Isnin, 31 Januari 2011

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Terkini: Banjir Di Pahang, Empat Daerah Terlibat Dan Seramai 539 Orang Mangsa Dipindahkan Kini

Posted: 31 Jan 2011 03:34 AM PST

Seramai 538 mangsa banjir dari empat daerah di Pahang ditempatkan di 13 pusat pemindahan, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam Dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abd Rahim. Beliau berkata mangsa-mangsa itu adalah dari 18 perkampungan di daerah Rompin, Raub, Bera dan Maran yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan yang dibuka sejak pukul 2.40 petang semalam. Daerah Raub mencatatkan angka pemindahan tertinggi dengan 204 mangsa diiikuti Rompin (179), Bentong (100) dan Maran (55), katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini. Sementara itu katanya, beberapa jalan di daerah Bentong, Bera dan Rompin ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah dinaiki air setinggi 1.5 hingga dua meter. Katanya, jalan-jalan tersebut ialah di Km 9, 12 dan 13 Jalan Karak-Kuala Pilah di Bentong, jalan alternatif Kampung Pasal ke Felda Palong 8 dekat Muadzam Shah, jambatan Kampung Lubuk Batu dan Jambatan Sungai Gayung di Rompin serta KM22 Jalan Kemayan ke Ladang Risda di Bera.

[Nampaknya, selepas sahaja gelombang Tsunami Pilihanraya Kecil DUN Tenang berakhir maka kini bencana alam banjir terus melanda dan semakin membimbangkan. Malah difahamkan sudah tiga mangsa lemas sudah dikenalpasti sekarang ini iaitu dua di Johor dan satu di Melaka. Justeru itu, kepada seluruh rakyat Pahang diminta berhati-hati dan senantiasa berwaspada bagi mengelakkan kehilangan nyawa semasa banjir melanda. Pastikan juga dokumen-dokumen penting diletakkan di tempat selamat. Saling bantu membantulah sesama kita biarpun berbeza fahaman politik masing-masing. Dalam ketika semua berhadapan dengan bencana seperti ini, usahlah terbawa-bawa imej kepartian kerana ia bakal mengeruhkan keadaan sebenarnya. Bersama kita menghadapi segalanya].

Pilihan Raya Kecil Di DUN Merlimau, PAS Bersedia Melepaskan Status Quo Untuk Beri Laluan Untuk Parti Pembangkang Lain Bertanding Di Situ Nanti

Posted: 31 Jan 2011 02:50 AM PST

Parti PAS sedia melepaskan status quo bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan memberi laluan kepada parti lain demi kemenangan Pakatan Rakyat. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi (foto) berkata, PAS menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bagi menentukan calon yang akan mewakili pakatan pembangkang itu pada pilihan raya yang akan diadakan pada 6 Mac depan. "PAS serah kepada pimpinan untuk buat keputusan, kita ada Majlis Presiden yang akan buat perbincangan. "Memang secara status quo kerusi berkenaan ditandingi oleh PAS, tetapi oleh kerana ada permintaan daripada rakan-rakan parti lain, maka saya kita perbincangan adalah kaedah bijak untuk selesaikan masalah," katanya. Sebelum ini Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dilaporkan berkata, Parti Keadialn Rakyat (PKR) Melaka menawarkan calonnya bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan. Menurut beliau, meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding. Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Nasruddin berkata beliau yakin isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan baik melalui perbincangan yang akan diadakan dalam masa terdekat. "Bergantung kepada keputusan mesyuarat nanti yang sudah pasti ada asas-asanya tersendiri. "Masing-masing akan kemukakan apa rasionalnya, yang penting kita nak kemenangan (Pakatan Rakyat)," katanya. Tambah Nasruddin lagi, PAS akan sedia sokong siapa jua bertanding nanti.

[Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Merlimau ditetapkan 26 Februari ini, manakala 6 Mac sebagai tarikh pengundian. DUN Merlimau mempunyai 10,679 pemilih berdaftar. Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Januari lalu. Ia pilihan raya kecil ke-15 sejak Mac 2008. Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir yang juga Exco kerajaan negeri menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. Dengan keputusan yang dibuat oleh PAS ini maka sudah pasti harapan besar untuk melihat Samsul Iskandar Md Akin menjadi calon di DUN Merlimau itu nanti pasti akan menjadi kenyataan. Sebelum ini nama beliau juga naik di Hulu Selangor, sebelum kerusi itu dilepaskan kepada Datuk Zahid Ibrahim. Apakah beliau berpeluang bertanding di kawasan pilihan raya dalam negeri kelahirannya].

Pahang Daily Online (PDO) Memohon Maaf Secara Terbuka Serta Tarik Balik Penyiaran Enam Artikel Kontroversi Mohd Saiful Bukhari Dua Tahun Lalu

Posted: 30 Jan 2011 07:53 PM PST

Adalah dengan ini dimaklumkan pihak kami ingin merujuk kepada penyiaran enam artikel kontroversi berkaitan penyakit misteri Saiful Bukhari Azlan yang telah disiarkan di laman blog ini dua tahun yang lalu (2008). Enam artikel berkenaan yang disiarkan selepas Saiful membuat akuan sumpah laknatnya di Masjid Wilayah Persekutuan berhubung dakwaan dia diliwat telah menyebabkan beliau membuat laporan polis pada 3 Mac 2009 dan kemudiannya tindakan saman terhadap blog ini pada 23 April 2009. "Dalam writ saman tersebut, Saiful mengemukakan tuntutan ganti rugi am sebanyak RM2 juta daripada penulis blog berkenaan kerana memfitnahnya. Saiful berkata, dia mengambil langkah itu memandangkan penulis laman blog terbabit terus memfitnahnya dengan menyiarkan artikel-artikel yang menuduh dirinya terlantar sakit tenat ekoran sumpah laknat yang dibuatnya. Blog itu mendakwa Saiful menderita akibat kemaluannya bernanah dan sukar untuk membuang air kecil dan besar selepas melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum ini", lapor media ketika itu. Susulan daripada laporan tersebut, ramai krew-krew kami telah ditahan dan disoal siasat oleh pihak polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman beberapa bulan selepas itu. Antara yang paling panas ialah Blogger Cucumatkilau, yang ketika itu merupakan Eksklusif Editor di PDO.

Permohonan Maaf Terbuka Kepada Saiful Bukhari

Selepas lebih dua tahun artikel itu disiarkan, maka pada hari ini 31 Jan 2011 Pahang Daily Online (PDO) secara rasminya ingin mengumumkan penarikan balik enam artikel berkenaan. Sebagai sebuah blog panas dan sensasi, ada kalanya artikel yang dihantar oleh orang awam dan krew-krew kami dari seluruh negara tidak ditapis dengan sebaik mungkin menyebabkan laporannya terkadang terbabas dari etika penyiaran yang sebenarnya. Selepas lebih dua tahun menghantar krew kami untuk menyiasat kesahihan artikel tentang penyakit misteri Saiful berkenaan, ternyata laporan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Malah, kami cuba menghubungi pihak yang menghantar email artikel berkenaan namun tetap tidak mendapat jawapan yang sepatutnya. Malah, melalui beberapa orang saudara mara dan sahabat terdekat Saiful yang ditemui ternyata laporan tentang penyakit misteri beliau yang disiarkan di laman blog ini dua tahun lepas adalah tidak benar sama sekali. Justeru itu, kami memohon maaf kepada individu terbabit iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan serta keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan yang berlaku itu. Biarpun kami tahu atas penarikan balik artikel tersebut mungkin boleh menjejaskan kredibiliti blog ini, namun demi kebenaran maka kami terpaksa melakukannya. Masalah yang berlaku antara Saiful dan Anwar Ibrahim itu adalah hal peribadi mereka berdua. Maka kami tiada hak lagi untuk mempertikaikan bahawa Saiful dikatakan terkena "bala" akibat pengakuan sumpah laknat yang dilakukan olehnya.

[Keputusan Pahang Daily Online menarik balik laporan artikel berkenaan adalah dibuat atas profesionalisme kami dan tidak ada tekanan atau desakan oleh mana-mana pihak. Semuanya adalah atas kesedaran bahawa impilkasi yang menimpa apabila ada pihak menghantar maklumat yang tidak sahih dan terus diterbitkan tanpa suntingan oleh mana-mana pihak. Kami juga amat bersimpati atas keprihatinan beberapa orang krew kami yang terpaksa mengundur diri daripada terus menghantar artikel ke blog ini melainkan Blogger Cucumatkilau yang terus memaparkan berita-berita dan aktiviti politik dari negeri Pahang hingga sekarang ini. Pihak kami juga ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang telah memetik berita tersebut dan disiarkan dalam laman blog masing-masing. Harapan kami agar artikel berkenaan dapat dikeluarkan dan tidak dijadikan sebagai bahan untuk memburuk-burukkan sesiapa selepas ini. Sekali lagi kami bukanlah mahu memberi "millage" kepada mana-mana pihak atas penarikan balik artikel berkenaan, cuma kami lakukan atas kepercayaan Allah melihat segala apa yang dilakukan oleh HambaNya. Mana yang benar tetap benar dan mana yang salah tetap salah. Kami bersedia mewakilkan kepada krew kami di Pahang untuk membuat sidang media (PC) terbuka berkenaan perkara ini jika diperlukan dari masa ke semasa].

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Menegur Ahlinya Di Felda Supaya Buang Tanggapan Yang Keluarga Mereka Automatik Kekal Bersama Parti

Posted: 30 Jan 2011 07:28 PM PST

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (foto) menggesa keahlian baru di kalangan anak-anak anggota PAS hendaklah digiatkan segera jika ingin melihat parti itu berjaya menembusi kawasan Felda. Beliau berkata, untuk mendapat kembali sokongan di Felda maka ahli PAS ditegur supaya membuang anggapan bahawa anggota keluarga mereka secara automatik akan kekal bersama parti Islam itu. "Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam," katanya. Beliau yang juga pesuruhjaya PAS Pahang mengesyorkan supaya pengajian agama di masjid dan markaz sekitar kawasan Felda perlu digerakkan. "Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali," ujarnya lagi. Semalam, dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi. Sokongan kuat terhadap calon BN itu datang daripada tiga gugusan Felda di kawasan itu, yang lazimnya secara tradisi menyokong BN. Bagaimanapun, beliau hari ini menyeru seluruh jentera PAS menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu BN. "Untuk anggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti Melayu, ia termasuk kawasan Felda," katanya yang diminta mengulas mengenai kegagalan PAS tembusi kawasan Felda di DUN Tenang.

[Apapun yang berlaku, realitinya UMNO BN terus kuat di kawasan Felda kerana faktor pengundi di saluran 1 sebenarnya. Maknanya mereka amat mengharapkan undi dari kalangan peneroka asal, sebaliknya generasi kedua memang sudah menolak mereka. Cuma yang tinggal di kawasan penempatan terbabit sahaja masih menjadi penyokong tegar UMNO BN itu. Sebaliknya ramai anak-anak peneroka di perantauan hatta anak pemimpin UMNO sendiri pun sememangnya sudah mahukan perubahan. Makanya, langkah terbaik ialah memberi penekanan kepada anak-anak Felda di perantauan, agar mereka menjadi mata dan kepala Pakatan Rakyat untuk memulihkan kembali kepercayaan orsang tua mereka bahawa hanya UMNO BN yang layak memerintah negara ini sejak dulu, kini dan selemanya. Langkah bijak perlulah diambil untuk mengenalpasti seberapa ramai anak-anak Felda di perantauan ini agar segala maklumat terkini dapat diterima oleh mereka kelak. Semoga sesuatu dapat dilaksanakan bagi merubah minda peneroka Felda yang kini begitu taksub dengan UMNO BN].

Tiada ulasan: