Anak Sungai Derhaka |
- Belajar dari kesan ulama Mesir yang ditutup mulutnya
- UMNO Pulau Pinang meludah ke langit
- Takkan Melayu hilang di dunia
- Apco Worldwide punca polis bertindak ganas?
- Hosni Mubarak hamba US dan Israel
- Kalau tidak berubah, rakyat akan mengubah.
| Belajar dari kesan ulama Mesir yang ditutup mulutnya Posted: 05 Feb 2011 01:17 AM PST KOTA BHARU, 5 Feb: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak yang mahu menutup mulutnya (dari terus memperkatakan Islam) supaya mengambil iktibar dari peristiwa ulama yang ditutup mulut mereka oleh pemerintah Mesir. Beliau yang juga Menteri Besar mahu peristiwa yang berlaku ke atas Presiden Hosni Mubarak diambil ingatan oleh pihak berkenaan. "Hosni Mubarak lama dah tutup mulut ulama, dan sekarang rakyat pula menutup mulut dia (dalam isu revolusi Mesir yang mahukan Hosni Mubaratk berundur)," katanya pada Kuliah Mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi tadi. Terdahulu dari itu beliau mengimamkan solat hajat untukkesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir. (gambar) Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa 'fatwa' yang keluar dari mulut Nik Aziz sering kali bertentangan dengan pendapat Dewan Ulama Pas dan parti itu, justeru beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu supaya dicari jalan bagi 'menutup mulut' Nik Aziz. Baru-baru ini Mursyidul Am PAS itu pada sidang media di Kampung Redong sempena kempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mendakwa pengundi yang tidak menyokong calon PAS sebagai orang jahiliah. Mengulas dakwaan Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Madya Mohd Noor Deris yang mendakwa Nik Aziz telah mengeluarkan banyak kenyataan bercanggah dengan syarak, justeru mahukan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja mengkaji kenyataan Mursyidul Am PAS itu, Nik Aziz berkata beliau amat bersetuju kalau ada pihak mahu berdialog dengannya mengenai Islam. "Saya setuju benar orang berdialog dengan saya. Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan 'hendaklah kamu berdebat dengan mereka dengan cara terbaik'. "Berdebat dan berdialog adalah ajaran agama, bukan hanya ajaran demokrasi. "Saya bersetuju kalau orang berdialog dengan saya (dan hendaklah) 'pegang Al-Quran'. "Untuk majlis dialog itu, orang tengahnya ialah Al-Quran, tetapi kalau berdialog tidak ada panduan, mana boleh," katanya. Beliau turut meminta pemimpin negara ini ambil iktibar dari peristiwa revolusi Mesir yang hangat kini. Beliau menyifatkan rakyat dan pemimpin Negara adalah sama. "Namun rakyat mudah mendengar nasihat, tetapi yang payahnya pemimpin, ini kerana mereka merasakan mereka itu pemimpin yang cerdik berbanding orang lain. "Tahu-tahu, dia kena guling, barulah dia reti," katanya sinis. Beliau menegaskan umat Islam mukmin wajib menolak ideology lain termasuk ideologi Melayu atau nasionalis. "Kerana apa, kerana Al-Quran adalah lebih dari segala-galanya. "Di Malaysia sendiri, Allah swt beri kepada orang Melayu agama (Islam), namun ada di kalangan orang Melayu sendiri menolak Islam dan mengambil kebangsaan (sebagai dasar perjuangan partinya). Ini menyebabkan timbulnya kecelaruan," dakwanya. Harakahdaily |
| UMNO Pulau Pinang meludah ke langit Posted: 04 Feb 2011 08:45 PM PST UMNO Meludah Ke Langit - Sekiranya Buku Risalah "My Balik Pulau" adalah bahan yang lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu Adalah Tidak Lain, Tidak Bukan UMNO Dan Kerajaan Persekutuan Sendiri. ADUN UMNO Pulau Betong Muhammad Farid Saad yang meludah ke langit diseru menarik balik dan meminta maaf atas sifat perkauman anti-bukan Melayu dengan pembohongan dan fitnah yang persalahkan Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang berkaitan pengeluaran Risalah "My Balik Pulau" yang sebenarnya dikeluarkan oleh UMNO dan Kerajaan Persekutuan.ADUN UMNO ini telah menggembar-gemburkan risalah "My Balik Pulau" dengan sentimen perkauman di Utusan Malaysia yang membuat laporan besar bertajuk "lupa sejarah, hina Melayu". ADUN UMNO telah membuat tuduhan melulu dan dakwaan palsu bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang PR bertanggungjawab atas isi kandungan yang kononnya "lupa sejarah,hina Melayu" kerana mengeluarkan risalah "My Balik Pulau" ini. Sebenarnya ADUN UMNO ini meludah ke langit kerana yang mengeluarkan risalah "My Balik Pulau" bukanlah kerajaan negeri PR Pulau Pinang tetapi adalah dari UMNO dan Kerajaan Perseketuan. Sekiranya betul "My Balik Pulau" lupa sejarah dan hina Melayu, maka yang lupa sejarah dan hina Melayu tidak lain tidak bukan adalah UMNO dan Kerajaan Persekutuan sendiri. Apa yang amat keterlaluan ialah ADUN Pulau Betong dan Utusan Malaysia telah membuat laporan berturut-turut mengecam kerajaan negeri PR yang mengeluarkan bahan lupa sejarah, hina Melayu bila UMNO dan kerajaan Persekutuanlah yang sepatutnya bertanggungjawab. Malah dalam bahan risalah "My Balik Pulau" pun ada dicetak nama penyumbang yang terdiri daripada Kementerian Pelancongan Kerajaan Perseketuan dan pemimpin UMNO Balik Pulau termasuk pusat sumber Muhammad Farid sendiri. Akan tetapi semua jentera media massa UMNO dan blog serta Utusan Malaysia terus menyebarkan fitnah terhadap kerajaan negeri PR kerana terus pinggirkan orang Melayu. Dalam keghairahan membuat serangan hentam-keromo ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang semua fakta dan kebenaran dilupai dan dibelakangkan. Sungguhpun yang "bersalah" adalah UMNO dan kerajaan persekutuan sendiri, serangan bertubi- tubi terus dijalankan ke atas kerajaan negeri PR Pulau Pinang yang seolah- olah telah dijadikan tidak ubah seperti kambing hitam UMNO. Kerajaan negeri PR Pulau Pinang tidak akan berdiam diri dan menanggung lagi kesalahan orang lain, khususnya UMNO yang jahat seribu jahat ini. ADUN UMNO Pulau Betong didesak menarik balik dan meminta maaf secara terbuka kepada kerajaan negeri PR atas fitnah jahat ini. Sekiranya beliau gagal pada minggu depan maka tindakan tegas akan diambil. Selain daripada mendedahkan muka rasis sebenarnya beliau kepada pengundi bukan Melayu di Balik Pulau bahawa beliau benci dan tidak perlukan undi bukan Melayu tindakan lain termasuk tindakan perundangan akan diambil. Kemungkinan juga perkara ini dibangkitkan dalam mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang atas permainan perkauman ADUN Pulau Betong yang mahu melihat ketegangan kaum wujud dan harmoni baik di kalangan rakyat Pulau Pinang retak sama sekali.Politik rasis dan benci-membenci UMNO dan BN untuk menutup skandal rasuah mereka mestilah dilawan berhabis-habisan, yang jelas sebagai reaksi terhadap pembongkaran skandal RM30 juta Pulau Jerejak yang berlaku di bawah TanSri Koh Tsu Koon yang serahkan Pulau Jerejak habis kepada UDA. LIM GUAN ENG Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 5 Februari 2011 |
| Posted: 04 Feb 2011 08:33 PM PST Dr Mahathir kata ungkapan ini perlu dinilai untuk menentukan Melayu mana yang tidak boleh hilang. Kata-kata "Takkan Melayu hilang di dunia" merupakan kata-kata terakhir Laksamana Tun Tuah sebelum kembali ke rahmatullah. Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipetik berkata bahawa kata-kata ini perlu dinilai untuk menentukan Melayu mana yang tidak boleh hilang. Yang peliknya Melayu yang kuat, kaya, berpengetahuan dan cekap berniaga dan sebagainya wujud di dalam kem politik Umno dan kem politik PKR-PAS. Golongan ini penting kepada kedua-dua belah pihak kerana berpotensi melakar wacana politik masa depan. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa masyarakat Melayu lemah kerana tidak bersatu padu di bawah naungan Umno. Beliau berkata demikian di dalam ucapannya bertajuk Orang Melayu dan Masa Depan di dalam sidang Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak). Persoalan yang diutarakan apakah ada kebenaran di dalam kenyataan ini? Adakah pengunduran Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyatukan masyarakat Melayu yang diura-urakan berpecah? Pernyataan Tun Dr Mahathir seolah-olah membayangkan bahawa keseluruhan masyarakat Melayu hanya bernaung di bawah kepimpinan Umno. Sejarah membuktikan sebaliknya. BN mencermin PKR Era 1930an membuktikan bahawa orang Melayu pernah mendukung aspirasi mereka menerusi pelbagai pertubuhan. Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf dan juga Parti Komunis Malaya pernah menjadi wadah perjuangan nasionalisme anak watan Melayu. Dari sudut demokrasi, kehadiran lebih banyak parti sahsiah adalah tanda perkembangan demokrasi positif. Ia juga akan memberi peluang kepada orang Melayu untuk menumpukan perhatian kepada aspek kehidupan lain selain kaum Melayu semata-mata. Umpamanya jika Ahmad mahukan penekanan terhadap Islam, maka pilihannya tentu PAS. Bagi mereka yang mahukan pentas berbilang kaum, maka PKR atau DAP akan jadi pilihan, bukannya parti Melayu mahupun parti berdasarkan perkauman yang lain. Sebenarnya, kehadiran PKR juga meningkatkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan keturunan. Pihak Umno tidak wajar mengadu perihal ini kerana komponen parti Barisan Nasional bagai mencermin PKR. Pertelingkahan politik yang diwar-warkan oleh Mahathir juga sebenarnya polemik politik semata-mata. Ketiga-tiga parti majoriti Melayu mempunyai pendekatan dan kaedah berbeza untuk mencapai aspirasi rakyat. Mahathir juga dilaporkan berkata bahawa ada orang Melayu begitu yakin untuk berdikari sehingga membantah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru yang digubal untuk membantu meningkatkan taraf masyarakat Melayu. Umno harus gembira sekiranya orang Melayu mahu berdikari tanpa menggunakan "tongkat DEB". Pada awal tahun lepas terdapat peningkatan dalam bilangan orang Melayu yang meninggalkan Malaysia. Adakah pola ini bukti keberkesanan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tepuk dada tanya selera. Tongkat DEB Ini adalah bukti tongkat DEB diberi secara eksklusif dan orang Melayu tidak memerlukan tongkat. Hanya individu tersebut mengetahui cacat cela mereka. Ia tidak perlu diingatkan oleh golongan politikus. Bantahan terhadap DEB bukan hanya wujud di kalangan mereka yang berjaya malahan di kalangan mereka yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dalam dekad 90an seorang anak Melayu berjaya menjadi datuk bandar di Britain. Adakah ia berlaku kerana DEB? Sudah tentu tidak. Beliau menjadi datuk bandar atas daya usahanya sendiri. DEB yang dimulakan pada tahun 1970 sepatutnya ditamatkan pada 1990 tetapi masih diteruskan dengan pelbagai nama lain. Pelaksanaan yang tidak dipantau menyebabkan hanya segelintir kecil yang mendapat faedah. Contohnya, isu permit kereta luar negeri (AP) mendedahkan Umno hanya menjaga kepentingan golongan elit Melayu. Laporan media turut menunjukkan Mahathir sedih kerana orang Melayu sanggup menggadaikan apa sahaja demi sokongan politik orang bukan Melayu. Mungkin tokoh negarawan ini terlupa bahawa Umno yang memulakan budaya ini di dalam sektor ekonomi menerusi budaya "Ali Baba". Di dalam usaha meningkatkan ekonomi Melayu, ramai yang dilantik menjadi pengarah syarikat dengan gaji buta dari orang bukan Melayu. Beliau turut menyentuh isu ketuanan Melayu, dengan menyatakan Melayu tidak boleh bermegah sebagai tuan sedangkan mereka hamba. Umno dan Melayu Lantas persoalan yang perlu ditanya adalah dari mana datangnya konsep ketuanan ini. Menurut profesor undang-undang, Shad Saleem Faruqi, konsep ini tiada dalam perlembagaan negara. Perlembagaan hanya menyatakan kedudukan khas orang Melayu. Mantan mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, turut menidakkan ketuanan kerana semua umat dianggap sama tarafnya kecuali dari sudut ketaqwaan sebagaimana yang tertera di dalam Al-Quran. Mahathir turut dilaporkan menyatakan bahawa negara ini akan selamat dari penaklukan asing sekiranya rakyat memahami dan menerima konsep 1Malaysia. Dalam konteks keselamatan hari ini, ancaman bukan hanya disebabkan oleh negara malah oleh pelaku bukan negara. Justeru adalah penting untuk pihak keselamatan memantau ancaman pelaku bukan negara bukannya menerima 1Malaysia seada-adanya. Jika benar 1Malaysia diamalkan mengapa pula wartawan bukan Melayu dari sebuah laman portal tidak dibenarkan membuat liputan ucapan Mahathir? Sebagai penutup bicara, penulis ingin menegaskan, takkan Melayu hilang di dunia sekiranya Umno yang hilang kerana Melayu wujud sebelum kelahiran Umno. |
| Apco Worldwide punca polis bertindak ganas? Posted: 04 Feb 2011 08:11 PM PST KUALA LUMPUR: Tidak mustahil tindakan ganas polis terhadap peserta perhimpunan aman menyokong kebangkitan rakyat Mesir dan membantah campur tangan Amerika Syarikat di negara itu, akibat telunjuk Apco Worldwide terhadap pimpinan Umno Barisan Nasional (BN). Bercakap kepada KeadilanDaily.com, Pengerusi Biro Guaman KEADILAN, Latheefa Koya, berkata tindakan ganas itu mungkin diingini dalang utama Apco yang dikuasai pimpinan Israel Zionis. "Tidak mustahil Apco memainkan peranan tertentu untuk menasihati kerajaan Umno BN untuk bertindak kasar. Tindakan ganas ini menunjukkan secara jelas bahawa BN adalah pro-Hosni Mubarak. "Apatah lagi, ia melibatkan kepentingan Amerika Syarikat," katanya mengulas tindakan keras polis termasuk memukul, menendang, selain menahan peserta perhimpunan aman di depan kedutaan Amerika Syarikat. Latheefa berkata, kerajaan Umno BN pimpinan Datuk Najib Razak seolah-olah mahu menunjukkan kepada 'tuannya' iaitu Apco dan Amerika Syarikat bahawa beliau sudah menjalankan tugas untuk negara koboi itu. "Dan, kerajaan yang memerintah di kedua-dua buah negara ini adalah sekutu kuat kepada Amerika Syarikat," katanya. Dalam perhimpunan aman tersebut, tujuh peserta ditangkap dan ditahan di balai polis Dang Wangi manakala Latheefa Koya bertindak sebagai salah seorang dari enam panel peguam yang akan mewakili keluarga tahanan. Keadilandaily |
| Hosni Mubarak hamba US dan Israel Posted: 04 Feb 2011 07:57 PM PST TEHERAN: Presiden Mesir Hosni Mubarak adalah hamba Israel dan Amerika Syarikat, kata Pemimpin utama Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam khutbah Jumaat, semalam. "Selama 30 tahun negara ini (Mesir) diperintah seseorang yang tidak memperjuangkan kebebasan dan musuh kepada mereka yang memperjuangkan kebebasan," kata Ali. "Beliau bukan saja tidak antiZionis tetapi beliau adalah teman, rakan dan hamba kepada Zionis. Hakikatnya, Hosni Mubarak yang menjadi hamba kepada AS tidak mampu membawa Mesir ke arah kemakmuran," kata Ali yang mendakwa Israel adalah negara paling bimbang mengenai revolusi rakyat Arab. "Hari ini Israel dan Zionis adalah pihak yang paling dilanda kebimbangan terhadap kejadian yang berlaku kerana mereka tahu jika Mesir berhenti menjadi sekutu mereka dan mengambil tindakan yang wajar, maka keadaan akan berubah di rantau Arab," katanya lagi. - AFP |
| Kalau tidak berubah, rakyat akan mengubah. Posted: 04 Feb 2011 09:30 AM PST Hosni Mubarak buat kali pertamanya bercakap kepada media dan semalam beliau telah bercakap kepada ABC TV. Dalam temu ramah dengan ABC Hosni berkata yang beliau sudah bosan memegang tampuk kuasa sejak 30 tahun yang lalu dan ingin bersara dari jawatan yang disandangnya sekarang apabila pilihanraya pada hujung tahun ini tiba. Beliau juga tidak berminat untuk meletakkan anak beliau Gamal Mubarak untuk menggantikan beliau seperti mana yang diwar-warkan oleh setengah pihak. Hosni juga memberi amaran kepada parti Hisbul Muslimin Mesir akan mengalami 'vacuum' kepimpinan yang besar jika beliau meletakkan jawatan sekarang dan meminta pihak-pihak yang menentangnya untuk bersabar dan menunggu pilihanraya yang tidak lama lagi akan diadakan. Hosni Mubarak memberi tahu Barak Obama yang Amerika tidak faham situasi di Mesir dan pemikiran rakyatnya dan adalah tidak wajar jika Obama menekannya untuk meletakkan jawatan sekarang. Kita tidak ada kena mengena dengan Mesir tetapi nilai dan keperibadian kepimpinan itu memang ada kaitannya kerana nilai kepimpinan itu adalah satu nilai yang universal; yang baik diterima dan yang tidak baik itu dihindarkan. Kalau kita kaji dengan terperinci dengan apa yang disebut oleh Hosni itu, alasan yang diberikan itu adalah alasan yang agak biasa didengar kepada mana-mana pemimpin yang sedang dideak untuk mengundurkan diri. Kalau disini pihak yang memeritah akan menggunakan alasan 'continuity' atau kesinambungan pentadbiran itu penting untuk menjana pembangtunan negara dan rakyat. Tetapi jika dibandingkankan dengan apa yang disebut oleh Hosni itu memang tidak ada bezanya dengan alasan pimpinan kita apabila berhadapan dengan rakyat semasa pilihanraya. Matlamatnya sama; iaitu untuk terus berkuasa. Tetapi lebihnya Hosni kalau dibandingkan dengan pimpinan kita beliau berikrar yang beliau tidak akan lagi mempertahankan jawatannya semasa pilihanraya pada penghujung tahun ini. Disini pula yang ada sikap itu ialah Datuk Husein Onn yang telah dari awal mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNOnya pada pemilihan berikutnya, iaitu pada tahun 1981. Datuk Husein, sebagai seorang yang datangnya dari keluarga 'aristocrat. yang 'magnanimous' telah mula merasakan yang beliau tidak mendapat sokongan yang bulat hasil dari kekecohan parti disebabkan isu Dato' Harun Idris. Dato Harun telah menjadi korban dan telah dikambing hitamkan oleh setengah pihak kerana takut dengan pengaruh Ketua Pemuda UMNO itu dalam politik tanahair. Hasil dari rasa tidak puas hati setengah pihak terutamanya dikalangan Pemuda, maka Datuk Husein telah ditentang jawatannya sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan 1978 dahulu. Syed Jaafar Albar yang ketika itu berusia 62 tahun telah memenangi kerusi Ketua Pergerakkan Pemuda dan kemenagan Jaafar Albar itu merupakan manifestasi jelas tentang pengaruh pemuda yang begitu kuat dan kemenangan Albar itu merupakan isyarat jelas untuk Husein membuat keputusan tentang kepimpinannya. Tindakkan Sulaiman Palestin menawarkan diri untuk menyaingi Datuk Husein itu adalah hasil dari permainan politik seseorang yang inginkan Husein cepat-cepat bersara. Husein tidak mahukan UMNO itu berpecah kerana beliau, maka beliau mengumumkan dari awal lagi yang beliau tidak lagi berhasrat untuk mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan pada 1981. Jika Husein masih mahukan jawatan itu memang mudah bagi beliau kerana beliau telah memenangi pertandingan itu dengan majoriti yang besar kerana Hj Sulaiman hanya mendapat sebanyak 125 undi sahaja. Tetapi Husein sanggup berkorban untuk menjaga keutuhan parti dan kiat mesti juga ingat pengorbanan Husein itu adalah disebabkan ada orang yang mahu mengambil kesempatan diair yang keruh itu untuk mengorbankan beliau. Begitulah sikap seorang pemimpin jika ianya datang dari keluarga 'aristocrat' yang 'magnanimous' dan beliau tidak bertindak untuk mempertahankan kuasa dengan melakukan berbagai-bagai helah seperti mematikan partinya dan sebagainya untuk terus berkuasa. Tetapi pemimpin yang bercirikan 'gentleman' itu sudah tiada lagi dan jiak ada pun pemimpin seperti ini tidak digemari oleh UMNO. Pemimpin yang berkualiti ini selalunya akan diketepikan secara sistematik untuk memberikan tempat kepada pimpinan yang agak 'gullible' dan 'ungentleman'. Apa yang berlaku di Mesir sekarang ialah kekosongan kepimpinan seperti apa yang disebut oleh Mubarak itu. Tetapi kekosongan itu adalah hasil dari kerakusan beliau sendiri yang tidak menunjukkan niat untuk berhenti. Tiga dekad pemerintahannya telah melenyapkan semua benih-benih kepemimpinan dinegara itu sehinggakan tidak ada sesiapa lagi yang layak untuk menjadi pemimpin yang 'viable' untuk mentadbir Mesir. Jika kita kaji dimana-mana negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang duduk ditampuk kuasa dengan begitu lama sesiapa sahaja yang mewarisi kepimpnannya akan menghadapi masalah yang besar. Presiden Tito dari Yugoslavia telah memerintah negara itu selama 3 dekad dan apabila beliau meninggal dunia negara itu telah berpecah kepada lima wilayah dan telah berlaku peperangan pembersihan ethnik yang begitu menyanyat hati bagi orang yang mimpikan kedamainan. Hallie Salasie dari Ethiopia telah memerintah negara itu selama lebih dari 3 dekad dan akhirnya negara itu jadi muflis dan kucar kacir. Hanya yang didapati dari peninggalannya ialah hartanya yang melebihi 30 billion dollar. Romania telah bertindak membunuh ketua negaranya dikhalayak ramai setelah memerintah hampir 30 tahun, dan Indonesia telah menggulingkan Suharto setelah menjadi pemimpin kuku besi selama 3 dekad dan kesemua negara-negara yang mana pemimpinnya bergayut kepada kuasa terlalu lama sememangnya akan meninggalkan kekosongan kepimpinan yang akan memudharatkan negara. Kita juga hampir menjadi begitu tetapi kita lebih demokratik sedikit dari negara-negara yang disebutkan tadi. Tetapi kesan dari tindakkan Mahathir mengekalkan kuasa sebegitu lama memang banyak meninggalkan 'vacuum' kepimpinan dan ianya begitu nyata. Selepas kepimpinan beliau negara tidak lagi berada didalam keadaan yang begitu diyakini oleh rakyat. Ini adalah disebabkan semua mereka yang sepatutnya mengambil alih tempat beliau yang berkepimpinan telah tidak berada didalam kepimpinan parti lagi. Semasa Mahathir meninggalkan Putrajaya, yang tinggal hanyalah Pak Lah dan Najib. Maka bergunalah akar-akar ini kerana tiada rotan yang tinggal lagi. Yang tinggal bersamanya hanyalah barisan apa yang dipanggil sebagai 'blind sycophants' yang hanya mengangguk macam burung balam dan Mahathir memunafaatkan sokongan yang diberikan oleh pemimpin pelapis yang tidak bertulang belakang ini untuk menyambung kuasa yang dinikmatinya tanpa banyak halangan. Tidak ada seorang pun pemimpin yang berkemampuan bersamanya untuk meneruskan kepimpinan 'viable' bagi negara ini lagi. Siapa sahaja yang ada didalam hiraki parti itulah yang menerima warisan kepimpinan dan inilah yang kita dapati sekarang ini. Ramai diantara pemimpin kita hari ini ibarat garam. Garam itu penting untuk mengenakkan masakan, tetapi tidak boleh dibubuh terlalu banyak pula; nanti tidak termakan pula masakan itu. Garam hanya perlu setakat sesedap rasa sahaja, tidak boleh lebih. Sesungguhnya diMesir, Tunisia dan di Yaman keadaan yang berlaku lebih kurang sama dengan apa yang berlaku disini. Tetapi rakyat disini lebih baik dari di negara-negara yang disebutkan tadi. Mereka lebih suka untuk menolak pimpinan negara melalui undi yang ada kepada setiap seorang satu undi itu. DAN eloklah begitu. Kita tidak akan membudayakan cara yang dilakukan oleh rakyat di Mesir, Yaman dan Tunisia itu. Kita orang Melayu masih lagi ada sedikit adab dan adat. Hanya kita berharap agar kebaikan orang kita Melayu ini tidak dianggap sebagai kelemahan atau kebodohan. Rakyat tidak bodoh. Hanya mereka mempunyai kesabaran yang lebih. Mereka sedang memerhatikan segala-galanya dengan penuh fokus. Mereka sekarang sudah tahu yang berkuasa sebenarnya adalah mereka. Mereka tidak rela lagi diperintah untuk membajak sawah seperti kerbau, siang dan malam sedangkan 'tikus-tikus' gemuk memakan hasilnya di kepuk padi. Apa yang dilakukan oleh rakyat Mesir, yaman dan Tunisia itu ialah untuk menghapuskan tikus-tikus yang berkeliaran di merata-rata negara tersebut yang telah membaham segala hasil pembajakkan mereka selama ini. Sekarang mereka mahukan hasil penat jerih membajak itu kembali kepada mereka. Kita yakin apabila tikus-tikus itu sudah tidak ada lagi hasil padi mereka akan dapat mereka menufaatkan untuk kesejahteraan keluarga setiap rakyat negara itu. Posted by Aspan Alias |
| You are subscribed to email updates from Anak Sungai Derhaka To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |









Tiada ulasan:
Catat Ulasan