Anak Cucu Nabi Adam |
- Rakyat didaHULUkan minyak naik
- Raja Melayu Bukan Maksum
- Shuhaimi jelaskan 'beraja di mata, bersultan di hati'
- Langkah MB akhiri isu Khusrin
- AG jumpa SPRM
- KJ Hanya Badut Sarkas UMNgOk
- KJ Merajuk Tahap Cipan
- KJ terlibat dengan Alcatel?
- Isu Felda warnai kempen PRK Tenang
- Tenang bakal jadi medan perang Interlok
- Seniman pertahan novel Interlok
- Bantah Interlok tanda perkauman makin teruk
- Menteri digesa nafi jika tidak benar merogol
- Pembohongan 'Umno dahulukan rakyat'
- Umno tersepit
- SAMM lapor polis ada bukti menteri rogol amah
- Adakah Interlok novel rasis menghina kaum India?
| Rakyat didaHULUkan minyak naik Posted: 04 Jan 2011 11:24 PM PST DEWAN PEMUDA PAS PUSAT KENYATAAN MEDIA 5 Januari 2011 / 30 Muharram 1432 (No rujukan : PAS/DPPP/2.07(02/11) HARGA MINYAK NAIK : RAKYAT DIDAHULUKAN? Kehadiran tahun baru 2011 kali ini umpama tahun yang bakal menggigit kehidupan rakyat apabila sekali lagi Kerajaan Persekutuan menghadiahkan kenaikan harga bahan petrol RON 97 sebanyak 10 sen secara tiba-tiba semalam. Tindakan ini, membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempedulikan kesakitan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat apabila menambah beban rakyat walaupun kemarahan rakyat masih belum reda ekoran kenaikan sekaligus harga minyak, gas dan gula pada awal disember 2010 lepas. Dewan Pemuda PAS Pusat melihat tindakan ini seolah-olah cuba memeras rakyat supaya dapat mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil di DUN Tenang tenang pada akhir bulan ini. Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket kerajaan persekutuan sendiri. Tindakan terdesak ini juga menunjukkan kerajaan sebenarnya sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak sudah menampakkan bibit-bibit kegagalan dan janji kerajaan untuk memberi kesenangan dan keselesaan untuk rakyat hanya tinggal janji. Pada awal November tahun 2010 kerajaan menjanjikan harga RON 95 dan diesel akan kekal masing-masing pada kadar harga RM 1.85 seliter dan RM 1.75 seliter sehingga hujung tahun selepas menaikkan harga RON 97 sebanyak 5 sen pada masa itu. Walaubagaimanapun kerajaan memungkiri janji mereka apabila menaikkan harga RON 97, RON 95, Gula dan Gas pada awal Disember tahun lepas. DPPP turut khuatir rakyat akan terus terbeban dan menjangkakan kenaikan RON 95 pula selepas ini, dan tidak mustahil harga bahan mentah lain boleh juga boleh naik sekiranya kenaikan RON 97 semalam gagal menampung keperluan pilihan raya Barisan Nasional di DUN Tenang. DPPP juga merasakan tidak mustahil selepas ini, harga minyak akan naik pula menjelang pilihan raya umum ke-13 yang dijangkakan berlaku tidak lama lagi. DPPP beranggapan bahawa kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan kantong Barisan Nasional. Pelik, dalam keadaan ekonomi negara yang dilaung-laungkan stabil oleh kerajaan Barisan Nasional, mereka terus menindas rakyat dengan kenaikan harga barang dan bahan mentah dalam negara. Kerajaan BN mampu memberi peruntukan 5 bilion untuk pembinaan Menara Warisan yang belum tentu memberikan pulangan yang bermanfaat kepada rakyat, 111 Juta kepada PERMATA yang hanya dinikmati segolongan kecil kanak-kanak, menurunkan cukai barang-barang import keperluan pelancong luar negara tetapi sangat kedekut di dalam soal pemberian subsidi kepada rakyat. Dikala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Sudah tiba masanya rakyat sedar dengan janji-janji kosong Barisan Nasional kononnya hendak membantu keselesaan rakyat, dan memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat merealisasikan harapan mereka. Pilihan raya DUN Tenang, peluang rakyat memberikan amaran kepada Kerajaan yang zalim ini agar tidak terus menerus menzalimi dan menindas kehidupan rakyat dengan memberikan undi dan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. DPPP juga mengajak golongan muda yang semestinya ramai merasai dan menghadapi masalah akibat tindakan terdesak kerajaan BN itu, bersama-sama PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi Kerajaan Barisan Nasional di dalam pilihan raya kecil DUN Tenang dan seterusnya pilihan raya umum ke-13 yang akan datang supaya Kerajaan BN sedar di atas penindasan yang mereka lakukan terhadap rakyat. Khairul Faizi bin Ahmad Kamil Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat |
| Posted: 04 Jan 2011 11:22 PM PST Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata kepercayaan sesetengah pihak bahawa adalah haram untuk mengkritik atau mempunyai pendapat yang berbeza dengan Raja-Raja Melayu, seolah-olah menyamakan kedudukan mereka dengan para Nabi.Sebaliknya, kata Dr Asri, Raja-Raja Melayu bukanlah Nabi yang maksum sehingga tidak boleh dikritik. "Sedang para al-Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang jauh lebih mulia daripada sultan-sultan pun dikritik dan dibantah oleh rakyat mereka. "Namun mereka menjawab dengan penuh amanah, wibawa dan mereka tidak membunuh pengkritik mereka. Bahkan berterima kasih," katanya dalam satu kenyataan media. Menurut Dr Asri, ada beberapa kejadian yang sahabat tidak bersetuju dengan cadangan Nabi Muhammad SAW dan membantah keputusan baginda seperti yang berlaku ke atas Umar ketika perjanjian Hudaibiyyah. Namun, tambahnya, Nabi tidak membunuh beliau. Justeru, katanya, cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan pemimpin politik agar golongan yang mencadangkan pengkritik Raja-raja Melayu dihukum gantung, sebenarnya lebih hina dan besar dosanya daripada menggalakkan pemerintah berzina, atau berjudi atau minum arak atau semua maksiat yang lain. Dosa besar "Ini kerana, nyawa dalam Islam amat berharga dan haram ditumpahkan tanpa sebab yang sah. Cadangan ini bererti menggalakkan pemerintah membunuh orang tanpa sebab yang diizinkan oleh Allah dan Rasul. Dosa membunuh dalam Islam lebih besar dari dosa zina, arak, judi dan lain-lain," katanya. Menurut Dr Asri, baginya, pencadang hukuman tersebut adalah pengampu yang melebihi had. "Jika dia Muslim, dia seorang yang 'kering perasaan' dan tidak takutkan Allah mengenai 'darah orang lain'. Mungkin dia berhujah dengan undang-undang yang dia fahami sehingga dia lupa syariat Allah yang Maha Tinggi yang mengharamkan ditumpah darah dan nyawa manusia tanpa sebab yang sah di sisi syarak. "Wajib dia bertaubat dan menarik balik cadangan tersebut," katanya. Pada 3 Januari lalu, dua pertubuhan bukaan kerajaan - Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mahu ADUN Seri Muda dari PKR,Shuhaimi Shafiei dihukum gantung kerana didakwa cuba mencetuskan "peperangan ke atas Raja-raja Melayu". Shuhaimi antara lain, dalam blognya menulis - jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak memerlukan perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali. Malah, Shuhaimi didakwa seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan majlis mesyuarat berkenaan atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana. ~MK~ |
| Shuhaimi jelaskan 'beraja di mata, bersultan di hati' Posted: 04 Jan 2011 11:20 PM PST ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei sedia mengadap Sultan Selangor bagi menjelaskan kenyataannya berhubung isu pelantikan setiausaha kerajaan Selangor yang didakwa telah dimanipulasikan.Pembantu khasnya, Azmizam Zaman Huri berkata, kenyataan itu telah dimanipulasikan akhbar "khususnya Utusan Malaysia dan media seangkatannya." Azmizam juga berkata, kenyataan Shuhaimi bertarikh 30 Disember itu tidak ditujukan kepada Sultan Selangor. "Sebaliknya ia bertujuan menyanggah kenyataan yang dibuat setiausaha sulit kepada DYMM Sultan Selangor serta mantan ketua pembangkang Datuk Seri Dr Khir Toyo. "(Mereka) telah memberikan tafsiran mereka sendiri ke atas peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959," katanya. Tambahnya, Shuhaimi dalam kenyataan berkenaan telah menyatakan kesetiaan terhadap Sultan Selangor dan memperakui kuasa eksekutif baginda. "Yang dipersoalkan beliau ialah mengapa Fasal 50 (kuasa eksekutif Sultan Selangor) dan Fasal 52(1) (peranan Suruhanjaya Perkhidmatan melantik SUK) tidak dibaca bersama Fasal 55(1)," katanya lagi. Sedia hadapi Sultan Azmizam yang juga naib ketua AMK berkata, Shuhaimi telah menjelaskan demikian kepadanya dalam satu pertemuan lewat malam semalam. Azmizam berkata, Shuhaimi juga akan menjelaskan mengenai kenyataan "beraja di mata dan bersultan di hati" yang dipertikaikan. "Beliau tidak menujukan kenyataan ini secara tepat kepada sesiapapun. "Sebaliknya (peribahasa itu) mengingatkan bahawa sebarang tindakan oleh mana-mana pihak mengikut kehendak mereka tanpa mengambil kira peruntukan dan konvensyen perlembagaan tidak akan diterima rakyat. "Bagaimanapun, beliau tegaskan sekiranya baginda tersinggung dan menganggap kenyataan itu merujuk kepada bagida, YB Shuhaimi selaku rakyat baginda yang setia, sedia mengadap Sultan dan menjernihkan keadaan," kata Azmizam lagi. ~MK~ |
| Posted: 04 Jan 2011 11:19 PM PST Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan khas dengan ADUN dan ahli parlimen Selangor.Ia diadakan untuk memberi penjelasan mengenai cadangan untuk memanggil sidang DUN bagi meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang. Perjumpaan tersebut dihadiri lebih 40 wakil rakyat Pakatan Selangor dari DAP, PAS dan PKR. Turut hadir ialah ADUN PSM Kota Damansara, Dr Nasir Hashim. Bagaimanapun, ketika ditemui selepas pertemuan dua jam itu, Abdul Khalid mengesahkan tidak akan ada usul tidak percaya terhadap setiausaha kerajaan negeri, Mohammed Khusrin Munawi, yang mula bertugas walaupun dibantah Pakatan Rakyat. "Sidang DUN akan diadakan pada minggu keempat bulan ini. Kita ada tiga minggu untuk menyediakan draf pindaan tersebut," kata Abdul Khalid kepada media. Dalam pertemuan tersebut, Abdul Khalid memberi penjelasan mengenai urutan peristiwa berkaitan perlantikan kontroversi Khusrin, dan pertemuannya dengan Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam. Abdul Khalid juga menjelaskan bahawa sementara pelantikan Khusrin adalah "mengikut undang-undang", tetapi kerajaan negeri berpendirian bahawa ianya "tidak sah" selagi beliau (Khusrin) tidak mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan menteri besar dan exco. Menteri besar juga mencabar pihak-pihak yang mendakwa bahawa tindakan menghalang Khusrin mengangkat sumpah tersebut sebagai melanggar perlembagaan supaya membawa perkara itu ke mahkamah. Sementara itu, Speaker Datuk Teng Chang Khim, yang turut hadir, berkata masih ada peluang baik bagi pindaan tersebut diluluskan walaupun Pakatan Rakyat mempunyai kurang daripada dua pertiga wakil di DUN. "ADUN BN-Kuang Abdul Shukor Idrus telah dilaporkan oleh Berita Harian sebagai berkata, jika wakil rakyat BN bersetuju dengan pindaan itu, mereka akan menyokong usul tersebut," katanya. Beliau juga juga menolak kenyataan timbalan pengerusi BN Selangor, Datuk Noh Omar bahawa BN akan menolak usul tersebut kerana Noh "bukan ahli dewan undangan negeri". ~MK~ |
| Posted: 04 Jan 2011 11:16 PM PST Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam majlis dialog dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberi maklum balas mengenai isu beliau dan keluarganya mengerjakan haji di Mekah baru-baru ini.Selain itu ia berkenaan dakwaan blogger yang membabitkan beliau dengan kes MASKargo, menurut kenyataan akhbar SPRM yang dikeluarkan hari ini. SPRM berkata sesi dialog antara Abdul Gani dengan ahli-ahli Lembaga Jawatankuasa dan panel SPRM diadakan atas permintaan Abdul Gani sendiri. Seramai 30 daripada 42 ahli Lembaga Jawatankuasa dan Panel SPRM menghadiri sesi dialog yang diadakan di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Duta, di ibunegara. Abdul Gani juga turut "memberi maklum balas dan penyelarasan terbuka mengenai kes-kes yang menjadi isu semasa." Turut hadir pada dialog itu ialah Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohammed serta pengurusan tertinggi dan pengarah-pengarah bahagian SPRM. Portal berita dan bloger telah memainkan gambar Abdul Gani yang dilihat bersama Shahidan Shafie, orang yang dikatakan rapat dengan bekas pengerusi Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli, semasa beliau mengerjakan haji di Mekah. Mereka mendakwa Shahidan telah meyakinkan Abdul Gani agar tidak membuat pertuduhan terhadap Tajuddin yang menjadi pengerusi MAS dari 1994 hingga 2001, berhubung kerugian syarikat penerbangan nasional itu. MAS dilaporkan telah mengemukakan beberapa laporan terhadap Tajuddin dengan SPRM yang menyebut langkah Tajuddin untuk memindah operasi MAS kargo di Amsterdam dan Frankfurt kepada satu hab sahaja di Hahn, Jerman sebagai kerugian terbesar yang dialami di bawah Tajuddin. Operasi hab tersebut dilaporkan mengelami kerugian bulanan antara RM10 juta hingga RM16 juta sebelum ia ditamatkan dan kerajaan mengambih alih MAS pada 2001. ~Bernama~ |
| Posted: 04 Jan 2011 11:13 PM PST Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar menyokong cadangan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk berundur dari persada politik negara seperti yang dinyatakan baru-baru ini.Menurut Firdaus lagi, kepimpinan Khairy sememangnya tidak dihormati dan direstui oleh Umno pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti. "Dalam Umno, jelas terbukti siapa yang tidak sehaluan dengan kepimpinan mereka akan dicantas lebih awal lagi. Mereka juga tidak mengamalkan prinsip demokrasi secara total. Suara ahli tidak dihormati. "Dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) juga suara anak muda tidak dihormati. Prinsip keadilan tidak menjadi teras kepada pegangan dan perjuangan yang diamalkan oleh kepimpinan parti tersebut," ujarnya lagi ketika menghubungi Harakahdaily pagi tadi. Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Pusat turut menyatakan pelantikan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Menteri dan Timbalan Pengerusi Umno Kedah adalah satu contoh yang sebenar. Katanya lagi, sememangnya Khairy sudah tidak diperlukan lagi dalam Umno apabila Najib menerajui kepimpinan parti dan negara. "Oleh kerana itu sekiranya Khairy berhasrat untuk bersara selepas pilihan raya umum yang akan datang, adalah lebih baik bagi beliau daripada terus diperalatkan oleh kepimpinan Umno. "Cantas, diskriminasi dan kronisme sudah sebati dalam sistem pemerintahan yang diamalkan oleh Umno dan BN. Ia juga sudah parah dan sukar untuk dihapuskan kerana telah menjadi darah daging sejak kepimpinan terdahulu lagi," tegasnya lagi. ~harakah~ |
| Posted: 04 Jan 2011 11:11 PM PST Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyepi selepas membuat kenyataan di Twitter bahawa ini adalah penggal terakhirnya sebagai ahli parlimen Rembau hari ini menafikan beliau akan memulaukan kempen BN pada pilihan raya kecil Tenang pada akhir bulan ini.Semuanya berpunca daripada berita yang mengatakan bahawa beliau akan menjalani latihan lima minggu dengan askar Wataniah bermula minggu depan. Dalam mesej teks ringkasnya kepada Malaysiakini petang ini, Khairy berkata tuduhan beliau merajuk adalah karut dan menjelaskan bahawa jadual latihan telah lama ditetapkan sebelum kerusi Tenang itu kosong. "Latihan payung terjun askar di udara itu bagi memenuhi keperluan syarat sebelum saya boleh ditauliahkan. Ia lama ditetapkan sebelum Tenang. "Saya adalah ahli politik kanan BN yang pertama di Tenang dua minggu lalu dan berharap untuk mendapatkan cuti pada hujung minggu supaya saya boleh berkempen di Tenang. "Konsep merajuk tak wujud dalam kaamus saya," kata Khairy. Penamaan calon bagi pilihan raya kecil bagi DUN Tenang adalah pada 22 Januari ini manakala jika ada pertandingan, pengundian ditetapkanm pada 30 Januari ini. Khairy juga dalam Twitter membidas kumpulan yang mendakwa bahawa beliau sedang merajuk. "Pernah awak lihat orang yang merajuk bekerja keras seperti saya? Mengembara 21 kawasan parlimen, lima negeri dalam enam hari? Jangan begitu bodoh," katanya merujuk kepada program Pemuda BN "Jelajah 1Malaysia". ~MK~ |
| Posted: 04 Jan 2011 11:10 PM PST Selepas mendedahkan dokumen laporan Migrant Care berkaitan penyiasatan mereka terhadap mangsa rogol oleh seorang menteri kabinet, sebuah blog pro Umno mempersoalkan pula apakah Khairy Jamaludin terlibat dalam skandal rasuah Alcatel.Blog Bigdogdotcom yang banyak memburukkan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini mencadangkan, Khairy sebagai pihak yang berpengaruh dalam kumpulan "budak-budak tingkat 4" pentadbiran Abdullah terlibat dalam skandal ini. Bagi penulis blog ini, apa yang berlaku baru-baru ini, Khairy bukannya merajuk tetapi bimbang diambil tindakan selepas kes ini terdedah. "Ada yang kata, dia akan bertanding kerusi negeri. Harapannya adalah untuk dia jadi MB Negeri Sembilan akan datang. Ada yang kata dia akan bertanding di kerusi lebih selamat iaitu kerusi bapa mertuanya di Kepala Batas. "Kami fikir ia lebih besar dari itu," tulis penulis blog yang sebelum ini mendedahkan dokumen yang mengaitkan seorang menteri kabinet merogol pembantu rumahnya. Khairy baru-baru ini mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang diwakilinya sekarang. Langkah ini disifatkan sebagai Khairy merajuk kerana tidak diberikan jawatan yang sesuai kepadanya selaku Ketua Pemuda Umno. Ekoran itu, Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi mempelawa beliau menyertai PAS, namun ditolak oleh Khairy. "Baru-baru ini, pihak berkuasa telah memulakan tindakan ke atas pemimpin yang terlibat dengan kesalahan rasuah...." tulis Bigdogdotcom. Media melaporkan, Alcatel melalui Alcatel Lucent SA telah membayar wang rasuah sebanyak USD700,000 kepada seorang rakyat Malaysia yang membantunya mendapat kontrak bernilai USD85 juta dari Telekom Malaysia antara tahun 2004 dan 2006. Dokumen itu telah didedahkan oleh Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika dan Department of Justice Amerika. Pada tahun 2004-2006 itulah, tulis Bigdogdotcom, negara ini ditadbir oleh 'budak-budak tingkat 4'. "Semuanya diputuskan di Tingkat 4 Jabatan Perdana Menteri," tulisnya lagi. ~harakah~ |
| Isu Felda warnai kempen PRK Tenang Posted: 04 Jan 2011 11:09 PM PST Isu Felda dijangka antara isu yang akan mewarnai kempen Pakatan Rakyat dalam berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang 30 Januari ini. Timbalan Pengarah Pilihanraya I PAS bagi PRK Tenang, Mazlan Aliman berkata, banyak isu besar berkaitan penyalahgunaan kuasa Felda akan didedahkan kepada peneroka di Dun itu.Katanya, ianya juga sesuai dengan mood peneroka yang majoritinya kini tidak berpuas hati dengan pengurusan Felda khususnya generasi kedua. Ianya termasuk isu wang tanam semula, kadar perahan gred dan isu Felda Plantation yang antara menjadi kemarahan peneroka seluruh negara. "Saya akan guna isu kritikal ini untuk kempen PRK Tenang ini. "Sepertimana janji 100 hari Pakatan Rakyat, kita akan mansuhkan Felda Plantation jika diberi mandat memerintah negara," katanya. Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, beberapa keputusan mahkamah yang menyebelahi peneroka sebelum ini membuktikan apa yang diperjuangkan Anak adalah benar. Disember lalu, Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Abd. Wahab didakwa mengeluarkan satu pekeliling yang diedar kepada setiap peneroka memohon isu berkaitan Felda tidak dibawa ke mahkamah. Beliau mahu semua isu antara peneroka dengan Felda diselesaikan melalui meja rundingan. Mengulas perkara itu Mazlan berkata, peneroka sebenarnya dari dahulu lagi sudah berunding namun Felda yang tidak bersungguh dalam mencari penyelesaian. "Kita bawa ke mahkmah bukan bermakna kita ego, tapi itu sebenarnya jalan terakhir setelah perundingan dengan Felda tiada keputusan muktamad. "Sebenarnya kita sahaja yang beria-ia nak berunding, tapi Felda buat kita jadi pak turut sahaja," katanya lagi. Sehingga kini katanya, lebih 8000 peneroka belum menerima wang tanam semula biarpun Mahkamah Tinggi Kuantan sebelum ini mengarahkan Felda membayarnya. "Kita boleh berunding tetapi ada syaratnya. "Kembalikan wang tanam semula peneroka, dan kita mintak kadar perahan gred sebanyak 23 peratus," katanya meletakkan syarat. Sebelum ini, Felda hanya menetapkan 18 peratus sahaja untuk kadar perahan gred biarpun ujian makmal membuktikan 25 peratus adalah kadar paling wajar diberi kepada peneroka. Bagaimanapun menurut Mazlan, 23 peratus adalah sudah cukup untuk peneroka asalkan Felda menaikkannya dari 18 peratus pada waktu ini. Saluran mahkamah juga menurut Mazlan terpaksa digunakan peneroka setelah hilang sabar dengan sikap Felda yang tidak bertanggungjawab. Sehingga kini ujarnya, hampir 4000 peneroka datang mengadu kepada Anak dan mereka mahu menggunakan mahkamah untuk mendapatkan hak mereka. "Jumlah nak saman Felda ini sangat besar dan saya pun tak boleh nak halang. "Ini bukan soal menghasut tapi mereka sendiri sudah berani bertindak, bukan macam dahulu lagi," katanya. Sehubungan itu, beliau memberi tempoh sehingga pertengahan bulan ini kepada Felda untuk menyelesaikan beberapa isu besar peneroka atau berdepan tindakan saman besar-besaran peneroka. ~harakah~ |
| Tenang bakal jadi medan perang Interlok Posted: 04 Jan 2011 11:08 PM PST Selain pertembungan Pakatan Rakyat dan BN, pilihan raya kecil Tenang pada 30 Januari nanti juga bakal menjadi medan kempen untuk kumpulan pro dan anti novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain.Sebagai reaksi kepada Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) yang mahu turun dan meletakkan calon sendiri di DUN itu, NGO penulis - Kumpulan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - mengumumkan rancangan mereka 'berkempen' di kawasan itu. "Kita akan adakan forum di Tenang. (Kita) bukan hendak berkempen, tetapi mereka sudah guna (isu itu), (dan hendak) letak calon," kata presiden PAKSI Che Shamsudin Othman (kiri) yang mempertahankan novel itu sebagai "rakaman realiti yang cukup baik". Pada 30 Disember lalu, PRIMA mengancam meletakkan calon di Tenang jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Interlok yang didakwa memberikan gambaran salah terhadap masyarakat Indian, berhubung sistem kasta dan istilah "pariah". Ketua penerangannya AP Raja Retinam juga memberitahu Malaysiakini, mereka turut merancang melancarkan protes di Putrajaya dan di Johor Bahru berhubung perkara itu. Belum pun reda, sebuah lagi gabungan NGO India semalam mengancam mengadakan upacara membakar novel itu jika ia tidak ditarik balik sebagai teks sastera untuk pelajar tingkatan lima. Bakar novel Dalam satu sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) di ibu negara hari ini, Che Shamsudin berkata penyertaan PAKSI dalam pilihan raya itu bukan untuk tujuan politik tetapi "untuk menjelaskan keadaan seni" yang sebenar. Bagaimanapun, menurut penyajak terkenal dan pelopor teater absurd itu, butiran lanjut meliputi ahli panel terlibat dan tarikh program itu masih di peringkat perbincangan. Che Shamsudin dan beberapa seniman, termasuk Sasterawan Negara A Samad Said sebelum ini pernah beberapa kali terlibat berkempen dalam beberapa pilihan raya kecil bagi memperjuangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketika itu. Sementara itu, diminta mengulas rancangan pembakaran Interlok sebagai tanda bantahan, Che Shamsudin berkata mereka tidak boleh membuat apa-apa berhubung perkara itu. "(Malangnya) karya seni, orang tidak melihatnya sebagai seni, tetapi alat politik. PAKSI tidak boleh buat apa-apa (jika mereka ingin membakarnya). "Setakat ini kita hanya menyatakan sikap kita," katanya sambil memberitahu belum memikirkan tindakan tegas kepada penentang novel Interlok. Hadir sama dalam sidang media itu, pengasas portal sastera siber eSastera Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa Pustaka Hasni Abas serta penulis terkenal Razali Endon dan Kassim Muhammad. Kesemua mereka turut bergiat aktif dalam PAKSI - NGO penulis yang dilihat rapat dengan pembangkang. ~MK~ |
| Seniman pertahan novel Interlok Posted: 04 Jan 2011 11:07 PM PST Kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran diminta campur tangan dalam isu berkaitan novel Interlok bagi menyelesaikan masalah yang timbul, ekoran kontroversi yang ditimbulkan oleh kaum India terhadapnya.Interlok adalah sebuah karya sastera bermutu yang mengambil latar masa sekitar 1910 sehingga 1957 dan ia tidak sewajarnya menjadi mangsa politik perkauman di tanah air. Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) menegaskan, novel itu adalah satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Ia adalah rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu iaitu zaman pra merdeka dan ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Presidennya, Dinsman berkata, dengan menjadikan novel tersebut sebagai teks sekolah, para pelajar boleh mempelajari dan memahami asal usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisinya hari ini. Menurut beliau, oleh itu novel tersebut seperti juga novel-novel lain sepatutnya hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan sebagai bahan atau alat politik. "Namun masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik. Semua perkara hendak dipolitikkan dan segalanya hendak ditelan oleh politik" katanya pada sidang media di rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), di sini, hari ini. Sehubungan itu, PAKSI tidak bersetuju dengan cadangan supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk SPM kerana tidak ada sebab untuk berbuat demikian. "PAKSI berharap supaya pelbagai pihak di negara ini dapat berusaha secara betul bagi mengurangkan pemikiran dan sikap prasangka perkauman di kalangan masyarakat," katanya. Kontroversi mengenai Interlok timbul apabila Gabungan NGO India memandangnya sebagai sebuah novel yang menghina kaum India, khususnya pada bahagian-bahagian tertentu, sehingga ia dikatakan sebagai karya bentuk 'rasis'. Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia, Datuk A Vaithilingam, dalam kenyataannya, mengancam untuk mengadakan satu upacara membakar novel tersebut sekiranya novel karangan Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein itu tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian teks sastera SPM. "Tetapi apakah yang dikatakan menghina itu? Bahagian mana yang menghina orang India dan juga orang Melayu? Apakah kerana ada menyebut 'kasta paria', dan orang Melayu bodoh dan malas? Bagaimana pula dengan orang Cina yang hendak menjual anak perempuan?" tanya Dinsman. Beberapa orang AJK PAKSI yang turut hadir pada sidang media itu bagaimanapun kesal dengan sikap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah kerana menimbulkan isu berkaitan novel itu. "Dengan sikapnya itu, Datuk T Murugiah ternyata hanya memandang kepada sesuatu bangsa, khususnya bangsa India dalam bercakap mengenai sesuatu. Sedangkan sebagai Timbalan Menteri, beliau sepatutnya memandang semua bangsa bagi mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukannya hanya memandang suatu bangsa sahaja. "Disebabkan sikap beliau itu, isu tersebut menjadi semakin panas. Jadi, isu ini sememangnya tidak akan selesai jika kerajaan Malaysia dan Kementerian Pelajaran yang lebih bertanggungjawab dalam hal itu tidak campur tangan," tegas mereka. Sekiranya kontroversi mengenai Interlok gagal diselesaikan dengan baik oleh kerajaan dan Kementerian Pelajaran dalam masa terdekat, PAKSI terpaksa mengambil tindakan lebih tegas bagi mempertahankan novel-novel di tanah air dari menjadi mangsa politik perkauman. Dalam masa terdekat, PAKSI bercadang untuk mengadakan forum terbuka bagi membincangkan perkara itu di kawasan yang sedang menjadi tumpuan orang ramai sekarang, iaitu di Tenang, sempena pilihanraya kecil DUN Tenang yang akan berlangsung 30 Januari ini. "Cadangan PAKSI untuk mengadakan forum di Tenang itu janganlah pula disalahanggap oleh pihak tertentu. Tujuan kita bukanlah untuk berpolitik, tetapi kita mahu mengadakan forum itu di tempat tumpuan orang ramai. Kini tempat yang dikunjungi oleh orang ramai di DUN Tenang. "Jadi eloklah kita adakan forum di DUN Tenang. Dengan itu, forum itu nanti akan dapat disertai oleh orang ramai, bagi membolehkan semua kaum dan semua pihak faham dengan realiti sebenar Interlok yang sebenarnya bukannya untuk menghina sebarang pihak, tetapi sebagai gambaran sebenar masyarakat Malaysia terutama pada waktu itu," tegas Dinsman. Novel Interlok adalah satu daripada karya yang mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Novel Sandera mendapat hadiah ketiga. Manakala hadiah pertama dan kedua tidak dimenangi sebarang novel. Sejak itu, tidak pernah ada pembaca yang merasa tersinggung dengan adanya bahagian yang dikatakan menghina itu dalam novel tersebut. Isu itu hanya timbul secara tiba-tiba sekarang, setelah kira-kira 40 tahun novel itu dihasilkan. Pengarang novel itu, Datuk Abdullah Hussein sendiri sebelum ini dan sehingga kini turut diakui pelbagai pihak sebagai bukan seorang penulis bersifat 'rasis', baik dari segi perwatakan dan penulisannya. ~harakah~ |
| Bantah Interlok tanda perkauman makin teruk Posted: 04 Jan 2011 11:06 PM PST Penentangan terhadap novel Sasterawan Negara Abdullah Husain, Interlok oleh NGO tertentu melambangkan pemikiran dan prasangka perkauman lebih teruk di negara ini, dakwa sekumpulan sasterawan.Presiden kumpulan itu - Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - Che Shamsudin Othman berkata, masing-masing berfikir untuk kepentingan politik sendiri, bukan untuk kepentingan nasional. "Berbanding dengan dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya," katanya yang terkenal dengan nama pena Dinsman. Dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini, Che Shamsudin mempersoalkan kenapa terdapat pihak yang baru tersinggung sedangkan novel itu sudah beredar lebih 40 tahun dalam pasaran. "Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahu pun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul," katanya sinis. ~MK~ |
| Menteri digesa nafi jika tidak benar merogol Posted: 04 Jan 2011 11:02 PM PST Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak menteri yang dikaitkan dengan dakwaan rogol melibatkan pembantu rumah dari Indonesia supaya segera menafikannya sekiranya ia tidak benar.Pada masa yang sama, AMK juga mendesak menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalankan siasatan menyeluruh demi membersihkan maruah negara. Dan dalam waktu terdekat ini pula, AMK akan menghantar exconya untuk misi mendapatkan maklumat mengenai dakwaan tersebut, dengan mengunjungi Migrant Care dan Kedutaan Indonesia bagi mendapatkan fakta sebenar berkaitan kejadian tersebut. Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata angkatan itu memandang serius mengenai pendedahan tersebut yang kini heboh diperkatakan didunia siber. Beliau mendakwa isu tersebut berlaku pada 19 Februari 2007 dan mangsa dikatakan telah dipaksa mendiamkan perkara itu berikutan ugutan terhadapnya. Shamsul juga mendakwa tiada tindakan diambil terhadap menteri berkenaan dalam kes yang berlaku sewaktu pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, untuk 'mengelakkan konflik serantau'. "AMK yakin dan percaya, sekiranya dakwaan ini benar, isu ini membawa impak yang sangat buruk kepada kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau mengingatkan mengenai kesannya terhadap kredibiliti dan integriti kabinet Najib yang mengekalkan seorang yang didakwa penjenayah seksual. "Lebih parah, ia memberi kesan yang negatif kepada hubungan serantau Malaysia-Indonesia berikutan sikap 'duduk dan diam' oleh kerajaan Malaysia," tegasnya. Sementara itu, seorang lagi ahli AMK, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, dijadual membuat laporan polis mengenai perkara itu di Seremban hari ini. Manakala ketua Wanita PKR yang juga ahli parlimen MP, Zuraida Kamaruddin yang dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai isu yang sama, esok. ~MK~ |
| Pembohongan 'Umno dahulukan rakyat' Posted: 04 Jan 2011 08:48 PM PST Adun Titi Serong, Drs. Khalil idham Lim menyifatkan tindakan kerajaan BN menaikkan harga petrol RON97 dan minyak tanah secara serentak tengah malam tadi ini sebagai tidak keruan dan menipu rakyat. Katanya, tindakan itu juga menjelaskan kepada rakyat bahawa slogan 'Umno dahulukan rakyat' yang mahu diperkasakan pada tahun ini hanya pembohongan semata-mata. Beliau yang juga ketua penerangan PAS Perak berkata, keadaan rakyat kini semakin terhimpit setelah berulangkali berlaku kenaikan harga barangan keperluan utama . "Pakatan Rakyat ingin mengingatkan kepada rakyat bahawa undi BN bermaksud menempa kesengsaraan yang akan membawa kepada kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian kelak," katanya yang juga pengerusi sekretariat Pakatan Rakyat Perak. Sementara itu Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendakwa kenaikkan terbaru itu merupakan tindakan terdesak kerajaan untuk mengisi tabung Barisan Nasional bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Tenang. Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan tersebut juga menunjukkan BN sudah kekurangan wang dan transformasi ekonomi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri najib Razak menemui kegagalan. "Umum mengetahui bahawa Barisan Nasional akan terpaksa memperuntukkan sejumlah besar wang bagi membiayai pilihan raya kecil mereka dan sumber yang menjadi mangsa mereka sudah tentulah poket Kerajaan Persekutuan sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini. DPPP juga katanya,berpandangan kenaikan harga minyak dan bahan mentah di pasaran bukan ditentukan oleh harga pasaran minyak dunia, kedudukan ekonomi negara, kemampuan serta keperluan rakyat, tetapi sebenarnya banyak ditentukan oleh pilihan raya dan keperluan Barisan Nasional. "Di kala mereka mempersenda janji Pakatan Rakyat yang cuba membantu dan mengutamakan rakyat, kerajaan BN terus mencekik dan menambah beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat," katanya. Sehubungan itu, DPPP menyeru rakyat khususnya golongan muda menolak BN dalam pilihan raya kecil Dun Tenang dan pilihan raya umum akan datang. "Pilihan raya DUN Tenang, peluang rakyat memberikan amaran kepada Kerajaan yang zalim ini agar tidak terus menerus menzalimi dan menindas kehidupan rakyat dengan memberikan undi dan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya. Harga petrol RON97 naik sebanyak 10 sen menjadikannya kepada RM2.40 seliter manakala minyak tanah kepada RM2.50 seliter berkuat kuasa hari ini. Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Dis lalu, menjadikan RM2.30 seliter. ~harakah~ |
| Posted: 04 Jan 2011 08:44 PM PST Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Umno yang berusaha untuk bersama PAS membayangkan parti itu dan Barisan Nasional (BN) sedang tersepit menjelang pilihan raya umum akan datang.Bagi beliau, apa yang perlu dibuat Umno bukannya itu tetapi menghentikan rasuah, penindasan dan kezaliman terlebih dahulu. Semalam Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberitahu, beliau telah ke Istana Terengganu di Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan dari Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin. Undangan itu disampaikan oleh bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika Abdullah melawat beliau di Hospital Unibersiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum ini. "Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut," kata Nik Aziz dalam satu kenyataannya semalam. Turut serta dalam majlis santapan malam di Istana Terengganu itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyidin. Bagi Anwar, apa yang berlaku adalah, "Bila Umno tersepit, minta PAS bersama." Kenyataan ini dibuat Anwar melalui twitternya. Dalam kenyataannya Nik Aziz meminta semua pihak menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana dengan tidak membuat andaian tentang pertemuan itu. "Saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana," katanya. ~harakah~ |
| SAMM lapor polis ada bukti menteri rogol amah Posted: 04 Jan 2011 08:42 PM PST Ekoran isu dakwaan seorang menteri merogol pembantu rumah warga Indonesia, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini akan membuat satu laporan polis dan mendakwa mempunyai dokumen berkaitan.Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin dijangka akan membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, jam 10.45 pagi ini. Laporan polis itu merupakan perkembangan terbaru isu tersebut yang kini mengundang berdebatan hangat di ruang maya khususnya blog-blog politik. Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam satu kenyataan lewat petang semalam turut menggesa menteri yang didakwa terlibat, segera membersihkan nama beliau. Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, perdebatan dalam blog-blog kini jelas merujuk kepada nama seorang menteri, dan menteri itu perlu memberi respon segera. "Sejauhmana kebenarannya, hanya beliau dan Tuhan sahaja yang mengetahuinya. Selain penafian menteri tersebut, AMK juga turut menggesa Perdana Menteri melakukan penyiasatan menyeluruh demi membersihkan maruah negara yang tercemar. Menurutnya, jika dakwaan ini benar, ianya bakal memberi kesan yang negatif kepada hubungan serantau Malaysia-Indonesia berikutan sikap 'duduk dan diam' oleh kerajaan Malaysia. Sejak tiga siri pendedahan berhubung isu itu disiarkan Harakahdaily, rangkaian bloger terus memperdebat dan mencari siapa menteri yang didedah oleh laporan WikiLeaks itu. Pemimpin akhbar pro BN, Rocky Bru atau nama sebenarnya Ahirudin Atan, NGO Tenaganita dan NGO pekerja Indonesia, Migrant Care, antara yang awal tampil dengan perincian berhubung dakwaan ini. Tersebarnya dokumen salinan bertajuk 'Laporan Investigasi Robengah (BMI) yang mengalami perkosaan oleh majikannya' telah menjadi rujukan utama para bloger dalam mencari nama menteri tersebut. "Dalam waktu terdekat, AMK akan menghantar beberapa orang Exco untuk suatu misi mendapatkan maklumat (fact findings mission) mengenai jenayah terkutuk ini dengan mengunjungi pihak Migrant Care dan juga pihak Kedutaan Indonesia bertujuan untukmendapatkan fakta-fakta yang sebenar berkaitan kejadian rogol ini," tambah Shamsul lagi. Kes rogol ini didakwa telahpun berlaku sewaktu pemerintahan Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi lagi, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil kononnya untuk 'mengelakkan konflik serantau'. Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 19 Februari 2007 dan mangsa dikatakan telah dipaksa untuk mendiamkan perkara ini berikutan ugutan yang dibuat ke atas mangsa. "AMK yakin dan percaya, sekiranya dakwaan ini benar, isu ini membawa impak yang sangat buruk kepada kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak, dalam keadaan beliau gagal menjamin kredibiliti dan integriti kabinet beliau sehinggakan tergamak mengekalkan seorang penjenayah seksual di dalam kabinet beliau," katanya. ~harakah~ |
| Adakah Interlok novel rasis menghina kaum India? Posted: 04 Jan 2011 08:39 PM PST Lazimnya, jarang sekali karya sastera, khususnya novel Melayu mendapat perhatian sebegitu meluas daripada masyarakat umum di negara ini seperti yang diperoleh Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Husain.Tetapi malangnya semua perhatian berkenaan atas sebab yang tidak sepatutnya. Banyak pihak tampil membidas Interlok yang dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk tingkatan lima. Ia dikatakan sebagai karya berbentuk 'rasis' serta menyemai bibit-bibit unsur penghinaan. Buku setebal 426 halaman itu bercerita daripada tiga sudut pandang watak utama - Melayu, Cina dan India - tentang situasi hubungan kaum ketika itu yang menghadapi pelbagai rintangan. Ia dibahagikan kepada empat buku, bahagian pertama bercerita daripada sudut pandang Seman dan keluarganya di kampung, bahagian kedua tentang Cing Huat sekeluarga yang baru datang dari China dan ketiga tentang kehidupan Maniam di estet, sebelum semua itu dirangkum dalam bab terakhir. Ia juga merangkumi sekurang-kurang tiga generasi yang mengambil latar sekitar 1910 dan berakhir pada latar masa 1957 ketika negara menyambut kemerdekaan. Walaupun semua keempat-empat bahagian buku itu mempunyai kandungan yang kontroversial, namun bab yang mendapat publisiti meluas sekarang adalah yang berkisar mengenai keluarga Maniam. India melenting! Tidak seperti kaum lain di negara ini, yang melenting adalah hanya kaum India! Bermula dengan bidasan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah dan ia diperpanjangkan oleh Timbalan Presiden MIC Datuk S Subramaniam yang mendesak Kementerian Pelajaran menarik balik buku itu. Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dalam kenyataan medianya mendakwa Interlok memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan. Buku mengenai Maniam itu bermula apabila lelaki berusia 30 tahun itu yang berbadan tegap dan bertulang rangka besar meninggalkan kampungnya di Tricur, Kerala, India kerana tidak tahan dicengkam kemiskinan. Di dalam kapal ini dia tidak susah. Sebahagaian besar daripada penumpang dekyang bersama-samanya itu dapat bercakap dalam satu bahasa sahaja, bahasa Tamil. Mereka yang dari arah utara sedikitbercakap bahasa Malayalam atau Telugu, tetapi hampir semuanya tahu bahasa Tamil. Malayalam dan Telugupun berasaldari satu rumpun bahasa Dravidia. Satu perkara besar membuatkan mereka senang bergaul adalah kerana mereka tergolong dalam satu kasta Paria. Mereka tidak perlu takut akan mengotori sesiapa kalau bersentuhan. Mereka juga bebas bergaul. Tempat di dalam kapal itu tidak teratur.Mereka berasak-asak seperti kambing. (halaman 211) Sekumpulan masyarakat India di negara ini mempertikaikan kebijaksanaan Abdullah yang mengolah ceritanya dengan fakta-fakta sejarah dan hakikat sistem kasta yang membelenggui masyarakat di India ketika itu. Maniam digambarkan gembira dengan peluangnya mendapat pekerjaan dan begitu serasi bukan sahaja dengan cuaca di Malaya yang hampir sama dengan kampung halamannya, tetapi juga makanan seperti kari yang digemari penduduk tempatan menepati citarasanya. Di sini, pekerjaan yang membezakan kasta tidak ada. (halaman 216) Dia gembira hidup di negeri ini kerana untuk pertama kali dalam hidupnya dia berasa dirinya sebagai manusia seperti orang lain. (halaman 218) Di negeri ini, orang daripada kasta Brahma memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu. Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya. (halaman 219) Tidak puas hati Bagi kumpulan masyarakat India, perenggan-perenggan di atas terlalu sensitif dan mereka tidak berpuas hati denggannya. Cerita itu disambung mengenai kebahagian yang dikecapi oleh Maniam bagaimapun tidak lama, apabila orang kampungnya, Raman dan Suppiah datang membawa khabar berita, bahawa isterinya Ambika sudah mengikut lelaki lain. Esakan Maniam berhenti dan dia mengesat air matanya. Barulah Suppiah, orang yang berair muka seperti keanak-anakan itu bercerita. Isteri Mania, Ambika sudah amat melarat hidupnya. Dia sudah mulai makan pucuk-pucuk kayu. Tukang pinjam wang sudah tidak membenarkan dia tinggal di rumah itu lagi kerana rumah itu sudah menjadi haknya dan lembu Maniam itu diambilnya. (halaman 221) Malah, Maniam yang tidak berpelajaran, setiap bulan mengirim wang kepada rakannya di India, Pillay supaya diberikan kepada isterinya. Pillay bukan sahaja gagal menunaikan amanah itu tetapi juga melarikan isteri sahabatnya itu. Akibat tertekan dengan berita itu dan menanggung malu yang besar, Maniam mengambil keputusan meninggalkan Pulau Pinang dan merayau dari satu kebun ke satu kebun sehingga dia tercampak di kebun orang putih di Cangkat Lima. Dia berjaya mendapat pekerjaan dari tandil kebun kelapa itu - juga seorang India dari Madras, Perumal dan akhirnya berkahwin dengan anak perempuannya Malini dan hidup dengan bahagia, tanpa memberitahu latar perkahwinannya dengan Ambika. Akibatnya, kebahagian itu tidak berkekalan - Suppiah kemudiannya datang ke kebun itu dan membawa cerita bahawa Maniam pernah berkahwin dan meninggalkan isterinya. Akibatnya beliau diusir dari ladang itu dan semasa meninggalkan estet berkenaan, Maniam diserang dan cuba dibunuh oleh orang yang tidak dikenali. Mujur kehadiran seorang lelaki tempatan berjaya menyelamatkannya. Sekilas pandang, tidak dapat dinafikan mungkin ada petikan yang menguris hati dan dikatakan berbaur perkauman, namun kita tidak boleh melihat ayat terpencil atau isu yang diambil di luar konteks novel. Tindakan seumpama itu, hanya menidakkan niat suci dan murni pengarang untuk menyatukan masyarakat Malaysia melalui karyanya itu. Perlu dibaca menyeluruh Interlok perlu dibaca secara menyeluruh. Untuk menuduh Abdullah sebagai penulis rasis dan menghina masyarkat India serta membakar karya sasterwan negara itu, sesuatu tindakan melampau. Pandangan tajam Abdullah Hussain membidas keadaan ketika itu, juga tidak terkecuali ke atas masyarakat Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh dan malas. Setelah guru besar itu berlalu, Pak Musa ketwa terkekeh-kekeh, diikuti oleh Mak Limah. Dia amat gembira kerana menipu guru besar itu. "Buat apa sekolah? Tengok tu, tahu membaca dan menulis pun aku yang tak bersekolah ini dapat tipu bulat-bulat." Masyarakat Cina pula digambarkan bermata duitan dan sentiasa tidak ikhlas serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang. Ini jelas dipaparkan dalam Buku Dua - Keluarga Cing Huat. Menghiasi halaman utamanya, dimasukan pepatah Cina yang berbunyi: "Kalau tak berwang, ke mana pergi terbuang." Lee Kim Lock yang melarikan diri dari tanah besar Cina akibat hasil tanaman mereka diserang belalang sanggup melakukan apa sekali perkerjaan pun termasuk mengangkat najis manusia. Selain itu, demi wang, ikatan persaudaraan tidak penting. Malah mereka menikam satu sama lain seperti yang berlaku antara Paman Kok Leng yang menipu keluarga Cina yang dibawanya masuk ke Malaya. Hubungan adik-beradik juga menjadi tegang kerana wang. Yew Hock lebih percayai oleh bapanya. Dia patuh pada ajaran bapanya, menimbang barang selalu kurang, berjual beli selalu bertegang urat. Watak positif Di sebalik watak dan nilai negatif yang ditunjukkan pengarang, pada novel ini menonjolkan watak positif untuk memberi keseimbangan dan memperlihatkan nilai terbaik bangsa dimanfaatkan untuk perpaduan kaum. Dia terlalu memandang rendah kepada orang Melayu. Dia tidak pernah menganggap mereka manusia beradab seperti dia. Dia selalu mengatakan bahawa mereka malas. Dia mahu menarik keuntungan sahaja daripada mereka. Kalau mereka memberi keuntungan wang kepadanya, dia berbuat baik, kalau tidak dia menganggap mereka seperti sampah. Sekarang baru terasa bahawa kata-kata anaknya itu benar. Orang Melayu itu pun manusia juga. Mereka seperti kita, bukan orang biadap. (Halaman 321) Satu lagi contoh pada novel ini yang menonjolkan watak positif, bangsa berlainan yang cuba menghormati satu sama lain, boleh dilihat pada petikan ini. Maniam menyusun jari kedua-dua belah tangannya memberi hormat kepada Mak Limah. Mak Limah tidak tahu apa-apa yang mesti dibuat. Dia melihat Seman dan ketika dia berpaling semula, Maniam telah berjalan jauh sambil menyeret basikalnya. "Baik orang India tu, Seman," kata Mak Limah ketika mulai menggobek sirih. Selain itu, Abdullah Hussain juga cuba memecahkan tembok kasta dengan memperlihatkan bagaimana Maniam diterima bukan sahaja oleh masyarakat India tetapi juga penduduk tempatan. Setelah bapanya meninggal, di kebun yang jauh dari kampungnya itu dia menemui seorang bangsa asing yang dapat dianggapnya sebagai bapanya. Hanyalah kerana berlainan agama dan bangsa yang memisahkan mereka, tetapi dalam pergaulan sebagai manusia Maniam memperlakukannya sebagai anak dan dia menganggap Maniam sebagai bapanya. (Halaman 316) Justeru, mendakwa Interlok menghina kaum India bukan sahaja tidak tepat tetapi membawa malapetaka terhadap niat murni sasterawan negara itu cuba menegakkan hakikat bahawa masyarakat india memang tahu mengenang budi. "Orang perempuan Melayu dari Kampung Nyiur Condong juga ada ditahan di sini. Dia ditahan bersama-sama papa, tapi belum disoal siasat lagi," kata Ramakrrisynan. "Anaknya mana?" tanya Maniam. "Anaknya juga ada di sini, tapi tak ditahan. Dia mahu tolong ibunya." "Engkau tolonglah dia, Rama. Dia itu macam saudaraku sendiri. Suaminyalah yang menolong menyelamatkan aku dulu.' (Halaman 359) Kaki kayu Kisah bangsa Melayu, Cina dan India dalam novel ini sebenarnya dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti terkandung pada bab akhir. Cerita diakhiri secara simbolik. Yew Seng yang terpaksa dipotong kakinya. Waktu Yew Seng masih di dalam rumah sakit beberapa tahun yang lalu, mereka dari pekan itu dan dari kampung sekitarnya telah mengumpulkan wang untuk membeli kaki kayu tersebut, tetapi Cing Huat berkeras menolaknya. Dia mahu membeli sendiri. Dia ada wang. Dia tidak mahu menyusahkan orang ramai kerana anaknya itu, tetapi Lazim dan Raman pun berkeras juga. Mereka mahu menolong Yew Seng. Keputusan terakhir diserahkan kepada Yew seng, dan dia memilih kaki kayu yang akan diserahkan oleh masyarakat Melayu dan India. Masyarakat Cina di pekan itu ikut sama kemudian. Itulah khaki kayu yang digunakan oleh Yew Seng sekarang. (Halaman 418) ~MK~ |
| You are subscribed to email updates from Anak Cucu Nabi Adam To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |















Tiada ulasan:
Catat Ulasan