Isnin, 24 Januari 2011

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Isu Salam : Tak laku di Tenang

Posted: 24 Jan 2011 07:57 AM PST

Pemimpin dan jentera pilihan raya kecil MCA di Tenang meningkatkan serangan terhadap PAS berhubung isu negara Islam dan keengganan calonnya, Normala Sudirman (bawah) bersalam dengan orang lelaki. Persoalannya ialah sama ada strategi itu akan berjaya mengalih sokongan 5,766 pengundi Cina kepada BN.

Tinjauan Malaysiakini di kalangan pengundi Cina di kawasan pilihan raya Tenang menunjukkan bahawa dua isu tersebut memberi kesan minimum terhadap mereka.Sebaliknya, apa yang lebih penting pada mereka ialah prestasi kedua-dua calon berkenaan.

Mereka yang ditemui Malaysiakini menegaskan bahawa undi untuk PAS tidak bermakna menyokong parti Islam itu, mahupun menyokong agendanya mengenai negara Islam.


Mereka juga berkata, mereka telah diabaikan oleh bekas ADUN dari Umno, Datuk Sulaiman Taha.

Tinjauan itu dijalankan semalam di bandar Labis Tengah dan Tenang Station - yang merupakan dua daripada lima kawasan majoriti pengundi Cina di Tenang - mendapati hampir semua yang ditemui berpendapat MCA tidak seharusnya memainkan isu berjabat tangan itu kerana ia melibatkan agama calon.

Ditanyakan mengenai rancangan PAS untuk mengisyatiharkan Malaysia sebagai negara Islam, sesetengah daripada mereka mengakui merasa takut ketika isu itu pertama kali dibangkitkan dalam pilihan raya umum 1999 tetapi selepas bertahun berlalu, kini perasaan itu tidak seperti dahulu lagi.

Sebahagiannya menceritakan mengenai pengumuman mantan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad pada 21 September 2001 mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam, yang menurut mereka, tidak membawa banyak perubahan terhadap negara ini.

Yang lainnya pula berpendapat jika dan bila benar-benar diisytiharkan sebagai 'negara Islam', mereka tidak ada masalah selagi ia tidak menjejaskan sistem pendidikan Cina, hak untuk makan, alkohol dan berjudi, dan selagi kerajaan terus melayan masyarakat Cina dengan baik.

Isu negara Islam yang dimainkan oleh MCA mungkin boleh menarik sokongan pengundi yang berumur tetapi generasi muda pula mempunyai pandangan yang berbeza.

Tinjauan itu juga memberi gambaran mengenai sikap sebahagian pengundi di situ.

"Pengundi di Tenang selama ini menyokong MCA di peringkat parlimen (kerusi Labis), tetapi menyokong pembangkang di peringkat DUN (Bekok dan Tenang), bagi mewujudkan semak dan imbang," kata salah seorang pengundi yang ditemui.

Pengundi Cina merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.


Malaysiakini

Aku Sokong PERKASA!!

Posted: 24 Jan 2011 07:02 AM PST

"Macam pendekatan Tuan Guru Nik Aziz, (apabila) mereka ini tidak faham (Islam), jadi kita mesti fahamkanlah mereka," kata Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah.

Oleh kerana dalam isu salam ini PERKASA menyokong TG Nik Aziz.. maka aku sokong PERKASA kerana mereka menyokong TG Nik Aziz.. tapi dalam isu ni saja laa...


Isu salam: PERKASA sokong mufti, pendekatan Nik Aziz


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bersetuju dengan pandangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan pendekatan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung isu keengganan calon PAS bersalam dengan lelaki di Tenang.


Ketua Wira PERKASA Arman Azha Abu Hanifah berkata, isu melibatkan Normala Sudirman yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek berpunca akibat kegagalan memahami Islam.

"Macam pendekatan Tuan Guru Nik Aziz, (apabila) mereka ini tidak faham (Islam), jadi kita mesti fahamkanlah mereka," katanya.

"(Contohnya) macam isu melibatkan DAP juga, (berlaku) kerana mereka tidak faham."

Dalam pengalaman Pakatan Rakyat, Nik Aziz antara pemimpin PAS yang kerap berbeza pandangan dengan pemimpin lain daripada DAP dalam isu agama, khususnya negara Islam.

Beliau juga sering dilapor menyimpulkan apa yang berlaku akibat pemimpin berkenaan tidak memahami Islam dan perlu dimaklumkan tentang ajaran agama yang sebenar.

Di Tenang, kenyataan Chua kelmarin mengundang reaksi keras pelbagai NGO dan tokoh Islam, antaranya Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM), Harussani dan PAS sendiri.

Senada dengan peguam Muslim

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Arman Azha berkata menjadi tanggungjawab parti-parti komponen lain dalam BN menjelaskan "apa yang salah, apa yang tidak" kepada Chua secara matang.

"Kalau kita marah pun, mereka semakin jauh. Kalau perkara itu salah, Rasulullah suruh panggil dan nasihati cara yang betul daripada kita bertindak tidak tentu arah," katanya.

Bagaimanapun, Arman Azha tetap beranggapan bahawa tindakan Chua itu salah dan menghina Islam.

Justeru, menurutnya, ahli politik veteran itu patut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

"Bukan hanya minta maaf, tetapi dia juga kena memahami konteks Islam yang sebenar," katanya, senada dengan tuntutan PPMM semalam.

Ditanya sama ada pihaknya akan menganjurkan demonstrasi - tindakan yang dilihat sinonim dengan NGO Melayu itu kebelakangan ini - Arman Azha menjawab:

"Bukan semuanya kita berdemo."


Malaysiakini

Mahathir penderhaka, UMNO pengkhianat

Posted: 24 Jan 2011 04:16 AM PST

SHAH ALAM, 24 Jan — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "penderhaka" dan Umno sebagai "pengkhianat" sehingga menyebabkan kuasa Sultan dimansuhkan menerusi pindaan awal 1990-an.

"Kita rujuk pula kepada kenyataan-kenyataan media dan ucapan Dr Mahathir sekitar tahun 1983 dan 1993, jelas membuktikan bahawa Dr Mahathir adalah penderhaka dan Umno adalah pengkhianat," kata beliau ketika berucap membahaskan usul pindaan perlembagaan negeri pada sidang khas Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kata beliau, media yang dikuasai Umno digunakan untuk memaparkan cerita-cerita yang mengaibkan peribadi Raja-raja Melayu bagi mewujudkan sentimen dan emosi benci rakyat terhadap institusi Raja-raja Melayu.


"Berita Harian pada 19 Januari 1993 menyiarkan kenyataan seorang Ahli Parlimen Umno dari Perak yang mengingatkan Raja-raja supaya mengambil kira suara rakyat jika tidak Raja-raja tidak dapat kekal lama "malah takhta mereka mungkin akan beralih ke muzium . . .," kata Azmin (gambar) lagi.

Justeru soal Azmin, siapa yang memansuhkan kuasa Sultan Selangor untuk melantik tiga pegawai selepas mempertimbangkan nasihat menteri besar.

"Pastinya, Umno telah menderhaka kepada Raja-raja Melayu. Sekali gus suara rakyat dinafikan kerana Menteri Besar adalah wakil suara rakyat majoriti yang membentuk kerajaan melalui proses demokrasi," kata beliau.

Adun Bukit Antarabangsa ini berkata, jika direnung semula Penyata Rasmi Parlimen semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 yang ditaja oleh Dr Mahathir, ramai pemimpin Umno yang mengeluarkan kata-kata kesat dan celupar terhadap institusi Raja-raja Melayu.

"Antaranya, seorang Ahli Parlimen Umno berkata 'adakah Yang Berhormat hendak menuduh akhbar yang putar belit. Saya tidak. Saya hendak mengatakan raja yang putar belit, sehari bersetuju, dua hari tidak bersetuju. Ini kenyataan yang tepat, yang jelas'," katanya.

Azmin juga mendakwa krisis Perlembagaan Persekutuan tercetus ekoran tindakan pemimpin Umno yang rakus untuk memansuhkan kekebalan Raja-raja Melayu.

Katanya, ramai sarjana dan pengamal undang-undang mencabar keabsahan pindaan 1993 kerana ia melanggar Perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, "tiada apa-apa undang-undang yang menyentuh secara langsung keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja boleh diluluskan dengan ketiadaan persetujuan Majlis Raja-raja".

"Sebenarnya Umno memindahkan kekebalan tersebut kepada Mamak Bendahara dan pihak Eksekutif. Saya tahu bahawa kebimbangan ini ditimbulkan oleh pihak Raja-raja dalam tahun 1993.

"Saya dapat menyelami perasaan Raja-raja Melayu yang luka. Luka yang dalam mungkin telah sembuh, tetapi parutnya tetap ada," katanya sambil menambah, keprihatinan Raja-raja Melayu disambut dengan rasa tanggungjawab oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang pada ketika itu.

Azmin menambah, apa yang disebutkan oleh Ketua Pembangkang Lim Kit Siang pada 18 Januari 1993 adalah semakin jelas hari ini.

Ketika itu Lim dipetik berkata "semasa kita membahaskan soal kekebalan Raja-raja, tentang bagaimana mendemokratikkan sistem Raja Berperlembagaan, untuk memastikan Raja-raja bertanggungjawab dan Demokrasi Berparlimen, kita tidak boleh membenarkan pemimpin-pemimpin kerajaan menikmati kekebalan yang membebaskan mereka dari sebarang akauntabiliti awam sebagaimana yang dipamerkan oleh berbagai skandal yang tidak diselesaikan dalam negara ini."

Kata Azmin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut menegaskan prinsip yang sama dengan kekebalan tersirat daripada penyalahgunaan kuasa melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi dan Perkara 145(3) Perlembagaan kuasa yang diberi kepada Peguam Negara hendaklah dielakkan.

"Kekebalan yang dinikmati oleh pemimpin-pemimpin elit Umno menjadikan Malaysia diperintah oleh diktator selama 23 tahun dengan mengamalkan undang-undang rimba dan menolak negara hukum.

"Dr. Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab menjadikan pihak Eksekutif terlalu kebal," katanya.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata Perdana Menteri semasa Datuk Seri Najib Razak hanya meneruskan sistem yang dibina oleh Dr. Mahathir.

"Justeru itu, rasuah dan salah guna kuasa semakin berleluasa dan menjadi budaya dalam pentadbiran Umno," katanya lagi.

Usul pindaan dibentangkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pagi tadi.


The Malaysian Insider

Bila Muhyiddin sudah tersepit..

Posted: 24 Jan 2011 01:56 AM PST

Setelah Mufti Perak menyatakan pendirian mengenai isu salam dan menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Dan kenyataan dari Harussani itu telah secara tidak langsung mengatakan bahawa Muhyiddin dan juga MB Johor turut menghina Islam setelah mereka menyokong ucapan Soi Lek bintang porno itu.. (sepenuhnya boleh dibaca di SINI)


Dalam isu Interlok pula Muhyiddin meminta agar ianya jangan dipolitikkan ini berikutan kerana beliau telah dilabel sebagai seorang penipu, pendusta dan pengkhianat kerana membuat kenyataan bahawa kementerian telah mencapai persetujuan dengan masyarakat India berhubung penggunaan buku teks kontroversi tersebut.. (sepenuhnya boleh dibaca di SINI)

Kerana Interlok juga Parti Makkal Sakti yang kini diterajui oleh Kannan Ramasamy selepas perlantikannya di Mesyuarat Agung Tahunan September 2010 menyatakan sokongan penuh kepada calon PAS, Normala Sudirman bagi PRK Tenang kali ini.


Muhyiddin minta MCA henti main isu salam

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu BN khususnya MCA mengekploitasi isu calon PAS Normala Sudirman tidak mahu bersalam dengan lelaki.

Malah, Muhyiddin turut menegaskan bahawa beliau juga tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan".

"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian kerana (beliau) mungkin (bertindak) atas sebab-sebab tertentu.

"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan beliau (Normala). Tetapi apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya dalam satu sidang media di Tenang.

Muhyiddin mengulas mengenai isu calon PAS Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki dalam kempen pilihan DUN Tenang yang dibangkitkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau yang juga timbalan pengerusi BN sekali lagi menegaskan bahawa tidak mahu isu ini dipanjangkan kerana terdapat perkara lain yang perlu diutamakan dalam kempen pilihan raya berkenaan.

"Ada perkara yang lebih pokok yang patut kita lakukan untuk menjelaskan isu, (mengenai) apa komitmen kita untuk membantu rakyat dan pengundi di sini," katanya.

Ditanya mengenai calon PAS yang mendakwa BN gagal memahamkan komponennya berhubung adab Islam berhubung wanita tidak dibenarkan bersalaman dengan lelaki, Muhyiddin berkata:

"Tak payahlah kita komen macam-macam. Yang pentingnya, kita tumpu kepada perkara-perkara lain. Itu yang lebih utama".

Isu Interlok

Dalam sidang media yang sama, Muhyiddin berkata berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu novel Interlok.

"Saya nak tanya di kalangan yang ada di sini, siapa yang baca (novel) Interlok? Saya baca... tak ada orang baca....Jadi saya nak jelaskan, kita (kerajaan) sudah putuskan kita ada formula yang boleh menyelesaikan masalah itu.

"Tadi saya dengan perdana menteri berbincang, pasal sebab dalam semangat BN, kita nak berbicara dengan pihak MIC. Saya percaya formula kita akan dikemukakan nanti, kita akan bincangkan secara mendalam dalam sehari dua (ini).

"Saya harap, apabila diputuskan nanti, perkara ini tidak menimbulkan apa-apa (masalah) kerana apa yang penting semangat kerjasama dalam BN," katanya.

Muhyiddin yang juga ahli parlimen Pagoh berkata beliau optimis isu berkata novel tersebut boleh diselesaikan.


Malaysiakini

Najib tidak ziarah jenazah SU Umno Tenang - Utusan

Posted: 23 Jan 2011 11:33 PM PST

Isu ini.. ada blogger Pro UMNO yang mereka cerita panjang berjela bagi mengatakan PAS menyebarkan fitnah dalam hal ini.. sekarang? Siapa Fitnah siapa?



LABIS, 24 Jan: Lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia mengaku bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak menziarahi jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia ketika lawatan beliau ke situ kerana tidak mengetahuinya.

Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat berkata, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya, lapor Utusan hari ini.


Abdul Latif meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

Rombongan beliau juga lalu di hadapan masjid yang menempatkan jenazah Allahyarham sejak jam 10 pagi ketika beliau menuju ke Felda Chempelak pada sebelah paginya.

Di samping tidak diziarahi, imam masjid juga terpaksa ke majlis PM menyebabkan tidak ada siapa yang mengurus dan mengimamkan solat jenazahnya.

Hasilnya, Ustaz Che' Zuha, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang mengimamkan jenazah pada jam 2 petang iaitu selepas solat Zohor kerana kedua-dua imam tidak kedapatan di masjid ketika itu.

Namun hari ini, Utusan berkata, mereka sengaja meminta keluarga simati untuk mengimamkannya.

Padahal, kedua-dua imam tiada di masjid hatta untuk mengimamkan solat fardhu Zuhur kerana imam diarahkan oleh Umno cawangan supaya menghadiri majlis sambutan kedatangan Najib.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman (ketika belum sah sebagai calon lagi) bersama para petugas PAS dan anggota Unit Amal yang berada di situ segera menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka juga bersama ahli qaryah menguruskan jenazah dari awal sehingga ke proses gali kubur dan pengkebumian.

SIAPA FITNAH SIAPA

"Siapa fitnah siapa ni? Kita (Cikgu Mala, petugas PAS dan Unit Amal) hadir menziarahi dan menguruskan jenazah dengan ikhlas dan secara sukarela tanpa disuruh oleh sesiapa. Mereka memanipulasi berita dan menuduh kita yang bukan-bukan.

"Mari tanyalah saya kalau nak tahu. Siapa yang memfitnah siapa sebenarnya?" kata Md. Razi Jamaludin (gambar), 39 tahun, salah seorang anggota Unit Amal yang bertugas hari itu. Turut serta adalah rakan beliau, Wasilah Gothol, 48 tahun.

"Saya terlibat sepenuhnya menguruskan jenazah dari awal sehingga pengkebumian. Allahyarham sememangnya orang kuat Umno di sini. Saya difahamkan beliau telah bekerja keras malam sebelum pemergian beliau ke rahmatullah untuk urusan sambutan kedatangan Najib.

"Namun, apa yang berlaku ialah, kematian beliau tidak dihiraukan langsung oleh UMNO hatta Ketua UMNO sendiri. Yang meninggal itu S/U nya sendiri, bukan orang lain!"

"Tidak patut bagi seorang pemimpin tidak menghiraukan org bawahannya apatah lagi ini melibatkan kematian," katanya lagi.

Bagi beliau, kerja ziarah orang mati, bertahlil untuk ahli qariah, gotong royong, memang sudah menjadi kerja rutin orang PAS.

"Jika bukan pilihanraya kecil pun, memang itulah kerja kita. Mengapa sebelum ini Umno tidak timbulkan sebarang isu? Bahkan jika ada majlis-majlis seperti itu, orang Umno juga yang jemput kita sebelum daripada ini untuk tolong uruskan dan menggerakkan. Jadi dalam hal ini, siapa mempolitikkan siapa sebenarnya?" tanya beliau kesal.


Harakahdaily

PRK Tenang : Kerana Jahil, Isu agama makan diri

Posted: 23 Jan 2011 10:35 PM PST



Kesilapan memilih isu ketika berkempen dalam sesuatu pilihan raya boleh membawa padah apabila isu yang dimainkan mampu menjejaskan sokongan pengundi-pengundi kepada calon sendiri.

Lazimnya, pengundi-pengundi atas pagar adalah antara golongan yang prihatin atau lebih peka ketika menganalisa isu yang diketengahkan oleh jentera parti berbanding penyokong tegar sesebuah parti.


Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nageri (Dun) Tenang masuk hari ketiga hari ini, kempen BN yang mula menyentuh isu-isu berkaitan kepercayaan penganut agama Islam dianggap satu kesilapan yang mampu mengurangkan undi BN.

Dalam satu ceramah di hadapan pengundi-pengundi berbangsa Cina di sini baru-baru ini, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah membangkitkan pendirian calon lawan dari PAS, Normala Sudirman yang enggan bersentuhan tangan ketika bersalam dengan pengundi-pengundi lelaki.

Menurut Chua, pendirian Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala itu dianggap menimbulkan kebimbangan sebagai pemimpin yang tidak mesra rakyat.

Keadaan ini diburukKan lagi apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Tan Lian Hoe juga menyelar pendirian ketua muslimat PAS Bahagian Labis itu.

Umno tidak beri kefahaman Islam kepada MCA

Isu ini tentunya tidak terus berlarutan sekiranya Umno pantas bertindak dengan memberi kefahaman berkaitan hukum Islam ini kepada rakan-rakan mereka dalam MCA.

Akhirnya, isu ini memberi kelebihan kepada PAS apabila berjaya memberi penjelasan yang berkesan dalam isu itu sekaligus memaksa BN berada di kedudukan bertahan.

Fakta jelas menunjukkan bahawa bersentuhan tangan antara bukan mahram dalam hukum Islam ternyata mustahil ditepis oleh kalangan pemimpin mahupun ulama dalam Umno.

Ketika menangkis serangan lawan, Cikgu Mala menjelaskan hukum dalam Islam yang melarang bersentuhan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram.

"Kami sebagai individu Muslim, kami (wanita) memang tidak bersalam dengan lelaki. Begitu juga dengan kaum Tionghua, kami bersalaman dengan perempuan Tionghua tidak ada masalah, sebab mereka perempuan.

"Kami (wanita Muslim) juga tidak bersalaman dengan lelaki Islam"

"Hatta kami saudara seIslam pun, kami tidak bersalaman dengan lelaki," jelas calon PAS itu dalam satu sidang media yang seperti mana lazimnya penjelasannya itu tidak diberikan tempat dalam media-media arus perdana.

Selain penjelasan dari Cikgu Mala dan pemimpin-pemimpin PAS lain, rakan PAS dari DAP dan PKR juga dilihat telah memainkan peranan yang baik dengan mengambil tempat bagi menjelaskan keadaan ini kepada pengundi-pengundi berbangsa Cina.

Ketika melancarkan serangan balas dalam isu yang sama, Chua telah dianggap sebagai pemimpin BN yang tidak menghormati kepercayaan ugama lain, keadaan yang sama dihadapi oleh seorang pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berbangsa Sikh yang dipotong rambutnya.

Malah, Umno sebagai parti utama dalam komponen BN turut menerima kesan paling mendalam apabila dikatakan gagal menjelaskan kepada rakan-rakan komponen dalam BN itu dalam isu berkaitan hukum Islam.

Ia diburukan lagi apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberikan 'komen positif' terhadap kenyataan Chua tersebut sekaligus menghiris perasaan bukan sedikit kelompok Melayu di kalangan pengundi atas pagar.


Free Malaysia Today

PENDERHAKA sebenar telah muncul..

Posted: 23 Jan 2011 09:22 PM PST

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan perisytiharan bagi memperkenankan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang akan diadakan 24 Januari untuk meminda perlembagaan negeri.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani ketika mengesahkan perkara itu berkata, permintaan mengadakan sidang berkenaan telah dibuat oleh pihak DUN Selangor.

Jadi bila Sultan telah memperkenankan sidang DUN itu.. mereka dibawah ini telah membantah.. jelaslah kepada kita merekalah PENDERHAKA sebenar..

200 ahli Gaps, Perkasa bantah sidang Dun Selangor




SHAH ALAM: Kira-kira 200 ahli Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menunjuk perasaan hari ini membantah sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) yang sedang berlangsung.


Seawal 9.30 pagi kumpulan tersebut mula berhimpun dan berarak di Dataran Shah Alam bagi menyerahkan memorandum bagi membantah pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959 kepada Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat.

Kumpulan tersebut berarak daripada Dataran menuju ke bangunan SUK sehingga mengakibatkan keadaan lalu lintas tergendala di hadapan bangunan itu.

Kumpulan itu dihalang pasukan Polis Simpanan Persekutuan daripada menuju ke pintu utama bangunan SUK.

Namun hanya lima wakil sahaja dibenarkan untuk menyerahkan memorandum itu yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burung, Shamsuddin Lias untuk diserahkan kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk dibawa ke dewan hari ini.

Mereka yang dibenarkan menyerahkan memorandum tersebut ialah Ketua Perkasa Selangor Abdullah Mansor, Pengerusi Gaps Hamizudin

Khairuddin, Ketua Pemuda Umno Selangor Ungku Salleh dan Ketua Umno Ampang, Ismail Kijo dan Ketua Umno Bahagian Shah Alam Ahmad Nawawi.

Ringkasan memorandum itu menyebut tentang pentadbiran Khalid yang lemah dan tidak mempunyai majoriti 2/3 untuk meminda perlembagaan negeri.

Malah tertera dalam memorandum itu bahawa pindaan tersebut sia-sia kerana bersifat 'ultra vires' (melampaui bidang kuasa) terhadap Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Persidangan Dun khas hari ini adalah untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikankuasa Sultan Selangor dan Menteri Besar untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri.

Keputusan untuk mengadakan sidang ini dibuat berikutan pertemuan Khalid dengan Sultan Selangor,Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam, di mana baginda bertitah bahawabaginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikan yang dibuat oleh SPA.


Free Malaysia Today

MB Johor sudah menggila..

Posted: 23 Jan 2011 09:14 PM PST

LABIS, 24 Jan — Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman melancarkan serangan terhadap Pakatan Rakyat dengan mendakwa gabungan tiga parti itu mahu memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Ghani berkata tindakan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP itu semata-mata mahu mengejar kuasa seterusnya merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

"Janganlah kita pertaruhkan masa depan kepada pihak lawan (Pakatan Rakyat) yang buat pelbagai janji.


"Saya nak jelaskan, hari ini ada parti yang dah datang ke Labis dan Tenang, jumpa orang Melayu cakap lain, kemudian depan (orang lain), cakap lain.

"Mereka (Pakatan Rakyat) bercakap bukan untuk perpaduan tetapi bercakap untuk perpecahan antara kita," katanya ketika pada program Majlis Jamuan Mesra Bersama Menteri Besar Johor di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Labis di sini malam tadi.

Turut hadir dalam program itu Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong dan calon Umno-BN Mohd Azahar Ibrahim.

Umno-BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat diwakili oleh Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon.

Menurut Ghani (gambar), Pakatan Rakyat akan menggunakan pelbagai cara untuk mengelirukan rakyat seterusnya memecahkan perpaduan kaum yang telah terjalin sejak merdeka lagi.

"Dia (Pakatan Rakyat) tak ada masa depan kerana cuba dapatkan tempat dan kuasa dengan perpecahan yang berlaku.

"Cara dia nak pecah belahkan masyarakat untuk mendapatkan kuasa, ini jauh berbeza dengan BN.

"Saya ambil kesempatan ini meminta supaya pengundi berikan sokongan kepada calon BN," kata Pengerusi Umno Johor itu.

Selain itu, Ghani dalam ucapan juga memberikan jaminan kerajaan pimpinannya akan membantu rakyat di negeri itu termasuk dalam bidang pendidikan.

Beliau juga memberi jaminan Sekolah Jenis Kebangsaan sama ada Cina atau Tamil turut akan mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri.

Program selama dua jam itu dihadiri kira-kira 300 masyarakat Tionghoa dan ia dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan yang disusuli dengan makan malam.

Selain itu, Mohd Azahar turut mengambil kesempatan menyanyikan sebuah lagi bertajuk "Selamat Tahun Baru Cina" kepada masyarakat Tionghoa yang akan menyambut perayaan itu awal bulan depan.

Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu.


Oleh Syed Mu'az Syed Putra/ The Malaysian Insider

Soi Lek Hina Islam - Harussani

Posted: 23 Jan 2011 05:37 PM PST

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Jika Harussani menyifatkan Soi Lek telah menghina Islam.. Muhyiddin dan MB Johor juga telah bersama menyokong Soi Lek menghina Islam..


Isu bersalam: Harussani anggap Soi Lek hina Islam, perlu minta maaf

LABIS, 24 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani (gambar) menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.


Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi "mengingatkan" masyarakat Cina di DUN Tenang.

"Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

"Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

"Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam," kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

"Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

"Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

"(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram," katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan "fatwa" baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

"Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

"Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

"Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik," katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

"Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.

Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam," katanya.


The Malaysian Insider

Percayakah Anda? 100 anggota PKR Tasek Gelugor keluar parti..

Posted: 23 Jan 2011 05:18 PM PST

S. Thevandass yang mewakili kumpulan itu telah menyerahkan borang penyertaan mereka kepada Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugor Dr. Mohd. Rozi Yusuf..

S. Thevandass menyertai UMNO?? Nama Melayu dari bangsa apa pulak ni? Nak kata Jawa.. bukan.. nak kata Banjar pun bukan juga.. nak bohong tu bagilah real sikit..


100 anggota PKR Tasek Gelugor keluar parti, sertai BN

TASEK GELUGOR, 23 Jan. - Seramai 100 anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tasek Gelugor di sini mengambil keputusan meninggalkan perjuangan mereka bersama parti berkenaan selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti itu yang gagal membela nasib dan kebajikan rakyat.

S. Thevandass yang mewakili kumpulan itu berkata, tindakan mereka keluar dari PKR juga disebabkan kecewa dengan parti itu yang gagal menunaikan janji kepada penduduk di kawasan Ladang Mayfield, di sini.


"Semua janji yang ditabur sebelum pilihan raya hanya janji kosong semata-mata, mereka (PKR) kata nak bantu orang India, tapi sampai sekarang apa pun mereka tidak beri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan borang penyertaan mereka kepada Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugor Dr. Mohd. Rozi Yusuf.


Bernama

Tiada ulasan: