jentera Umno dari luar, Umno Johor yang sudah biasa menang mudah dan mengejek-ejek penyertaan PAS dalam pilihan raya negeri itu tak ubah seperti anak ayam kehilangan ibu," katanya.

Walaupun dibantu oleh jentera Umno luar yang lebih pengalaman "berperang" dengan pembangkang, katanya, Umno tetap terpaksa berhempas pulas untuk menghadapi aura calon PAS, Normala Sudirman.

"Pelbagai fitnah yang mereka sasarkan terhadap Normala dan keluarganya membuktikan Umno merasa tergugat dengan keperibadian calon PAS itu," katanya.

Dengan apa yang dihadapi oleh Umno dalam pilihan raya kecil Tenang itu, Mahfuz menjangkakan zaman Umno menang mudah dan boleh bersenang lenang menghadapi pilihan raya di Johor akan semakin berakhir.

Selangor atur pelan tindakan bawa pelajar keluar

Posted: 01 Feb 2011 04:02 AM PST

Harakahdaily

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor akan bersama-sama dengan Wisma Putra bagi menguruskan kepulangan para pelajar Malaysia di Mesir ekoran keadaan negara itu yang tidak stabil sekarang.

Exco Pendidikan Tinggi Selangor, Dr Halimah Ali berkata, beliau telah bertemu dengan pegawai Wisma Putra pagi ini bagi membincangkan soal itu dan mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pelajar negeri itu di sana.

Beliau dijangka akan mengadakan mesyuarat segera dengan Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali dan Pengarah Jais hari ini juga bagi merangka pelan tindakan untuk membawa mereka keluar segera.

Ini kerana, kebanyakan pelajar Selangor di Mesir adalah pelajar jurusan agama dan mendapat pinjaman atau bantuan dari Pusat Zakat Selangor.

"Diharap semua para ibu bapa bertenang dan banyakkan berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusan," kata Halimah dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, PAS dan PKR telah mendesak kerajaan supaya membawa keluar semua pelajar Malaysia di sana kerana keadaan sudah tidak terkawal lagi.

Ini ekoran dari tindakan beberapa pihak yang mengambil kesempatan untuk diri sendiri dengan cara merompak dan mengganggu pelajar Malaysia di sana selepas polis tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.

PAS atau PKR di Merlimau?

Posted: 01 Feb 2011 03:57 AM PST

Mesyuarat Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur malam esok untuk menentukan calon.


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau di Kuala Lumpur malam esok.

Pengarah Pilihanraya PKR Melaka, Mohd Yusof Abdullah berkata, antara agenda mesyuarat tersebut ialah untuk menentukan parti mana yang akan bertanding di Dun tersebut – PAS atau PKR.

PRK Merlimau diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan bulan lalu. Pada pilihan raya umum 2008, kerusi itu ditandingi PAS dan sebelum itu oleh PKR.

Kerusi Merlimau mungkin menjadi rebutan antara dua komponen Pakatan itu berikutan minat PKR untuk bertanding.

Pengarah Pilihanraya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menegaskan parti itu akan tetap bertanding di Merlimau berdasarkan persetujuan 2008.

Tetapi, Mohd Yusof yang juga ketua PKR Cabang Bukit Katil, mahu PAS mengambil pengajaran dari kekalahan besar calon di Dun Tenang, Ahad lalu.

"Majoriti 3,703 undi yang diperolehi BN sangat besar. Tidak mustahil boleh berulang lagi di Merlimau," katanya.

Menurut beliau, PKR Melaka sudah membuat persiapan bagi menghadapi Merlimau termasuk sudah menyenarai pendek senarai calon. Jentera parti juga telah digerakkan dan sudah mula menemui pengundi," katanya.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 26 Febuari sebagai hari penamaan calon dan 6 Mac sebagai hari mengundi

Najib: Banjir terburuk di Johor sudah berlalu

Posted: 01 Feb 2011 03:55 AM PST

BERNAMA

LABIS — Sehari selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hari ini melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Johor.

Perdana Menteri yang tiba di Labis tengah hari ini berkata, berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah berlalu.

"Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan.

"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempat di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Mangsa banjir di Johor menunjukkan penurunan dengan seramai 40,443 mangsa daripada 9,809 keluarga berada di 244 pusat pemindahan sehingga pukul 2 petang tadi.

Pagi tadi, lebih 45,000 mangsa daripada 11,104 keluarga berada di 267 pusat pemindahan.

Menurut laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my, daerah Segamat masih mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 19,489 orang membabitkan 4,689 keluarga, diikuti Kluang dengan 7,680 orang daripada 2,044 keluarga.

Portal itu melaporkan seramai 95 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan di Johor Baru, 2,374 orang (541 keluarga) di Muar, 2,757 orang (620 keluarga) di Batu Pahat dan 600 orang daripada 139 keluarga di Pontian.

Kota Tinggi pula mencatatkan 1,781 mangsa melibatkan 412 keluarga, Mersing (99 orang daripada 31 keluarga), Ledang (5,305 orang daripada 1,224 keluarga) dan Kulaijaya merekodkan 263 mangsa daripada 84 keluarga.

Menurut laporan portal itu, daripada 244 pusat pemindahan, 89 adalah di Segamat, Kluang (39), Johor Baharu (3), Muar (22), Batu Pahat (28), Pontian (10), Kota Tinggi (19), Mersing (1), Ledang (29) dan Kulaijaya (4).

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

Sementara itu, jalan yang masih ditutup di Segamat membabitkan Batu 8 di Jalan Muar-Segamat, jambatan Sungai Penarah di KM 63 Jalan Muar-Segamat, KM 196 Jalan Johor Baharu-Seremban (Batu 8, Sungai Merlimau) dan jalan masuk ke Felda

Redong akibat jambatan runtuh.

Jalan yang ditutup di Kluang membabitkan KM 79 hingga KM 81 Jalan Kluang-Mersing dan KM 75 Jalan Kluang-Jemaluang.

Menurut Perdana Menteri, bencana banjir yang melanda Johor disebabkan fenomena cuaca yang luar biasa di mana jumlah hujan yang diterima negeri itu dalam sehari bersamaan dengan jumlah diterimanya dalam dua bulan.

"Ia adalah suatu fenomena cuaca yang luar biasa, di mana jumlah hujan yang turun itu tidak dapat diduga," katanya sambil menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan oleh faktor pemanasan iklim dunia.

Ditanya mengenai persediaan di dalam menangani bencana banjir di Johor, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya tindakan pantas operasi membantu mangsa banjir di Johor itu merupakan hasil kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan pusat.

Usaha membantu mangsa-mangsa banjir itu termasuk, memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selimut, tikar serta bekalan perubatan dan rawatan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Hasil tinjauannya di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, Najib berkata, mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan menikmati makanan segar seperti ikan, ayam dan daging.

Mengenai bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Johor, beliau berkata, ia akan diberikan kepada mangsa selepas ini bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan kadar wang ehsan itu mengikut formula yang telah ditentukan.

PKR sanggup hilang pemimpin rasis macam MP Padang Serai

Posted: 01 Feb 2011 03:33 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PRK) sanggup kehilangan pemimpin-pemimpinnya yang rasis termasuk yang terbaru Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang mengumumkan keluar parti itu Sabtu lalu.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Gobalakrishnan baru-baru ini telah menuduh berkali-kali bahawa parti komponen Pakatan Rakyat itu meminggirkan masyarakat India.

"Sebelum ini, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin (juga) menuduh PKR mengabaikan masyarakat Melayu.

"Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada dalam PKR, yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Gobalakrishnan, 50, mengisytiharkan dirinya keluar PKR Sabtu lalu dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Gobalakrishnan berkata, "saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR."

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia ini menambah, ramai pimpinan PKR telah menjawab tuduhan Gobalakrishnan secara spesifik dan menafikan dakwaannya bahawa parti itu meminggirkan masyarakat India.

"Masyarakat sendiri dapat menilai dakwaannya hanya terbit selepas beliau kalah dalam pemilihan dan tidak dilantik menjadi naib presiden parti," katanya.

Dalam kenyataan media itu, Nik Nazmi juga berkata, seramai 45 peratus ahli PKR merupakan orang Melayu manakala masyarakat India pula terdiri daripada 23 peratus.

"Saya juga ingin membetulkan laporan Free Malaysia Today yang menyebut bahawa 40 peratus anggota PKR adalah dari masyarakat India sementara Gobalakrishnan pula menyatakan 90 peratus pimpinan PKR adalah dari masyarakat Melayu.

"Daripada 371,612 anggota PKR, Melayu adalah 45 peratus, Cina 11 peratus, India 23 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula sebanyak 21 peratus," katanya.

Menurunya, kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat PKr untuk sesi 2010-2013 pula terdiri daripada Melayu seramai 62 peratus, Cina 20 peratus, India 12 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula empat peratus.

"Hakikatnya majoriti besar pimpinan PKR dipilih menerusi sistem satu anggota satu undi, dan anggota PKR jelas meletakkan kebolehan, keupayaan serta komitmen kepada perjuangan mengatasi sebarang perkiraan perkauman," katanya.

Justeru kata beliau, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobalakirshnan yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti.

"Rakyat akan menilainya dalam pilihan raya umum akan datang dan PKR sebagai parti politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan," katanya lagi.

Malaysia timbang guna kapal TLDM bantu pelajar dari Mesir

Posted: 01 Feb 2011 03:30 AM PST

BERNAMA

LABIS — Kerajaan sedang menimbang menggunakan kapal serba guna Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah, untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kapal terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

"Kita mempunyai pelan untuk menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia termasuk kapal TLDM yang sedang meronda di Teluk Aden, untuk membawa mereka keluar daripada Mesir," katanya pada sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas di sini, hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan keluarga pelajar dan rakyat Malaysia yang kini berada di Mesir, berikutan keadaan yang semakin meruncing di negara Timur Tengah itu berikutan demonstrasi yang diadakan oleh rakyatnya bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur.

Kapal serba guna TLDM terbabit, KD Bunga Mas kini terlibat dalam operasi antilanun di Teluk Aden.

Ketika ini, terdapat lebih daripada 10,000 pelajar Malaysia berada di Mesir.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telahpun menghantar rombongan pegawai kanan ke Mesir untuk meninjau keadaan terkini di negara terbabit dan memastikan rakyat Malaysia selamat.

Mengenai penggunaan pesawat kargo C-130 Hercules bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir, beliau berkata ia tidak praktikal kerana pesawat kargo terbabit hanya mampu membawa 40 penumpang.

"Selain itu, kita juga tidak tahu (mengenai) krew yang bertugas di lapangan terbang Mesir itu," katanya.

Najib berkata kerajaan memahami kebimbangan keluarga pelajar berkenaan tetapi kerajaan tidak boleh bertindak terburu-buru.

"Saya memahami perasaan ibu bapa yang risau (terhadap keselamatan anak mereka)," kata beliau

Bukan Melayu dilarang buat liputan wacana Mahathir

Posted: 01 Feb 2011 03:29 AM PST

KUALA LUMPUR — Penganjur wacana yang dihadiri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta editor organisasi media supaya hanya menghantar pemberita dan krew televisyen kalangan Melayu untuk membuat liputan majlis tersebut.

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) mengadakan wacana bertajuk "Kaum Melayu dan Masa Depan" di Memorial Tun Hussein Onn di sini petang ini.

Seorang pemberita keturunan India dari portal berita Malaysiakini dilarang daripada memasuki dewan wacana dan kemudian tidak dibenarkan menghadiri sidang media.

Seorang wakil jawatankuasa penganjuran memberitahu pemberita bahawa Dr Mahathir tidak mahu portal berita membuat liputan majlis tersebut.

Bagaimanapun pegawai bekas perdana menteri itu menafikan arahan sedemikian dikeluarkan oleh pihaknya.

Apabila wakil itu didampingi sekali lagi berkata dia menerima arahan peringkat atasan.

"Kami menerima arahan peringkat atasan. Kami tidak mahu sebarang kontroversi daripada majlis ini," katanya.

Apabila ditanya sama ada pemberita itu dilarang kerana faktor kaum, wakil itu beredar tanpa mengulas lanjut.

Mubarak ditubuhkan bagi menjaga silaturrahim dan merapatkan hubungan sesama bekas wakil rakyat di Malaysia. Ahlinya adalah kalangan wakil rakyat Barisan Nasional.

Mangsa banjir dipindah meningkat di Johor, Melaka

Posted: 31 Jan 2011 10:02 PM PST

TERKINI


Kenderaan pacuan empat roda meredah banjir di bandar Segamat, Johor malam tadi. — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Lebih 47,000 penduduk di 10 daerah di Johor dipindahkan setakat pagi ini — jumlahnya terus mengalami peningkatan — ekoran banjir yang bertambah buruk manakala hujan pula berterusan di banyak tempat.

Seramai 47,838 orang dipindahkan setakat 8 pagi tadi berbanding 45,909 orang sehingga 12 tengah malam tadi.

Begitu juga keadaan di Melaka di mana lebih ramai dipindahkan sehingga tengah malam tadi.

Daripada 47,838 orang dipindahkan setakat 8 pagi tadi di Johor, Johor Baru mencatatkan 4,715 orang melibatkan 1,232 keluarga, Muar (2,435; 562) Batu Pahat (2,543; 569), Segamat (19,658; 4,717), Kluang (9,594; 2,368), Pontian (656; 149), Kota Tinggi (2,469; 586), Mersing (99; 31), Ledang (4,260; 932), Kulaijaya (1,409; 345).

Bagaimana di Segamat, kawasan yang paling teruk dilanda banjir, sehingga 10 pagi mangsa yang masih berada di pusat perpindahan adalah seramai 19,441 orang melibatkan 93 pusat perpindahan.

Jurucakap pusat operasi banjir berkata paras air sudah mula turun tetapi masih di paras bahaya dan dijangka air akan naik lagi jika hujan berterusan.

Beberapa penduduk dan wartawan yang masih tersadai yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, air sudah mula menurun manakala hujan berhenti pagi tadi di kawasan Segamat dan Labis.

"Pendudukan tempatan di kawasan Segamat Baru mula membersihkan rumah masing-masing," kata seorang jurugambar sambilan.

Katanya, anggota tentera juga masih membina jambatan sementara yang menghubungkan Felda Redong dekat Segamat - yang menghubungkan pekan Tenang dengan Felda Redong dan Segamat Kecil.

Kerja-kerja itu dimulakan sejak tengah malam tadi.

Jurucakap pusat operasi banjir menambah kawasan yang sudah surut adalah Labis dan bahagian Bandar Segamat sebelum Jambatan Permaisuri iaitu kawasan Segamat Baru.

Jalan Segamat-Yong Peng juga selamat untuk dilalui, katanya.

Di Johor jumlah kawasan yang terlibat dalam banjir juga dikatakan bertambah berbanding pagi semalam.

Menurut jurucakap bilik gerakan banjir negeri Johor, sebanyak 10,989 keluarga telah berpindah ke pusat perpindahan sehingga pukul 12 tengah malam tadi.

"Sehingga tengah malam tadi seramai 45,909 penduduk dengan 10,989 keluarga telah dipindahkan di seluruh negeri.

"Semua daerah di negeri ini menghadapi banjir dan kita terpaksa memindahkan mereka ke pusat perpindahan. Kita tidak tahu bagaimana keadaan banjir sekarang (tengah malam tadi), tapi kita jangkakan jumlah ini akan bertambah," katanya kepada The Malaysian Insider.

Angkatan Tentera Malaysia juga mula menggerakan pasukan mereka untuk membantu mangsa banjir.

Sebanyak 261 pusat perpindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa banjir dengan 13 pusat perpindahan telah ditutup.

Seramai 4,715 mangsa banjir dari 1,232 keluarga di Johor Baru telah dipindahkan ke 20 pusat perpindahan, 2,095 mangsa dari 481 keluarga di Muar dipindahkan ke 21 pusat perpindahan dan seramai 2,417 mangsa dari 544 keluarga di Batu Pahat dipindahkan ke 25 pusat perpindahan.

Sementara itu di Segamat, seramai 18,915 mangsa dari 4,499 keluarga telah dipindahkan ke 88 pusat perpindahan, seramai 9,730 mangsa dengan 2,408 keluarga di Kluang dipindahkan ke 48 pusat perpindahan dan di Pontian seramai 656 mangsa dari 149 keluarga dipindahkan ke sembilan pusat perpindahan.

Di Kota Tinggi - kawasan yang terjejas teruk dalam banjir besar empat tahun lalu, seramai 2,419 mangsa dari 524 keluarga telah dipindahkan ke 18 pusat pemilihan, di Mersing seramai 99 mangsa dari 31 keluarga dipindahkan dengan satu pusat perpindahan, di Ledang seramai 3,454 mangsa dari 776 keluarga ditempatkan di 22 pusat perpindahan dan di Kulai Jaya seramai 1,409 mangsa dari 345 keluarga dipindahkan ke 9 pusat perpindahan.

Sejak semalam banjir buruk yang berlaku telah menyebabkan tiga kematian dan lebih 40,000 telah dipindahkan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.

Masih ramai terperangkap di beberapa bandar Johor dengan ketiadaan bekalan elektrik atau bekalan, memaksa pasukan tentera membantu operasi menyelamat mangsa.

Bencana kali ini diakibatkan hujan berterusan selama hampir 10 hari manakala menurut Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun hingga minggu ini di Segamat, Kota Tinggi dan Kluang.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan meningkat kepada 2,889 orang sehingga pukul 9 malam tadi berbanding 2,714 mangsa pada sebelah petang.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata Alor Gajah menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,534 daripada 344 keluarga di 10 buah pusat pemindahan.

Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 15 buah pusat pemindahan ialah 1,306 orang daripada 321 keluarga dan 49 mangsa daripada lapan keluarga di sebuah pusat pemindahan di Melaka Tengah.

Banjir di Melaka meragut mangsa pertama hari ini di Jasin iaitu seorang pengawal keselamatan, Yusry Mohd Yusof, 40, yang ditemui lemas di Loji Air, Kampung Chinchin pada pukul 1.30 tengah hari semalam.

Maklumat Jabatan Meteorologi menunjukkan hujan sekejab-sekejab kadangkala sederhana di Johor dan Pahang pagi semalam manakala di Kelantan, Melaka dan Terengganu hujan di satu dua tempat di kawasan pantai.

Keadaan di Johor itu diramalkan akan berterusan sepanjang 24 jam. Begitu juga di Pahang.

Di Melaka, ribut petir dijangkakan di beberapa tempat pada sebelah petang.

Di Negeri Sembilan, diramalkan tiada hujan sebelah pagi tetapi ribut petir di beberapa tempat sebelah petang dan hujan di satu dua tempat sebelah malam.

Laporan Bernama menyebut, beberapa perkhidmatan tren ke selatan dan timur Semenanjung dibatalkan semalam akibat banjir dan tanah runtuh antara Bahau dan Tampin di Negeri Sembilan hingga ke Kluang, Johor.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata perkhidmatan Ekspres Rakyat dari Butterworth ke Singapura dan Singapura-Butterworth hanya beroperasi dari KL Sentral ke Butterworth sahaja.

Ekspres Sinaran Selatan dari Singapura ke KL Sentral dan KL Sentral-Singapura serta Ekspres Senandung Sutera antara KL Sentral-Singapura terpaksa dibatalkan.

Ekspres Sinaran Timur bagi laluan Singapura-Tumpat dan Tumpat-Singapura hanya beroperasi antara laluan Kemayan-Tumpat manakala perkhidmatan ulang alik antara Gemas-Singapura dan Singapura-Gemas hanya beroperasi antara laluan Kluang-Singapura.

Perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lipis ke Singapura akan ditamatkan di Stesen Kemayan.

Menurut KTMB, penumpang Ekspress Senandung Wau dari KL Sentral ke Tumpat akan menaiki bas dari KL Sentral ke Mentakab sebelum menaiki tren ke Tumpat.

Bagi laluan Tumpat ke KL Sentral pula, penumpang akan menaiki tren dari Tumpat ke Mentakab sebelum meneruskan perjalanan ke KL Sentral menaiki bas.

Penumpang yang terjejas akibat pembatalan itu boleh membuat pertukaran tarikh perjalanan atau menuntut pemulangan tiket di kaunter KTMB yang berhampiran, kata kenyatataan KTMB yang dikeluarkan 6 petang semalam.

Pertanyaan boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan KTMB di talian 1-300-88-5862).

Sementara itu, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) telah mengaktifkan kaedah respons banjir tempatan dengan membuat persediaan memberi bantuan kepada mangsa banjir di Johor dan Sarawak.

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata pihaknya sedang berurusan dengan Majlis Keselamatan Negara bagi membantu mangsa serta menghantar bekas yang mengandungi barangan penjagaan kebersihan kepada mereka.

"Sukarelawan kami di Johor sedang membungkus 500 bekas barangan penjagaan kebersihan untuk kawasan Setia Alam dan 500 bekas akan diedarkan ke kawasan lain yang terjejas," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya Mercy Malaysia cawangan Sarawak telah mengedarkan sejumlah 900 bekas barangan penjagaan kebersihan untuk masyarakat yang terjejas akibat banjir di Niah, Asap, Beluru dan Bakung sejak 23 Januari lalu.

Sementara itu pasukan Mercy Malaysia yang tiba di Sri Lanka pada 19 Januari lalu sedang sibuk membantu mangsa banjir di Ampara dan Batticaloa di negara itu.

Pengurus Besar Operasi Mercy Malaysia, Takako Izumi, berkata pihaknya menyediakan 1,000 bekas barangan penjagaan kesihatan untuk diedarkan di dua kawasan tersebut.

Orang ramai boleh membuat sumbangan derma melalui nombor akaun Maybank 5621-7950- 4126 atas nama Mercy Humanitarian Fund atau akaun CIMB Bank melalui nombor 1424-000-6561053 atas nama Mercy Malaysia.

Lereng bukit runtuh

Posted: 31 Jan 2011 09:59 PM PST

SINAR HARIAN ONLINE


KULAIJAYA – Dalam suasana hujan lebat di kawasan perumahan Fasa 12, Taman Sri Putri, di sini, penduduk Jalan Sri Putri 12/10 tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari luar kediaman mereka kira-kira jam 1 petang, kelmarin.

Salah seorang penduduk, Sakunthala, 56, berkata, beliau bergegas ke luar rumah setelah terdengar bunyi dentuman berkenaan dan terkejut mendapati lereng bukit di hadapan rumah jirannya runtuh tiba-tiba.

"Ketika itu hujan turun dengan lebat dan saya sedang memasak di dapur, kemudian tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dari luar rumah.

"Saya segera ke hadapan rumah untuk meninjau apa yang berlaku... saya terkejut apabila mendapati lereng bukit di hadapan rumah kami runtuh," katanya.

Sakunthala berkata, situasi yang berlaku menyebabkan penduduk setempat berada dalam ketakutan dan bimbang runtuhan sama berulang pada bila-bila masa berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Saya baru tinggal di sini kira-kira dua tahun lalu, namun menurut jiran berhampiran kejadian runtuhan seperti ini pernah berlaku di sini sebelum ini pada tahun 2005.

"Situasi yang berlaku menyebabkan saya sekeluarga tidak dapat tidur lena kerana bimbang runtuhan sama boleh berlaku pada sebelah malam berikutan cuaca hujan yang masih tidak henti-henti," katanya.

Rakaman CCTV bantu siasatan

Posted: 31 Jan 2011 09:57 PM PST

SELANGOR KINI

SERDANG – Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan berhubung ancaman yang diterima Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching melalui sekeping nota putih bertulisan merah dan seekor ayam jantan yang disembelih, diletakkan di pejabat Pusat Perkhidmatan DAP, Taman Kajang Mewah 4, Sg Chua Kajang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden, Azman Ayob berkata, rakaman CCTV diperolehi dari kedai bersebelahan pejabat berkenaan dan penelitian sedang dijalankan bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan terhadap rakaman berkenaan terdapat dua suspek yang dipercayai terlibat dengan kejadian berkenaan namun kedaaan rakaman yang kabur sedikit menyukarkan pengecaman.

"Namun kita akan minta kerjasama Unit Forensik bagi membantu mengenal pasti kedua-dua suspek berkenaan."

Sebelumm ini polis telah memanggil dua saksi dan diambil keterangan bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Dua saksi telah dipanggil dan kita akan memanggil beberapa lagi saksi dalam masa terdekat.

"Sehingga kini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan kita akan jalankan siasatan dari segenap aspek.

Pada 19 Januari lalu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menerima nota ugutan terhadapnya bersama seekor ayam jantan yang telah disembelih.

Bimbang dengan keselamatan beliau dan ahli DAP yang lain, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, kira-kira jam 11.30 pagi hari yang sama.

MPSJ belum laksana larangan umat Islam bekerja di premis minuman

Posted: 31 Jan 2011 09:56 PM PST

SELANGOR KINI

SUBANG JAYA - Penguatkuasaan larangan bekerja di premis arak masih belum dilaksanakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan sehingga kini tindakan hanya diambil Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui Enakmen Janayah Syariah Selangor kepada yang melakukan kesalahan.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan berkata, apa yang dikeluarkan pihaknya sebelum ini adalah garis panduan dan peringatan kepada pengusaha pusat hiburan.

Menurutnya, MPSJ belum menjalankan penguatkuasaan seperti yang diperkatakan kerana hanya Jais mempunyai peruntukkan enakmen bagi kesalahn itu.

"Kalau ikut cadangan dan sudah membuat penguatkuasaan, kita tidak benarkan pengusaha ambil pekerja beragama Islam, tetapi kita masih belum laksanakannya lagi.

"Yang dah ambil pekerja ini, ada pilihan lain. Kepada yang terlibat mereka kena fikir, apa pun Jais tetap ambil tindakan kepada pekerja Islam yang menyediakan arak.

Beliau berkata, dari segi jumlah didapati 13 daripada 70 pengusaha pusat hiburan menggaji pekerja Islam.

"Bagi pengusaha yang belum ambil pekerja Islam janganlah pula mereka ambil. Jangan timbulkan masalah.

Adnan berkata, pada kaca mata MPSJ mungkin penguatkuasaan adalah kaedah terbaik, malah ada cara lain boleh dilaksanakan melalui pendidikan.

Menurutnya ada yang mempersoalkan mengapa pihaknya mengadakan kerjasama dengan Jais dalam serbuan di tempat seumpama itu.

Beliau memaklumkan pihaknya bukan sahaja bekerjasama dengan Jais tetapi dengan agensi lain juga seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Imigresen dengan tujuan utama iaitu mencegah perkara terlarang.

Tiada ulasan: