Isnin, 3 Januari 2011

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Waspada: Bangla Kaki Raba Dalam Komuter

Posted: 03 Jan 2011 12:47 AM PST

Kaki raba dalam tren

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan bank tidak menyangka menjadi mangsa seorang lelaki warga Bangladesh gila seks apabila diraba ketika dalam tren komuter, Rabu lalu. Gambar fail.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa dikenali sebagai Yani, 25, menaiki tren di Stesen Sentral Kuala Lumpur untuk pulang ke rumahnya di Shah Alam. Beliau berkata, pada mulanya, dia tidak mempedulikan kehadiran lelaki terbabit yang berhimpit berhampirannya kerana menyangka ia tidak sengaja, tambahan pula keadaan dalam tren agak sesak dengan orang ramai.

"Tiba-tiba saya berasa ada sesuatu merayap di punggung saya, tetapi keadaan tren yang bergoyang membuatkan saya berfikir mungkin lelaki di belakang saya itu tersentuh secara tidak sengaja," katanya.

Bagaimanapun, dia mula pelik selepas lelaki itu masih memegang punggungnya, malah mula bertindak meraba dengan berlakon seolah-olah tidak sengaja menyentuhnya.

"Perbuatan lelaki itu tidak disedari orang ramai kerana kedudukan yang rapat sehingga sukar bergerak berikutan tren kebiasaannya penuh dengan penumpang pada waktu berkenaan.

"Selepas tidak tahan dengan perbuatan lelaki itu, saya cuba menepis tangannya dan beredar ke depan sedikit di hentian seterusnya selepas ada penumpang turun," katanya.

Beliau berkata, sangkaannya lelaki itu tidak mengekorinya meleset selepas dia sekali lagi meraba punggungnya.

Yani yang geram dengan tindakan itu kemudian menampar tangan lelaki terbabit sehingga dia terkejut lantas beralih ke belakang seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Saya sempat melihat gelagat lelaki itu yang berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku. "Saya juga sempat merakam gambarnya melalui telefon bimbit saya.

"Tidak puas mengambil kesempatan ke atas saya, lelaki itu kemudian beralih pula kepada seorang lagi wanita yang berada berhampiran," katanya.

Katanya, lelaki itu melakukan perbuatan sama kepada wanita terbabit tanpa menyedari diperhatikan.

"Saya yang geram melihat perbuatannya yang tidak serik lantas menghampiri mereka dan sekali lagi menampar tangan lelaki itu.

"Tindakan saya itu membuatkan lelaki itu terkejut sehingga wanita yang dirabanya turut terpinga-pinga melihat tindakan saya. "Pada mulanya wanita itu menyangkakan saya yang melakukannya, namun selepas diterangkan baru dia faham," katanya.

Katanya, selepas kegiatannya terbongkar, lelaki itu terus melarikan diri sebaik tren berhenti di Hentian Seri Setia bagi mengelak ditahan. -hm

Ulasan GB

Berhati-hatilah bila di waktu kesesakan. Berbagai perkara boleh berlaku. Bukan sahaja kena raba, malah penyeluk saku/peragut pun ramai.



Kenapa Ali "Last-Term" Masih Belum Diheret?

Posted: 02 Jan 2011 11:15 PM PST

Laporan audit: Kenapa Ali Rustam belum diheret?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi digesa menyiasat Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2009 yang menunjukkan terdapatnya keraguan dalam pengurusan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) yang dipengerusikannya, lapor Harakahdaily.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Adly Zahari berkata sehingga ini, SPRM masih gagal menyiasat dan mengheret Ketua Menteri Melaka itu ke muka pengadilan walaupun bukti-bukti sudah terbentang di hadapan mata tentang salah laku dan penyelewengan Maim dan agensi-agensi lain.

Adly berkata laporan Ketua Audit Negara tersebut secara jelas mendedahkan kegagalan Regal Merger Sdn. Bhd (RMSB) membina kompleks Maim menyebabkan agensi itu terpaksa membangunkan sendiri kompleks tersebut berjumlah RM13.85 juta dengan menggunakan peruntukan wang zakat.

Beliau melahirkan rasa kesal di atas kelalaian yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN yang diketuai Mohd Ali sehingga menyebabkan tanah milik Maim terlepas kepada pihak ketiga.

Katanya, kerajaan Melaka melalui Maim juga dilihat gagal memantau projek yang dilaksanakan oleh RMSB yang telah mengingkari perjanjian dengan tidak membina Kompleks Maim sehingga tamat tempoh perjanjian pada 13 Jun 2004.

Sebaliknya, tegas beliau, RMSB membina projek pembangunan lima tingkat Kompleks Perniagaan dan 30 unit rumah kedai tiga tingkat di atas tapak PT 83.

Adly mendedahkan, Maim telah menandatangani satu perjanjian usaha sama dengan RMSB pada 13 Disember 2002.

"RMSB dikehendaki membina Kompleks Maim di PT 1155, Bandar Bukit Baru, Daerah Melaka Tengah dalam tempoh 18 bulan dari tarikh surat perjanjian ditandatangani dengan kos pembinaan berjumlah RM10.16 juta.

"Sebagai balasan, RMSB diberi hak membangunkan tanah di PT 83 dan Maim akan memindah milik PT 83 kepada RMSB sebaik sahaja pembinaan Kompleks Maim selesai," tulis beliau di dalam blognya adlyzahari.blogspot.com.

Dakwa Adly lagi, pihak RMSB telah memecah PT 83 kepada lima lot kecil iaitu Lot 105 hingga Lot 109 dengan kelulusan Pejabat Tanah Dan Galian Melaka pada 14 Disember 2006.

RMSB, katanya telah menjual Lot 106 pada 7 Februari 2007 kepada BC Lim Enterprise dengan harga RM10.5 juta dan Lot 105 kepada Universiti Terbuka Malaysia pada 8 Oktober 2007 dengan harga RM10.4 juta.

Mais, menurut Adly yang dipengerusikan Ali Rustam sepatutnya bertanggungjawab sehingga menyebabkan wang zakat sebanyak RM13.85 juta digunakan, di samping kehilangan tanah di Lot 105 dan Lot 106.

"Sikap kerajaan Umno BN yang membenarkan tanah wakaf dijual pada pihak ke 3 adalah gambaran perangai hipokrit Umno yang kononnya berusaha menyelamatkan Melayu dan Islam.

"PAS Melaka mendesak SPRM melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan ketelusan dan mereka yang melakukan penyelewengan di hadapkan ke muka pengadilan," tegas Adly.

Adly yang menulis di dalam blognya berkata kerajaan negeri Melaka di bawah pimpinan Mohd Ali, gagal menguruskan harta wakaf dan wang zakat sehingga banyak kelemahan dikenalpasti dalam sebuah negeri yang dikatakan berstatus 'Negeri Maju'.

Beliau berkata nilaian tanah milik Maim telah berkurangan daripada RM18.81 juta pada tahun 2006 kepada RM9.11juta sahaja pada 2008.

"Penggunaan wang Baitulmal sebanyak RM1.8 juta bagi pengubahsuaian kompleks perniagaan Maim, yang disewakan kepada Jaim.

"Selain itu Maim juga gagal mendaftar sebanyak 20 peratus dari tanah yang diwakafkan malah proses mendaftar tanah wakaf mengambil masa dari 21 hingga 164 bulan," jelas Adly yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Menurutnya, kelemahan lain adalah berkaitan penyelenggaraan daftar harta wakaf, harta faraid dan sewa hartanah, pencerobohan tanah Baitulmal serta tanah wakaf tidak dapat dikenalpasti lokasinya. -mk

Terlupa Tarikh Nikah & Nama Bapa Mentua Semasa Dicekup

Posted: 02 Jan 2011 10:30 PM PST

Lupa tarikh nikah

Gambar: PASANGAN berkhalwat yang dicekup di sebuah motel murah di Tandop, Alor Setar dibawa ke pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Kedah untuk soal siasat.

Lima pasangan dicekup di hotel murah di Alor Setar

ALOR SETAR: Sambutan ambang tahun baru pada malam Sabtu lalu dicemari noda apabila ada pasangan remaja mengambil kesempatan melakukan maksiat untuk melampiaskan nafsu di hotel murah atau motel di sekitar bandar raya ini.

Dalam operasi bersepadu yang diketuai oleh Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dan dianggotai oleh beberapa pihak berkuasa lain, termasuk Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pelajaran Negeri, lima pasangan berusia 20 hingga 30 tahun ditahan kerana berkhalwat.

Penolong Pengarah JAIK, Sheikh Mohd Suhaimi Saleh, berkata pasangan terbabit ditahan dalam serbuan di hotel murah dan motel di Tandop, Alor Mengkudu selain berdua-duaan di kawasan berhampiran Stadium Darulaman.

Sheikh Mohd Suhaimi berkata, sepasang kekasih yang dicekup berkhalwat di sebuah motel di Tandop bukan saja memberikan alasan sudah berkahwin sebagai helah untuk melepaskan diri daripada JAIK, malah turut menipu anggota penguat kuasa dengan memberikan jawapan palsu mengenai nama jurunikah, imam, saksi dan nama bapa mentua.

Namun akibat gelabah ditahan, mereka bagaimanapun terlupa tarikh perkahwinan menyebabkan taktik mereka terbongkar, selain gagal menunjukkan dokumen pernikahan mereka.

Katanya, pada mulanya pasangan berusia 25 dan 26 tahun itu enggan membuka pintu bilik motel, tetapi mengalah apabila penguat kuasa bertegas mahu melakukan pemeriksaan.

"Pemuda itu dengan selamba memberitahu mereka sudah bernikah kira-kira setahun lalu dengan memberikan beberapa nama, termasuk juru nikah, imam, wali dan saksi, tetapi tidak ingat tarikh pernikahan mereka.

"Helah mereka tidak menjadi apabila pasangannya memberitahu terlupa nama bapa mentuanya apabila disoal oleh pegawai penguat kuasa wanita yang turut serta dalam operasi itu," katanya ketika ditemui di sini selepas mengetuai operasi selama lebih sembilan jam bermula jam 10 malam, Jumaat lalu.

Sheikh Mohd Suhaimi berkata, satu lagi pasangan ditahan ketika berdua-duaan di dalam kereta di pekarangan Stadium Darulaman.

Katanya, semua kelima-lima pasangan terbabit dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan penahanan sebelum dibawa ke pejabat JAIK dan diikat jamin oleh keluarga masing-masing.

Semua pasangan terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 9 (1)(2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 kerana disyaki berkhalwat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali. -bh

Khusrin Lucut Songkok Masuk Pejabat SUK

Posted: 02 Jan 2011 08:50 PM PST

SUK baru Khusrin masuk pejabat 6.45 pagi tadi

Khusrin di pejabat SUK pagi ini. — Gambar oleh Jack Ooi

SHAH ALAM, 3 Jan — Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

"Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi.

"Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Namun ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khusrin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen perhubung tugas baru beliau.

"Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya kepada wartawan di pejabatnya.

Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan.

"Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas.

"Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar," kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan.

Ulasan GB

Nampaknya, Selangor akan dirampas kembali oleh UMNO BN. Itu maksud simbolik yang ditunjukkan ekoran kejayaan Khusrin memasuki pejabatnya pagi ini.

Dia akan melakukan apa saja untuk "menurut perintah" pihak yang menghantarnya - ya apa saja - dengan membuka songkoknya yang dipakai semasa menjadi Pengarah JAIS, apabila memasuki pejabat SUK seawal jam 6.45 pagi ini.

Diperburukkan oleh wujudnya pemimpin talam dua muka di dalam kerajaan PR Selangor yang bakal menyokong Khusrin. Anda sudah kenal siapa mereka yang dimaksudkan!


Banjir: 8 Sekolah Ditutup Hari Pertama Persekolahan

Posted: 02 Jan 2011 07:00 PM PST

Lapan Sekolah Di Kelantan Tidak Dapat Memulakan Sesi Persekolahan Kerana Banjir

TUMPAT, 2 Jan (Bernama) -- Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan mengumumkan lapan buah sekolah di seluruh negeri ini belum dapat memulakan sesi persekolahan Isnin disebabkan banjir.

Pengarah JPN Kelantan, Hussain Awang berkata lima sekolah terbabit adalah di daerah Rantau Panjang, dua di Tumpat dan sebuah di Gua Musang.

Sekolah-sekolah di Rantau Panjang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang; Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang; SK Sri Rantau Panjang I; Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJKC) Kay Boon dan SK Lubok Setol.

Di Tumpat, sekolah terlibat adalah SK Bendang Pak Yong dan SK Simpangan. Sebuah sekolah di Gua Musang adalah SK Bihai iaitu sekolah bagi pelajar Orang Asli.

Hussain berkata keputusan menangguhkan sesi persekolahan itu dibuat kerana bangunan sekolah terbabit digenangi air atau jalan menuju ke sekolah di tenggelami air menyebabkan terputus hubungan.

"Ini adalah hasil lawatan saya semasa meninjau kawasan sekolah yang terlibat dengan bencana banjir petang tadi," katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata SK Bihai di Gua Musang terpaksa ditutup kerana tanah runtuh dan jambatan kayu di situ rosak, manakala SK Lubok Setol kerana jalan ke sekolah itu ditenggelami air menyebabkan hubungan terputus.

Katanya sekolah-sekolah terbabit akan dapat memulakan sesi persekolahan sebaik sahaja banjir pulih dan jalan-jalan di kawasan terbabit siap dibaiki. -- BERNAMA




Kalendar Persekolahan Tahun 2011

Kumpulan A: (Kedah, Kelantan, Terengganu)
PenggalCuti dan Hari PersekolahanMulaAkhirHari
IHari Persekolahan02.01.201131.01.201122
Hari Persekolahan01.02.201128.02.201120
Hari Persekolahan 01.03.201110.03.20118
Cuti Pertengahan Penggal11.03.201119.03.2011 9
Hari Persekolahan20.03.201131.03.2011 10
Hari Persekolahan01.04.201130.04.2011 20
Hari Persekolahan01.05.201126.05.201120
Cuti Pertengahan Tahun27.05.201111.06.201116
II Hari Persekolahan12.06.201130.06.201115
Hari Persekolahan 01.07.201131.07.201121
Hari Persekolahan01.08.201125.08.201119
Cuti Pertengahan Penggal ke II26.08.201103.09.20119
Hari Persekolahan04.09.201130.09.201120
Hari Persekolahan01.10.201131.10.201122
Hari Persekolahan01.11.201117.11.201113
Cuti Akhir Tahun 18.11.201131.12.201144
Jumlah288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am210
Jumlah Hari Cuti Penggal78


Kumpulan B: (Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya)
PenggalCuti dan Hari PersekolahanMulaAkhirHari
IHari Persekolahan03.01.201131.01.201121
Hari Persekolahan01.02.201128.02.201120
Hari Persekolahan01.03.201111.03.20119
Cuti Pertengahan Penggal12.03.201120.03.20119
Hari Persekolahan21.03.201131.03.2011 9
Hari Persekolahan01.04.201130.04.201120
Hari Persekolahan01.05.201127.05.201121
Cuti Pertengahan Tahun28.05.201112.06.201116
IIHari Persekolahan13.06.201130.06.201115
Hari Persekolahan01.07.201131.07.201121
Hari Persekolahan01.08.201126.08.201119
Cuti Pertengahan Penggal ke II27.08.201104.09.20119
Hari Persekolahan05.09.201130.09.201120
Hari Persekolahan01.10.201131.10.201122
Hari Persekolahan01.11.201118.11.201114
Cuti Akhir Tahun19.11.201101.01.201244
Jumlah288
Jumlah Hari Persekolahan Termasuk Cuti Am 210
Jumlah Hari Cuti Penggal 78

[Video] Isu Karam Singh Dikepung Dan Diugut

Posted: 02 Jan 2011 06:38 PM PST

Wartawan TV hina orang Melayu

DALAM rakaman YouTube ini, seorang wartawan TV dikepung selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang Melayu di sebuah restoran di Klang baru-baru ini.

SHAH ALAM – Seorang wartawan terkenal sebuah stesen televisyen swasta terpaksa melalui detik mencemaskan akibat dikepung sekumpulan lelaki yang marah dengan tindakannya yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur penghinaan terhadap orang Melayu.

Dalam kejadian di sebuah restoran di Klang dekat sini beberapa hari lalu, wartawan yang sering muncul di kaca televisyen dengan laporan isu alam sekitar itu mengaku telah mengeluarkan beberapa perkataan yang boleh membangkitkan isu perkauman.

Antaranya wartawan itu mengaku ada menyebut orang Melayu bukan berasal dari Malaysia atau Indonesia serta tidak pintar.

Dia yang dipercayai mengeluarkan perkataan tersebut ketika dalam keadaan mabuk mengakui telah tersalah cakap hingga boleh menimbulkan salah tafsiran.

Berikutan itu, dia memohon maaf daripada kumpulan lelaki berkenaan serta seluruh masyarakat Melayu di negara ini.

Wartawan tersebut sebelum ini menarik perhatian orang ramai dengan pendedahan berani berhubung isu pencemaran alam sekitar. -kosmo


Hot! Karam Singh Walia Hina Melayu dan Nyaris Dipukul! With Video

Melalui tontonan video di bawah, Karam Singh Walia diminta membuat pengakuan bersalah dan meminta maaf kepada orang melayu.

Ini kerana beliau ada berkata bangsa melayu bukan berasal dari Malaysia dan juga bukan berasal dari Indonesia. Ada kemungkinan besar beliau sedang mabuk ketika membuat pernyataan tersebut. Mengenai perkataan sakai dan lancau pula Karam Singh Walia tak mengaku ada sebut perkataan tu.

Rata-rata ramai yang komen melalui forum dan juga youtube bukannya tidak berpuas hati dengan Karam Singh Walia, tetapi dengan perlakuan anak muda melayu di restoran tersebut yang kelihatan agak melampau dan biadap. Setiap perkara pun boleh dibawa berbincang tanpa menggunakan kekerasan. Tunjukkan adab sopan dan santun bangsa melayu kepada bangsa lain.

Sepertimana yang kita tahu, Karam Singh Walia merupakan seorang pejuang alam sekitar dan sering membawa isu rakyat yang tidak mendapat pembelaan ke media masa bagi mendapatkan pembelaan yang sewajarnya. Beliau telah banyak berjasa pada rakyat, setiap manusia pun pernah membuat kesilapan. Paling penting beliau berani untuk mengaku dan meminta maaf di atas kesalahan yang dilakukan. Tak perlu rasanya diperbesarkan isu ini, tidak mendatangkan faedah kepada mana-mana pihak.

Kejadian ini dipercayai berlaku di restoran Al-Bidayah Andalas, Klang. Ada sesiapa yang tinggal di kawasan berdekatan yang dapat memastikan kejadian ini? Pendapat anda pula mengenai isu ini bagaimana?

Karam Singh Walia ni agak menyerlah berbanding wartawan yang lain kerana beliau mempunyai trademark yang tersendiri iaitu pergerakan tangan dan pantun. Oleh itu AS sudahi entry kali ini dengan pantun dua kerat ciptaan Karam Singh Walia.

Rumah terbakar nampak api,
Hati terbakar siapa tahu

AS harap karam singh walia akan tampil dgn penjelasan dia. -panggungopera


Ulasan GB

Insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku dan jika sekalipun Karam Singh pernah mengeluarkan perkataan yang ditafsirkan "menghina Melayu" tindakan undang-undanglah yang sepatutnya digunakan, bukan langkah samseng untuk mengugut dan memaksa.

Pemuda-pemuda yang terlibat menyerang Karam Singh itu sepatutnya ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang kerana telah meletakkan undang-undang di dalam tangan mereka.

Kes ini sama seperti ugutan yang diterima oleh Karpal Singh, insiden kepala lembu dan lain-lain dimana kumpulan ultra Melayu yang dikaitkan dengan gang songkok tinggi mengambil tindakan sendiri dengan membelakangkan undang-undang.

Jika demontrasi aman, ia boleh diterima, tetapi apabila sudah di tahap mengggunakan ugutan dan kekerasan ke atas individu khusus, maka ia adalah keterlaluan, biadab malah amat merbahaya untuk keselamatan negara.

Pihak berwajib perlu melihat isu ini dari sudut yang lebih objektif, jauh dari sentimen dan segera menahan pemuda-pemuda yang bertindak liar berkenaan agar insiden yang sama tidak berulang.



140 Pasangan Ditangkap Khalwat Dalam Operasi Tahun Baru 2011

Posted: 02 Jan 2011 04:59 PM PST

JAIS tahan 140 pasangan

SEORANG pelajar IPT sugul selepas dicekup JAIS.

263 orang dikenakan tindakan berkhalwat dalam operasi Ambang Tahun Baru 2011

SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 140 pasangan dalam operasi mencegah kemungkaran secara besar-besaran di seluruh Selangor sempena malam 'Ambang Tahun Baru 2011' malam kelmarin.

Daripada jumlah itu, 263 orang dikenakan tindakan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah 1995 Negeri Selangor kerana kesalahan berkhalwat, manakala pasangan mereka yang bukan beragama Islam dilepaskan.

Selain itu, 43 kes membabitkan tindakan kaunseling dan 98 kes lain hanya menerima arahan beredar.

Pegawai Perhubungan Awam (JAIS), Nurhamizah othman, berkata operasi itu dilakukan di beberapa lokasi tumpuan pengunjung dengan fokus utama membabitkan kelakuan kurang sopan di tempat awam, minum arak dan berkhalwat.

Katanya, operasi membabitkan dua fasa itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan dan pegawai masjid di semua daerah terbabit.

"Fasa pertama dimulakan dengan memberi perhatian di kawasan panas iaitu tempat tumpuan pengunjung setiap kali sambutan tahun baru, seperti taman rekreasi, dataran dan sekitar pusat beli-belah terkemuka.

"Kawasan seperti ini sangat popular di kalangan pengunjung terutama remaja setiap kali menjelang awal tahun baru berikutan kawasan terbabit turut menganjurkan majlis sambutan dengan menyediakan pertunjukan bunga api dan konsert yang disertai artis," katanya yang ditemui di Bangunan Sultan Idris Shah di sini, sejurus operasi berakhir, kelmarin.

Nurhamizah berkata, pada fasa kedua, operasi ditumpukan di hotel bajet yang di sekitar negeri ini yang sering digunakan kebanyakan remaja dan dewasa untuk melakukan kegiatan maksiat selepas berakhirnya sambutan tahun baru.

Katanya, mereka yang ditahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam ialah remaja berusia 13 hingga 21 tahun, manakala mereka yang terbabit khalwat pula terdiri daripada mereka yang berusia 19 tahun hingga 30-an.

"Bahagian Penguatkuasaan JAIS turut menahan beberapa pasang pelajar institusi pengajian tinggi (IPTA) yang didapati bersekedudukan di hotel bajet sekitar Selangor.

"Malah, terdapat beberapa orang yang ditahan turut didapati positif mengambil dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)," katanya. -BH

Foto Berita Terbaik Dunia 2010 Versi National Geographic

Posted: 02 Jan 2011 03:32 PM PST

Foto Berita Terbaik Dunia 2010 Versi National Geographic

Berikut ini adalah penemuan-penemuan yang paling menarik perhatian umum sepanjang 2010 menurut National Geographic.

1) Lubang Besar Guatamela Akibat Taufan Agatha

Kejadian munculnya lubang besar ini merupakan satu peringatan kepada kita yang hidup di dunia. Dalam bencana yang berlaku di Guatemala pad tahun lalu akibat ribut taufan Agatha, sekurang-kurangnya 115 orang mati dan beribu orang lagi cedera.

Lubang besar ini adalah hasil dari limpahan air yang banyak di bawah tanah dan mengakibatkan mendakan tanah lalu membentuk sebuah lubang gergasi.





2)Ikan Bertangan

Ikan ini merupakan salah satu jenis terbaru dari ikan bertangan lainnya. Ikan ini ganjil karena tidak berenang dan itu menjelaskan kalau kenapa lokasi ikan ini adanya di dasar lautan. Yang anehnya ikan ini menggunakan "tangannya" yang menggantikan sirip untuk berjalan. Lokasi ditemukan ikan tersebut ada di daerah Tasmania, Pulau Australia




3) Survei 10 Tahun Soal Kehidupan Laut

Lautan dan samudera di bumi ternyata lebih kaya dan beragam daripada perkiraan dari para ilmuwan. Hasil sebuah survei mengenai kehidupan laut juga mengungkapkan masih banyak misteri yang ada di samudera.

Kajian tersebut juga mendapatkan beberapa penemuan yang tidak lazim selama 10 tahun termasuk "White Shark Cafe" (kafe hiu putih) dan tempat bermain ikan yang menghasilkan telur di Pasifik begitu juga bakteri raksasa serta moluska atau kerang.




4) Spesis Ganjil Di Greenland

Beberapa spesies Ikan ganjil yang ditemui di perairan Greenland. 'Iceland Catshark'. 'Portuguese dogfish' ini biasanya hanya ditemui di perairan Greenland




5) Kilat Menambahkan Cahaya Letupan Gunung

Pancaran kilat ke volkano Eyjafjallajökull di Iceland. Abu dari letupan itu Eyjafjallajökull have meliputi trafik udara Eropah hapir seminggu lamanya.




6) Gambar Dari Udara Evolusi Tumpahan Minyak Di Teluk Mexico

Ini adalah tumpahan minyak terbesar dalam sejarah. ... dengan kapal barang tenggara Galveston Mimosa Entrance di Teluk Mexiko. .... kebanyakan bersifat khas hutan bakau karena telah melewati proses adaptasi dan evolusi.




7) Spesis Baru Ditemui

Beberapa spsis kehidupan baru ditemui di Papua New Guinea. 2 di bawah ini adalah diantara penemuan 200 spesis yang jarang kali ditemui di mukabumi dan dijumpai semasa ekspedisi saintifik yang dijalankan di Papuan New Guinea.




8) Buaya Serang Gajah

Satu lawatan rutin di kawasan berair tiba-tiba dikejutkan dengan satu perjuangan hidup-mati sepasang gajah Afrika yang diserang oleh seekor buaya lapar.





Antivirus Percuma Terbaik 2011

Posted: 02 Jan 2011 08:37 AM PST

Memilih antivirus terbaik, tentu bukan sekadar program untuk pencegah virus dan penyelamat data semata-mata. anda perlu mendapatkan info sebanyak mungkin tentang antivirus yang akan menjadi pilihan anda. Yang paling banyak cirinya, yang ringan dan mudah dipasang, yang serasi dengan komputer anda dan yang pasti baik perkhidmatan dan pengemaskiniannya yang tidak mengecewakan.

Di internet, banyak ulasan yang diberikan tentang berbagai jenama antivirus yang beredar di pasaran. Urutan ranking antivirus tersebut juga naik-turun. Namun perlu diketahui, urutan di bawah ini, bukanlah ranking, namun hanya sekadar nombor urutan semata-mata. Pilihan ada di tangan anda. Semoga bermanfaat.


Panda Cloud Antivirus



Bersamaan dengan semaraknya teknologi Cloud Computing di Internet, maka Panda juga mulai mengikuti teknologi ini dengan menerapkan sistem Cloud Antivirus dengan menyebutkan Panda Cloud Antivirus. antivirus Panda ini yang percuma ini memang sudah menggunakan teknologi cloud computing sebagai mekanisma barunya dalam mengesan malware dan secara real-time dan juga mengurangi penggunaan sumber daya pada sistem komputer kita. Selain itu, AV ini juga memiliki kemampuan agar dapat bekerja sama dengan AV lain.

Begitu Panda Cloud Antivirus terpasang, maka ia akan melakukan imbasan terlebih dahulu, apakah komputer anda sudah bersih atau belum. Selain itu perisian ini juga memberikan ciri "Quick Scan" dan juga "Custom scan" untuk direktori tertentu, berdasarkan file, ataupun drive.

Dengan memanfaatkan teknologi cloud-based scanning dari PandaLabs servers, proses scan virus dapat dilakukan hanya dalam waktu 6 minit, dan ini merupakan yang paling kecil dan cepat untuk sebuah antivirus. perisian ini juga mendukung Windows 7, Vista dan juga XP (32bit).

[link muaturun]

Immunet Protect



Salah satu pemain free cloud anti virus perisian juga dikembangkan oleh Immunet, menggunakan cara yang sama seperti Cloud computing dengan tambahan Community based protection, Collective wisdom dan juga perlindungan dari serangan virus dan malware pada komputer kita.

Selain itu, Immunet juga menggunakan sumber yang sangat kecil sewaktu dia berjalan dan sudah mendukung Microsoft Windows XP (SP2 atau kemudian), Vista dan juga Windows 7 (RC 32Bit).

[Link muaturun]

AVG Free Antivirus



AVG 9 Antivirus perisian telah banyak berkembang dari dulu, perkembangan perisian ini cukup signifikan hingga pada tahun 2009 perisian ini pernah menjadi perisian percuma yang favorit kebanyakan user. Ketika ini AVG telah meningkatkan kemampuan perisiannya agar dapat bekerja lebih cepat dengan sistem proteksi yang lebih tinggi. Selain itu mereka juga menerapkan modul antivirus untuk mengesan spyware, proteksi dari rootkit, email dan juga proteksi dari phishing dengan memanfaatkan AVG Link scanner untuk memberikan rating sebuah website.

Beberapa kelebihan AVG diantaranya adalah:

  • Surf, dan search di internet dengan selamat berkat adanya LinkScanner yang akan menjauhkan kita dari link link website yang berbahaya.

  • Aktiviti online dan offline yang selalu selamat dari virus, spyware, dan segala bentuk virus.

  • Lebih cepat dan lebih sedikit memakan memory

  • Kemaskini otomatik ke server AVG

  • Kompatibel dengan Windows XP, Vista, dan juga Windows 7


AVG antivirus free memiliki ukuran yang cukup besar, hingga 70MB.

[Link muaturun]

Fortinet Internet Security Free



FortiClient EndPoint Security suite, adalah sebuah pealatan keselamatan internet. FortiClient Endpoint Security perisian ini memberikan proteksi SSL/IPSec VPN, WAN, juga terdapat antivirus dan anti-spyware, anti rootkit, Execution Behavioral Analysis, firewall dan juga pencegahan pencerobohan. Versi percuma ini hampir tidak memiliki perbezaan yang sangat signifikan dibandingkan dengan versi premium nya. Satu satu nya ciri yang tidak dimiliki oleh versi ediisi standard hanyalah "endpoint management" (FortiManager), perkhidmatan sokongan, anti-spam dan juga penapisan isikandungan.

FortiClient Endpoint Security free edition juga memperbolehkan kita untuk melakukan kemaskini aotomatik langsung melalui FortiGuard™. Fortinet Endpoint Security perisian adalah free untuk siapa saja – pengguna, peniaga kecil, enterprise. Dan yang lebih penting, perisian ini hanya memerlukan:


  • Pentium processor atau yang setara

  • 100 MB ruang hard-disk

  • Operating System & minima RAM

    • Windows 2000: 128 MB

    • Windows XP 32-bit and 64-bit: 256 MB

    • Windows Server 2003 32-bit and 64-bit: 384 MB

    • Windows Vista: 512 MB

    • Windows 7: 512 MB




[Link muaturun]

Comodo Internet Security



Comodo Internet Security, mirip dengan yang diatas, security suite percumaan ini menggabungkan Comodo firewall, dan juga antivirus dalam satu aplikasi sekuriti.

Comodo Internet Security pernah menjadi perisian sekuriti terbaik untuk freeware kerana kemampuanya yang mampu melindungi komputer secara real-dan selalu berhasil mengesan dan menghapus virus, Trojan, dan berbagai jenis "hacker" perisian dari komputer anda.

Kali ini Comodo Internet Security telah menambahkan beberapa ciri baru seperti Comodo Secure DNS, Comodo HopSurf dan juga kemampuanya untuk melakukan update dan mencari URL alternatif untuk pengemaskinian data virus.

[Link muaturun]

Avira Antivir Free



Avira AntiVir Free edition, antivirus percuma perisian dari Avira GmbH tidak banyak melakukan perubahan dari versi terdahulunya. Kemampuan baru Avira antivirus kali ini mereka mampu melakukan imbasan terhadap fail yang sedang di kunci, kecepatan imbasan yang sangat tinggi dengan memanfaatkan teknologi multi-core processor, Pengesan adware / spyware yang lebih tepat dan cepat untuk dapat anda nikmati pada versi percuma ini.

Beberapa ciri Avira:

  • Control Center untuk memantau, administrasi dan mengawal seluruh program

  • Scanner (On-Demand Scan) dengan profile untuk mencari virus dan malware

  • Integrasi langsung dengan Windows Vista User Account Control.

  • Memiliki ciri pengurusan kuarantin (quarantine management) untuk mengasingkan proses yang mencurigakan

  • Rootkit protection untuk mengesan malware yang terpasang di komputer (rootkits) (32-bit system)

  • Kemudahan update yang cepat terhadap defenisi virus dan memiliki incremental VDF update yang dapat diakses melalui webserver Internet.

  • dan lainya


[Link muaturun]

Avast Free Antivirus



Avast Free Antivirus, saat ini telah menggantikan versi lama Avast home edition menjadi yang lebih baru. Perubahan terbesar pada Avast free anti virus edition ini dapat dilihat dari "user interface" yang ditambah dengan berbagai macam jenis perbaikan dari antivirus scanning engine, performance dan penggunaan memory, disk dan cpu yang lebih kecil.

Selain itu, anti virus percuma ini juga di datangkan dengan berbagai macam jenis sistem kawalan sekuriti yang canggih untuk melindungi komputer anda. Salah satunya adalah kemampuan antivirus ini dalam mengoptimalkan multi threaded scanning, yang mampu membahagikan fail yang besar kedalam core yang berbeza dan mempercepat proses scanning.


Beberapa ciri antivirus terbaik ini adalah:



  • Enjin pengesan spyware

  • avast! Intelligent Scanner

  • Silent/Gaming Mode

  • Behavior Shield

  • Code emulator

  • Heuristics engine

  • Kemaskini yang cepat

  • Multi-threaded scanning optimization

  • Perlindungan Real time anti rootkit

  • Pengesan perisian yang tidak dikehendaki



Avast 5 free antivirus pernah menjadi antivirus terbaik pada tahun 2010 untuk melindungi komputer anda dari serangan virus, spyware dan malware.
[Link muaturun]

Lagi Bayi Baru Lahir Ditemui Dalam Tandas

Posted: 02 Jan 2011 06:13 AM PST

Bayi Baru Lahir Ditemui Lemas Dalam Tandas

SERIAN, 2 Jan -- Seorang pencuci tandas di Hospital Serian di sini menjumpai mayat seorang bayi perempuan dalam sebuah tangki simburan tandas kira-kira jam 5.00 petang, Sabtu. Gambar fail

Pekerja terbabit Masitah Laden berkata bayi tersebut yang beratnya sekitar satu kilogram dan cukup sifatnya dipercayai baru saja dilahirkan berdasarkan kepada keadaan tali pusatnya.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Jemali Umi yang mengesahkan laporan tersebut berkata polis telahpun menghantar mayat bayi terbabit ke Hospital Umum Kuching untuk bedah siasat.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes tersebut dan setakat ini belum ada sebarang suspek ditahan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian itu diminta tampil membuat laporan di balai polis berdekatan. -- BERNAMA


Polis buru suspek buang mayat bayi

BACHOK - Polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kes pembuangan mayat seorang bayi perempuan di tapak pelupusan sampah di Beris Lalang dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Yahya Salleh berkata, pihaknya percaya suspek dari Kota Baharu berdasarkan siasatan daripada keterangan beberapa saksi kejadian.

"Siasatan awal kita mendapati mayat berkenaan dijumpai bersama longgokan sampah yang dibuang lori dari Majlis Daerah Kota Baharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) ke tapak pelupusan sampah di sini, justeru kita percaya perkara itu dilakukan individu di daerah berkenaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yahya turut tidak menolak kemungkinan suspek terlibat mungkin juga dari daerah-daerah lain yang cuba membawa mayat berkenaan lebih jauh dari kawasan kediaman mereka. - Bernama


Saintis Reka GPS Yang Bertindak Ikut Emosi Pemandu

Posted: 02 Jan 2011 05:00 AM PST

GPS dicipta bertindak ikut emosi pemandu

LONDON - Apabila anda telah mengambil pusingan yang salah, memarahi sistem pemandu arah satelit (GPS) kereta tidak mungkin dapat membantu mana-mana kesalahan jalan raya berikutnya.

Bagi pemandu yang mempunyai sikap cepat marah, bantuan mungkin berada di tangan kita dalam bentuk GPS, di mana ia mampu memahami emosi pemandu dan cepat bertindak mengikut situasi persekitarannya.

Saintis Universiti Cambridge, Profesor Peter Robinson, mencipta sistem itu selepas hilang sabar dengan GPS miliknya di jalan-jalan yang sukar di kawasan perumahannya.

Menurutnya, GPS ciptaannya itu menggunakan sensor untuk mengesan ekspresi wajah, seperti mengerut kening, dan perisian mengecam suara untuk mengesan nada suara pemandu yang menjengkelkan.

Menurutnya lagi, semua maklumat dimasukkan ke dalam sebuah perisian yang akan dilekatkan pada kepala robot yang mempunyai muka seperti manusia dan diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu.

"Apabila robot itu mengesan kemarahan pemandu, ia akan respons dengan ungkapan-ungkapan simpati," katanya.

Amah Cuba Bunuh Diri Setelah Dicekup Bawa Matair Ke Rumah Majikannya

Posted: 02 Jan 2011 03:57 AM PST

Amah curi-curi bawa masuk 'mata air' ke rumah

Gambar: Amah Cik Freda dibawa ke hospital untuk dirawat selepas beliau cuba membunuh diri. - Foto TUKIMAN WARJI

Majikan terperanjat ketika pulang, pembantu rumah pula berlari ambil pisau cuba bunuh diri

MADU yang diberi, tuba pula yang dibalas.

Itulah yang dialami Cik Freda Hassan, seorang deejay sambilan radio, berhubung seorang pembantu rumahnya baru-baru ini.

Sepanjang setahun bekerja di flat keluarganya, Cik Freda sekeluarga memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada pembantu rumah mereka itu.

Tetapi, malangnya tanpa diduga, pembantu yang kini dilihat seperti musang berbulu ayam itu telah meruntuhkan kepercayaan mereka dengan membawa seorang lelaki, yang dipercayai adalah pekerja asing, masuk ke rumah keluarga Cik Freda ketika bapanya yang sudah uzur dan tidak berdaya, tidur di bilik.

Kejadian itu berlaku pada 14 Disember lalu semasa Cik Freda keluar bertemu beberapa rakannya, dan keluarga abangnya pula yang menetap di rumah yang sama, sedang bercuti di luar negara.

'Ketika itu hanya bapa saya yang tidak sihat berada di rumah, selain amah itu yang ditugaskan menjaganya.

'Kebetulan pada malam tersebut, amah itu menghubungi saya minta kebenaran untuk masuk tidur awal.

'Saya kata tiada masalah dan mengingatkannya supaya matikan suis elektrik dan gas sebelum tidur.

'Tetapi, saya rasa hairan kerana beliau minta saya hubunginya dahulu sebelum pulang, padahal amalan tersebut belum pernah dilakukan kami sekeluarga kerana kami semua ada kunci rumah,' kata Cik Freda.

Sekitar sejam kemudian, Cik Freda, yang berusia lewat 30-an tahun, tiba di pintu flatnya yang terletak di Tampines Street 72.

Tetapi, semasa beliau hendak membuka pintu menggunakan kunci rumah, beliau dapati pintu flat itu dikunci dari dalam.

'Saya pun hubungi amah saya. Tak lama kemudian, pintu rumah saya dibukanya, tetapi saya perasan beliau agak cemas sedikit.

'Saya tak syak apa-apa, cuma apabila ke dapur saya perasan ada dua gelas air yang belum dicuci diletak dalam singki.

'Kemudian, saya perasan pula lantai ruang utama flat itu agak basah dan saya tanya kenapa.

'Jawabnya, bapa saya baru keluar tandas, tapi saya rasa tak sedap hati,' cerita Cik Freda.

Beliau kemudian menuju ke bilik bapanya yang ketika itu gelap.

'Selepas saya hidupkan lampu, saya perasan bapa saya sedang tidur, dan ketika itulah tiba-tiba saya tergerak hati untuk melihat belakang pintu bilik tersebut.

'Jantung saya berdegup pantas kerana ketika itu saya terlihat seorang lelaki yang saya fikir mungkin warga asing sedang bersembunyi di belakang pintu itu!' jelasnya.

MOHON MAAF DAN MERAYU

Menurutnya lagi, amah dan lelaki itu kemudian mula meminta maaf dan merayu agar Cik Freda tidak menghubungi polis.

Sedang Cik Freda bercakap dengan amahnya itu, dakwa beliau, lelaki itu membuka secara paksa jeriji tingkapnya sebelum melarikan diri.

'Ini kerana sebelum itu saya telah mengunci pintu dan jeriji pintu, jadi dalam kelam-kabut, lelaki itu pecahkan jeriji aluminium tingkap saya untuk melarikan diri,' katanya.

Sementara itu, menurut Cik Freda, amahnya meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu mengacukannya ke arahnya sebelum mengacukannya ke pergelangan tangan kirinya sendiri.

'Saya melangkah setapak ke belakang lalu menasihatkannya supaya tidak melakukan perkara bodoh.

'Saya nasihatkannya agar meletakkan pisau dan fikirkan suami dan anaknya di Indonesia.

'Tetapi, kemudian beliau berlari masuk ke bilik bapa saya lalu menguncinya dari dalam.

'Mujur ketika itu bapa saya telah bangun dan berdiri menyaksikan semua kejadian itu,' kata Cik Freda lagi. Menurutnya, selain lemah, bapanya juga tidak dapat bertutur kerana penyakitnya.

Pada masa itulah Cik Freda mengambil kesempatan untuk menghubungi polis. Tidak lama kemudian, pihak polis disertai Pasukan Pertahanan Awam (SCDF) dan ambulans tiba di tempat kejadian.

'Selepas dinasihatkan, amah saya itu mula membuka pintu dan ketika itu terdapat titisan darah di lantai bilik tersebut akibat kecederaan di pergelangan tangannya,' ujarnya. Amah itu kemudian diberkas polis.

Cik Freda mendakwa sehari selepas itu beliau dan kakaknya menemui sebuah telefon bimbit milik amah itu yang disembunyikan di kerusi roda bapanya.

Telefon tersebut mengandungi imej lelaki warga asing yang berada di dalam rumahnya itu. Selain itu, terdapat juga beberapa video lucah.

Telefon bimbit itu telah beliau serahkan kepada pihak polis.

Bukan itu sahaja yang ditemui Cik Freda. Beliau juga menemui perkakas ujian kehamilan yang disembunyikan di atas almari bapanya.

Semasa dihubungi, pihak polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat mengenai kes tersebut.

'Kami menerima panggilan sekitar 9 malam pada 14 Disember daripada seorang wanita yang meminta bantuan di tempat kejadian.

'Setibanya kami di sana, seorang wanita dalam usia 20-an tahun telah diberkas atas tuduhan cuba membunuh diri.

'Wanita itu telah dihantar ke Hospital Besar Changi untuk dirawat dan beliau sedang membantu dalam siasatan yang masih dijalankan,' kata jurucakap polis itu lagi.

Menurut seorang jurucakap kedutaan Indonesia di sini, terdapat sekitar 86,000 pekerja pembantu rumah warga Indonesia di sini.

Meskipun menyedari akan kes- kes pembantu rumah yang membawa pulang lelaki asing ke rumah majikan, kedutaan itu tidak dapat mendedahkan bilangan kes sedemikian.

'Namun kes-kes begini jarang berlaku, atau sekiranya dilaporkan pada kedutaan, jumlahnya hanya segelintir,' katanya. -bhs

Waspada - Teh Timbang Berbahaya

Posted: 02 Jan 2011 02:25 AM PST

Teh Timbang Berbahaya Kepada Kesihatan - Jabatan Kesihatan

JELI: Teh timbang atau teh sukat yang amat digemari oleh penduduk di negeri ini sebenarnya boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Keselamatan dan Kualiti Makanan) Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Ahmad Nadzri Sulaiman berkata teh berkenaan yang sering digunakan peniaga kedai kopi sebenarnya mengandungi bahan pewarna sintetik (bukan semula jadi) yang berbahaya kepada kesihatan.

"Teh berkenaan tidak mempunyai label dan dijual secara timbang di rata-rata kedai runcit di negeri ini. Ia berbahaya kepada kesihatan pengguna dalam jangka masa yang lama," katanya kepada BERNAMA, Ahad.

Katanya penjualan teh perlu mengikut Peraturan-peraturan Makanan 1985 iaitu tidak membenarkan serbuk teh ditambah bahan pewarna.

Sesiapa yang didapati menjual, mengimport, mengguna dan menyimpan teh timbang ini, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod JKK dari Januari hingga Oktober 2010, sebanyak 1,858 kilogram serbuk teh timbang bernilai RM22,296 dirampas dalam operasi yang dijalankan JKK.

Peniaga restoran, Meriyam Sholah, 45, berkata beliau tidak mengetahui bahaya penggunaan teh itu dan telah menggunakannya sejak sepuluh tahun lalu.

"Makcik memang suka guna teh timbang ni, pekat molek untuk buat air teh terutama teh susu, kalau guna yang uncang tu nampak pucat dan tak sedap, pelanggan pun bising," katanya.

Katanya harga teh timbang juga lebih murah berbanding teh uncang dan perkara itu penting bagi perniagaannya.

Puad Zainudin, 50, pula berkata beliau pernah mendengar mengenai bahaya penggunaan teh timbang bagaimanapun tetap menggunakannya.

"Saya beli yang harga RM12 sekilo, yang murah RM7 sekilo...yang murah aroma teh tak kuat," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: