Jumaat, 7 Januari 2011

Anak Cucu Nabi Adam

Anak Cucu Nabi Adam


Pengarah pelajaran Johor didakwa kempen untuk BN

Posted: 07 Jan 2011 01:51 AM PST

PAS Johor hari ini membuat laporan polis mendakwa Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran mengajak pengetua dan guru sekolah di sekitar DUN Tenang merayu undi untuk membantu BN dalam pilihan raya kecil hujung bulan ini.

Laporan polis itu dibuat oleh timbalan pesuruhjaya PAS Johor Zulkefli Mohamad di Balai Polis Labis kira-kira jam 10.45 pagi ini.

Turut hadir bersama-samanya, pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mahfodz Mohamed dan ketua penerangannya Mazlan Aliman.

Mazlan memberitahu wartawan, dalam laporan polis itu Markom telah didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pengarah pelajaran Johor untuk berkempen secara terang-terangan untuk BN.

Zulkefli juga turut menyerahkan rakaman video yang didakwa menunjukkan Markom berucap kepada para guru untuk tujuan tersebut.

"Bagi PAS, tindakan Haji Markom sangat bertentangan dengan etika sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan 21 bagi pegawai pengurusan tertinggi dan profesional.

"Bagi (jawatan berpangkat) DG 54, mereka tidak boleh membuat kenyataan yang menyebelahi mana-mana parti politik atau menerbitkan risalah, atau merayu undi atau bertindak merayu dalam pilihan raya," kata Mazlan.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mendakwa Markom turut berkempen di beberapa buah sekolah di sekitar DUN Tenang.

Dakwanya, bukti yang diperolehi menunjukkan Markom pernah berkempen di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Labis pada 31 Disember lalu dan empat buah sekolah kebangsaan di sekitar DUN Tenang pada 3 Januari lalu.

"Semua pertemuan ini, (guru-guru) diminta menyokong BN," kata Mazlan.

"Kita mempunyai rakaman video bagaimana beliau memberi tekanan kepada guru merayu undi untuk BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS meminta polis menjalankan siasatan dan mendesak supaya Markom dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib.

Ini kerana, katanya, Markom "menjejaskan reputasi Jabatan Pelajaran dan menunjukkan contoh yang tidak baik kepada guru-guru".

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pegerakkan agensi kerajaan yang berkempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Sebanyak 20 pemantau telah dilantik yang diletakkan di bawah (pengawasan) saya (sebagai ketua penerangan). Kita sudah mula memantau aktiviti jentera kerajaan.

"Kita guna maklumat (yang diterima) dan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap minggu," katanya.

~MK~

Kereta Rocky dilarikan

Posted: 07 Jan 2011 01:50 AM PST

Rumah Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail Datuk Ahirudin Attan yang juga dikenali sebagai blogger Rocky's Bru dipecah masuk dan kereta jenis Peugeot 470 miliknya dicuri awal pagi ini di Taman Damai Utama, Puchong.

Ahirudin, 49, yang juga Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku sekitar 3 pagi ketika beliau, isteri dan ibu mentua, dan tiga anak serta tiga anak saudara, sedang tidur.

"Kejadian itu disedari apabila ibu mentua saya bangun kira-kira pukul 5 pagi dan melihat pintu utama rumah terbuka luas," katanya.

Ahirudin berkata bahawa sebaik menyedari perkara itu, ibu mentuanya memanggilnya dan beliau mendapati keretanya yang bernilai lebih RM100,000 dilarikan penjenayah.

Turut dibawa lari jam tangan isterinya yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.

"Mungkin barang rumah kami tak banyak, jadi bila nampak kunci kereta mereka terus mengambilnya. Saya bertanya kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan ini dan mereka nampak kereta saya dibawa keluar pukul 3 lebih," katanya.

Ahirudin berkata kawasan perumahannya itu yang terletak dalam Bandar Kinrara baru tiga bulan menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk menjaga kawasan itu.

Katanya beliau percaya insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan kerjayanya sebagai wartawan akhbar dan penulis blog.

"Selain jam tangan dan kereta yang dibeli sejak tahun lalu, skuter mainan anak saya yang diletakkan di halaman rumah turut lesap," katanya.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias yang melakukan siasatan di rumah itu berkata polis akan melihat rakaman litar tertutup yang dipasang di hadapan rumah jiran Ahiruddin bagi mengenal pasti suspek.

~Bernama~

Kediaman Rocky's Bru dipecah masuk

Posted: 07 Jan 2011 01:49 AM PST

Rumah blogger proUmno Datuk Ahirudin Attan yang juga dikenali sebagai Rocky's Bru dipecah masuk dan kereta Peugeot 470 miliknya dicuri awal pagi ini, di Taman Damai Utama, Puchong.

Ahirudin, 49, yang juga Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian itu berlaku sekitar 3 pagi ketika beliau, isteri dan ibu mentua, dan tiga anak serta tiga anak saudara, sedang tidur.

"Kejadian itu disedari apabila ibu mentua saya bangun kira-kira 5 pagi dan melihat pintu utama rumah terbuka luas," katanya yang dipetik Bernama.

Ahirudin berkata bahawa sebaik menyedari perkara itu, ibu mentuanya memanggilnya dan beliau mendapati keretanya yang bernilai lebih RM100,000 dilarikan penjenayah.

Turut dibawa lari jam tangan isterinya yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.

"Mungkin barang rumah kami tak banyak, jadi bila nampak kunci kereta mereka terus mengambilnya. Saya bertanya kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan ini dan mereka nampak kereta saya dibawa keluar kira-kira jam 3 pagi," katanya.

Nama Ahirudin kembali diperkatakan di blog-blog sejak bulan lalu ekoran satu laporan di blognya yang menyiarkan pendedahan WikiLeaks bahawa salah seorang menteri Malaysia telah merogol seorang pembantu rumah warganegara Indonesia.

Laporan itu menggemparkan negera apabila mendakwa kejadian tersebut berlaku di era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dan diketahui Abdullah sendiri, namun tiada sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap menteri tersebut.

Sebelum ini juga, Ahirudin pernah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SCMM) ekoran tindakannya mendedahkan dalam blognya anak seorang menteri mendapat projek dari kementerian yang dijaga oleh menteri berkenaan.

~MK~

NUTP cadang sistem penilaian baru naik gaji

Posted: 07 Jan 2011 01:48 AM PST

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya sistem baru untuk menilai prestasi kerja penjawat awam kelak hanya membabitkan soal pergerakan gaji kakitangan dan bukannya untuk tujuan kenaikan pangkat.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata urusan kenaikan pangkat perlu diserahkan sepenuhnya kepada ketua jabatan yang membuat penilaian berdasarkan prestasi dan pengalaman.

Menurut beliau, cara begitu akan memberi peluang kepada guru terutamanya untuk naik pangkat selepas lama berkhidmat tanpa perlu memikirkan soal perlu lulus sebarang peperiksaan awam seperti sebelum ini.

"Ada guru yang sudah lama berkhidmat tetapi masih gagal dalam peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum ini dan gagal menerima kenaikan pangkat selama bertahun-tahun," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Oktober tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bahawa peperiksaan PTK dimansuhkan bermula Jun tahun ini dan akan digantikan dengan penilaian lain yang lebih baik.

Hashim berkata, NUTP sudah diminta oleh kerajaan untuk turut memberikan pandangan dalam menetapkan sistem penilaian baru itu.

~Bernama~

Syed Danial Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja baru

Posted: 07 Jan 2011 01:47 AM PST

Datuk Syed Danial Syed Ahmad, 66, dilantik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang baru berkuatkuasa 10 Januari ini.

Beliau menggantikan Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah (kiri), yang bersara hari ini selepas berkhidmat sebagai Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selama 22 tahun.

Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Sabtu Awab, berkata Syed Danial yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan Sarjana dari Universiti of Wisconsin, Madison di Amerika Syarikat, pernah menyandang jawatan Datuk Paduka Maharaja Lela dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

"Syed Danial telah dilantik dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung tahun lalu," katanya pada majlis tertutup meraikan Engku Ngah Ibrahim di pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur, hari ini.

Sabtu berkata, Syed Danial dilantik secara kontrak selama tiga tahun.

Syed Danial, yang berasal dari Pulau Pinang, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik di beberapa kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Dalam Negeri.

Engku Ibrahim, 79, juga adalah Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang paling lama menyandang jawatan itu.

~Bernama~

Suruhanjaya diraja tidak siasat punca kematian

Posted: 07 Jan 2011 01:45 AM PST

Kerajaan akan menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat sama ada wujud pencabulan hak asasi dalam proses soal siasat mendiang Teoh Beng Hock, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Suruhanjaya yang akan diwujudkan dengan terma-terma khusus itu, akan "meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya.

Bercakap dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini, Najib berkata, panel suruhanjaya berkenaan akan diumumkan selepas mesyuarat kabinet pada Rabu depan. Beliau berharap, siasatan oleh suruhanjaya itu akan dapat menyelesaikan kes tersebut.

"Suruhanjaya ini akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas satu tauliah pelantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Najib juga berkata, suruhanjaya itu akan ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). Peruntukan itu memberi kuasa kepada suruhanjaya berkenaan untuk menyiasat SPRM dan "kelakuan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia."

Boleh dilanjut

"Tempoh suruhanjaya itu juga boleh dilanjutkan untuk tempoh masa sepertimana dibenarkan di bawah Seksyen 5 Akta 119," katanya.

Najib berkata peguam negara yang tidak berpuas hati dengan penghakiman terbuka itu akan memfailkan semakan di mahkamah tinggi Shah Alam bagi menyemak keputusan Mahkamah Koroner.

"Sudah tentulah peguam negara tidak gembira dengan penghakiman (inkues) dan mahu ia dirujuk ke mahkamah lebih tinggi untuk menyemak keputusan itu," katanya.

Oleh demikian, menurut Najib, punca kematian Teoh tidak akan dimasukkan dalam terma-terma khusus penubuhan suruhanjaya diraja berkenaan.

"Bagaimanapun, kerajaan akan meneruskan keputusan yang telah dibuat sepertimana yang saya nyatakan pada 17 Julai 2009 untuk wujudkan suruhanjaya diraja," katanya lagi.

Perkara sebenar

Tambahnya, kerajaan bersimpati dengan apa yang telah dilalui oleh keluarga Teoh.

"Apa yang penting adalah untuk mengetahui perkara sebenar (yang berlaku terhadap Teoh).

"Kita harap mereka akan benarkan proses ini berlaku dan kita harap akan dapat pastikan (establish) apa yang sebenarnya berlaku," katanya lagi ketika ditanya.

Menurut perdana menteri lagi, beliau juga sedia menemui keluarga Teoh tetapi tidak pasti bila. Pada Rabu lalu, mahkamah koroner membuat penghakiman terbuka berhubung inkues Teoh - iaitu beliau bukan bunuh diri mahupun dibunuh.

Pelbagai pihak kesal kerana setelah lebih setahun berlalu, punca kematian pegawai politik kepada seorang exco Selangor itu masih menjadi misteri.

Teoh, 30, dijumpai mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima koridor Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoalsiasat oleh SPRM Selangor yang pejabatnya terletak di tingkat 14 bangunan yang sama.

~MK~

Keputusan kes Teoh timbulkan banyak persoalan

Posted: 07 Jan 2011 01:43 AM PST

Keputusan yang tidak mempertanggungjawabkan sesiapa pun atas terbunuhnya Teoh Beng Hock adalah keputusan pelik yang mencipta sejarah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Mahkamah Koroner memutuskan Teoh tidak dibunuh dan tidak juga membunuh diri. Tidak ada keputusan tentang sebab kematian beliau.

"Tetapi, Koroner (Azmil Muntapha Abas) juga memutuskan ada bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa kecederaan pada leher Teoh berlaku sebelum dia jatuh.

"Dia cedera dan kecederaan mungkin berlaku kerana siksaan, tetapi tidak dinyatakan pula apa kaitan kecederaan dengan kematian," katanya.

Mahfuz mempersoalkan bagaimanakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh terlepas begitu sahaja dari dipertanggungjawabkan.

"Teoh terbunuh setelah terjatuh dari pejabat SPRM Selangor dan ketika beliau disoalsiasat oleh SPRM. Koroner pula memutuskan ada bukti yang menunjukkan kecederaan pada leher Teoh.

"Berdasarkan tempat dan masa beliau terbunuh, mengapa SPRM langsung tidak dipertanggungjawabkan?" Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan.

Mahfuz juga mempersoalkan mengapa tidak ada sebarang keterangan lanjut mengenai kecederaan pada leher Teoh.

"Adakah itu juga bermakna beliau tidak dicederakan dan tidak mencederakan dirinya tetapi ada kecederaan?" soal beliau.

Mahfuz juga menyifatkan keputusan itu bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah dan menjawab pelbagai persoalan umum malah ia menimbulkan lebih banyak persoalan.

Mahfuz juga mengulangi tuntutan yang dibuat oleh PAS sejak awal lagi supaya kerajaan menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung punca kematian Teoh.

"Mahkamah Koroner yang muncul dengan penghakiman terbuka yang menimbulkan lebih banyak persoalan sudah mula dipertikaikan oleh rakyat yang menyifatkan inkues tersebut satu pembaziran kerana tidak ada keputusan yang pasti.

"Sebab itulah Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung punca kematian Teoh mesti ditubuhkan segera," katanya sambil mengingatkan kerajaan supaya jangan hanya bercakap sahaja hendak menubuhkan suruhanjaya tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon telah dilaporkan memberitahu laman web Nanyang Siang Pau bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak telah mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi bagi meninjau kemungkinan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat punca kematian Teoh.

"Kali ini, rakyat mestilah memastikan suruhanjaya tersebut tidak menjadi seperti suruhanjaya siasatan pita V K Lingam di mana cadangan suruhanjaya tersebut terbiar begitu sahaja dan tidak ada tindakan - hanya menghabiskan wang rakyat sahaja," kata beliau.

Mahfuz seterusnya berkata, PAS mengucapkan takziah tidak terhingga kepada keluarga Teoh kerana penghakiman terbuka Mahkamah Koroner itu.

"Kita amat bersimpati dengan penderitaan yang semakin bertambah-tambah yang dialami oleh keluarga Teoh berikutan keputusan itu," katanya.

~harakah~

Tiada ulasan: