Isnin, 10 Januari 2011

KARPET KUNING

KARPET KUNING


Pilihanraya Umum ke-13 tidak lama lagi?

Posted: 10 Jan 2011 02:19 AM PST


KUALA LUMPUR: Pertemuan antara Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan para ahli parlimen Barisan Nasional kelmarin, telah mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan satu pilihan umum kilat diadakan tahun ini.

Datuk Seri Najib, yang juga merupakan pengerusi BN, tidak perlu mengadakan pilihan raya umum ke-13 negara itu sehingga 2013.

Namun, kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini telah 'menyemarakkan' lagi spekulasi tentang pilihan raya itu.

Beliau, yang menjadi perdana menteri pada April 2009 selepas BN kalah teruk pada 2008 sehingga memaksa penyandang sebelumnya bersara lebih awal, bagaimanapun menolak tanggapan tersebut.

Sebaliknya, Datuk Seri Najib berkata, pertemuannya dengan 112 ahli parlimen BN itu lebih difokuskan pada usaha mengukuhkan BN, yang selepas setengah abad berkuasa, dilanda reputasi sebagai parti yang korup dan tidak berkesan.

'Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik.

'Pilihan raya itu sebahagian daripada apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat,' kata beliau, yang juga Presiden Umno, seperti yang dipetik dalam satu laporan akhbar The New Sunday Times (NST) semalam.

Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen yang ditemui selepas pertemuan dengan perdana menteri Malaysia itu, dalam kumpulan tiga orang melaporkan kemajuan di kawasan masing-masing, berkata mereka percaya ia merupakan antara persediaan menghadapi pilihan raya.

'Beliau sedang mengumpulkan maklumat untuk memastikan bahawa maklumat daripada kami sejajar dengan apa yang beliau ada. Beliau berkongsi maklumat dengan kami dan mendengar pandangan kami.

'Beliau mahu kami menyelesaikan semua isu sebelum pilihan raya. Mungkin, beliau akan memanggil pilihan raya mengejut,' kata Ahli Parlimen (AP) Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, dalam satu laporan akhbar The Sunday Star.

AP Keningau, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, pula dipetik oleh akhbar yang sama sebagai berkata, semua orang tahu bahawa mesyuarat itu adalah sebahagian daripada persediaan bagi pilihan raya lebih awal.

'Perdana menteri sedang menimbangkan permintaan bagi program-progam yang boleh memanfaatkan setiap kawasan undi,' kata beliau selepas mesyuarat itu.

Parti campuran yang memerintah Malaysia itu telah pun mengadakan satu konvensyen pada Disember lalu. Sumber-sumber dalaman berkata perbincangan tertumpu kepada isu bagaimana memenangi semula sokongan yang terhakis pada pilihan raya umum 2008, apabila BN kehilangan pentadbiran lima negeri di negara itu dan penguasaan dua pertiganya dalam parlimen kepada pihak pembangkang.

Sementara itu, pakatan pembangkang Malaysia juga sedang menghadapi masalahnya sendiri sejak mencapai kejayaan pada pilihan raya 2008 itu.

Mereka semakin terbenam dalam lubuk masalahnya sendiri termasuk berlakunya pergeseran di antara anggota parti dan sering dialihkan perhatiannya kepada kes liwat pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang didakwa mereka sebagai bermotifkan politik. -- Agensi

Tiada ulasan: